Selasa, 17 Januari 2012

DIAM ITU ELOK UNTUK ORANG HORMATI...JANGAN KITA GILA TALAK DAN AIBKAN ORANG...BIDANG KITA PERANCANG BANDAR BUKAN POLITIK ISLAM..BELAJAR LAGI

Kartun Rosmah dalam pameran solo Zunar di London

Harakahdaily, 17 Jan 2012

KUALA LUMPUR, 17 Jan: Kartunis Zunar atau nama sebenarnya, Zulkifli Anuar ul Haq maju setapak lagi ke depan apabila beliau akan membuat pameran kartun solo selama sebulan di London sepanjang Februari ini.

Beliau akan mengadakan pameran kartun-kartun politik di London pada bulan Februari depan bertemakan To Fight Through Cartoon (Berjuang Melalui Kartun) dan akan berlangsung selama sebulan di situ.

Sebanyak 80 karya-karya kartun yang menyentuh isu politik, rasuah, penyalahgunaan kuasa serta pelanggaran hak asasi di Malaysia akan dipamerkan.

Antara isu yang difokus ialah konspirasi terhadap Anwar Ibrahim, rasuah dalam skandal Scorpene, isu pembunuhan Altantuya, isu NFC, isu isteri Perdana Menteri, Bersih, Sarawak dan sebagainya, kata Zunar dalam satu kenyataannya.

Ia dianjurkan oleh sebuah NGO antarabangsa, Artikel 19 yang memperjuangkan kebebasan bersuara serta informasi dan dibantu oleh rakyat Malaysia di United Kingdom yang bergabung di bawah Rakan Pakatan Rakyat.

Majlis pelancaran akan diadakan di venue pameran tersebut iaitu di Free Word Centre, 60 Farringdon Road pada 15 Februari dan akan dirasmikan oleh pengasas Sarawak Report dan Radio Free Sarawak Clare Rewcastle Brown.

“Selain saya sendiri, turut berucap di majlis tersebut nanti ialah Presiden Persatuan Kebangsaan Hak Asasi Manusia (HAKAM), Malik Imtiaz Sarwar,” kata Zunar.

Menurut surat jemputan oleh pihak penganjur, tiket untuk majlis tersebut adalah terhad dan ia berdasarkan siapa dulu dia dapat dan boleh ditempah dari sekarang hingga 3 Februari.

Kepada orang ramai, terutama yang tinggal di United Kingdom boleh menempah tiket melalui link ini http://article19zunar.eventbrite.com/ atau email kepada sonya@article19.org.

"Tema "Berjuang Melalui Kartun"dipilih kerana kartun-kartun politik saya mendapat kekangan dan tekanan dari pemerintah Malaysia," ujarnya lagi.

Pada Julai 2010, kerajaan mengharamkan tujuh buku kartun Zunar dengan alasan kandungannya menjejas ketenteraman awam.

Selain itu, pejabatnya di Brickfeilds, Kuala Lumpur sering diserbu pihak berkuasa dan buku-buku beliau selalu dirampas.

“Kilang pencetak diugut agar tidak mencetak buku saya atau kehilangan lesen dan kedai-kedai di seluruh negara juga diberi amaran agar tidak menjual buku-buku saya.

“Pada September 2010, saya ditangkap dan dimasukkan ke dalam lokap di bawah Akta Hasutan namun dibebaskan atas arahan mahkamah,” kata Zunar menceritakan perjuangannya.

Zunar sekarang sedang menyaman kerajaan atas tangkapan tersebut yang pada pandangannya salah dari segi undang-undang dan kes akan mula didengar pada 18 Januari depan di Mahkamah Kuala Lumpur.

Fight Through Cartoon (Berjuang Melalui Kartun) adalah pameran solo Zunar pertama sepanjang 30 tahun berkarya.

Sebelum ini, pada akhir tahun lepas, Zunar juga mengadakan dua pameran bersama artis-artis yang lain di Bilbao, Sepanyol.

Pada Julai tahun lepas, Rangkaian Hak Asasi Kartunis Antarabangsa (CRNI) memberi anugerah Courage in Editorial Cartooning (Keberanian Dalam Melukis Kartun Editorial) kepada Zunar.

Pada Oktober tahun lepas, Zunar dipilih menyertai program tiga bulan "Seni dan Penapisan" anjuran Yayasan BilbaoArte Sepanyol.

Tindakan disiplin satu tarbiah

Idris Ahmad, 13 Jan 2012

Apabila kita mengisi borang sebagai ahli Parti Islam Se-Malaysia (PAS) kita telah berjanji untuk mematuhi perintah dan arahan parti selagi ia tidak bertentangan dengan Islam. Janji ini merupakan lumrah kepada mana-mana organisasi. Begitu juga apabila kita bekerja di sektor swasta atau awam tetap mempunyai disiplin dan peraturan yang perlu dipatuhi jika mahu berkerja di tempat ini. Perkara yang sama kita sebagai seorang muslim sudah pun digariskan oleh Nabi SAW sebagai panduan disiplin dengan agama kita yang tidak boleh dirungkai daripada diri kita. Tidak ada makhluk yang bernama manusia hidup tanpa peraturan dan disiplin. Sekiranya manusia hidup tanpa disiplin, maka dunia akan haru hara. Lebih-lebih lagi sebagai sebuah parti yang hendak mendaulatkan Islam dan mempunyai cabaran yang begitu besar perlu mempunyai disiplin yang ketat supaya tidak ada gangguan untuk mencapai matlamatnya.

Banyak kisah-kisah yang dipaparkan di dalam sirah Nabi SAW yang boleh menjadi teladan kepada kita. Oleh itu tindakan disiplin adalah sebahagian daripada tarbiah di dalam jamaah.

Contoh yang berlaku tindakan disiplin kepada tiga orang sahabat Nabi SAW yang tidak menyertai perang Tabuk. Mereka ialah Kaab bin Malik, Murarah bin Rabi’ah Al-Amiri dan Hilal bin Umayah Al-Waqifi. Mereka ini adalah antara lapan puluh orang yang tidak pergi berperang di Tabuk. Rasulullah tidak menerima keuzuran mereka bertiga, manakala yang lain baginda menerima dari alasan mereka.

Menurut Kaab bin Malik beliau tidak pernah ponteng di dalam setiap kali berperang, tetapi di dalam perang Tabuk beliau merasa malas hendak menyertai, walaupun beliau mempunyai kelengkapan yang cukup melebihi daripada keterlibatan beliau berperang di medan yang lain. Oleh kerana godaan nafsu dunia maka beliau tidak berangkat bersama dengan nabi SAW. Beliau menyangka baginda tidak tahu, sangkaan beliau meleset kerana baginda terus bertanya beliau ketika di Tabuk.

Apabila baginda pulang daripada Tabuk, maka Kaab pergi berjumpa dengan Rasulullah SAW di masjid untuk meminta maaf, maka baginda suruh beliau balik sehingga mendapat pengampunan daripada Allah SWT. Baginda mengarahkan jangan berurusan dengan mereka bertiga, ertinya mereka dipulau oleh orang Islam di Madinah. Baginda sendiri tidak melayan dan menegur Kaab. Dua orang sahabat yang lain hanya tinggal di dalam rumah dan menangis serta memohon keampunan daripada Allah SWT.

Pada suatu hari ada utusan Raja Ghassan daripada Syam datang membawa surat daripada untuk memujuk Kaab bin Malik ke Syam kerana sahabat dan saudara mereka tidak perlukan beliau lagi. Maka Kaab mengambil surat itu lalu dibakar kerana ini adalah ajakan syaitan dan iblis supaya beliau meninggalkan Islam.

Masuk hari yang ke empat puluh maka datang satu utusan menyuruh mereka menjauhkan isteri mereka. Maka Kaab menyuruh isterinya pulang ke pangkuan keluarga sehinggalah datang pengampunan daripada Allah SWT. Oleh kerana Hilal bin Umaiyah sangat tua dan lemah maka isterinya datang bertemu Rasulullah SAW lalu ia bertanya, “Ya Rasulullah, sebenarnya Hilal bin Umaiyah seorang yang sangat tua, lagi pula ia tidak memiliki seorang pembantu. Adakah boleh aku melayaninya di rumah?”

Rasulullah SAW menjawab, “Tidak! Akan tetapi ia tidak boleh mendekatimu!”

Isteri Hilal menjelaskan, “Ya Rasulullah! Ia sudah tidak bersemangat pada yang itu lagi. Demi Allah, yang dilakukannya hanya menangisi dosanya sejak saat itu hingga kini!”. Maka Rasulullah tetap tidak benarkan.

Selama lima puluh hari lima puluh malam pemulauan berlaku terhadap mereka bertiga, selepas waktu subuh datang utusan daripada baginda SAW memberi tahu bahawa Allah SWT telah mengampunkan mereka bertiga.

Mendengar berita itu Kaab terus sujud syukur kepada Allah.

Ketika aku mengucapkan salam kepada Rasulullah, mukanya nampak cerah dan gembira, katanya “Bergembiralah kau pada hari ini! Inilah hari yang paling baik bagimu sejak kamu dilahirkan oleh ibumu!”

“Apakah dari Allah ataukah dari engkau ya Rasulullah?” tanyaku sabar.

“Bukan dariku! Pengampunan itu datangnya dari Allah!” jawab Rasul SAW.

Demi Allah, aku belum pernah merasakan besarnya nikmat Allah kepadaku sesudah Dia memberi hidayah Islam kepadaku, lebih besar bagi jiwaku daripada sikap jujurku kepada Rasulullah SAW.”

Ka’ab lalu membaca ayat pengampunannya itu dengan penuh haru dan syahdu, sementara air matanya berderai membasahi kedua pipinya.

“Dan terhadap tiga orang yang ditangguhkan (penerimaan taubat) mereka, hingga apabila bumi telah menjadi sempit bagi mereka, padahal bumi itu luas, dan jiwa mereka pun telah sempit (pula terasa) oleh mereka, serta telah mengetahui bahwa tidak ada tempat lari dari (siksa) Allah melainkan kepadaNya saja. Kemudian, Allah menerima taubat mereka agar mereka tetap dalam taubatnya. Sesungguhnya Allah-lah Yang Maha menerima taubat lagi Maha Penyayang.” (At-Taubah: 118)

Banyak lagi kisah tindakan disiplin yang dikenakan kepada para sahabat antaranya ialah kepada Hatib Abi Balta’ah yang membocor rahsia mengenai persiapan baginda untuk menyerang Makkah kepada kaum keluarganya di Makkah. Beliau selamat daripada hukuman kerana Hatib ialah ahli Badar. Begitu juga dengan Abu Lubabah ibn Munzir yang diamanahkan oleh Rasulullah SAW untuk berunding dengan Bani Quraizah yang sudah dikepung selama dua puluh lima hari. Apabila Abu Lubabah sampai mereka meminta pandangan apakah kamu berpedapat lebih baik kami mengikut hukum Muhammad? Abu Lubabah mengatakan: Ya . kemudian dia mengisyaratkan tangan dan tengkuknya, yakni menunjukkan mereka akan disembelih. Apabila beliau menyedari beliau telah mengkhianat amanah Rasulullah maka beliau mengikat badan beliu di masijid selama enam hari sehinggalah datang pengampunan daripada Allah SWT, bermaksud:

“Dan (ada pula) orang-orang lain yang mengakui dosa-dosa mereka yang bercampur baur pekerjaan yang baik dengan pekerjaan lain yang buruk. Mudah-mudahan Allah menerima taubat mereka. Sesungguhnya Allah maha pengampun lagi Maha Penyayang” (al-Taubah 9:102)

Pernah berlaku kepada seorang aktivis PAS di Pasir Salak Perak yang telah diambil tindakan oleh jawatankuasa disiplin parti kerana masalah dalaman parti, namun beliau tidak pernah jemu-jemu membantu PAS dan menghadiri program PAS walaupun beliau bukan ahli PAS. Paling menarik rumah beliau telah diadakan ceramah oleh Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Disiplin yang memecat beliau pada ketika itu. Selepas beberapa beliau ditemui meninggal dengan penuh misteri di dalam parit di tanah rancangan Felcra Seberang Perak.

Rumusannya:

1. Tindakan disiplin adalah merupakan sebahagian daripada tarbiah.

2. Mereka yang berjiwa besar akan menganggap ini adalah satu penghormatan dan peluang untuk mereka muhasabah diri

3. Mereka yang dikenakan tindakn disiplin diuji dengan secara praktikal, bukan sahaja teori. Kerana tarbiah ialah amali bukan teori semata-mata.

4. Salah satu cara Allah hendak mengangkat darjat seorang itu di dalam berjamaah.

5. Menguji keikhlasan seorang itu samaada mereka berjuang kerana Allah, bukan kerana jawatan.

6. Tidak rugi apabila kita merendah diri dan rela menerima tindakan dengan hati yang lapang.

7. Allah akan menguji kepada kita sama ada kita akan mengkhianat jamaah atau tidak apabila kita diambil tindakan. Jika Kaab bin Malik dipujuk oleh Raja Ghassan yang kafir, maka kita juga akan dipujuk oleh musuh-musuh PAS yang sentiasa mencari peluang.

8. Contohilah seorang ahli biasa PAS di Pasir Salak walaupun diambil tindakan mereka terus memberikan khidmat kepada PAS.

9. Allah hendak melihat kita bercakap serupa dengan apa yang kita sering ungkap kisah Khalid ibn Walid yang dipecat di zaman Saidina Umar. Beliau terus berjuang walaupun menjadi pengikut biasa.

Mahu dedah ‘parasit’

Oleh Riadz Radzi
riadz@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: “Saya akan dedahkan siapa mereka dalam ‘roadshow’ saya nanti,” kata bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Hasan Ali mengenai ‘parasit’ yang didakwanya mempunyai pengaruh amat kuat dalam Pas hingga pucuk pimpinan parti itu terpaksa tunduk kepada mereka.

Hasan yang dipecat dari Pas baru-baru ini akan mengadakan ‘roadshow’ ke seluruh negara dalam tempoh terdekat bagi mendedahkan nama ketua dan pengikut golongan ‘parasit’ itu serta menjelaskan kedudukan sebenar berhubung isu pemecatannya.


Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gombak Setia itu turut digugurkan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Hal-Ehwal Agama Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor berkuat kuasa semalam.

Hasan sebelum ini mendakwa terdapat sekumpulan parasit di dalam Pas yang lebih rela menghargai dan meraikan perjuangan orang lain, serta tidak suka isu arak dan murtad diperjuangkan di Selangor sebelum Pesuruhjaya Pas Selangor, Dr Abd Rani Osman mencabar beliau mendedahkan senarai nama kumpulan ‘parasit’ itu, kelmarin.


Hasan berkata, kumpulan ‘parasit’ dalam Pas itu sudah bergerak cergas dan menyusup dalam parti sejak 20 hingga 30 tahun lalu dan kini semakin kuat dan ramai di antara mereka sudah memegang pelbagai penting dan strategik dalam parti.


Katanya, golongan ‘parasit’ dengan jumlah lebih besar dan menggunakan strategi licik berjaya mengubah hala tuju Pas termasuk dalam kes memecatnya.

“Saya tahu rangkaian mereka di peringkat daerah, negeri hinggalah antarabangsa. Saya akan dedahkan semuanya dalam ‘roadshow’ nanti,” katanya kepada pemberita pada sidang media di rumahnya, di sini, semalam.


Hasan turut mempertikaikan tarikh penggugurannya sebagai Exco kerajaan Selangor yang berkuat kuasa semalam kerana ia bercanggah dengan kuat kuasa keahliannya sebagai ahli Pas yang sepatutnya tamat pada hari akhir tempoh rayuan. “Tindakan tergesa-gesa itu seolah-olah menampakkan ada pihak tidak sabar-sabar mengeluar dan menggantikan tempat saya, sedangkan dari segi pengguguran anggota exco, saya sepatutnya masih ada tiga minggu lagi tempoh bertenang untuk membuat keputusan,” katanya. Hasan dipecat dari Pas kerana didakwa bertindak bertentangan dengan kepentingan parti dan sudah diberikan sehingga 7 Februari ini untuk membuat rayuan. Ditanya kemungkinan ada punca lain menyebabkan beliau dipecat, katanya, beliau tidak pasti kerana tidak pernah menerima sebarang surat pertuduhan secara bertulis daripada parti. “Saya tidak tahu kesalahan saya dan saya hanya dikatakan sudah merugikan parti,” katanya. Sementara itu, Hasan turut menyatakan pendiriannya tidak akan menyertai Umno kerana masih sayangkan Pas.

“Hati saya masih bersama Pas. Apabila semua ‘parasit’ di dalam Pas nanti sudah tidak ada dan Pas kembali ke perjuangan asalnya, saya akan memohon kembali menyertai Pas,” katanya.

Pemuda Pas Selangor gesa Hasan Ali 'muhasabah diri'
Wartawan Sinar Harian
January 17, 2012

SHAH ALAM - Pemuda Pas Selangor menasihatkan Datuk Dr Hasan Ali supaya ‘muhasabah diri’ terlebih dahulu berhubung keputusan parti memecat keahliannya dan bukannya meletakkan kesilapan diri terhadap orang lain dengan mewujudkan fitnah ‘parasit'.

Timbalan Ketua Pemudanya, Mohd Sany Hamzan berkata, sekiranya wujud parasit dalam PAS seperti yang disebut, maka sewajarnya bekas Pesuruhjaya Pas Selangor itu wajar membuat laporan kepada Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk diambil tindakan susulan dan bukannya ‘menjaja’ di dada-dada akhbar semata-mata untuk mengharapkan simpati masyarakat.

"Sebagai orang yang pernah memegang jawatan tinggi dalam Pas dan berpengalaman sebagai seorang ahli motivasi, Datuk Hasan sepatutnya berjiwa besar untuk menerima teguran dan keputusan parti serta mengikut prosedur parti untuk merayu keputusan pemecatan beliau.

"Tetapi beliau telah menunjukkan ‘belang’ sebagai seorang yang egois, degil, sombong dan tidak boleh dikawal oleh peraturan parti," katanya dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu kata beliau, Dewan Pemuda PAS Selangor melihat tindakan Hasan ingin menjelajah seluruh negara untuk 'membela’ diri dan mendedahkan parasit yang menyebabkan beliau dipecat hanya akan mendapat cemuhan dan cercaan masyarakat serta menghilangkan hormat rakyat ke atas beliau kerana rakyat telah mengikuti kronologi pemecatan beliau dan telah ‘mengenali’ siapa Hasan beliau yang sebenarnya.

"Dewan Pemuda PAS Selangor tidak akan berdiam diri, malah bersedia untuk menjelajah seluruh negeri Selangor untuk menjawab tohmahan dan fitnah Datuk Hasan terhadap Pas sekiranya beliau masih lagi memperlekehkan dan menghentam PAS secara terbuka," katanya lagi.

Mohd Sany menambah, Dewan Pemuda Pas Selangor mengharapkan semoga Hasan akan menyedari kesalahan dan kesilapan yang telah beliau lakukan terhadap Pas dan memohon maaf kepada seluruh pimpinan dan ahli parti itu "atas segala ketelanjuran dan keceluparan beliau sebelum ini."

"Janganlah disebabkan oleh kehilangan jawatan dan kuasa menyebabkan maruah diri sanggup digadaikan dan diperkudakan oleh Umno/Barisan Nasional," katanya yang juga Pengerusi Lajnah Politik dan Pilihan Raya Pemuda Pas Selangor.

Hasan Ali bidas, mahu rakyat tolak Anwar
ZULAIKHA ZULKIFLI
January 16, 2012
Anwar Ibrahim

PETALING JAYA - Datuk Dr Hasan Mohamed Ali membidas kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengatakan keperluan untuk menyemak semula undang-undang lapuk Malaysia berkaitan golongan gay sambil menegaskan, ia "tidak wajar dan rakyat perlu menolak perjuangan" Ketua Pembangkang itu.

Menurut Hasan, perkara seperti ini menjadi salah satu punca beliau tidak boleh bersama Anwar dalam Pakatan Rakyat (PR).

Pas memecat Hasan awal minggu lalu.

"Inilah salah satu (sebab) saya tak boleh bersekongkol dengan Anwar. Sebab inilah, rakyat perlu menolak perjuangan Anwar Ibrahim," katanya pada sidang media di kediamannya hari ini, yang kedua selepas dipecat dari Pas.

Dalam temu bual dengan BBC baru-baru ini, Anwar berkata, terdapat keperluan untuk menyemak semula undang-undang lapuk Malaysia supaya tidak dilihat sebagai menyusahkan dan dianggap sebagai relevan.

Menjawab soalan berkaitan hak-hak golongan gay dan sama ada beliau bersedia untuk menerima "idea antidiskriminasi yang melibatkan hak-hak golongan gay", Anwar berkata, "kami perlu menyemak semula sebahagian daripada undang-undang lapuk kami."

"Kami masyarakat Islam dan bukan Islam di Malaysia secara keseluruhannya percaya dan komited untuk menyokong kesucian perkahwinan antara lelaki dan wanita tetapi kami tidak harus dilihat sebagai menyusahkan dan menganggap undang-undang lapuk sebagai relevan," katanya.

Justeru Hasan menambah, masyarakat di negara ini akan bergolak, berpecah dan huru-hara akan berlaku jika hak-hak golongan lesbian, gay, biseksual dan homoseksual dihalalkan.

Hasan turut berkata, kenyataan Anwar dalam wawancara bersama media antarabangsa BBC merupakan pandangan peribadi ketua umum PKR itu.

"Pandangan Anwar Ibrahim bukan hanya di BBC. Tetapi kalau dilihat balik, itulah pandangan peribadi dan asasi yang dipegangnya. Atas alasan itulah kenapa saya tidak sepatutnya bersama beliau. Pendirian saya tak wajar untuk bersama Anwar," katanya.

Sementara itu mengulas kenyataan Anwar dalam Konvensyen Pakatan Rakyat Sabtu lalu mengenai Pakatan perlu dibersihkan daripada individu yang gila kuasa dan gila duit, Hasan berkata, masyarakat perlu berfikir siapa sebenarnya yang gila kuasa.

Katanya, beliau mempunyai keselesaan, kuasa dan jawatan ketika menjadi Exco negeri Selangor tetapi sanggup dikorbankan jawatan itu kerana satu idealisme.

"Saya nak tuan-tuan fikir ya, ada seorang ini yang kumpul orang-orang di Sabah dan Sarawak dan kata mahu tawan Putrajaya pada 16 September. Jadi sekarang, siapa yang gila kuasa? Saya ke, dia? Bayangkan, atas nama gila kuasa, dia berkata 'dalam penjara pun saya akan menjadi perdana menteri'. Hasan tak pernah sebut. Jadi saudara semua timbangkanlah... saya tahu saudara semua bijak," katanya.

Hasan berkata, beliau yang sebelum ini mempunyai pendapatan lumayan ketika menjadi pengurus dan pakar motivasi tidak pernah menceritakan kepada sesiapa jumlah kerugian yang dialaminya selepas menyertai Pas.

"Mengenai gila duit... Masya-Allah... saya dulu pengurus dan pelatih perundingan. Tanya isteri saya berapa pendapatan saya sebulan. Tetapi saya masuk Pas kerana perjuangan.

"Jangan tanya berapa kerugian saya bila hampir 15 tahun masuk dalam Pas. Saya tak pernah beritahu sesiapa.

"Ketika saya memegang Exco infrastruktur dan kemudahan awam, projek-projek JKR (Jabatan Kerja Raya) saya tak ambil satu sen pun. Rekod saya bersih. Saya tak biasa duduk dengan penyogok, disogok ni. Saya tak biasa. Psikologinya, kadang-kadang kita buat benda itu, jadi kita nak nafikan, kita tuduh orang lain buat," katanya sinis.

Hasan Ali: Saya dedah 'parasit' Pas waktu terdekat
ZULAIKHA ZULKIFLI
January 16, 2012
Hasan Ali

PETALING JAYA - Bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali berkata, beliau akan mendedahkan ketua dan pengikut 'parasit' yang wujud dalam parti Islam itu dalam satu siri jelajah ke seluruh negeri, yang akan diadakan dalam waktu terdekat.

"Siapa ketua dan pengikut parasit itu, saya tidak akan sebut hari ini, tetapi saya akan nyatakan dalam satu siri ceramah jelajah ke seluruh negeri yang akan diumumkan dalam masa terdekat," kata beliau menjawab Pesuruhjaya negeri itu, Dr Abd Rani Osman yang semalam mencabar agar beliau mendedahkan senarai nama sekumpulan parasit yang didakwa wujud dalam Pas.

Selain itu, Hasan turut menegaskan, kumpulan parasit yang menggunakan strategi licik ini juga telah masuk ke dalam Pas dan menjadi salah satu punca beliau dipecat awal minggu lalu.

"Saya yakin dan juga telah berunding dari luar dengan mereka yang ada di dalam (parti) untuk memastikan agar parasit ini akan dilepaskan dari Pas.

"Saya akan lakukan dengan penuh kebijaksanaan dan intelektual untuk bersama menggerakkan Pas agar parti itu berada seperti zaman (Allahyarham) bekas Presiden Datuk Fadzil Mohd Noor," kata Hasan pada sidang media di kediamannya hari ini.

Dalam laporan Sinar Harian hari ini, Dr Rani meminta pendedahan senarai nama dikemukakan agar boleh membantu Pas untuk mengambil tindakan sewajarnya.

“Kalau dia ada bukti mengatakan dalam Pas ini ada parasit, maka perkara itu perlu didedahkan kerana dalam Islam sendiri setiap tuduhan itu perlu ada buktinya.

“Kita pun nak tahu juga siapa parasit yang ada dalam Pas ini supaya kita sendiri boleh mengambil tindakan terhadap mereka,” katanya.

Dalam pada itu, bekas Exco Hal Ehwal Agama Islam, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam itu berkata, parasit yang wujud dalam Pas itu juga terdiri daripada kumpulan-kumpulan yang mempunyai matlamat dan visi mereka tersendiri.

Jelasnya, sebahagian daripada mereka telah bergerak cergas ketika masih belajar di luar negara dan kini menyusup masuk ke dalam Pas.

"Mereka kini telah memegang jawatan-jawatan penting dalam Pas dan memang mereka meminta jawatan strategik ini dalam parti," katanya.

Sementara itu, Hasan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gombak Setia turut menegaskan bahawa pemecatannya dibuat bukan atas dasar kesilapannya yang telah diharmonikan dan dianggap selesai sebelum ini tetapi, katanya, beliau dipecat kerana menegur komponen parti yang ada di dalan Pakatan Rakyat, iaitu PKR.

Beliau turut melahirkan rasa hairan bagaimana Pas selaku parti yang memperjuangkan Islam boleh mengikut telunjuk parti itu.

Kata Hasan, "adakah Pas telah hilang jati dirinya?"

"Dalam apa juga keadaan sekalipun, saya akan berjuang sama ada di dalam atau di luar Pas. Saya hidup kerana Islam dan saya redha mati kerana Islam," tegasnya.

http://www.sinarharian.com.my/hasan-ali-dedah-parasit-pas-waktu-terdekat-1.18497

Semua kena tutup mulut, ikut nasihat Nik Aziz
RISWANDI RAZAK
January 16, 2012
Hasan Ali: Semua kena ikut nasihat Nik Aziz

PETALING JAYA - Bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali hormati nasihat Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang memintanya supaya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berkenaan isu pemecatannya.

Namun, Hasan juga menegaskan, nasihat tersebut perlu diikuti oleh semua pihak termasuk pimpinan tertinggi Pas.

Beliau dipecat sebagai ahli Pas Ahad lalu.

Hasan berkata, walaupun keahliannya dipecat serta-merta, namun beliau masih lagi menganggap Menteri Besar Kelantan itu sebagai guru beliau.

Menurutnya, segala nasihat yang diberikan oleh Nik Aziz akan menjadi panduan utama dalam perjuangan beliau pada masa hadapan.

"Saya hormati Nik Aziz sebagai tok guru, beliau suruh tutup mulut, semua orang perlu tutup mulut, termasuk orang yang bercakap itu sendiri," katanya pada sidang media di kediamannya, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai gesaan Nik Aziz agar beliau tidak mengeluarkan sebarang kenyataan mengkritik dasar parti.

Kelmarin, Nik Aziz menegaskan tindakan Hasan terus membuka mulut dan bercakap secara terbuka, menunjukkan seolah-oleh beliau tidak cerdik dalam membuat keputusan.

Saya hormati nasihat Nik Aziz
Wartawan Sinar Harian
January 17, 2012

PETALING JAYA - Bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali hormati nasihat Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, supaya bersikap tutup mulut daripada mengeluarkan sebarang kenyataan.

Hasan juga menegaskan, nasihat tersebut perlu diikuti oleh semua pihak, termasuk pimpinan tertinggi Pas.

Beliau berkata, walaupun keahliannya dipecat serta-merta, namun beliau masih lagi menganggap Menteri Besar Kelantan itu, sebagai guru.

Menurutnya, segala nasihat diberikan oleh Nik Abdul Aziz akan menjadi panduan utama dalam perjuangan beliau di masa hadapan.

“Saya hormati Nik Aziz sebagai tok guru, beliau suruh tutup mulut, tetapi semua orang perlu tutup mulut juga, termasuk orang bercakap kena tutup mulut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai gesaan Nik Aziz agar beliau tidak mengeluarkan sebarang kenyataan mengkritik dasar parti.

Kelmarin, Nik Aziz menegaskan tindakan Hasan terus membuka mulut dan bercakap secara terbuka menunjukkan seolah-olah beliau tidak cerdik dalam membuat keputusan.

Seolah-olah hina pimpinan Pas
Wartawan Sinar Harian
January 17, 2012

SHAH ALAM - Kenyataan bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Hasan Ali wujudnya parasit dalam Pas, seolah memberi gambaran menghina keputusan kepimpinan Pas dalam isu pemecatannya, kata Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar.

Menurutnya, tindakannya itu memberi gambaran keputusan pemecatannya yang diputuskan dalam mesyuarat bulanan parti dalam parti didorong dan dipengaruhi oleh parasit.

“Ia juga seperti menafikan keputusan Mursyidul Am, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang,” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Hasan, mendakwa wujudnya parasit dalam Pas yang semakin menguasai hala parti termasuk dalam isu pemecatannya.

Enggan mengulas panjang, Mahfuz berkata, terpulang kepada Hasan mengenai parasit yang didakwanya berlaku dalam parti.

“Kami tidak tahu, ada atau tidak parasit. Itu terpulang padanya. Kami tiada masalah,” katanya.

Mahfuz berkata, beliau mengalu-alukan keputusan Hasan Ali yang tidak berhasrat untuk membuat rayuan berhubung pemecatannya.

“Saya hormati keputusannya itu untuk kebaikan dirinya dan meneruskan perjuangan yang kini berbeza dengan parti,” katanya.

Berhubung siri ceramahnya, Mahfuz memberi jaminan, ia berjalan lancar.

“Ahli Pas tidak akan ganggu ceramahnya. Itu saya jamin. Tidak seperti sesi ceramah Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu yang sering diganggu,” katanya.

Tiada ulasan: