Khamis, 4 April 2013

'samseng, fitnah dan lucah' ADALAH AMALAN AHLI NERAKA

Semboyan jihad pilihan raya sudah ditiup

Harakahdaily, 03 Apr 2013
KUALA LUMPUR: Setiausaha Dewan Ulamak PAS Pusat, Dr Mohd Khairuddin Aman Razali mengajak para pendukung perjuangan Islam supaya berjuang bagi memenangkan Islam.
Ini semboyan jihad pilihan raya sudah ditiup ekoran Parlimen telah dibubarkan sebagaimana diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pagi tadi.

“Marilah kita melakukan ‘Ribat Mujahidin dalam Pilihanraya’ untuk memenangkan Islam di persada kuasa dengan mewakafkan semaksimum masa, tenaga dan harta yang ada,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Justeru, beliau meminta para penyokong PAS bermula pada saat ini supaya melakukan beberapa perkara dalam menghadapi PRU13 nanti:

Beliau menasihatkan mereka agar jangan meninggalkan solat malam walaupun 2 rakaat, begitu juga dengan solat dhuha walaupun 2 rakaat serta melazimi solat berjamaah.

Di samping itu, beliau turut mengingatkan mereka supaya membaca al-Quran minimum 1 muka sehari, memperbanyakkan bersedekah dengan minima RM10 setiap hari.

Selain itu, katanya pendudung perjuangan Islam agar berdoa untuk kemenangan Islam setiap kali selepas solat 5 waktu dan sentiasa dalam keadaan berwuduk.

Tanah diteroka: Orang Asli cabar Umno bawa ke mahkamah

Harakah, 03 Apr 2013


GUA MUSANG: Penduduk Orang Asli di Kuala Betis mencabar para pemimpin Umno dan macai mereka membuat dakwaan di mahkamah jika benar dakwaan mereka tanah Orang Asli dicerobohi.

“Saya cabar pihak berkenaan bawa kes itu ke mahkamah kalau benar-benar tanah milik Orang Asal diceroboh bagi pembangunan ladang,” kata Pandak Panjang, penduduk Orang Asli di Kuala Betis.

Sehingga sekarang, katanya, tiada tanah yang dimiliki penduduk Orang Asal dibangunkan ladang oleh mana-mana pihak.

Beliau meluahkan rasa kecewa apabila pihak luar termasuk peguam yang datang ke penempatan mereka untuk melemparkan tuduhan tidak berasas kepada kerajaan negeri.

Abim ajak tolak politik samseng, fitnah dan lucah

Harakahdaily, 03 Apr 2013
KUALA LUMPUR: Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) mendesak dengan tegas agar sebarang amalan politik negatif seperti budaya politik samseng, fitnah dan lucah serta pendekatan politik londeh-melondeh ditolak sama sekali oleh parti-parti politik yang bertanding, para penyokong dan rakyat keseluruhannya.

"Marilah kita bersama-sama mengamalkan politik bermaruah sebagai landasan terbaik menjayakan pemilihan pemimpin untuk menerajui tanahair tercinta," kata presidennya, Amidi Datuk Abdul Manan.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.

Dalam kenyataan itu, Abim juga mengharapkan Pilihanraya Umum Ke-13 (PRU 13) ini bakal diadakan dengan penuh telus, teratur dan demokratik serta terhindar dari sebarang insiden negatif yang memalukan pengamalan demokrasi di negara ini.

Justeru, Abim menyeru agar Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) memainkan peranannya bukan secara efektif dan berkesan mengikut tatacara pilihanraya, bahkan yang terlebih penting ialah memastikan kredibiliti dan integriti SPR itu sendiri tidak diragui sepanjang pengendalian pilihanraya akan datang.

Abim, kata Amidi turut berharap agar badan-badan pemerhati dan pemantau pilihanraya yang terdiri daripada pertubuhan masyarakat sivil dapat memainkan peranan penting sebagai badan pemantau dan pengimbang (check and balance) dalam memastikan kelancaran PRU 13.

Abim membuat kenyataan ini ekoran pengisytiharan pembubaran Parlimen oleh YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebentar tadi.

Abim, katanya,  menilai pengumuman pembubaran tersebut sebagai langkah penting ke arah perkembangan demokrasi yang sihat di negara ini.

Pembubaran yang dibuat sebelum Parlimen terbubar dengan sendirinya pada 28 April 2013 ini amat penting demi memastikan keluhuran Perlembagaan Persekutuan dan kedaulatan undang-undang selaku asas sistem pemerintahan raja berperlembagaan di negara ini tetap terpelihara.

"Sesungguhnya pengumuman pembubaran parlimen ini telah meredakan teka-teki dan kekeliruan di kalangan rakyat sejak sekian lama, khususnya selepas Dewan Undangan Negeri Sembilan terbubar pada 28 Mac yang lalu," katanya.

Ini ekoran kemungkinan terbubarnya beberapa DUN yang lain andainya pengumuman pembubaran Parlimen ini tidak dilakukan segera.

Ini memandangkan pilihanraya ini paling dinanti-nantikan serta bakal disorot dengan penuh minat oleh pelbagai pihak dari dalam dan luar negara.Laporan penuh dalam Harakah Jumaat ini.

Kelantan bubar selepas Sultan perkenan

Rizal Tahir , 03 Apr 2013
KOTA BHARU: Kelantan negeri mahu Pilihanraya Umum Ke-13 (PRU13) bagi Dewan Undangan Negeri (Dun) diadakan serentak dengan Parlimen Malaysia, walaupun ianya boleh ditangguhkan dua minggu lagi.

Menteri Besar Kelantan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, bagaimanapun tarikh pembubaran Dun hanya akan diumumkan sebaik sahaja ianya diperkenankan oleh Sultan Kelantan.

Katanya, tarikh untuk mendapatkan perkenan Sultan Kelantan bagi pembubaran Dun pula akan diputuskan pada mesyuarat Jawatankuasa Lajnah Politik dan Pilihanraya negeri jam 2.30 petang ini.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mesyuarat exco di Kota Darulnaim di sini tengahari ini.

Ianya susulan pengumuman pembubaran parlimen oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yam 11.30 pagi tadi bagi memberi laluan kepada PRU13 berlangsung.

Saham merudum

Mengulas pengumuman pembubaran parlimen pagi tadi beliau berkata, beliau terkejut apabila dimaklumkan pasaran saham Malaysia tidak stabil malah jatuh hingga 29 mata sejurus pengumuman oleh Najib itu.

Biarpun mungkin ianya situasi biasa, namun ianya juga membuktikan pelabur tidak yakin kepada sistem negara ini.

“Ianya memang begitu, kita tidak boleh berdolak dalih lagi.

“Marilah kita sama-sama berdoa semoga ekonomi Negara kita kukuh walaupun situasi itu berlaku khususnya setelah pembentukkan kerajaan baru,” ujarnya.

Ciplak slogan PR, mana 'Tradisi Membela Rakyat'

Anis Nazri, 03 Apr 2013
KUALA LUMPUR: Tindakan Barisan Nasional (BN) yang meniru pendekatan dan slogan Pakatan Rakyat dilihat sebagai kejayaan perang psikologi yang dilakukan Pakatan.

Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS, Dr. Mohd Hatta Ramli (gambar), berkata tindakan itu juga mengesahkan lagi dakwaan pemimpin Pakatan Rakyat yang mengatakan BN ketandusan idea dalam usaha menarik sokongan rakyat.

"Bagaimanapun, kita tiada masalah mereka hendak guna. Mereka bebas nak guna. Cuma, mana slogan dia selama ini, 'Tradisi Membela Rakyat'. Kenapa tidak guna dah?" soal beliau ketika dihubungi Harakhdaily, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas beberapa tindakan BN menggunakan slogan dan pendekatan yang diamalkan Pakatan Rakyat sebelum ini.

Perkara tersebut, antaranya dikesan di bangunan ibu pejabat MIC, di mana satu banner tertulis "Barisan Nasional Pilihan Rakyat', manakala satu lagi di bangunan bersebelahan bannernya menggunakan tema 'Produk-produk Dahulukan Rakyat'.

Umum mengetahui, Pakatan Rakyat telah melancarkan kempen mereka sebelum ini, 'Harapan Rakyat' sebagai tema dalam manifestonya.

Ia sesuai dengan namanya Pakatan Rakyat yang apabila disambung 'Pakatan Harapan Rakyat'.

PAS Perlis umum calon, Ustaz Hashim tidak bertanding

Bashir Ishak, 03 Apr 2013
KANGAR: PAS Perlis mendahului Barisan Nasional dengan mengumumkan bakal calon yang akan bertanding dalam Pilihan raya Umum ke-13 (PRU) nanti.
Pengumuman dibuat oleh Pesuruhjaya PAS Perlis, Ustaz Hashim Jasin (gambar) pada jam 11.15 pagi tadi, kira-kira suku jam sebelum Perdana Menteri mengisytiharkan pembubaran parlimen.

Majlis pengumuman calon ini dibuat dalam sidang media yang diadakan di Kompleks PAS yang turut dihadiri bakal-bakal calon, pimpinan dan ahli-ahli PAS.

Menurut Ustaz Hashim, PAS Perlis mengambil langkah membuat pengumuman calon kerana menyedari tarikh pemubaran parlimen yang semakin hampir selain usul-usul dari akar umbi parti agar semua calon yang akan bertanding dalam PRU13 hendaklah diperkenalkan lebih awal kepada para pengundi.

"Badan Perhubungan PAS Negeri Perlis sedar bahawa sesungguhnya penangguhan pengumuman bakal-bakal calon akan mengundang banyak masalah kepada parti dan pengendalian kempen pilihanraya.

"Pada 15 Julai 2011 menerusi Majlis Pakatan Rakyat Negeri Perlis telah bersetuju sebulat suara memeterai memorandum persefahaman berkaitan pembahagian kerusi antara ketiga-tiga parti. Namun pengumuman kerusi-kerusi itu tertangguh selama setahun lapan bulan atas sebab-sebab tertentu,"jelasnya.

Bakal calon yang diumumkan bagi kerusi parlimen ialah Ketua Urusan Ulamak PAS Padang Besar, Ustaz Azamhari Mohamood (Padang Besar) dan Ahli Jawatankuasa PAS Kangar, Baharuddin Ahmad (Kangar).

Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Haron Din telah diumumkan sebelum ini bertanding di Parlimen Arau.

Bagi kerusi dewan undangan negeri pula, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mohd Anuar Tahir akan bertanding di Dun Santan; Timbalan Yang Dipertua PAS Padang Besar, Wan Kharizal Wan Khazim (Beseri) ; Setiausaha Pilihanraya Negeri, Abd Jamil Kamis (Bintong), Setiausaha Perhubungan, Ustaz Ya'akub Abu Seman (Kayang); Ketua Dewan Ulama Perlis, Ustaz Idris Yaacob (Pauh), peguam, Zulmi Sabri (Guar Sanji), Timbalan Pesuruhjaya 3, Rus'sele Eizan (Simpang Empat) dan Mohd Shukri Ramli (Sanglang).

Semua bakal calon hadir kecuali Dr Haron.

Bubar hari ini: Tahniah Muhyiddin, desakan anda berjaya

Harakahdaily, 03 Apr 2013
KUALA LUMPUR: Dua hari lepas, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyddin Yassin berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak akan membiarkan parlimen dibubarkan secara automatik dan pilihanraya akan diadakan dalam bulan April.

Desakan beliau di media perdana akhirnya berjaya apabila Najib mengumumkan parlimen dibubarkan berkuatkuasa hari ini 3 April 2013.

Namun ketika membuat pengumuman, Najib yang diiringi Muhyiddin yang tersenyum lebar, tersasul menyebut beliau akan membubarkan parlimen pada 3 April 2012.

Sebelum ini, Harakahdaily melaporkan sumber Umno berkata bahawa Najib masih tidak menemui tarikh PRU13 kerana tekanan dalaman Umno.

Sumber itu berkata Najib sedang berusaha sedaya upaya sejak satu setengah tahun yang lalu untuk mencari titik di mana BN boleh menang dan beliau boleh kekal sebagai Presiden Umno.

“Jika bubar hari ini, maksudnya Muhyiddin menang dalam pertembungan dalaman – dan sudah pasti beliau pasti akan menjadi Presiden Umno selepas PRU13 jika BN gagal mendapat 2/3 kerusi parlimen.

"Jika tidak jadi bubar, pertembungan ini akan berterusan – Najib dan Muhyiddin perlu memastikan jumlah ahli Parlimen Umno yang menang di PRU13 datang daripada pasukan masing-masing untuk pencaturan pemilihan parti akan datang,” kata sumber Umno itu kepada Harakahdaily lewat malam tadi.

Selepas Najib membubarkan parlimen tadi, sumber Umno tersebut telah menelefon pihak Harakahdaily.

Dan ini komentarnya.

“Nampak tak keriangan Muhyiddin berbanding Najib di siaran langsung tadi? Ucap tahniahlah pada Tan Sri kerana dah sah beliau akan jadi Presiden Umno tidak lama lagi,” kata beliau.

“Bukan Perdana Menteri ke?” tanya Harakahdaily.

“Kalau menang, ya. Kalau tewas, ketua pembangkang pertama dari Umno. Apapun tahniah pada Muhyiddin kerana berjaya mengawal gelanggang,” tambahnya lagi.

PAS alu-alukan jaminan peralihan kuasa aman

Harakahdaily, 03 Apr 2013
KUALA LUMPUR: PAS mengalu-alukan jaminan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bahawa peralihan kuasa akan berlangsung dengan aman damai selepas pilihanraya umum ke 13.

“Pihak PAS juga memberi jaminan bahawa peralihan kuasa ini akan berlangsung dengan penuh  aman damai,” kata Ketua Penerangan PAS Pusat Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar) dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan itu adalah sebagai reaksi balas kepada jaminan Najib ketika mengumumkan pembubaran parlimen pada pukul 11.35 pagi tadi.

Tuan Ibrahim juga seluruh jentera dan petugas parti agar meningkatkan gerak-kerja bagi memastikan Pakatan Rakyat berjaya dalam PRU13 kali ini

Selain itu, Pesuruhjaya PAS Pahang itu berkata rakyat tidak akan dibiarkan dalam keadaan rimas selama 2 tahun untuk mengetahui tarikh pilihanraya seperti yang berlaku kini.

"PAS bersama Pakatan Rakyat berjanji akan mengumumkan tarikh pilihanraya setahun lebih awal apabila kami diberi mandat memerintah negara selepas PRU13 nanti,” tegas Tuan Ibrahim.

Sementara itu, pelbagai pihak tertanya-tanya, apa perlunya Najib membuat kenyataan peralihan kuasa akan berlaku secara aman itu.

"Ini menunjukkan Najib sendiri terpaksa menjawab bahawa akan ada kemungkinan berlakunya peralihan kuasa selepas pilihan raya ke 13 ini," kata mereka.

Tiada ulasan: