Isnin, 8 April 2013

JANGAN TOLAK ISLAM...JANGAN JADIKAN ISLAM ITU MUSUH...JANGAN HINA ISLAM SERTA HUKUM ISLAM

'Asal tolak Islam tidak dapat pahala'
HABSAH ISMAIL
7 April 2013
Nik Aziz
Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
KOTA BHARU - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bukan sahaja mempertahankan dakwaan solat orang Umno tidak mendapat pahala, malah membuat dua dakwaan baru sekali gus menimbulkan kontroversi baru menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
Dalam ceramahnya pada majlis Prahimpunan Kelantan Hijau di Jeli, yang turut dihadiri Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim malam tadi, Nik Aziz mendakwa jika Rasulullah SAW hidup kembali, Umno juga akan menentang Rasulullah.
“Puak ini (Umno) kalau Nabi Muhammad (SAW) hidup balik, dia lawan,” katanya disambut sorakan penyokong Pas.
Sementara ketika merasmikan Majlis Pelancaran Projek Pawah Rusa Kelantan di Pejabat Perkhidmatan Veterinar, di sini semalam, Nik Aziz menyatakan projek yang dilaksanakan Barisan Nasional (BN)  juga tidak mendapat pahala kerana parti tersebut menolak Islam.
“Nak Islam macam mana, dia (BN) tolak Islam. Dia (BN)  buat masjid bukan kerana Islam… dia nak  kontraktor (projek) je, di Kelantan ini nak kata banyak projek Pusat (Kerajaan Pusat), bangunan sekolah, hospital… semua Pusat buat, tetapi satu pun tidak beritahu harga sebenar,” katanya.

Pada 4 April lalu, dalam ceramah Nik Aziz di Kampung Jambu di sini, beliau mendakwa sembahyang orang Umno tidak memberi sebarang pahala kerana parti itu menolak Islam.
Menjelaskan dakwaan itu, Nik Aziz  berkata, bukan sahaja penyokong Umno, malah ahli Pas yang riak dan bermegah diri menjalankan ibadah juga dianggap tidak mendapat pahala.
“Bagi orang yang menyokong Umno dikira tidak mendapat pahala. Usahkan Umno, sokong Pas pun, kalau sokong Pas, tetapi riak, bangga diri juga tidak dapat pahala.
“Orang Umno maknanya orang yang menolak Islam. Saya minta Melayu tolong terima Islam secara syamil, secara komprehensif… Apabila tolak Islam, maknanya tolak Allah. Islam mari (datang) daripada Allah,” katanya.
Kata beliau, Pas menerima Islam kerana agama tersebut sempurna dan menyatakan bukan sahaja orang Melayu menolak Islam, malah terdapat masyarakat di Timur Tengah  turut menolak Islam.
“Kita (Pas) menerima Islam, Islam ini serba molek. Tiba-tiba kita Melayu menolak Islam. Bukan Melayu sahaja, Arab pun tolak Islam yang menyebabkan sekarang timbul Arab Spring. Kerana apa tolak Islam? Kerana habis tempoh? Nabi sampai kiamat Islam dia guna,” katanya.
Ketika ditanya mengenai manifesto  BN yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak malam semalam, Nik Aziz berkata, semua yang diumumkan itu mengarut kerana secara dasar Umno menolak Islam.
“Buatlah apa saja pun, asalkan tolak Islam, semuanya mengarut,” katanya.
Salahuddin Ayub tanding kerusi Parlimen Pulai?

7 April 2013
salahuddin
SALAHUDDIN AYUB
JOHOR BAHRU - Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub dijangka bertanding di Parlimen Pulai pada Pilihan Raya Umum ke-13 berdasarkan status yang dimuat naik ke laman sosial Facebooknya, semalam.
Meskipun belum diumum secara rasmi oleh pucuk pimpinan Pas, status yang dimuat naik Ahli Parlimen Kubang Kerian itu pada kira-kira 8 malam, sedikit sebanyak menjawab pertanyaan sama ada beliau bertanding di kerusi Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (Dun) di negeri ini.
Ini memandangkan sejak mengumumkan akan kembali bertanding di Johor pada akhir tahun lepas, anak kelahiran Kg Serkat, Pontian itu dilihat tercari-cari
kawasan yang sesuai untuknya.
Antara kawasan yang sering disebut beliau termasuk Dun Nusajaya, Dun Putri Wangsa dan Parlimen Tebrau, sebelum memilih Parlimen Pulai.
Pada pilihan raya umum lepas, kawasan Pulai dimenangi Datuk Nur Jazlan Mohamed dengan majoriti 20,499 undi menewaskan calon Pas Abdullah Idris.
Jika benar Salahuddin ingin bertanding di Parlimen itu, beliau dilihat seakan-akan sengaja 'menggali kubur politiknya' sendiri kerana sokongan pengundi
di kawasan berkenaan dilihat lebih memihak kepada BN.
Selain itu, Ahli Parlimen Pulai iaitu Nur Jazlan cukup disenangi penduduk kawasan berkenaan tidak kira Melayu, Cina atau India kerana kerap turun padang
dan menjaga kebajikan rakyat di situ.
Sementara itu, Salahuddin yang dihubungi berkata status di laman sosial berkenaan hanyalah satu indikator tidak rasmi kerana kawasan di mana beliau
bertanding akan diumum pucuk pimpinan parti dalam tempoh terdekat.
"Itu hanya indikator tidak rasmi, malah ada juga mengaitkan saya akan bertanding di Dun Nusajaya, tetapi kita tunggulah nanti pengumuman rasmi,"
katanya.
Salahuddin berkata sebagai anak Johor, beliau sedar bukan mudah untuk bersaing dengan BN mahupun Umno kerana negeri ini sememangnya dikenali sebagai kubu kuat parti itu.
"Namun, saya rasakan penerimaan rakyat kini berbeza dan kita jangka akan berlaku persaingan sengit dalam pilihan raya di negeri ini nanti," katanya. - Bernama
Kit Siang: Kerusi Parlimen Bakri, Kulai milik DAP

7 April 2013
Lim Kit Siang
Lim Kit Siang
JOHOR BAHRU - Penasihat DAP Lim Kit Siang berkata kerusi Parlimen Bakri dan Kulai adalah milik parti itu untuk ditandingi pada pilihan raya umum ke-13.
Lim, yang ditemui selepas pelancaran jentera pilihan raya DAP Johor di sini hari ini berkata terpulang kepada semua pihak untuk membuat spekulasi kerana beliau tidak mahu mengulas lanjut isu itu.
"Anda akan tahu (siapa bertanding) bila kami (DAP) umumkan. Teruskanlah kalau mahu membuat spekulasi, tetapi kerusi Bakri dan Kulai milik DAP. Itu sahaja," katanya.
Sebelum ini, ada cakap-cakap mengatakan dua kerusi itu diintai Pengerusi PKR Johor Datuk Dr Chua Jui Meng selepas hasratnya untuk menjadi calon Parlimen Gelang Patah tidak kesampaian.
Lim sepatutnya mengumumkan calon yang bakal bertanding di Parlimen Bakri ketika berceramah di Muar, semalam. - Bernama
Cuepacs cadang Sistem Saraan Transformatif menyeluruh

7 April 2013
 Presiden Cuepacs, Datuk Omar Osman
Presiden Cuepacs, Datuk Omar Osman
KUALA LUMPUR - Cuepacs hari ini mencadangkan Sistem Saraan Transformatif (SST) yang lebih menyeluruh dilaksanakan bagi meningkatkan prestasi penjawat awam.
Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, Cuepacs berharap proses penyediaan SST yang meliputi 81 skim perkhidmatan sahaja setakat ini, akan turut meliputi kesemua 289 skim perkhidmatan apabila siap kelak.
"Sebelum ini kita ada cadangan untuk meningkatkan sistem saraan melalui SSBP (Sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam), namun tak jadi kita balik kepada SSM (Sistem Saraan Malaysia) yang ditambah baik. Apa yang diperlukan sekarang adalah
sistem pengganti SSM bagi membolehkan penjawat awam berkhidmat dengan baik.
"SST (Sistem Saraan Transformatif) yang baru diumumkan merupakan langkah pertama yang baik ke arah ini, namun ia belum merangkumi semua skim perkhidmatan awam. Kita harap pelaksanaan sebuah skim menyeluruh dapat dimuktamadkan dalam tahun ini," katanya kepada Bernama.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas manifesto BN, antara lain, menyentuh rancangan kerajaan hendak memperkenalkan Skim Gaji Transformatif (SGT) di bawah SST.
Di bawah SGT, ia termasuk menyemak semula elaun dan menyediakan pergerakan gaji khas sebanyak tiga peratus kepada mereka yang mencapai gaji maksimum jika pada waktu itu tiada semakan gaji dilakukan.
Ketika ini, kerajaan BN telah memperkenalkan dan memperkemaskan gred skim penggajian untuk penjawat awam termasuk kenaikan gaji secara keseluruhan dan beberapa inisiatif baharu yang berjumlah RM2 bilion.
Selain itu, kerajaan turut menyediakan tambahan tiga kali kenaikan gaji tahunan selepas mata gaji mencecah paras maksimum dalam jadual gaji berkuat kuasa 1 Jan 2013.
Omar berkata semakan terhadap setiap gred, nama jawatan dan tangga gaji dalam perhidmatan awam merupakan perkara penting yang memerlukan kajian mendalam bagi membentuk sebuah sistem saraan mampan yang mampu memastikan perkhidmatan awam berada pada tahap tertinggi selain menjaga kebajikan penjawat awam.
Mengulas mengenai prospek lebih cerah untuk kenaikan pangkat dan pembangunan bakat penjawat awam dalam manifesto itu, Omar berkata perkara ini bakal memberi peluang yang lebih luas kepada penjawat awam yang berbakat untuk naik pangkat.  
"Ini kita nampak lonjakan daripada sistem terdahulu kerana peluang lebih cerah penjawat awam dapat kenaikan 'fast track' (laluan pantas) yang dinilai berdasarkan bakat, kepakaran dan kreativiti mereka.
"Kita juga harap adanya mekanisme yang dapat menggalakkan lebih ramai penjawat awam meningkatkan tahap akademik mereka bagi mencerahkan peluang mereka naik pangkat. Kita harap ini dapat memberi transformasi besar dalam menjaga kebajikan penjawat awam," katanya. - Bernama
Suri rumah didakwa bunuh anak tiri perempuan usia 5 tahun

7 April 2013
KOTA BHARU- Seorang suri rumah dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan membunuh anak tiri perempuannya yang berusia lima tahun pada bulan lepas.
Azlinda Othman, 28, didakwa melakukan perbuatan itu terhadap Umi Amilia Azman di Hujung Perumahan Kos Rendah, Kampung Jubakar Pantai, Tumpat antara 3 petang 23 Mac dan 8.30 pagi 24 Mac lepas.
Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.
Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan dicatat selepas pertuduhan terhadap Azlinda dibacakan di depan Majistret Isa Muhamed.
Isa kemudian menetapkan 8 Mei untuk menyebut semula kes itu bagi membolehkan pendakwaan mendapatkan laporan perubatan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noor Dayana Mohamed manakala tertuduh diwakili peguam K.H Tay. - Bernama

Tiada ulasan: