Rabu, 11 Januari 2012

PANJANG USIA BERJUANG ISLAM MEMANG BERBALOI...TAPI HINA ISLAM...TAK YAKIN ISLAM..FIKIR KAUM LEBIH AULA DARI ISLAM..KANTOI

Koyak poster, dakwa semarak Rapat Rakyat N9

Harakahdaily,

SEREMBAN, 11 Jan: Pakatan Rakyat Negeri Sembilan berazam untuk menjadikan kawasan Gemas yang menjadi tapak projek Pusat Fedlot Kebangsaan (NFC) sebagai tapak pelancaran kebangkitan rakyat negeri ini.

Pesuruhjaya PAS negeri, Taufek Abdul Ghani (gambar) berkata, atas dasar itulah, Pakatan akan melancarkan Rapat Rakyat N9 Ahad ini di Dataran Rakyat Gemas.

"Walaupun tiga ahli PAS akan didakwa esok ekoran program ini, kita akan jadikannya pembakar semangat," kata beliau kepada Harakahdaily.

Dalam pilihan raya umum 2008 lalu, calon PAS bertanding di Parlimen Tampin, Dun Gemas dan Gemencih manakala DAP bertanding di Dun Repah. Namun, Harakahdaily difahamkan, selepas ini akan ada perubahan pembahagian kerusi kawasan ini.

9 Januari lepas, tiga ahli PAS ditahan polis ketika mereka datang ke Balai Polis Tampin untuk membuat laporan ekoran satu kejadian pertengkaran mereka dengan beberapa orang yang tidak dikenali.

Sekitar jam 10 malam, lima petugas PAS dengan diketuai Zanil Subuh, Ketua Penerangan PAS Tampin menampal poster rapat ini di sekitar pekan Gemenchih.

Namun, apabila mereka pusing balik ke tempat poster itu ditampal, mereka mendapati poster-poster yang dipasang mereka telah dikoyak.

Setelah disiasat mereka menjumpai sekumpulan orang sedang mengoyak poster itu. Apabila ditanya, mereka menjawab, mendapat arahan untuk membuang poster itu.

Ekoran itu, berlaku pertengkaran antara mereka kerana para petugas PAS ini beranggapan mereka dari parti lawan yang cuba merosakkan majlis mereka kerana mereka tidak memperkenalkan diri atau berpakaian seragam.

Selepas itu, satu laporan polis dibuat. Para petugas PAS ini pula ke balai polis Tampin jam 2 pagi hari yang sama untuk membuat laporan polis juga ekoran pertengkaran itu.

Namun, tiga orang termasuk Zanil telah ditahan polis atas dakwaan menghalang tugas pejawat awam iaitu petugas Majlis Daerah Tampin yang membuang poster itu.

"Kami telah menziarahi mereka di lokap dan kita juga telah memaklumkan hal ini kepada keluarga masing-masing. Kita juga telah siapkan peguam untuk mereka kerana kita dimaklumkan oleh pegawai penyiasat kes ini ketiga-tiga mereka akan didakwa di Mahkamah Majistret Tampin esok," kata Taufek yang juga Adun Paroi itu.

Ahad ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan memberikan ucapannya yang pertama di Negeri Sembilan selepas dibebaskan dari pertuduhan liwat 9 Januari lepas. Beliau akan disertai oleh timbalan presiden PAS, Haji Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Perhimpunan di pekan Gemas Ahad ini adalah yang pertama selepas Konvensyen Pakatan Rakyat ke 3 yang akan diadakan di Alor Setar 14 Januari ini.

"Sehingga kini, 80 peratus persiapan sudah siap. Kita jangkakan lebih 20,000 rakyat negeri ini akan hadir majlis ini," kata Taufek kepada Harakahdaiily.

Halang tugas polis, pelajar mengaku tidak bersalah

Hazayani Zakaria,

KUALA LUMPUR, 11 Jan: Penuntut Universiti Malaya (UM), Bukhary Mohd Sofian hari ini mengaku tidak bersalah berhubung tuduhan menghalang tugas polis, Sabtu lalu.

Bukhary, 21, ditahan reman empat hari di lokap Balai Polis Bukit Jalil sebelum dibawa ke Balai Polis Petaling dan dibebaskan Ahad lalu dengan jaminan polis.

Dia ditahan atas sebab tidak bekerjasama dengan anggota polis yang mahu memeriksa pengenalan diri dalam kejadian pada pukul 12 tengah malam, berhampiran pintu masuk utama UM.

Pertuduhan dijalankan di hadapan Majistret Parwin Hameedah Natchiar mengikut seksyen 186.

Parwin menetapkan jaminan sebanyak RM 2,000 dan sebutan kes pada 16 Februari depan.

Sementara itu, bercakap kepada pemberita di luar kamar perbicaraan, peguam Farhana Abdul Halim turut mempertikai pihak polis apabila menahan Bukhary tanpa alasan munasabah.

"Anak guam saya didatangi tujuh anggota polis yang meminta untuk memeriksa pengenalan diri namun dia enggan menyebabkan dia dibawa ke Balai Polis Pantai.

"Hanya kerana itu dia ditahan reman empat hari, dan saya minta dia dibebaskan kerana ada peperiksaan semalam. Polis tak ada sebab untuk berlengah membebaskan Bukhary,' katanya.

Turut hadir memberikan sokongan, Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Ahmad Shukri Che Abd Razab, Koordinator Legasi Mahasiswa Progresif (LMP), Adam Adli Abdul Halim dan beberapa anggota SMM yang lain.

Di usia panjang ini saya kerja untuk agama - Nik Aziz

Rizal Tahir,

(Nik Aziz melihat kek harilahir sempena 81 tahun kelahiran beliau 10 Januari semalam)

KOTA BHARU, 11 Jan: “Saya bekerja ni untuk itulah, untuk meluaskan bingkai agama, jadi melalui usia yang panjang inilah saya boleh melakukannya,” kata Tuann Guru Datuk Nik Abdul Aziz kepada Harakahdaily selepas majlis meraikan harijadi beliau ke 81 hari ini.

Menteri Besar Kelantan itu hari ini begitu terkejut apabila majlis keraian diadakan untuknya sempena menyambut hari ulang tahun kelahirannya yang ke-81, yang jatuh pada 10 Januari semalam.

Mursyidul Am itu juga tidak menduga acara itu dibuat sedemikian rupa yang tidak dimaklumkan terlebih dahulu padanya sebelum ini.

Beliau berkata demikian kepada Harakahdaily ketika ditemui selepas menjamu selera sempena majlis keraian itu yang diadakan di pejabatynya hari ini.

Majlis itu diadakan selepas mesyuarat mingguan Exco kerajaan negeri hari ini. Semalam Nik Aziz berpuasa tanda kesyukuran ekoran pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim dari pertuduhan meliwat.

“Saya hanya diberitahu oleh setiausaha saya hari ini ada jamuan, itu sahaja,”ujarnya sambil tersenyum ceria.

Menurutnya, beliau tidak pernah menyambut hari ulangtahunnya sendiri selama ini.

Tambahnya, hanya setiap hari beliau berdoa semoga usia yang diberikan Allah setiap hari itu dapat dimanfaatkan dengan baik khususnya untuk berdakwah semoga rakyat Kelantan termasuk Malaysia menggunakan Islam yang syumul, bukan hanya separuh sahaja.

Katanya, Islam separuh hanya disebarkan oleh orentalis barat seperti agama dan politik perkara yang berasingan yang akhirnya ditelan oleh umat Islam pelbagai bangsa di dunia ini.

Turut hadir pada majlis itu, Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yaacob, anggota-anggota exco kerajaan negeri, Datuk Husam Musa, Datuk Meja (B) Md Anizam Abdul Rahman, Datuk Abdul Fatah Mahmood.

Turut meraikan, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr Zainuddin Ibrahim, Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Fauzi Che Mamat dan lain-lain pimpinan.

PAS kaji kendali permohonan jadi ahli yang ramai

Harakahdaily,

KUALA LUMPUR, 11 Jan: Berikutan permintaan yang bertalu-talu untuk menjadi ahli PAS sejak kebelakangan ini, PAS akan menyusun pendekatan bagi menguruskan permohonan yang datang bertalu-talu ini.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali ketika dihubungi berkata pihaknya akan mengkaji perkara itu.

Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man juga memberikan jawapan yang sama. Pihaknya akan mengkaji fenomena ini.

Harakahdaily sejak beberapa hari ini menerima panggilan bertalu-talu dari pihak-pihak yang bertanya bagaimana cara mahu menjadi ahli PAS.

Menurut laman rasmi PAS www.pas.org.my, syarat untuk menjadi ahli PAS itu ialah: Warganegara Malaysia, beragama Islam (bukan Islam boleh menjadi ahli Dewan Himpunan Penyokong PAS-DHPP), 'aqil baligh menurut hukum syarak.

Di samping itu, mereka juga perlu mengaku menerima serta taat kepada Perlembagaan PAS, peraturan, arahan-arahan dan keputusan-keputusan parti dari masa ke semasa.

Pelajar universiti atau kolej universiti pula tidak boleh menjadi ahli tanpa mendapat kebenaran bertulis daripada naib canselor universiti berkenaan. Ia berdasarkan Akta Universiti yang sedang ditentang oleh para pelajar universiti sekarang.

Keterangan lanjut klik [di sini].

PAS melencong perjuangan asal?

Datuk Haron Din,

Datuk, akhir-akhir ini selalu sangat orang memperkatakan bahawa PAS telah melencong daripada perjuangan asalnya. PAS didakwa meninggalkan Islam dan telah tidak lagi memperjuangkan Negara Islam dan berubah kepada Negara Berkebajikan. Ini tidak pernah disebut oleh pemimpin PAS terdahulu. Saya keliru kerana diulang-ulang dan disebut oleh media masa, sedangkan yang menyanggahnya jarang kedengaran. Apa pandangan dan nasihat Datuk kepada orang-orang seperti saya supaya teguh berdiri bersama PAS? Terima kasih Datuk.

Penyokong PAS Tegar, Dungun, Terengganu.

PIHAK yang memperkatakan kononnya PAS telah melencong dan terbabas dari perjuangan asalnya, dengan meninggalkan Islam dan berbagai-bagai lagi, adalah dakwaan media massa yang memusuhi perjuangan PAS.Tugas utama mereka adalah untuk mempromosikan parti pemerintah dan memburuk-burukkan lawannya terutama PAS. Dengan apa mereka hendak memburuk-burukkan PAS?

Itulah kerja media yang tidak senang dengan PAS. Selagi PAS teguh memperjuangan Islam, selama itulah Umno-Barisan Nasional tergugat dan akhir-akhir ini semakin tergugat. Oleh kerana itu mereka berusaha melemahkan PAS dengan apa cara pun.

Sebenarnya PAS tidak melencong atau menyeleweng dan jauh sekali daripada berubah dari Islam kepada yang tidak Islam. Mana mungkin PAS hendak berubah kepada yang tidak Islam.

Bukti yang paling nyata, Perlembagaan PAS yang ada sekarang, jelas tidak ada sebarang perubahan dan tidak pernah ada cadangan untuk berubah.

Perlembagaan PAS, Fasal 1, nama pertubuhan disebut Parti Islam Se-Malaysia (PAS).

Pada Perlembagaan PAS, Fasal 3, tujuan PAS ialah:

(i) Memperjuangkan wujudnya dalam negara ini, sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredaan Allah.

Di dalam PAS ada Majlis Syura Ulama, yang di antara tugas utamanya, seperti yang termaktub dalam Perlembagaan PAS, Fasal 7 (B):

“Mengeluarkan arahan dan perintah, supaya dasar dan ketetapan itu, dipatuhi dan dilaksanakan oleh mana-mana pihak atau badan di dalam PAS dan mengawasi serta memelihara, supaya dasar dan ketetapan serta kehendak-kehendak di dalam Perlembagaan ini dipatuhi dalam kegiatan gerakan dan pentadbiran PAS.”

Semua yang saya nyatakan berjalan lancar dan berada dalam keadaan baik, tanpa berlaku penyelewengan dan kelencongan.

Pihak yang menyatakan PAS sudah melencong dan berubah dasar perjuangannya, meninggalkan Islam dan Negara Islam dan bermacam-macam lagi, adalah suatu fitnah jahat yang semata-mata bertujuan memburuk-burukkan pejuang-pejuang Islam, yang dilakukan oleh musuh-musuh Islam, sepanjang zaman.

PAS tidak berubah dan tidak pernah mengubah dasar-dasar utama perjuangannya. Taktik dan strategi boleh berubah mengikut keperluan.

Apa yang disebut Negara Berkebajikan menggantikan Negara Islam, itu sebenarnya istilah. Maknanya sama dan tidak berubah.

Malah menamakan Negara Islam dengan nama Negara Berkebajikan, tidak bercanggah dengan Islam.

Di dalamn al-Quranul karim tidak terdapat istilah Negara Islam secara jelas dan terang. Yang ada seiras dengannya adalah istilah ‘Baldatun Tayyibah’ sebagaimana firman Allah (mafhumnya): “Sesungguhnya adalah bagi penduduk negeri Saba’, ada suatu tanda kemurahan Allah yang terdapat di tempat tinggal mereka, iaitu dua bidang kebun yang luas lagi subur yang terletak di sebelah kanan dan kiri. Lalu dikatakan kepada mereka itu, makanlah daripada rezeki pemberian Tuhan kamu dan bersyukurlah kamu kepada-Nya dan negeri kamu itu adalah negeri yang Tayyibah (Baik atau berkebajikan) dan Tuhan kamu adalah Tuhan Yang Maha Pengampun.” (Surah Saba’ ayat 15)

Ketika Presiden PAS membentangkan istilah Negara Berkebajikan dalam muktamar yang lepas (Jun 2011), tidak ada sesiapa pun yang meragui istilah itu dan tiada sesiapa pun yang mempersoalkannya di dalam muktamar.

Biasanya, jika ada sesuatu yang tidak kena, ahli dalam muktamar PAS akan menimbulkan berbagai pandangan, teguran dan bangkangan. Yang ternyata muktamar telah menerima.

Apabila ini berlaku, maka ianya adalah sesuatu selaras dengan perjuangan PAS.Penyebar-penyebar fitnah ke atas pejuangpejuang Islam, bukan perkara baru, malah sejak dari zaman sahabat Rasulullah s.a.w, yang memperjuangkan Islam pada waktu itu, musuh-musuh Islam dari kalangan musyrikin dan munafikin, telah menyebar fitnah yang lebih besar.

Antaranya dahulu, mereka menyatakan, ‘Muhammad adalah ahli sihir, dia gila, pembawa cerita dongeng, pemecah perpaduan umat Arab, dia menyembah berhala (Kaabah).’ Berbagai-bagai lagi fitnah dilemparkan terhadap Nabi s.a.w dan para sahabat baginda.

Oleh yang demikian, anda tidak harus mengendahkan media-media musuh Islam yang memang itu kerja mereka.

PAS sekarang, tetap PAS seperti dahulu, tetap memperjuangkan Islam yang syumul, tanpa menghiraukan kata-kata orang menentang.

Berpandulah kepada hadis Rasulullah s.a.w (mafhumnya): “Akan sentiasa wujud di kalangan umatku segolongan orang-orang yang memperjuangkan Islam yang sebenar, tanpa menghirau celaan orang yang suka mencela, sehingga kemenangan yang nyata, berhasil pada akhirnya.” Wallahua’lam.

Artikel di atas dipetik daripada ruangan Bersama Dato' Haron Din yang disiarkan akhbar Harakah Bil. 1704 (8-11 Safar 1433/2-5 Januari 2012)

1-800-88-2824 talian bebas tol masalah sampah Selangor

Muhammad Faizal,
SHAH ALAM, 11 Jan: Mesyuarat exco Kerajaan Negeri Selangor hari ini telah memutuskan penyediaan satu talian bebas tol bagi menguruskan setiap aduan berkaitan isu sampah di Selangor.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Ronnie Liu berkata talian ini bagi memudahkan orang ramai mengadu setiap apa kesulitan yang timbul terutamanya berkaitan dengan masalah sampah di kawasan mereka.

"Kita hari ini memutuskan satu talian bebas tol yang bernombor 1-800-88-2824 akan digunakan secara rasmi pada 17 Januari nanti bagi menerima aduan orang ramai berhubung maslah sampah ditempat mereka.

"Talian ini akan beroperasi 24 jam, yang mana pada jam 8 pagi hingga 6 petang akan diuruskan oleh pegawai manakala selepas jam 6 petang sebarang aduan akan di rekodlkan pada mesin aduan," jelasnya.

Beliau berkata demikian pada satu sidang media sejurus selesai mesyuarat exco hari ini.

Katanya, bagi mempermudahkan urusan pengangkutan sampai setiap pengadu perlu memberikan segala maklumat dengan lengkap mengenai lokasi masalah itu berlaku.

"Pengadu perlu tinggalkan maklumat lengkap setiap kali membuat aduan termasuk nombor telefon mereka dan ini adalah bagi memudahkan urusan kerajaan negeri untuk bertindak," sambungnya lagi.

Tambahnya lagi pihak berkuasa akan bertindak segera setiap kali aduan diterima jika ia dilaporkan pada waktu pejabat, manakala jika laporan itu dibuat pada sebelah malam maka tindakkan akan diambil pada keesokkannya.

Sebelum ini, beberapa laporan polis sudah dibuat ekoran dakwaan berlaku tindakan sabotaj pungutan sampah oleh pihak tertentu khususnya di kawasan Majlis Bandaray Shah Alam (MBSA).

Letupan: Utusan dicabar dedah ‘sumber polis’

Harakahdaily,

KUALA LUMPUR, 11 Jan: Pihak AMK akan menulis surat rasmi kepada Ketua Polis Kuala Lumpur bagi memohon diumumkan hasil siasatan dan pihak yang bertanggungjawab dalam insiden letupan berhampiran Kompleks Mahkamah Jalan Duta kelmarin yang menyebabkan beberapa orang peserta perhimpunan 901 mengalami kecederaan.

Sehubungan itu, ketuanya, Shamsul Iskandar Mohd Akin mengecam sekeras-kerasnya laporan berita bertajuk ‘Bom milik peserta perhimpunan’ yang disiarkan oleh akhbar Utusan Malaysia pada hari ini.

Baginya, laporan itu mendakwa kononnya dengan memetik ‘sumber polis’ bahawa tiga butir bom buatan sendiri yang meletup kelmarin adalah milik peserta perhimpunan Bebas Anwar 901.

“Laporan berita ini jelas bersifat jahat dan bertujuan untuk memburuk-burukkan imej penyokong Anwar Ibrahim,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Katanya, berdasarkan pemantauan pihak AMK pada pagi tersebut, peserta perhimpunan hanya dibenarkan masuk ke kawasan kompleks mahkamah seawal jam 6.30 pagi dengan dikawal ketat oleh pihak polis.

Jelasnya, pihak polis turut memeriksa beg setiap peserta perhimpunan yang masuk ke perkarangan kawasan sekitar kompleks mahkamah dan kemudiannya meneruskan kawalan sehingga perhimpunan bersurai.

“AMK berpandangan bahawa insiden letupan bom ini adalah percubaan jahat pihak tertentu untuk mencemarkan imej polis kerana difahamkan bahawa bom tersebut telah diletakkan di bawah kon keselamatan pihak polis sendiri,” ujarnya.

Di samping itu, kata beliau ianya juga bertujuan untuk memburukkan imej peserta perhimpunan yang jelas berjaya menurut semua arahan polis dan memberikan kerjasama penuh dalam memastikan perhimpunan tersebut berjalan dalam situasi aman dan selamat.

“Kita semua sedia maklum bahawa penyokong-penyokong Saiful Bukhari Azlan yang dikatakan terdiri daripada beberapa orang ahli Perkasa turut berada berhampiran dengan lokasi di mana letupan bom tersebut berlaku,” katanya lagi.

Sebelum daripada itu, ujar beliau lagi, Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali turut membuat kenyataan kepada pihak media bahawa Perkasa akan turun untuk melakukan provokasi pada perhimpunan Bebas Anwar 901.

“Apakah wujud kemungkinan bahawa insiden letupan tersebut didalangi oleh ahli Perkasa?” soalnya.

Sehubungan dengan itu, tegasnya AMK ingin mencabar Perkasa supaya menafikan sebarang penglibatan mereka dalam insiden letupan tersebut.

AMK juga, tegasnya lagi mendesak akhbar Utusan Malaysia supaya mendedahkan identiti ‘sumber polis’ yang dikatakan mendakwa bahawa tiga butir bom yang meletup kelmarin adalah milik peserta perhimpunan Bebas Anwar 901.

“Adalah cukup pelik kerana pihak polis sendiri masih belum mengumumkan hasil siasatan berhubung insiden tersebut tetapi akhbar Utusan Malaysia telah melaporkan ‘hasil siasatan’ mereka sendiri yang kemudiannya diolah menjadi berita fitnah dan propaganda jahat,” katanya.

Muflis 2019: Henti beri mandat kepada BN

Harakahdaily,
PULAU PINANG, 11 Jan: Pengesahan Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) bahawa Malaysia akan bankrap menjelang 2019 menujukkan rakyat perlu menukar kerajaan supaya Pakatan Rakyat dapat menyelamatkan negara, kata Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng.

Menurutnya, Malaysia akan menjadi negara penghutang sebelum akhir dekad ini jika Kerajaan BN meneruskan cara-cara perbelanjaan dan peminjaman yang tidak bertanggungjawab.

Nisbah hutang Kerajaan Persekutuan kepada KDNK telah meningkat setiap tahun dari 53.1% pada tahun 2010, 53.8% pada tahun 2011 hingga 54.8% pada tahun 2012. Kadar hutang ini amat membimbangkan kerana sudah hampir mencecah siling hutang negara iaitu 55%.

Mengikut felo Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) Mohd Ariff Abdul Kareem, sekiranya Kerajaan Persekutuan terus meminjam seperti sekarang, nisbah hutang kepada KNDK negara akan mencapai 100% ataupun menyamai KDNK menjelang tahun 2019.

Secara mutlak, hutang Kerajaan Persekutuan telah meningkat sebanyak 71% dalam tempoh 4 tahun kepada RM456 bilion pada akhir 2011 daripada RM266 bilion pada akhir 2007.

Jika kadar peningkatan yang sama diteruskan, hutang negara akan meningkat kepada RM780 bilion pada tahun 2016 dan RM1,300 bilion pada tahun 2020.

Yang lebih menrunsingkan kata Lim, kadar pinjaman negara adalah jauh lebih tinggi daripada kadar pertumbuhan ekonomi.

"Ini amat berbahaya, dan lebih teruk lagi jika ditambah dengan data Laporan Tahunan Bank Negara 2010 yang mendedahkan bahawa hutang isi rumah Malaysia pada akhir 2010 berada di tahap RM581 bilion atau pun 76 peratus daripada KDNK, lantas “menobatkan” Malaysia sebagai negara dengan hutang isi rumah yang tertinggi di Asia selepas Korea Selatan.

"Tambahan pula, nisbah bayaran hutang isi rumah Malaysia berada di tahap 47.8 peratus pada tahun 2010, atau dalam erti kata lain, setengah daripada pendapatan isi rumah digunakan untuk pembayaran hutang," kata Lim.

Beliau yang juga Setiausaha DAP berkata, Rakyat Malaysia bukan sahaja dibebani hutang piutang, tetapi kos barang-barang harian juga sedang melambung sementara pendapatan dan gaji tidak meningkat. Susu bayi pun telah naik harga sebanyak 50% baru-baru ini. Antara kos barangan harian yang meningkat adalah:

1. Gula: RM1.45/kg (Jan 2010) kepada RM2.30 (Mei 2011) – 58% dalam 18 bulan.

2. Telur: Gred B RM9/30biji (Sep 2010) kepada RM10/30biji (sekarang).

3. Tarif Elektrik: kenaikan purata 7.12% pada bulan Jun 2011.

4. Teh Tarik dan Kopi Susu: Kenaikan RM0.10 hingga RM0.20 (9.1% hingga 18.2%).

5. Roti Gardenia: Kenaikan 5-14% (2011).

6. Cukai Perkhidmatan: Kenaikan 1% (cukai tambahan RM720 juta untuk Kerajaan Persekutuan).

7. Bawang: Kenaikan 17% (Dis 2010).

8. Milo: Kenaikan 5% pada suku pertama 2011, 4% pada setengah tahun kedua 2011.

9. Nescafe: Kenaikan 6% pada setengah tahun kedua 2011, di mana harga sudah >RM20/300gm.

10. Semua makanan kegemaran ramai seperti roti canai, char koay teow dan nasi kandar makin kecil bahagiannya walaupun harga tetap sama.

Sebaliknya ujar Lim, negeri-negeri Pakatan Rakyat telah berjaya mengurus kewangan supaya rakyat tidak dibebani hutang.

Di Pulau Pinang, hutang kerajaan negeri telah dikurangkan daripada RM630 juta pada 8 Mac 2008 kepada RM30 juta pada akhir Oktober 201.

"Ini merupakan pengurangan sebanyak 95% ataupun RM600 juta, iaitu pengurangan yang paling besar dalam sejarah mana-mana negeri di Malaysia.

"Adalah jelas bahawa rakyat Malaysia yang menginginkan kehidupan yang lebih baik hari ini dan untuk generasi masa depan hendaklah membuat pilihan di antara sebuah kerajaan yang boros dan meminjam secara tidak bertanggungjawab di samping gagal menjana perkembangan ekonomi, dengan sebuah kerajaan yang berhemat dan telus serta mengutamakan kepentingan rakyat," katanya.

Angkasa diminta pertahan KPF dari disalah guna

Hazayani Zakaria,

KUALA LUMPUR, 11 Jan: Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) meminta Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) campur tangan untuk mempertahankan Koperasi Permodalan Felda (KPF) daripada disalah guna pihak berkepentingan.

Tuntutan tersebut terkandung dalam memorandum yang diserahkan Presiden Anak, Mazlan Aliman kepada pegawai yang mewakili Yang Dipertua Angkasa, Prof. Dr. Ali Baharom di pejabatnya di Kelana Jaya, hari ini.

Memorandum tersebut ekoran pelantikan Tan Sri Isa Samad sebagai pengerusi KPF yang didakwa bercanggah dengan Undang-Undang Kecil KPF kerana Isa dilantik sebagai Pengerusi Felda secara kontrak sahaja.

Mengikut Undang-undang Kecil KPF, keanggotaan koperasi terbuka kepada peneroka Felda, isteri dan anak-anak, kakitangan Felda, isteri dan anak-anak, koperasi-koperasi peneroka Felda yang didaftarkan di bawah akta sebagai koperasi asas atau koperasi menengah, serta koperasi kakitangan Felda yang berdaftar di bawah akta.

Keadaan bertambah rumit apabila KPF akan mengadakan mesyuarat agung pada 8 Februari depan, sedangkan status Isa masih dipertikai.

Bercakap kepada pemberita selepas penyerahan memorandum, Mazlan berkata, pihaknya sangat berharap Angkasa memberikan komitmen dalam usaha menyelesaikan kemelut ini.

"Angkasa jangan tunduk kepada kemahuan pihak berkepentingan yang diterajui Tan Sri Isa Samad. Angkasa mesti menjunjung prinsip ketelusan dan bertindak berani mempertahankan yang hak," kata beliau.

Menurut Mazlan, meskipun mesyuarat agung KPF dibatalkan 5 Januari lalu, namun usaha untuk membawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bagi merasmikan mesyuarat agung pada 8 Februari ini sedang berjalan.

Apa yang membimbangkan peneroka, mesyuarat itu diadakan bagi mendapatkan persetujuan ahli KPF berhubung cadangan pelaburan KPF dalam Felda Global Ventures Holdings (FGVH) yang akan disenaraikan di Bursa Saham Malaysia (BSKL) April depan.

"Kempen kotor dan jijik sedang digerakkan. Adalah dipercayai sogokan dan imbuhan istimewa sedang ditawarkan kepada perwakilan agar bersetuju dengan penyenaraian. Angkasa mesti bertindak dan memantau perkembangan ini," katanya.

Antara usaha-usaha yang akan dilakukan KPF yang dibimbangi menjejaskan masa depannya ialah cadangan pelupusan ekuiti milik KPF dalam FGVH dan 10 anak syarikat milik Felda Holdings kepada FGVH.

Ekuiti milik KPF dalam Felda Holdings adalah 51 peratus dan aset 10 anak syarikat berkenaan yang menjadi kekutan pelaburan KPF dianggarkan RM3.13 bilion.

Mengikut maklumat, pegangan saham KPF dalam FGVH sebanyak 35 peratus selepas penyenaraian akan dipindahkan ke dalam sebuah syarikat pegangan pelaburan baru (Fund Co) yang ditubuhkan oleh Felda melalui pegangan Saham Keutamaan Boleh Tebus (Redeemable Preference Share).

Felda memiliki 100 peratus pegangan saham biasa tertangguh (defferedordinary shares) dan semua dividen yang diisytiharkan oleh Fund Co akan disalurkan terus kepada KPF.

Felda hanya mempunyai hak mengundi tetapi tidak mempunyai hak ekonomi ke atas diviiden yang diisytiharkan oleh Fund Co.

"Mengapa Fund Co harus ditubuhkan, siapa yang bakal terlibat dalam syarikat tersebut dan tujuan sebenar organisasi itu diwujudkan dalam konteks proses penyenaraian FGVH?

"Kita minta Angkasa memantau perkara ini agar KPF kekal sebagai koperasi terbaik di Malaysia," kata Mazlan.

Tiada ulasan: