Rabu, 4 Mei 2011

SAPE PENGKHIANAT...ALLAH SAJA YANG TAHU...AKHIRAT AKAN LEBIH JELAS...TUNGGGUUUUUUU.......

Mahathir: Operasi bunuh Osama tindakan tak bertamadun

TERKINI @ 09:41:51 PM 04-05-2011
May 04, 2011

PUTRAJAYA, 4 Mei – Tun Dr Mahathir Mohamad memberi amaran kematian Osama bin Laden tidak mungkin petanda sudah berakhirnya keganasan atau rangkaian Al-Qaeda, sambil meramalkan tindakan balas akan terus berkembang di seluruh dunia.

Perdana menteri paling lama memegang tampuk kerajaan ini berkata, operasi dikendalikan oleh pasukan elit AS awal kelmarin adalah satu “tindakan tidak bertamadun.”

“Ya, dia mungkin bersalah tetapi menghantar satu pasukan untuk membunuh satu orang bukan caranya.

“Jika dia dapat ditangkap, tangkap dia. Tetapi mereka masuk, membunuh seorang yang tidak bersenjata dan kemudian mencampakkan jenazah ke dalam laut,” kata beliau kepada pemberita di sini hari ini.

“Saya berpandangan bahawa ini dilakukan oleh mereka tidak bertamadun,” kata Dr Mahathir lagi.

Semalam, Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, kenyataan kononnya dunia akan lebih selamat dengan kematian Osama di tangan pasukan elit AS adalah pandangan tidak cermat.

Selain itu tegas beliau, kenyataan seperti itu menampakkan diri pihak yang mengeluarkan pandangan berkenaan sebagai penyokong AS.

“Jika dunia lebih selamat dengan kematian Osama, adakah dunia juga lebih selamat dengan kewujudan Amerika?” kata Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan.

Nik Aziz tidak menyebut nama pihak berkenaan yang mengeluarkan kenyataan sedemikian.

Dalam kenyataannya kelmarin, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein berharap kematian Osama dalam satu operasi ketenteraan AS di Pakistan dapat membawa dunia ke arah keamanan dan keharmonian sejagat.

Namun, beliau memberi amaran bahawa perjuangan kumpulan yang terlibat dalam beberapa serangan pengganas di seluruh dunia itu tidak berkisar kepada seorang individu sahaja.

“Saya harap ia (kematian Osama) akan menjurus kepada keselamatan dan keamanan sejagat yang merupakan tanggungjawab bersama,” katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pula berharap kematian pengasas Al-Qaeda itu akan membuatkan dunia menjadi lebih aman, selamat dan adil.

Beliau juga berharap kematian Osama akan dapat memulihkan semula nama baik Islam yang tercalar ekoran imej negatif dibawa oleh pengasas Al-Qaeda itu.

Beliau bagaimanapun mengingatkan kepada semua pihak bahawa meskipun kematian Osama memberi tamparan hebat kepada al-Qaeda, namun itu tidak bermakna pergerakan tersebut akan terkubur sama sekali sebaliknya ia tetap boleh disusun serta digerakkan semula.

“Kita tidak boleh anggap segala-galanya telah tamat ekoran kematian Osama tetapi jelas kehilangannya merupakan satu kehilangan bagi pihak Al-Qaeda terutama dari segi kekuatan kepada pergerakan itu.

“Di peringkat negara pula tiada tanda pergerakan Al-Qaeda wujud. Namun begitu pihak polis akan terus berada dalam keadaan berjaga-jaga termasuk mengesan jika ada apa-apa tindakan daripada mana-mana pihak untuk menunjukkan simpati kepada kematian Osama,’’ katanya.


Ulama Malaysia kutuk cara Amerika urus jenazah Osama

May 04, 2011

KUALA LUMPUR, 4 Mei – Persatuan Ulama Malaysia (PUM) mengutuk cara yang digunakan Amerika Syarikat (AS) ke atas jenazah Osama bin Laden sambil menyifatkannya sebagai sesuatu yang memalukan dan bercanggah dengan prinsip menghormati agama.

Dalam satu kenyaan dikeluarkan hari ini, Yang Dipertua PUM Datuk Syeikh Abdul Halim Abd Kadir berkata mengurus jenazah, dalam kes ini melibatkan Osama, dan mencampakkannya ke dalam Laut Arab merupakan tindakan tidak berperikemanusiaan yang ditunjukkan oleh mereka.

“Apalagi yang mereka mahu setelah umat Islam diperlakukan mengikut citarasa mereka?

“Mereka menyerang Libya dengan menggunakan NATO walaupun (pemimpin Libya Muammar) Gaddafi telah bersetuju untuk berunding. Tiada langsung sifat kemanusiaan yang ditunjukkan oleh mereka ke atas perlakuan jijik sebegini,” kata beliau lagi.

Syeigh Abdul Halim berkata walaupun Osama dikelaskan sebagai pengganas dan merupakan orang yang paling dikehendaki Washington, namun jenazah beliau masih perlu dihormati dan diuruskan pengebumian dengan sempurna.

“Bukan dengan cara mencampakkan ke dalam laut tersebut.

“Kami berpandangan sepertimana Al-Azhar dan umat-umat Islam yang prihatin di seluruh dunia di dalam hal ini,” katanya lagi.

Tambah beliau, cara pengurusan jenazah ala Amerika ini dikhuatiri akan menambah kemarahan umat Islam dengan tindakan yang sengaja membuat provokasi tidak sihat.

“Kita bersetuju menentang sebarang bentuk keganasan dan keganasan tiada tempat di dalam Islam.

“Namun kaedah menanganinya janganlah menampakkan bahawa seakan sudah ada satu keputusan pihak barat untuk menghukum Islam dan menjadikan umat Islam sebagai mangsa,” kata beliau lagi.

Jenazah Osama disemadikan di utara Laut Arab semalam.


Poligami: Pro-Barat Atau Islam?

Saya mengambil masa yang panjang berfikir tentang tajuk poligami untuk ditulis di ruangan ini. Pasti lepas ini, mungkin ada wanita pembaca tulisan saya sejak sekian lama akan merajuk atau kurang senang. Pohon saya ingin menyentuh juga tajuk ini bagi berbicara dengan lojik feminis sekularis yang cuba menilai isu ini dengan mentaliti Barat.

Secara umumnya, masyarakat ‘Barat’ ini menganggap seseorang lelaki memiliki perempuan simpanan atau ‘mistress’ adalah perkara biasa. Bahkan menjadi trend di Barat ini untuk pasangan hidup bagaikan suami isteri tanpa perkahwinan yang diiktiraf. Bertukar-tukar atau menambah bilangan ‘mistress’ bukanlah satu keganjilan.

Namun pemikiran dan undang-undang mereka tidak menerima seseorang lelaki memiliki lebih dari satu isteri atau berpoligami. Poligami bagi mereka mempunyai unsur penghinaan terhadap wanita, atau unsur kerakusan nafsu lelaki. Sementara perempuan simpanan atau seks dengan wanita tanpa perkahwinan bukan satu penghinaan atau kerakusan nafsu.

Eksploitasi setiap inci alur tubuh wanita dalam media mereka juga adalah bagi mereka lambang kebebasan dan kemerdekaan wanita. Adapun wanita muslimah yang menutup auratnya dengan rela adalah lambang kezaliman atau penghalangan hak wanita.

Malang sekali, aliran ‘liberal melulu’ yang menghantui sesetengah pihak, termasuk di negara kita yang menonjolkan diri sebagai pejuang hak wanita, menelan cara fikir Barat ini lalu menjadikan isu poligami dan menutup aurat sebagai sasaran.

Berbalik kepada isu poligami, perkara yang selalu dibangkitkan adalah bahawa ia menafikan hak wanita atau merendahkan wanita. Padahal beza antara seorang isteri kedua, atau ketiga, atau keempat dengan seorang wanita simpanan begitu besar.

Selain dari soal haram dan halal yang dilihat pada neraca agama, seorang yang berstatus isteri mempunyai hak ke atas suaminya; hak nafkah, hak keturunan anak, hak keadilan pembahagian hari dan harta, hak dihormati dan disayangi, hak untuk tidak dipersiakan apabila jemu dan berbagai lagi.

Sementara seorang ‘mistress’ yang ‘dijamah’ dalam senyap atau terang, boleh ditinggalkan tanpa pesan apabila jemu dan diratah apabila bernafsu, tiada apa hak yang boleh dituntut atas kekudusan perkahwinan.

Mereka memandang sinis kepada poligami tapi menganggap fonomena biasa bagi perempuan simpanan. Poligami bagi mereka membawa ketidakadilan antara wanita. Mereka patut ditanya; apakah memiliki perempuan simpanan itu adil bagi wanita? Begitu juga, apakah hidup ‘berumahtangga’ tanpa kahwin itu penghormatan bagi wanita?

Ramai masyarakat Barat ini menyangka bahawa hanya Islam sahaja yang mengizinkan poligami. Padahal asalnya, seseorang lelaki Kristian diizinkan berkahwin sebanyak mana bilangan isteri yang dia suka, kerana Bible tidak menghadkan bilangan isteri. Hanya beberapa kurun kebalakangan ini gereja menghadkan bilangan isteri kepada satu.

Poligami juga diizinkan dalam Yahudi. Ini berdasarkan undang-undang Talmud, di mana Nabi Ibrahim isterinya tiga, Nabi Sulaiman isterinya seratus. Perlaksanaan poligami berterusan dalam Yahudi sehinggalah Rabai Gersom Ben Yehudah (960-1030M) mengeluarkan perintah menentangnya. Namun masyarakat Yahudi Sephardic yang hidup di kalangan umat Islam terus mengamalkannya sehingga tahun 1950. Namun di Barat, trend hidup pragmatik yang mereka cipta menggantikan agama.

Islam apabila membenarkan poligami, seperti biasa menetapkan dalam setiap perkara peraturan dan disiplinnya. Soal berlaku baik dan adil kepada isteri, bukan sahaja diwajibkan untuk mereka yang berpoligami, bahkan kepada sesiapa yang bermonogami juga wajib melakukan kebaikan dan keadilan kepada isterinya.

Jika ada kecuaian mereka yang berpoligami bukan bererti poligami itu buruk, tetapi sikap pelaksananya itu yang salah. Betapa banyak mereka yang monogami yang menzalimi isteri, tidak bertanggungjawab terhadap keluarga dan berbagai lagi. Apakah kerana tindakan salah mereka itu, maka monogami juga patut dilarang? Inilah mentaliti kelompok liberal yang tidak terurus pemikiran mereka.

Ramai isteri yang menghantar email kepada saya bahawa mereka tidak dapat terima suami mereka berpoligami. Ya, itu adalah perasaan yang dikongsi oleh kebanyakan wanita. Apatahlagi jika suami mereka itu tidak menunaikan tanggungjawab yang baik selama belum berpoligami pun.

Apabila Allah dan rasulNya mengizinkan poligami, pasti ia mempunyai hikmah yang tersendiri. Poligami adalah ubat yang dimakan di waktu perlu dan jangan memakannya jika anda tidak memerlukan. Poligami dalam sejarahnya, menyelamatkan wanita-wanita yang kehilangan suami seperti isteri tentera yang terkorban kerana umat. Mungkin mereka masih muda dan perlukan perlindungan. Jika diharapkan orang bujang, biasanya mereka mencari pasangan dara. Siapa yang akan mengambil tanggungjawab ini? Biasanya lelaki yang stabil dan matang mampu mengendalikan mereka. Mereka ini kebanyakan sudah berkahwin.

Saya lihat dalam negara kita, poligami dapat membantu wanita yang baru menganut Islam yang kadang-kala tiada orang bujang yang dapat menjaga mereka dengan baik.

Wanita sama seperti lelaki terdedah kepada sakit dan ketidakmampuan seks. Jika suami tidak mampu dari segi seks, isteri boleh menuntut dipisahkan perkahwinan. Jika isteri tidak bermampuan dari segi seks, amat tidak wajar wanita yang lemah dan sakit ditinggalkan begitu. Namun, dalam masa yang sama naluri suami juga hendaklah diraikan. Poligami boleh menyelesaikannya.

Begitu juga jika isteri tidak mampu melahirkan zuriat, apakah patut suami menceraikannya? Poligami sebagai penyelesaian keinginan kepada zuriat keturunan. Maka apabila Islam membenarkan poligami, ia adalah ubat.

Barangkali juga ada isteri yang tidak terdaya melayan kehendak suami yang ‘tinggi’ dalam seks. Poligami juga jalan keluar dari beban ini. Kadang-kala ada lelaki yang berwibawa yang memampukan dia memiliki lebih dari seorang isteri yang diberi keadilan yang rata.

Maka dalam sejarah Islam, poligami tokoh-tokoh telah membuahkan kebaikan ilmu, keluasan keluarga dan keturunan. Berbagai lagi hikmah poligami yang boleh disenarai panjang. Malang sekali, apabila golongan Pro-Barat atau ‘Islam-Liberal’ ini menyatakan tujuan mereka menentang pologami itu kerana hendak membela wanita, apakah pada mereka selain isteri pertama itu bukan wanita? Wanita itu, bukan isteri pertama sahaja, tetapi setiap yang berjantina wanita termasuk yang akan menjadi isteri kedua dan seterusnya. Perasaan dan kehendak mereka juga adalah tuntutan dan hak wanita yang perlu dihormati.

Pernah saya sebutkan bahawa kadang-kala hukum-hakam Islam boleh diumpamakan sebuah kedai yang menyediakan berbagai jenis ubat untuk semua jenis penyakit. Jangan kerana ada ubat yang dijual itu tidak bersesuaian dengan penyakit kita maka kita menganggap ubat tersebut mesti dihapuskan. Poligami adalah salah satu ubat bagi penyakit yang bersesuaian dengannya. Menghalang zina dan membantu wanita. Bagi yang tidak memerlukan ubat ini dia tidak disuruh meminumnya.

Poligami juga adalah jalan keluar kepada kehendak cinta di luar kawalan. Di zaman ini, untuk seseorang lelaki mendapatkan wanita secara haram, amatlah mudah. Namun jika ada lelaki yang ingin berkahwin sekalipun atas poligami yang membawanya menanggung berbagai risiko, saya rasa dia patut dihormati dan ada nilai tanggungjawab terhadap wanita.

Cuma malangnya, poligami ini jika digunakan oleh lelaki yang tidak bertanggungjawab sehingga mencemarkan institusi berkenaan. Apatahlagi golongan anti poligami ini hanya menonjolkan contoh-contoh buruk poligami dan melupai contoh-contoh baik yang banyak. Lelaki-lelaki yang baik dan berkemampuan patut tampil membawa contoh yang baik dalam perlaksanaan poligami. Sementara yang tidak berkemampuan dan ‘lemah’ kewibawaannya untuk adil, maka janganlah memakan ubat yang tidak diperuntukkan untuk anda.

Undian tajuk Bubar Umno Masuk PAS

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 4 Mei: Mulai hari ini, undian sedang dilakukan terhadap tajuk muka depan akhbar Harakah wajarkah perkataan "BUBAR UMNO MASUK PAS" digunakan sebagai tajuk berita utama.

Pembaca boleh setuju atau tidak setuju atau tidak pasti dengan pilihan tajuk berkenaan.

Untuk membuat undian tinjauan@harakah, boleh terus kepada link http://myharakah.net

Sementara itu seramai 343 undian telah dilakukan terhadap edisi sebelum ini, wajarkah perkataan "BUKAN KAEDAH ISLAM" digunakan sebagai tajuk berita utama.

Keputusannya adalah 81.63 % atau 280 undian bersetuju berbanding dengan 12.83 % atau 44 pengundi sahaja yang tidak bersetuju dengan tajuk tersebut.

Keputusan yang bersetuju telah meningkat 20% berbanding dengan tajuk sebelum ini wajarkah perkataan "UMNO PUJUK DAP" digunakan sebagai tajuk berita utama di mana 61.92 % sahaja yang bersetuju.

Untuk melihat keputusan terperinci, boleh terus kepada link http://myharakah.net/polls.php

Adik bekas pengarah bersalah terima rasuah

Harakahdaily

SHAH ALAM, 4 Mei: Azizi Johan Ariffin, 54, adik bekas pengarah Perbadanan Putrajaya, Datuk Shahoran Johan Ariffin menerima hukuman penjara 15 hari (serentak) dan denda RM315,000 selepas disabitkan bersalah atas enam pertuduhan di bawah Seksyen 10(a)(aa) Akta Pencegahan Rasuah 1997 apabila menerima rasuah berjumlah RM63,000.

Bagi enam pertuduhan tersebut, Azizi yang pernah menjawat jawatan sebagai pengarah di sebuah syarikat lanskap didakwa menerima suapan daripada individu yang sama, iaitu Pengarah Sekitar Indah Sdn Bhd, Mohd Kamil Sapuan dalam bentuk wang tunai yang dimasukkan ke dalam akaun Affin Bank Berhad miliknya.

Kesemua wang tunai tersebut dimasukkan ke dalam akaun Affin Bank Bhd miliknya iaitu sebagai upah membantu mendapatkan tender ’Kerja-kerja Penyelenggaraan Landskap di Persiaran Persekutuan, Persiaran Utara, Persiaran Barat, Lebuh Sentosa (Jambatan Seri Saujana) dan Lebuh Wawasan (Jambatan Seri Wawasan) Putrajaya.

Pertuduhan pertama, Azizi didakwa menerima suapan wang tunai RM15,000 pada 26 Januari 2006 yang dimasukkan ke dalam akaun Affin Bank miliknya.

Pertuduhan kedua, dia dituduh menerima suapan wang tunai RM10,000 yang dimasukkan ke dalam akaun Affin Bank Bhd miliknya pada 1 Mac 2006.

Pertuduhan ketiga, dia dituduh menerima suapan wang tunai RM10,000 yang dimasukkan melalui cek ke dalam akaun Affin Bank Bhd miliknya pada 7 April 2006.

Pertuduhan keempat, dia dituduh menerima suapan wang tunai RM5,000 yang dimasukkan melalui cek ke dalam akaun Affin Bank Bhd miliknya pada 5 Mei 2006.

Pertuduhan kelima, dia dituduh menerima suapan wang tunai RM15,000 yang dimasukkan melalui cek ke dalam akaun Affin Bank Bhd miliknya pada 14 Ogos 2006.

Pertuduhan keenam, dia dituduh menerima suapan wang tunai RM8,000 yang dimasukkan melalui cek ke dalam akaun Affin Bank Bhd miliknya pada 9 November 2006.

Hakim Mat Ghani Abdullah memerintahkan supaya hukuman penjara terhadap tertuduh, yang didakwa melakukan kesalahan tersebut enam tahun lalu ditambah 30 bulan, jika gagal menjelaskan denda.

Tertuduh diwakili peguamnya Ridzuan Johan Ariffin, manakala SPRM diwakili oleh Timbalan PendakwaRaya Josiendra Abu Senin.


Pengkhianat Islam

KUALA LUMPUR 3 Mei – Mufti Perlis, Dr. Juanda Jaya menyifatkan pihak-pihak yang menentang penyatuan antara UMNO dan Pas sebagai pengkhianat Islam.

Selain itu beliau berkata, mereka juga boleh dianggap pendukung fikrah puak Khawarij iaitu sebuah kumpulan yang amat bencikan kesatuan di dalam Islam.

“Penyatuan (UMNO dan Pas) sebenarnya adalah wajib khususnya untuk kekuatan Islam dan Malaysia amnya. Semua pihak wajib berusaha ke arah itu,’’ katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Isu penyatuan serta kerjasama antara UMNO dan Pas bukan satu perkara baru malah ia telah dibincang serta dibahaskan sejak sekian lama sama ada di media mahu pun di kalangan rakyat.

Kerjasama yang dimaksudkan berkaitan dengan perkara membabitkan kepentingan Islam dan Melayu, bagaimanapun usaha itu sering terbantut ekoran keengganan Pas untuk berbuat demikian.

Berbeza dengan Pas, pucuk pimpinan UMNO termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilihat lebih terbuka dan positif dalam usaha tersebut.

Terbaharu Perdana Menteri berkata, sudah tiba masanya Pas meninggalkan pakatan pembangkang khususnya DAP yang ternyata tidak pernah sekalipun memperjuangkan Islam.

Juanda berkata, al-Quran sendiri telah memerintahkan supaya umat Islam bersatu padu dan Islam perlu ditegakkan.

Katanya, ia jelas melalui petikan firman Allah ayat 13 surah Asy-Syura yang bermaksud “Tegakkanlah pendirian agama dan jangan kamu berpecah belah”.

“Junjungan besar Rasulullah SAW juga sebelum wafat sempat berwasiat menyuruh semua umatnya bersatu di bawah satu imam dan jangan berpecah belah,’’ katanya lagi.



























Siapa Pengkhianat Islam?
Nasrudin Hassan at Tantawi
1. Mereka yang menghalang penyatuan UMNO dan PAS digelar pengkhianat Islam oleh Mufti Perlis. Sekilas pandang, siapa jua yang menghalang usaha penyatuan adalah pengkhianat. Justeru penyatuan secara asasnya adalah suci malah dituntut. Tiada siapa yang mahu berpecah dan berpisah tanpa sebarang sebab atau alasan yang kukuh. Tetapi apabila bercakap soal penyatuan antara PAS dan UMNO, saya sarankan sohibus samahah Mufti Perlis mengkaji terlebih dahulu secara mendalam dan teliti.

2. Antara PAS dan UMNO jangan hanya dilihat pada bangsa dan warna kulit semata - mata lalu disogok agenda penyatuan bangsa melayu. Sebaliknya perlu dilihat bagaimana pula sikap kedua - dua parti melayu itu [PAS dan UMNO] terhadap Islam. Sikap terhadap Islam dan bagaimana mereka menanggapi Islam adalah kayu ukur yang paling penting untuk bercakap soal penyatuan antara kedua parti ini.

3. Sungguhpun Islam menggalakkan malah menyuruh supaya ummatnya bersatu padu, namun Islam meletakkan syarat serta garis panduan yang jelas bagaimana penyatuan itu wajar dilakukan atau sebaliknya. Antaranya Firman Allah yang bermaksud :

Wahai orang - orang yang beriman, bertaqwalah kamu dengan sebenar - benar taqwa dan jangan kamu mati melainkan kamu tunduk menyerah diri kepada Allah swt. dan berpegang teguhlah kamu dengan Tali Allah dan jangan sekali - kali kamu berpecah belah dan ingatlah nikmat Allah ke atas kamu ketika dulunya kamu saling bermusuhan maka Allah telah menyatukan hati - hati kamu, lalu dengan nikmat Allah itu kamu bersaudara sedang kamu telah berada di jurang api neraka, lantas Allah menyelamatkan kamu daripadanya. Demikianlah dijelaskan oleh Allah kepada kamu ayat - ayatNya, mudah - mudahan kamu beroleh petunjuk.

Surah Aali Imran 103

4. Ayat di atas jelas meletakkan syarat utama untuk tidak berpecah belah ialah berpegang teguh dengan Tali Allah iaitu Al Quran atau Al Islam bukan bangsa atau warna kulit jauh sekali harta benda, pengaruh dan pangkat. Lantaran penyatuan manusia adalah melibatkan penyatuan hati dan hati tidak boleh dijinakkan dengan harta benda dunia. Firman Allah swt yang bermaksud :

Dialah [Allah] yang telah menyatukan antara hati - hati mereka. sekiranya engkau membelanjakan keseluruhan apa yang ada di atas muka bumi ini, nescaya engkau tidak boleh menyatukan hati - hati mereka akan tetapi Allah swt telah menyatukan antara mereka sesungguhnya Ia Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.

Surah al Anfaal 63

5. Islam adalah asas penyatuan. Tanpa Islam bagaimana mungkin penyatuan itu boleh direalisasikan. Sementara kebajikan dan taqwa pula menjadi objektif utama kepada penyatuan yang dianjurkan oleh syariah. Firman Allah swt yang bermaksud :

dan bertolong bantulah kamu dalam perkara yang membawa kepada kebajikan dan taqwa dan jangan kamu bertolong bantu dalam perkara yang mengundang dosa dan permusuhan. Bertaqwalah kepada Allah swt sesungguhnya balasan Allah sangat dahsyat.

Surah al Maaidah 2

6. Ayat di atas pula bukan sahaja menyuruh kita bertolong bantu, bekerja sama dan bersatu padu untuk melakukan amal kebajikan dan bertaqwa kepada Allah [ dengan melaksanakan apa yang diperintah oleh Allah swt dan meninggalkan apa jua yang telah dilarang oleh Allah swt.] tetapi nas di atas juga melarang sebarang kerjasama dan penyatuan yang menumbuhkan bibit dosa serta menyuburkan permusuhan sesama ummat manusia.

7. Penyatuan antara PAS dan UMNO mesti disokong malah wajib diusahakan jika ianya berteraskan Islam dan berobjektifkan taqwa kepada Allah swt. Pengusahanya dijulang dan penyokongnya dialu - alukan. Sementara penentangnya adalah jahat dan pengkhianat.

8. Sebaliknya penyatuan antara PAS dan UMNO tidak boleh dilaksanakan jika ianya tidak diasaskan kepada Islam dan pula berobjektifkan dosa kepada Allah swt. Pengusahanya dilarang dan penyokongnya pula sia - sia. Sementara penentangnya pula adalah hebat dan berwibawa.

9. Bahkan kerjasama yang disertai PAS bersama Pakatan Rakyat adalah kerana Islam dan ianya dilandaskan di atas konsep Tahaaluf Siasi [kerjasama politik] untuk menumbangkan kerajaan Barisan Nasional guna menamatkan siri penyelewengan, penyalahgunaan kuasa, rasuah, kezaliman, penindasan yang dilakukan oleh Barisan Nasional sejak lebih 50 tahun yang lalu.

10. Tanpa perlu membuang masa lagi, saya mengundang UMNO meninggalkan Barisan Nasional dan meninggalkan segala perbuatan mungkar demi masa depan agama, rakyat dan negara. Ayuh kita bersatu dan bersama dengan Pakatan Rakyat untuk membina masa depan dan peradaban baru yang lebih dinamis, jauh dari pengaruh mungkar yang dimurkai oleh Allah swt. Pengusaha yang gigih untuk menamatkan siri keangkuhan kuasa dan sombong dengan dosa yang dilakukan oleh mereka adalah pejuang sementara Penentang usaha inilah pengkhianat Islam !


Murnikan Perjuangan dan Maknakan Kemenangan

Nasrudin bin Hassan
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia


Premium insurans kereta lama normal
Oleh S Anand Kumar

2011/05/04

Kenderaan lebih 10 tahun ke PUSPAKOM jika perlu

KUALA LUMPUR: Berkuat-kuasa serta-merta kenderaan persendirian melebihi jangka hayat 10 tahun akan dikenakan kadar premium pasaran normal dan tidak tertakluk kepada bebanan yang dikenakan terhadap kenderaan berisiko tinggi.

Serentak itu, pemilik kenderaan persendirian terbabit boleh mendapatkan perlindungan insurans di semua penanggung insurans dan pejabat pos seluruh negara.
Bank Negara Malaysia (BNM) dalam satu kenyataan semalam turut mengumumkan penanggung insurans memberi komitmen untuk menyediakan perlindungan kepada motosikal ditajajamin Insuran Kenderaan Berkelompok Malaysia (MMIP).
“Sehubungan itu, penanggung insurans harus memberitahu pelanggan mereka sama ada perlindungan insurans motor yang ditawarkan, disediakan oleh pihak penanggung insurans atau MMIP.

“Selain itu, kenderaan melebihi 10 tahun atau ‘kenderaan tersisih’ hanya dikehendaki menjalani pemeriksaan tahunan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) jika kenderaan terbabit dianggap berisiko tinggi,” kata kenyataan itu.

Pada tahun 2009, Datuk Seri Najib Razak, berkata kerajaan tidak bercadang membatalkan perlindungan insurans bagi kereta lama dan kenderaan berharga bawah RM10,000.



PAS mampu sepakat dengan UMNO


2011/05/04

PUTRAJAYA: PAS yang mendakwa boleh bekerjasama dengan DAP tanpa terlalu merujuk kepada prinsip perjuangannya sepatutnya mengambil sikap sama untuk bersepakat dengan UMNO.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata PAS tidak wajar terlalu khuatir dengan kemungkinan masa depan untuk mengambil sikap berbaik-baik dengan UMNO.
“Saya melihat politik negara agak ‘fluid’ (longgar). Banyak pendirian, khususnya pembangkang yang ideologi dan perjuangan tidak begitu jelas termasuk PAS.
“Kalau sekiranya PAS dan DAP mampu bekerjasama atau dilihat dapat bekerjasama tanpa merujuk kepada prinsip perjuangan masing-masing, maka kita juga boleh dalam senario politik sekarang melihat keadaan dalam konteks realiti di bawah sana (rakyat),” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Katanya, beliau percaya parti pembangkang juga mahu terbabit dalam perkongsian pembentukan bangsa sekali gus menunjukkan kematangan dalam negara demokrasi.

Ditanya sama ada kemungkinan PAS khuatir akan hilang sokongan pengundi Cina jika bekerjasama dengan UMNO, Hishammuddin berkata:

“Apa hendak takutkan bayangan kemungkinan yang boleh berlaku. Kita boleh duduk dan berbincang dengan semua pihak, apa kita nak takut, bukan pilihan raya umum (akan diadakan) esok.”
Hishammuddin berkata, kerjasama PAS dan UMNO itu boleh dilakukan kerana ia memenuhi tuntutan perubahan politik semasa kerana sebarang perbincangan di mana-mana peringkat parti akhirnya memerlukan kelulusan pucuk pimpinan parti masing-masing.

Beliau diminta mengulas kenyataan pimpinan MCA yang memberi syarat supaya PAS sanggup menggugurkan prinsip negara Islamnya terlebih dahulu jika mahu menyertai Barisan Nasional (BN).

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, sebelum ini meminta PAS bekerjasama dengan UMNO dan meninggalkan pakatan pembangkang.

Hishammuddin berkata, BN tidak berkompromi dalam hal yang menjadi pokok perjuangan tetapi semua pihak perlu mencari jalan untuk disesuaikan dengan keperluan, permintaan, tuntutan dan cita rasa rakyat.

Beliau berkata, UMNO boleh bekerja sama dengan mana-mana parti asalkan ia tidak menyebabkan ancaman kepada keselamatan negara.

Dalam perkembangan lain, Hishammuddin berkata bahagian UMNO yang berasa perlu mengadakan uji cuba sistem pengundian parti yang baru boleh melakukannya untuk memastikan ia berjalan lancar apabila dilaksanakan kelak.

Beliau berkata, uji cuba yang dilaksanakan di bahagian Sembrong, Johor, kelmarin menunjukkan beberapa isu logistik seperti keperluan dewan, kertas undi, masa mengundi dan kotak undi yang perlu diatasi.

4 tahun dibayangi maut


2011/05/04

pix_gal0
Lokasi Osama dikesan selepas utusan diekori

WASHINGTON: Lokasi persembunyian Osama bin Laden mula dihidu Amerika Syarikat pada 2007 selepas mengenal pasti dua utusan dipercayai rapat dengan pemimpin al-Qaeda yang dituduh dalang serangan Pusat Dagangan Dunia pada 11 September 2001 (9/11) di New York.

Dua tahun selepas itu, dua ejen warga Pakistan yang bekerja dengan Agensi Perisikan Pusat (CIA) memperoleh identiti seorang daripada utusan Osama itu di Peshawar, Pakistan.
Berikutan itu, mereka berjaya mengesan kediaman yang dipercayai tempat Osama bersembunyi selepas menjejaki utusan itu ke Abbotabad dan mula memantau lokasi berkenaan mulai Ogos 2010.
Sejak Osama melarikan diri dari wilayah pergunungan Tora Bora di Afghanistan pada 2001 selepas serangan 9/11, jejaknya hilang selepas bersembunyi dan mengelak membuat atau menerima panggilan telefon.

Maklumat yang dikumpulkan mendapati dua utusan pemimpin al-Qaeda berkenaan tinggal bersama keluarga masing-masing, malah turut dihuni satu lagi keluarga besar.

Pegawai kanan berkata, keyakinan mengenai tempat itu dihuni seorang pemimpin kanan al-Qaeda semakin kukuh berdasarkan beberapa tanda mencurigakan di kediaman itu.

“Apabila kita lalu di bangunan itu, kita lihat siapa saja yang berada di dalamnya cuba menyembunyikan identiti mereka menerusi cara kawalan keselamatan ketat.
“Atas sebab itu, kami percaya Osama dan keluarganya tinggal di tingkat kedua dan ketiga bangunan utama,” katanya.

“Penghuninya mempunyai kediaman berharga jutaan dolar, tetapi tidak mempunyai sumber pendapatan tertentu. Jika dilihat kes ini, jelas ia adalah bukti menunjukkan militan berprofil tinggi berada di sini dan Osama adalah individu yang sepadan dengan profil itu,” kata seorang lagi pegawai.

Sehingga April lalu, Obama diberi tiga pilihan iaitu menghantar satu pasukan bersenjata bagi menahan atau membunuh suspek, melancarkan pengeboman atau terus menunggu perkembangan lanjut.

Hanya tiga perkataan digunakan oleh Obama pada Jumaat lalu untuk melancarkan operasi menahan atau membunuh musuh nombor satu Amerika itu – ‘It’s a go’ (Teruskan rancangan). – AFP

Tiada ulasan: