Siap siaga, yakin turun gelanggang
Ahmad Lutfi Othman, | 04 Apr 2013 |
Semasa mengisytiharkan calon PRU13 untuk tiga kerusi Parlimen, iaitu Titiwangsa, Baling dan Temerloh, serta mengumumkan bekas Duta Besar Arab Saudi dan Iran menyertai PAS, di pusat media, Pejabat Agung PAS, pagi 24 April lalu, saya perhatikan wajah Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam mood cukup ceria dan menyenangkan.
Sesekali Tok Guru Presiden berjenaka, memberi respons mudah, disambut Setiausaha Agung PAS, Mustafa Ali, juga disulami elemen humor. Soalan wartawan dijawab tenang walaupun ada rakan-rakan media cuba menimbulkan sedikit provokasi.Biasalah situasi sebegitu. Perang hampir bermula. Kesilapan kecil boleh mengundang padah.
Setiap gerak, aksi dan bicara pemimpin oposisi sentiasa diteliti dan diteropong dari dekat. Silap mengatur langkah, terlanjur memberi pendapat ... segalanya boleh dijadikan perangkap.
Apa pun saya lebih terkesan dengan keyakinan tinggi yang ditunjukkan Ustaz Abdul Hadi; azimat terbaik buat aktivis parti melangkah turun ke gelanggang. Tidak mudah mengharung "ibu segala pilihan raya" ....
Kempen kali ini menjanjikan hanya mereka yang terbaik sahaja -- selain mengelak 'kesalahan bodoh' -- bakal menang. PAS yang berdepan kompleksiti pengundi Melayu dan 'kekuatan' Umno sebagai tonggak BN, terpaksa memikul beban lebih besar dan mencabar berbanding rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat.
Penyertaan Brig-Jen (B) Dato' Najmi Ahmad, bekas Pengarah Kor Agama Tentera Malaysia dan Dato' Adnan Othman, bekas diplomat, bersama PAS, seperti diumumkan Abdul Ustaz Hadi sememangnya bukan satu berita mengejutkan, tetapi ia mengukuhkan lagi harapan majoriti rakyat yang mendambakan perubahan.
Senarai nama personaliti berpengaruh, termasuk artis popular, yang memilih PAS rupanya semakin panjang. Alhamdulillah.
Najmi diamanahkan bertanding di Baling, yang pernah dimenangi PAS pada 1978 oleh abangnya, Ustaz Nakhaie Ahmad. Pada 1999, manfaat daripada kebangkitan dan protes pengundi Melayu kepada Dr Mahathir Mohamad, bekas Imam Besar Masjid Negara, Ustaz Taib Azamuddin terpilih. Tsunami politik 2008 memenangkannya sekali lagi.
Ditanya sama ada isu Nakhaie yang keluar daripada PAS pada penghujung 1980-an boleh menjejaskan sokongan kepada PAS di Baling, Ustaz Hadi dilaporkan berkata, sambil ketawa kecil: "Saya rasa lebih kuat jika Dato' Nakhaie menyokong dan memenangkan (adiknya)."
Pemilihan peguam muda, Ahmad Zamri Asa'ad Khuzaimi, anak kelahiran Sentul, Kuala Lumpur, yang terbabit secara aktif dalam Sekretariat Pembangunan Kampung Baru (SPKB) sebagai pengganti Almarhumah Dr Lo'Lo' Mohd Ghazali di Titiwangsa disifatkan keputusan bijak.
Timbalan Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan itu bukan saja dikira mampu melangsungkan legasi Dr Lo'Lo' malah berupaya memperkukuhkan kedudukan dan pengaruh parti Islam di tengah kota raya.
Saya juga dapat menjangkakan kelegaan pimpinan PAS Kawasan Temerloh yang saya temui minggu lalu apabila Ketua Pemuda Pusat, Ustaz Nasruddin Hassan Tantawi diisytihar calon Pakatan di kerusi Parlimen berkenaan.
Biarpun kemungkinan bakal berdepan penyandang, Saifuddin Abdullah, yang dilihat sebagai 'tokoh pembaharu' dalam Umno -- tetapi tidak digemari pimpinan setempat partinya sendiri -- namun Ustaz Nasruddin tetap mempunyai potensi lebih cerah.
Kedua-duanya perlu bersaing sengit khususnya untuk merebut sokongan pemilih muda atau yang baru pertama kali mengundi.
II.
Tulisan A Kadir Jasin, bekas Ketua Pengarang Kumpulan NSTP, bertajuk "Ironi rintihan Perdana Menteri" dalam blognya, 1 April lalu, menyentuh keluhan Najib Razak bahawa beliau tidak dibenarkan memandu sendiri, menarik perhatian ramai.
Dalam temu bual dengan stesen radio UFM 101.3 pada 22 Mac, Najib menyatakan kerinduan untuk memandu sendiri tetapi tidak kesampaian kerana larangan polis.
Dalam berita bertajuk "Najib dedahkan jiwanya kepada stesen radio", The Star, antara lain, melaporkan: "Beliau juga menyatakan kerinduannya untuk memandu keretanya sendiri tetapi tidak boleh berbuat demikian kerana larangan polis."
Najib memberitahu radio UFM 101.3: "Tetapi saya dibenarkan sekali memandu dari Putrajaya ke Hotel Majestic dengan keluarga saya untuk makan malam dua minggu lalu, tetapi dengan diiringi polis."
Kadir merumuskan "rintihan" Najib itu sebagai "maka sahlah negara kita tidak seselamat dulu lagi".
Sebelumnya beliau mencatatkan: "Kalau orang kenamaan yang mendapat perlindungan polis atau yang ada pengawal peribadi pun masih dinasihatkan berjaga-jaga, apa halnya dengan orang biasa yang terdedah kepada pelbagai bentuk jenayah dan ancaman?
"Tidak hairanlah banyak pemilik rumah dan kedai sanggup menggali kocek mengeluarkan wang sendiri bagi mendirikan pagar berduri, membina pondok kawalan dan memasang televisyen litar tutup serta semboyan. Kemudian mengupah pengawal tempatan dan Nepal untuk menjadi keselamatan mereka.
"Taman perumahan sudah menjadi macam kampung baru waktu darurat 1948-60 yang dikelilingi pagar berduri dan dikawal oleh polis, tentera dan Home Guard. Maaf cakaplah, tidakkah orang dan pihak yang diberi mandat dan amanah menjaga keselamatan dalam negara berasa malu atau bertanggungjawab terhadap keadaan yang serba tidak menentu dan kacau-bilau seperti sekarang?"
III.
Dr Mahathir Mohamad semakin aktif berkempen ke seluruh negara untuk memenangkan BN dan liputan media kepadanya seolah-olah dia masih Perdana Menteri. Dalam sebuah negara demokrasi, bekas Perdana Menteri itu tidak boleh dihalang daripada mengamalkan hak untuk
berpartisipasi dalam politik. Biarkanlah.
Kalau dulu tumpuan kritikannya lebih kepada Anwar Ibrahim, tetapi kali ini, amarahnya terhadap Lim Kit Siang tidak boleh disembunyikan lagi. Puncanya, Ketua Ahli Parlimen DAP itu berpindah untuk bertanding di Johor, sebuah negeri yang dianggap kubu terkuat Umno.
Kit Siang mengambil tindakan drastik itu, meninggalkan kerusi selamatnya di Ipoh Timur ke Gelang Patah yang dimenangi BN dengan majoriti besar pada 2008, telah menghantar mesej jelas bahawa tsunami politik lebih menyeluruh kali ini akan bermula dari selatan.
Johor -- dan juga Sabah serta Sarawak -- bukan lagi "simpanan tetap" buat BN. Langkah Kit Siang itu, untuk "menyerang" kubu terkuat Umno dan kemungkinan diikuti beberapa pemimpin kanan DAP yang turut bersedia bertanding di Johor, cukup menggusarkan Dr Mahathir. Jika Johor goncang, besar musibahnya untuk BN secara keseluruhan.
"Kalau Kit Siang berani datang sini, orang Johor mesti ganyang dia habis-habisan. Biar itu menjadi hari terakhirnya dalam politik. Jika nak bertanding tempat lain kita faham tapi nak serang kubu besar Umno di Johor, satu perbuatan tak masuk akal," kata Dr Mahathir semasa berucap hampir dua jam, di Kempas Permas, Johor Bahru, 1 April lalu.
Dr Mahathir bukanlah menjolok sarang tebuan tetapi kecaman melampaunya itu, saya kira, bukan saja mendorong semangat aktivis DAP, malah mampu menyemarakkan lagi motivasi penggerak PAS dan KeADILan bagi menamatkan penguasaan Umno-BN di Johor.
Kelihatan Dr Mahathir seperti berkuasa penuh ke atas perjalanan kempen BN, malah ada beranggapan dialah PM "de facto" yang turut digeruni Najib.
"Tiada jalan untuk menutup mulut Mahathir melainkan memastikan BN kalah dalam PRU13 dan Johor mesti menyumbang banyak kerusi Parlimen buat Pakatan," kata seorang rakan. Saya separuh bersetuju dengannya; biarkanlah Dr Mahathir dan Najib sendiri terus bersuara lantang sebagai pembangkang nanti.
Bukankah oposisi juga mempunyai fungsi besar untuk membangunkan negara, 'kan? Dr Mahathir, Najib dan ramai lagi pemimpin BN mempunyai pengalaman yang cukup lama menerajui kerajaan, dan ia sesuatu yang cukup berharga untuk dikongsi bersama untuk terus menyumbang kepada pembinaan Malaysia baru, walaupun selepas berada pada kerusi pembangkang!
IV.
Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI) merakam penghargaan dan ucapan terima kasih di atas sokongan dan bantuan berterusan masyarakat, khususnya pembaca Harakah, bagi menjayakan projek penerbitan PRU13, yang menyasarkan pengedaran bahan-bahan bercetak kepada pengundi Melayu di kawasan yang dianggap tidak begitu terdedah dengan media baru.
Salurkan sumbangan anda kepada akaun KAMI MEDIA Maybank 514075606399. -- lutfi_detik@yahoo.com
Kehebatan calon dari Pakatan Rakyat
-, | 04 Apr 2013 |
Datuk Seri Najib Tun Razak dengan wajah muram dan kelihatan sugul telah membubarkan Parlimen kelmarin untuk memberi laluan kepada PRU Ke-13 dalam suasana yang kelihatan tidak memihak kepada Umno/BN atas pelbagai isu.
Mengapa beliau bermuram durja ketika berucap membubarkan parlimen, tersasul pula menyebut 2012, pada hal 2013, adakah kerana tekanan para menteri, atau masalah dalam BN?
Dalam masa yang sama kelmarin, Pakatan Rakyat telah mengumumkan nama-nama besar calonnya untuk bertanding, di samping akan menyusul lagi pengumuman bakal calon Pakatan dari masa ke semasa.
Pemimpin Pakatan telah mengumum, setakat ini, dua jeneral bersara akan bertanding sebagai calon Parlimen di Johor Bahru dan Baling Kedah.
Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang telah membuat pengumuman dramatik bahawa bekas Pengarah Kor Agama Angkatan Tentera (Kagat) yang mengisytiharkan menyertai PAS baru-baru ini, Briged Jeneral (B) Datuk Najmi Ahmad, akan bertanding di Parlimen Baling pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) nanti.
Sementara Ketua Pemuda PAS Malaysia, Nasrudin Hassan pula akan bertanding di Parlimen Temerloh dan Timbalan Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, Ahmad Zamri Asa'ad Khuzaimi, seorang peguam, akan bertanding di Parlimen Titiwangsa.
Presiden PAS itu turut mengumumkan penyertaan bekas Duta Malaysia ke Australia, Arab Saudi dan Iran, Datuk Adnan Othman ke dalam PAS.
Datuk Seri Presiden ketika mengumumkan bakal-bakal calon itu berkata, calon-calon lain akan diumumkan oleh PAS dari masa ke semasa.
Sebelum ini, Lim Kit Siang diumumkan akan bertanding di parlimen Gelang Patah dan Liew Chin Tong di Kluang. Sementara bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman, Datuk Fauzi Shaari dijangka akan bertanding sebagai calon PAS di Larut.
Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali di sidang akhbar itu mengesahkan kawasan Parlimen Larut akan diwakili oleh Datuk Fauzi Shaari.
Sehubungan itu, kata Mustafa, masalah calon di kawasan itu sudah pun diselesaikan dan ia diterima baik oleh akar umbi parti itu.
Sementara itu, Pakatan Rakyat terus membariskan 'heavyweight' di Johor dengan meletakkan bekas Ketua Turus Tentera Darat, Jeneral (B) Tan Sri Md Hashim Hussein sebagai calon PKR untuk kerusi Parlimen Johor Bahru.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Datuk Seri Anwar Ibrahim juga mengumumkan bahawa Choong sebagai calon kerusi parlimen Tebrau, Nor Hizwan Ahmad (parlimen Muar) dan Datuk Idris Jauzi (parlimen Batu Pahat).
Choong adalah timbalan setiausaha agung PKR dan dikaitkan sebagai penyokong kuat Pengerusi PKR Johor, Datuk Chua Jui Meng.
Sementara Nor Hizwan - anak kelahiran Muar - pernah bersama MAS, dan aktif di PKR Ampang sebelum dilantik sebagai penyelaras PKR bagi parlimen Muar.
Idris adalah Naib Presiden NGO Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (Wadah) dan bekas pemimpin Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim).
Hubungannya dengan Anwar bermula sejak Anwar berada dalam kerajaan, sewaktu Idris menjadi timbalan ketua pengarah Biro Tata Negara (BTN).
Anwar membuat pengumuman itu di depan ribuan penyokong di Ceramah Perdana Merdeka Rakyat di Kampung Datuk Sulaiman Menteri, Johor Bahru malam kelmarin.
Pada pilihan raya umum 2008, Tan Sri Shahrir Samad - tokoh Umno menewaskan calon Parti Rakyat Malaysia (PRM), Hassan Karim dengan majoriti 25,349 undi.
Dengan pengumuman itu, ia dilihat sebagai usaha Pakatan Rakyat untuk 'menawan' negeri di selatan semenanjung Malaysia - yang sebelum ini dianggap simpanan tetap BN.
Sementara itu di Kedah, jika perkiraan dibuat berdasarkan majoriti yang diperoleh dalam pilihan raya umum 2008, Pakatan Rakyat sudah selamat di sekurang-kurangnya 16 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kedah dan hanya memerlukan tiga lagi kerusi untuk sekali lagi menang mudah.
Di Kelantan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat mengesahkan PAS Kelantan sudah menyiapkan senarai calon bagi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).
Beliau berkata, hingga semalam, tiada apa-apa masalah berlaku dalam proses penyenaraian calon di negeri ini sehingga Parlimen dibubarkan.
“Kira selesai, tiada masalah. Kita tahu Umno terlalu lemah sekarang ini, sebab itu dia (Umno) bagi duit kepada rakyat. Bagi duit kerana apa? Sama ada rasuah, maka rasuah itu haram, demokrasi pun kata haram, Islam pun kata haram,” katanya.
Sementara itu, banyak lagi calon berwibawa akan dikemukakan oleh PAS/Pakatan dari negeri-negeri yang kini belum lagi diumumkan.
Dijangka calon itu dari pelbagai golongan – paduan dari ulama, profesional, tokoh pendidik, bekas pensyarah, bekas pegawai kerajaan dan sebagainya.
Dengan kombinasi yang baik ini prestasi Pakatan Rakyat dikayakini akan jauh lebih baik dari PRU 2008. Kerana itu pihak yang meramalkan kononnya tidak akan berlaku lagi tsunami politik dalam PRU akan datang hanya agakan saja, yang dibina berasaskan kebencian kepada Pakatan Rakyat.
Oleh itu, tidak syak lagi, kekuatan PAS/Pakatan Rakyat ialah kerana kejayaannya menggembling semangat, pemikiran aspirasi dan tenaga rakyat, dipadukan di tengah sebuah gelombang kebangkitan rakyat yang didukung oleh generasi baru.
Ini menghairankan orang Umno sendiri dan penyokongnya, yang selama ini tidak pernah mereka alami. Dalam masa yang sama anak muda yang pulang ke kampung membawa berita perkembangan terkini di bandar di mana sama sekali mereka tidak pernah lihat dan dengar melalui media tradisional.
Inilah perkembangan baru yang menakutkan Umno/BN dalam menghadapi PRU akan datang. Lebih-lebih lagi apabila golongan anak muda beriringan menyaksikan bekas general, bekas pegawai tinggi polis, bekas pegawai tinggi kerajaan, malah para artis menyertai Pakatan Rakyat.
*Penulis boleh dihubungi melalui shukurharun@yahoo.com
Kita diberi peluang bertemu Pakatan Rakyat
Tuan Ibrahim Tuan Man, | 04 Apr 2013 |
Setiap perjumpaan bukanlah kebetulan, tapi ketentuan Allah.
Setiap orang yang kita berjumpa - pasti berpisah pada akhirnya.
Jangan fikir perjumpaan dalam perspektif kita jumpa orang yang kita suka atau kurang suka.
Fikir dalam konteks setiap perjumpaan ditentukan Allah - dan ingat Allah tidak pernah melakukan apa yang sia-sia... maka setiap perjumpaan itu ada maknanya tersendiri.
Lihat di sebalik apa yang dapat dipelajari daripada setiap pertemuan.
Dengan fikiran sedemikian, maka kita kuranglah mengumpat kerana teringat Allah, dan dengan bersangka baik kepada Allah bahawa orang yang ditemukan kepada kita ada hikmahnya, apalah yang perlu diumpatkan lagi.
Cuba berfikir sejenak. Senyum.
Kita diberi peluang bertemu dengan Pakatan Rakyat selepas 55 tahun BN memerintah, ambillah peluang sebaiknya dengan memberinya peluang untuk sekali.
Senyum.
Nasi bungkus untuk mesyuarat Exco
Salmah Mat Husain Foto Rizal Tahir, | 04 Apr 2013 |
NASI BUNGKUS... Menteri Besar Kelantan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, menikmati nasi bungkus untuk sarapan pagi bersama anggota-anggota exco kerajaan negeri yang lain.
Sejak beberapa tahun lalu, Tuan Guru mengarahkan supaya mesyuarat mingguan exco kerajaan negeri hanya berbekalkan 'nasi bungkus' sebagai langkah berjimat cermat menggunakan wang kerajaan negeri.
Gambar ini dirakamkan pagi semalam, sewaktu beliau bersarapan pagi kira-kira jam 10.35 pagi sebelum mempengerusikan mesyuarat exco.
Semalam adalah mesyuarat exco terakhir untuk penggal ke-12 selepas Parlimen dibubarkan oleh Perdana Menteri jam 10.36 pagi semalam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan