Dr Mahathir sedang usaha hancurkan negara - Salahudin
| Harakahdaily, | 12 Apr 2013 |
KUALA LUMPUR:
Saranan Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa akan berlaku konfrantasi kaum
jika Lim Kit Siang menang di Gelang Patah boleh menghancurkan negara
ini, kata Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub."Jika hancur negara ini kerana tercetusnya konfrontasi kaum akibat hasutan secara tidak langsungnya itu, Dr Mahathirlah yang bertanggungjawab.
"Kalau berulang lagi rusuhan kaum 13 Mei 1969, Dr Mahathirlah pencetusnya," tegas beliau.
Bagi Salahuddin, bekas Presiden Umno itu amat jelas anti-perpaduan dan sangat tidak bertanggungjawab apabila mendakwa kononnya konfrontasi kaum akan menggantikan kerjasama Melayu Cina di negara ini jika Lim Kit Siang menang di Gelang Patah.
Malah, katanya lagi, semakin terbukti dengan amat jelas kepada rakyat bahawa perbuatan mengapi-apikan kebencian antara kaum adalah satu-satunya senjata Umno untuk menghadapi kebangkitan rakyat dalam dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 ini.
Menulis dalam blognya, Perdana Menteri keempat itu berkata, "Apabila Kit Siang memutuskan untuk bertanding kerusi majoriti Cina di Gelang Patah, ia adalah disebabkan beliau mahu orang-orang Cina di situ dan di Johor menolak untuk berkerjasama dan berkongsi dengan orang-orang Melayu.
"Konfrontasi kaum yang tidak sihat akan menggantikan kerjasama Cina-Melayu yang menyebabkan Malaysia stabil dan makmur. Kerjasama itu akan berakhir jika Kit Siang menang di Gelang Patah".
Salahuddin menyifatkan tulisan Dr Mahathir itu secara tidak langsung menghasut supaya dicetuskan konfrontasi antara kaum jika Kit Siang menang.
"Walaupun beliau tidak menghasut secara langsung, tetapi apa yang ditulisnya jelas merupakan taktik untuk menghasut secara tidak langsung.
"Ia taktik lama yang sudah biasa kita lihat," katanya.Salahuddin berkata, sukar untuk ditolak kemungkinan mereka yang terpedaya dengan hasutan tidak langsung Dr Mahathir itu akan mengamuk dan mencetuskan konfrontasi antara kaum," katanya.
"Dr Mahathir mungkin memerah otak supaya tulisannya tidak dilihat menghasut tetapi semakin ia cuba untuk tidak kelihatan menghasut semakin terdedah niat yang cuba disembunyikannya itu.
"Kalau Dr Mahathir fikir cara dia menulis itu dapat menyembunyikan niatnya untuk mencetuskan konfrontasi kaum, ia tak ubah seperti menutup bangkai gajah dengan nyiru," katanya.
Bagi Salahuddin, Dr Mahathir hanya tahu melihat apa sahaja yang berlaku dari sudut pandangan perkauman Umno sahaja.
"Saya tidak mahulah kata Dr Mahathir menulis dari sudut pandangan perut busuk Umno tetapi bekas Presiden Umno itu sendiri pernah menulis Umno busuk hingga ke usus atau 'rotten to the core'.
"Dia hanya mampu melihat dari sudut itu sahaja dan tidak tahu apa-apa tentang perpaduan kaum yang semakin berjaya dibina oleh Pakatan Rakyat setelah dimusnahkan oleh sentimen perkauman yang tidak henti-henti diapi-apikan oleh Umno sejak selepas pilihan raya umum 2008 lalu," katanya.
Salahuddin menegaskan, tidak ada sebab sesiapa pun hendak berkonfrontasi jika Kit Siang menang di Gelang Patah.
"Kit Siang tidak membawa mesej perkauman sempit seperti Umno.
"Malah, beliau membawa semangat Datuk Onn Jaafar yang membuka keahlian Umno kepada semua kaum ketika beliau menjadi pemimpin parti itu," katanya.
Kit Siang sebelum ini menyeru semua pihak mencontohi pengasas Umno Datuk Onn Jaafar dengan bersikap melampaui sentimen perkauman dalam pilihan raya umum di Gelang Patah.
Calon Pakatan bagi Parlimen itu berharap "pertempuran" di kerusi itu merealisasikan "impian Malaysia" Datuk Onn ke arah penyatuan bangsa berbilang kaum, seperti tergambar daripada tindakannya untuk membuka keahlian Umno kepada semua pada 1951.
"Malah, saya merujuk kepada pengundi Gelang Patah sebagai rakyat Malaysia, bukan pengundi Cina, Melayu atau India demi mencapai 'impian Malaysia' masyarakat bersatu-padu," katanya.
Senario seronok rakyat mahu lihat selepas BN kalah
| Zulkifli Yahaya, | 12 Apr 2013 |

AGAK menarik untuk membayangkan apabila BN kalah di Pusat dalam PRU13 nanti. Senario kekalahan itu jika dapat diceritakan kepada rakyat, boleh memberi motivasi kepada mereka untuk menukar kerajaan kerana suasana yang berbeza daripada kebiasaan, selagi tidak menggugat kehidupan mereka, juga adalah impian sebahagian besar manusia
Hari ini, saban waktu kita menghadap televisyen hanya versi sebelah pihak yang diperolehi. Jika mereka melaporkan program kerajaan maka ia memang wajar kerana aktiviti kerajaan mesti diberi liputan.
Namun laporan berita yang dibuat tidak dapat membezakan antara kerajaan dan parti politik yang memerintah.
Perhimpunan Agung Umno mendapat liputan siaran langsung dan fokus selama berhari-hari. Persidangan Parlimen pun tidak mendapat liputan sehebat itu.
Rakyat umumnya naik muak setiap kali berlangsungnya Perhimpunan Agung Umno. Selepas ini tiada lagi liputan istimewa seperti itu untuk Umno.
Maka selepas ini liputan untuk PAS, KeADILan atau DAP ada dalam televisyen, radio dan akhbar tetapi tidaklah menjolok mata seperti perhimpunan Umno sekarang.
Sebelum ini, menjelang PRU atau pilihan raya kecil kerajaan BN turun atas nama kerajaan Pusat. Seluruh jentera kerajaan dikerahkan berkempen untuk BN dengan menggunakan peruntukan kerajaan.
Selepas ini tiada lagi. Semua parti politik sertai pilihan raya dengan menggunakan jentera serta kekuatan parti.
Hari ini, BN menjadi parti yang sangat berkuasa. Keangkuhan mereka cuma tidak mengatasi Firaun yang mengaku menjadi Tuhan. Mereka kononnya boleh memberi segalanya kepada rakyat.
Kerajaan dan BN atau Umno sudah jadi sinonim. Apa yang menjadi hak kerajaan adalah hakmilik BN sehingga pejabat parti pun dalam balai raya milik kerajaan.
Selepas PRU nanti, BN kehilangan semua itu kerana mereka hilang kerajaan Pusat. Tiada tempat untuk bertenggek. Untuk bermesyuarat atau merancang aktiviti mungkin boleh dibuat di bawah pokok tetapi untuk membiayai program parti mereka tiada sumber kewangan.
Tauke dan korporat tidak mahu lagi membantu kerana mereka tidak berhutang budi apa-apa lagi dengan pihak BN. Berapa hari agaknya mereka mampu bertahan?
Selama ini ramai yang menyokong Umno atau BN kerana kepentingan. Kerana projek, kedudukan, jawatan atau sekurang-kurangnya kerana mahu bernaung di bawah BN yang menerajui kerajaan.
Golongan berkepentingan ini akan meninggalkan BN yang kalah dan menyokong Pakatan yang menerajui Pusat.
Gerakan ini berlaku secara besar-besaran di seluruh negara. Parti Umno di semua peringkat akan runtuh satu demi satu macam komunis di era kejatuhannya. Satu demi satu negara komunis menuntut kemerdekaan.
Bagaimanapun diramalkan Umno tidaklah hancur terus.
Mereka akan diberi nafas baru oleh kumpulan ekstremis seperti Perkasa, Jati, Pekida dan sebagainya. pada masa itu Umno mungkin kehilangan wajah 1-Malaysianya. Perjuangan mereka menjadi semakin rasis, apatah lagi antara yang berkongsi kuasa pada masa itu ialah DAP.
Katalah dalam PRU nanti Pakatan menang dengan majoriti mudah. Ia tiada masalah asalkan boleh membentuk kerajaan dan seorang ahli Parlimen Pakatan mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri.
Selesakah ahli Parlimen BN untuk menjadi pembangkang setelah berpuluh-puluh tahun dalam posisi senang lenang sebagai orang kerajaan?
Seorang demi seorang akan melompat menyertai parti kerajaan kerana tidak mampu bertahan sebagai pembangkang. Akhirnya kerajaan Pusat dapat ditegakkan dengan majoriti dua pertiga ahli-ahli Dewan Rakyat.
Jika Pakatan menang di Pusat, mungkin tidak semua negeri akan turut dimenangi.
Jika ada negeri yang dikuasai BN, apakah mereka mampu bertahan sebagaimana Pakatan mampu mempertahankan empat negeri sehingga berakhirnya penggal?
Saya menjangkakan tidak, kerana mereka mereka tidak pernah mendapat tarbiyah sebagai pembangkang yang memulakan episod politik tanpa kerajaan. Mereka tidak pernah merasa susah, lalu memilih jalan lebih senang. jalan mudahnya ialah bersama kerajaan yang memerintah Pusat.
Tanpa perlu 'dibeli' para Adun BN itu akan melompat menyebelahi Pakatan sehingga tiada lagi kerajaan BN yang memerintah negeri.
Bagaimana halnya dengan negarawan ulung Tun Dr Mahathir Mohamad yang berkempen siang malam untuk mempertahankan kerajaan BN.
Ada yang meramalkan bahawa beliau dan keluarga akan meninggalkan negara sebelum keputusan diumumkan. Itupun andaian menarik yang ingin dilihat rakyat. Banyak sudah kesengsaraan yang ditanggung oleh Dato' Seri Anwar Ibrahim angkara Mahathir.
Takkanlah sepanjang 22 tahun memimpin kerajaan, tiada satu dakwaan pun boleh dikenakan terhadapnya.
Apakah nasibnya nanti sama dengan Suharto atau Hosni Mubarak? Atau Perdana Menteri pada masa itu berjiwa besar, memberi pengampunan kepadanya.
Itu semua andaian yang sangat menyeronokan untuk diikuti nanti.
Tidak mustahil untuk ia berlaku dan rakyat kena berusaha jika mahu melihat ia berlaku. Selepas berusaha kita bermunajat memohon Allah menyempurnakan cita-cita kita untuk melihat ia terjadi. Allah mempunyai kuasa mutlak untuk menjatuh atau menaikkan sesebuah kekuasaan. - http://www.kedahlanie.info
Kadang-kadang kenyataan Mahathir terlebih
| Salmiyah Harun, | 12 Apr 2013 |
PUTRAJAYA:
Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa menyifatkan bekas Perdana Menteri,
Tun Mahathir Mohamad seolah-olah seperti Nabi apabila boleh tahu perkara
yang hendak berlaku pada masa depan.Husam berkata demikian mengulas kenyataan Tun Mahathir di dalam blognya yang mengatakan akan berlaku konfrantasi kaum sekiranya Lim kit Siang menang di Gelang Patah.
Apabila diajukan soalan, Husam agak terkejut dengan kenyataan Mahathir itu dan berhasrat untuk berjumpa dengannya nanti.
"Tun Mahathir kata macam tu? Nanti saya hendak jumpa dia sebab saya datang tempat dia ni, nanti saya bincang dengan dia.
"Kalau boleh saya datang hendak jumpa Tun Mahathir dan minum kopi dengan dia semasa saya di sini. Tun ada Yayasan Perdana," katanya dalam sidang medianya di sini hari ini.
Husam tidak menafikan kadang-kadang Mahathir dilihat 'terlebih' dalam mengeluarkan kenyataan, tambah-tambah lagi apabila menjelang PRU.
"Tengok keadaanlah, benda-benda ini tidak berlaku lagi...Tun ni macam Nabi pula boleh tahu benda-benda lain yang hendak berlaku," katanya.
Melihat gelagat Tun Mahathir itu, Husam turut menceritakan bagaimana seorang pemandu teksi yang perasan dengan sikap Tun Mahathir seperti orang yang susah hati.
"Saya ingat dia ada banyak salah sama rakyat, dia takut kalah," tambah Husam memetik kata-kata pemandu teksi terbabit.
Pencuri Pilih Anjing
| Kemilau Publika, | 12 Apr 2013 |

Pencuri Pilih Anjing
oleh Ahmad Lutfi Othman
Harga: RM28.00/RM31.00
ISBN: 978-967-361-079-2
Tarikh Terbit: Mac 2013
Jumlah Muka Surat: 409
___Sinopsis_________________________________________________
Ramai yang berani menulis namun tidak ramai yang berani mencabar secara berhadapan dengan karenah, birokrasi dan kebiadapan KDN. Ironinya "peperangan" Lutfi dengan KDN secara tidak langsung menarik saya ikut bersamanya ke gelanggang pertarungan antara David dan Goliath tersebut. Apabila kegilaaan rejim penguasa menyekat kebebasan bersuara dengan bertindak menggeledah, merampas , mengugut dan menangkap para pengedar akhbar-akhbar yang diterbitkan Lutfi, saya diberi penghormatan mewakili kepentingan beliau di mahkamah berlawan dengan pihak penguasa. Ironinya, semakin ganas KDN bertindak semakin hebat pula Lufti meneruskan penerbitan akhbar "tidak berkala" dan semakin akrab pula hubungan kami.
Saya sering teringat kata-kata Lutfi bahawa ancaman KDN tidak pernah melumpuhkan semangat dan kekentalan beliau, namun kegagalan ejen-ejen pengedaran bahan penerbitannya menjelaskan jutaan ringgit kutipan sedikit sebanyak berjaya melumpuhkan ketahanan beliau. Saya percaya Lutfi bukan menulis kerana wang namun ketiadaan wang mampu menjejaskan kekentalan penulis, hatta kepada penulis berjiwa waja seperti beliau. Sudah tentu kita bukan bercakap tentang pengumpulan harta daripada dunia penulisan sebaliknya berkaitan isu survival penulis seperti beliau, yang bertindak sebagai wartawan, editor sekali gus penerbit. - Hanipa Maidin, Peguam
Info lanjut sila layari www.kemilau.net.my
Pakatan selamat, Khalid selamat
| Subky Latif, | 12 Apr 2013 |
Sekalipun Khalid adalah dikira Menteri Besar yang terbaik buat Selangor sejak merdeka, tetapi dia bukanlah disediakan untuk menjadi Menteri Besar saja jika Pakatan berkuasa di Putrajaya dan di Shah Alam.
Pada ketika yang sama tidak disangkal Khalid juga dikira penting jika Putrajaya dapat ditawan.
Khalid dikira salah seorang yang terbaik untuk mengendalikan portfolio kewangan atau ekonomi jika Putrajaya diterajui.
Rekodnya membangunkan PNB dari kosong hingga berbangunan tinggi di sebelah Bangunan Tabung Haji di Jalan Tun Razak di Kuala Lumpur adalah bukti dia boleh mengendalikan rancangan pembangunan ekonomi negara bagi menjadi rata-rata rakyat berdikari. Dia bukan saja pintar menjaga PNB dan Selangor, dia juga tidak rasuah.
Dia terkeluar dari PNB bukan kerana dia tidak pintar tetapi kepalanya tidak sama dengan kepala orang lain.
Jika Azmin juga bertanding DUN, bukan kerana hendak membuang Khalid dari Selangor, tetapi bagi menyediakan Selangor punya lebih dari seorang calon Menteri Besar.
Dua keadaan saja Khalid tidak menjadi Menteri Besar lagi. Pertama kalau dia kalah di DUNnya, Ijok. Kedua, kerajaan pusat Pakatan memerlukan dia di Putrajaya. Maka dalam keadaan seperti itu PKR mesti menyediakan calon yang sepadan bagi menggantikannya.
Azmin bukan sekadar calon yang sesuai bagi menggantikan Khalid sebagai Menteri Besar, tetapi Azmin juga bertanding Parlimen. Jika dia juga menang di Parlimen, dengan Dr. Wan Azizah tidak bertanding, siapa lagi orang PKR yang terkanan untuk menganggotai kabinet selain dari Anwar Ibrahim.
Khalid yang banyak dikritik itu ialah seorang yang tidak mudah dikelentong. Ketegasannya samalah dengan Tun Dr. Ismail dalam kabinet Tunku dan Tun Razak. Mukanya tidak pernah senyum. Para saudagar/pelobi Cina tak mahu didudukkan di sebelah Dr. Ismail di mana-mana majlis.
Mereka tidak suka kepadanya kerana dia mudah dikelentong dan kedua tak makan suap. Malah ada orang UMNO berpendapat Dr. Ismail calon yang lebih baik menggantikan Tunku dari Tun Razak. Jika dia menjadi Presiden UMNO selepas Tunku, UMNO tentulah tidak cincai.
Khalid mewarisi ketegaskan Dr. Ismail. Baiknya Khalid, dia tahu senyum. Dr. Islam tak senyum langsung. Tetapi mengapa orang menghormati Dr. Ismail? Kerana dia lebih suka bekerja dari keluar bersalam dengan orangramai di waktu bekerja.
Pada pandangan saya, dengan hutang negara yang bertimbun, rasuah yang menjolok mata, ekonomi yang tidak menentu, Putrajaya memerlukan seorang seperti Khalid. Kejayaannya membangunkan PNB dan menstabilkan kewangan Selangor yang gabra dalam masa lima tahun, adalah keajaiban, maka dia juga penting bagi memulihkan kewangan dan ekonomi negara dan keyakinan para pelabur.
Kedua-dua Khalid dan Azmin beertanding Parlimen dan DUN. Jika kedua-duanya menang kedua-dua kerusi, maka tiada siapa antara mereka yang terbuang. Kedua-duanya selamat jika Pakatan selamat.
Simpang Renggam berubah wajah
| Harakahdaily, | 12 Apr 2013 |

(Bulan besar menyambut tetamu ke Simpang Renggam)
JOHOR BAHRU: Jika anda ke selatan tanahair dan masuk ke Simpang Renggam, Johor, anda akan menemui ucapan 'Selamat Datang Ke Simpang Renggam'.
Kini ia lebih menarik lagi kerana di atasnya sudah terlekat satu bendera besar PAS, lambang kehadiran PAS di kawasan itu.
Di situ, Ketua Pemuda PAS Johor, Suhaizan Kaiat akan bertanding untuk kerusi parlimennya.
Bekas pemimpin Pemuda PAS Pusat yang selama ini banyak membongkar penyelewengan dalam perjalanan pilihan raya di negara ini di katakan mempunyai peluang yang cerah di kerusi itu.
"Kita akan menyumbangkan sekurang-kurangnya tiga kerusi Parlimen di Johor untuk membolehkan kita ke Putrajaya," kata Salahudin Ayub dalam satu ceramahnya di Taman Melewar.
Walaupun tidak menyatakan kerusi itu, Harakahdaily difahamkan ia adalah Simpang Renggam.
Jemaah Masjid Al Fatah menangis...
| Abu Musa, | 12 Apr 2013 |
1. Sekarang bukan lagi zaman menjadi penyokong, sekarang zaman semua kena menjadi petugas untuk menangkan Islam.
2. Jika ditakdirkan kita tewas, janganlah berasa dukacita diatas kekalahan, tapi berdukacitalah kerana kita tidak menyumbang kepada kemenangan. Yang telah bekerja keras tidak perlu bersedih, kerana itu adalah kehendak Allah.
3. Berilah sumbangan kepada perjuangan memenangkan Islam.
4. Di dalam sebuah peperangan yang sangat penting di zaman Nabi, Nabi menyuruh semua sahabat-sahabat menginfaqkan harta. Saidina Umar menyumbang separuh hartanya, Saidina Abu Bakar menyumbang semua hartanya termasuk jubah yg sedang dipakai, tetapi ada seorang jamaah yg kudung kedua dua tangan dan kakinya, menyumbang segantang kurma, hasil dia mengumpul setelah lama bekerja menjadi hamba mengangkat air dari perigi..
5.Yang kudung kaki dan tangan pon menyumbang untuk Islam, takkan kita setakat jadi penyokong, bila kalah nanti sedih, sedangkan orang lain berjaga sampai lewat pagi untuk gerakerja Islam, dia di rumah menonton tv!
6.Perjuangan ibarat sebuah bangunan.. semuanya saling memerlukan.. siapa yang jadi atap, jangan komplen kepada lantai..yang jadi tangga jangan komplen kepada dinding..yang jadi tiang jangan komplen kepada tingkap..
Sekarang, kita di mana sebenarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan