Selasa, 16 April 2013

BIASALAH PILIHANRAYA...TIKAM MENIKAM NI....KERANA TAK IKUT PENGAJARAN@KAEDAH ISLAM

PRU13: Calon dari Pemuda PAS isytihar harta

Salmiyah Harun, 15 Apr 2013


KUALA LUMPUR: Sembilan daripada 20 bakal calon Pilihan raya Umum ke-13 (PRU13) dari kalangan pemimpin Dewan Pemuda PAS Malaysia menandatangani borang pengisytiharan harta.

Tindakan itu sebagai susulan komitmen Pemuda PAS ketika mengumumkannya di dalam Muktamar PAS November tahun lepas.

Menurut Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, PAS dan Pakatan Rakyat mengalu-alukan usaha Pemuda PAS sebagai platform bagi melahirkan pemimpin yang berintegriti dan bebas rasuah.

"Di sini kita memulakan satu perkara baru untuk memperlihatkan orang ramai soal integriti. Mereka yang terlibat khasnya wakil parlimen dan Dun yang diamanahkan mestilah mendapat habuan yang sepadan dengan jawatan dan tugas mereka. Tidak lagi mengaut kekayaan semasa memegang jawatan," katanya.

Malah katanya, Pakatan Rakyat dialu-alukan memulakan sebagaimana yang diketengahkan oleh Pemuda PAS sekali gus akan mengangkat martabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Di bawah pemerintah Pakatan Rakyat tidak akan berlaku apa yang dibuat oleh Umno hari ini, mereka yang berkuasa akan diangkat, kita serah kepada mereka yang berhak," katanya dalam sidang media di Pusat Media PAS di sini hari ini. (Gambar atas)

Sembilan bakal calon Pemuda PAS yang telah menandatangani borang pengisytiharan antaranya Ketua Pemuda PAS Nasruddin Hassan, Ketua Pemuda PAS Johor Suhaizan Kaiat, Ketua Pemuda PAS Negeri Sembilan Khairil Anuar Abd Wafa, Ketua Pemuda PAS Pulau Pinang Yusni Mat Piah dan Setiausahanya Afnan Hamimi Taib.

Manakala empat bakal calon lagi menurunkan tandatangan dihadapan Mohamad Sabu iaitu Setiausaha Dewan Pemuda Khairul Faizi Ahmad Kamil, Exco Pemuda Pusat Abang Ahmad Kardee Abang Masagus dan Ahmad Zamri Asa'ad Khuzami serta Ketua Pemuda PAS Melaka Yuhaizad Abdullah.

Menurut Khairul Faizi, selebihnya bakal calon Pemuda PAS ini akan menandatangani borang pengisytiharan harta secara berperingkat sebaik sahaja mereka disahkan akan bertanding dalam PRU13 nanti.

Pilihan raya di Malaysia lebih kepada 'paksa raya'

Muhammad Faizal, 15 Apr 2013
SHAH ALAM: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Matberkata,  demokrasi negara ini bukannya mengamalkan sistem pilihan raya tetapi lebih kepada 'paksa raya' dalam membentuk kerajaan.

Beliau yang berkata demikian pada program Bicara Cinta di Kompleks Karangkraf di sini, pagi ini.

Menurut beliau, Barisan Nasional (BN) mengamalkan sistem 'paksa raya' apabila tidak membenarkan Pakatan Rakyat khususnya PAS membuat penerangan di dalam media elektronik agar rakyat boleh menilai.

"Kita tak diberi peluang langsung untuk membuat penerangan serta menyampaikan maklumat di dalam media elektronik agar rakyat boleh menilai apa yang kita jelaskan.

"Bila ini berlaku rakyat dipaksa oleh mereka (BN) untuk terus mendengar apa mereka kata dan dipaksa memilih mereka, ini bukan pilihanraya tetapi paksa raya," jelas beliau.

Katanya lagi, sistem demokrasi negara adalah membenarkan rakyat membuat pilihan tetapi Umno memusnahkan demokrasi dalam mengekalkan pemerintahan mereka.

Jelasnya lagi, PAS yang dipilih rakyat bagi membentuk sebuah kerajaan dalam melaksanakan tanggungjawab, namun BN menafikan hak tersebut dengan menubuhkan Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) yang bertindak menerima peruntukan daripada Kerajaan Pusat.

"Inilah BN mereka menafikan apa yang dipilih oleh rakyat apabila mewujudkan JPP di Kelantan.

"Mereka menerima segala bantuan yang disalurkan oleh Kerajaan Pusat dan ini seolah-olah wujud dua kerajaan di Kelantan, kita sepatutnya menghormati kerajaan yang dipilih tetapi itu tidak berlaku di dalam BN," kata beliau lagi.

Beliau turut memberitahu kehancuran demokrasi dalam penyampaian maklumat terus berlaku apabila media-media elaktronik milik BN hanya memaparkan keburukan pimpinan Pakatan daripada menyiarkan kebaikan yang dilakukan.

"Mereka menyiarkan keburukan tentang Nik Aziz yang belum lagi sahih, tetapi mereka tidak menyiarkan kebaikan yang dilakukan oleh Nik Aziz seperti hari ini," katanya secara berseloroh.

Tuan Guru Nik Aziz yang turut meminta agar rakyat membuat pilihan mengikut kehendak Islam pada pilihanraya nanti bagi memastikan pemimpin yang dipilih adalah dari kalangan mereka yang berkualiti serta beramanah.

Rakyat perlu lakukan perubahan politik - PUM

Harakahdaily, 15 Apr 2013
KUALA LUMPUR: Wacana Kepimpinan Islam dan Isu Semasa Menjelang PRU13 yang disertai empat NGO Islam semalam membuat resolusi antara lain menyeru rakyat supaya berani membuat perubahan politik pada pilihan raya kali ini.

Wacana tersebut disertai Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM) Cawangan Wilayah Persekutuan, Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Teras Pengupayaan Melayu (TERAS) dan Sekretariat Himpunan Ulama’ Asia (SHURA).

Mereka berpandangan bahawa PRU 13 ini adalah genting untuk membawa perubahan besar-besaran kepada masa depan negara selepas kepincangan selama lebih 55 tahun.

"Kepimpinan yang mengkhianati amanah rakyat sehingga ini perlu ditukar melalui peti undi dalam PRU 13 ini adalah saatnya yang paling baik," kenyataan mereka kepada Harakahdaily dipetik.

Berikut kenyataan penuh resolusi wacana tersebut:

_____________________________________________________________________________

Rakyat disaran pilih kepimpinan untuk tubuh kerajaan yang adil



Wacana Kepimpinan Islam & Isu Semasa Menjelang PRU 13 yang diadakan pada 14 April 2013 di Hotel Singgahsana, Petaling Jaya Selangor   yang disertai oleh pimpinan Persatuan Ulama’ Malaysia Cawangan Wilayah Persekutuan, Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Teras Pengupayaan Melayu (TERAS) dan Sekretariat Himpunan Ulama’ Asia (SHURA) telah mengambil ketetapatan seperti berikut:


1. Tanggungjawab Mengundi dan Amalan Demokrasi.

Kami berpendirian bahawa tanggungjawab mengundi adalah proses umat mengguna ruang demokrasi yang diamalkan sekarang dan ia perlu ditunaikan untuk memastikan kepentingan umat khususnya dan rakyat amnya. Amalan pilihanraya perlu dimanfaatkan untuk menubuhkan sebuah kerajaan yang adil dan bertanggungjawab.

Kami menyanggah pendapat bahawa penglibatan umat Islam dalam proses demokrasi pilihanraya adalah bertentangan dengan Islam. Para Ulama kontemporari  dari Kesatuan Ulama Muslimin Sedunia (الاتحاد العلمي لعلماء المسلمين) yang dipimpin oleh Al-Allaamah Sheikh Yusuf al-Qaradhawi memutuskan bahawa umat Islam hendaklah memanfaatkan amalan demokrasi yang sebahagian besar ciri-cirinya adalah sesuai dengan Islam. Asas-asas demokrasi seperti memelihara hak-hak  perbedaan pendapat dan  bersuara, menjaga hak-hak  asasi rakyat dan hak menubuhkan parti-parti  politik sehingga terlaksananya proses pilihanraya umum.  Ciri-ciri ini di lihat sebagai hampir dengan konsep Syura yang mengutamakan al-Haq dan penerimaan oleh Jumhur  sebagaimana yang dituntut oleh Islam. Hubungan antara al-Haq dan penerimaan Jumhur adalah sangat sinonim di dalam Islam. Rasulullah (s.a.w.) bersabda di dalam Hadithnya yang masyhor;

“Tidak mungkin umatku akan bersatu di atas kebatilan”

Sedikit sebanyak kecacatan sistem demokrasi yang wujud hendaklah  diperbaikki dan disesuaikan dengan tuntutan Islam terutamanya mengutamakan al-Haq agar semua operasi pilihanraya bebas dari penipuan dan penyelewengan yang kesemuanya itu melambangan kebatilan.


2. Memerangi Politik Kotor

Kini kempen PRU 13 menunjukkan pihak yang bernafsu untuk mempertahankan kuasa pentadbiran pusat dengan apa cara sekalipun telah mededahkan politik negara  berhadapan dengan bahaya kacau-bilau yang sangat besar.

Gejala budaya politik yang sangat jijik seperti politik fitnah, politik lucah, politik wang dan politik samseng sedang ditaja untuk berhadapan dengan kesedaran rakyat untuk merubah kerajaan yang sedia ada.

Gejala menyerang peribadi lawan dalam kempen politik dengan fitnah seks bertujuan mengaib dan menjatuhkan maruah individu yang disasar  semakin menjadi-jadi. Ini menunjukkan bahawa saranan Presiden pimpinan parti pemerintah dalam satu perhimpunan tahunan bahawa "kita akan mempertahankan Putrajaya sehingga titisan darah terakhir" sedang giat direncana dan dilaksanakan.

Rakyat harus mengistiharkan perang ke atas politik seperti ini yang akan menghina maruah dan integriti politik negara dimata dunia.

Kami mengesa semua pihak yang melaksanakan kempen ketika PRU 13 ini tidak terjebak dengan politik kotor sekaligus tidak membenarkan sebarang pihak menjadikan pilihanraya ini sebagai pilihanraya yang paling kotor dalam sejarah Malaysia.

Usaha maksima untuk menjernihkan politik negara ini perlu dilancarkan oleh semua pihak.

3. Tanggungjawab Media yang Beretika.

Media massa yang turut memainkan peranan  menyebar dan mengembangkan fitnah dan berkonspirasi menyerang peribadi musuh politik suatu dosa besar dan adalah sangat terkutuk serta perlu dihentikan sertamerta.

Media samada bersifat media cetak, elektronik atau internet yang bertindak jahat melaga-laga, megadu-domba dan memburuk-burukan peribadi individu yang menjadi lawan politik dengan fitnah seks adalah media yang haram disisi Islam dan perlu diambil tindakan tegas. Berdasarkan Firman Allah S.W.T. dalam ayat 6, Surah al-Hujurat yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.”

Sementara kebebasan media dan hak media adalah suatu keperluan dalam amalan demokrasi yang sihat, akan tetapi media perlu mengamalkan etika kewartawanan dan jurnalisme yang beradab, beretika dan professional. Kewartawanan dan jurnalisme media murahan yang mengotorkan pilihanraya dengan bahan fitnah, putar belit, provokasi, manipulasi berita adalah terkutuk dan hendaklah dibentaras sehingga ke akar umbinya.

Tindakan secara undang-undang dan boikot awam hendaklah dilancarkan terhadap media berkenaan. Peribadi pemilik dan mereka yang bersekongkol dengan media tersebut perlu didedahkan sehingga rakyat tahu siapa mereka.

Kami mengingatkan kepada pihak yang menjadi dalang dan penaja kepada fitnah melalui media akan pasti berhadapan dengan pertanggungjawaban mutlaq dari Allah S.W.T akhirnya. Firman Allah S.W.T. dalam ayat 11, Surah al-Hujurat bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah dia beriman dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim.”


4. Hak Rakyat Mengubah Kerajaan

Kami menyarankan rakyat perlu melakukan perubahan politik yang berani demi memastikan arah tuju negara mengwujudkan rakyat yang bertanggungjawab dan negara yang bermaruah dapat direalisasikan.

Rakyat tidak boleh diugut dengan kacau-bilau jika mereka memilih Pakatan Rakyat sebagai alternative, jika jelas gabungan itu mampu menampilkan  calon yang benar-benar berwibawa, beriltizam dan jujur memperjuangkan nasib rakyat serta memelihara maruah negara.

Politik sebagai suatu amanah untuk memelihara agama dan menguruskan hal ehwal dunia berdasarkan agama hendaklah menjadi panduan ketika pengundi dan melaksanakan tanggungjawab memilih calon yang layak.

PRU 13 ini adalah genting untuk membawa perubahan besar-besaran kepada masa depan negara kerana kepincangan selama lebih 55 tahun merdeka semakin mengakar dan kekal dalam gaya pemerintahan yang sedia ada.

Kepimpinan yang mengkhianati amanah rakyat sehingga ini perlu ditukar melalui peti undi dalam PRU 13 ini adalah saatnya yang paling baik.

5. SPR dan Semua Agensi Bertanggungjawab Menjamin Pilihanraya yang Bersih dan Adil.

Kami berpendirian SPR memikul amanah besar untuk menjamin PRU 13 berjalan dengan bersih dan adil. Respon SPR tidak mengakui ada kepincangan dalam daftar mengundi, wujudnya Akta Pilihanraya yang tidak demokratik dan menyekat pihak parti politik untuk mencabar kesahihan daftar pengundi akan menghakiskan intergriti pilhanraya itu sendiri.

Agensi awam yang lain seperti agensi keselamatan dan memastikan ia tidak diperalatkan untuk kempen politik hendaklah dipelihara secara professional.

Tindakan terhadap amalan politik kotor berdasarkan undang-undang hendaklah dikuatkasakan dengan adil dan telus.

Etika pilihanraya yang umumnya sesuai dan secocok dengan Islam untuk menutup pintu penipuan dan manipulasi dalam pilihanraya.

Firman dalam ayat 8, Surah al-Maidah bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.”


6. Memilih Calon yang Layak

Wacana pada hari ini menyarankan semua pengundi dalam PRU 13 ini menunaikan kewajipan memilih calon dari parti yang akan menubuhkan kerajaan yang adil dan mengamalkan urustadbir yang baik, telus dan bertanggungjawab kepada rakyat.

Tanggungjawab mengundi hendaklah dilaksanakan dengan penuh keinsafan bahawa  setiap undi yang diberi akan dipersoalkan oleh Allah SW.T.

Memilih  calon yang akan meneruskan kepincangan dan penyelewengan dalam urustadbir negara akan membawa negara kepada kehancuran. Bersikap berkecuali untuk tidak mengundi atau dengan sengaja merosakkan undi juga akan mencelakakan negara. Perbuatan ini akhirnya akan memenangkan calon yang tidak layak memimpin dan akan mengakibatkan kuasa berada ditangan mereka yang akan mengkhianati   amanah rakyat.

Kami menyarankan kriteria Islam diguna sebagai asas dalam memilih calon yang layak menduduki dewan perwakilan rakyat di negeri mahupun parlimen. Antara  Kriterianya adalah seperti berikut;

Beramanah dan Jujur yang dibuktikan dengan amalan dan sikap berterusan.
Kompentensi (Kemahiran serta keilmuwan yang tinggi)
Mempunyai sifat sabar yang tinggi.
Mengamalkan akhlak dan peribadi yang baik
Mengamalkan Semangat Syura

Dalam kontek Malaysia yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen pemilihan pemimpin ia lebih merujuk kepada kepimpinan secara kolektif.  Ia bermaksud memilih kumpulan atau gabungan parti-parti politik yang lebih beriltizam dengan prinsip-prinsip al-Haq (kebenaran), keadilan dan ketelusan terhadap Tuhan dan rakyat.


Dr  Mohd Fauzi Zakaria
Pengerusi
Persatuan Ulama’ Malaysia
Caw Wilayah Persekutuan


Us. Hj. Abdul Ghani Samsudin
Pengerusi
Sekretariat Himpunan Ulama’  Rantau Asia (SHURA)


Tuan Hj. Mohd Azmi Abd Hamid

Presiden TERAS / Pengerusi MAPIM

Air percuma antara tawaran PR kepada rakyat Johor

Harakahdaily, 15 Apr 2013
KUALA LUMPUR: Pakatan Rakyat Johor kelmarin melancarkan manifesto antara lain menawarkan 10 meter padu air percuma kepada pengguna domestik negeri itu jika diberi mandat mentadbir negeri itu pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) ini.

Manifesto yang dimuatkan dalam buku setebal 24 muka surat itu juga turut menawarkan pengurangan cukai harta bagi kediaman kos rendah dan sederhana serta penurunan kadar cukai tanah.

Manifesto bertemakan Johor Maju dan Berkebajikan itu dilancarkan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di sebuah hotel di sini.

Turut hadir, Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub, Penasihat DAP Lim Kit Siang, Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail, Pesuruhjaya PAS Johor Datuk Dr. Mahfodz Mohamed, Pengerusi DAP Johor Dr. Boo Cheng Hau dan Pengerusi PKR Johor Datuk Chua Jui Meng.

Selain itu, turut ditawarkan Skim Takaful Warga Emas sebanyak RM2,500 dengan wang tersebut diberikan kepada waris warga emas yang meninggal dunia.

Bagi anak yang dilahirkan di Johor pula mereka akan diberikan bayaran RM100 dan apabila mencapai usia 18 tahun, mereka akan mendapat bayaran RM1,500.

Tawaran lain yang dikemukakan ialah bantuan RM1,000 untuk anak kelahiran Johor yang layak melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi dan menyediakan Tabung Anak Muda Sejahtera bagi program pembangunan belia niaga.

Pakatan juga komited untuk mewujudkan 40,000 peluang pekerjaan dalam masa dua tahun kepada rakyat negeri ini termasuk mewujudkan projek Ladang Sejahtera.

Gaji minima RM1,100 sebulan untuk kakitangan kerajaan negeri juga akan diperkenalkan, serta menghapuskan kompaun letak kereta tertunggak serta perkhidmatan WiFi percuma di bandar utama.

Tempoh perkhidmatan jawatan Menteri Besar dua penggal akan diperkenalkan dengan mengutamakan aspek keadilan, integriti dan akauntabiliti.

Selain itu, polisi Satu Keluarga Satu Rumah, mewujudkan tabung untuk ibu tunggal dan ibu tinggal dengan menyediakan bantuan modal pusingan dan menawarkan RM1,000 bagi setiap pasangan yang menyertai majlis perkahwinan berkelompok bagi semua kaum.

Umno tikam sekutu sendiri kali ini

Harakah, 15 Apr 2013
KUALA LUMPUR: Dalam usaha untuk menjaga kepentingan dirinya, Umno didakwa menikam semua sekutunya dalam pilihan raya umum kali ini.

Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu berkata, PRU13 ini sebenarnya hanya battle Umno secara sendirian tanpa memerlukan sokongan komponen lain khasnya sekutu kuatnya MCA.

Kalau pilihan raya 2004 Umno memperkuda sekutunya untuk menang selepas ditolak pengundi Melayu pada pilihan raya 1999, kali ini Umno 'membunuh' mereka pula.

Inilah laporan muka depan keluaran khas PAS sempena pilihan raya kali ini yang dinamakan INIKALILAH.

Inikalilah adalah slogan penyokong Pakatan Rakyat di Sabah yang mempunyai semangat kukuh dalam memastikan kejayaan menjatuhkan kerajaan BN di negeri itu.

Ini bermakna, semangat sokongan rakyat bukan saja tertumpu di Semenanjung bahkan menyeluruh ke seluruh negara.

Inikalilah juga melaporkan, kematangan PAS semakin terserlah apabila mengambil pendekatan lebih universal bersesuaian dengan semua kaum yang dapat dilihat dalam manifestonya serta calon-calon yang diketengahkan dalam PRU13 ini, kata Pengarah Merdeka Centre, Ibrahim Sufian.

Beliau berkata, jika sebelum ini dalam manifesto atau pendirian PAS lebih berteraskan Islam, namun kini PAS mengambil pendekatan yang lebih terbuka dan turut mengambil kira faktor kaum lain walaupun kawasan yang ditandingi adalah minoriti bukan Islam.


Dapatkan naskah Inikalilah di pasaran mulai esok.




LAPORAN BERKAITAN


Alahai nasib Soi Lek dan MCA…

Apakah pilihan kita itu memang pilihan kita?

Prof Madya Dato’ Dr Mohd Asri Zainul Abidin, 12 Apr 2013
Beberapa orang Melayu yang kurang biasa dengan makanan Jepun memasuki sebuah restoran makanan Jepun untuk mencuba. Pelayan Japanese Restaurant itu datang dan memberikan menu makanan yang ada di restoran berkenaan. Nama-nama makanan semuanya berbunyi jepun. Semua bunyi itu agak asing bagi pelanggan-pelanggan Melayu berkenaan. ‘Sila pilih menu yang tuan-tuan mahukan’, kata pelayan.

Oleh sebab mereka tiada pengalaman merasai makanan jepun mereka kata ‘kami mahu menu yang sedap’. Pelayan itu pun mula membuat cadangan yang sedap pada pendapat beliau. Mereka pun setuju dan memesan makanan berdasarkan cadangan tersebut. Setelah makanan dihidangkan, para pelanggan Melayu berkenaan mendapati ia tidak sedap seperti yang diharapkan. Kata mereka: ‘Ini tidak sedap! Kami minta yang sedap! Dah la harganya pula mahal, kita tertipu!’. Pelayan menjawab: “Saya berikan berdasarkan pilihan tuan-tuan. Saya tidak bersalah. Tuan-tuan telah membuat pilihan tadi tanpa sebarang paksaan”.

Terhad

Saya mulakan sketch di atas sebagai gambaran bagaimana manusia kemungkinan memilih apa yang bukan menjadi hasratnya sekalipun dia diberikan kebebasan memilih. Hal ini juga dibincangkan oleh ahli-ahli theology, falsafah dan kerohanian tentang sejauh manakah manusia benar-benar memilih apa yang dia benar-benar mahukan. Who decides? Do I choose for myself? Am I really free to decide? Namun saya tidak mahu tenggelam dalam perbahasan mereka. Saya ingin membahaskan perkara ini dengan lebih simple terutamanya di musim pilihan raya ini.

Kegagalan para pelanggan tadi memilih apa yang mereka benar-benar mahukan iaitu makanan yang sedap adalah disebabkan beberapa perkara. Antaranya, mungkin makanan yang sedap yang mengikut selera Melayu mereka tidak wujud di restoran berkenaan. Maka, walaupun hak memilih diberikan, namun pilihan mereka terbatas dan apa yang dihajati tidak wujud dalam senarai pemilihan. Ini juga berlaku dalam hidup kita di mana kita kadangkala walaupun mempunyai ruangan memilih tetapi apa yang menjadi pilihan kita tiada dalam senarai yang boleh kita pilih. Ini telah membataskan kebebasan pemilihan yang ada. Sehingga seseorang mungkin terpaksa memilih yang terbaik antara yang buruk-buruk. Ini disebut dalam qawaid fiqhiyyah ‘Yukhtar Ahwan al-Syarrain’ atau Akhaf al-Dararain iaitu dipilih keburukan ataupun kemudaratan yang paling ringan dibandingkan yang lain. Ertinya jika tiada pilihan kita disuruh memilih bahaya yang paling kurang dibandingkan yang lain.

Pengetahuan

Kedua, kebebasan pemilihan tidak memberikan apa-apa makna jika kita tidak mempunyai pengetahuan tentang apa yang kita pilih. Ini seperti kaki ‘tikam ekor’ yang sekalipun dia memilih nombor yang dia mahu, tetapi semuanya tidak berasaskan ilmu pengetahuan. Kejahilan! Ya kejahilan akan mensia-siakan kebebasan memilih sesuatu. Para pelanggan Japanese Restaurant tadi jahil tentang makanan Jepun. Sekalipun mereka diberikan peluang memilih, tetapi memilih dalam kejahilan. Oleh sebab mereka jahil, maka terpaksa bergantung kepada pihak lain yang belum tentu tahu apakah maksud ‘sedap’ yang sebenarnya menjadi hasrat mereka. Ataupun, mereka tertipu kerana mereka mudah ditipu sebab tidak tahu. Mereka terdedah untuk ditipu atas nama pilihan sendiri. Padahal pilihan mereka ditentukan oleh pihak lain disebabkan kegagalan ilmu untuk menentukan pilihan yang benar-benar dikehendaki.

Justeru, memberikan kebebasan memilih tetapi tidak memberikan ilmu mengenai pilihan yang ada hanya mensia-siakan hak pemilihan. Akhirnya, walaupun seseorang mempunyai hak memilih tetapi pilihannya ditentukan oleh pihak lain yang mengambil kesempatan atas kejahilan. Dalam kata lain, memberikan kebebasan memilih, tapi tidak diberikan ruang ilmu untuk mengetahui senarai pilihan dengan adil dan betul adalah satu penipuan.

Kesempatan

Manusia hari ini banyak yang tertipu oleh iklan palsu. Dunia advertisement mempunyai seni yang tersendiri untuk mempengaruhi pelanggan sehingga mereka membeli apa yang bukan sebenarnya hasrat mereka. Media-massa demikian juga. Manusia akhirnya mempercayai apa yang bukan sebenarnya mereka patut percayai. Kedangkalan pengetahuan boleh diambil kesempatan oleh pihak lain untuk menipu pilihan seseorang.

Dalam pilihan raya, jika kebebasan memilih diberikan tetapi peluang untuk rakyat mengenali setiap calon dan parti secara adil tidak diberikan maka itu mensia-siakan hak memilih. Jika ada pihak yang menghalang rakyat mengetahui latar senarai pilihan secara adil dan saksama bererti pihak itu adalah penipu dan perosak kepada hak memilih yang sebenar rakyat.

Islam melarang kita mengikut ataupun memilih sesuatu tanpa ilmu yang cukup. Firman Allah: (maksudnya):

“Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta jantung akal kamu, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya”. (Surah al-Isra : ayat 36).

Al-Quran menyuruh untuk kita mendengar dari pelbagai maklumat dan mengikut yang terbaik. Inilah yang dipanggil Ulul Albab. (maksudnya)

“...oleh itu gembirakanlah hamba-hambaKu. (Iaitu) mereka yang berusaha mendengar perkataan (yang sampaikan) lalu mereka menurut yang terbaik; mereka itulah orang-orang yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah dan mereka itulah Ulul Albab.” (surah al-Zumar : ayat 17-18).


Ertinya, untuk seseorang dapat menjadi insan yang baik dia hendaklah mendengar pelbagai maklumat kemudian mengikut yang terbaik dari apa yang didengari dan dipelajari. Jika ada pihak yang menghalang rakyat dari ruang mendapat maklumat yang seimbang, maka itu satu usaha untuk menyesat rakyat dari pilihan yang betul samada dalam pemikiran ataupun politik. Tariq Ramadan dalam The Quest For Meaning menyebut:

“...any society that does not guarantee the conditions for survival and life of all, education for all and rule of law to defend individual freedom (in the handling of interpersonal relationships) is a society that fails to respect basic human rights. It deprives its members of their potential and their powers, and, at best, encourages their illusions as to the immensity of power offered by the virtuality of their will, their dreams and their imagination.” (57-58. Penguin Books, UK).

Tertipu

Menipu dengan cara mengelirukan pemilihan orang lain adalah satu kesalahan. Penipuan bererti mengkaburkan pengetahuan pihak yang memilih sehingga dia memilih apa yang bukan pilihannya. Justeru itu suatu ketika, Rasulullah SAW melintasi satu bekas makanan (untuk dijual), lalu baginda memasukkan tangannya ke dalamnya. Tangan baginda menjadi basah. Baginda pun bersabda:

“Apakah ini wahai empunya makanan (peniaga)?. Dia menjawab: Terkena hujan, wahai Rasulullah!. Baginda bersabda: Mengapa engkau tidak jadikan bahagian yang basah itu di atas makanan supaya orang boleh nampak! Sesiapa yang menipu, dia bukan dari pengikutku.” (Riwayat Muslim).

Jika dilihat dalam konteks pilihan raya, ramai yang menyembunyikan hakikat dan menzahir yang baik sehingga orang ramai tertipu. Mereka menyangka mereka membeli barangan yang baik, padahal itu sebenarnya buruk. Mereka sangka mereka undi pihak yang baik, sebenarnya mereka memilih yang buruk. Namun, kempen yang bohong telah merosakkan hasrat pemilihan mereka yang sebenar. Sesiapa yang terlibat dalam kempen yang sedemikian, dia bukan dalam pengikut umat Nabi SAW.

Kita impikan kerajaan dan pemimpin yang menjamin hak-hak rakyat memilih dengan cara yang adil dan saksama. Pemberian hak mengundi secara bebas tidak bermakna jika ruang mengetahui apa yang hendak dipilih secara adil tidak bebas dan diberikan secara yang adil juga. Keadilan media awam amatlah penting dalam proses pilihan raya yang adil. Jika tidak, kita memilih apa yang bukan pilihan kita kerana kita tertipu.

Tiada ulasan: