Dokumen pun Umno langgar, inikan janji mulut
| Aslani M, | 12 Apr 2013 |
KOTA BHARU:
Tak perlu kepada aku janji baru, tunaikan dahulu apa yang terkandung
dalam perjanjian antara kerajaan Kelantan dan Petronas ditandatangani
pada 9 Mei 1975.Ketua Penerangan PAS Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, perjanjian yang ada dokumen itu sudah berusia 38 tahun pun gagal ditunai kerajaan Persekutuan sehingga sekarang.
“Itu perjanjian yang berdokumen secara jelas dan bukan cakap mulut-mulut seperti aku janji dalam manifesto BN Kelantan yang dilancar semalam.
“Apakah rakyat Kelantan boleh terpengaruh dengan segala janji-janji baru, sedangkan apa yang termenterai secara sah dalam dokumen pun pemimpin Umno langgar,” katanya di sini.
Semalam BN Kelantan melancarkan manifesto yang mengandungi tujuh teras iaitu orang muda, pusat kecemerlangan ilmu, kemudahan asas, ekonomi, tanah milik rakyat, bela rakyat terpinggir dan wanita.
Di bawah tajuk ekonomi disebut “Melipat gandakan usaha mencari gali sumber asli dan hasil bumi negeri Kelantan.”
Selain itu banyak aku janji PRU 13 BN mengulangi semula manifesto 2008 termasuk melaksanakan tebatan Sungai Golok, menaik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, projek perumahan rakyat dan membina grand bazar.
Manakala janji-janji kempen Timbalan Pengerusi Umno Kelantan, Datuk Dr Awang Adek Hussin pada 24 Januari 2004 antara mewujudkan Bandar baru Tangok, pelabuhan Kemasin, hotel dan membina kilang.
Sekarang apa yang ada di Bachok di bawah pimpinan Timbalan Menteri Kewangan.
Dr Fadzli berkata, rakyat Malaysia masih ingat pemimpin mana yang menarik bantuan perkapita kepada sekolah agama rakyat (SAR) dengan alasan tidak masuk akal.
“Sekarang Umno berjanji pula hendak memperkasa SAR dan memantapkan sekolah pondok. Hasil politik sempit pemimpin Umno menyebabkan ada sekolah SAR terpaksa ditutup di luar Kelantan.
“SAR di Kelantan bernasib baik kerana mendapat bantuan kerajaan negeri. Setiap tahun kita memperuntukkan kira-kira RM80 juta kepada Yayasan Islam Kelantan bagi mengurus sekolah agama,” katanya.
Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Kelantan, Abdul Aziz Kadir berkata, di mana Takaful Merdeka yang pernah diwujudkan Umno Kelantan sebelum ini bagi membela ahli Umno.
“Apa peranan Yayasan Kemiskinan Kelantan yang tersegam indah di Peringat sejak dahulu sehingga sekarang.
“Kita hendak tahu berapa ramai penduduk miskin yang dibantu, atau Yayasan itu sekadar tempat Umno Ketereh menganjurkan program sahaja,” katanya.
Timbalan Speaker Dun Kelantan, Mohd Zaki Ibrahim berkata, janji projek tebatan banjir di Sungai Golok dibuat sejak zaman Tun Dr Mahathir Mohamad lagi, namun sampai sekarang tidak menjadi kenyataan.
Begitu juga projek lebuh raya Kuala Krai-Kota Bharu pernah dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Kelima pada 1986, namun sampai sehingga hanya sekadar omongan semata-mata.
Siapa arah padam Bancian Manifesto portal Sinar?
| Harakahdaily, | 12 Apr 2013 |

KUALA LUMPUR: Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) hari ini berasa terkejut dengan sikap luar biasa yang ditunjukkan oleh portal Sinar Harian apabila beberapa kotak bancian online di sebelah kanan portal tersebut telah dipadam.
Pengarah Propaganda SAMM, Edy Noor Reduan berkata, sebagai media arus perdana baru yang mengamalkan 'media baru', SAMM memuji portal Sinar Harian di atas pelbagai bancian yang dipaparkan di satu sudut demi mendapat maklum balas dari pembaca, berbeza dengan era media konvensional yang sehala.
Namun, ujarnya bancian undian yang berkisar mengenai pilihan di antara manifesto Barisan Nasional dan juga manifesto Pakatan Rakyat tidak bertahan lama seperti kebiasaannya.
Katanya, kali terakhir bancian tersebut kelihatan di portal Sinar Harian ialah pada lewat malam tadi.
Tambahnya, terdapat tiga bancian mengenai manifesto pilihanraya hilang dari paparan. Salah satu bancian berbunyi "Jika anda seorang pengundi, manifesto parti mana yang memikat perhatian anda?".
Hasil bancian dari lebih 10 ribu responden menunjukkan 81% memilih manifesto PR manakala selebihnya 19% berpihak kepada BN.
“Mengapa bancian online tersebut hilang secara tiba-tiba?” soal beliau dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.
Sedangkan, kata beliau sering kali bancian online di portal Sinar akan terpapar sepanjang masa dan tidak hilang walaupun bancian yang baru masuk mengambil tempat.
Beliau bertanya, apakah ada tekanan dari Kementerian Dalam Negeri atau SKMM agar tiada bancian mengenai manifesto dipapar.
“Apakah bancian mengenai manifesto pilihan itu mengancam keselamatan negara dan boleh menimbulkan huru-hara sehingga perlu dipadam?” katanya lagi.
Dalam perkara ini, ujarnya SAMM sesekali tidak menyalahkan pihak portal Sinar Harian.
Menurutnya, SAMM yakin dan percaya bahawa Sinar Harian merupakan media yang telus dan berani dengan penyiaran berita yang neutral dan dengan keberanian itu juga, Portal Sinar Harian telah menyiarkan bancian manifesto yang kemudiannya dipadam.
Justeru, kata beliau SAMM tidak menolak kemungkinan ada tekanan besar dari pihak yang terdesak agar bancian online itu ditarik dari terus dipaparkan.
Tambahnya, SAMM juga mendesak supaya pihak portal Sinar Harian memberi sedikit penjelasan apa yang sebenarnya telah berlaku.
“Jika benar Sinar Harian ditekan, nyatakanlah kebenaran itu dan rakyat akan bersama dengan kebenaran.
“Kesempatan ini juga SAMM mengucapkan syabas kepada media neutral Sinar Harian kerana acap kali melaporkan berita tanpa berselindung seperti mana yang diamalkan oleh media konvensional arus perdana yang lain,” katanya lagi.
Bidang kuasa kerajaan sementara
| Tan Sri Khalid Ibrahim, MB Selangor, | 12 Apr 2013 |
Majlis
Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada 13 Feb 2012 telah meluluskan
garis panduan yang disediakan Penasihat Undang-undang Kerajaan Selangor
berhubung fungsi dan had kuasa sebuah kerajaan sementara.Garis panduan berkenaan disedia berasaskan Perlembagaan Negeri Selangor (Undang-undang Tubuh Negeri Selangor 1959).
Garis panduan itu antara lain menyatakan kerajaan sementara terdiri daripada Menteri Besar dan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO).
Perlembagaan Negeri Selangor menyatakan bahawa kerajaan sementara wujud bermula selepas Dewan Negeri Selangor dibubarkan sehingga persidangan pertama Ahli Dewan Negeri yang baru dilantik.
Kerajaan sementara mesti mengelak daripada membuat polisi baharu, meminda polisi sedia ada atau mengadakan kontrak dan perjanjian baharu.
Oleh itu, kerajaan sementara bebas meneruskan polisi, program serta melaksanakan keputusan yang telah dibuat dalam sidang Dewan Negeri Selangor dan mesyuarat MMKN sebelum Dewan Negeri dibubarkan.
Mengenai penggunaan kenderaan rasmi kerajaan negeri, Penasihat Undang-undang Negeri menyatakan bahawa;
“Ahli-ahli kerajaan sementara boleh menggunakan apa-apa harta, peralatan atau jentera kerajaan dalam tugasan harian rasmi dan tujuan awam. Walau bagaimanapun, harta, peralatan atau jentera Kerajaan tersebut tidak boleh digunakan bagi tujuan politik.
“Harta tersebut hendaklah digunakan bagi tujuan awam sahaja. Sebagai contoh, kenderaan rasmi, premis Kerajaan dan jentera kerajaan tidak boleh digunakan bagi tujuan kempen pilihan raya oleh mana-mana parti politik.”
Mengenai pemberian bonus RM300 kepada kakitangan kerajaan negeri yang dibangkitkan oleh BERSIH, perlu ditegaskan bahawa pemberian bonus ini diputuskan dalam Mesyuarat MMKN pada 3 April 2013 iaitu tarikh sama kerajaan negeri meluluskan geran untuk polisi komuniti.
Pemberian Geran Tanah kepada penduduk di Bestari Jaya merupakan sebahagian daripada program pemilikan rumah yang dilancarkan pada 2010.
Pada tahun yang sama, kerajaan negeri memberi kelonggaran pemilik tanah yang tidak mampu membayar premium minima RM1,000 boleh mendapatkan bantuan daripada kerajaan dengan melakukan kerja-kerja kebajikan yang dipantau oleh pegawai kerajaan sebagai pertukaran.
Merujuk kepada kenyataan oleh BERSIH, Penasihat Undang-undang Kerajaan Negeri memaklumkan kepada Menteri Besar bahawa;
“Kerajaan sementara hanya mengimplementasikan sahaja keputusan yang telah dibuat demi memastikan kepentingan dan kebajikan rakyat Negeri Selangor tidak terjejas dan senantiasa terpelihara dalam tempoh kerajaan sementara.
“Juga ditegaskan keputusan serta tindakan yang dibuat ini sama sekali bukan untuk meraih undi atau seumpamanya dan tidak bercanggah dengan code of conduct kerajaan sementara.”
Kerajaan Negeri berharap agar BERSIH menentukan kesahihan semua fakta dan undang-undang dengan terperinci sebelum membuat sebarang tohmahan.
Sebagai kerajaan sementara di Selangor, Pakatan Rakyat komited untuk memastikan birokrasi berfungsi tetapi sentiasa berhati-hati untuk tidak menyalahgunakan dana awam untuk tujuan kempen pada Pilihan Raya Umum ke-13.
Serangan Perkasa tidak patah semangat Tolak
| Mohd Sabri Said, | 12 Apr 2013 |
GEORGETOWN:
Tindakan Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) Pulau Pinang mengugut
untuk memukul sekiranya tidak segera keluar daripada Pulau Pinang tidak
sedikit pun menakut dan merencatkan perjuangan Gelombang Anak Muda Tolak
Umno/BN (Tolak) yang mengadakan demontrasi aman di Komplek Tun Abdul
Razak (Komtar) semalam.Pengerusi Tolak, Muhamad Azan Safian (gambar) ketika menceritakan pada Harakahdaily beranggapan cubaan mengugut dengan kata-kata kesat itu adalah sebahagian kecil daripada apa yang dihadapi oleh pejuang Islam ketika Islam berada di bawah.
Kini terangnya, Islam sudah berkembang jika masih ada segolongan manusia berfikiran sempit dan dangkal berlagak 'samseng' nyata mereka jauh dari ketamadunan dan kebebasan bersuara.
"Siapa tak kenal dengan Perkasa yang berlagak samseng kampung. Bagi kami perjuangan tetap diteruskan dengan mengajak anak muda khususnya golongan cerdik pandai bersatu memberikan sokongan padu pada Pakatan Rakyat dengan menolak BN," ujarnya.
Menurutnya, ketika berkunjung ke Pasar Bayan Baru, Megamall dan Komtar masalah tidak timbul malahan memberansangkan terutamanya masyarakat Tionghua dan India yang sedia memberikan sokongan.
Namun, bila sudah berjemaah di sebuah surau berhampiran Komtar, Perkasa datang menengking sebahagia kecil aktivis Tolak dengan berbagai kata-kata yang tidak sepatutnya keluar dari mulut orang mengaku beriman.
"Selepas solat Asar kami berpecah kerana ada yang nak cari makan. Tiba-tiba saya didatangi sekumpulan Perkasa dalam keadaan marah-marah. Saya cuba pertahankan tindakan Konvoi Tolak tetapi mereka terus bersuara lantang menghina Musyidul Am PAS Tuan Guru Nik Aziz serta berbau ugutan demi ugutan," katanya yang datang secara berkonvoi seramai 200 orang.
Beliau terus mempertahankan tindakan tanpa rasa gentar sehingga geng Perkasa berlalu apabila rakan-rakan Tolak mengelilingi mereka.
Negeri Pulau Pinang adalah negeri ke tiga konvoi NGO Tolak dan ia dianggap satu kejayaan ekoran terdapatnya rintangan yang boleh meningkatkan lagi prestasi Tolak di mata rakyat.
Semasa di Bagan Serai, dua kereta aktivis Tolak dipecahkan cerminnya.
Apakah pilihan kita itu memang pilihan kita?
| Prof Madya Dato’ Dr Mohd Asri Zainul Abidin, | 12 Apr 2013 |
Oleh sebab mereka tiada pengalaman merasai makanan jepun mereka kata ‘kami mahu menu yang sedap’. Pelayan itu pun mula membuat cadangan yang sedap pada pendapat beliau. Mereka pun setuju dan memesan makanan berdasarkan cadangan tersebut. Setelah makanan dihidangkan, para pelanggan Melayu berkenaan mendapati ia tidak sedap seperti yang diharapkan. Kata mereka: ‘Ini tidak sedap! Kami minta yang sedap! Dah la harganya pula mahal, kita tertipu!’. Pelayan menjawab: “Saya berikan berdasarkan pilihan tuan-tuan. Saya tidak bersalah. Tuan-tuan telah membuat pilihan tadi tanpa sebarang paksaan”.
Terhad
Saya mulakan sketch di atas sebagai gambaran bagaimana manusia kemungkinan memilih apa yang bukan menjadi hasratnya sekalipun dia diberikan kebebasan memilih. Hal ini juga dibincangkan oleh ahli-ahli theology, falsafah dan kerohanian tentang sejauh manakah manusia benar-benar memilih apa yang dia benar-benar mahukan. Who decides? Do I choose for myself? Am I really free to decide? Namun saya tidak mahu tenggelam dalam perbahasan mereka. Saya ingin membahaskan perkara ini dengan lebih simple terutamanya di musim pilihan raya ini.
Kegagalan para pelanggan tadi memilih apa yang mereka benar-benar mahukan iaitu makanan yang sedap adalah disebabkan beberapa perkara. Antaranya, mungkin makanan yang sedap yang mengikut selera Melayu mereka tidak wujud di restoran berkenaan. Maka, walaupun hak memilih diberikan, namun pilihan mereka terbatas dan apa yang dihajati tidak wujud dalam senarai pemilihan. Ini juga berlaku dalam hidup kita di mana kita kadangkala walaupun mempunyai ruangan memilih tetapi apa yang menjadi pilihan kita tiada dalam senarai yang boleh kita pilih. Ini telah membataskan kebebasan pemilihan yang ada. Sehingga seseorang mungkin terpaksa memilih yang terbaik antara yang buruk-buruk. Ini disebut dalam qawaid fiqhiyyah ‘Yukhtar Ahwan al-Syarrain’ atau Akhaf al-Dararain iaitu dipilih keburukan ataupun kemudaratan yang paling ringan dibandingkan yang lain. Ertinya jika tiada pilihan kita disuruh memilih bahaya yang paling kurang dibandingkan yang lain.
Pengetahuan
Kedua, kebebasan pemilihan tidak memberikan apa-apa makna jika kita tidak mempunyai pengetahuan tentang apa yang kita pilih. Ini seperti kaki ‘tikam ekor’ yang sekalipun dia memilih nombor yang dia mahu, tetapi semuanya tidak berasaskan ilmu pengetahuan. Kejahilan! Ya kejahilan akan mensia-siakan kebebasan memilih sesuatu. Para pelanggan Japanese Restaurant tadi jahil tentang makanan Jepun. Sekalipun mereka diberikan peluang memilih, tetapi memilih dalam kejahilan. Oleh sebab mereka jahil, maka terpaksa bergantung kepada pihak lain yang belum tentu tahu apakah maksud ‘sedap’ yang sebenarnya menjadi hasrat mereka. Ataupun, mereka tertipu kerana mereka mudah ditipu sebab tidak tahu. Mereka terdedah untuk ditipu atas nama pilihan sendiri. Padahal pilihan mereka ditentukan oleh pihak lain disebabkan kegagalan ilmu untuk menentukan pilihan yang benar-benar dikehendaki.
Justeru, memberikan kebebasan memilih tetapi tidak memberikan ilmu mengenai pilihan yang ada hanya mensia-siakan hak pemilihan. Akhirnya, walaupun seseorang mempunyai hak memilih tetapi pilihannya ditentukan oleh pihak lain yang mengambil kesempatan atas kejahilan. Dalam kata lain, memberikan kebebasan memilih, tapi tidak diberikan ruang ilmu untuk mengetahui senarai pilihan dengan adil dan betul adalah satu penipuan.
Kesempatan
Manusia hari ini banyak yang tertipu oleh iklan palsu. Dunia advertisement mempunyai seni yang tersendiri untuk mempengaruhi pelanggan sehingga mereka membeli apa yang bukan sebenarnya hasrat mereka. Media-massa demikian juga. Manusia akhirnya mempercayai apa yang bukan sebenarnya mereka patut percayai. Kedangkalan pengetahuan boleh diambil kesempatan oleh pihak lain untuk menipu pilihan seseorang.
Dalam pilihan raya, jika kebebasan memilih diberikan tetapi peluang untuk rakyat mengenali setiap calon dan parti secara adil tidak diberikan maka itu mensia-siakan hak memilih. Jika ada pihak yang menghalang rakyat mengetahui latar senarai pilihan secara adil dan saksama bererti pihak itu adalah penipu dan perosak kepada hak memilih yang sebenar rakyat.
Islam melarang kita mengikut ataupun memilih sesuatu tanpa ilmu yang cukup. Firman Allah: (maksudnya):
“Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta jantung akal kamu, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya”. (Surah al-Isra : ayat 36).
Al-Quran menyuruh untuk kita mendengar dari pelbagai maklumat dan mengikut yang terbaik. Inilah yang dipanggil Ulul Albab. (maksudnya)
“...oleh itu gembirakanlah hamba-hambaKu. (Iaitu) mereka yang berusaha mendengar perkataan (yang sampaikan) lalu mereka menurut yang terbaik; mereka itulah orang-orang yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah dan mereka itulah Ulul Albab.” (surah al-Zumar : ayat 17-18).
Ertinya, untuk seseorang dapat menjadi insan yang baik dia hendaklah mendengar pelbagai maklumat kemudian mengikut yang terbaik dari apa yang didengari dan dipelajari. Jika ada pihak yang menghalang rakyat dari ruang mendapat maklumat yang seimbang, maka itu satu usaha untuk menyesat rakyat dari pilihan yang betul samada dalam pemikiran ataupun politik. Tariq Ramadan dalam The Quest For Meaning menyebut:
“...any society that does not guarantee the conditions for survival and life of all, education for all and rule of law to defend individual freedom (in the handling of interpersonal relationships) is a society that fails to respect basic human rights. It deprives its members of their potential and their powers, and, at best, encourages their illusions as to the immensity of power offered by the virtuality of their will, their dreams and their imagination.” (57-58. Penguin Books, UK).
Tertipu
Menipu dengan cara mengelirukan pemilihan orang lain adalah satu kesalahan. Penipuan bererti mengkaburkan pengetahuan pihak yang memilih sehingga dia memilih apa yang bukan pilihannya. Justeru itu suatu ketika, Rasulullah SAW melintasi satu bekas makanan (untuk dijual), lalu baginda memasukkan tangannya ke dalamnya. Tangan baginda menjadi basah. Baginda pun bersabda:
“Apakah ini wahai empunya makanan (peniaga)?. Dia menjawab: Terkena hujan, wahai Rasulullah!. Baginda bersabda: Mengapa engkau tidak jadikan bahagian yang basah itu di atas makanan supaya orang boleh nampak! Sesiapa yang menipu, dia bukan dari pengikutku.” (Riwayat Muslim).
Jika dilihat dalam konteks pilihan raya, ramai yang menyembunyikan hakikat dan menzahir yang baik sehingga orang ramai tertipu. Mereka menyangka mereka membeli barangan yang baik, padahal itu sebenarnya buruk. Mereka sangka mereka undi pihak yang baik, sebenarnya mereka memilih yang buruk. Namun, kempen yang bohong telah merosakkan hasrat pemilihan mereka yang sebenar. Sesiapa yang terlibat dalam kempen yang sedemikian, dia bukan dalam pengikut umat Nabi SAW.
Kita impikan kerajaan dan pemimpin yang menjamin hak-hak rakyat memilih dengan cara yang adil dan saksama. Pemberian hak mengundi secara bebas tidak bermakna jika ruang mengetahui apa yang hendak dipilih secara adil tidak bebas dan diberikan secara yang adil juga. Keadilan media awam amatlah penting dalam proses pilihan raya yang adil. Jika tidak, kita memilih apa yang bukan pilihan kita kerana kita tertipu.
Imam diperlukan Madrasah An Na'naimah
| Sariffudin Mohd Noor, |
Assalammualaikum dan salam sejahtera,
Tuan dan Puan
Izinkan saya memperkenalkan diri saya, Nama saya Sariffudin Mohd Noor Setiausaha Madrasah An Na'naimah yang baru di lantik. Madrasah ini terletak di Kelana Jaya yang beralamat No.131 Lorong SS7/17J Taman Sri Kelana Kelana Jaya.
Kami memerlukan pertolongan dari pihak tuan dan puan untuk membantu kami mewartakan iklan keperluan seorang imam untuk madrasah kami. Madrasah ini tidak mempunyai imam selama empat (4) Bulan.
Pihak kami ada menyediakan tempat tinggal bersuaian dengan status bujang.(Kawasan Madrasah) Gaji dan Elaun Khas. Elaun Perubatan dan lain-lain lagi.
Calon mesti mempunyai ijazah yang sah di iktiraf oleh kerajaan ataupun dari sekolah pondok yang sama tarafnya.
Saya boleh di hubungi di talian 018 2528433 atau email saya sariffudin69@yahoo.com.my atau Tuan Hj Marzuki Ariffin di 012 2608048. Saya tiada pilihan , kerana berhubungan dengan pihak tuan dan tuan..
Sekian, terima kasih.
Jazakallahuakhir
Tuan dan Puan
Izinkan saya memperkenalkan diri saya, Nama saya Sariffudin Mohd Noor Setiausaha Madrasah An Na'naimah yang baru di lantik. Madrasah ini terletak di Kelana Jaya yang beralamat No.131 Lorong SS7/17J Taman Sri Kelana Kelana Jaya.
Kami memerlukan pertolongan dari pihak tuan dan puan untuk membantu kami mewartakan iklan keperluan seorang imam untuk madrasah kami. Madrasah ini tidak mempunyai imam selama empat (4) Bulan.
Pihak kami ada menyediakan tempat tinggal bersuaian dengan status bujang.(Kawasan Madrasah) Gaji dan Elaun Khas. Elaun Perubatan dan lain-lain lagi.
Calon mesti mempunyai ijazah yang sah di iktiraf oleh kerajaan ataupun dari sekolah pondok yang sama tarafnya.
Saya boleh di hubungi di talian 018 2528433 atau email saya sariffudin69@yahoo.com.my atau Tuan Hj Marzuki Ariffin di 012 2608048. Saya tiada pilihan , kerana berhubungan dengan pihak tuan dan tuan..
Sekian, terima kasih.
Jazakallahuakhir
Pandangan Islam terhadap kaedah muslihat dalam peperangan
| Mohd Azmir bin Maideen, | 12 Apr 2013 |
Dalam al-Quran sendiri, terdapat banyak kalimah seerti dengan muslihat - makar - “tipu daya” ataupun “perencanaan helah” yang bukan sahaja dinisbahkan kepada musuh-musuh Islam, tetapi juga dinisbahkan kepada Allah Taala. Begitupun maksud ayat-ayat tersebut adalah Allah mengatur kesemua urusan hamba-Nya kerana Dia merupakan Pemilik Yang Mengurus dan tiada satu pun pengurus berada di luar pengurusan-Nya. Dalam erti kata lain, segala muslihat musuh-musuh-Nya mampu dikalahkan dengan perencanaan Allah Yang Maha Agung.
Allah Taala berfirman:
"Dan sesungguhnya orang-orang kafir yang sebelum mereka telah melancarkan rancangan jahat (tipu daya terhadap Nabi-nabi mereka): oleh itu, (janganlah engkau bimbang kerana) bagi Allah jualah kuasa menggagalkan segala jenis rancangan jahat. Ia mengetahui apa yang diusahakan oleh tiap-tiap diri; dan orang-orang yang kafir akan mengetahui bagi siapakah balasan (yang baik dan yang buruk) pada hari akhirat kelak." (surah al-Ra'd : ayat 42)
Ayat ini menegaskan bahawa “pengaturan holistik” adalah milik Allah Taala dan pengurusan mereka yang lain semuanya tidak akan mampu mengatasi perancangan Ilahi. Justeru ia bertujuan memotivasikan Baginda Rasulullah SAW dan umat Islam tentang ketidakupayaan musuh-musuh Islam menghapuskan Islam kerana bakal berhadapan dengan kebijaksanaan Allah untuk mematahkan setiap perancangan jahat mereka.
Sebahagian mufassirin menghuraikan ayat di atas berikutan kisah Nabi Isa AS yang dikhianati oleh pengikutnya bernama Judas. Termasuklah juga orang-orang Yahudi merencana pelbagai tuduhan dan tipu daya terhadap Baginda Isa AS. Berbagai-bagai macam cara mereka lakukan, bermula dengan menuduh ibunya, Maryam berzina dengan bekas tunangnya, Yusuf an-Najjar padahal Maryam adalah wanita suci. Selanjutnya menuduh Nabi Isa AS melakukan khurafat serta memfitnahnya kepada penguasa bahawa Nabi Isa mahu menggulingkan kerajaan Rom.
Kaum kafirin merancang perbuatan jahat sehingga ke tahap merencana niat busuk yang terselubung matlamat membunuh Nabi Isa AS. Namun, Allah juga merancang tipu daya-Nya, tetapi tipu daya Allah dengan tujuan yang baik yakni menghalang rencana jahat yang dirancang oleh mereka itu. Lalu wajah Judas diserupakan dengan wajah Nabi Isa sehingga tentera Rom menyangka Judas adalah Isa yang sebenar, ditangkap dan kemudian disalibnya.
Demikianlah Allah membalas makar atau tipu daya mereka, memang Allah adalah sebaik-baik pembalas tipu daya. Allah Taala berfirman di dalam surah Al-Anfal ayat 30;
"Dan ingatlah (wahai Muhammad), ketika orang-orang kafir musyrik (Makkah) menjalankan tipu daya terhadapmu untuk menahanmu, atau membunuhmu, atau mengusirmu. Mereka menjalankan tipu daya dan Allah menggagalkan tipu daya (mereka), kerana Allah sebaik-baik yang menggagalkan tipu daya."
Ayat di atas, para mufassirin menggambarkan pula perancangan tokoh kaum Musyrikin Makkah di balai Dar an-Nadwah, yakni beberapa hari sebelum peristiwa Hijrah. Mereka merancang untuk membunuh Nabi Muhammad SAW dengan tujuan membendung dakwah Islamiyah. Namun, rencana busuk mereka dipatahkan oleh Allah Taala.
Allah Yang Maha Mengetahui itu melakukan pula rencana-Nya membalas tipu daya dan gagallah semua makar (tipu daya) yang mereka rencanakan itu. Dalam hal ini, bukanlah bererti Islam membenarkan pula umat Islam melakukan tipu daya ataupun helah secara mutlak. Akan tetapi, umat Islam boleh melakukan kaedah muslihat dalam hal mencapai kebaikan sekalipun dalam medan peperangan.
Justeru, dalam peperangan yang dipenuhi tipu muslihat musuh, maka Rasulullah SAW turut mengizinkan umatnya melakukan hal yang sama dengan syarat menjaga janji, memelihara jaminan dan menunaikan tawaran. Larangan itu terdapat di dalam surah Al Anfal ayat 56;
"(Iaitu) orang-orang yang engkau telah mengikat perjanjian setia dengan mereka, kemudian mereka mencabuli perjanjian setianya pada tiap-tiap kali, sedang mereka tidak mahu memelihara dirinya (dari keaiban mencabuli perjanjian itu)."
Selain muslihat yang dibicarakan di dalam al-Quran, hadis-hadis juga menemukan kita tentang muslihat yang diperbolehkan oleh Islam. Antaranya menerusi riwayat at-Tirmizi di dalam Sunannya bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Berbohong itu tidak halal (tidak dibenarkan) kecuali dalam tiga perkara (iaitu) suami pada isterinya agar mendapat redha isterinya, bohong dalam peperangan, dan bohong untuk mendamaikan di antara manusia.”
Muslihat Rasulullah SAW Menentang Perikatan Ahzab
Di dalam sebuah hadis yang redaksinya juga hampir sama dengan hadis di atas ialah hadis daripada Jabir Ibnu Abdillah RA bahawa Nabi SAW bersabda (maksudnya), "Peperangan itu adalah muslihat (tipu daya)."
Jika kita merujuk hadis di atas, Baginda Nabi SAW menyatakan bahawa peperangan itu adalah tipu daya demi memperoleh kemenangan sekali gus mengalahkan lawan. Nabi SAW menuturkan kaedah muslihat seperti dalam peristiwa peperangan Khandak, iaitu ketika Baginda Rasulullah mengutuskan Nu'aim ibn Mas'ud al-Asyja’ie RA untuk menimbulkan kekacauan antara golongan Quraish dengan golongan Yahudi bani Quraizah.
Nu’aim ibn Mas’ud merupakan orang kepercayaan kaum kafir Quraish termasuklah golongan Yahudi terutamanya daripada kaumnya sendiri, bani Ghothofan. Beliau memeluk Islam tanpa pengetahuan kaumnya dan berhasrat untuk membantu Rasulullah SAW dengan cara bertemu golongan Yahudi bani Quraizah yang telah membatalkan perjanjian dengan kaum Muslimin. Beliau menggunakan tipu muslihatnya untuk menggesa bani Quraizah supaya tidak terlibat dalam peperangan.
Nu’aim mengatakan bahawa kumpulan Yahudi yang lain seperti bani Qainuqa’ dan bani Nadhir telah diusir, dan harta benda serta tanah mereka telah dirampas manakala orang-orang Quraish dan Ghothofan pula akan pulang ke negeri masing-masing sekiranya tidak berpeluang mengalahkan Muslimin.
Nu’aim mencadangkan agar bani Quraizah mendapatkan beberapa orang pembesar Quraish dan kabilah bani Ghothofan sebagai tawanan supaya mereka tidak meninggalkan bani Quraizah sendirian menghadapi peperangan. Pemuka bani Quraizah memandang baik cadangan tersebut.
“Engkau telah memberikan pendapat yang amat baik,” kata para pemimpin Yahudi bani Quraizah tanpa curiga. Mereka tidak tahu Nu'aim ibn Mas'ud telah menjadi memeluk Islam.
Nu'aim kemudiannya berjumpa dengan Abu Sufyan dan pemimpin-pemimpin Quraish yang lain. Nu'aim menceritakan bahawa bani Quraizah menyesal terhadap tindakan mereka membatalkan perjanjian dengan Muhammad dan ingin menculik beberapa orang pemimpin Quraisy untuk diserahkan kepada Muhammad untuk mematerikan semula perjanjian yang telah dibatalkan.
Nu’aim juga sempat berpesan agar mereka tidak menyerahkan seorang pun pada mereka. Kemudian beliau berjumpa kabilahnya dari bani Ghothofan dan menceritakan apa yang telah diceritakan kepada kaum Quraish.
Selepas itu Abu Sufyan menghantar utusannya berjumpa bani Quraizah mengajak mereka melancarkan serangan keesokan harinya. Bani Quraizah enggan dan mengatakan bahawa mereka tidak akan berperang sehinggalah kaum Quraish dan Ghothofan menyerahkan orang-orang mereka sebagai tawanan. Kaum Quraish dan Ghothofan menyangka apa yang disampaikan oleh Nu’aim ibn Mas’ud itu benar. Akibatnya kesatuan perikatan Ahzab berkecai dan mereka saling meragui sesama mereka.
Muslihat Qutuz Menentang Monggol
Imam az-Zahabi RA menyebut peribadi Sultan Saifuddin Qutuz di dalam Siyar A’lam an Nubala’, "Beliau adalah pemerintah yang mendapat (pahala) syahid, beliau merupakan pahlawan yang berani, berpegang kuat dengan agama dan mencintai rakyatnya. Beliau menewaskan Tatar dan membersihkan tanah Syam di hari peristiwa Ayn Jalut. Moga-moga Allah menerima usaha jihadnya. Ketika beliau menghembuskan nafasnya, beliau masih muda belia."
Sewaktu Monggol berusaha untuk menjajah Mesir, Sultan Kerajaan Mamluk ketika itu Sultan Saifuddin Qutuz telah mengarahkan para panglimanya agar menghantar setiap pasukan tentera keluar berperang ke Ayn Jalut, Palestin. Tujuannya adalah supaya jika ditakdirkan tentera Islam tewas di Ayn Jalut, maka mereka masih mempunyai peluang di Mesir untuk mengatur strategi memerangi pasukan Tatar.
Antara panglima hebat yang diarahkan ke Ayn Jalut ialah Ruknuddin Baybers termasuklah Sultan Saifuddin Qutuz sendiri. Manakala Farisuddin Aqtai, salah seorang panglima kerajaan Mamluk yang berpengalaman diminta bertahan di kota Mesir. Setiap pasukan diarah untuk berdepan dengan Mongol secara peringkat demi peringkat. Ketika pasukan pertama yang dipimpin oleh Ruknuddin Baybers, Sultan Saifuddin Qutuz mengarahkan agar Baybers dan tenteranya berundur dan berpura-pura lemah.
Muslihat itu adalah helah yang sama digunakan oleh tentera Islam di dalam peperangan Nahawand, ketika tentera Islam di zaman Saidina Umar al-Khattab membuka Parsi. Muslihat ini kemudiannya digunakan untuk menarik tentera Tatar yang sudah keletihan masuk ke tengah-tengah kepungan. Ia bukanlah taktik yang mudah. Ia memerlukan satu perkiraan yang tepat. Terlalu cepat akan menyebabkan musuh menyedari taktik tersebut. Terlalu lambat akan menyebabkan kematian tentera Islam.
Strategi ini divariasikan lagi dengan kemasukan pasukan gendang di medan perang. Para pasukan gendang memainkan rentak yang memberikan isyarat-isyarat tertentu kepada tentera Mamluk.
Isyarat tersebut hanya mampu difahami oleh tentera Mamluk. Setiap pergerakan tentera akan ditentukan oleh gendang tersebut. Maka, gendang-gendang dipukul itu bukanlah sekadar menjentera semangat, tetapi ia dipalu termasuk di dalam strategi peperangan yang digunakan agar tentera-tentera Mamluk sama ada pasukan berkuda, pasukan memanah, pasukan tombak, tahu tindakan-tindakan yang seterusnya dilakukan.
Setiap pasukan tentera juga membawa "runk". Di dalam bahasa Parsi, runk memberikan maksud warna panji, syiar ataupun simbol yang menunjukkan kewujudan ketua bagi setiap runk. Qutuz mengarahkan setiap pasukan memegang runk yang bermacam-macam warnanya. Ada yang warna hijau, putih, merah, biru, kuning untuk memperlihatkan kepada pasukan Tatar pada waktu itu bahawa kumpulan tentera Islam ramai, berbagai kabilah dan masing-masing bersatu untuk berperang.
Muslihat ini telah berjaya menggerunkan pasukan Tatar terutamanya Katabgha Khan yang ketika itu mengetuai strategi serangan angkatan tentera Tatar.
Muslihat Tun Perak Terhadap Tentera Siam
Dalam sejarah Melayu yang direkodkan dari kitab Sulalatus Salatin ada juga menceritakan kebijaksanaan Tun Perak mengatur muslihat peperangan iaitu dengan menambat puntung api pada pokok-pokok yang berada di sepanjang sungai sebagai helah untuk menunjukkan angkatan Melaka mempunyai bilangan anggota yang ramai.
Tun Perak telah diberi tanggungjawab mengetuai angkatan perang Melaka menyekat kemaraan angkatan perang Siam. Angkatan Siam berkampung di Batu Pahat. Walau bagaimanapun Tun Perak berhasrat untuk mengelakkan berlaku pertempuran (peperangan) antara kedua-dua angkatan tersebut dengan cara menebang setiap pokok yang berada di sepanjang tebing sungai dan menambat di sekelilingnya dengan puntung api. Cahaya api yang begitu banyak dapat dilihat dengan jelas di seberang sungai.
Hal tersebut menyebabkan orang-orang Siam menyangka angkatan Melaka sangat besar, mempunyai bilangan yang ramai. Keadaan seperti ini tentu menunjukkan angkatan Melaka sangat kuat kerana lazimnya setiap puntung api dipegang oleh seorang hulubalang.
Akhirnya angkatan tentera Siam membatalkan rancangan menyerang Melaka kerana menyangka angkatan Melaka sangat besar dan kuat berbanding dengan kemampuan mereka. Mereka tidak menyangka muslihat yang dilaksanakan Tun Perak mengaburi mata orang-orang Siam itu.
Helah Tun perak yang mengetuai angkatan perang Melaka dapat mengelakkan berlaku pertempuran berdarah dan menyelamatkan Melaka dari ancaman Siam.
Setelah diutarakan pelbagai kaedah muslihat dalam peperangan, perlulah difahami bahawa muslihat bukanlah kaedah yang terpakai untuk semua keadaan, apatah lagi jika tujuannya untuk menipu, berbohong dan melakukan pengkhianatan. Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Mas’ud, Rasulullah SAW bersabda (maksudnya), “Benar itu membawa kebaikan dan kebaikan itu membawa ke syurga. Yang bercakap benar, akan ditulis benar, yang berbohong akan mendorong seseorang itu kepada kejahatan. Kejahatan itu akan membawa seseorang ke neraka dan apabila orang itu bercakap bohong, maka dia akan ditulis sebagai seorang yang pembohong.”
Para ulama sepakat mengatakan bahawa muslihat di medan peperangan harus dilakukan asalkan tidak merosakkan janji atau jaminan yang sudah diberikan, kerana tipu daya dalam perjanjian adalah haram hukumnya.
Dalam satu peperangan, Umar al-Khattab RA pernah mengutuskan surat kepada salah seorang tenteranya. Di dalam surat itu menyebut, "Telah sampai ke pengetahuanku, ada seorang lelaki yang memohon rawatan. Lelaki tersebut seorang kafir dan juga bukan berbangsa Arab. Ketika itu, salah seorang tentera Islam menenangkannya dan memberi jaminan untuk memulihkan kesakitan yang dialami oleh lelaki tersebut. Tetapi tawaran itu cuma helah, ia tidak ditunaikan bahkan lelaki kafir itu dibunuh. Demi jiwa ragaku di tangan-Nya (Allah), jangan ada seorangpun tentera Islam yang boleh melakukan penipuan seperti ini kecuali pasti akan ku penggal lehernya."
http://www.tarbawi.my
Ayat ‘BN ciplak manifesto PR’ pun kena ciplak
| Harakahdaily, | 10 Apr 2013 |
KUALA LUMPUR:
Percaya atau tidak. Bukan sahaja manifesto Pakatan Rakyat yang diceduk,
malah ayat ‘BN ciplak manifesto PR’ pun ditiru BN. Cuma BN ubah sikit
dari ciplak kepada cedok.Perkara itu jelas apabila Timbalan Pengerusi BN Tan Sri Muhyiddin Yassin menuduh Pakatan Rakyat meniru manifesto BN.
“Manifesto pilihan raya pakatan pembangkang sebenarnya hanya mengembangkan inisiatif yang telah dilaksana kerajaan Barisan Nasional (BN) selama ini.
"Mereka hanya menokok tambah apa yang telah dilaksanakan kerajaan BN, kemudian menjaja kononnya BN meniru agenda yang dibentangkan mereka,” kata Muhyiddin.
Pakatan telah membentangkan manifestonya pada 25 Februari lepas, sebulan setengah sebelum BN mengumumkan manifestonya pada 6 April secara langsung di semua media TV.
Ramai yang berpendapat bahawa banyak tawaran yang dikemukakan oleh PR ada di dalam manifesto BN.
Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali menunjukkan sembilan perkara yang diciplak oleh Barisan Nasional dari manifesto Pakatan.
Ia termasuklah menaikkan royalti minyak kepada negeri-negeri pengeluar minyak dari 5 ke 20 peratus, penurunan harga kereta dan juga lebuhraya di Sabah dan Sarawak.
Ketua Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli pula berkata 22 perkara dalam manifesto PR diceduk BN.
Meskipun demikian, Muhyiddin tetap menuduh PR meniru manifestonya.
“Selama
ini BN serang manifesto PR akan bangkrapkan negara. Jadi, BN marah PR
ciplak manifesto dia yang bakal bankrapkan negara? Atau BN akui cara dia
bakal bankrapkan negara? Tapi, buat apa PR nak ciplak manifesto yang
bakal bangkrapkan negara?” tulis Ketua Penerangan PAS Pusat Datuk Tuan
Ibrahim Tuan Man di laman Fbnya.Mengambil sudut tawaran turun harga kereta, Tuan Ibrahim menyoal mengapa setelah BN memerintah 56 tahun baru BN terlintas ada inisiatif untuk menurunkan harga kereta.
“Selepas PR umum turun harga kereta, BN serang kata tawaran itu akan bankrapkan negara.
"BN kemudian umum turun harga kereta, tuduh pula PR ciplak manifesto BN. Jadi BN masukkan benda yang bakal bankrapkan negara dalam manifesto dia?" sindir Tuan Ibrahim.
Pesuruhjaya PAS Pahang itu turut menyindir kehebatan kepimpinan BN dalam menceduk sehingga ayat “BN ciplak manifesto PR” turut diceduknya.
“Hebat BN ini. Ayat 'BN ciplak manifesto PR' pun kena ceduk menjadi 'PR ciplak BN',” sindir Tuan Ibrahim.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan