Sabtu, 20 April 2013

MAAF BANYAK2 SEBAB KOMEN NI....INSYAALLAH MENGIKUT MOOD RAKYAT...PR AKAN MEMPEROLEHI KEMENANGAN...CAMNE PUN KEPUTUSAN TAKDIR DITANGAN ALLAH SWT

Mustapa akui terkejut Johan tak serah borang

Salmah Mat Husain & Muhd Yusri Amin, 20 Apr 2013
JELI: Kegagalan calon BN bagi kerusi parlimen Pasir Mas, Che Johan Che Pa menyerahkan borang pencalonan pagi tadi dianggap Datuk Seri Mustapa Mohamed sebagai mengejutkan.

Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan itu berkata, watikah telah pun diserahkan kepada Che Johan sebelum hari penamaan calon.

“Ini satu peristiwa yang mengejutkan kami dan kita perlu siasat kenapa perkara ini berlaku. Diharap siasatan dapat disegerakan. Ini adalah maruah parti dan kita mengharapkan calon parti kita bertanding,” katanya kepada pemberita selepas penamaan calon di Pejabat Tanah dan Jajahan Jeli pagi tadi.

Pada penamaan calon di Pasir Mas, Che Johan yang juga Timbalan Ketua Umno Pasir Mas biar pun datang ke tempat penamaan calon di Pejabat Tanah dan Jajahan Pasir Mas, namun tidak menyerahkan borang pencalonan.

Ekoran itu pertembungan di kerusi tersebut satu lawan satu antara calon Bebas, Datuk Ibrahim Ali dengan Ustaz Nik Abduh Nik Abdul Aziz daripada PAS.

Mustapa berkata, peristiwa yang berlaku itu membimbangkannya.

“Yang membimbangkan saya, kita sebuah parti yang besar BN,  tak bertanding, maka itu sebab perlu segera mengadakan pertemuan dengan Biro Politik BN untuk mengatur strategi di Parlimen Pasir Mas,” ujarnya.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan, Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata, apa yang berlaku di Pasir Mas itu dianggap sebagai ‘khianat’ dan menipu penyokongnya sendiri.

“Ini petanda BN akan terus dipinggirkan rakyat di negeri ini. Nasihat saya kepada penyokong BN tidak perlu keluar mengundi kerana mereka tidak ada calon di Pasir Mas.

“Mereka nak undi siapa, Dato’ Ibrahim bukan calon mereka, tetapi beliau bertanding atas tiket Bebas,” ujarnya ketika ditemui di pusat penamaan calon di Pengkalan Chepa.

Yang Dipertua PAS Pasir Mas, Haji Hanifa Ahmad berkata, peristiwa yang berlaku tersebut begitu mengejutkan pemimpin dan penyokong Umno yang hadir pada perarakan calon.

“Kemungkinan ia bukan satu taktik Che Johan, tetapi mungkin arahan daripada pihak atasan dengan harapan Ibrahim boleh menang,” katanya ketika dihubungi di sini.

Menurutnya, pasukan kempen bekas Ketua Umno Pasir Mas dalam kempen mereka menganggap Ibrahim adalah calon boleh menang.

“Saya lihat sendiri Che Johan hadir bersama pencadang dan penyokongnya di pusat penamaan calon, namun sehingga pencalonan ditutup pada jam 10 pagi tadi, hanya diisytiharkan dua calon sahaja.

“Dan saya yakin dia tidak serah borang pencalonan. Jika dia serah borang dan diisytiharkan bertanding, maka berlakulah pertandingan tiga penjuru di antara PAS, BN dan Bebas,” ujarnya.

Pertindihan calon, PAS mesyuarat Isnin ini

Harakahdaily, 20 Apr 2013
KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Harian PAS Pusat akan mengadakan mesyuarat khas pada Isnin ini bagi  membuat keputusan berikutan pertindihan calon PAS dan PKR di beberapa kerusi selepas tamat tempoh penamaan calon hari ini.

Perkara itu dimaklumkan Penolong Setiausaha Agung PAS Ahmad Sabki Yusof dalam satu kenyataan petang ini.

Antara kerusi yang berlaku pertembungantersebut adalah Parlimen Labuan, DUN Sungai Aceh, DUN Kota Damansara, DUN Bukit Besi, DUN Kota Putera, DUN Seberang Takir dan DUN Panti.

"Sehubungan dengan itu, semua ahli dan penyokong PAS dan Pakatan Rakyat diminta bersabar sehingga keputusan dicapai oleh pucuk pimpinan tertinggi PAS Isnin ini," katanya.

Pertembungan 3 penjuru di 6 kerusi di Perlis

Bashir Ishak, 20 Apr 2013

KANGAR: Penamaan calon bagi piihan raya umum ke 13 di negeri Perlis hari ini menyaksikan lima orang calon bebas bakal bertanding di enam kerusi di Perlis.

(Calon-calon yang bertanding di Parlimen Arau)

Di Dewan Maktab Rendah Sains MARA Beseri, penamaan calon bagi palimen Padang Besar menyaksikan kerusi Dun N.01 Titi Tinggi bakal ditandingi oleh tiga orang calon.

Pengerusi DAP Perlis, Teh Seng Chuan bakal dicabar oleh muka baru dari MCA, Khaw Hock Kong dan Ahli Jawatankuasa Umno Bahagian Padang Besar, Yaakob Man yang bertanding di atas tiket bebas.

Sementara itu, Ketua Urusan Ulama PAS Kawasan Padang Besar yang bertanding di kerusi P001 Padang Besar bakal dicabar oleh Ketua Umno Bahagian, Datuk Zahidi Zainul Abdidin.

Di Dun N.05 Santan, Yang DIpertua PAS Kawasan,  Yang juga AJK PAS Pusat, Mohd Anuar Tahir bakal dicabar penyandang dari BN, Sabry Ahmad.

Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan, Wan Kharizal Wan Khazim juga bakal dicabar oleh penyandang Datuk Mat Rawi Kassim di Dun N.02 Beseri.

Di Dun Chuping, Wan Mohd Fishaal Wan Daud dari KeADILan bakal dicabar Ketua Puteri Umno, Asmaiza Ahmad dan di Dun Mata Ayer, Ketua AMK Perlis, bakal menetang penyandang Khairi Hassan dari BN.

Perarakan calon Pakatan Rakyat di sertai kira-kira 1000 orang ahli dan penyokong.

Sementara itu, tiga kerusi di parlimen Kangar bakal menyaksikan pertandingan tiga penjuru.

Di Dun Sena, Tuan Marja Tuan Mat dari KeADILan akan dicabar oleh penyandang, Jamil Saad dari BN dan calon bebas, Ahmad Rizal Effande Zainol.

Di Dun Indera Kayangan, Chang Ming Kai (KeADILan) akan dicabar oleh Dr Por Choo Chor (BN) dan Yang Dipertua Perkasa Perlis, Ameir Hassan (bebas).

Dun Kuala Perlis pula bakal menyaksikan Amin Ahmad (KeADILan) dicabar oleh Mat Hassan (BN) dan ahli KeADILan, Shaari Ludin yang bertanding tiket bebas.

Baharuddin Ahmad (PAS) akan bertanding di parlimen Kangar menentang Shaharudin Bin Ismail (BN), Ustaz Ya'akub Abu Seman (PAS) melawan Ahmad Bakri Ali (BN) di Dun Kayang dan Abd Jamil Kamis (BN) menentang Rela AHmad (BN) di Dun Bintong.

Dalam pada itu, di parlimen Arau, Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Haron Din akan ditentang oleh Datuk Seri Shahidan Kassim (BN) dan Zainuddin Yom, ahli Umno yang bertanding tiket bebas.

Zainuddin juga bertanding tiket bebas di Dun Sanglang menentang Mohd Shukri Ramli (PAS) serta Ustaz Fathul Bari Mat Jaya (BN).

Yang Dipertua PAS Arau, Rus'sele Eizan akan dicabar oleh NurulHisham Yaakob (BN) di Dun Simpang Empat; Ketua Dewan Ulama Perlis, Ustaz Idris Yaacob (PAS) akan melawan Azlan Man (BN) di Dun Pauh; Zulmi Sabri (PAS) melawan penyandang, Jafperi Othman (BN) di Dun Guar Sanji dan Azhar Amir (KeADILan) melawan Datuk Ismail Kasim di Dun Tambun Tulang.

Hanipa bersaing 4 penjuru di Sepang

Majdan Dagang, 20 Apr 2013
SEPANG: Mohamed Hanipa Maidin, Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat berhadapan pertarungan empat penjuru bagi Parlimen P113 Sepang.


Lawan beliau ialah penyandang kerusi ini iaitu Dato’ Ir. Mohd Zin Mohamed dari Barisan Nasional.

Dua lagi adalah dari calon bebas iaitu Dato’ Haji Suhaimi Mohd Ghazali dan Hanafiah Mohamad.


Pada PRU12 tahun 2008, Dato’ Ir. Mohd Zin Mohamed menewaskan calon PAS Mohamed Makki Ahmad dengan majoriti 4,849.


Pada PRU11 tahun 2004, beliau menang dengan majoriti 18,837 undi. Berdasarkan perkembangan semasa dan pergolakan dalaman Umno, tidak mustahil kali ini kerusi Parlimen Sepang jatuh ke tangan Pakatan Rakyat.


“Kehadiran dua calon bebas dari Umno, menunjukkan ada sesuatu yang tidak kena. Berdasarkan tinjauan yang telah kita lakukan beberapa bulan lalu, peluang untuk PR mencipta kejutan tidak mustahil kerana rakyat sudah sedia membuat perubahan,” demikian kata Mohamed Hanipa Maidin, calon parlimen PAS.


Hanipa juga menyatakan bahawa PR akan menjalankan kempan secara bersih dan tidak menyerang keburukan individu.


PR bakal menyatakan polisi dan manifestonya dalam usaha meyakinkan pengundi. Beliau juga menyatakan keyakinan bahawa sejarah bakal tercipta di parlimen Sepang.


Bagi DUN pula, N54 Tanjong Sepat menyaksikan pertembungan tiga penjuru iaitu Nisman Yusuf (BN), Ir Mohd Haslin Hassan (PAS) dan Muventhen Munusamy (Bebas).


N55 Dengkil juga melibatkan pertarungan tiga penjuru iaitu Shahrom Md Sharif (BN), Borhan Aman Shah (PKR), dan Azmi Othman (KITA).


N56 Sungai Pelek menampilkan persaingan empat penjuru iaitu Ng Chong Sing (BN), Lai Nyuk Lan (DAP), Ab Manaf Suhardi (Bebas) dan Zakaria Mohd Mokhtar (KITA).

5,000 iringi calon PAS Marang

Khairul Azlan, 20 Apr 2013

(Ustaz Hadi memberikan ucapan kepada semua yang mengiringi beliau semasa penamaan calon)


MARANG: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyeru kepada seluruh jentera parti agar dapat melaksanakan kerja-kerja kempen pil;ihan raya dengan baik, bersabar serta mengikut peraturan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Beliau turut menjelaskan pernah bertanding dalam beberapa siri pilihan raya sejak tahun 1986 dan tidak ada sebarang masalah.

“Seperti biasa dan ini bukan pertama kali saya bertanding di sini (Marang)…sejak tahun 1986. Saya menyeru kepada seluruh jentera parti supaya bekerja dengan baik, sabar dan mengikut peraturan pilihan raya yang ada, Insya’Allah,” ujarnya kepada pemberita selepas selesai proses penamaan calon di Pusat Penamaan Calon PRU13, Pejabat Daerah Marang, hari ini.

Sebelum itu, lebih para penyokong dan ahli PAS mula berkumpul di perkarangan Pejabat Majlis Tindakan Dun (MTD) Rhu Rendang yang dijadikan Markas Pilihan Raya Muslimat dan Pemuda PAS Dun Rhu Rendang.

Perarakan calon bermula kira-kira jam 8.40 pagi dari pejabat Majlis Tindakan Dun (MTD) Rhu Rendang sejauh hampir satu kilometer ke pusat penamaan calon selepas calon-calon PAS menunaikan solah hajat di Masjid Kampung Kijing.

Sekitar jam 9.00 pagi, rombongan calon dan pengiringnya mula masuk ke kawasan Pusat Penamaan Calon PRU13 di Pejabat Daerah Marang.

Kesemua calon-calon PAS bertanding menyerahkan borang pencalonan masing-masing pada jam9.15 pagi dan selesai pendaftarannya kira-kira 10 minit kemudian.

Pada jam 10.00 pagi, pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) waktu penyerahan borang pencalonan tamat dan diumumkan calon-calon bertanding secara rasminya pada jam 11.00 pagi.

Keputusan pencalonan menyaksikan pertandingan satu lawan satu kecuali di N17 Alor Limbat terdapat calon bebas iaitu Encik Jaafar Jambol bekas rakan sekutu Umno dan Barisan Nasional (BN).

Ini bermakna, perlawanan tiga penjuru antara calon PAS, Ustaz Ariffin Deraman menentang penyandang BN, Alias Abdullah serta calon bebas, Jaafar Jambol.

P37 Marang, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mempertahankan kerusinya yang akan ditentang oleh Pengerusi Umno Bahagian Marang, Dato’ Yahya Khatib Mohamad.

Pencalonan Ustaz Abdul Hadi bertanding di kerusi Parlimen Marang dicadangkan oleh Haji Ibrahim Long dan disokong oleh Embong Ngah.

Kerusi N18 Bukit Payong, Ustaz Mohd Nor Hamzah mempertahankan kerusi tersebut yang akan ditentang oleh musuh tradisinya Zaidi Muda yang pernah bertanding tahun 2008 lalu.

Encik Muda Abdullah adalah pencadang dan Mohd Nasir Ismail pula penyokong kepada Ustaz Mohd Nor yang juga Ketua Pemuda PAS Terengganu.

Ustaz Abdul Hadi Awang yang juga penyandang kerusi N19 Rhu Rendang akan mempertahankannya dari pencabar calon BN, Nik Dir Nik Wan Ku.

Haji Hashim @ Ibrahim Mohamad merupakan pencadang dan Mohamad Deraman pula adalah penyokong kepada pencalonan Dato’ Seri Abdul Hadi mempertahankan kerusi tersebut.

Manakala, calon termuda PAS bagi kerusi N20 Pengkalan Berangan, Ustaz Sulaiman Sulong, 37, pula akan ditentang oleh calon BN, A Latif Awang.

Beliau dicadangkan oleh Hamzah Muda dan disokong oleh Mohd Faizol Ismail untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 di Dun Pengkalan Berangan.

Tinjauan Harakah mendapat jumlah penyokong PAS jauh lebih ramai dari penyokong Umno-BN sekaligus menggambarkan sokongan moral cukup kuat kepada PAS dan Pakatan Rakyat di Marang.

Cawangan Umno Protes Mustapa tanding 2 kerusi

Aslani M, 20 Apr 2013
JELI: Isu tanding dua kerusi di Jeli tiba-tiba menghangatkan kempen Umno, apabila ada pihak dalam kalangan parti itu meluahkan rasa tidak puas hati.


Antara yang disebut-sebutkan sepatutnya mengisi kerusi tersebut iaitu Setiausaha Umno Jeli atau ketua pemuda, namun tidak mendapat laluan Datuk Mustapa Mohamad.


Ekoran itu ada cawangan Umno di Kg Kalai mulai luntur dan tidak lagi mempamerkan semangat seperti sebelumnya.


Sumber Umno mendakwa ada kemungkinan beberapa pos Umno akan bertukar warna selepas ni.

Sementara itu pegawai pengurus pilihan raya parlimen Jeli, Manan Ali mengumumankan kesemua calon layak bertanding.


Apandi Mohamad (gambar atas) berdepan dengan Mustapa di kerusi parlimen, Abdullah Yakub berdepan juga bertemu Mustapa di DUN Air Lanas.


Sufely Ab Razak menentang Adhan Kechik di DUN Bukit Bunga.


Manakala Ramlan Mat dari PKR berdepan Datuk Aziz Derashid di DUN Kuala Balah.

6 penjuru di Parlimen Kapar

Muhammad Faizal, 20 Apr 2013


(Calon-calon Pakatan Rakyat di Parlimen Kapar)

KLANG: Pilihan raya umum ke-13 bagi Parlimen Kapar menyaksikan pertembungan enam penjuru apabila tiga dari Bebas dan Berjasa turut meletakkan calon mereka masing-masing.

Manakala bagi peringkat DUN, Sementa berlaku pertembungan tiga penjuru antara calon PKR, BN dan DAP.

Bagi Dun Meru, Sungai Pinang dan Selat Klang melibatkan pertandingan satu lawan satu.

Parlimen Kapar yang ditandingi oleh PKR melalui calonnya G. Manivannan a/l Gowindasamy akan menentang Sakthivel a/l Alagappa (BN), tiga dari Bebas dan seorang dari Berjasa.

N43 Sementa, Dr Daroyah Alwi (PKR) menentang Md Ghazali Md Amin (BN) dan seorang dari Bebas.

Sementara itu, N42 Meru, Dr Abd Rani Osman (PAS) menentang Sukiman Ahmad (BN), manakala, N44 Sungai Pinang, Teng Chan Khim (DAP)  akan menentang Lee Siew Chee (BN) dan N45 Selat Kelang, Halimah Ali (PAS) akan bertembung dengan Faisal Yahya (BN).

(Dr Rani bersama dengan calon BN di DUN Meru)

Sebelum ini, Parlimen Kapar dan tiga Dun dimenangi oleh Pakatan Rakyat pada pilihanraya umum Ke-12 (PRU12) kecuali Dun Sementa yang dimenangi tanpa bertanding oleh Barisan Nasional (BN).

Kesemua calon-calon Pakatan Rakyat yang bertanding tiba di Pusat Penamaan calon di Dewan Serbaguna Pejabat Daerah / Tanah Klang pada jam 845 pagi dan memasuki dewan pada jam 9 pagi setelah mendapat kebenaran dari Pegawai Pengurus Pilihanraya Parlimen Kawasan Kapar, Datuk Bakhtiar Husin.

Calon-calon Pakatan Rakyat menyerahkan borang pencalonan pada jam 915 pagi.

Mereka yang diiringi hampir seribu orang penyokong telah berkumpul di Padang Chetty sebelum berarak ke Pusat Penamaan Calon di Pejabat Daerah / Tanah Klang.

Calon Parlimen Kapar dan keempat-empat calon Dun serta penyokong telah berada di padang sejak awal pagi lagi, walaupun pagi tadi hujan tapi itu tidak mematahkan semangat para penyokong untuk berhimpun.

Pegawai Pengurus Pilihanraya Parlimen Kawasan Kapar, Datuk Bakhtiar Husin membuat pengumuman pengesahan pencalonan pada jam 11 pagi.

Tiada ulasan: