Selasa, 23 April 2013

POLITIK WANG MEMANG TAK DIBOLEHKAN DARI SEGI SYARAK SERTA NEGARA

BN Kelantan sudah hilang 1 kerusi parlimen

Aslani M, 23 Apr 2013

PASIR MAS: Sebelum hari pengundian Barisan Nasional (BN) Kelantan sudah kehilangan satu kerusi parlimen dan kini hanya 13 lagi akan ditentukan nasibnya pada 5 Mei ini.

Tindakan Timbalan Ketua Umno Pasir Mas, Che Johan Che Pa tidak menghantar borang pencalonan, biar pun menerima watikah daripada Pengerusi Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed mengundang padah.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, belum apa-apa Umno dan BN sudah hilang satu kerusi parlimen di Pasir Mas.

“Tindakan Che Johan tentunya membangkitkan kemarahan penyokong Umno di Pasir Mas. Mereka awal-awal lagi datang pada perarakan calon, tetapi rupa-rupa calon mereka tidak menyerah borang pencalonan.

“Ini menggambarkan pemimpin Umno menipu dan mempersendakan penyokong mereka sendiri. Pemimpin di Pasir Mas menjatuhkan maruah Umno,” katanya pada ceramah memperkenalkan calon PAS di sini malam tadi.

Hadir sama Presiden Kelantanku Hijau (K), Zulkili Yaacob, calon parlimen Pasir Mas, Nik Mohd Abduh Nik Abdul Aziz, calon Dun Pengkalan Pasir, Hanifa Ahmad, calon Chetok, Abdul Halim Abdul Rahman dan calon Tendong, Rozi Muhamad.

Orang ramai memenuhi padang Mini Stadium Pasir Mas bagi mengenali lebih dekat calon mereka.

Pada penamaan calon 20 April lalu, Che Johan biar pun hadir pada pusat penamaan calon namun tidak menyerah borang pencalonan kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya Pasir Mas.

Ekoran itu calon PAS hanya berdepan calon Bebas, Datuk Ibrahim Ali yang bertanding atas tiket Bebas menggunakan lambang bunga raya.

Mohd Amar juga berkata, pilihan raya ini merupakan saat terbaik bagi setiap pengundi di Pasir Mas bagi menghukum Ibrahim yang mengkhianati mereka pada 2008.

Katanya, selepas menang bertanding menggunakan lambang PAS, Ibrahim menongkah arus dan menjadikan PAS sebagai musuh pula.

Hanifa yang juga Yang Dipertua PAS Pasir Mas berkata, tiga bulan selepas menang hasil sokongan padu PAS, Ibrahim mengkhianati amanah yang diberi pengundi.

“Pengundi PAS yang mengangkat beliau dahulu, dan sekarang tiba masanya kita menjatuhkannya semula. Kita akan pastikan hayat politik akan berakhir pada 5 Mei ini,” ujarnya.

Peringatan kepada rakyat Malaysia: Wabak politik wang

Tuan Guru Abdul Hadi Awang, 23 Apr 2013
Allah SWT mengesahkan tentang betapa buruknya perangai kaum Bani Israel berpolitik sebagai pengajaran kepada seluruh manusia, khususnya umat Islam. Firman Allah yang bermaksud:

Dan Nabi mereka pula berkata kepada mereka: "Bahawasanya Allah telah melantik Tholut menjadi raja bagi kamu. Mereka menjawab: "Bagaimana dia mendapat kuasa memerintah kami, sedang Kami lebih berhak dengan kuasa pemerintahan itu daripadanya, dan ia pula tidak diberi keluasan harta kekayaan?" Nabi mereka berkata:" Sesungguhnya Allah telah memilihnya (Tholut) menjadi pemerintah kamu, dan telah mengurniakannya kelebihan dalam lapangan ilmu pengetahuan dan kegagahan tubuh badan". Dan (ingatlah), Allah jualah Yang memberikan kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang dikehendakiNya; dan Allah Maha Luas (RahmatNya dan PengurniaanNya), lagi meliputi ilmuNya.

Kisah ini benar-benar berlaku di zaman dahulu, apabila bangsa Yahudi terhina dengan sehina-hinanya lantaran mereka meninggalkan kitab Taurat, sehingga mereka ditakluk oleh bangsa lain. Setelah beberapa generasi mereka hidup hina merempat, maka  Allah mengutuskan seorang nabi mendidik mereka semula dengan kitab Allah. Akhirnya mereka sedar dan insaf, serta bersedia untuk berjuang, menegakkan negaranya semula. Mereka telah memohon petunjuk Allah melalui nabi agar dapat melantik seorang raja yang menjadi pemimpin  negara mereka.Tiba-tiba Allah menunjukkan seorang tokoh yang bernama Tholut supaya dilantik menjadi pemimpin mereka dalam perjuangan menegakkan semula negara namun begitu penyakit rohani masih ada dalam diri mereka, apabila kaum Bani Israel itu menolak dengan alasan raja yang dicadangkan tersebut bukanlah seorang yang kaya di kalangan mereka, Tholut yang dicadangkan itu bukanlah seorang kaya-raya. Nabi itu memberi tahu bahawa petunjuk Allah supaya melantik seorang yang berilmu dan gagah perkasa, Tholut adalah tokoh paling layak.

Kisah ini menunjukkan bahawa politik berteraskan harta menjadi penyakit bangsa yang Yahudi yang dimurkai Allah, disebut dalam surah Al Fatihah (المغضوب عليهم ).

Allah juga mendedahkan sifat kebendaan bangsa Yahudi dengan firmanNya yang bermaksud:
Mereka ialah orang-orang yang Allah tidak mahu membersihkan hati mereka; bagi mereka kehinaan di dunia, dan di akhirat kelak mereka beroleh azab seksa yang besar. Mereka sangat suka mendengar berita-berita dusta, sangat suka memakan segala yang haram (rasuah dan sebagainya).

Ini menunjukkan bahawa penyakit kebendaan telah merebak sehingga hilangnya perhitungan akal, lalu suka menerima berita bohong dan mengambil harta haram melalui rasuah dan lain-lain.

Cabaran keadaan yang sama juga dialami oleh para pemimpin Makkah dan pengikutnya. Rasulullah SAW menghadapinya  apabila dihujahkan dengan kebendaan.  Allah berfirman, maksudnya:ا
Dan mereka berkata: "Kami tidak sekali-kali akan beriman kepadamu (Wahai Muhammad), sehingga engkau memancarkan mata air dari bumi (bekalan air) bagi kami. Atau (sehingga) engkau mempunyai kebun dari pohon-pohon tamar dan anggur, kemudian engkau mengalirkan sungai-sungai dari celah-celahnya dengan aliran yang terpancar terus-menerus. Atau (sehingga) engkau gugurkan langit berkeping-keping atas kami, sebagaimana yang engkau katakan (akan berlaku); atau (sehingga) engkau bawakan Allah dan malaikat untuk kami menyaksikannya.
Atau (sehingga) Engkau mempunyai sebuah rumah terhias dari hiasan paling mahal (menunjukkan harta kekayaan ); atau (sehingga) engkau naik ke langit; dan kami tidak sekali-kali akan percaya tentang kenaikanmu ke langit sebelum engkau turunkan kepada kami sebuah Kitab yang dapat kami membacanya". Katakanlah (Wahai Muhammad):" Maha suci Tuhanku! Bukankah aku ini hanya seorang manusia yang menjadi Rasul ? (Al-Israk)

Para ulama merakamkan kisah Rasulullah S.A.W. ketika baginda menegaskan kepada Adi bin Hatim R.A. seorang pemimpin Arab terkenal sebelum Islamnya, sabda Rasulullah SAW: “Wahai Adi ! Aku tahu mengapa kamu tidak mahu menerima Islam, kerana  Islam dilihat bersama-sama dengan  orang-orang yang lemah dan tidak ada kekuatan. Akan tetapi akan tiba masanya Islam mencapai kemenangan sehingga harta melimpah ruah, sehingga tidak ada lagi orang mahu menerimanya”.

Demikianlah politik wang atau matlamat kebendaan menjadi wabak yang merosakkan manusia sejak dahulu sehingga sekarang, hilangnya harga diri manusia yang dijadikan Allah berakal dan fikiran supaya dapat menilai benar dan salah serta menggunakan harta menjadi alat, bukan diperalatkan oleh harta  yang tidak berakal.

Apabila harta menjadi matlamat, maka hilanglah nilai kemanusiaan yang mulia serta martabatnya yang tinggi jatuh lantas menjadi hina. Akhirnya menjerumuskan diri sendiri lebih hina dan menghinakan bangsa serta umat. Kerana pada masa itu segala pertimbangan akal dan petunjuk Allah ditolak apabila harta menjadi ukuran benar dan salah.

Bangsa Melayu bersama Umno ditarbiyah dan dididik dengan politik wang dan kebendaan. Penyakit yang membarah ini diakui sendiri oleh semua pemimpin UMNO dengan menyatakan bahawa ianya sudah menjadi penyakit yang memburukkan usus dan menjadi kanser. Paling bahaya ianya juga telah merebak ke dalam jentera kerajaan dan rakyat Melayu apabila di setiap kali pilihanraya umum atau kecil.

Orang-orang Melayu di bawah UMNO hilang jati diri, sehingga tidak mampu bertongkat dengan hak istimewa yang diberi nafas sebagaimana yang tercatat dalam Perlembagaan Persekutuan. Ini masih berlaku walau pun UMNO menang majoriti paling besar dalam pilihan raya sejak beberapa dekad yang lalu.

Jumlah kerusi Melayu diagih untuk menjadi benteng pasir melindungi UMNO. Hanya negeri Melayu kuat UMNO ditambah kerusi pilihan raya. Ada pun negeri Melayu yang tidak memilih UMNO tidak ada pertambahan kerusi walau pun penduduknya bertambah dalam dua kali kajian kajian persempadanan sebagaimana yang diperuntukkan oleh Perlembagaan.

Duit ditabur dengan sebanyak-banyaknya untuk membeli undi Melayu supaya tetap memilih UMNO. Kepada  yang tetap memilih UMNO pula dibodohkan dengan media Melayu arus perdana bersama para penulis upahan, sehingga terus berkhayal  dalam kejahilan dan kemiskinan dan tidak kenal perubahan yang berlaku dalam dunia terkini.

Allah menegaskan bahawa harta negara yang banyak tidak mampu membela seluruh rakyat dengan adanya penyakit tersebut. Ini kerana apabila harta negara yang boleh dianggap sebagai darah yang tidak mengalir ke dalam  seluruh jasad kerana berlakunya: دولة بين الأغنياء منكم
Berpusing kepada orang-orang kaya tertentu di kalangan kamu.

Maka kekayaan negara dikikis atau dibocor oleh  pemimpin yang kaya dengan rasuah atau menyalah gunakan kuasa untuk mendapat kekayaan bagi diri dan kroninya. Apatah lagi adanya orang-orang kaya yang mendapat peluang dengan rasuah atau sentiasa berpeluang kerana bersekongkol dengan pemimpin yang khianat terhadap rakyat dan harta negara. Puncanya apabila berpolitik kerana wang dan matlamat kebendaan, bukannya menunaikan amanah.

Allah SWT telah menunjukkan contoh dalam al-Quran petunjuk sepanjang zaman di mana adanya tiga serangkai Firaun (raja), Haman (Perdana Menteri) dan Qarun (hartawan).

Rakyat termiskin dibantu dengan duit dan kemudahan sementara sahaja, tetapi tidak boleh membebaskan diri daripada kepompong kemiskinan. Rakyat yang tidak memiliki tanah tempat kediaman diburu ketakutan peras ugut dengan milik sementara sepanjang masa, atau terpaksa meneroka tanah tanpa kebenaran rasmi dan dibiarkan supaya menjadi mangsa ugutan.

Setiap kali pilihan raya maka duit menjadi senjata kempen dengan bekalan daripada pemilik harta Qarun penyumbang tetap  yang mendapat segala peluang tetap selepas pilihanraya, atau membocorkan peruntukan yang wajib ditunaikan bagi kemudahan rakyat. Maka berlakulah projek terbengkalai atau projek cacat yang meruntuhkan kerana tidak sempurna.

Setiap kali pemilihan kepimpinan UMNO juga wang tetap digunakan, kerana kedudukan dalam parti akan dapat menjamin kehidupan dan segala kesempatan. Di sana pula tetap ada para Qarun yang bersedia menyumbang bagi memperjudikan diri masing-masing.

Penyakit ini pernah menjadi sebab bersejarah kejatuhan  umat terdahulu dengan hina, termasuk kuasa besar yang paling kaya dengan tamadun kebendaannya. Semuanya dikisahkan oleh Al Quran supaya menjadi petunjuk kepada seluruh manusia di sepanjang zaman, termasuklah orang-orang melayu terkini.

Ketika bangsa lain berpolitik memilih parti yang menjaga bangsa masing-masing dalam persaingan masyarakat majmuk, tiba-tiba bangsa Melayu masih lagi bersama UMNO.  Ada lagi di antara kita yang memilih parti yang mengagihkan duit dan segala habuan segera. Maka tunggulah padah menimpa diri sendiri, jangan menyalahkan orang lain.

Akhirnya dengarlah pesanan Rasulullah S.A.W.

خُذُوا الْعَطَاءَ مَا دَامَ عَطَاءً، فَإِذَا صَارَ رِشْوَةً فِي الدِّينِ فَلا تَأْخُذُوهُ، وَلَسْتُمْ بِتَارِكِيهِ، يَمْنَعْكُمُ الْفَقْرَ وَالْحَاجَةَ، أَلا إِنَّ رَحَى الإِسْلامِ دَائِرَةٌ، فَدُورُوا مَعَ الْكِتَابِ حَيْثُ دَارَ، أَلا إِنَّ الْكِتَابَ وَالسُّلْطَانَ سَيَفْتَرِقَانِ، فَلا تُفَارِقُوا الْكِتَابَ، أَلا إِنَّهُ سَيَكُونُ عَلَيْكُمْ أُمَرَاءُ يَقْضُونَ لأَنْفُسِهِمْ مَا لا يَقْضُونَ لَكُمْ،

المعجم الكبير للطبراني - (ج 14 / ص 499)

Ambillah pemberian, selagi sebenarnya pemberian yang berhak. Maka apabila sudah menjadi rasuah dalam perkara al-Din (agama dan cara hidup) maka janganlah kamu mengambilnya dan jangan pula meninggalkannya, nescaya menghalang kamu daripada menjadi fakir dan sentiasa berhajat . Ingatlah Islam sentiasa dalam pusingan (menang dan kalah, mulia dan dihina), maka kamu hendaklah sentiasa bersama Islam di mana sahaja keadaannya. Ingatlah, akan berlakunya pertelingkahan diantara kitab (al Quran) dan pihak yang berkuasa memerintah negara, kamu jangan sekali-kali berpisah daripada kitab al Quran. Ingatlah, akan adanya para pemimpin yang menghukum kerana diri mereka bukan kerana menolong kamu ….).

Dalam hadith yang lain pula diharamkan kepada orang yang berada mengambilnya kecuali selepas itu diberi kepada orang yang sebenarnya memerlukan  bantuan.

Wujudnya penyakit politik kerana harta pada hari ini adalah tanda kerasulan Nabi Mohammad S.A.W. yang wajib diimani. Ingatlah maksudnya bahawa memilih parti politik wang atau kebendaan akibatnya bencana menimpa umat.

Putrajaya, PRU13 dan Pembukaan Kota Makkah

Ihsan Fadhli, 23 Apr 2013
PRU 13. Saya melihatnya dengan kaca mata peristiwa agung Islam, Pembukaan Kota Makkah pada Ramadhan tahun ke-8 Hijrah. Selepas 20 tahun nabi diutuskan oleh Allah untuk melaksanakan islah dan dakwah.

Sejak selepas berakhirnya zaman syariat Ibrahim dan Ismail AS, Makkah diduduki oleh musyrikin yang menyembah berhala. Era ini bukanlah satu era yang pendek. Ia menghampiri ribuan tahun. Namun, itu tidak bermakna bahawa kerosakan syirik itu tidak boleh dirawat. Allah mengutuskan Muhammad SAW untuk merawat lembah kontang itu dan akhirnya menjadi mercu tamadun agung dunia.

Sejak diutuskan, Rasulullah SAW tidak pernah berehat dari menebar dakwah kepada penduduk Makkah. Baginda dituduh mengajar ajaran sesat. Dituduh mengamalkan sihir. Ditawarkan kedudukan, wanita dan harta. Namun dakwah tidak terhenti. Rakyat Makkah masih disantun dengan hemah dan sopan. Namun yang diterima baginda hanyalah kejian, makian, fitnah dan cubaan bunuh.

Setelah itu, Rasulullah SAW berhijrah ke Yathrib dan menubuhkan sebuah negara kecil bernama Madinah dengan kerjasama Ansar, Muhajirin dan puluhan kabilah non-Muslim yang menduduki Yathrib dan sekitarnya.

Sejak Madinah didirikan, musyrik Quraish Makkah semakin iri hati. Abu Sufyan Bin Harb sengaja menyakiti hati muhajirin dengan membawa rombongan perdagangan barang rampasan orang Islam yang telah berhijrah berhampiran dengan Madinah.

Pembesar Makkah tidak pernah lekang dari merencana untuk merobohkan kesatuan Madinah. Mereka mencucuk-cucuk kabilah yang telah bekerjasama dengan Rasulullah SAW agar memungkiri perjanjian. Akhirnya, beberapa siri pengkhianatan berlaku dan tercetuslah siri peperangan mempertahankan kedaulatan Madinah.

Selepas peristiwa Perjanjian Hudaibiyah pada tahun keenam Hijrah, Islam semakin berkembang pesat. Jajahan Madinah semakin meluas. Empayar Islam semakin berkembang. Dendam Musyrik Quraish semakin membakar.

Kemuncaknya, Quraish telah membantu Bani Bakar menyerang Bani Khuza'ah yang merupakan salah satu kabilah yang telah mengikat kontrak keamanan dengan negara Madinah.

Rasulullah SAW selaku ketua negara bertindak mengumpulkan 10,000 tentera menuju Makkah lalu membebaskannya dari kezaliman Quraish. Peristiwa Pembebasan Makkah ini berlaku hanya dua tahun selepas perjanjian Hudaibiyah.

PAS di Malaysia

PAS, sejak penubuhannya, melalui jalan yang sangat berliku akibat tentangan daripada lawan tradisinya yang bernama Umno. Tempoh Umno memerintah Malaya tidaklah sepanjang tempoh syirik masyarakat Makkah.

Sejak dakwah PAS berkecimpung di alam politik Malaysia, bukan sedikit pemimpin PAS merengkok dalam penjara. Bukan sekali tikaman dan hujaman tombak serangan disasarkan kepada PAS. Malah selepas Kelantan diperintah oleh PAS, rakyat Kelantan turut terkena tempias serangan Umno-BN itu. Pelbagai peruntukan disekat manakala royalti minyak pula dirampas.

Awal kemenangan PAS di Kelantan pada 1990, pemimpin Umno mendakwa PAS hanya mampu bertahan selama beberapa minggu sahaja. Kini, lebih 20 tahun PAS kekal di Kelantan, bahkan mara menuju untuk membebaskan Kota Makkah atau Kostantinopel bernama Putrajaya. Dengan senjata tahaluf siyasi yang mapan, dakwah yang berhikmah dan bijaksana, PAS mengukuhkan tapaknya meski pelbagai halangan ditimpa.

Tatkala PAS dan PR menghampiri Putrajaya, saya pasti putaran sejarah Pembukaan Kota Makkah akan berulang. Watak-watak sejarah ini akan melakonkan peranannya. Setelah lebih 50 tahun menentang PAS dan PR, tak mustahil untuk mereka insaf dan menurut kata hati kecilnya, tunduk kepada fitrah kejadian. Kembali kepada keamanan, keadilan dan kebajikan. Tinggal lagi, bagaimana respon PAS dan PR terhadap golongan ini, apakah ada tempat kepada mereka?

Kalau hari ini, mantan MB Selangor dan pemimpin kanan Umno menyertai PAS. Saya yakin, masih ramai yang wataknya dahulu lebih 'tegar' berbanding TS Mat Taib yang akan menyeberangi arus menyertai PAS dan PR.

Apakah kita bersedia?

Watak PRU13

Tatkala berita ketumbukan tentera Islam Madinah sedang menghampiri Makkah tersebar, para pembesar Qurasih tidak senang duduk. Sesuatu keputusan mesti dibuat untuk menjamin keselamatan mereka.

Abu Sufyan Al-Mughirah Bin Al-Haris Bin Abdul Muttalib

Abu Sufyan bin Al-Haris Bin Abdul Muttalib merupakan sepupu Rasulullah SAW dan juga saudara susuan baginda. Keakraban Abu Sufyan dan Rasulullah SAW sangat erat sebelum baginda diutuskan sebagai pesuruh Allah. Namun tatkala risalah diturunkan kepada Muhammad Bin Abdullah, Abu Sufyan Bin Al-Haris berubah pendirian lalu menjadi musuh Muhammad yang paling ketat. Erat menjadi karat, kerabat utuh berubah menjadi musuh. Bait syairnya yang sebelum ini memuji keperibadian Muhammad al-Amin berubah menjadi bait mengutuk Muhammad al-Kazzab.

Namun, tatkala mendengar khabar bahawa sepupunya kini mengetuai 10,000 bala tentera menuju ke Makkah, tanah airnya, hatinya mencair. Sinaran hidayah terhambur. Sendinya akur dengan hidayah. Beliau lantas memacu kudanya untuk bertemu dengan Nabi Muhammad SAW dan melafazkan kalimah Syahadah.

Sejak itu, Abu Sufyan bin Al-Haris menebus dosanya yang lampau dengan seluruh jiwa raganya diwakafkan kepada Islam. Dalam peperangan Hunain (beberapa hari selepas Fath Makkah) Abu Sufyan membuktikan keimanannya. Badannya berlumuran darah mempertahankan Islam yang sebelum ini dibencinya.

Abu Sufyan Bin Al-Haris wafat pada pada zaman pemerintahan Saidina Umar RA. Beberapa hari sebelum ajal menjemput, Abu Sufyan menggali lubang kubur. Saidina Umar RA menyembahyangkan jenazahnya dan dikebumikan di perkuburan Al-Baqi'.

Abu Sufyan Sakhr Bin Harb Bin Umayyah

Abu Sufyan Sakhr Bin Harb Bin Umayyah. Sejak zaman remaja, Abu Sufyan bin Harb adalah ahli politik dan pemimpin kanan Quraish.

Selepas kaum Muslimin berhijrah, Abu Sufyan merampas harta mereka untuk dijual. Sebagai provokasi untuk menyakiti hati orang Islam, Abu Sufyan sengaja melalui jalan yang berhampiran dengan Kota Madinah. Akibat itu, peperangan Badar tercetus.

Sejak terbunuhnya Abu Lahab Umayyah dan Abu Jahal, beliau  mewarisi takhta pembesar Quraish Makkah. Semenjak itu juga, dendamnya terhadap Muhammad SAW yang kini mengetuai kerajaan Madinah semakin bertambah. Peperangan demi peperangan dicaturkan untuk memusnahkan jiwa yang bernama Muhammad Bin Abdullah SAW itu.

Ketika 10,000 tentera Islam yang dipimpin oleh Rasulullah SAW menghampiri Makkah, Al-Abbas bin Abdul Muttalib memimpin tangan Abu Sufyan untuk berjumpa dengan Rasulullah SAW demi memohon perlindungan. Baginda menerima kedatangan Abu Sufyan dengan tenang. Nabi Muhammad SAW tidak mengambil pendekatan untuk membalas kejahatan yang dilakukan oleh Abu Sufyan semenjak 20 tahun yang lalu. Bahkan  Rasulullah SAW menawarkan Islam kepada Abu Sufyan dan menjamin keselamatannya. Selepas melafazkan kalimah syahadah, Abu Sufyan kini menjadi panglima Islam, mempertahankan Islam yang pernah dimusuhinya suatu ketika dahulu. Rasulullah SAW memuliakan Abu Sufyan dengan bersabda :

"Sesiapa yang berlindung di rumah Abu Sufyan, mereka akan selamat"

Al-Abbas Bin Abdul Muttalib

Al-Abbas Bin Abdul Muttalib merupakan bapa saudara Rasulullah SAW. Beliau dikatakan memeluk Islam sebelum hijrah dan menyembunyikan Islamnya. Beliau dikatakan menyaksikan peristiwa Pejanjian Aqabah. Dalam peristiwa peperangan Badar, Al-Abbas ditawan oleh tentera Islam.

Ketika berlakunya Pembukaan Kota Makkah, Al-Abbas sedang dalam perjalanan hijrah ke Madinah untuk menyertai umat Islam di Madinah. Setelah mengetahui tentera Islam sedang menuju ke Makkah, beliau berpatah balik dan bertemu dengan Abu Sufyan Bin Harb untuk mengajaknya kepada Islam.

Sabda Rasulullah sollallohu 'alayhi wasallam kepada Al-Abbas :

“Aku ini nabi terakhir, engkau pula muhajirin terakhir."

Muawiyyah Bin Abu Sufyan Bin Harb Bin Umayyah

Muawiyah merupakan anak kepada Abu Sufyan. Beliau telah condong kepada Islam sejak peristiwa Perjanjian Hudaibiyah. Muawiyyah menyatakan keinginannya untuk memeluk Islam namun dihalang oleh ibunya kerana bimbang akan dimurkai oleh Abu Sufyan yang merupakan pembesar Makkah.

Selepas mengetahui bapanya memeluk Islam, Mu'awiyah terus menyatakan Islamnya secara terang-terangan.

Ikrimah Bin Amru Bin Hisham

Ikrimah Bin Amru Bin Hisham. Bapanya adalah musuh Islam yang terkenal, Abu Jahal Amru Bin Hisham. Selama 20 tahun sejak Rasulullah dibangkitkan, beliau adalah musuh Islam yang telah menafikan kebenaran agama nenek moyangnya. Setelah Abu Jahal terbunuh dalam peperangan Badar, permusuhan asal untuk mempertahan agama dan bangsa kini ditambah pula dengan permusuhan dendam terhadap pembunuhan bapanya.

Apabila berlakunya peperangan Uhud, Ikrimah turun ke medan Uhud bersama isterinya Ummu Hakim untuk memperkuatkan tentera Quraish. Ikrimah mengepalai tentera kiri  bergabung tenaga dengan panglima Khalid Al-Walid yang masih belum memeluk Islam di sebelah kanan Uhud. Gabungannya bersama Khalid al-Walid memporak-perandakan tentera Islam di medan Uhud.

Ketika berlakunya peristiwa Pembukaan Kota Makkah, beliau melarikan diri ke Yaman, meninggalkan isterinya Ummu Hakim di Makkah. Ummu Hakim lantas bertemu dengan Rasulullah SAW dan memeluk Islam seterusnya memohon jaminan keselamatan kepada suaminya, Ikrimah. Rasulullah SAW sekali lagi melupakan perbuatan Ikrimah dan memberi jaminan keselamatan kepada Ikrimah. Selepas menemui Ikrimah, Ummu Hakim membawanya kepada Rasulullah SAW lalu memeluk Islam.

Selepas bergelar Muslim, Ikrimah berjanji untuk menebus dosa lampunya. Beliau menyertai siri peperangan membela Islam. Pada zaman Abu Bakar, beliau telah menerima puluhan misi penting dan berjaya menunaikannya dengan cemerlang.  Beliau juga merupakan tokoh penting dalam misi merawat dan memerangi golongan riddah pada era Abu Bakar.

Ikrimah akhirnya mempuktikan dua kalimah syahadanya apabila beliau syahid di peperangan Yarmouk di Jordan.

Suhail bin Amru

Suhail bin Amru  adalah pemidato Quraish yang sangat hebat. Ketika perjanjian Hudaibiah, Suhail menjadi utusan Quraish untuk berunding dengan rombongan Muslimin. Beliau menolak menulis perjanjian Hudaibiyah dengan kalimah Bismillah Al-Rahman Al-Raheem, sebaliknya  hanya dengan kalimah Bismikallahumma, namamu wahai tuhan kami.

Setelah melihat kebaikan akhlak Rasulullah, selepas peristiwa Fath Makkah, hatinya berbunga cinta kepada Rasulullah. Beliau meminta jaminan keamanan dari Anaknya yang telah lama beriman, lalu Rasulullah mengizinkan. Beliau akhirnya memeluk Islam. Rasulullah mengurniakannya seratus ekor unta hasil rampasan perang Hunain.

Beliau menebus zaman kekufurannya dengan bersungguh-sungguh. Tidak ada tempat yang pernah dilaliunya sewaktu kufur melainkan beliau melaluinya semula selepas Islam, tidak ada harta yang telah beliau gunakan waktu kufur melainkan beliau gantikannya dengan infaq kepada jalan Allah.

Zubair Bin Bakar berkata, "Suhail menjadi orang yang paling banyak solat dan puasa dan paling terkesan dengan ayat al-quran selepas memeluk Islam."

Ketika Rasulullah wafat, Suhail masih di Makkah. Penduduk Makkah ditimpa kesedihan yang amat dahsyat tatkala menerima perkhabaran hiba itu. Sedang Abu Bakar berkhutbah di Madinah, Suhail berdiri dengan kalimah yang sama di Makkah,

“Wahai ahli Makkah, janganlah kamu menjadi orang yang paling lewat memeluk Islam dan paling awal murtad. Sesungguhnya agama ini akan kekal selagi kekalnya bulan dan matahari. Sesiapa yang menyembah Muhammad, maka Muhammad telah tiada. Sesiapa yang menyembah Allah, maka sesungguhnya Allah itu tidak ada mati pada zat-Nya.”

Dikatakan beliau syahid sewaktu pepeangan Yarmouk namun khabar itu kurang tepat berbanding berita yang mengatakan bahawa beliau syahid akibat taun amwas.

Safwan Bin Umayyah Bin Khalaf

Safwan Bin Umayyah Bin Khalaf juga merupakan musuh Islam sebelum peristiwa pembukaan Kota Makkah. Selepas mendapat jaminan keamanan dari Rasulullah SAW, beliau memeluk Islam dan menjadi pembela Islam.

Abu Quhafah Uthman Bin Amir Bin Amru Bin Kaab, merupakan bapa kepada Abu Bakar RA. Beliau juga diriwayatkan memeluk Islam selepas peristiwa pembukaan Kota Makkah.

Kesimpulan

“Tolaklah kejahatan yang dilakukan kepadamu dengan cara yang sebaik-baiknya, Kami Maha Mengetahui apa yang mereka katakan itu.” (Surah al-Mukminun : ayat 96).

“Dan tidaklah sama (kesannya dan hukumnya) perbuatan yang baik dan perbuatan yang jahat. Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih baik; apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib.”

“Dan sifat yang terpuji ini tidak dapat diterima dan diamalkan melainkan oleh orang-orang yang bersikap sabar, dan tidak juga dapat diterima dan diamalkan melainkan oleh orang yang mempunyai bahagian yang besar dari kebahagiaan dunia dan akhirat.” (Surah al-Fussilat : ayat 34-35]

PKR persoal 1MDB pindah RM7 bilion ke akaun sulit

Harakahdaily, 23 Apr 2013
KUALA LUMPUR: PKR hari ini mempersoal maklumat bahawa 1MDB, badan pelaburan milik rakyat yang dikawal sepenuhnya oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah memindahkan sejumlah RM7 bilion dana ke akaun sulit di Cayman Island.

Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli berkata, maklumat tersebut turut dilaporkan dalam Laporan Tahunan 1MDB dan diulas di dalam keluaran terbaru akhbar perniagaan mingguan The Edge.

Akhbar itu turut mempersoalkan kewajaran sebuah badan pelaburan milik negara memindahkan RM7 bilion ke dalam akaun rahsia di pusat kewangan pesisir pantai seperti Cayman Island.

berikut adalah kenyataan penuh beliau:


1MDB pindah RM7 bilion wang rakyat ke akaun sulit


KEADILAN memandang serius maklumat bahawa 1MDB, badan pelaburan milik rakyat yang dikawal sepenuhnya oleh Dato’ Seri Najib Tun Razak telah memindahkan sejumlah RM7 bilion dana ke akaun sulit di Cayman Island.

Maklumat ini terkandung di dalam Laporan Tahunan 1MDB dan diulas di dalam keluaran terbaru akhbar perniagaan mingguan The Edge, yang turut sama mempersoalkan kewajaran sebuah badan pelaburan milik negara memindahkan RM7 bilion ke dalam akaun rahsia di pusat kewangan pesisir pantai seperti Cayman Island.

Akaun sulit di pusat kewangan pesisir pantai hanya digunakan bagi urusniaga yang dirahsiakan kerana pusat kewangan pesisir pantai mempunyai undang-undang yang melindungi urusniaga sebegini walaupun berunsur jenayah atau rasuah. Sebelum ini pun, laporan antarabangsa telah mempersoalkan tokoh-tokoh yang rapat dengan Barisan Nasional seperti Mirzan Mahathir, Raja Nong Chik dan Michael Chia yang mempunyai akaun sulit di pusat kewangan pesisir pantai kerana ia disyaki bersabit dengan urusniaga yang tidak betul.

1MDB mendapat modal melalui terbitan bon sebanyak RM5 bilion yang dijamin oleh kerajaan. Dari modal ini, ia melabur di dalam beberapa pelaburan di luar negara terutamanya di dalam Petro Saudi International (PSI) yang diragui kewujudan dan aktivitinya.

Dari urusniaga dengan PSI yang penuh kerahsiaan inilah, sejumlah RM7 bilion dilaporkan dipindahkan ke akaun rahsia di Cayman Island, sebuah pusat kewangan pesisir pantai.

Pemindahan wang RM7 bilion oleh 1MDB ini perlu dijawab segera oleh Dato’ Seri Najib Tun Razak kerana beliau berkuasa penuh ke atas 1MDB. Pemindahan wang ke sebuah akaun rahsia pesisir pantai seperti Cayman Island bertentangan prinsip ketelusan dan tata kelola baik yang sepatutnya diamalkan oleh sebuah badan pelaburan kerajaan seperti 1MDB.

Saya khuatir sekiranya Barisan Nasional kalah dalam PRU13, wang RM7 bilion ini tidak dapat dijejaki dan hilang begitu sahaja, bermakna kerajaan menanggung kerugian besar ke atas hutang RM5 bilion yang diambil sebagai modal 1MDB.

Saya memberi amaran keras kepada Dato’ Seri Najib Tun Razak bahawa beliau akan bertanggungjawab ke atas setiap satu sen kerugian yang ditanggung 1MDB. Pemindahan wang RM7 bilion ke akaun rahsia di Cayman Island adalah satu tindakan yang berunsurkan jenayah yang perlu disiasat segera.

Oleh yang demikian, untuk membolehkan satu siasatan dimulakan serta merta sebaik sahaja Pakatan Rakyat mengambil alih kuasa dalam 2 minggu akan datang, saya akan membuat laporan kepada Bank Negara Malaysia, Polis diRaja Malaysia dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia pada hari Rabu dan Khamis minggu ini supaya wang RM7 bilion ini dibawa balik ke Malaysia secepat mungkin dan mereka yang bertanggungjawab memindahkan wang ke akaun rahsia di Cayman Island dihadapkan ke muka keadilan.


RAFIZI RAMLI

Pengarah Strategi PKR

Penuhi permintaan Najib, tidak undi Zul Noordin

Harakahdaily, 23 Apr 2013
KUALA LUMPUR: Masyarakat India akan memenuhi permintaan Datuk Seri Najib Razak supaya melupakan Zulkifli Noordin dengan tidak memangkah beliau di kertas undi.

Setiausaha Agung Persatuan Progresif India Malaysia (MIPAS), S.Barathidasan (gambar) berkata, masyarakat India juga tidak akan menyokong serta tidak akan memilih Zulkifli sebagai calon kerusi Parlimen Shah Alam pada hari mengundi 5 Mei depan.

“Masyarakat India akan menghukum calon yang bertanding kerusi pilihan raya Parlimen Shah Alam iaitu Zulkifli Noordin dan bertekad tidak akan memberikan undi mereka kepada beliau,” ujarnya dalam satu kenyataan, sebagaimana di bawah.

Persatuan Progresif India Malaysia (MIPAS) dan masyarakat India di Malaysia berasa amat kesal dengan Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Najib Razak yang mempertahankan calon kontroversi Zulkifli Noordin dan meminta masyarakat India supaya memaafkan serta memadamkan kemarahanan terhadap Zulkifli Noordin ekoran kenyataan Naib Presiden Perkasa menghina agama Hindu.

Malahan paling yang menyedihkan dan menjijikan apabila ada segelintir NGO menyokong serta sanggup mencium Zulkifli Noordin.

Pengerusi Barisan Nasional Datuk Seri Najib Razak juga meminta supaya masyarakat India melupakanlah kenyataan yang dibuat oleh Zulkifli Noordin.

Masyarakat India akan memenuhi permintaan Datuk Seri Najib Razak supaya melupakan Zulkifli Noordin dengan tidak memangkah beliau di kertas undi dan tidak akan menyokong serta tidak akan memilih beliau sebagai calon kerusi Parlimen Shah Alam pada hari mengundi 5 Mei depan.

Masyarakat India akan menghukum calon yang bertanding kerusi pilihan raya Parlimen Shah Alam iaitu Zulkifli Noordin dan bertekad tidak akan memberikan undi mereka kepada beliau.

Tapi persoalannya apakah ia hanya sekadar maaf-maafan tanpa apa-apa tindakan?

Sebelum ini beberapa orang selain daripada Zulkifli Noordin, antaranya ketua bahagian Umno Pulau Pinang, Pegawai khas kepada Perdana Menteri Datuk Nasir Safar, Pengerusi Perkasa Ibrahim Ali, Ridhuan Tee Abdullah dan banyak lagi terbiar begitu sahaja tanpa apa-apa tindakan.

Maka MIPAS menggesa agar mereka ini disiasat dan mendakwa di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan kerana menyebabkan ketidakharmonian, perasaan permusuhan dan kebencian berkiatan agama.

MIPAS meminta supaya mereka ini patut diberi pengajaran agar mereka insaf dan berazam tidak mengulanginya.

MIPAS berharap agar Pihak PDRM dan Peguam Negara berlaku adil dan telus serta tidak memihak kepada mana-mana parti politik dalam melaksanakan tugas yang diamanatkan. Maka ia akan mempertingkatkan kepercayaan dan keyakinan rakyat kepada pasukan PDRM, penguatkuasaan undang-undang dan institusi kehakiman negara.

Tiada ulasan: