Ahad, 21 April 2013

BUAT KERJA ELOK2...JANGAN ADA RASA NAK MENIPU...ALLAH MAHA MELIHAT

Tangguh bukti manifesto BN Perak ada kepincangan

Muhammad Faeez Azahar, 21 Apr 2013


IPOH: Barisan Nasional (BN) Perak mengakui manifesto yang didedahkan oleh PAS minggu lalu adalah benar, jelas Dr Ahmad Nuri Al-Amin.

Katanya, perkara tersebut disahkan melalui kenyataan Pengerusi BN, Datuk Seri Zambry Abd Kadir dalam akhbar Berita Harian hari ini.

Ketua Penerangan PAS Perak itu berkata, tindakan untuk menangguhkan pelancaran manifesto tersebut dengan alasan ianya telah didedahkan oleh PAS menggambarkan tawaran BN mempunyai kepincangan.

“Kalaulah ianya tiada masalah dan tawaran tersebut relevan serta terbaik untuk rakyat, BN tidak perlu tangguhkan pelancarannya,” katanya dalam sidang media di Pejabat PAS Perak, dekat sini, hari ini. (Gambar)

Hadir sama Ahli Jawatankausa Strategik dan Isu PAS Perak, Dr Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss, Salman Saleh, Ustaz Fakhrulrazi Mokhtar dan Safarizal Saleh.

Mengulas lanjut, beliau menjelaskan, keputusan BN untuk menangguhkan pelancaran manifestonya terbukti apa yang didedahkan PAS sebelum ini adalah benar.

Jelasnya, sepatutnya BN berterima kasih kepada PAS kerana telah mendedahkan manifesto tersebut kepada umum.

Dengan pendedahan tersebut, Ustaz Nuri berkata, kepimpinan BN yang diketuai oleh Zambry itu sendiri dapat menilai respons masyarakat terhadap tawaran BN dan diubah suai sebelum ia dilancarkan.

“Isu PAS Perak tidak ‘gentleman’ seperti yang didakwa Zambry bukanlah perkara utama yang harus dibincangkan kerana PAS hanya mendedahkan perkara yang betul.

“Kami hanya dedahkan perkara-perkara yang benar iaitu janji yang belum ditepati yang dijanjikan semula kerana ini satu tindakan yang tidak wajar,” jelas Ustaz Nuri lagi.

Mengulas lanjut, BN perlu melihat dari aspek positif tentang pendedahan tersebut dan muhasabah kembali dengan meneliti semula.

“Gunakan respons yang membina daripada PAS itu untuk BN kemukakan tawaran kongkrit yang terbaik untuk rakyat.

“Selepas berpuas hati, barulah kita bersemuka atas satu pentas debat bagi membincangkan perbandingan manifesto Pakatan Rakyat dan BN,” tegasnya.

Beliau turut mengulas kenyataan Zambry yang mengatakan tidak mustahil Manifesto Pakatan Rakyat Perak diciplak daripada manifesto BN.

Sambil ketawa sinis, Ustaz Nuri berkata, kenyataan tersebut ternyata melucukan kerana pendedahan manifesto BN itu dibuat selepas pelancaran Manifesto Pakatan Rakyat Perak.

Pada 16 April lalu, PAS Perak melalui Jawatankuasa Strategik dan Isunya telah mendedahkan draf manifesto BN Perak yang diberi oleh pihak-pihak tertentu.

Dalam 11 janji utama BN, terdapat banyak tawaran yang dianggap basi kerana ianya adalah janji lama yang masih belum dilaksanakan sehingga hari ini.

Dalam kenyataan di akhbar Berita Harian hari ini, Zambry mengumumkan BN Perak terpaksa menangguhkan pengumuman manifestonya kerana ia telah dibocorkan pihak tertentu.

Nama, tarikh lahir sama di 3 lokaliti berdekatan

Harakahdaily, 21 Apr 2013
KUANTAN: PAS Pahang memohon penjelasan Suruhan Jaya Pilihan Raya (SPR) berhubung satu nama dengan tarikh lahir sama wujud di tiga lokaliti mengundi saling berhampiran di Kuantan.

Menurut Mereka, nama tersebut Ab Rapar bin Awang dengan tarikh lahir 15 Julai 1949, muncul sebanyak tiga kali dengan tiga nombor kad pengenalan yang sedikit berbeza di tiga lokasi mengundi berlainan.

Abd Rapar bin Awang yang pertama dengan kad pengenalan 490715-06-5161 / 5028182 adalah seorang pengundi di kawasan DUN Semambu dan Parlimen Indera Mahkota.

Abd Rapar bin Awang yang kedua dengan kad pengenalan 490715-06-5233 / 2208163 adalah seorang pengundi di DUN Beserah dan Parlimen Indera Mahkota.

Abd Rapar bin Awang yang ketiga dengan kad pengenalan 490715-06-5137 / 3878313 adalah seorang pengundi di DUN Sungai Lembing dan Parlimen Paya Besar.

Menurut mereka, dengan kad pengenalan yang sedikit berbeza, tarikh lahir yang serupa dan nama yang serupa dan menjadi pengundi di tiga lokasi berlainan di Kuantan menimbulkan persoalan adakah ketiga-tiga Abd Rapar bin Awang adalah orang yang berbeza atau orang yang sama.

“Penemuan-penemuan yang meragukan sebegini cukup mencalar imej SPR dan menambahkan persepsi rakyat terhadap ketelusan PRU13 kali ini," kata Pesuruhjaya PAS Pahang Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Baru-baru ini juga, Projek Analisis Daftar Pemilih Malaysia (Merap) mendedahkan bahawa di Kedah, Kelantan, Pahang dan Terengganu mempunyai bilangan pengundi yang ramai berkongsi nama yang sama, termasuk 900 bernama 'Fatimah Ismail'.

Daripada jumlah ini, terdapat 14 contoh 'Fatimah Ismail' berkongsi tarikh hari lahir yang sama, dan 10 daripadanya juga mempunyai kad pengenalan yang dikeluarkan di negeri yang sama.

"Bayangkan dua orang yang bernama 'Ismail' yang mempunyai anak perempuan mereka dilahirkan pada hari yang sama dan menamakan mereka 'Fatimah', dan ianya di kampung yang sama," kata penolong penyelidik Merap, Lee Wee Tak.

Turut menjadi persoalan adakah penggunaan dakwat kekal di PRU13 dapat menghalang para pengundi mengundi lebih sekali.

Mahfuz anggap pertembungan keluarga

Muhammad Faizal, 21 Apr 2013
KUALA LUMPUR: Penyandang kerusi Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar yakin dapat mempertahankan kerusi yang telah dimenanginya sebelum ini berdasarkan kepada rekod-rekod pencapaian serta sokongan rakyat setempat.

Menurutnya lagi, kebanyakkan rakyat sudah mengenali beliau dan sepanjang 10 tahun beliau menjadi Ahli Parlimen banyak perkara yang telah dilaksanakan, di antaranya adalah menjadikan Pokok Sena sebagai sebuah daerah di dalam Negeri Kedah.

Jelasnya ketrika dihubungi Harakahdaily, perkara ini dilaksanakan sewaktu pemerintahan Kerajaan Pakatan Rakyat (PAS) supaya lebih banyak tumpuan pembangunan diberikan kepada Pokok Sena.

"Saya berkeyakinan kita (PAS) dapat mempertahankan kerusi yang dimenangi sebelum ini, melalui rekod kejayaan yang telah PAS lakukan saya pasti rakyat akan terus memberi sokongan.

"Dulu Pokok Sena bukannya sebuah daerah tetapi di bawah pemerintahan Kerajaan Pakatan Rakyat PAS, kita telah menjadikan Pokok Sena kepada sebuah daerah dan ini bertujuan agar lebih banyak pembangunan diberikan selari dengan status Pokok Sena sebagai sebuah daerah," jelas beliau.

Beliau yang sebelum itu memberitahu sepanjang tempoh penamaan calon semalam tidak ada sebarang provokasi dan perkara yang tidak diingini berlaku, malah berliau turut mengucapkan terima kasih kepada anggota polis dan pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang memastikan segala proses berjalan lancar.

Mahfuz yang ketika ditanya mengenai pencabar beliau, Datuk Shahlan Ismail dari Barisan Nasional (BN) memberitahu beliau mengganggap Shahlan seperti keluarga beliau sendiri, yang mana tidak akan ada sebarang serangan peribadi atau perbalahan antara mereka berdua.

Katanya lagi, walaupun Shahlan merupakan ahli Umno dan bertanding atas tiket BN namun kebanyakkan keluarga beliau merupakan ahli PAS, hubungan ini perlu beliau pelihara bagi memastikan tidak akan wujud perselisihan faham antara beliau dengan ahli keluarga Shahlan.

"Saya mengenali Shahlan dan menganggap pertembungan kali ini adalah pertembungan keluarga, kita saling hormat menghormati. Saya tegaskan kepada penyokong jangan ada serang peribadi dilakukan kerana kita perlu menghormati pihak lawan prinsip kita bertanding biar dalam keadaan berhemah.

"Rata-rata ahli keluarga beliau merupakan ahli PAS dan perkara ini perlu kita beri perhatian, saya tidak mahu timbul salah faham yang akhirnya merugikan kita (PAS)," jelas beliau lagi.

Mahfuz yang turut menyatakan, beliau tidak fikir akan timbul sebarang masalah sepanjang tempoh berkempen kerana hubungan baik beliau antara Umno-BN telah wujud sejak sekian lama.

Pada pilihan raya umum ke-12 (PRU12), Mahfuz telah memenangi kerusi Parlimen Pokok Sena dengan majoriti sebanyak 5,731 undi.

TV3 dan Muhyidin sebar berita palsu

Harakahdaily, 21 Apr 2013


(Muhyidin mengumumkan kemenangan palsu BN di DUN Senggarang semalam)

KUALA LUMPUR: Tindakan Timbalan Pengerusi BN, Tan Sri Muhyidin Yassin mengumumkan kemenangan tanpa bertanding calon BN di DUN Senggarang semalam dikesali.

Ini kerana dakwaan orang nombor dua Barisan Nasional (BN) itu terbukti bohong.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan calon PAS, Dr Ramli Kari akan bertanding di situ melawan calon BN.

Kira-kira jam 1.20 semalam, TV3 mengumumkan kemenangan tanpa bertanding calon BN di Senggarang, Johor.



Sehingga berita ini ditulis, laporan berita itu masih disiarkan dalam laman web TV3.

"Barisan Nasional mencatat permulaan yang baik bagi menghadapi kempen Pilihan Raya Umum ke-13 apabila menang tanpa bertanding bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Senggarang, Johor.

"Calon BN bagi kerusi berkenaan Abd Aziz Ismail disahkan menang tanpa bertanding selepas borang pencalonan seorang lagi calon ditolak pegawai pengurus pilihan raya kawasan berkenaan," lapor TV3.

Berita itu memetik kata-kata Muhyidin yang memperlekeh calon PAS kononnya tidak pandai mengisi borang pencalonan.

Terbukti berita itu palsu apabila SPR mengesahkan penyertaan calon PAS Dr Ramli Kari di situ.

"PAS bertanding di DUN Senggarang. Segala berita mengatakan BN menang tanpa bertanding di Senggarang adalah palsu," tulis laman Facebook PAS Kawasan Batu Pahat.

Klik untuk menonton laporan TV3 ini.


 








Tiada ulasan: