Khamis, 12 Januari 2012

BILA RASUAH...BILA KOMESIN..BILA TIPU MENIPU...NGILAT DIUTAMAKAN...PEMBANGUNAN JADI TERBANTUT..MASING2 LEPAS TANGAN..RAKYAT JADI MANGSA

Selain dakwat kekal, SPR perlu bersih daftar pemilih

Rizal Tahir,

KOTA BHARU, 12 Jan: Mursyidul Am, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, berkata bukan hanya dakwat kekal yang perlu dipersoalkan, sebaliknya masaalah pendaftaran pemilih juga perlu diambil kira.

Menurutnya, daftar pemilih yang dilaksanakan oleh pihak tertentu perlu bersih dan amat tidak wajar sekiranya ditambah warganegara lain sebagai pemilih.

(Gambar: Nik Aziz menyampaikan watikah perlantikan kepada ahli majlis PBT Kelantan)

“Kenapa perlu disabitkan dengan warga negara lain, Bangladesh la, Burma, ini semuanya berlaku hasil dari kerja mereka yang tidak yakin pada rakyat sendiri.

“Mereka yakin rakyat tidak akan mengundi parti mereka, kerana itu daftar rakyat dari negara lain sebagai pemilih. Ini yang kacau (daftar pemilih),”ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada media ketika diminta mengulas berhubung penggunaan dakwat kekal selepas menyampaikan watikah perlantikkan sebagai Ahli-Ahli Majlis PBT Negeri Kelantan 2012, disebuah hotel di sini tengahari tadi.

Media masa hari ini menyiarkan kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Prof Tan Sri Dr Abdul Shukor Hussin, penggunaan dakwat kekal pada Pilihanraya Umum Ke-13, harus.

“Apa yang perlu kita ingat berhubung pilihanraya ini adalah soal ‘bersih’ serta ketaqwaan kepada Allah sehingga tidak ada lagi pengundi yang mengundi lebih dari sekali,”ujarnya.

Katanya, apalah ertinya kemenangan dari cara yang tidak halal, sedangkan di akhirat nanti mereka yang terlibat akan dihalang masuk syurga.

Beliau bagaimanapun melahirkan ucapan terima kasih pada pihak tertentu di atas usaha tersebut.

Rakyat Terengganu kecewa stadium tak dibaiki

Aziz Muda ,

KUALA LUMPUR, 12 Jan: Kekecewaan rakyat Terengganu terhadap kelemahan Kerajaan BN negeri itu sudah tidak dapat disembunyikan lagi, apabila Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin yang runtuh sejak bulan Jun 2009 lalu masih juga belum dibaiki sehingga kini.

(Gambar: Bangunan Stadium Sultan Mizan yang runtuh...belum dibaik pulih, pihak yang bertanggungjawab lepas bebas)

Kelemahan keterlaluan Kerajaan BN Terengganu itu sebaliknya menjadi tanda tanya lain apabila pihak kerajaan negeri kelihatan lebih berminat menghidupkan stadium lama, Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, yang terletak di tengah bandar Kuala Terengganu daripada mengambil tindakan membaiki stadium tersebut.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dr Alias Razak berkata, pada hal Kerajaan Terengganu sebenarnya tidak mempunyai sebarang alasan untuk melengah-lengahkan usaha membaiki stadium itu.

Menurutnya, jika hendak dikatakan kerana tidak mempunyai wang tentunya tidak munasabah kerana Kerajaan Terengganu sememangnya diketahui umum mempunyai banyak wang.

Katanya, berdasarkan belanjawan yang dibentangkan, Kerajaan BN Terengganu mempunyai wang melebihi RM2 bilion setiap tahun, malah jumlah tersebut belum lagi dimasuk kira peruntukan tambahan pada setiap bulan Ogos.

"Jadi dengan itu, atas alasan apakah Kerajaan Terengganu yang berada di bawah kepimpinan Datuk Seri Ahmad Said masih juga belum membaiki stadium itu hingga sekarang?

"Sedangkan masuk tahun ini dah tiga tahun stadium itu runtuh. Jadi nak tunggu hingga bila lagi baru nak baiki?" katanya ketika dihubungi Harakahdaily, di sini, hari ini.

Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin yang terletak di Gong Badak, Kuala Terengganu siap dibina sekitar Mei 2008 dengan kos sebanyak RM228 juta dan dirasmikan oleh Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin sendiri.

Setelah dibina, stadium tersebut pernah digunakan untuk satu program besar, Sukma yang kebetulan tiba giliran Terengganu menjadi tuan rumah bagi kejohanan tersebut sebaik pembinaannya siap sepenuhnya.

Bagaimanapun, stadium itu hanya sempat digunakan dalam tempoh setahun sahaja kerana runtuh pada bulan Jun 2009, sehingga hampir keseluruhan bumbungnya tersungkur ke tanah.

"Sejak stadium itu runtuh, saya sendiri telah beberapa kali bertanya mengenai perkara itu pada persidangan DUN Terengganu. Jawapan yang diberi, pihak kerajaan sehingga sekarang masih lagi menunggu laporan daripada perunding di Kuala Lumpur," kata Dr Alias (gambar) yang juga Adun Bukit Tunggal, Kuala Terengganu.

Sehingga kini, tambahnya, tindakan yang dilakukan oleh pihak kerajaan hanyalah membersihkan stadium tersebut dengan membawa keluar atap-atap yang runtuh yang diserahkan kepada sebuah kontraktor tempatan.

"Jika hanya itu usaha yang dilakukan, apalah maknanya? Sedangkan atap-atap yang dibawa keluar itu diberikan kepada kontraktor terbabit yang juga kroni pemimpin Umno Terengganu," ujarnya.

Beliau berharap agar pentadbiran Ahmad Said mengambil daya usaha yang lebih jauh untuk mengatasi masalah itu agar stadium yang dibina dengan kos yang tinggi dan mampu menampung penonton yang lebih ramai itu tidak menjadi sia-sia.

Sekiranya usaha untuk membaiki stadium itu tidak dilakukan, tetapi stadium lama juga yang hendak digunakan, katanya, ia tentunya satu tindakan kurang cerdik daripada Kerajaan Terengganu.

"Pada hal, stadium lama itu sepatutnya tidak lagi digunakan untuk kegiatan sukan atau bagi pertandingan bola sepak setelah adanya stadium baru yang lebih baik.

"Sebaliknya tapak stadium lama itu sepatutnya digunakan bagi pembangunan negeri, khususnya untuk projek-projek perekonomian demi mempertingkatkan ekonomi rakyat," tegas beliau.

Exco Selangor antara mangsa letupan 901

Harakahdaily,

SHAH ALAM, 12 Jan: Exco kerajaan negeri Selangor, Elizabeth Wong berkata, beliau adalah antara mangsa kejadian letupan di perkarangan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur baru-baru ini.

(Gambar: Polis memeriksa kawasan letupan di perkarangan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur 9 Januari lepas)

Sehubungan itu, beliau meminta polis memberi keutamaan kepada kes ini kerana pihak bertanggungjawab memasang bom boleh dianggap sebagai pengganas yang bertujuan untuk mencetuskan keadaan huru-hara.

"Letupan yang pertama berlaku bersebelahan dengan kenderaan saya, mengakibatkan kereta tersebut mengalami kerosakan manakala kereta milik Zakaria Abdul Hamid, pengarah PKOM Selangor, yang diletak di belakang, juga mengalami kerosakan," kata Elizabeth dalam kenyataannya kepada Harakahdaily.

Beliau juga mengecam sepenuh-penuhnya laporan palsu oleh pihak media tidak bertanggungjawab yang menuduh peserta perhimpunan Bebas Anwar 901 melepaskan bom-bom tersebut.

"Tuduhan tersebut tidak masuk akal, memandangkan kawasan sekeliling mahkamah berada di bawah kawalan ketat oleh kehadiran polis yang ramai. Saya menyeru pihak polis memberi keutamaan kepada siasatan kes ini. Pihak yang bertanggungjawab melepaskan letupan-letupan bom tersebut mesti dibawa ke muka keadilan dengan segera," katanya.

Bagi beliau, pelepasan bom-bom ini boleh dianggap sebagai tindakan pengganas yang bertujuan untuk mencetuskan keadaan huru-hara.

Kaedah pengganas ini tidak boleh dibenarkan berulang, katanya yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna, Alam Sekitar Negeri Selangor

(Elizabeth [kiri] dan Dr Xevier)

Dalam pada itu, seorang lagi Exco kerajaan negeri Selangor, Dr. Xavier Jayakumar juga mendesak polis menyiasat sumber yang diperolehi oleh akhbar Utusan Malaysia melalui berita bertajuk “Peserta Bawa Bom” yang disiarkan di muka depan akhbar tersebut semalam.

"Kita menganggap laporan tersebut mendahului hasil siasatan polis sedangkan pihak polis masih menjalankan siasatan. Adalah sangat wajar pihak polis ‘mengheret’ wartawan atau editor akhbar berkenaan untuk siasatan lanjut.

"Kita menganggap isu letupan yang berlaku Isnin lepas semasa ‘Himpunan 901’ sebagai amat serius dan memerlukan siasatan terperinci dan segera dari pihak polis," katanya.

Bagi beliau, kejadian tiga letupan ini sangat mengejutkan memandangkan himpunan tersebut adalah dibawah pengawasan ketat pihak polis sehinggakan sebuah helikopter polis dilihat berlegar-legar mengawasi pergerakan perhimpunan tersebut.

Beliau juga menganggap beratus-ratus anggota polis berseragam atau berpakaian preman berada di situ dan percaya ramai anggota polis berpakaian preman berada di kalangan orang ramai di kawasan tersebut.

Namun, katanya, yang lebih meragukan ialah letupan berlaku bukan SATU tetapi TIGA berselang beberapa minit antara satu sama lain.

"Tanpa membuat sebarang spekulasi kita beranggapan bahawa kejadian letupan ini telah di ‘orkestra’ kan dan telah dirancang terlebih awal (well- planned) oleh pihak-pihak tertentu. Dalam kata lain ianya bukan boleh dibuat oleh orang-orang biasa," tegasnya.

Bagi beliau, kejadian letupan ini harus pandang dengan amat serius kerana pada hari tersebut hampir seluruh media antarabangsa dan tempatan bertumpu untuk membuat liputan kes mahkamah tersebut.

Ini kerana, letupan tersebut memberi gambaran negatif terhadap tahap keselamatan orangramai dan hartabenda dan sekaligus ‘merobek’ kredibiliti dan ‘ketidak upayaan’ pihak polis dalam aspek mengawasi keselamatan orang ramai dan kawasan persekitaran (surveillance) dalam sesuatu perhimpunan atau keramaian di tempat awam.

Ini juga sedikit sebanyak menghakis tanggapan pelabur-pelabur asing terhadap ‘keupayaan’ pihak Polis menjaga serta menjamin keselamatan aset pelaburan mereka di negara ini, katanya.

"Harus dingat selain kes kematian Altantuya yang mati dengan penggunaan bahan peledak C4, kita jarang sekali mendengar penggunaan sebarang bom atau bahan letupan terhadap orang perseorangan atau orang ramai di negara kita sejak Merdeka.

"Kita juga mempertikaikan sikap membisu Datuk Hishamuddin Tun Hussein, Menteri Dalam Negeri dan Ketua Polis Negara dalam isu ini kerana orangramai mula meragui ‘kecekapan’ pihak polis dalam ‘menjamin’ keselamatan Negara," kata Xavier.

Tiada ulasan: