Khamis, 4 April 2013

MUSIM BUBAR...BUBARKAN SEKALI SIKAP PENIPU...SIFAT SAMSENG DAN SEGALA SIFAT2 YANG DILARANG OLEH ALLAH...LEBIH2 BAB FITNAH2 NI

PRU13: Adakah Samy Vellu bertanding semula?

Harakahdaily, 04 Apr 2013
IPOH: Jawatankuasa Isu dan Strategik Badan Perhubungan PAS Negeri Perak melihat Datuk Seri S. Samy Vellu memberikan signal bahawa beliau bersedia dicalonkan semula untuk bertanding di kerusi lamanya iaitu Parlimen Sungai Siput.

Koordinatornya, Salman Saleh (gambar) berkata demikian melihat kepada kenyataan bekas Presiden MIC semalam yang menyatakan secara terbuka bahawa beliau adalah calon ‘boleh menang’.

Justeru, beliau bertanya adakah Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir selaku Pengerusi BN negeri telah menyenaraikan Samy Vellu sebagai calon pada PRU13 nanti.

“Adakah Datuk Seri G. Palanivel, Presiden MIC yang juga Pengerusi MIC Negeri Perak telah bersetuju menetapkan kerusi untuk bekas Presidennya bertanding pada PRU13 kali ini?” tanya beliau dalam satu kenyataan di sini.

Menurutnya, walaupun Samy Vellu tidak merujuk kebenaran untuk bertanding semula daripada BN Perak, ia secara tidak langsung menunjukkan Zambry tidak mampu menyekat bekas Presiden MIC itu jika Datuk Seri Najib selaku Pengerusi BN memberikan keizinan kepadanya untuk bertanding kelak.

Katanya, jika Samy Vellu tidak dibenarkan untuk bertanding, ini menunjukkan BN tidak lagi memerlukan beliau dan secara tidak langsung tidak mengiktiraf peranannya selama ini untuk pembangunan kaum India.

“Nampaknya pergolakan dalaman dalam BN Perak semakin bergelora dan ianya akan lebih bergelora lagi bila hampir masa penamaan calon pilihanraya kelak,” katanya.

Samy Vellu: Saya calon boleh menang

PRU13: Anwar lonjak kemenangan Pakatan Perak

Harakahdaily, 04 Apr 2013
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Negeri Perak mengalu-alukan kesediaan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyatakan secara terbuka ingin bertanding di Perak.
“Ia juga akan mengukuhkan momentum rakyat Perak khasnya dan Pakatan Rakyat amnya di Perak,” ujar Timbalan Ketuanya, Dr Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss (gambar).

Katanya, pihaknya telah melontarkan cadangan jika Anwar sudi untuk bertanding di Perak.

“Inilah masanya kita melihat telatah Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir yang juga ‘anak buah’ kepada Datuk Seri Anwar di dalam Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) dahulu.

“Kami percaya semua jentera PR sudah bersedia menerima Datuk Seri Anwar di Perak nanti,” ujarnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Sementara itu, Anwar dijangka mengumumkan senarai penuh calon PKR yang akan bertanding di negeri itu pada perhimpunan Jelajah Merdeka Rakyat di Grik, malam ini.

Zamri calon terbaik, Pemuda PAS Wilayah

Hazayani Zakaria, 04 Apr 2013
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) menyambut baik pengumuman pembubaran Parlimen oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan bersedia dari segi mental dan fizikal untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

Ketuanya, Kamaruzaman Mohamad (gambar) berkata, pihaknya gembira dengan pengumuman tersebut memandangkan pihaknya sudah lama bersedia menghadapi tempoh genting ini.

"Pemuda Wilayah sudah bergerak kerja secara serius sejak tiga bulan yang lalu. Selepas mendapat tahu PAS bertanding di Titiwangsa dan Putrajaya, jentera pemuda khususnya jentera penerangan memang memberikan fokus kepada gerak kerja," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

DPPWP katanya, sudah membuat pembahagian jentera untuk gerak kerja di Titiwangsa dan Putrajaya bagi mengelakkan ketidakseimbangan jentera di dua kawasan itu.

"Pemuda dan jentera di peringkat yang lain awal-awal lagi sudah bagi kawasan bantu di tempat ini kerana kita mahu memaksimumkan jentera kita dan mengelakkan kekurangan atau lebihan tenaga di salah satu tempat," katanya.

Sementara itu, beliau merakamkan ucapan tahniah kepada Pengarah Jabatan Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia (Juham) Ahmad Zamri Asa'ad Khuzami yang diisytiharkan sebagai calon PAS di Parlimen Titiwangsa.

Beliau menyifatkan pemilihan tersebut sebagai penghormatan parti kepada Dewan Pemuda dan yakin Ahmad Zamri mampu menggalas amanah besar yang diberikan.

"Bagi DPPWP, perlantikan Ahmad Zamri dilihat sebagai satu penghormatan buat pemuda PAS umumnya dan Pemuda PAS WP khususnya.

"Keaktifan Ahmad Zamri membantu rakyat Titiwangsa dilihat seusai Allahyarham Dr Lo' Lo' masih hidup lagi. Ahmad Zamri banyak memperjuangkan isu-isu terutamanya berkaitan Isu Kampung Baru," katanya.

Tambah beliau juga, pencalonan ini juga merupakan suatu perlantikan yang tepat kerana mendapat sokongan penuh bukan sahaja di peringkat akar umbi Kawasan Titiwangsa tetapi seluruh jentera pemuda.

"DPPWP mendoakan agar Ahmad Zamri diberikan nusrah oleh Allah SWT dalam memperjuangkan agenda rakyat di Titiwangsa sekaligus meneruskan legasi yang telah ditinggalkan oleh Allahyarham Dr. Lo'Lo'," katanya.

Penyandag Kerusi Titiwangsa sebelum ini, Allahyarham Dr. Lo'Lo' Ghazali meninggal dunia pada 16 Julai 2011 akibat kanser.

Pada PRU ke-12, Allahyarham Dr. Lo'Lo' mengalahkan calon BN, Datuk Aziz Jamaluddin Tahir dengan majoriti 1,972 undi.

Jumlah pengundi ketika itu adalah seramai 52,017 orang. Allahyarham mendapat 17, 857 undi manakala Aziz mendapat 15,885 undi.

Rekod cemerlang perkhidmatan Allahyarham selama tiga tahun selaku wakil rakyat diteruskan PAS Titiwangsa selepas ketiadaan beliau.

Dun Pulau Pinang bubar esok

Harakahdaily, 04 Apr 2013


(Lim Guan Eng menghadap TYT Pulau Pinang pagi ini untuk memohon pembubaran DUN)


PULAU PINANG: Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang akan dibubarkan esok, 5 April, kata Ketua Menteri Lim Guan Eng.

Pagi tadi, beliau telah menghadap Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Datuk Seri Utama (Dr.) Haji Abdul Rahman Bin Haji Abbas di kediaman rasminya Seri Mutiara untuk memohon perkenan beliau bagi pembubaran Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang mengikut Artikel 19(2) Perlembagaan Negeri Pulau Pinang.

"Dalam mesyuarat pada 3.4.2013, barisan EXCO kerajaan negeri Pulau Pinang telah bersetuju dengan saya untuk menerima permintaan bertulis Perdana Menteri Datuk Sri Najib Tun Razak untuk membubarkan DUN," katanya.

Ini akan membenarkan Pilihan Raya Umum ke-13 untuk diadakan secara serentak di peringkat negeri dan juga persekutuan, katanya.

Menurut Guan Eng, beliau juga telah mencadangkan kepada TYT Yang Dipertua Negeri untuk mempertimbangkan hari esok sebagai tarikh pembubaran.

"Oleh kerana saya terpaksa bergegas ke Kuala Lumpur untuk menghadiri mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat, saya akan mengaturkan sidang akhbar di Komtar pada pukul 10.30 pagi hari esok," katanya.

Solat Jumaat di tengah masjid

Subky Latif, 04 Apr 2013
SAYA terlihat gambar orang besar duduk di tengah makmum solat  Jumaat.
Gambar itu kira-kira kandid – menarik dan membawa berita.

Yang jadikan ia kandid ialah orang besar solat jauh dari imam di tengah makmum di tengah masjid.

Dunia umumnya menyediakan tempat di depan untuk umarak – baik raja atau pembesar. Tidak kira mereka tiba awal atau lewat. Dijamin tempat umarak itu di saf depan dekat dengan imam kalau pun tidak di belakang imam.

Para sahabat penting Rasulullah SAW bersegera ke masjid bagi mendapat saf depan dan kalau boleh dekat dengan Rasulullah sebelah kanan imam. Kecualilah mereka datang lewat, tiada lagi tempat kosong di hadapan, maka bolehlah mereka mengisi di tempat kosong termasuk jauh dari belakang  imam. Seboleh-bolehnya hendak di baris yang dekat dengan imam.

Tidak berbangkit makmum biasa yang sudah di baris depan memberi laluan kepada orang terkenal yang datang lambat. Keutamaan bagi yang datang dulu.

Tetapi bagaimana ada orang besar yang tempatnya disediakan di depan tiba-tiba boleh mengisi tempat jauh dari imam di tengah makmum di tengah masjid?
Adakah kerana orang tidak menyangka dia datang maka tempat di depan dipenuhkan semua? Lalu bila pembesar datang, tiada lagi tempat kosong di depan.

Mungkin! Tidak mustahil! Semuanya boleh berlaku.

Tetapi kalau dia tiba seperti biasa dan dia sengaja mencari tempat di belakang untuk bersama makmum atas apa jua tujuan, maka ia menjadi tanda tanya. Untuk membuktikan dia orang awam dan boleh duduk bersama orang awam termasuk sembahyang bersama orang awam.

PAS minta kerajaan sementara patuhi 11 perkara

Harakahdaily, 04 Apr 2013
KUALA LUMPUR: PAS meminta kerajaan sementara samada di peringkat pusat atau negeri mematuhi 11 perkara dalam menjalankan tugas mereka.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar (gambar) dalam kenyataan medianya berkata, ia diperlu dilakukan bagi memastikan kerajaan sementara berjalan lancar dan dihormati semua pihak.

"Bagi pihak PAS, saya dengan ini menyeru supaya Perdana Menteri dan seluruh pemegang jawatan di dalam badan Eksekutif, samada ahli kabinet Persekutuan mahupun ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri supaya benar-benar mematuhi prinsip, amalan dan konvensyen berkaitan dengan Kerajaan Sementara secara sepenuhnya.

11 perkara itu adalah:

i) Memegang jawatan Perdana Menteri, Menteri-Menteri atau Menteri Besar bagi Kerajaan Sementara  adalah hanya untuk menjalankan tanggungjawab wajib selaku kerajaan yang memerintah yang berkaitan dengan urusan day to day sesebuah kerajaan;

ii) Turun berkempen dalam Pilihanraya kapasiti atau jawatan politik di dalam parti dan bukan sebagai Perdana Menteri, Menteri-Menteri atau Menteri Besar

iii) Tidak menyalahgunakan jentera, peruntukan, kenderaan, kemudahan dan kakitangan kerajaan dengan tujuan untuk berkempen dan meraih undi

iv) Tidak membuat sebarang pengumuman atau pelancaran sebarang projek atau inisiatif kerajaan;

v) Tidak memasuki atau menandantangi sebarang perjanjian baru terutamanya yang melibatkan projek-projek besar serta implikasi kewangan kepada kerajaan.

vi) Tidak membuat sebarang pengumuman atau pemberian apa jua bentuk bantuan atau peruntukan wang kerajaan samada dalam bentuk wang tunai, geran, bonus atau pemberian barangan;

vii) Tidak membuat sebarang pelantikan, pertukaran atau rombakan dalam apa jua organisasi yang kerajaan berkuasa ke atasnya;

viii) Tidak menganjurkan apa jua bentuk himpunan, aktiviti atau apa jua program yang melibatkan kakitangan kerajaan dan orang ramai melalui kementerian, jabatan atau mana-mana agensi-agensi kerajaan yang dilihat sebagai cubaan untuk berkempen dan menanamkan dakyah politik;

ix) Tidak menggunakan jawatan untuk menggugut atau mengindoktrinasi rakyat, khususnya kakitangan kerajaan atau pelajar-pelajarjar IPT bagi mendapatkan undi mereka;

x) Tidak menjadikan premis, pejabat atau bangunan milik kerajaan sebagai markas parti.

xi) Memastikan media massa milik kerajaan memberikan liputan yang seimbang dan adil kepada semua parti-parti yang bertanding.

"Kami di pihak PAS dan Pakatan Rakyat akan memantau perkara ini secara serius dan akan mengambil tindakan sewajarnya jika perkara-perkara di atas dilanggar," kata Mahfuz.
Abdul Aziz Ishak dulu, menteri pertanian dari tahun 1955, apabila ke kampung terus dia duduk dengan orang kampung. Jika dia melawat sawah, disingsingnya seluarnya, ditanggalnya kasutnya, dia terus masuk sawah menyemai padi, atau merumput atau mengetam. Orang kata, dia menteri rakyat.

Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kempen pililhanraya sekarang tidak terus duduk di pentas. Dia duduk bersila dengan orang ramai di bawah pentas, sama-sama mendengar orang  di pentas berceramah.

Apabila tiba gilirannya berucap, barulah dia bangun dari  celah orang ramai itu mengambil pembesar suara.

Begitulah pemimpin politik yang hendak dikenali pemimpin rakyat mendekat dan bergaul dengan rakyat.

Tetapi apakah dalam solat terutama solat Jumaat, raja yang hendak dikenali sebagai raja berjiwa rakyat, menteri-menteri yang hendak dikenali sebagai menteri rakyat merendah diri, memilih untuk solat jamaah di tengah masjid bersama dengan makmum?

Adakah sesuai dan betul tindakan pemimpin memberi laluan kepada orang awam solat dekat dengan imam dan dia pergi ke belakang di  tengah makmum?

Saya pernah tengok seorang menteri di zaman Tunku, masuk masjid bersama Tunku dan Tun Razak pada hari Jumaat. Bila Tunku  dan Tun Razak masuk dari pintu depan ke baris depan, dia berpisah menuju ke belakang.  Begitulah selalu dia solat di baris belakang.

Pemimpin itu seelok-eloknya jadi imam, tapi kalau tidak tergamak jadi imam eloklah datang awal supaya boleh duduk dekat imam. Lainlah kalau atas sebab tertentu, tiba lewat ke masjid, orang sudah azan, maka isilah mana yang sedekat dengan imam!

PRU13: Muslimat PAS sasar kumpul RM200,000

Saidah Hairan, 04 Apr 2013
KUALA LUMPUR: Dewan Muslimat PAS Pusat mengalu-alukan ahli korporat, usahawan, individu ke program `Hi Tea Muslimat‘ untuk mengumpul dana khas calon-calon Muslimat bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 ini.

Timbalan Ketua DMPP, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, Dewan Muslimat mensasarkan sumbangan sebanyak RM200,000 untuk membantu gerak kerja 22 orang calon Muslimat yang bertanding di Parlimen dan Dun seluruh Malaysia.

Menurut beliau, Hi Tea Dewan Muslimat itu akan diadakan pada 7 April dengan sumbangan satu kerusi berjumlah RM1,000 atau sumbangan boleh dibuat secara perkongsian.

Beliau yakin muslimat PAS kreatif dan mampu untuk mencari sumbangan bagi mengisi dana pilihan raya untuk calon-calon Muslimat.

Hi Tea tertutup DMMP itu akan diadakan di Astana Era Mewah, Lot 2896, Jalan Paya Jaras Tengah, Pinggiran Sungai Buloh, Seksyen U19 Shah Alam bermula jam 2.30 petang.

Dalam majlis itu juga diadakan tayangan montaj, sembang santai bersama pimpinan serta persembahan daripada artis terkenal, Wan Aisyah Wan Ariffin (Aisyah).

Sumbangan amat dialu-alukan dan bagi dermawan yang tidak boleh hadir ke Hi Tea boleh terus masukkan sumbangan ke `DEWAN MUSLIMAT PAS PUSAT BANK ISLAM (MEDAN MARA) akaun 140 410 100 376 73 dan hubungi Dr Siti Mariah di talian 019-2361889.

Hamidah teruk di'grill' oleh peguam

Harakahdaily, 04 Apr 2013
SHAH ALAM: Perbicaraan kes Khalid Samad menyaman Datuk Hamidah Othman, Adun Umno dan Exco Kerajaan Perak di Mahkamah Tinggi Shah Alam semalam menyaksikan Hamidah teruk di 'bakar' (grill) oleh peguam Mohamed Hanipa Maidin apabila beliau disoal balas hampir 2 jam.

Hamidah disaman oleh Khalid Samad berhubung satu artikel yang diterbitkan di dalam blog beliau pada awal bulan Januari 2010 bertajuk " Umat Islam Perlu Bersatu".

Antara lain artikel tersebut mengandungi gambar ubahsuai (super imposed) Khalid Samad berpakaian seperti seorang paderi dan juga kata-kata yang menunjukkan Khalid Samad adalah termasuk dalam golongan Islam liberal, melacur agama dan menaikkan semangat pihak kafir untuk menjahanamkan iman umat Islam.

Dalam perbicaraan yang berlangsung selama 3 hari berturut bermula dari 1 April hingga 3 April di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Hashim bin Hamzah, Khalid Samad memberikan keterangan beliau dan Hamidah juga memberikan keterangan.

Hamidah dilihat cuba menafikan kononnya artikel di blog beliau itu mempunyai gambar super imposed Khalid Samad.
Alasan beliau Khalid Samad telah gagal menunjukkan posting asal artikel yang diterbit pada 2 haribulan Januari 2010 jam 12.09 pm tersebut.

Namun Khalid Samad telah memanggil saksi yang juga pakar IT yang menunjukkan meskipun posting asal di dalam blog Hamidah telah dipadam namun ia masih boleh diakses melalui www.archieve.org.com. yang menunjukkan posting asal artikel tersebut masih wujud dan  jelas mempunyai gambar Khalid berpakaian seperti seorang paderi.

Di dalam soal balas hampir 2 jam oleh Hanipa, Hamidah disoal bertalu- talu sehingga Khalid Samad keluar beberapa kali kerana berasa kesihan melihat Hamidah di'grill' oleh Hanipa.

Antara lain Hanipa menyoal balas Hamidah seperti berikut : -

S : Datuk, anda menafikan di dalam keterangan anda bahawa artikel di dalam blog anda mengandungi gambar Khalid Samad berpakaian paderi?
J : Ya.

S : Kalau benar dakwaan datuk, mengapakah di dalam pernyataan pembelaan datuk, datuk sendiri mengakui kewujudan gambar di dalam artikel tersebut? Kalau gambar tidak wujud mengapa datuk tidak nafikan di dalam pembelaan datuk? Mengapa datuk tidak batalkan saman Khalid?

J : Saya menafikan gambar itu di super imposed oleh saya.

S : Tapi datuk ...Khalid Samad tidak katakan dalam saman beliau bahawa datuk telah super imposed gambar tersebut, apa yang dia kata di dalam blog datuk wujud gambar super imposed itu bersama-sama artikel itu, jadi mengapa datuk nak nafikan apa yang Khalid tidak kata dalam samannya? Ertinya mengapa datuk perlu nafikan gambar itu disuper imposed oleh datuk apabila Khalid sendiri tidak tuduh benda itu? Apa yang dituduh datuk tak nafi, apa yang tidak dituduh datuk nafi pula, boleh jelaskan?

A : errr...

S : Datuk, adakah datuk sedar dalam pembelaan datuk,  datuk bergantung kepada pembelaan justifikasi. Tahukah datuk kesan kepada pembelaan ini?

J : Itu saya serah pada peguam saya.

S : Datuk saya katakan bahawa apabila anda bergantung kepada pembelaan justifikasi, hakikatnya datuk menyatakan apa yang datuk terbitkan di dalam blog datuk adalah benar.. iaitu jika datuk terbitkan Khalid berpakaian paderi maknanya datuk boleh buktikan memang benar beliau berpakaian paderi, begitu juga jika datuk kata Khalid melacur agama datuk boleh buktikan memang benar dia melacur agama, soalan saya adakah datuk mempunyai bukti-bukti tersebut?

J : Tiada.

J : Dengan bergantung kepada pembelaan justifikasi, saya katakan datuk tidak boleh kata datuk tidak terbitkan artikel dalam blog datuk itu.. kerana adalah pelik dari satu segi datuk kata datuk tidak terbit artikel itu, tapi dari segi yang lain pula datuk kata apa yang datuk terbitkan itu adalah benar..mana satu ni datuk?

J : Yang Arif, saya tidak boleh jawab kerana saya tidak lihat artikel asal saya.

Hanipa juga di dalam soal balas beliau merujuk kepada apa yang ditulis di dalam blog Hamidah bahawa beliau mengingatkan para pembaca yang ingin membuat komen di blog beliau perlu berhemah, mempamerkan akhlak dan tidak menggunakan guna bahasa yang kasar.  Hanipa bertanya

S : Sebenarnya peringatan datuk ini kena pada dato sendiri kerana hakikatnya datuk yang guna kata-kata tidak berhemah apabila datuk guna kata-kata seperti Plaintif melacur agama dan menolong menaikkan semangat pihak kafir menjahanamkan iman umat Islam...betul tak datuk?

J : Saya hanya ingatkan pembaca supaya beri komen yang berhemah..

Perbicaraan akan disambung semula pada 12 April ini.

Khalid Samad diwakili oleh Mohamed Hanipa Maidin dan Azhana Mohd Khairudin manakala Datuk Hamidah diwakili oleh Datuk Hafarizam Harun.

Tiada ulasan: