Jumaat, 5 April 2013

JANGAN LUPA MENGUNDI...DAN JANGAN SOKONG ORANG YANG BERBUAT ZALIM

Rakan artis mahu pasti Aishah menang di Jempol

Hazayani Zakaria, 05 Apr 2013
KUALA LUMPUR: Penulis lirik dan pelakon Bob Lokman menyokong penuh keputusan PAS meletakkan penyanyi Aishah untuk bertanding di Parlimen Jempol pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU 13).

Beliau berkata, Aishah (gambar) sangat sesuai dicalonkan kerana beliau seorang yang berpelajaran tinggi ditambah pula faktor beliau sebagai selebriti yang dikenali ramai.

Aishah atau nama sebenarnya Wan Aishah Wan Ariffin berkelulusan Sarjana Muda (Kepujian) Jurusan Sains Politik dari Universiti of Auckland, New Zealand.

"Ya, saya memang sokong dan mesti sokong sebab Aishah seorang yang berpelajaran. Kalau dia sekadar artis tapi tak berpelajaran, saya tak berapa sokonglah," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Aishah yang terkenal dengan lagu 'Janji Manismu' diumumkan akan bertanding di Jempol oleh Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu dalam satu ceramah di Taman Melewar Rabu lalu.

Bob juga berkata, beliau dan rakan artis yang lain akan membantu memberikan sokongan dan turun membantu Aishah berkempen di Jempol.

"Kami rakan-rakan artis memberi sokongan penuh kepada Aishah. Kami mesti turun...mesti turun bantu Aishah (berkempen)," katanya sambil menyeru masyarakat khususnya ahli PAS memberikan sokongan padu kepada Aishah.

Dalam pada itu, beliau menambah, Aishah akan 'selamat' jika tetap berpegang kepada ajaran Islam selepas menjadi wakil rakyat nanti.

"Saya menyokong sahabat artis yang bertanding kerana bukan sahaja kita menyokong untuk Aishah tapi untuk Islam juga.

"Tapi Aishah kena ingat, dia kena bezakan Melayu dan Islam. Melayu dan Islam banyak bezanya. Jadi wakil rakyat ini kena berpegang dengan Islam. Selagi Aishah berpegang dengan Islam dia akan boleh bertahan," kata Bob Lokman (gambar kanan)

Menurut sumber, masyarakat setempat khususnya wanita menyokong penuh Aishah bertanding di Jempol. Menurut mereka, Aishah mempunyai peluang yang sangat cerah berbanding tokoh-tokoh PAS yang lain.

Ini kerana Jempol adalah kubu Umno dan hanya orang seperti Aishah mampu memecahkan kubu itu.

"Dengan kekuatan jentera PAS di sini dan bantuan tenaga dari para artis, saya yakin Aishah boleh menang," kata salah seorang dari mereka yang menghubungi Harakahdaily.

Pada pilihan raya umum 2008 calon BN Datuk Lilah Yasin menang dengan majoriti 12,320 undi mengalahkan calon PAS, Siti Meriam Naan.

BN menguasai lima daripada lapan kerusi parlimen di negeri itu, sementara DAP pula menang dua kerusi dan PKR satu kerusi.

Anwar tetap bertanding di Permatang Pauh

Mohd Sabri Said, 05 Apr 2013
PERMATANG PAUH: Teka teki Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding di mana akhirnya terjawab apabila beliau menetapkan pendirian untuk bertanding dan mempertahankan Parlimen Permatang Pauh pada Pilihanraya Umum ke 13 nanti.

Jelasnya, beliau tidak sampai hati untuk tinggalkan Parlimen Permatang Pauh yang telah sebati dengan jiwanya kerana di sinilah perjuanganya bermula, jatuh bangun dan sebagainya.

Tambahan lagi, disebabkan diwaktu disumbat ke dalam penjara ekoran tuduhan meliwat, rakyat Permatang Pauh tetap berpendirian teguh dengan memberikan sokongan pada isterinya, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail memenangi kerusi Permatang Pauh dengan majoriti besar.

"Saya terpaksa tunduk dengan permintaan rakyat di Permatang Pauh dan amnya di Pulau Pinang walaupun pada dasarnya saya berminat buat perubahan berpindah ke parlimen baru di Perak," jelasnya ketika berceramah di padang awam Taman Pauh Jaya sebentar tadi.

Pada mulanya Parlimen Permatang Pauh akan memperolehi ahli Parlimen Baru tetapi hasil desakan dan pujukan rakyat termasuk isteri maka niat untuk berpindah terpaksa dilupakan.

Walaupun terpaksa melupakan Parlimen Tambun namun penganti di sana merupakan nama besar yang bijak dan lantang bersuara.  Beliau ialah Ketua Sri Kandi PKR, Siti Aishah Sheikh Ismail.

Sebelah petang tadi, semasa program minum petang dan perasmian Markaz Besar Pakatan Rakyat Permatang Pauh Anwar turut menyebut bahawa ramai rakyat yang bertemunya  meluahkan perasaan kurang senang apabila desas desus yang mengatakan hasratnya untuk pindah parlimen ke Perak.

"Jadi bila saya isytiharkan diri untuk mempertahankan Parlimen Permatang Pauh maka semua rakyat Permatang Pauh kena bekerja keras untuk memastikan Pakatan Rakyat menang dan menguasai Putrajaya," katanya.

PRU13 dan masa depan negara

Kamaruddin Mohamad,
Alhamdulilah kerana Allah memperkenankan doa kita supaya Parlimen dibubarkan dengan segera untuk membolehkan PRU13 dilaksanakan. Kini, penantian rakyat Malaysia sejak lebih 1 tahun berlalu telah berakhir pada hari Rabu 3 April 2013. Syukur!

Kalau diikutkan hati, tidak mahu menoleh kebelakang. Senario negara bergelumang dengan najis politik, umpat mengumpat, dedah mendedah, caci mencaci, dan semua yang sejenis dan sealiran dengannya mengecilkan semua usaha baik, murni, ikhlas, betul, benar – setiap hari. Sikap dan tabiat buruk yang ditunjukkan dan diiklankan oleh pihak dewasa warga politik menjadi satu mata pelajaran baru bagi generasi anak-anak yang berusia bawah 17 tahun. Merekalah pemimpin Negara Malaysia pada masa yang akan datang. Sungguh cemerlang warga politik Malaysia melakar generasi politik masadepan Negara. Ya Allah, lindungilah Negara Malaysia kami dari kemurkaan-Mu.

Satu ketika dahulu, tahap silaturahim dan kejiranan amat tinggi. Kita boleh duduk semeja diwarung meneguk teh dan kopi, kita masih boleh berjalan bersama menuju surau dan masjid untuk bersama menyembah dan sujud kepada Allah Yang Maha Esa. Kini hanya dikenang sehinggakan rakan jemaah saf di kiri dan di kanan pun menjadi pilihan. Nafsu politik memperkaumkan ummah dan berjayalah mereka yang merasakan diri mereka adalah Juara Politik!

Kini, pembubaran Parlimen telah berlaku sepertimana yang dicita-citakan. Kita kini akan menghadapi tiga situasi genting iaitu:

1. Hari untuk Penamaan Calon
2. Hari untuk Pengundian dan Keputusan Pilihan raya
3. Hari untuk Penubuhan Kerajaan Baru

Hari Penamaan Calon adalah sama seperti hari pengenalan musuh politik, sementara hari pengundian dan keputusan pilihan raya serta hari penubuhan kerajaan baru akan menentukan hala tuju masa depan negara.

Melalui nota ini, saya menyeru kepada semua, terutamanya saudara Islam supaya kita menarik nafas sedalam-dalamnya sejenak dan menempatkan satu ruangan kecil dalam hati anda untuk melakukan perkara berikut tanpa mengira faham politik anda. Ruangan berkecuali ini adalah untuk meletakkan usaha murni dalam keindahan Islam bahawa kita semua adalah bersaudara. Gerakkanlah diri kita sendiri untuk melakukan perkara-perkara berikut, ajak dan pelawalah saudara yang lain untuk bersama melakukannya. Mudah-mudahanan Allah akan melimpahkan Rahmat dan Kasih Sayang-Nya kepada kita. Perkara yang akan kita lakukan adalah seperti berikut:

1. Selepas sesi Penamaan Calon, kita semua ke surau atau masjid untuk membaca al-Quran antara waktu Maghrib dan Isya dan berdoa semoga Allah akan memilih calon politik yang terbaik untuk kita kerana Dialah Yang Maha Pemilih. Kita juga berdoa supaya Allah mengekang nafsu amarah semasa berkempen dan Allah merencanakan perancangan pengundian yang terbaik mengatasi semua perancangan pengundian kotor oleh mana-mana pihak. Sesungguhnya Allah Maha Perancang.

2. Sehari sebelum sesi pengundian, kita semua kembali ke surau dan masjid untuk sekali lagi membaca a-Quran antara waktu Maghrib dan Isya dan berdoa semoga proses pengundian akan berjalan lancar dengan baik, berdisiplin, selamat, beretika dan bertertib.  Hari yang berikutnya iaitu selepas mengundi, kita beramai-ramai ke surau dan masjid untuk bersama-sama sekali lagi membaca al-Quran antara waktu Maghrib dan Isya dan berdoa semoga Allah mempermudahkan proses pengiraan undi dan seterusnya pengumuman keputusan pilihan raya tanpa sebarang insiden yang tidak baik.

3. Keesokan pagi harinya, kita sudah tentu mendapat berita keputusan pilihan raya. Oleh itu kita sekali lagi menuju ke surau dan masjid untuk membaca al-Quran selepas solat subuh dan berdoa semoga proses penubuhan kerajaan baru selepas PRU13 akan dipermudahkan serta memohon kepada Allah supaya silaturahim semua rakyat Malaysia dipereratkan semula untuk membolehkan kita hidup aman sentosa.

Bagi mereka yang bukan beragama Islam, mereka boleh melaksanakan apa sahaja yang bersesuaian dengan agama pegangan mereka. Keutamaannya ialah walaupun kita semua melalui waktu kekalutan, nilai baik dalam diri kita masih ada dan mengerti bahawa esok tidak sama dengan hari ini dan kehidupan perlu diteruskan. Tempoh yang singkat dari sekarang sehinggalah penubuhan kerajaan perlu dihayati oleh semua rakyat. Oleh sebab kita sebagai manusia yang lemah tidak berupaya mengekang azab dan siksaan Allah, marilah kita bersama kembali kepada Allah untuk Allah memberikan apa yang terbaik untuk kita. Pangkahan kita hanyalah suatu usaha kerdil kita, pangkahan Allah lebih pasti! Allahuakbar.

PRU13: Dialog Manifesto Terengganu 7 April di KUIZM

Harakahdaily, 05 Apr 2013


KUALA LUMPUR: PAS Terengganu akan menganjurkan Dialog Manifesto Terengganu PRU13 bersama anak-anak Terengganu di perantauan pada 7 April mulai jam 9.30 pagi di Dewan Kolej Universiti Islam Zulkifli Mohamad (KUIZM), Taman Melewar, Gombak.

Program itu adalah adalah kesinambungan kepada program dialog bersama Persatuan Anak-anak Terengganu di Perantauan (Perantau) berhubung ‘10 Tawaran Awal Manifesto PAS Terengganu’ di Kajang pada 25 Mac tahun lepas.

Menurut Pengarah Jabatan Pilihanraya PAS Terengganu, Arifin Deraman, pihaknya telah bersedia untuk membentangkan manifesto PAS dan Pakatan Rakyat Terengganu yang bertemakan ‘Terengganu Maju: Islam Berdaulat, Negeri Berkebajikan’ sebaik sahaja Parlimen dibubarkan awal minggu ini.

Sehubungan itu, beliau menjemput anak-anak Terengganu di perantauan hadir ke program tersebut yang akan turut disertai Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut serta timbalan-timbalannya sebagai ahli panel utama.

Sebarang pertanyaan berhubung dengan program itu boleh menghubungi dengan Wan Faizul Wan Abas (013-9277330) atau Zulhilmi Abd Rahman (012-9283560).

Syarikat Singapura saman, MB Terengganu terlibat

Harakahdaily, 05 Apr 2013

KUALA TERENGGANU: Sebuah syarikat dari Singapura menyaman sebuah syarikat awam yang dikuasai kerajaan negeri Terengganu dan sebuah syarikat lagi ekoran dakwaan menipu mereka.

Ia dilakukan ekoran kerugian berjuta ringgit yang mereka alami apabila tertipu dengan sebuah syarikat awam yang dikuasai oleh kerajaan negeri Terengganu.

Mereka telah memfailkan tuntutan ganti rugi kepada Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu di samping membuat satu laporan polis dan Bursa Kuala Lumpur mengenainya.

Perbicaraan telah berjalan pada 10 dan 11 Mac ini di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu. Perbicaraan seterusnya telah ditetapkan pada 3 - 5 Jun 2013.


Bagaimana ia berlaku


Ia bermula pada Mac 2011 apabila syarikat berkenaan menjemput mereka terlibat dalam satu projek mendalamkan sungai di Pulau Kucing, Kemaman.

Projek yang dikatakan pada asalnya bernilai RM160 juta itu dijanjikan kepada mereka untuk dikendalikan.

Namun oleh kerana syarikat mereka sebuah syarikat asing, satu syarikat tempatan bernama Kondisi Utama Sdn Bhd telah dinamakan oleh syarikat awam yang dikuasai kerajaan Terengganu ini untuk bekerjasama dengan mereka.

Syarikat yang bermodal dua ringgit ini didaftarkan di Chukai, Kemaman, dimiliki oleh dua orang penama iaitu Gurjeet Singh A/L Chanan Singh dan Amarjeet Singh A/L Sathwan  Singh. Selain syarikat ini, kedua-duanya juga memiliki sebuah disko di belakang Masjid India, Kuala Lumpur.

Yang menariknya, kedua-dua Amarjeet dan Gurjeet ini dilihat bersama mengiringi Menteri Besar Terenggganu, Datuk Seri Ahmad Said dalam satu lawatannya ke Cuba pada tahun 2011 lalu.

(Amarjeet dan Gurjeet [duduk dua dan tiga dari kiri di barisan belakang] dilihat bersama Ahmad Said [empat dari kanan] dalam satu majlis di Havana, Cuba)

Harakahdaily dimaklumkan, Amarjeet dan Gurjeet terbang dari Singapura manakala Ahmad said terbang dari Kuala Lumpur ke Havana, Cuba.

Gambar mereka di siarkan dalam laman web Kementerian Luar Negeri dalam satu sidang yang disertai oleh Ahmad Said itu.


Laporan polis

Selepas menerima surat dari syarikat awam yang dikuasai kerajaan Terengganu itu, syarikat dari Singapura yang berpengalaman dengan kerja-kerja mengorek sungai itu telah berbincang dengan rakan mereka dari Korea untuk melaksanakan tugas itu.

Setelah itu mereka telah bersetuju menyewa sebuah kapal korek dari India untuk melaksanakan kerja-kerja itu.

Namun di pertengahan jalan, Kondisi Utama telah menyatakan kepada syarikat dari Singapura itu mahu menghentikan projek itu dengan alasan ia tidak menguntungkan.

Padahal syarikat dari Singapura itu telah tahu Kondisi Utama telah menerima bayaran lebih RM10 juta dari syarikat awam yang dikuasai kerajaan Terengganu itu untuk projek berkenaan.

Ekoran itu, masalah mula timbul antara mereka bilamana Kondisi Utama tidak membuat bayaran terhadap segala tuntutan yang mereka buat.

Dengan secara senyap-senyap, Kondisi Utama ini mula membuat perundingan secara langsung dengan operator kapal korek itu dengan mengenepikan syarikat dari Singapura itu.

Ekoran itu, syarikat dari Singapura itu memfailkan saman terhadap syarikat awam yang majoriti syernya dimiliki oleh kerajaan negeri Terengganu tersebut dan Kondisi Utama.

Mereka turut membuat laporan kepada Bursa Kuala Lumpur dan kepada polis.

Laporan kepada Bursa dibuat pada 2 April 2013 manakala laporan polis dibuat pada 3 Oktober 2012 di Balai Polis Subang Jaya, Selangor.

PRU13: Mahasiswa perlu bersatu jatuhkan BN

Harakahdaily, 05 Apr 2013


KUALA LUMPUR: “Sesungguhnya, perjuangan menjatuhkan Barisan Nasional ini adalah lebih utama sebelum kita mengorak langkah memohon kerusi untuk mahasiswa.

“Mahasiswa harus bersatu,” ujar Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (Kami), Khalid Mohd Ismath dalam satu kenyataan.

Menurutnya, sejak awal 2012, kesemua front mahasiswa sudah bersetuju hasil daripada meja bulat dan brainstorming mengenai pilihanraya yang telah memutuskan satu keputusan untuk menyatakan pendirian menyokong dasar-dasar yang dibawa oleh Pakatan Rakyat dalam pilihanraya.

Justeru, jelasnya semua front mahasiswa khususnya di bawah Solidariti Mahasiswa Malaysia bersetuju untuk memenangkan Pakatan Rakyat dalam PRU13 kali ini.

Tambahnya, tindakan beberapa front mahasiswa yang bergabung membentuk satu gerakan mahasiswa yang akan bertanding di Pekan adalah di luar jangkaan kesepakatan kumpulan-kumpulan mahasiswa yang bernaung di bawah Solidariti Mahasiswa Malaysia.

“Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (Kami) melihat serius perkembangan ini,” ujarnya.

Namun, katanya di kawasan yang cuba ditandingi oleh beberapa front mahasiswa yang bergabung itu telah pun Pakatan Rakyat umumkan calon bagi kerusi tersebut.

“Oleh yang demikian, Kami yang melihat serius situasi ini cuba menasihati mana-mana kumpulan mahasiswa yang telah setuju untuk membantu Pakatan Rakyat memenangi kerusi-kerusi parlimen bagi membawa dasar-dasar yang menyebelahi dan membantu golongan mahasiswa, supaya jangan terpedaya dengan dakyah non-partisansi untuk memecah belah undi di kawasan yang sudah diletakkan calon Pakatan Rakyat,” jelasnya lagi.

Justeru, kata beliau Gerakan Mahasiswa 13 atau dikenali GM13 harus bersikap terbuka dengan memberikan laluan kepada calon Pakatan Rakyat bagi menumbangkan Umno terlebih dahulu daripada sibuk melaungkan kerusi untuk mahasiswa.

Dekati anak muda untuk yakinkan ibu bapa mereka

Salmah Mat Husain, 05 Apr 2013


PENGKALAN CHEPA: Anak muda diyakini mampu mengajak ibu bapa mereka berada di landasan yang betul dalam pilihan raya umum akan datang ini.

Atas dasar itulah, jentera PAS diminta memastikan golongan anak muda didekati dengan sepenuhnya.

Untuk itu, setiap program yang dianjur perlu membabitkan golongan muda di samping menganjurkan program khas untuk mereka memandangkan golongan itu bakal penentu kemenangan parti untuk membentuk kerajaan Pusat.

Anggota Dewan Negara, Senator Khairiah Mohamad (gambar) berkata selain golongan ‘atas pagar’ yang juga penentukan kejayaan pembentukan kerajaan baru, golongan muda perlu diberi perhatian sepenuhnya.

Beliau berkata demikian kepada Harakahdaily ketika ditemui sewaktu meninjau anak-anak muda melakukan persiapan terakhir untuk menjayakan program Anak Muda Kelantan bermaruah peringkat Pengkalan Chepa dan Cawangan Tebing Tinggi pagi tadi.

Katanya, anak muda sekarang bukan lagi seperti dahulu yang hanya mudah terpengaruh dengan media kerajaan yang jauh menyimpang dari landasan sebenar.

“Kemenangan Kelantan baru-baru ini juga hasil kejayaan sebahagian anak negeri yang merantau.

“Untuk itu kali ini mereka menggunakan ibubapa di kampung supaya menasihati anak-anak mereka supaya jangan terpengaruh dengan Pakatan Rakyat, sebaliknya sokonglah perjuangan kerajaan Umno dan BN,”ujarnya.

Turut hadir pada tinjauan itu Anggota Jawatankuasa PAS Kawasan Pengkalan Chepa, Nik Bahrum Abdullah, Ketua Pemuda PAS Cawangan Tebing Tinggi, Hasanuddin Hussin dan lain-lain kepimpinan pemuda cawangan tersebut.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan anak muda di seluruh negara supaya mengambil peluang untuk menentukan perubahan pentadbiran negara.

SPR tentukan penamaan calon, mengundi 10 April

Harakahdaily, 05 Apr 2013
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas pada 10 April ini untuk menentukan tarikh penamaan calon dan hari mengundi PRU13.

Setiausaha SPR, Datuk Kamaruddin Mohamed Baria dalam satu kenyataan di sini berkata, selain itu, pihaknya akan menetapkan tarikh pengundian awal dan menentukan daftar pemilih pilihan raya umum itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pembubaran Dewan Rakyat pada 3 April lepas bagi memberi laluan PRU13 diadakan.

Tiada ulasan: