Sabtu, 20 April 2013

RENCAH BERITA SEBELUM PENAMAAN CALON

Tindakan kepada DAP, Pakatan raih sokongan

Harakahdaily, 20 Apr 2013


PENDANG: PAS berpendapat jika Pendaftar Pendaftaran (ROS) boleh memutuskan untuk tidak mengiktiraf barisan kepimpinan DAP yang ada sekarang, tindakan yang sama boleh dilakukan kepada MCA suatu masa nanti.

Justeru, Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu berkata tindakan ROS itu boleh menyebabkan para pengundi dari kalangan kaum Tionghua akan memberikan sokongan kepada Pakatan Rakyat dalam Pilihan raya Umum ke-13 (PRU13) ini.

Beliau menyatakan demikian mengulas keputusan DAP menggunakan logo PAS dan PKR setelah Pendaftar Pertubuhan (ROS) memutuskan untuk tidak mengiktiraf barisan kepimpinan DAP yang ada sekarang.

Pendaftar Pertubuhan dalam satu kenyataan pada 17 April lalu menyatakan pihaknya tidak mengiktiraf ahli CEC DAP yang dilantik dalam pemilihan pada 15 Disember 2012 ekoran pertikaian yang berlaku, selagi siasatan masih berjalan.

Perkara itu dinyatakan dalam notis di bawah Akta Pertubuhan 1966 yang dihantar kepada parti itu. Tindakan di bawah Seksyen 3A akta itu berkuat kuasa sehingga pertikaian dalam kalangan ahli DAP berhubung pemilihan tersebut selesai.

“Kalau dia (ROS) boleh buat kepada DAP, dia boleh buat kepada PAS, MCA dan lain-lain parti,” katanya ketika berucap pada program Ceramah Pengenalan Calon di Dataran Pejabat PAS Kawasan Pendang, di sini malam tadi.

Turut berucap ialah calon N18 Tokai, Datuk Mohd Taulan Rasul, calon N19 Sungai Tiang, Fadzil Baharom dan bekas Ahli Parlimen Pendang, Datuk Dr Hayati Othman.

Mohamad yang bertanding kerusi P11 Pendang pada PRU13 ini percaya tindakan ROS kepada DAP itu bukan sahaja mendapat simpati daripada para pengundi Tionghua malah turut meraih sokongan dari kalangan pemilih bukan Islam kepada Pakatan Rakyat.

Baginya, apa yang berlaku kepada DAP itu dalam tempoh dua hari sebelum penamaan calon PRU13 menyebabkan peluang Pakatan Rakyat untuk menawan Putrajaya semakin terbuka.

Sementara itu, perarakan calon-calon PAS bagi Parlimen Pendang, Dun Tokai dan Sungai Tiang bermula jam 8.00 pagi dari Pejabat Pos Pendang ke tempat penamaan calon di Pejabat Daerah Pendang.

Pulai: Perarakan calon PR bermula di Masjid Negeri

Nazri Abdullah, 20 Apr 2013
JOHOR BAHRU: Calon-calon Pakatan Rakyat (PR) bagi P161 Parlimen Pulai, N46 Dun Pengkalan Rinting dan N47 Kempas akan berkumpul di Masjid Negeri Sultan Abu Bakar sebelum bergerak ke pusat penamaan calon pagi ini.

Menurut Yang Dipertua PAS Pulai, Abdullah Idris, kesemua calon akan mula berkumpul di masjid negeri itu pada jam 7.30 pagi sebelum bergerak ke pusat penamaan calon di Dewan Jubli Intan, Jalan Ayer Molek kira-kira sejam kemudian.

"Semua calon dan penyokong akan berkumpul di masjid negeri, dan kita akan berjalan ke pusat penamaan calon yang terletak kira-kira satu kilometer dari masjid," katanya kepada Harakahdaily.

Calon PAS yang akan bertanding bagi P161 Parlimen Pulai adalah Naib Presidennya Salahudin Ayub.

Bagi N46 Dun Pengkalan Rinting pula akan diwakili calon DAP Cheo Yee How manaka N47 Kempas diwakili Ketua Pemuda PAS Johor Suhaizan Kaiat.

Pada Pilihan Raya Umum ke-12, 2008 lalu, Pulai dimenangi oleh calon BN Datuk Nur Jazlan Mohamad yang  mendapat 38,036 undi manakala calon PAS Abdullah Idris memperoleh 17,587 undi.

Perbetul kesilapan BN dengan memenangkan PR

Khairul Azlam Mohamad, 19 Apr 2013


MARANG: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyelar parti lawan yang menyalahgunakan demokrasi termasuk jentera kerajaan dan media dalam tempoh pilihan raya ini.

Justeru, tegasnya, PAS berusaha memperbetulkan banyak kesilapan daripada pemerintahan Umno dan Barisan Nasional dengan memenangkan Pakatan Rakyat (PR) pada PRU13 ini.

“Demokrasi yang diamalkan di barat hari ini, memberi kebebasan sepenuhnya. Media, surat khabar, radio, tv melaporkan semuanya.

“Masa pilihan raya tidak boleh bagi duit, tidak boleh bagi projek, tidak boleh salahgunakan jentera kerajaan. Jentera kerajaan guna selepas pilihan raya…ini maknanya demokrasi yang diamalkan di negara-negara yang lain.

“Tetapi, di negara kita ini masih tidak mengamalkan demokrasi yang sebenar. Kita terpaksa membuat pembetulan,” jelas Ustaz Abdul Hadi di hadapan ribuan hadirin ketika berucap pada majlis Ceramah Pengisytiharan Calon Pilihan Raya Umum Ke-13 PAS Negeri Terengganu di Dewan Tok Guru, Rusila, malam tadi.

Beliau turut menjelaskan, dalam pemerintahan negara yang majoritinya terdapat orang Islam mesti dipimpin oleh orang Islam.

Namun, katanya, Islam membenarkan pula dilantik menteri-menteri atau ahli exco sesebuah kerajaan itu dari kalangan orang bukan Islam.

Menurutnya, pelantikan menteri atau exco dalam kerajaan tersebut dibenarkan bagi mengambil kepakaran dalam pelbagai bidang ilmu.

“Dalam pemerintahan negara yang majoritinya orang Islam, pemimpinnya orang Islam. Negara yang melaksanakan Islam pemimpinnya mesti orang Islam.

Isunya pengeluaran surat watikah guna simbol

Harakahdaily, 19 Apr 2013
PULAU PINANG: DAP terpaksa menggunakan lambang PAS dan PKR setelah barisan kepimpinannya tidak diiktiraf oleh Pendaftar Pertubuhan yang menyebabkan surat watikah calon tidak boleh dikeluarkan untuk calon-calon DAP.

Atas sebab itu, DAP terpaksa menggunakan simbol PAS di Semenanjung dan simbol PKR di Sabah dan Sarawak.


(Lim Guan Eng menunjukkan surat watikah yang dikeluarkan oleh PAS untuk calon-calon DAP)

"Tindakan mengeluarkan surat 48 jam sebelum penamaan calon adalah tindakan jahat untuk sabotaj DAP," kata Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dalam sidang medianya di Wisma DAP Pulau Pinang petang ini.

Berdasarkan janji SPR, kata Lim Guan Eng, logo Roket boleh digunakan, semua calon-calon DAP akan diberikan dua surat watikah.

"Satu surat watikah untuk gunakan simbol Roket. Jika mereka menolak, kita akan gunakan surat watikah PAS yang menggunakan simbol bulan," beritahu Guan Eng.

Menurut Guan Eng, pihaknya telah menerima semua surat watikah dari PAS yang ditandatangani oleh Datuk Mustafa Ali, Setiausaha Agung PAS.

"Kita akan cuba menggunakan simbol roket sehingga ke akhir jalan yang ada," kata Guan Eng.

Menurut Guan Eng, DAP memang bimbang menggunakan simbol PAS kerana takut pengundi tegar DAP tidak biasa dengan simbol itu dan tidak mengundi DAP.

Ketika ditanya adakah akan berlaku perbezaan antara calon DAP di seluruh negara nanti, Guan Eng berkata, beliau yakin ia (logo) akan sama.

"Sama ada logo Roket atau Bulan seluruh negara," katanya, "Jika SPR berbuat demikian, kita tahulah  apa yang dirancang mereka."

Dalam arahan pelaksanaannya, Guan Eng memberikan penjelasan berikut.

"Apabila ditanya oleh Pegawai Pengurus SPR, apa simbol yang mereka nak gunakan, calon-calon DAP akan berkata, mereka nak guna simbol Roket dan serahkan surat kuasa yang ditandatangani oleh saya.

"Jika diterima, maka calon-calon DAP akan gunakan simbol Roket dalam pilihan raya ini.

"Jika tidak diterima, kita akan serahkan surat kuasa kedua yang di keluarkan oleh Datuk Mustafa Ali, Setiausaha Agung PAS. Jika ini berlaku kita akan gunakan simbol bulan di Semenanjong dalam pilihan raya ini," kata Lim Guan Eng.

ROS sepatutnya bertindak ke atas Umno

Salmiyah Harun, 19 Apr 2013
PUTRAJAYA: Calon PAS Putrajaya Datuk Husam Musa mempersoalkan tindakan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) yang bertindak ke atas DAP di saat-saat akhir tempoh penamaan calon.

Sedangkan, menurut Husam, ROS sepatutnya bertindak ke atas Umno yang sebenarnya pertubuhan yang tidak sah mengikut akta Pertubuhan 1966.

Jelas Husam, Selasa lepas petisyen difaikan oleh sebilangan rakyat Malaysia di Mahkamah Tinggi Jalan Duta untuk mengarahkan ROS bertindak kepada Umno.
Husam berkata demikian dalam sidang media di Pusat Media PAS Putrajaya hari ini.(gambar)


"Bila mana-mana cawangan parti tidak berdaftar dengan sendirinya pertubuhan itu haram, apabila sebuah parti yang tidak didaftarkan dan wajib ROS bertindak.

"Dan tidak ada mana-mana pihak di bawah seksyen 17,18,19,20 Akta Pertubuhan 1966 boleh memberi kerjasama kepada parti yang diharamkan baik dalam premis, ceramah, sekolah dan sebagainya," jelas Husam dalam sidang medianya di sini hari ini.

Kata beliau, di Tanah Merah khususnya ROS telah menulis surat kepada Setiausaha Agung Umno dan Setiausaha Bahagian Tanah Merah telah menunjukkan 26 cawangan yang ada dalam Tanah Merah adalah tidak berdaftar.

Malah katanya,  di Kelantan ada 1770 cawangan Umno yang tidak berdaftar dan semua dokumen-dokumen bahagian telah disahkan oleh ROS itu telah pun difailkan di mahkamah.

"Kenapa ROS tidak bertindak ke atas Umno sebaliknya bertindak ke atas DAP?

"Bagaimanapun, PAS mengalu-alukan untuk menggunakan logo PAS dalam PRU ini dan terpulang kepada strategik DAP. Ini boleh meningkatkan lagi undi PAS dan DAP," katanya.

Polis diminta dedah individu yang akan buat kecoh

Muhammad Faeez Azahar, 19 Apr 2013
IPOH: PAS Perak hari ini menggesa pihak polis agar mendedahkan maklumat individu di Perak yang disyaki akan menimbulkan kekecohan sepanjang tempoh berkempen pada Pilihanraya Umum Ke-13 (PRU13) ini.

Perkara tersebut merujuk kepada kenyataan Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam akhbar Berita Harian 11 April lalu.

Koordinator Jawatankuasa Strategik dan Isu PAS Perak, Salman Saleh (gambar) berkata, pihaknya sangat kesal dengan kenyataan ini kerana ianya telah menimbulkan ketakutan kepada rakyat.

Menurutnya, pihak polis seharusnya membuat  tindakan pencegahan segera dan bukannya membuat kenyataan sedemikian yang memberikan gambaran seolah-olah terdapat masalah serta krisis keselamatan semasa proses pilihanraya ini.

“Polis perlu mendedahkan maklumat identiti yang dikatakan akan menimbulkan kekecohan dan bukannya hanya menimbulkan keraguan kepada masyarakat,” katanya dalam sidang media di Pejabat PAS Perak, dekat sini hari ini.

Jelas beliau, kenyataan sedemikian sudah tentu membimbangkan masyarakat yang sangat mengharapkan tiada sebarang kekecohan berlaku.

Mengulas lanjut, Setiausaha Jabatan Pilihanraya PAS Perak itu menegaskan, PAS akan memastikan proses pilihanraya kali ini akan berlangsung dengan aman tanpa sebarang kekecohan.

Namun katanya, pihaknya dalam keadaan berjaga-jaga serta bersedia untuk menangani segala usaha daripada pihak-pihak tertentu yang ingin melakukan kekecohan.

“Pihak keselamatan PAS iaitu Jabatan Amal Malaysia akan sentiasa menjaga keselamatan agar pilihanraya kali berlangsung dengan aman dan harmoni.

Kami berharap pihak yang bertanggungjawab dapat menjalankan tugas dengan baik agar tiada kekecohan yang berlaku,” jelasnya lagi

Khalid dalam kenyataannya turut menyenaraikan beberapa kawasan panas di negeri Perak iaitu Taiping, Sungai Siput, Ipoh Barat dan Batu Gajah.

Ketua Sekretariat Pakatan, 2 saksi video lucah ditahan

Keadilan Daily, 19 Apr 2013
KUALA LUMPUR: Ketua Sekretariat Pakatan Rakyat, Shabrimie Sidek (gambar) ditahan polis bersama dua saksi yang mahu mendedahkan penerbitan video fitnah lucah.

Mereka ditahan di sekitar sempadan Malaysia-Thailand di Bukit Kayu Hitam, petang tadi.

Dua saksi terlibat dalam pembikinan video lucah berkenaan tetapi berpaling tadah dan sedia membuat pendedahan sebenar.

Badrul Hisham Shaharin atau Chegu Bard ketika memaklumkan kepada Keadilandaily berkata, tangkapan dibuat selepas Shabrimie dan dua saksi itu sudah melepasi pemeriksaan Imigresen di Bukit Kayu Hitam.

"Ini adalah tangkapan bermotif politik," kata Chegu Bard.

Menurut Chegu Bard, dua saksi tersebut bakal tampil di program KEADILAN di An-Nahdhoh, Kubang Semang, Permatang Pauh malam ini, dan akan membuat pendedahan terbuka berhubung penglibatan mereka dalam pembikinan video tersebut.

Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan calon Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul dijangka turut menyampaikan ucapan.

Klon Anwar dalam video lucah tampil malam ini?

Mohd Sabri Said, 19 Apr 2013
PERMATANG PAUH: Ceramah Eksklusif 'Bongkar' melibatkan pelakun utama video lucah Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim terjawab malam ini apabila klon Anwar dari Thailand dikatakan akan tampil malam ini.

Beliau dikatakan akan mendedahan status video berkenaan di Perkarangan An Nadhoh, Penanti selepas Solat Insya malam ini.

Wakil Calon Parlimen Permatang Pauh, Zainol Saad berkata, tuduhan yang dilemparkan selama ini akan tamat setelah pelakunya sendiri tampil mengakui.

"Umno dan BN sekali lagi akan terperangkap dalam isu ini.  Orang kampung tidak akan mempercayai lagi ekoran pendedahan itu nanti," jelasnya.

Akhirnya kata beliau, semua terjawab satu persatu kes Anwar maka masyarakat mesti memahami bahawa itu semua adalah permainan kotor dan menjijikan semata-mata untuk menjatuhkan maruah kepimpinan Pakatan Rakyat.

Salahlaku profesional calon BN Pandan: Rafizi kemuka bukti esok

Harakahdaily, 19 Apr 2013
KUALA LUMPUR: Ekoran dakwaan salahlaku profesional ke atas bakal calon BN di Pandan, Gary Lim, calon PKR di situ akan membuat pendedahan esok.

Rafizi Ramli (gambar), calon PKR Parlimen Pandan dalam kenyataannya berkata, beliau mempunyai beberapa dokumen yang menunjukkan calon BN itu sedang disiasat.

"Saya akan memberi maklumbalas rasmi mengenai dakwaan salahlaku profesional yang melibatkan calon BN di Pandan (Gary Lim) sejurus selepas proses penamaan calon tamat esok," kata Rafizi dalam kenyataannya.

Penamaan calon untuk Parlimen Pandan akan diadakan di Dewan Majlis Perbandaran Ampang Jaya esok.

"Saya juga akan mengemukakan beberapa dokumen yang mengesahkan bahawa calon BN di Pandan sedang disiasat kerana dipercayai ada salahlaku professional," kata Rafizi lagi.

Bagi Umno, wanita layak terima kad diskaun sahaja

Abdul Aziz Mustafa, 19 Apr 2013

(Najib memberikan kad diskaun untuk ibu tunggal)

KUALA LUMPUR: Adakah Umno menyifatkan wanita hanya layak menerima kad diskaun sahaja dan tidak layak menjadi pemimpin?

Persoalan itu timbul apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumpan ibu-ibu tunggal dengan kad diskaun, insuran dan umpan-umpan lain.

Umpan itu ditaburkan ketika dilaporkan di sana-sini bahawa pemimpin Wanita Umno kecewa dengan "penghinaan" parti itu terhadap mereka apabila pemimpin tertinggi sayap itu tidak diletakkan sebagai calon dalam pilihan raya umum 5 Mei ini.

Berikutan tindakan Umno itu, Naib Ketua Wanitanya, Datuk Kamilia Ibrahim menyifatkan tindakan itu menunjukkan bahawa BN tidak memberi pengiktirafan sewajarnya ke atas sumbangan pemimpin tertinggi wanita

Ketika luahan kekecewaan itu dilaporkan Najib berjanji, ibu-ibu tungal akan diberikan skim insuran nyawa, kad diskaun yang boleh digunakan di kedai-kedai 1Malaysia dan khidmat undang-undang percuma .

Dalam ucapan pada perhimpunan Jaringan Untuk Wanita Ibu Tunggal Malaysia (Juwita) yang dihadiri kira-kira 6,000 ibu tunggal itu, antara lain Najib menyifatkan ibu-ibu tunggal sebagai bank undi Barisan Nasional (BN).

Ketika Najib sedang sibuk menaburkan umpannya, Transparency International-Malaysia (TI-M) mengkritik Najib kerana mencabuli Ikrar Integriti Pilihan Raya yang ditandatanganinya.

Setiausaha Agung TI-M, Josie M Fernandez juga menyelar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Suruhanjaya Pilihan raya (SPR) kerana gagal mengambil tindakan ke atas politik wang.

"Kerajaan sementara dan calon-calonnya melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 yang menyatakan kesemua hadiah, pinjaman, tawaran, janji dan pengumuman itu adalah untuk memancing undi.

"Kesemua ini bertentangan dengan janji Perdana Menteri kerajaan sementara untuk berpegang kepada prinsip integriti dan akauntabiliti ketika pilihan raya umum ke-13," kata beliau.

Josie menekankan, kempen pilihan raya sepatutnya berorientasikan polisi dan bukan wang.

Terbukti Pakatan dan PAS hargai wanita

Salmah Mat Husain, 19 Apr 2013
KOTA BHARU: Sedang pemimpin wanita BN bersedih dan berdukacita di atas tindakan pemimpin tertinggi mereka tidak mengambil mereka sebagai calon pada PRU nanti, calon wanita Pakatan Rakyat di seluruh negara termasuk Kelantan semakin bertambah.

Bukan hanya mengekalkan calon-calon wanita yang telah mencapai kemenangan sebelum ini, tetapi juga menambah calon baru.

Namun Ketua Wanita MCA Kelantan yang juga bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Ng Yen Yen, Naib Ketua Wanita Umno Malaysia, Datuk Kamilia Ibrahim antara pemimpin tertinggi wanita BN yang tidak dicalonkan pada PRU ini.

Ketua Penerangan Dewan Muslimat PAS Negeri Kelantan, Norhasimah Deraman, ketika diminta mengulas berhubung perkara itu menyifatkan Pakatan Rakyat terutama PAS lebih menghargai kaum wanita berbanding Umno dan BN.

Menurutnya, sebagai contoh di Kelantan, dahulu hanya tiga wanita yang dicalonkan iaitu Ustazah Siti Zailah Mohd Yusof, Wan Ubaidah Omar dan Rohani Ibrahim.

“Tetapi kini bekas anggota Dewan Negara yang telah tamat tempohnya selama dua penggal Mumtaz Md Nawi (gambar kiri atas) juga telah dipilih sebagai calon dan juga  mengekalkan calon yang ada,”ujarnya.

Ianya jelas membuktikan kepada semua siapa yang lebih perihatin terhadap wanita kalau bukan Pakatan Rakyat.

Tambahnya, suasana itu bukan hanya berlaku di Kelantan, sebaliknya di negeri-negeri lain termasuk Johor, Kedah, Perak dengan mengekalkan calon yang sebelumnya.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua kaum wanita di negara ini supaya lebih sedar tentang perjuangan yang dibawa Pakatan Rakyat.

“Seharusnya Pakatan Rakyat yang perlu menjadi pilihan dan bukannya Umno dan BN,”ujarnya.

Guru-guru diarah iringi calon BN esok

Aslani M, 19 Apr 2013

KOTA BHARU: Setiap sekolah di kawasan parlimen Kota Bharu diarah menghantar sekurang-kurang 10 guru bagi mengiringi calon BN pada penamaan calon esok.


(Guru sepatutnya mengajar tetapi dipaksa mengiringi calon BN esok)

Difahamkan arahan lisan daripada Pejabat Pelajaran Daerah Kota Bharu diterima supaya setiap sekolah memberi sokongan kepada calon BN.

Beberapa guru mendakwa arahan itu dibuat tanpa surat bagi membantu calon BN di Dun Bunut Payong, bekas pegawai di PPD terbabit, Mohd Fakhurazi Abdul Rahim.

Kata mereka ada sekolah diarah meminta guru-guru memakai baju berwarna merah ketika datang pada perarakan calon BN.

“Kami guru-guru dipaksa mengambil tugas ketua cawangan Umno kebelakangan ini. Kalau dahulu hanya guru Kafa yang sering menjadi alat politik.

“Sekarang guru agama dan JQAF pula menjadi mangsa. Setiap sekolah ada guru dilantik sebagai penghubung dengan calon BN,” katanya di sini.

Seorang lagi guru berkata, dua minggu lepas semua guru agama yang mengajar di kawasan parlimen Kota Bharu diarah hadir pada perjumpaan dengan Ketua Bahagian Umno, Datuk Mohd Fatmi Che Salleh di bangunan Umno.

Katanya, guru-guru yang hadir diminta menandatangani kedatangan pada program yang diadakan pada hari Sabtu.

Menurutnya sehingga sekarang lebih 10 kali guru-guru dikerah hadir pada program Umno bagi mendengar amanat disampaikan pemimpin Umno.

Lebih setahun lalu Harakah membongkar sindiket memindahkan tempat mengundi guru-guru Kafa yang mengajar di sekitar parlimen Kota Bharu ke Dun Bunut Payong.

“Calon BN di Bunut Payong sepenuhnya bergantung harap dengan pengundi dalam kalangan guru. Dengan memaksa guru-guru hadir pada program Umno pemimpin itu bermimpi dia mendapat sokongan ramai,” katanya.

Bekas guru Kafa pula memberitahu beliau dan rakan-rakan sering menjadi mangsa apabila dikerah hadir pada setiap program anjuran Umno.

Difahamkan juga sekolah di kawasan parlimen Kota Bharu diarah mengadakan jamuan dengan menjemput penduduk sekitar datang mendengar ucapan pemimpin Umno.

Seorang bapa mendakwa pada program jamuan yang dihadiri pemimpin Umno di sebuah sekolah di sini baru-baru ini tidak ramai penduduk tempatan datang.

Tiada ulasan: