Sabtu, 6 April 2013

JANGAN KITA CAKAP MAKAN DIRI

Muhyiddin: Pas parti ajaran sesat bawa fatwa songsang

6 April 2013
Tan Sri Muhyiddin Yassin
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin
KUALA LUMPUR - Timbalan Presiden Umno hari ini melabelkan Parti Pas sebagai Parti Ajaran Sesat berikutan kenyataan kontroversi Mursyidul Am Pas Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, yang disifatkannya sebagai fatwa
songsang yang boleh mengelirukan rakyat.

Menurut Tan Sri Muhyiddin Yassin, beliau agak kecewa dengan kenyataan songsang itu kerana Nik Abdul Aziz merupakan seorang ulama dan tokoh agama.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan terbaharu Nik Abdul Aziz yang mendakwa solat orang Umno tidak memberi sebarang pahala kerana parti itu telah menolak dasar Islam.
Muhyiddin berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan tinjauan turun padang ke kawasan Lembah Pantai dan bersarapan pagi di Gerai Singgah Santai, Kondo Rakyat Desa Pantai di sini.
"Nik Aziz bersifat macam Tuhan sedangkan dia kata dia tokoh agama. Dia mengeluarkan fatwa sebegitu menghukum bahawa sembahyang orang Umno tidak dapat pahala kerana katanya Umno menolak Islam, Umno tidak berjuang untuk Islam.

"Ini bukan kali pertama, Pas dan Nik Abdul keluarkan fatwa menghukum Umno. Umno sebagai kafir di dalam Amanat Haji Hadi. Ini sudah terbukti bahawa Pas ialah Parti Ajaran Sesat, dan bukannya Parti Islam SeMalaysia," kata beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri.
Justeru itu, Muhyiddin turut menyeru rakyat agar menolak Pas dan pemimpinnya agar tidak sesat dengan ajaran songsang parti itu.
"Kalau ikut ajaran Pas sebegitu, maka semua akan sesat. Lebih-lebih lagi Nik Aziz menggunakan agama untuk tujuan politik lagi menyesatkan.
"Satu peringatan agar kita menolak Pas dan pemimpin Pas, dan Umno adalah parti yang berjuang untuk Islam sudah lama. Kalau saya nak ceritakan mungkin
pemberita tidak ada muka surat untuk tulis," katanya.
Katanya, dari awal lagi, sejarah Umno menunjukkan perjuangan parti itu untuk menebus kemerdekaan negara, menggubal perlembagaan meletakkan Islam sebagai agama persekutuan, pembelaan umat Islam, maka jelas terbukti Umno ialah parti yang memperjuangkan Islam sejak dahulu sampai hari ini. - Bernama






JOM KITA BACA NI: SIAPA SEBENARNYA YANG MENGHINA ISLAM DAN MELAYU??
---------------------------------------------------------------
Kenapa saya kata Umno hina Islam dan Melayu?

Mohamed Hanipa Maidin, 28 Mac 2013

Yang dihormati Pengacara Majlis, Ketua Kampung Pulau Meranti, Ketua Cawangan PAS, Sahabat saya YB Abdullah Sani, Ahli Parlimen PKR Kuala Langat dan para pimpinan Pakatan Rakyat dan Tuan Puan yang saya kasihi sekelian.

Alhamdulillah dapat saya bertemu dengan penduduk di sini di malam yang bertuah ini. Ini kali pertama saya sampai di sini.

Saya percaya mungkin saudara saudari yang masih belum menyokong Pakatan Rakyat (PR) di kampung ini merasa sangsi dengan PR.

Tuan Puan mungkin sangsi adakah hak dan kepentingan Islam akan terbela jika PR berkuasa?

Tuan Puan mungkin sangsi adakah hak dan kepentingan Melayu akan terus dipelihara jika PR berkuasa di Putrajaya?

Kesangsian ini adalah suatu yang normal kerana sejak Merdeka, Kerajaan Pusat tidak pernah diperintah selain dari Barisan Nasional ( BN ). Manusia secara fitrinya susah nak terima benda baru.

Inilah yang dihadapi oleh para anbiya a.s dan para Rasul a.s apabila mereka mengajak kaum mereka untuk buat perubahan.. kaum para Nabi selalu memberi dalih kami lebih selesa dengan yang lama ..ajaran tok nenek oyang mereka.. meskipun tradisi lama itu tradisi yang tidak baik dan menyimpang dari ajaran Tuhan ..mereka tetap kata inilah pilihan kami dulu kini dan selamanya..

Kesangsian ini juga diwujudkan oleh BN melalui tuduhan tuduhan yang tidak berasas dan juga fitnah yang jahat ke atas perjuangan PR.

Asas kesangsian mereka yang belum menyokong PR ini adalah dalam Pakatan ada DAP iaitu parti yang bermajoriti orang Cina maka dibuat satu anggapan bahawa DAP akan menjadi penghalang kepada pembangunan Islam dan Melayu.

Tidak ada masalah untuk sangsi. Yang menjadi masalah adalah kita tidak mahu mencari jawapan kepada kesangsian itu. Untuk mendapat jawapan bagi menghilangkan kesangsian tersebut tuan puan tidak boleh mendapatkan jawapannya daripada Umno dan jentera penerangan mereka. Ini kerana Umno dan jentera penerangan mereka menjadi pihak yang mewujudkan kesangsian itu. Jawapan bagi kesangsian itu hendaklah didapati dari PR, dari media PR seperti Harakah, akhbar Suara Keadilan atau akhbar Roket atau media media alternatif dan juga ceramah- ceramah anjuran PR seperti malam ini.

Saya ingin ulas dulu tentang kesangsian tuan puan tentang isu Islam tadi. Bagi saya kesangsian tentang sama ada Islam akan terbela jika PR memerintah menunjukkan tuan puan mengambil berat tentang Islam. Ini satu perkara yang baik.

Kami ingin nyatakan seperti mana tuan puan kami khususnya PAS juga mahukan Islam terbela. Sebab itu sejak awal lagi PAS ditubuhkan. PAS ditubuhkan antara lain untuk membangunkan Islam dalam semua aspek kehidupan. Islam sebagai al -Deen. PAS ditubuhkan antara lain kerana ulama tidak bersetuju tindakan Umno menghalalkan judi yang Allah haramkan. Jika PAS tidak ambil berat Islam sudah tentu ulama PAS hanya berdiam diri apabila Umno benarkan judi di negara ini.

Apabila Umno mencanangkan Islam tidak akan terbela jika PR perintah Putrajaya, kita juga berhak bertanya adakah Umno benar-benar membela Islam sepertimana yang Islam kehendaki atau ajar? Adakah selama berpuluh tahun Umno memerintah negara ini Islam benar benar terbela?

Saya boleh bagi banyak contoh tentang jenayah Umno terhadap Islam.. lulus lesen judi, tipu dan rasuah dalam pilihanraya seperti didedahkan dalam RCI iaitu projek beri kad pengenalan kepada bukan warganegara atau dikenali projek Dr M di Sabah. Hatta dalam pemilihan parti dia sendiri pun Umno rasuah seperti kes Tan Sri Isa samad yang disabitkan bersalah oleh Badan Disiplin Umno terbabit dengan politik wang .. nama lain bagi rasuah.

Yang lebih peliknya tuan puan Isa Samad yang Umno kata dia rasuah dipilih pula untuk jaga Felda.. lubuk wang ringgit negara ini. Macam mana wang negara tidak habis..Umno lantik orang rasuah jaga wang ..bukankah ini seperti kata pepatah Arab ibarat kita minta serigala jaga kambing sedangkan tujuan jagaan itu untuk lindungi kambing dari dimakan serigala!!

Umno juga banyak melakukan kezaliman sedangkan di dalam Al Quran nyatakan " Janganlah kamu cenderung kepada kezaliman nanti kamu akan disentuh api neraka." Tangkap orang tanpa bicara tak zalim kah?

Macam mana Umno kata dia bela Islam sedangkan dia rompak wang royalti rakyat Kelantan dan Terengganu. Umno tidak hormat perjanjian.. dalam surah al-Maidah ayat 1 Allah memerintahkan orang-orang beriman untuk tunaikan janji. Adakah Umno patuhi tuntutan ayat Allah ini?

Isu salah guna kuasa seperti isu lembu Sharizat, isu pembelian kapal selam, isu pembaziran wang rakyat seperti kes panggil artis Korea Psy yang dikatakan telan belanja RM2 juta untuk persembahan beberapa minit.. isu pemimpin Umno hina hukum Islam.. seperti ucapan Mahathir, Najib dan lain lain. Pokoknya Umno lah yang gagal membela Islam malahan menghina Islam pula.

Mari kita lihat apakah yang dilakukan oleh Umno (sebagai pihak yang mendakwa Pakatan tidak akan jaga Melayu) terhadap kepentingan melayu?

Apa dia kepentingan Melayu..? Dari segi Perlembagaan Persekutuan, kepentingan Melayu adalah Bahasa Melayu ..iaitu Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan. Siapakah yang persetankan kedudukan bahasa Melayu dalam Perlembgaaan melalui PPSMI...Dap atau Umno?

Hak istimewa orang Melayu seperti tanah rezab Melayu ..Perkara 153 Perlembagaan. Biasiswa untuk orang melayu.. adakah masih terjamin.. apa yang ada PTPTN yang rakyat kena bayar dan jika tidak bayar akan disekat pergerakan .. tak boleh ke luar Negara.

Kepentingan orang Melayu termasuk isntitusi Raja Raja Melayu.. siapakah yang menjatuhkan imej Raja Raja Melayu dan siapakah yang menyerang institusi Raja Melayu yang termaktub dalam Perlembagaan.. Siapa larikan anak Raja Melayu, siapakah yang nak lantik Raja Melayu baru ganti Sultan Kelantan, siapakah yang menyebabkan website kesultanan Perak diserang dalam isu Perak dulu. Siapakah yang galakkah pembaziran dengan membina Istana Baru dalam keadaaan istana lama masih cantik dan masih boleh digunakan?

Siapakah yang menyebabkan kepentingan ekuiti orang Melayu makin tiris ? Siapakah yang menyebabkan dasar DEB gagal.. adakah DEB menolong Melayu atau Bumiputra yang benar benar perlu ditolong atau DEB menolong Umnoputra atau kelompok kelas melayu tertentu yang dapat projek hasil amalan kronisme dan nepotisme . Tidakkah kita ingat isu bailout MAS yang rugi yang diterajui oleh Tajuddin Ramli kroni pemimpin Umno. Umno selamatkan Tajuddin Ramli seorang melayu kaya dengan salah guna wang rakyat termasuk wang orang-orang melayu yang miskin seperti kita semua tuan puan.

Jika Umno benar benar ingin jaga Melayu kenapakah Kelantan tidak ditolong seperti isu royalti, isu pembinaaan lebuh raya. Kenapakah semasa Umno ada dua pertiga kuasa di Parlimen tidak ditambah kerusi Parlimen dan Dun-Dun di Kelantan, Trengganu dan Kedah.. tidakkah 3 negeri ini majoritinya Melayu yang jika ditambah kerusi Parlimen dan Dun di tiga negeri tersebut nescaya akan bertambah kerusi Melayu/Islam di sana. Kerana bencikan PAS, Umno tidak mahu tambah kerusi di tiga tiga negeri tersebut ketika mereka ada kerusi dua pertiga di Parlimen.

Apa yang Umno buat bagi jaga akhlaq remaja/belia Melayu/ Islam. Semasa Umno buat Hari Belia Negara 2012 anjuran Kementerian Belia Dan Sukan yang Menterinya Melayu dan Islam , apa yang mereka buat?

Tahukah kita melalui surat bertarikh 21 Mei 2012 dari Stadium First Sdn Bhd kepada Ketua Setiausaha Kementerian Belia Dan Sukan, Dato Mohid Mohamed, syarikat tersebut tuntut belanja sebanyak RM15 juta bagi kos program tersebut. Secara tepatnya kosnya RM5,155, 175.60 untuk belanja kos program laghah tersebut. Dari perincian kos itu tuan puan, RM2.040.56 juta adalah kos memanggil artis wanita Korea yang dikenali sebagai K -Pop.

Bayangkan tuan puan Kerajaaan Umno sanggup hidangkan belia dan beliawanis kita dengan artis wanita luar negara yang berpakaian seksi dan sanggup pula belanja RM2.04 juta .. inikah cara Umno jaga akhlak dan moral remaja Melayu/ Islam? Yang lebih hebat PM yang tuduh PAS berdosa 7 dosa besar boleh berdiri sepentas dengan artis wanita Korea K Pop yang hanya berpakaian seluar pendek .. tak berdosa pula Sahibus Samahah Al fadhil Ustaz Najib !

Tak cukup K-Pop , dipanggil pula artis Korea PSY di Penang.. berapa lama persembahan PSY? 10 minit ... berapa dibayar ..RM2 juta tuan puan.. lepas tu Najib minta pula orang sokong BN..

Sekarang kita lihat adakah tuduhan BN bahawa DAP anti Islam dan Melayu betul atau tidak? Kita lihat negeri Pulau Pinang yang Ketua Menterinya dari DAP. Kita lihat apa yang Lim Guan Eng ( LGE ) buat di sana? Contohnya tentang isu pendidikan agama. Adakah tuan puan ahli Umno tahu bahawa Lim Guan Eng belanja lebih banyak untuk Sekolah Agama Rakyat (SAR) dari SRJK (T) dan SRJK (C). SAR diberi bantuan per kapita sebulan puratanya RM97, 000 sedangkan sekolah Tamil hanya dapat RM 63 ribu sebulan manakala Sekolah Cina hanya dapat RM60 ribu sebulan. Macam mana Umno kata LGE anti Islam?

Umno bukan sahaja tarik balik bantuan per kapita SAR malahan fitnah pula SAR dengan tuduh SAR tidak ajar agama sebaliknya ajar pelajar jadi pengganas ..sebab itu Umno tarik balik bantuan per kapita SAR...

LGE juga sediakan tanah untuk bina SAR. LGE juga mahukan lebih ramai huffaz , penghafaz Al Quran di Pulau Pinang dengan memberi bantuan dan hadiah. LGE nak tiru cara pemerintahan Umar Abd Aziz r.a dan itu pun Umno marah! Kita pun pelik Umno marah ..tak kan nak suruh LGE tiru pemimpin Umno .. adakah pemimpin Umno yang LGE boleh tiru

Sebab itu saya katakana tuan puan yang hina Islam dan Melayu ni Umno dan BN bukannya PAS dan Pakatan Rakyat.

Tiada ulasan: