Sabtu, 12 Julai 2014

PILIH YANG TERBAIK UNTUK TAQWA....SEBAB ADA YANG MEMANG DIANJURKAN DAN DIASASKAN OLEH PENJAJAH/MUSUH2 ISLAM....DENGAN TUJUAN MENJERAT/MENJEBAK AGAR UMAT ISLAM ROSAK SECARA TAK SEDAR SEBAB DAH JADI BIASA....DITAMBAH HUKUM ALLAH/HUDUD TIDAK DIJALANKAN

Definisi Ikhtilat & Hukum Menurut Syara’

Fiqh & Fatwa 2 2075
Ikhtilat

Apa itu IKHTILAT ?

Bahasa
Dari segi bahasa, ikhtilat bererti: meramukan, menggaul sesuatu dengan sesuatu yang lain yakni mencampurkannya.
Istilah Syariat
Yang dimaksudkan dalam perbahasan ini ialah: Percampuran wanita dengan lelaki iaitu perkumpulan mereka pada satu tempat, sama ada dalam bentuk kumpulan atau bersendirian. Percampuran di satu tempat selalunya menyebabkan mereka bertemu antara satu sama lain, berpandangan, berkomunikasi dan bertegur sapa. Apa hukum ikhtilat dalam konteks yang seperti ini?
Adakah percampuran wanita dengan lelaki sama dengan percampuran lelaki dengan lelaki, tanpa ada perbezaan?
Jawapannya ialahTidak , secara pastinya tidak.
Tidak ada seorang pun yang mengatakan bahawa pergaulan wanita dengan lelaki sama dengan pergaulan lelaki dengan lelaki. Kerana asasnya pergaulan lelaki sesama lelaki adalah HARUS, tetapi pergaulan lelaki dengan wanita asalnya adalah HARAM.
 ikhtilat
HARAM ? Macam mana nak berkerja, nak belajar, nak berjual beli ?
Dalam hal ini, Ahli Sunnah Wal Jamaah, mengambil pendapat yang pertengahan (mutawasit). Iaitu, berserderhana dalam percampuran lelaki dan wanita, tidak mengharamkan secara mutlak dan tidak juga menghalalkan secara mutlak.
Ulama juga mengariskan beberapa keadaan yang membolehkan menjadikan percampuran antara lelaki dan wanita yang HARAM pada asalnya kepada suatu perkara yang diHARUSkan, antaranya ialah:
1-      Dalam keadaan terpaksa (Dharurah)
    • Menyelamatkan dari keburukan yang lebih besar seperti, kehilangan nyawa dalam kemalangan atau keadaan bahaya, kehilangan maruah dan lain-lain.
2-      Dalam keadaan keperluan (Hajat)
    • Dalam gerak kerja (mesyuarat, perbincangan & program)
    • Dalam pembelajaran (Kelas)
    • Jual beli
    • Kerja kehakiman
    • Saksi
    • Amar maaruf nahi mungkar
    • Melayan tetamu
    • Dalam kenderaan awam
    • Percampuran yang menjadi kebiasaan dalam keluarga
p/s:   Keadaan diatas menyebabkan ikhtilat menjadi HARUS dengan syarat keadaan percampuran diatas mengelak perkara yang dilarang dalam ikhtilatmenepati syarat-syarat Ikhtilat
 Perkara yang dilarang dalam ikhtilat
1-      Pandangan yang berlebihan
    • Pandangan yang berlebihan adalah ditegah dalam Islam,
    • “Katakanlah kepada laki-laki yang beriman supaya menahan pengelihatan dan menjaga kehormatan….. dan katakanlah kepada wanita-wanita yang beriman supaya menahan pengelihatan dan menjaga kehormatan” Surah An-Nur : 30-31
    • Dan sabda rasulullah “…. janganlah engkau menuruti pandangan pertama kamu dengan pandangan kedua, sesunguhnya pandangan pertama adalah bagi kamu dan yang kedua adalah dosa ke atasmu”
2-      Bersentuhan
    • Sentuhan juga adalah perkara yang dilarang, sabda rasulullah, “Sekiranya kamu ditusuk kepala kamu dengan besi, adalah lebih baik daripada memegang-megang lelaki/perempuan yang tidak halal untuk kamu”
    • Sentuhan yang dimaksudkan di sini, termasuklah sentukan kulit dan kulit atau berlapik, dan antara analogi mudah yang boleh diberikan, adalah adakah kita boleh membiarkan alat sulit kita disentuh oleh sesiapa sahaja walaupun ianya berlapik?
3-      Bercakap lembut
    • Suara/percakapan juga adalah elemen terpenting yang perlu dijaga, percakapan yang tidak perlu, berbunga dan bermanja perlu dielakkan.
    • Perbualan yang ringkas, padat dan mencapai maksud adalah lebih baik daripada perbualan yang lain.
4-      Khalwat(berdua-duaan)
    • DILARANG bagi seorang lelaki dan seorang wanita dalam keadaan berdua-duaan, melaikan bersama mahram.
    • Tempat sunyi tidak menjadi syarat kepada khalwat.
    • Mahram yang dimaksudkan disini adalah ahli keluarga atau sesiapa sahaja yangmemahami hukum islam dan mampu menegur jika berlakunya pemesongan daripada landasan islam/maksiat
5-      Tidak menutup aurat
    • Aurat wanita kepada lelaki yang bukan mahram adalah seluruh tubuh kecuali muka dan kedua tapak tangan
    • Aurat lelaki kepada wanita yang bukan mahram adalah pusat hingga lutut
Syarat-syarat Ikhtilat
1-      Niat

    • Kerana Allah
2-      Matlamat
    • Perkara yang memaksa dan keperluan sahaja
3-      Tidak bersentuhan
    • Tidak berlaku sentuhan samada kulit dan kulit atau berlapik
4-      Menutup & menjaga aurat
    • Perlu sentiasa terjaga
5-      Menjaga adab bercakap
    • Ringkas, pada dan difahami, tidak meleret dan berlebihan
6-      Mengasingkan tempat
    • Diasingkan dengan pengasingan yang jelas, samaada kiri dan kanan, depan dan belakang
7-      Dibawah kawalan orang yang dipercayai
  • Bawah pantauan orang yang dipercayai dan memahami hukum islam dan mampu menegur jika berlakunya pemesongan daripada landasan islam/maksiat
  • Keadaan (Wakie’) mahasiswa Malaysia di Mesir menjadikan pasangan berkahwin (Mutazauwij) adalah orang yang dipercayai
Salah Faham berkaitan Ikhtilat
  1. Jumlah lelaki dan wanita dalam satu percampuran tidak mengubah hukum dan adab-adab ikhtilat.
    • Terdapat sebilangan masyarakat yang menyalah ertikan Ikhtilat dan Khalwat
    • Ikhtilat adalah percampuran lelaki wanita, tidak kira bilangan
    • Khalwat adalah keadaan dimana lelaki dan wanita berdua-duaan tanpa mahram (orang yang dipercayai, memahami hukum islam & mampu menegur)
  2. Fizikal tubuh (jisim) tidak menjadi syarat berlakunya ikhtilat
    • Ikhtilat boleh berlaku samada melalui telefon, “chatting” dan lain-lain lagi cara komunikasi yang membolehkan perhubungan/interaksi antara lelaki dan wanita.
    • Dalam ikhtilat moden ini, perkara yang dilarang dan syarat-syarat ikhtilat juga perlu dipatuhi bagi mengelakkan ikhtilat yagn diHARAMkan
  3. Kenal atau tidak, warna kulit, bahasa pengantara, bangsa dan kaum yang berbeza tidak menjadi perkara yang membolehkan ikhtilat
    • Antara yang sering berlaku apabila ada istilah adik angkat, abang angkat dan kakak angkat, kerana dikatakan perhubungan seperti adik beradik dan tiada nafsu antara mereka, perhubungan seperti ini tidak terlepas dengan Hukum & Adab-adab Ikhtilat
    • Perhubungan lelaki dan wanita, berlainan negara, bangsa dan warna kulit juga perlu mematuhi Hukum & Adab-Adab Ikhtilat

“Wallahua’lam”

Rujukan:
Kutaib Wanita Musafir & Ikhtilat, karangan Ustaz Syaiful Azlan bin Che Daud,

Hukum Chatting Lelaki & Wanita

Fiqh & Fatwa 2 329
Chatting
Diantara soalan-soalan yang selalu ditanya kepadaDarul Ifta Mesir : Apa hukum perbualan antara lelaki dan wanita yang bukan mahram melalui internet ( Chatting )?…
JAWAPAN : Tidak harus atau haram hukumnya perbualan antara lelaki dan wanita yang bukan mahram melalui internet ( Chatting ) kecuali pada had yang sangat diperlukan sahaja. Ini kerana perkara perbualan melalui internet Chatting ) membuka pintu kearah perbuatan sia-sia dan kejahatan, membuka pintu masuk bagi syaitan dan lubang fitnah dan kerosakan. Allah Taala telah memuji kaum mukminin atas sifat mereka yang memalingkan diri dari perkara sia-sia. Allah berfirman “ (kaum mukminin itu) mereka yang memalingkan diri perkara-perkara lagho(sia-sia)”(surah almukminun ayat 3)
Perbulan melalui internet Chatting ) dan tidak harus kerana telah terbukti khususnya pada zaman kita ini bahawa perbualan antara lelaki dan wanita bukan mahram melalui internet ini adalah jenis perbualan Chatting ) yang membawa kearah kejahatan serta sia-sia,salah satu dari pintu masuk syaitan (dalam menghasut kearah kejahatan seperti hasutan kearah zina dan sebagainya) dan membawa kearah fitnah dan kerosakan. Selain itu perkara ini turut membuang masa tanpa apa-apa faedah. Allah Taala telah melarang kita dari saling bantu-membantu dalam perkara dosa dan jahat seperti dalam firmannya di surah Al-Maidah ayat 2. Dan juga Allah telah memerintahkan supaya ditutup pintu-pintu yang menghala kearah fitnah seperti dalam firmannya dalam surah Al An’am ayat 108.
Begitu juga tidak sepatutnya seorang wanita menghantar gambarnya (melalui internet dan sebagainya) kepada orang-orang yang tidak dikenali sebagai memelihara dirinya dan kehormatannya. Sesungguhnya telah banyak berlaku penyalahgunaan terhadap gambar-gambar wanita dikalangan lelaki-lelaki yang tidak bertanggungjawab dan ini adalah satu perkara yang menyalahi kehendak agama Islam.

Sumber :
(Darul Ifta’ Mesir)
www.dar-alifta.org

Apakah Hukum Kahwin Pasangan Zina

Fiqh & Fatwa
Nikah
Perkahwinan seumpama ini pada zaman sekarang, memang tersangat biasa kerana keluarga biasanya memilih jalan ini untuk menutup malu. Bila dapat tahu anak mengandung luar nikah, maka cepat- cepat dikahwinkan.

Berdasarkan kenyataan ini, nikah itu TIDAK SAH, maka pasangan itu kelak hidup dalam zina sampai bila-bila… .
Persoalan ini telah diajukan kepada seorang Imam, di mana banyak persoalan lain timbul dari persoalan pokok tersebut. Saya kongsikan bersama ustaz di sini kerana ianya amat penting:
Soalan 1 : Apakah langkah yang sewajarnya sekiranya seorang gadis belum berkahwin didapati hamil anak luar nikah?
Jawapan 1 : Gadis itu tidak boleh berkahwin sehingga bayi itu dilahirkan.
Soalan 2 : Sekiranya lelaki yang bertanggungjawab itu bersedia mengahwini gadis itu, bolehkah mereka bernikah?
Jawapan 2 : Tidak. Mereka tidak boleh bernikah sehingga bayi itu dilahirkan.
Soalan 3 : Adakah pernikahan itu sah sekiranya mereka berkawin?
Jawapan 3 : Tidak. Pernikahan itu TIDAK SAH. Seorang lelaki tidak boleh mengahwini seorang wanita hamil, walaupun lelaki itu merupakana ayah kepada bayi yang dikandung itu.
Soalan 4 : Sekiranya mereka bernikah, apakah tindakan mereka untuk memperbetulkan keadaan?
Jawapan 4 : Mereka mesti berpisah. Perempuan itu mestilah menunggu sehingga melahirkan, atau sehingga sah dia tidak mengandung, barulah mereka boleh bernikah sekali lagi, secara sah.
Soalan 5 : Bagaimana sekiranya keadaan itu tidak diperbetulkan?
Jawapan 5 : Maka mereka akan hidup di dalam zina kerana pernikahan itu tidak sah
Soalan 6 : Apakah hak seorang anak luar nikah?
Jawapan 6 : Kebanyakan pendapat mengatakan bahawa anak itu TIADA HAK untuk menuntut apa-apa daripada ayahnya.
Soalan 7 : Sekiranya hukum mengatakan lelaki itu bukan ayah kepada anak tersebut, adakah itu bermakna dia bukan mahram kepada anak perempuannya sendiri?
Jawapan 7 : Ya. Dia tidak boleh menjadi mahram.
Soalan 8 : Sekiranya seorang lelaki Muslim Dan seorang wanita Muslim (atau bukan Muslim) ingin bernikah setelah bersekedudukan, apakah tindakan yang sewajarnya?
Jawapan 8 : Mereka mesti tinggal berasingan segera Dan menunggu sehingga perempuan itu haid satu kali sebelum mereka boleh bernikah.
Soalan 9 : Sekiranya saya kenal/tahu seseorang di dalam keadaan ini,apakah saya perlu memberitahu kepadanya, atau lebih baik menjaga tepi kain sendiri?
jawapan 9 : Anda wajib memberitahu, kerana itu sebahagian tanggungjawab anda sebagai saudaranya. Mereka harus diberi peluang untuk memperbetulkan keadaan mereka, kalau tidak semua keturunan yang lahir dari pernikahan tidak sah itu adalah anak-anak yang tidak sah taraf.
Kesimpulannya:
Ibubapa, saudaramara, orang-orang kampung, tuan-tuan Imam, tuan-tuan Kadi dan saksi-saksi yang tahu akan keadaan tersebut tetapi mendiamkan, membiarkan atau membenarkan pernikahan tersebut diteruskan maka mereka juga tidak terlepas daripada menanggung azab Dan seksaan samada didunia atau pun diakhirat…
Sepakat para ulama Hanafiyah, Malikiyah, Syafieyah dan Hanabilahmengatakan bahawa dihalalkan bagi penzina lelaki berkahwin dengan penzina wanita (yang dia berzina dengannya). Ini bermaksud dibenarkan kepada si penzina lelaki untuk berkahwin dengan si penzina wanita walaupun di dalam keadaan wanita tersebut sedang hamil. Ini merupakan pendapat yang dipegang oleh Jumhur ulama.
Titik perselisihan dikalangan para ulama bukanlah pada permasalahan perkahwinan antara penzina lelaki dengan penzina wanita tersebut. Para ulama berselisih pendapat pada perkahwinan yang berlaku di antara penzina wanita dengan lelaki lain yang tidak berzina dengannya.
Penjelasan Oleh Ustaz Zaharudin Dengan Lebih Meneliti Isu Semasa :
Jika dilihat dari perspektif mazhab Hanbali dan beberapa ulama kontemporari, yang mana mereka mengiktiraf mengandung hasil zina boleh membawa hukum ‘iddah, hasilnya, haram bernikah dengan wanita yang sedang ‘iddah dan berlakulah segala satu macam kerumitan sebagaimana yang digambarkan dalam jawapan tuan imam ini.
Kesimpulan Ustaz Zaharudin
Bagi saya jawapan yang lebih utuh dalam keadaan masyarakat yang amat bermasalah hari ini adalah sah pernikahan dengan syarat si pasangan bertaubat.

HUKUM PERKAHWINAN PENZINA WANITA DENGAN LELAKI YANG TIDAK BERZINA DENGANNYA
Kata Imam Hassan al-Basri : Perkara ini memfasakhkan nikah tersebut. Manakala Jumhur para ulama mengatakan bahawa harus bagi lelaki tersebut mengahwini wanita penzina itu.
Titik perselisihan tersebut berlaku berdasarkan pemahaman terhadap penafsiran ayat 3 di dalam surah al-Nur. Allah taala berfirman :
الزَّانِي لا يَنْكِحُ إلاَّ زَانِيَةً أَوْ مُشْرِكَةً وَالزَّانِيَةُ لا يَنْكِحُهَا إِلاَّ زَانٍ أَوْ مُشْرِكٌ وَحُرِّمَ ذَلِكَ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ
Maksudnya: Lelaki yang berzina (lazimnya) tidak ingin berkahwin melainkan dengan perempuan yang berzina atau perempuan musyrik dan perempuan yang berzina itu pula (lazimnya) tidak akan berkahwin dengannya melainkan oleh lelaki yang berzina atau lelaki musyrik. Dan perkahwinan yang demikian itu terlarang kepada orang-orang yang beriman.
Imam Hassan al-Basri rahimahullah memahami bahawa ayat ini menjadi dalil bahawa perkahwinan itu akan menjadi terfasakh kerana zahir ayat ini menunjukkan bahawa haram bagi golongan mukmin mengahwini wanita penzina.Manakala Jumhur para ulama pula memahami ayat ini bukanlah bermaksud haram tetapi sebaliknya suatu kejian dan sangat tidak layak bagi seorang mukmin mengahwini wanita penzina. Kejian tersebut bukanlah bermaksud tidak boleh dikahwini.
Menurut Syeikh al-Mufassir Muhammad Ali Shabuni hafizahullah: Para ulama mentakwilkan ayat ini dengan mengatakan bahawa kebiasaannya lelaki dan perempuan penzina tidak akan berkenan untuk mengahwini lelaki yang soleh atau wanita yang solehah. Mereka tentu lebih menggemari lelaki dan wanita yang seumpama dengan mereka.
Jumhur para ulama juga menggunakan dalil yang dikeluarkan oleh al-Imam Ibn Majah dan Imam al-Baihaqi daripada hadis yang diriwayatkan oleh Saidina Ibn Umar dan Saidatina Aisyah radhiyallahu anhuma:
لا يحرم الحرام الحلال
Maksudnya: Perkara yang haram (zina) tidak akan mengharamkan perkara yang halal( nikah).
Hadis ini bermaksud, penzinaan tidaklah menghalang seseorang tersebut berkahwin dengan wanita yang berzina tersebut.
Para ulama berbeza pendapat sekiranya wanita yang ingin dikahwini tersebut mengandung. (Perlu diingat, perbahasan yang kita bahaskan sekarang bukanlah perkahwinan penzina lelaki dengan penzina wanita tetapi perkahwinan diantara penzina wanita dan lelaki yang suci daripada zina.).
Imam Abu Hanifah dan Imam Muhammad bin Hassan al-Syaibani rahimahumullah berpendapat jika wanita tersebut mengandung tetap sah aqad nikah lelaki tersebut dengannya.Tetapi dengan syarat lelaki tersebut tidak menyetubuhinya sehinggalah wanita tersebut melahirkan anak itu.
Manakala Imam Abu Yusuf dan Zufar ( Ulama Hanafiyah) berpendapat mengatakan bahawa diharamkan untuk berkahwin dalam keadaan wanita itu masih mengandung.
Para ulama Malikiyah pula berpendapat mengatakan bahawa tidak dibenarkan untuk mengahwini wanita penzina selagi wanita tersebut tidak suci daripada 3 kali haid.
Para ulama Hanabilah pula berpendapat , jika seoarang wanita berzina maka tidak dihalalkan kepada sesiapa yang mengetahuinya untuk mengahwininya melainkan setelah selesai dua perkara. Pertama, setelah selesai melahirkan kandungan tersebut. Kedua, setelah memastikan bahawa wanita tersebut telah bertaubat.
Manakala permasalahan nasab bagi anak zina ????…
Adakah anak zina dinasabkan kepada lelaki yang melakukan penzinaan dengan wanita yang melahirkan anak zina tersebut?Terima kasih kepada yang bertanya berkenaan perkara ini.Mengikut pendapat para ulama,seperti yang disebutkan di dalam kitab Fatawa al-Islamiyah oleh Majlis Fatwa Ulama Mesir : Anak tersebut tidak akan dinasabkan kepada lelaki tersebut.Ini kerana anak tersebut tidaklah diiktiraf sebagai anaknya.Jika kita menasabkan anak tersebut kepada lelaki berkenaan maka seolah-olah kita telah mengiktiraf perbuatan kejinya tersebut.
Nasab seseorang tersebut hanya sah jika berlaku melalui perkahwinan yang sah.Ini adalah mengikut kepada pendapat kebanyakkan ulama di dalam mazhab Maliki,Syafie dan Hanbali.
Manakala mengikut pendapat sebahagian ulama bermazhab Hanafi rahimahumullah mengatakan bahawa jika anak tersebut lahir selepas 6 bulan perkahwinan dilangsungkan maka anak tersebut bolehlah dinasabkan kepada lelaki berkenaan(yang melakukan perbuatan keji tersebut). Tetapi jika bayi tersebut dilahirkan kurang daripada 6 bulan selepas perkahwinan dilangsungkan maka anak tersebut tidaklah dinasabkan kepada si lelaki tersebut.
Gambaran mudah di dalam memahami permasalahan yang disebutkan oleh para ulama bermazhab Hanafi ini ialah seperti berikut:
A telah melakukan perzinaan dengan B (na’uzubillah).Selepas 2 bulan ,dilakukan pemeriksaan doktor dan B didapati mengandung 2 bulan.Sebaik mendengar berita tersebut maka si A terus mengahwini si B tersebut.Selepas 7 bulan perkahwinan maka kandungan tersebut telah mencapai 9 bulan dan bayi tersebut dilahirkan.Maka mengikut pendapat para ulama bermazhab Hanafi bayi tersebut boleh dinasabkan kepada lelaki terbabit.
Tetapi sebaiknya kita mengikut dan berpegang dengan pendapat kebanyakkan para ulama yang tidak meletakkan nasab bayi tersebut kepada lelaki berkenaan.Ini kerana,jika kita menggunakan pendapat yang kedua,bimbang akan berlaku penyalahgunaan oleh golongan yang tidak bertanggungjawab.Saya cuma menyampaikan amanah ilmu.
KESIMPULAN
Setelah kita bahaskan dengan ringkas, maka jelaslah bahawa perkahwinan tersebut sah.Tiada masalah padanya. Saya berpandangan mungkin Imam tersebut bercampur permasalahan di antara perkahwinan penzina lelaki dengan penzina wanita dan permasalahan perkahwinan penzina wanita dengan lelaki yang suci. Ini memerlukan pengkajian yang teliti.Islam adalah agama yang mudah dan memberikan rahmat kepada umatnya.Sayugialah bagi seorang alim untuk mengkaji terlebih dahulu sebelum menjawab segala persoalan. Bimbang akan menyusahkan masyarakat.
Sebaiknya jika berlaku sebarang permasalahan perlu dirujuk kepada pihak berwajib yang berhak untuk menentukan perkara ini dengan sebaiknya.
Wallallahu a’lam.
Rujukan:
1. Fiqh al-Islami wa Adillatuhu oleh Syeikh Wahbah Zuhaili cetakan Darul Fikr Syria Jilid 9 mukasurat 6648-6650
2. Tafsir Ayat al-Ahkam oleh Syeikh Muhammad Ali al-Shabuni cetakan Darul Shabuni Jilid 2.
3. Fatawa Darul Ifta’ Misriyah jilid 8
4. Fatawa Syeikh Ali Jum’ah Jilid 1
5. Fiqh Islami wa Adillatuhu oleh Syeikh Wahbah Zuhaili jilid 9 cetakan Darul Fikr
6. Fatawa Islamiyah oleh Darul Ifta’ Misriyyah jilid 2.
Sumber :
Ustaz Mohd Nazrul Abdul Nasir ,
Usuluddin Jurusan Tafsir, Universiti Al-Azhar
Ustaz Zaharudin Bin Abdul Rahman
Pensyarah kanan (UIAM)
PhD, Syariah & Islamic Finance, Univ of Wales, United Kingdom.

Hukum Memakai Niqab Bagi Wanita

Fiqh & Fatwa 7 371
Purdah
Niqab(Purdah) ialah sesuatu yang digunakan oleh wanita bagi menutup bahagian wajah mereka….
Cuma yang dipamerkan hanya bahagian mata sahaja.Terdapat lagi istilah-istilah yang ada kaitan dengan niqab.Antaranya ialah khimar, burqa’ , hijab, dan litham. Saya akan terangkan secara ringkas satu persatu kaitan antara istilah-istilah tersebut dengan niqab.
1. الخمار : ini ialah nama bagi kain yang digunakan untuk menutup bahagian kepala bagi wanita.Ini berdasarkan firman Allah taala di dalam al-Quran surah al-Nur ayat 31:
وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَى جُيُوبِهِنَّ
Maksudnya: dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka.
Kaitan di antara niqab dan khimar ialah niqab digunakan untuk menutup wajah,manakala khimar digunakan untuk menutup kepala.Kedua-duanya merupakan pakaian muslimah.
2. الحجاب: Ini merupakan nama bagi kain yang digunakan untuk menutup keseluruhan wanita tersebut.
3. البُرقَع : Ini merupakan nama bagi kain yang digunakan untuk menutup keseluruhan wajah wanita.Menurut Ibn Manzhur ,pengarang kitab Lisan al-Arab: Terdapat sedikit ruang untuk memperlihatkan mata bagi burqa’. Jika kita mengambil dengan takrif yang diberikan oleh Ibn Manzhur maka ianya sama maksud dengan niqab.
4. اللِثام : Ini merupakan nama bagi kain yang digunakan untuk menutup bahagian mulut.Kaitan di antara niqab dan al-Litham ialah , niqab digunakan untuk menutup keseluruhan wajah kecuali kedua mata. Manakala al-Litham pula digunakan untuk menutup bahagian mulut dan ke bawah. Bilamana niqab digunakan untuk menutup bahagian wajah wanita maka ianya mempunyai kaitan rapat dengan aurat. Ini kerana, aurat adalah merupakan anggota yang wajib ditutup. Maka para ulama berbeza pendapat, adakah wajah termasuk di dalam aurat bagi wanita?

Niqab

Jumhur para ulama iaitu Hanafiyah, Malikiyah, Syafieyah dan Hanabilah berpendapat mengatakan bahawa wajah wanita bukanlah aurat. Ini bermakna, diharuskan bagi wanita untuk menutup wajahnya dan dibenarkan juga baginya untuk membuka wajahnya.
Menurut para ulama bermazhab Hanafi: Wanita muda dilarang mempamerkan wajahnya di hadapan lelaki yang ajnabi . Larangan di sini bukanlah disebabkan wajah mereka aurat. Tetapi adalah untuk mengelakkan fitnah.Ini juga merupakan pendapat al-Imam Ibn Abidin rahimahullah, salah seorang ulama Hanafi.
Manakala para ulama bermazhab Maliki pula berpendapat: Makruh bagi wanita untuk memakai niqab( yang dimaksudkan dengan niqab oleh para ulama Maliki ialah yang menutup keseluruhan wajah termasuk mata)sama ada semasa solat atau selainnya.Ini kerana ianya terlalu berlebih-lebihan. Maka berdasarkan pendapat ini, golongan lelaki adalah lebih utama tidak memakai niqab, kecuali jika ianya menjadi adat bagi tempat tersebut.
Para ulama Maliki juga menyebutkan bahawa: Jika wanita tersebut muda dan cantik serta dibimbangi ianya akan menimbulkan fitnah, maka wajib baginya memakai niqab(purdah), serta menutup kedua tapak tangannya(dengan memakai sarung tangan).
Para ulama bermazhab Syafie pula berbeza pendapat didalam masalah niqab ini.Sebahagian ulama bermazhab Syafie berpendapat wajib bagi wanita memakai niqab,sebahagian lagi mengatakan ianya sunnah manakala sebahagian lagi mengatakan ianya merupakan Khilaf al-Aula.
Didalam hadis baginda sallallahu alaihi wasallam disebutkan:
عن سيدنا ابن عمر رضى الله عنهما أن النبي صلى الله عليه و سلم قال: لا تنتقب المرأة المحرمة و لا تلبس القفازين
Maksudnya: Diriwayatkan daripada Saidina Abdullah bin Umar radhiyallahu anhuma, Sesungguhnya Baginda Nabi sallallahu alaihi wasallam bersabda: Janganlah seorang wanita tersebut memakai niqab dan memakai sarung tangan ketika dalam keadaan ihram.
Disebutkan oleh Ibn Taimiyah rahimahullah : Hadis ini menjadi dalil bahawa wanita pada zaman Baginda sallallahu alaihi wasallam memakai niqab dan sarung tangan. Oleh sebab itulah baginda sallallahu alaihi wasallam melarang pemakaian tersebut pada ketika waktu menunaikan ibadah haji.
KESIMPULAN
Jika kita menilai dengan baik pendapat para ulama tersebut, maka jelas menunjukkan bahawa niqab adalah sesuatu yang dituntut di dalam Islam. Cuma perlu difahami, bukanlah saya bertujuan untuk menyuruh semua wanita memakai niqab secara total. Amalkan berdasarkan kemampuan kita. Jika wanita tersebut merasakan bahawa jika dia tidak memakai niqab maka ianya akan menjadi lebih bahaya dan fitnah(manusia akan memandang kepadanya dengan syahwat),maka wajib baginya memakai niqab. Tetapi jika dia merasakan bahawa tiada masalah jika dia tidak memakai niqab, maka tidaklah menjadi dosa jika dia tidak memakai niqab sekalipun. Mereka boleh mengunakan sebahagian pendapat yang dipegang oleh ulama bermazhab Syafie yang mengatakan bahawa ianya merupakan Sunnah.
Wallahu a’lam
Rujukan:
Mausu’ah Kuwaitiyah jilid 41 mukasurat 134
Mausu’ah Yusufiyah oleh Syiekh Doktor Yussuf Khattar hafizahullah mukasurat 605-610
Sumber :
Ustaz Mohd Nazrul Abdul Nasir ,
BA, Hons, Usuluddin danTafsir,
Universiti Al-Azhar.

Cara Memakai Cincin Menurut Sunnah

Fiqh & Fatwa
cincin Rasulullah
Ada seorang sahabat yang sangat mencintai sunnah Baginda sallallahu alaihi wasallam telah bertanya kepada saya tentang cara pemakaian cincin menurut sunnah Baginda sallallahu alaihi wasallam.
Saya tidak ingin menjawab dengan pandangan saya yang sangat faqir di dalam ilmu, namun saya akan memberikan jawapan yang telah diberikan oleh al-Imam Jalaluddin al-Suyuti rahimahullah dan para ulama yang lain. Jawapan daripada para ulama ini akan saya ringkaskan agar mudah difahami oleh para pembaca.
Ada beberapa perkara yang akan terlintas di dalam persoalan berkaitan cincin :
1.    Adakah terdapat berat yang khusus untuk memakai cincin?
2.    Adakah kita boleh mengambil segala jenis logam untuk dijadikan cincin seperti tembaga, besi dan lain-lain?
3.    Adakah harus bagi kita memakai lebih daripada satu cincin perak di tangan bagi lelaki?
4.    Adakah cincin yang dipakai oleh Baginda sallallahu alaihi wasallam mempunyai batu? Apakah jenis batunya?
5.    Di jari manakah Baginda sallallahu alaihi wasallam memakai cincin , kanan atau kiri? Dan bagaimana pula keadaan batu cincin Baginda sallallahu alaihi wasallam, samada dipusingkan ke tapak tangan atau tidak?
Ini antara soalan yang terlintas di dalam pemikiran kita. Sekarang kita lihat pula bagaimana para ulama memberikan jawapan bagi permasalahan ini. Jawapan yang akan saya kemukakan adalah menurut turutan soalan di atas. Di harap para pembaca mengambil perhatian terhadap perkara ini.
JAWAPAN
BERAT CINCIN
1.    Para ulama berbeza pandangan di dalam permasalahan berat cincin yang dibenarkan. Al-Imam Haskafi rahimahullah, ulama bermazhab Abu Hanifah mengatakan bahawa sesebuah cincin tidak boleh melebihi berat satu Mithqal yang bersamaan 4.680 gram. Al-Imam Ibn Abidin yang merupakan ulama bermazhab Abu Hanifah juga merajihkan pandangan pengarang kitab al-Zhaqirah bahawa berat yang dibenarkan hanya satu Mithqal.
2.    Para ulama Malikiyah pula berpandangan dibenarkan untuk seseorang memakai cincin dengan kadar 2 dirham ke bawah. Berat dua dirham menurut pengiraan moden ialah  3.125 gram ×  2 = 6.25 gram
3.    Para ulama Syafieyah pula mengatakan bahawa berat cincin bergantung kepada adat atau uruf setempat. Jika melebihi daripada adat tempat tersebut maka ianya dianggap membazir.
4.    Para ulama Hanabilah  pula berpandangan tiada masalah untuk memakai cincin yang beratnya melebihi satu mithqal.  Tetapi dengan syarat tidak terkeluar daripada uruf atau adat setempat yang ditetapkan. Jika melebihi uruf maka hukumnya adalah haram. LOGAM YANG DIBENARKAN UNTUK MEMBUAT CINCIN
EMAS
1.    Para ulama bersepakat mengatakan bahawa emas dibenarkan kepada wanita untuk memakainya, manakala bagi lelaki ianya adalah haram.
2.    Manakala untuk kanak-kanak yang belum baligh, para ulama Syafieyah di dalam pandangan muktamad di dalam mazhab berpendapat bahawa dibenarkan bagi mereka untuk memakai emas samaada kanak-kanak lelaki atau perempuan.
PERAK
1.    Para ulama bersepakat mengatakan bahawa cincin perak dibenarkan kepada wanita. Manakala bagi lelaki pula terdapat perincian oleh para ulama .
2.    Para ulama Hanafiyah mengatakan bahawa harus bagi lelaki memakai cincin perak. Ianya menjadi sunnah kepada para sultan, para qadhi dan yang seumpama dengannya. Manakala kepada selain sultan, qadhi dan yang seumpama dengannya terlebih afdhal bagi mereka tidak memakai cincin perak.
3.    Para ulama Malikiyah pula berpandangan bahawa memakai cincin perak bagi lelaki adalah harus dan jika dipakai dengan tujuan mengikut sunnah Baginda sallallahu alaihi wasallam hukumnya adalah sunnah dan haram memakainya dengan tujuan berbangga diri.
4.    Para ulama Syafieyah pula berpandangan bahawa disunatkan kepada sesiapa sahaja untuk memakai cincin perak bukan dikhususkan kepada sultan dan qadhi semata-mata.
5.    Para ulama Hanabilah berpandangan bahawa memakai cincin perak bagi lelaki adalah harus.
SELAIN DARIPADA EMAS & PERAK
1.    Para ulama Malikiyah ( dalam pandangan yang muktamad ) dan ulama Hanabilah berpandangan bahawa memakai cincin daripada besi, tembaga dan seumpama dengannya adalah makruh berdasarkan larangan Baginda sallallahu alaihi wasallam di dalam hadis. Hukuman ini merangkumi lelaki dan  wanita.
2.    Para ulama Malikiyah berpandangan bahawa mengambil cincin daripada kayu, kulit dan batu adalah harus bagi lelaki dan wanita. Manakala para ulama Hanabilah pula berpandangan diharuskan bagi lelaki dan wanita memakai cincin daripada zamrud, yaqut, jed dan lain-lain jenis batu.
3.    Para ulama Syafieyah pula mempunyai dua pandangan di dalam permasalahan ini. Sebahagian mengatakan bahawa hukumnya makruh memakai cincin selain emas dan perak. Manakala sebahagian lagi mengatakan tidak makruh. Al-Imam Nawawi rahimahullah berpandangan dengan mengatakan tidak makruh memakai cincin daripada selain emas dan perak . al-Imam Qalyubi di dalam Hasyiyahnya juga mengatakan bahawa tiada masalah untuk memakai cincin daripada tembaga , besi dan lain-lain.
4.    Para ulama Hanafiyah pula seperti al-Imam Ibn Abidin rahimahullah mengatakan bahawa dihalalkan bagi lelaki memakai cincin perak dan diharamkan memakai cincin emas, tembaga atau besi. Manakala mengambil cincin daripada batu adalah dibenarkan khususnya batu aqiq.
Syaikh al-Allamah Abdullah Fad aq hafizahullah..Lihat pemakaian cincin pada jarinya
HUKUM BERBILANG-BILANG CINCIN
1.    Para ulama Malikiyah mengatakan bahawa diharamkan bagi seseorang lelaki memakai lebih daripada satu cincin.
2.    Para ulama Syafieyah pula berpandangan bahawa dibenarkan untuk memakai 2 bentuk cincin perak dalam satu masa. Ini seperti yang disebutkan oleh al-Imam Jalaluddin al-Suyuti rahimahullah. Makruh hukumnya memakai lebih daripada 2 bentuk cincin. Al-Imam Isnawi rahimahullah juga berpandangan sedemikian dan kata al-Imam Khawarizmi di dalam al-Kafi : Makruh memakai kedua-dua cincin tersebut pada satu jari.
3.    Para ulama Hanabilah pula berpandangan bahawa dibenarkan bagi lelaki memakai dua cincin dan lebih selagi mana tidak keluar daripada adat setempat.
4.    Manakala para ulama Hanafiyah tidak pula kedapatan mereka mengeluarkan pandangan di dalam masalah ini.
 
BENTUK CINCIN RASULULLAH
1.    Cincin Baginda sallallahu alaihi wasallam ada dua jenis. Ada yang diukir perkataan “ Muhammad Rasulullah” dan ada yang diletakkan batu.
2.    Jenis batunya menjadi perbahasan para ulama, sebahagian mengatakan bahawa ianya adalah jenis aqiq dan al-Imam Jalaluddin al-Suyuthi mengatakan bahawa beliau melihat di dalam kitab Mufradat fi  al-Tibb
karangan Ibn al-Baithar bahawa jenis batu tersebut adalah zabarjad.
JARI YANG SUNNAH DILETAKKAN CINCIN
1.    Bagi wanita tiada tempat yang khusus diletakkan. Terpulang kepada mereka untuk memakai cincin dimana sahaja anggota. Samada di kesemua jari tangan atau jari kaki sekalipun. Ini kerana itu adalah perhiasan bagi mereka.
2.    Para ulama berbeza pandangan tentang kedudukan jari yang sunnah dipakaikan cincin bagi lelaki. Para ulama Hanafiyah mengatakan bahawa disunnahkan bagi lelaki untuk memakai cincin di jari kelingking sebelah kiri dan bukan pada jari lain walaupun kanan. Sebahagian daripada ulama Hanafiyah mengatakan bahawa diharuskan untuk memakai cincin pada jari kelingking kanan.
3.    Manakala al-Imam Malik radhiyallahu anhu, guru kepada al-Imam al-Syafie radhiyallahu anhu mengatakan bahawa disunnahkan memakai cincin di jari kelingking kiri dan beliau sendiri memakai cincin di jari kelingking kiri. Al-Imam Ibn al-Arabi al-Maliki mengatakan bahawa sunnah memakai cincin pada jari kelingking kiri dan makruh memakainya pada  kelingking kanan.
4.    Para ulama Syafieyah mengatakan bahawa harus untuk dipakai cincin pada jari kelingking kanan atau kiri sekalipun. Tetapi pandangan yang masyhur ialah memakainya pada jari kelingking kanan kerana ianya merupakan tempat untuk berhias. Manakala memakai cincin pada jari manis adalah dibenarkan. Jari tengah, telunjuk dan ibu jari adalah dilarang bagi kaum lelaki untuk meletakkan cincin padanya. Ini kerana terdapat larangan daripada Baginda sallallahu alaihi wasallam kepada Sayyiduna Ali radhiyallahu anhu untuk memakai cincin pada jari-jari tersebut.
5.    Para ulama Hanabilah pula berpandangan bahawa afdhal memakai cincin pada jari kelingking kiri. Mereka juga berpandangan bahawa dibenarkan untuk memakai cincin pada jari manis dan ibu jari. Manakala jari telunjuk dan jari tengah adalah dilarang untuk meletakkan cincin padanya kerana terdapat larangan yang jelas daripada Baginda sallallahu alaihi wasallam.
KE ARAH MANAKAH BATU CINCIN DIPUSING?
1.    Para ulama mengatakan bahawa dibenarkan untuk kita menzahirkan batu cincin ke atas. Namun yang lebih afdhalnya menurut sunnah Baginda sallallahu alaihi wasallam adalah dengan memusingkan arah batu tersebut ke telapak tangan. Semoga kita semua dapat mengambil manfaat dengan perbahasan ini bagi menghidupkan sunnah Baginda sallallahu alaihi wasallam.
RUJUKAN :
1.    Mausu’ah al-Kuwaitiyah Jilid 11

2.    Al-Hawi lil Fatawi oleh al-Imam Jalaluddin al-Suyuthi radhiyallahu anhu , jilid 1 mukasurat 75-76 cetakan Darul Kutub Ilmiyah tahun 1982
Ustaz Mohd Nazrul Abdul Nasir ,
BA, Hons, Usuluddin Jurusan Tafsir,
Universiti Al-Azhar As-Syariff.

Tiada ulasan: