Sabtu, 13 April 2013

JANGAN KITA MENJADI KETURUNAN JAHAT@BUAT FITNAH...DAN KITA TAK BOLEH MENYOKONG DARI KETURUNAN2 YANG JAHAT2...KITA KENA SOKONG ORANG BAIK2

NGO Islam seru tolak budaya politik lucah

Hazayani Zakaria, 12 Apr 2013
KUALA LUMPUR: Pertubuhan-pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Islam utama di Malaysia menolak keras amalan politik lucah sebagai kempen Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU 13).

Perkara tersebut termasuk dalam empat saranan utama kepada umat Islam bagi menghadapi PRU 13 secara bersih dan beretika.

Selain politik lucah, gabungan tersebut turut menyeru mana-mana parti politik dan masyarakat menolak budaya politik fitnah, amalan politik samseng dan amalan politik rasuah dan peras ugut.

Menurut Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Amidi Abdul Manan PRU kali ini bakal menyaksikan persaingan sengit di antara parti-parti politik yang bertanding sehingga menimbulkan kempen yang tidak sewajarnya.

"Kami menggesa umat Islam untuk menolak sama sekali amalan politik lucah yang cuba dijadikan alat untuk mendulang populariti siyasi dalam jangka pendek.

"Kami memandang berat amalan mencipta video, mempertontonkan bahan-bahan tersebut serta melakukan pertuduhan zina (ke atas seseorang) sewenang-wenangnya di khalayak ramai," katanya pada sidang media di pejabat Abim dekat sini hari ini.

Sementara itu, setiausaha Pertubuhan Ikram Malaysia Zaid Kamaruddin berkata, parti-parti politik, pemimpin masyarakat, alim ulama, intelektual, pengamal media seharusnya mendidik masyarakat ke arah akhlak yang baik, bukan menyebarkan perkara-perkara negatif untuk kepentingan masing-masing.

"Seharusnya rakyat ditampilkan dengan pilihan politik secara sihat berupa manifesto serta hujah-hujah politik yang rasional serta memenuhi tuntutan asasi rakyat.

"Umat Islam perlu mengetengahkan pendirian ini agar hak mereka selaku rakyat tidak dikesampingkan dengan pembodohan berupa fitnah yang tidak mempunyai apa-apa signifikasi terhadap kehidupan mereka, sebaliknya membawa kerosakan kepada masyarakat," katanya.

Turut bersama pada sidang media tersebut ialah Pengerusi Persatuan Ulamak Malaysia Cawangan Wilayah Persekutuan, Dr Fauzi Zakaria, Pengerusi Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (Wadah), Dr Abdul Halim El-Muhamady, Pengerusi Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Ahmad Fahmi Mohd Samudin dan beberapa wakil NGO Islam yang lain.

Abim turut mengedarkan buku bertajuk 'Qazaf - Menjawab Fitnah' yang merupakan himpunan makalah Sheikh Dr Yusuf Al Qaradhawi, Dr Taha Jabir Al-Awani, Dr Wahbah Al-Zuhayli, dan beberapa tokoh lain.

Husam menang saman NST

Mohd Rashidi Hassan, 12 Apr 2013
KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa menang dalam samannya terhadap akhbar The New Straits Times, dalam satu keputusan yang dibuat hakim Mahkamah Tinggi Sivil Kuala Lumpur sebentar tadi.

Hakim Datuk Su Geok Yiam membenarkan tuntutan Husam dengan mengarahkan pihak NST membayar gantirugi terhadap Husam yang ditohmah terbabit dalam penyelewengan dan salah guna kuasa di Kelantan.

Peguam yang mewakili Husam, Md Yunos Shariff berkata, pihak mahkamah menetapkan tarikh 17 Mei depan untuk membincangkan pengurusan kes dan segala aspek berkaitan gantirugi.

Calon PAS sedia berdebat isu masa depan OKU

Harakahdaily, 12 Apr 2013
KUALA LUMPUR: “Atas dasar keprihatinan itulah saya merasa terpanggil untuk menawarkan diri berbincang, berbahas dan berdialog antara saya selaku calon PAS di Parlimen Titiwangsa, Mohammad Faizal mewakili OKU Bangkit serta calon Umno khususnya di Parlimen Titiwangsa,” ujar Ahmad Zamri Asa’ad Khuzaimi.
Bahkan calon PAS P119 Parlimen Titiwangsa pada PRU13 itu bersedia untuk bertemu dan bersemuka dengan mana-mana pemimpin Umno bersama Mohammad Faizal Che Yusof bagi membuktikan masa depan orang kelainan upaya (OKU) bersama PR lebih terjamin berbanding kehidupan mereka selama ini di bawah BN.

Berikut kenyataan penuh beliau.

1. Susulan daripada berita yang disiarkan oleh media melalui akhbar The Sun yang bertajuk “The disabled want debate on their rights” pada hari semalam oleh Mohammad Faizal Che Yusof yang mencadangkan suatu debat dilakukan antara calon Pakatan Rakyat bersama calon Barisan Nasional mengenai nasib dan masa depan Orang Kelainan Upaya (OKU).

2. Saya terpanggil untuk mengulas kenyataan Mohammad Faizal Che Yusof itu. Beliau mengemukakan keluhan bagaimana layanan dan nasib yang diterima oleh OKU di seluruh negara di bawah pemerintahan Barisan Nasional selama ini. Lebih-lebih lagi keadaan yang mendesak ketika ini, dalam keadaan kos sara hidup yang meningkat, masalah pengangguran, ekonomi yang menjerat rakyat, kadar kemiskinan terutama di kawasan bandar semakin meningkat, adalah wajar OKU membangkitkan kebimbangan mereka apatah lagi menjelang pilihan raya umum ke 13. Dianggarkan seramai 2.8 juta atau 10% rakyat Malaysia yang mengalami OKU pelbagai kategori. Sama ada Pakatan Rakyat mahupun Barisan Nasional, mampukah mana-mana pemenang PRU ke 13 kelak membela nasib dan mengangkat martabat OKU, ia perlu diketahui dan diperjelaskan terhadap seluruh rakyat.

3. Sdr Mohammad Faizal telah mencadangkan debat memandangkan keluhan dan rintihan selama ini tidak pernah dilayan, didengari atau diambil perhatian. Kehidupan OKU masih lagi di takuk lama, bahkan kebanyakan OKU dipandang remeh oleh masyarakat seolah-olah mereka ini adalah golongan kelas kedua yang terpaksa menagih simpati dan berharap belas ihsan masyarakat hidup. Kerajaan BN pula tidak memandang golongan ini dengan perhatian utama dengan membiarkan golongan ini terkial-kial hidup dalam masyarakat sehingga ada kalangan mereka yang tersisih daripada pembangunan.

4. Pakatan Rakyat telah melancarkan manifesto pada 25 Februari 2013 dan menekankan pelbagai aspek untuk diberi perhatian dan OKU antara salah satu daripadanya. PR melihat OKU adalah golongan rakyat yang mesti diberi perhatian sewajarnya. Sebagai kerajaan menanti (in waiting government) PR berazam dan berikhtiar membantu OKU sedaya upaya supaya golongan ini mempunyai kedudukan dan hak setaraf insan sempuna.

5. PR berazam memastikan setiap golongan OKU dibantu, diberi perhatian, pendidikan yang mencukupi dan meliputi pelbagai kecacatan yang mereka alami, diberi sumbangan sejajar dengan keperluan dan taraf hidup mereka, memberikan pekerjaan sesuai dengan kemampuan mereka, kemudahan perumahan dan lain-lain.

6. Atas dasar keprihatinan itulah saya merasa terpanggil untuk menawarkan diri berbincang, berbahas dan berdialog antara saya selaku calon PAS di Parlimen Titiwangsa, Sdr Mohammad Faizal mewakili OKU Bangkit serta calon UMNO khususnya di Parlimen Titiwangsa. Bahkan saya bersedia untuk bertemu dan bersemuka dengan mana-mana pemimpin UMNO bersama sdr Faizal bagi membuktikan masa depan OKU bersama PR lebih terjamin berbanding kehidupan mereka selama ini di bawah BN. Saya menyerahkan kepada saudara Faizal untuk menetapkan tarikh, masa dan tempat perdebatan ini dilangsungkan. Saya juga mengharapkan respons yang positif dari pemimpin UMNO khususnya calon UMNO Titiwangsa supaya mereka mampu menjelaskan apakah masa depan yang akan mereka tawarkan kepada rakyat terutama kepada golongan OKU.

Rintihan anak peneroka Felda

Roketkini.com, 12 Apr 2013
BENTONG: “Hidup anak peneroka dan generasi kedua Felda ini ibarat pepatah yang mengatakan ‘kais pagi, makan pagi.” Demikian mengikut seorang penduduk Felda Kg Sertik, Zulkifli Mohd.
Oleh kerana pembahagian tanah peneroka yang kerap tidak adil dan tidak mengikut prosedur kepada generasi kedua peneroka Felda seperti di Felda Kg Sertik, ramai generasi kedua terpaksa mencari nafkah dengan membuat kerja sambilan di ladang pekebun lain dan merantau.

“Ramai daripada kami terpaksa merantau ke bandar untuk bekerja atau berniaga,” katanya.

Untuk menampung hidup, Zulkifli, 56, terpaksa bekerja sebagai penoreh getah di ladang kawannya tetapi harga getah sekarang sudah jatuh, upah pun kurang.

Beliau bersama dua anak dan isterinya hidup melarat di rumah sewanya yang lebih mirip rumah setinggan.

“Ketika hujan lebat, air hujan mencurah turun dari bumbung rumah kami beratap zing yang bocor. Kami tadahnya dengan tong plastik.

“Dinding rumah kami juga sudah pecah dan berlubang, air hujan juga akan meresap masuk. Tak ada wang untuk membaikinya,” katanya.

Dalam tinjauan, kami dapati katil rumah beliau dilapik dengan bata.

Katanya, beliau tidak mampu lagi membayar sewa rumah kepada pemilik sejak setahun lalu.

“Saya sudah banyak kali memohon tanah dengan pejabat tanah daerah dan Felda iaitu sejak tahun 1980-an lagi untuk mengusahakannya tetapi tidak berhasil,” tambahnya.

Beliau berkata, kerap kali anak peneroka Felda generasi pertama berkelahi sesama sendiri kerana berebut tanah yang sekangkang kera pusaka tinggalan peneroka generasi pertama.

“Kami (selaku anak kepada peneroka) juga banyak menyumbang kepada pembangunan negara dengan titik peluh usaha kami mengerjakan ladang Felda.

“Kenapa pula bila kami meminta tanah yang masih banyak lagi di sekitar kawasan kami ditolak sewenang-wenangnya.

“Kroni pemimpin Umno tempatan pula dengan senangnya memperoleh tanah.

“Apakah Najib percaya dengan pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) RM500 itu akan mengubah nasib hidup kami yang melarat ini.

“Saya harap Pakatan Rakyat akan melakukan sesuatu untuk memastikan kehidupan generasi kedua peneroka Felda akan dijaga dan dibela sebaiknya,” kata beliau.

Dalam manifesto Pakatan Harapan Rakyat yang dilancarkan 25 Februari lalu, Pakatan Rakyat berjanji akan merombak semula pegangan dalam Felda Global Venture (FGV) dengan matlamat mengembalikan operasi dan pemilikan tanah Felda ke tangan peneroka dan kakitangan.

Sosma akta kuno, tidak perlu semasa pilihan raya

Harakahdaily, 12 Apr 2013
KUALA LUMPUR: Suara Rakyat Malaysia (Suaram) berpendirian Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) Sosma bukan sahaja tidak perlu digunakan semasa pilihanraya, bahkan Sosma merupakan akta konservatif yang langsung tidak diperlukan oleh negara.
Penyelarasnya, Syukri Razab berkata, takrifan kesalahan keselamatan di bawah Sosma terlalu luas sehinggakan polis boleh melakukan tangkapan secara wewenangan.

“Bagi urusan pilihanraya, sudah wujud undang-undang yang boleh menangani salah laku berkaitan Pilihanraya seperti Akta Kesalahan pilihanraya,” ujarnya dalam satu kenyataan, sebagaimana di bawah.

Suaram berpendirian Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) Sosma bukan sahaja tidak perlu digunakan semasa Pilihanraya, bahkan Sosma merupakan akta konservetif yang langsung tidak diperlukan oleh negara.

Takrifan kesalahan keselamatan di bawah Sosma terlalu luas sehinggakan polis boleh melakukan tangkapan secara wewenangan.

Bagi urusan pilihanraya, sudah wujud undang-undang yang boleh menangani salah laku berkaitan Pilihanraya seperti Akta Kesalahan pilihanraya.

Polis dilihat cuba mengambil jalan mudah dengan menggunakan Sosma bagi menakut-nakutkan orang ramai memandangkan akta tersebut memberi kuasa besar kepada pihak Polis untuk membuat tangkapan.

Risiko berlakunya tangkapan sewenang-wenangnya semasa pilihanraya

Sosma memberi peruntukan yang sama seperti ISA iaitu pihak Polis boleh menahan sesorang hanya berdasarkan syak wasangka bahawa seseorang itu terlibat dengan kesalahan keselamatan.

Berdasarkan kajian kes yang berlaku, terdapat bukti yang menunjukkan pihak Polis melakukan tangkapan secara arbitrari menggunakan Sosma.

Tangkapan yang dibuat ke atas Yazid Sufaat, Hilmi Hasim dan Halimah Hussein, pada Februari lalu jelas dilakukan tanpa bukti yang mencukupi. Sehingga ke hari ini, pihak Polis masih mencari bukti bagi menyokong tangkapan tersebut.

Sekiranya diteladani daripada kes yang berlaku, maka dikhuatiri Polis akan menggunakan Sosma secara sewenang-wenangnya semasa Pilihanraya.

Mangsa yang ditangkap di bawah Sosma akan berdepan dengan proses undang-undang yang terlalu rumit bermula dengan ditahan selama 28 hari tanpa dibicarakan dan kemudian terpaksa mendekam didalam penjara sepanjang proses perbicaraan sekiranya dituduh di mahkamah.

Hal ini sekiranya berlaku akan mencemarkan proses pilihanraya di samping menafikan hak orang yang ditahan untuk terlibat dengan pilihanraya.

Risiko berlaku tangkapan bermotif politik

Sekiranya Sosma digunakan semasa Pilihanraya, maka dikhuatiri akan berlaku tangkapan bermotif politik demi kepentingan pihak tertentu. Lebih merisaukan ialah pihak Polis boleh menahan sesiapa sahaja menggunakan Sosma walaupun kesalahan belum atau tidak pernah berlaku. Merujuk kembali sejarah ISA, ramai ahli politik pembangkang pernah menjadi mangsa akta zalim berkenaan.

Walaupun Sosma memperuntukkan klausa khas mengenai tidak akan ada penahanan bermotif politik, namun Klausa 12 itu terlalu kecil berbanding kuasa Polis yang boleh membuat tangkapan berdasarkan takrifan kesalahan yang terlalu luas di bawah Sosma.

Sosma bukan sahaja memberi kuasa besar kepada Polis untuk melakukan tangkapan secara sesuka hati, tetapi Sosma juga akan menyebabkan penafian hak asasi kepada mangsa yang ditahan.

Oleh itu pihak polis sewajarnya tidak menggunakan Sosma bagi mengelakkan berlakunya lebih banyak pencabulan hak asasi. Akta ini harus dimansuhkan dengan segera oleh mana-mana kerajaan yang akan menang dalam Pilihanraya Umum akan datang.

Saya tidak mahu jawab, serah kepada peguam - Mustafa

Harakahdaily, 12 Apr 2013
KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali (gambar) berkata, beliau tidak akan menjawab sebarang pertanyaan mengenai video lucah yang diedarkan.

Dalam satu kenyataan ringkasnya kepada Harakahdaily, Mustafa berkata, "Semuanya saya telah serahkan kepada peguam saya melalui Awi & Co untuk uruskan."

Beliau dipercayai merujuk kepada video lucah yang disebarkan melalui beberapa blog Umno sejak lewat petang semalam.

Ulasan dalam blog itu mengatakan, kononnya ia dibuat oleh rakan PAS dalam Pakatan Rakyat iaitu PKR.

Ada juga blog Umno yang menulis ia dibuat oleh golongan parasit dalam PAS yang tidak senang dengan Mustafa.

Mustafa adalah mangsa yang kesekian kalinya politik buruk Umno dalam membunuh musuh politik mereka selepas kelihatan tersepit.

Kajian poll yang dibuat oleh akhbar Sinar Harian online menunjukkan, manifesto yang mereka keluarkan ditolak rakyat Malaysia apabila hanya 19 peratus menyokong manifesto BN dan 81 peratus lagi menyokong menifesto Pakatan.

Kesal dengan politik perkauman dan buruk Umno, Presiden MCA Datuk Seri Chua Soi Lek telah mengumumkan tidak bertanding dalam pilihan raya ini, satu sejarah baru dalam politik Malaysia apabila presiden parti komponen BN tidak mahu bertanding.

Bimbang dengan sokongan pengundi Cina, Tan Sri Muhyidin Yasin telah memaksa semua guru besar dan guru-guru sekolah Cina dari seluruh negara menyertai perhimpunan bersamanya di Johor 16 April ini.

Dalam suasana tertekan inilah video lucah dikeluarkan lagi oleh BN untuk menekan Pakatan Rakyat.

Kali ini mereka cuba menundingkan jarinya kepada rakan PAS iaitu PKR untuk melaga-lagakan kedua-dua parti itu.

Berikut adalah kenyataan ringkas Mustafa.


KENYATAAN MEDIA


Saya tidak akan menjawab sebarang petanyaan mengenai isu yang diperkatakan. Semuanya saya telah serahkan kepada peguam saya melalui Awi & Co untuk uruskan.



Datuk Mustafa Ali
Setiausaha Agung.

PRU13: Titik perubahan sebenar

Hafizul Faiz, 12 Apr 2013
Kehangatan gelombang PRU13 (Pilihan Raya Umum ke-13) hampir dirasai di seluruh lapisan masyarakat, yang kecil mahupun yang besar, yang tua dan muda, yang tahu dan tidak tahu, atau yang baru atau lama. Untuk mereka yang lahir pada tahun 1991 dan 1992, fatrah ini barangkali sangat istimewa, pertama kali mengundi dan mungkin pertama kali menukar kerajaan sedia ada. Gelombang PRU13 ternyata telah banyak menghasilkan kesan yang sangat baik. Daripada sikap tidak peduli kepada peduli, tidak tahu kepada tahu, begitu juga sikap boikot pilihan raya kepada berfikir semula untuk mendaftar sebagai pengundi. Di mana-mana pihak, mahupun di sebelah kerajaan yang pernah memerintah kerana khuatir akan kalah buat kali pertama, atau pihak pembangkang selama ini sebagai ejen kemenangan untuk menaiki takhta kerajaan, masing-masing sedang digasak hebat dengan gelombang PRU13 yang sebarannya melangkaui umur dan batas tempat.

Simulasi PRU13 boleh dicatur dengan menilai, mengkaji, dan menganalisa corak gelombang ini. Gelombang yang tiada siapa boleh sekat dan tiada siapa yang mampu mengawalnya. Kecanggihan teknologi dan maklumat, media sosial yang bebas terbuka, juga suasana dan mood rakyat yang lewat ini, seperti cenderung untuk menggalas konsep sebenar demokrasi yang selama ini dirosakkan dengan ideologi-ideologi simpang. Maka, PRU13 boleh diperhati corak yang dibentuk kerana ia (walaupun tidak tepat) merupakan kelogikan yang boleh diterima. Apabila gelombang ini semakin disahut, disebut dan disambung-sambung, ini menandakan bahawa masa depan untuk sesebuah parti yang digagas gelombang ini cerah dan perlu bersiap dia menggalas masa depan yang lebih berat. Kemenangan itu suatu pintu baru kepada sebuah kehidupan.

Perbincangan pasti berkisarkan dengan nuansa fikir anak muda, gelombang yang disahut positif dan juga perancangan sedia ada. Bekas kerajaan, BN (Barisan Nasional) sewajarnya bakal tumbang jika masih berada di dalam perasaan selesa dengan kewujudan gelombang ini. PRU13 dan gelombangnya telah mencelikkan mata anak-anak muda dengan kelajuan maklumat disebar dan kecanggihan program direka. Sebelum ini, barangkali ada anak muda yang tidak tahu apa itu pilihan raya dan bagaimana prosesnya. Bahkan, masih ada yang tidak tahu bahawa sebelum pilihan raya dijalankan, parlimen perlu dibubarkan. Namun, gelombang PRU13 telah menyerap ke semua lapisan masyarakat. Kajian mendapati, suatu sumber yang paling memainkan peranan ialah media sosial. Media soaiallah yang menyebar maklumat, mempertemukan manusia dan menerangkan kenapa perlu pilih ini dan itu. Seperkara, media sosial tidak dipadam datanya dan tidak boleh dikawal orang-orang tertentu.

PRU13: Titik Perubahan

Pengharapan jika pengundi muda, dengan populasi yang kian bertambah dan ramalan yang wajar, memanfaatkan PRU13 sebagai platform perubahan dengan mengubah tampuk pemerintahan supaya Malaysia ini kembali mendokong gagasan sebenar demokrasi. Turning point bererti suatu titik yang telah mengubah sesuatu, antara garisan atau kejadian dan tragedi. Dan inilah, PRU13 yang disifatkan sebagai pilihan raya terhangat setakat ini. Kebijakan berfikir dan kewajaran menerima sesuatu pendapat merupakan faktor utama kenapa pengundi muda adalah kelompok terbesar yang akan membuat perubahan.

Mahu tidak mahu, fikiran manusia berpaksikan logik dan kecenderungannya ialah kebenaran. Fikiran siapapun pasti menuju kepada kebenaran. Jika masih menuju kepada sebuah keburukan, ia bukan lagi berpaksikan logik melainkan ada objektif tertentu dan rasukan nafsu berkepentingan. Kelogikan ini menjadikan orang muda menimbang, membanding dan menganalisa apakah kepentingan sesuatu undi. Satu undi, satu nyawa.

Ini kalilah, perubahan itu mesti disegerakan, disepadukan dengan kebijakan dan masa depan yang lebih cerah, menimbangtara barisan pemimpin yang berwibawa dan menyayangi sistem dengan usaha memperbaikinya.

Maka PRU13 sebagai suatu titik perubahan yang bakal didominasi pengundi muda yang berfikir berpaksikan logik.

Debat politik Anwar-Najib bermanfaat untuk rakyat

Harakahdaily, 12 Apr 2013
KUALA LUMPUR: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) kecewa kerana budaya fitnah dan manipulasi media dibuka seluas-luasnya tetapi debat yang lebih bertamadun dan bermaruah pula diketepikan.
“Apakah ini menandakan bahawa politik Malaysia lebih bersifat fitnah dan serangan peribadi?

“Kenapa ahli politik BN memandang serong kepada debat, dialog dan forum yang sihat?” ujar presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Justeru, katanya Mapim berpendirian sudah sampai masanya debat yang ditunggu-tunggu oleh rakyat antara Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Najib Razak dilaksanakan.


“Salah satu dari reformasi politik yang akan meningkatkan kematangan demokrasi di negara ini ialah debat terbuka antara pihak yang menyertai politik pilihanraya,” katanya lagi.


Menurutnya, walaupun debat belum menunjukkan ia satu budaya di negara ini agar mana-mana pihak kumpulan politik yang bertelagah pendapat mengenai bagaimana negara ini harus ditadbir didebat secara bersemuka, namun Mapim berpandangan ia adalah wajar dibudayakan untuk memungkinkan pandangan masing-masing diketengahkan secara bersemuka untuk dihujah di hadapan khalayak awam.

Katanya, dalam Islam, munaqasyah (debat) adalah suatu anjuran yang dibolehkan agar kebenaran dapat dijelaskan dan dengan sebab itu kebenaran akan dapat dipertahankan dengan lebih meyakinkan.

Beliau berkata, pilihanraya adalah soal membentangkan program untuk rakyat membuat pilihan, justeru debat yang berjalan dengan baik pasti akan dihormati oleh semua pihak kerana masa depan negara sangat penting ditentukan dengan rasional oleh pihak yang mahu meraih mandat dari rakyat.


Katanya, dua tokoh tertinggi negara iaitu PM dan Ketua Pembangkang adalah figur penting dalam Pilihan raya Umum ke-13 dan rakyat berhak melihat secara sendiri kemampuan kedua-duanya membentangkan pandangan dengan hujah yang ilmiah dan matang.

Tambahnya lagi, tidak ada kecurigaan yang harus dirisaukan selain kedua pendebat bersedia dan berlapang dada mendengar hujah lawan mengenai isu-isu urus tadbir negara.


“Jika kedua pemimpin ini dapat menunjukkan kematangan berhujah, maka rakyat akan bertambah yakin bahawa reformasi politik benar-benar akan berlaku,” katanya.

Guru SJK Cina wajib sertai himpunan dengan Muhyidin

Harakahdaily, 12 Apr 2013
KUALA LUMPUR: Guru-guru di semua sekolah jenis kebangsaan Cina di seluruh negara diarahkan menyertai himpunan dengan Tan Sri Muhyidin Yasin di Johor Bharu 16 April ini.

Himpunan itu akan diadakan jam 3.00 petang di SJKC Foon Yew 1, Johor Bahru.

Sehubugan itu, semua jabatan pendidikan negeri telah mewajibkan setiap sekolah Cina menghantar sekurang-kurangnya enam orang guru bagi menyertai himpunan itu.

Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur misalnya telah menghantar surat kepada semua sekolah Cina bagi mewajibkan mereka menyertai majlis itu.

Guru besar, seorang guru penolong kanan dan guru biasa diwajibkan menyertai himpunan itu.

Ia dibuat kononnya untuk merealisasikan hasrat pendidikan negara, kata surat itu.

Mengikut taklimat yang disampaikan oleh Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, guru-guru yang menjadi wakil akan dibekalkan bas dari Kuala Lumpur ke Johor dan perlu berkumpul sebelum 7  pagi.

Mereka dijanjikan pulang dan tiba kembali di Kuala Lumpur pada hari yang sama kira-kira 11 malam.

Ini bermaksud kelas dan pengajaran guru-guru yang terpilih akan diabaikan pada hari itu semata-mata untuk menghadiri perhimpunan bersama Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pelajaran yang jelas mempunyai motif politik menjelang pilihan raya akan datang.

Sementara itu, prestasi pengajaran guru pada hari keesokannya sudah tentu akan terjejas kerana keletihan wakil-wakil guru disebabkan kepulangan lewat pada tengah malam pada hari 16 April.

Penyokong PAS London buat video balik kampung undi Pakatan

Harakahdaily, 12 Apr 2013

(Video balik kampung dari penyokong PAS di London)


LONDON: Para penyokong PAS di United Kingdom dan Ireland berjanji akan pulang ke tanah air bagi mengundi Pakatan Rakyat dalam pilihan raya ini.

Dengan berlindung di bawah PrCukeire Productions, mereka mengeluarkan satu video klip yang sangat menarik.

Ia dibuat dengan berlatarbelakangkan Stadium bolasepak Mancester United dan gambar-gambar tentang kegemilangan kelab bola sepak Britain itu.

"Kami warga Malaysia di United Kongdom menyeru para perantau untuk balik mengundi.

"Kepada yang berada di tanahair, mengundilah dengan bijak," kata Dr Jupri Bade, Presiden PAS Representative Council of UK & Ireland dalam video itu.

Mengikut SPR, rakyat Malaysia di luar negara boleh mendaftarkan diri mereka untuk membolehkan mereka mengundi awal.

30 April telah ditetapkan sebagai hari mengundi awal dalam pilihan raya umum ke 13 ini.

Di samping rakyat di luar negara, SPR menetapkan polis, tentera, wartawan dan petugas SPR boleh mengundi awal.



Klik untuk saksikan video klip menarik ini.

Tiada ulasan: