Jumaat, 19 April 2013

DULU MUNGKIN BERLAGAK SIKIT...LA NI JADI CALON TERAGAK-AGAK...KERANA TAK SEKUAT DULU

Banyak bilik gerakan Umno tutup di P. Pinang

Mohd Sabri Said, 18 Apr 2013

(Rumah Datuk Helmi berkunci rapat)

TASEK GELUGOR: Akibat penolakan beberapa nama calon untuk Pilihan Umum Ke 13 banyak bilik Gerakan Umno ditutup kerana tidak puas hati dengan pilihan calon mereka.

Di peringkat akar umbi mereka mahu individu yang sering kerja kuat dan turun padang bukan individu yang berpeluk tubuh serta tidak seaktif mana yang diangkat sebagai calon oleh BN.

Ia dapat dilihat di Taman Desa Murni Sungai Dua, Merbau Kudung, Simpang Empat dan satu dua lagi tempat di Parlimen Tasek Gelugor.

Di sini mereka membuat protes apabila calon piihan mereka di Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Seri Shariff Omar tidak disenaraikan sebagai calon walaupun Tan Sri Nor Mohamed Yakcob telah digugurkan.

Beberapa alon bebas dikatakan akan muncul di beberapa kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) akibat desakan rakyat bawahan tidak diendahkan oleh Umno Negeri.

Di Dun Sungai Dua dan Teluk Air Tawar sudah ada yang telah mengistiharkan diri. Mereka ialah Azmi Alang dan Datuk Mustaffa Idrus.

Manakala di Parlimen Kepala Batas walaupun tidak sehebat Parlimen Tasek Gelugor, suara ketidak puasan hati tetap merebak bagaikan 'api dalam sekam'.

Anak buah Datuk Ahmad Darus yang disebut-sebut sebagai calon Bertam atau Datuk Helmi Abdul Rashid.  Ini kerana yang terpilih ialah peguam muda, Sariful Azhar Othman.

Sampai sekarang rumah Helmi yang terletak di  Permatang Manggis, Kepala Batas berkunci rapat.

Hanya perkarangan pejabat Umno Bahagian Kepala Batas berhadapan Masjid Jamidul Badawi sahaja yang masih hidup.

Keadaan ini sebenarnya merungsingkan kepimpinan diperingkat negeri bimbang Umno akan hilang lagi kerusi tradisi mereka.

Antaranya Penaga, Bertam, Pinang Tunggal, Sungai Dua, Teluk Air Tawar, Permatang Berangan, Penanti, Seberang Jaya, Sungai Acheh, Bayan Lepas, Teluk Bahang dan Pulau Betong.

Calon pemuda Kelantan bertambah 100 peratus

Mohd Nor Yahya, 18 Apr 2013
MACHANG: Lebih ramai lagi tokoh muda diketengahkan PAS Kelantan pada pilihan raya umum ke-13 sama ada di peringkat Dewan Undangan Negeri dan parlimen.


Kali ini seramai enam calon yang diketengahkan Pemuda PAS negeri diumumkan secara rasmi pada malam tadi.

Mereka iaitu Timbalan Ketua Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nik Abduh Nik Abdul Aziz, Bendahari Pemuda PAS Kelantan, Ahmad Marzuk Shaary, Ketua Pemuda PAS Pasir Mas Rozi Muhammad (kiri) dan Ketua Pemuda PAS Pasir Puteh, Mohd Nazlan Mohd Hasbullah (kanan).

Manakala calon pemuda yang bertanding semula Ketua Pemuda PAS Kelantan, Abdul Latiff Abdul Rahman dan timbalannya, Ahmad Baihaki Atiqullah.

Abdul Latiff berkata, peningkatan seratus peratus calon pemuda kali ini jika dibandingkan pada PRU12 membuktikan hasrat anak muda Kelantan diterima pimpinan PAS negeri.

“Anak muda Kelantan sangat berharap lebih ramai kalangan mereka dapat membawa suara ke peringkat Dun atau parlimen.

“Ini menggambarkan kesungguhan anak muda mempertahankan kerajaan negeri dan menjejaki Putrajaya terbukti dipandang serius,” ujar beliau selepas majlis pengumuman nama calon di padang Majlis Daerah Machang malam tadi.

Beliau berkata, dengan adanya muka baru dalam kalangan pemuda lebih banyak lagi agenda untuk golongan muda dapat digemblengkan.

Pada pilihan raya kali ini Ahmad Baihaki berpindah dari kerusi Dun Pasir Tumbuh ke parlimen Kubang Kerian, Nik Abduh di Parlimen Pasir Mas dan Ahmad Marzuk di Parlimen Bachok.

Abdul Latiff pula mempertahankan Dun Mengkebang, Mohd Nazlan (Limbongan) dan Rozi (Tendong).

“Saya bagi pihak Pemuda PAS Kelantan merakamkan berbanyak terima kasih di atas sokongan padu pimpinan parti yang bersetuju menambah jumlah kerusi diwakili Pemuda.

“Kami berikrar akan sentiasa berjuang bersama-sama calon-calon PAS yang lain untuk mempertahankan kerajaan negeri ini serta misi menawan Putrajaya, Insya Allah,” katanya.

PKR pula mengetengahkan Ketua Angkatan Muda Negeri, Azihan Che Seman bertanding di Dun Nenggiri.

Di peringkat Dun Kelantan menampilkan 14 calon mewakili golongan ulama, professional (11 calon) dan aktivis masyarakat 20, manakala peringkat parlimen ulama (tiga), professional (lapan) dan aktivis masyarakat (tiga).

Wanita kesal pihak mahu berkuasa guna politik lucah

Harakahdaily, 18 Apr 2013
KUALA LUMPUR: Persatuan Persaudaraan Muslimah Malaysia (Salimah) mengutuk sekeras-kerasnya politik lucah seperti yang sedang menggejala dewasa ini.
Yang Dipertuanya, Datin Aminah Zakaria berkata, video lucah yang didakwa melibatkan pemimpin politik adalah paling menjijikkan diguna oleh mereka yang menjadi tentera upahan kepada pihak yang mahu terus berkuasa.

“Ini adalah perkembangan  budaya politik yang sangat buruk yang akan mengundang mala petaka sosial yang tidak akan boleh dipulih jika tidak dibanteras,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Justeru, jelas beliau Salimah amat kesal sejak 1998 strategik politik fitnah dengan mengguna tuduhan salah laku seks dan menghasilkan video seks yang diubahsuai untuk menjatuhkan maruah seorang musuh politik sudah membawa politik negara ke tahap yang paling hina.

Katanya, kecuaian pihak berkuasa untuk bertindak tegas bagi mencegah gejala ini telah menyebabkan pihak yang mengguna konspirasi jahat ini berleluasa.

“Salimah menegaskan hanya dengan penguatkuasaan hukum jenayah Qazaf sahaja, gejala ini dapat dibanteras.

“Kami mendapati sikap tidak bersungguh pihak berkuasa malah menyekat pihak yang dituduh untuk mendakwa mereka yang terlibat dengan tuduhan zina melalui undang-undang syariat adalah antara punca yang menyebabkan gejala ini berterusan,” katanya.

Tambahnya, Salimah mengingatkan mereka yang bersekongkol dengan jenayah itu akan menerima balasan yang berat di akhirat nanti dan menggesa mereka segera bertaubat.

“Walaupun kami tahu ingatan dan nasihat ugama seperti ini mungkin tidak dihirau oleh mereka, namun menjadi tanggungjawab kami untuk menyampaikan amaran Allah S.W.T kepada siapa sahaja yang tersasar jauh dari perintah agama,” ujarnya.

Salimah, ujarnya lagi mendesak supaya undang-undang Qazaf segera dikuatkuasakan untuk menjernihkan masyarakat dari perbuatan terkutuk dalam budaya politik negara ini.
Sebagai kaum wanita, tambah beliau Salimah tidak akan berkompromi dengan siapa sahaja yang berusaha mengotorkan minda dan jiwa masyarakat dengan budaya lucah seperti mengedar video seks kepada orang ramai.

“Para ulama perlu bersatu menyuarakan bantahan dan bertindak mengingatkan masyarakat betapa gejala ini jika tidak dibendung akan mengundang musibah dari Allah S.WT. yang akan melibatkan semua lapisan masyarakat,” ujarnya.

Tolak mereka yang guna video lucah - NGO wanita

Harakahdaily, 18 Apr 2013


(Wanita Malaysia bergabung membantah parti politik yang mengedarkan video lucah dalam kempen mereka)


KUALA LUMPUR: 14 NGO wanita serta tiga personaliti bergabung tenaga hari ini bagi membantah penyebaran video lucah di media.

Bagi mereka, langkah itu satu tindakan yang tidak kena dan melanggar tatasusila hidup masyarakat negara ini.

(Dr Harlina membantah keras pendekatan politik lucah untuk meraih undi...beliau mengajak semua wanita tunjukkan bantahan di kertas undi. Itupun selemah-lemah iman, katanya)

Sehubungan itu, mereka mengajak seluruh rakyat khasnya wanita menolak mereka yang menggunakan pendekatan sebegitu dalam kempen mereka.


Mereka menyatakan demikian pada sidang media ‘Bantahan Terhadap Penyebaran Video Lucah Menjelang PRU13’ di sebuah hotel di Sungai Besi, pagi ini.

Kumpulan wanita ini diketuai oleh  Prof Madya Dr Harlina Halizah Siraj, Penyelaras Bantahan Bersama NGO Wanita merangkap Naib Ketua Wanita IKRAM & Pengerusi JK Pembangunan Sosial Ikram.
Antara NGO wanita yang menyertai bantahan ini adalah:

A. Pertubuhan


(Wardina Sofiah antara yang sangat marah dengan budaya ini)

1) Wanita Pertubuhan Ikram Malaysia (IKRAM)
2) Helwa Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)
3) Biro HALUANITA, Pertubuhan Himpunan Lepasan 4) Institusi Pendidikan Malaysia (HALUAN)
5) Integrated Muslimah Associations and Networks Alliance (IMAANA)
6) Pertubuhan Nisa’ Malaysia (NISA’)
7) Pertubuhan Mawaddah Malaysia (MAWADDAH)
8) Association of Women’s Initiative for 9) Research, Development & Advancement (WIRDA)
10) Muslimah Interest Zone and Networking (MIZAN)
11) Wadah Kecerdasan Umat Malaysia (WADAH)
12) Pertubuhan Pemuda Gema Malaysia (GEMA)
13) Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)
14) IKRAM Siswa

B. Individu perseorangan


1) Prof Dr. Muhaya Muhammad ( Pakar Motivasi & Personaliti TV)
2) Pn Wardina Safiyyah Fadhullah ( Pengacara dan Personaliti TV)
3) Ustazah Fatimah Syarha Hj Mohd Noordin ( Penulis Novel Dakwah & Penceramah)

Kubu Umno jadi kubu PAS di Tasek Gelugor

Mohd Sabri Said, 18 Apr 2013

(Sukarelawan yang kini menyokong PAS sedang membina wau bulan)

TASEK GELUGOR:  Umno Bahagian Tasek Gelugor terpaksa 'tepuk dahi' lagi apabila markaz Umno bertukar menjadi markaz PAS di Kampung Permatang Tok Bidan dalam Dewan Undangan Negeri (Dun) Sungai Dua dua malam lalu.

Ketika tinjauan Harakahdaily ke kampung berkenaan semalam kelihatan para pemuda yang dulunya penyokong tegar Umno sedang membina wau bulan dan meriam mengisi aktiviti malam mereka selain ada yang mengikat bendera PAS untuk digantung.

Ketua PAS Cawangan Permatang Tok Jaya, Omar Abdullah berkata,  Permatang Tok Bidan yang berada dalam Unit Peti Undi (UPU) Permatang Tok Jaya kini bukan lagi kubu kuat Umno sebagaimana dulu.

Dulu katanya, jika poster PAS di pasang tidak sampai lima minit ianya ditanggalkan manakala ahli PAS yang ada di kampung tersebut hanya berdiam diri tidak berani menonjolkan diri.

Tetapi kini, jelas Omar, situasi berubah setelah berlaku peristiwa penganiayaan terhadap empat orang yang pergi ke Ibu Pejabat Polis Kepala Polis untuk menjadi saksi kemalangan jalanraya  ditahan di lokap polis.

"Mereka bukan buat salah tetapi dilokapkan.  Mungkin itu satu hikmah untuk meningkatkan prestasi PAS dan membuka peluang PAS mendekati ahli Umno di situ," tegasnya.

Seorang ahli Umno cawangan kampung terbabit, Wahi Ahmad 60 (gambar kanan atas) berkata, semangatnya  bekerja untuk Umno sudah luntur kerana kejadian hari itu. Tambahan lagi permintaan mendapatkan pertolongan daripada Wakil Rakyat tidak diperdulikan.

Beliau berasa apa yang dikorbankan selama ini walaupun tidak berjawatan langsung tidak dihargai.

"Saya memang tidak suka jawatan tapi sering menjadi orang belakang tabir perjuangan. Bila jadi macam ni rasa kecewa yang teramat sangat.  Ketika di dalam lokap polis saya telah berjanji bila keluar nanti saya akan runtuhkan markaz Umno depan rumah untuk beri laluan pada PAS, " ujar beliau,

Seorang anak muda kampung tersebut, Suhaidi Mohd Zakir (gambar kiri) pula menyifatkan, sokongan anak muda terhadap PAS makin kuat.

Beliau sendiri kini bangga dengan PAS berbanding sebelum ini kerana tidak berani istihar dirinya PAS walaupun sudah lama menyertainya.

Calon PAS setuju dialog hala tuju Kampung Baru

Hazayani Zakaria, 18 Apr 2013
KUALA LUMPUR: Calon PAS Parlimen Titiwangsa, Ahmad Zamri Asa'ad Khuzaimi bersedia untuk berdialog dengan calon BN, Datuk Johari Abdul Ghani berkaitan hala tuju Kampung Baru.

Beliau menyambut baik tindakan kumpulan Task Force Kampung Baru untuk menganjurkan dialog dan perbincangan terbuka antara penduduk Kampung Baru dengan calon kedua-dua parti.

"Saya menyahut cabaran Task Force Kampung Baru yang mahu melihat saya dan Datuk Johari duduk sepentas membincangkann isu tanah Kampung Baru," katanya ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Semalam, Pengerusi Task Force Kampung Baru, Yusof Yahya berkata, Himpunan Penduduk Kampung Baru itu akan diadakan di kawasan parkir Surau Khatib Koyan, Kampung Baru pada 28 April ini.

Zamri yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan turut berharap Johari akan memenuhi undangan tersebut agar penduduk dapat mendengar sendiri jaminan yang diberikan kedua-dua pihak.

"Saya harap lawan saya Datuk Johari sanggup menerima cabaran ini untuk kami berdialog selepas mendengar luahan dan persoalan penduduk yang merupakan pemilik dan pewaris Kampung Baru," katanya.

Tambah beliau juga, sebelum ini beliau sendiri pernah mengajak Johari berdialog mengenai isu tanah Kampung Baru namun tidak diterima.

"Dalam ceramah saya sebelum ini, sudah tiga kali saya mengajak Datuk Johari berdialog atau berdebat isu Kapung Baru tapi tidak pernah dipersetujui," katanya yang juga Pengarah Jabatan Undang-undang dan Hak Asasi Manusia (Juham) Dewan Pemuda PAS Pusat.

Task force Kampung Baru ditubuhkan pada Februari lepas bertujuan membela nasib pemilik dan pewaris Kampung Baru.

Ahli task force ini terdiri daripada anak-anak jati Kampung Baru dan ditubuhkan dengan sentimen semangat mahu memastikan setiap pemilik dan pewaris KampungBaru diberikan hak sebagai pemilik tanah asal.

Pada 2011, Rang Undang-Undang Perbadanan Pembangunan Kg Bharu 2011 (RUU PPKB) diluluskan oleh Dewan Negara walaupun mendapat tentangan daripada pewarisa dan pemilik tanah tersebut.

Tiada ulasan: