Jumaat, 20 Januari 2012

BILA PERANGKAP MENGENA..MEMANG AKALNYA TAK TERPELAJAR...KHUATIR MAKAN DIRI...BUSUK TERKELUAR ABIS...BANYAK TERLIBAT...MUNGKIN NI YANG DIA MAHU

Himpunan: Kerajaan patut henti ugut rakyat

Harakahdaily, 19 Jan 2012

KUALA LUMPUR, 19 Jan: Jawatankuasa Kempen Kebebasan Berhimpun (KKB) mengutuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz yang menyatakan bahawa kerajaan akan mengambil tindakan tegas jika menganjurkan sebarang perhimpunan jalan dalam waktu terdekat yang dikaitkan dengan Bersih 3.0.

“Kami melihat kenyataan ini sebagai satu ancaman politik dan satu bentuk intimidasi terhadap semua rakyat Malaysia,” kata Sekretariat KKB, E Nalini.

Katanya, kebebasan berhimpun adalah hak asasi semua rakyat Malaysia seperti yang termaktub dalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

Tambahnya, jika kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak adalah ikhlas dalam membuat pembaharuan, perubahan perlu dibuat dalam semangat untuk melindungi dan mempromosikan nilai-nilai hak asasi manusia.

Justeru, ujarnya kenyataan Nazri menunjukkan ketidakmatangan dalam memahami proses demokrasi dan hak kepada kebebasan berhimpun.

Katanya lagi, KKB percaya kerajaan mempunyai pandangan yang sangat sempit terhadap perhimpuna jalanan.

“Bantahan melalui perhimpunan jalanan adalah satu norma di negara-negara demokrasi sebagai satu kaedah untuk orang ramai untuk menyatakan pandangan mereka,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Beliau menambah, jika kerajaan Malaysia dapat menerima revolusi di Mesir dan negara-negara lain di mana perubahan berlaku melalui demonstrasi jalanan, mengapa mereka tidak dapat menerima keadaan sedemikian dalam negara mereka sendiri.

Ini, ujarnya jelas menunjukkan hipokrasi kerajaan Malaysia dan menggunakan keselamatan negara sebagai alasan untuk menutup ruang bagi rakyat Malaysia untuk bebas berhimpun.

“Kami percaya Nazri Aziz mengeluarkan kenyataan ini untuk mengingatkan rakyat Malaysia mengenai Akta Perhimpunan Aman yang telah diluluskan baru-baru ini.

“Akta Perhimpunan Aman mengenakan larangan terhadap demonstrasi jalanan,” katanya lagi.

Walau bagaimanapun, katanya KKB percaya bahawa apa-apa perbuatan atau mana-mana undang-undang yang menyekat kebebasan berhimpun tidak lagi ditakuti oleh rakyat Malaysia.

Katanya, kerajaan harus menghentikan semua ugutan dan ancaman terhadap rakyat dengan serta merta.

KKB, jelasnya menuntut kerajaan memansuhkan atau membatalkan Akta Perhimpunan Aman dengan serta-merta dan hormati hak rakyat untuk berhimpun dan bersuara sebagaimana yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan dan deklarasi hak asasi manusia antarabangsa.

“Kami ingin mengutuk pentadbiran Najib yang mempraktikkan double standard sedangkan Malaysia adalah antara salah satu anggota dalam Majlis Hak Asasi Manusia PBB,” katanya lagi.

Tubuh JK Parlimen Komiti semak beli alat tentera

Aziz Muda, 19 Jan 2012
KUALA LUMPUR, 19 Jan: Ahli-ahli Parlimen Pakatan Rakyat hari ini mencadangkan agar ditubuhkan Jawatankuasa Parlimen Komiti bagi melaksanakan peranan semak dan imbang terhadap pembelian peralatan ketenteraan di negara ini.

Cadangan tersebut disuarakan oleh tiga ahli Parlimen Pakatan Rakyat pada pertemuan dengan Menteri Pertahanan, Datuk Zahid Hamidi di pejabatnya di Kementerian Petahanan, di sini.

Ketiga-tiga ahli Parlimen terbabit terdiri daripada Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad yang juga AJK PAS Pusat bagi pihak PAS, Ahli Parlimen Machang yang juga Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail bagi pihak PKR dan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara yang juga Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua dari DAP.

Pertemuan tersebut bermula jam 3.00 petang dan turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Dr Ismail Ahmad, Panglima Tentera Darat, Laut dan Udara.

Menurut Dr Dzulkefly Ahmad, cadangan penubuhan jawatankuasa tersebut pada dasarnya telah dipersetujui oleh Zahid, Ketua Setiausaha kementerian dan ketiga-tiga panglima terbabit sekiranya ia diluluskan oleh Parlimen.

"Ini merupakan satu perkembangan yang baik. Ini akan membolehkan rakyat mendapat manfaat lebih besar apabila pemimpin yang juga ahli-ahli Parlimen pembangkang turut berpeluang memainkan peranan penting bagi melaksanakan tugas semak dan imbang terhadap perbelanjaan kerajaan khususnya berhubung pembelian peralatan ketenteraan di negara ini," katanya.

Bercakap pada sidang media bersamanya dengan Saifuddin dan Tony di hadapan bangunan Kementerian Pertahanan selepas pertemuan itu, beliau berkata, pertemuan tersebut diadakan bagi mendapatkan penjelasan daripada Zahid mengenai beberapa isu.

"Antara isu utama yang dibincangkan adalah mengenai kos sebenar pembelian kapal patrol yang telah berubah harga sebanyak RM3 bilion selepas setahun iaitu dari RM6 bilion kepada RM9 bilion," jelasnya.

Menerusi pertemuan itu, ketiga-tiga mereka telah dijelaskan oleh Ketua Setiausaha kementerian itu bahawa perbezaan tersebut berlaku kerana perkara sebenar mengenainya tidak dijelaskan oleh Zahid pada persidangan Dewan Rakyat baru-baru ini.

Berdasarkan penjelasan Ketua Setiausaha kementerian itu didapati kos sebenar pembelian kapal tersebut sememangnya RM9 bilion, tetapi daripada jumlah itu hanya RM6 bilion sahaja yang dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10), manakala RM3 bilion lagi dimasukkan dalam RMK-11.

Pada sidang media yang sama, Saifuddin menjelaskan, penjelasan tersebut akan dikaji oleh pihak Pakatan Rakyat dan mereka akan memberikan respon mengenainya kemudian nanti.

"Buat masa ini, kami memang menerima dulu segala penjelasan yang diberi, tetapi kami akan kaji pula selepas ini sama ada penjelasan itu boleh diterima oleh pihak Pakatan Rakyat atau tidak," katanya.

Manakala Tony pula berkata, langkah Kementerian Pertahanan yang bersetuju mengadakan pertemuan dengan pihak pembangkang pada hari ini pasti akan memberikan kesan yang cukup baik bagi kepentingan negara.

Beliau berharap agar langkah seperti itu akan turut diadakan oleh kementerian-kementerian lain termasuk Kementerian Pertanian, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan juga Jabatan Perdana Menteri (JPM).

"Tidak rugi jika pihak kerajaan bersetuju mengadakan pertemuan seperti ini kerana ia akan membolehkan pihak pembangkang melakukan semak dan imbang terhadap segala tindakan dan perbelanjaan kerajaan bagi kepentingan rakyat dan negara," ujarnya.

Saman dari Shahrizat memang ditunggu - Rafizi

Harakahdaily, 19 Jan 2012

KUALA LUMPUR, 19 Jan: Pengarah Starategi PKR, Mohd Rafizi Ramli (gambar) berkata, saman daripada Datuk Seri Shahrizat Jalil terhadapnya berhubung pendedahan isu NFC sememangnya ditunggu-tunggu.

Katanya, ia kerana mereka mahu menggunakan peluang mahkamah untuk terus mendedahkan secara lanjut dakwaan penyelewengan dalam projek NFC tersebut.

"Peluang ini memang telah ditunggu-tunggu agar kami boleh menggunakan kuasa mahkamah untuk mencari kebenaran sejauh manakah berlakunya
penyelewengan di dalam NFC, selain dari yang didedahkan setakat ini.

"Peluang di mahkamah kelak akan digunakan sepenuhnya untuk membongkar lebih banyak penyelewengan dan bakal diikuti oleh lebih ramai rakyat," katanya.

Beliau mengulas saman RM100 juta terhadapnya dan Ketua Wanita PKR Zuraida Kamarudin oleh Shahrizat yang difailkan di mahkamah hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, beliau sangat yakin bahawa semua pendedahan yang dibuat setakat ini adalah benar belaka kerana ia berdasarkan maklumat kewangan dan operasi yang dibocorkan dari dalam NFC sendiri.

Sebelum memulakan siri pendedahan skandal itu juga jelasnya, mereka telah pun berbincang dengan peguam-peguam PKR mengenai kemungkinan dikenakan tindakan saman.

"Datuk Seri Shahrizat Jalil juga perlu berdepan dengan mahkamah rakyat yang mual dengan pelbagai keborosan dan salahguna wang yang didedahkan setakat ini.

"Sebab itu saya percaya tindakan mengenakan saman ini adalah tindakan politik untuk menutup mulut saya dan YB Zuraida Kamaruddin dari terus
membuat pendedahan, di samping cuba memberi gambaran seolah-olah beliau tidak gentar untuk mempertahankan NFC di mahkamah," katanya lagi.

Biarpun menyedari risikonya memang lebih berat di pihaknya dan Zuraida, sehingga boleh berdepan dengan kemungkinan muflis jika kalah, namun mereka tidak gentar.

"Datuk Seri Shahrizat Jalil hanya perlu membayar kos guaman dan pentadbiran jika saman beliau ditolak. Dengan kekayaan keluarga beliau, sudah
tentu beliau mampu membayarnya.

"Jika pimpinan Umno seperti Dato’ Seri Shahrizat Jalil beranggapan mereka boleh menutup mulut dan akal rakyat seperti saya dengan
mengemukakan saman seperti ini, mereka tersilap besar," katanya.

KUIZM sasar 100 pelajar pengambilan Feb 2012

Harakahdaily, 19 Jan 2012

KUALA LUMPUR, 19 Jan: Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM) mensasarkan 100 pelajar baru bagi pengambilan Februari akan datang.

Setakat ini, KUIZM menawarkan dua program pengajian peringkat diploma dan akan bertambah dari semasa ke semasa bersesuaian dengan keperluan masyarakat.

Pelajar-pelajar lepasan SPM dengan mendapat sekurang-kurangnya 3 kepujian dalam mana-mana subjek dan lulus Bahasa Arab Tinggi atau Bahasa Arab Komunikasi berpeluang mengikuti program diploma sama ada Diploma Dakwah & Komunikasi atau Diploma Muamalat & Kewangan Islam.

Bagi mana-mana pelajar yang ingin mengikuti program Diploma Muamalat & Kewangan Islam disyaratkan lulus subjek Matematik peringkat SPM.

Selain itu, pelajar lulusan Sijil Menengah Agama/Ugama (SMA/SMU), 4 Thanawi, Lulus Syahadah Tahfiz Al-Quran atau kelayakan yang diiktiraf setaraf juga layak memohon.

Bagi yang tidak mempunyai kelulusan tersebut juga boleh dipertimbangkan melalui ujian kelayakan bahasa yang akan diadakan dan yuran pengajian adalah sebanyak RM1,500.

Pihak KUIZM juga turut melancarkan satu program baru yang dinamakan Kursus Persijilan Asas Pengajian Islam.

Program kursus secara separuh masa ini akan berjalan setiap hari Sabtu di kampus KUIZM Taman Melewar.

Pengajian yang mensasarkan golongan bekerja, mereka yang bersara dan seluruh lapisan masyarakat akan bermula pada Februari ini.

Lapan subjek utama akan ditelaah sebagai asas Pengajian Islam sepanjang 4 Semester.

KUIZM merupakan sebuah Institusi Pengajian Tinggi Islam yang memfokuskan kepada ilmu Islam sama ada dari sudut turath mahu pun kontemporari.

Manhaj serta kurikulum pengajian telah disusun secara bersepadu oleh sekumpulan tenaga akademik terdiri daripada bekas pensyarah-pensyarah IPTA dan IPTS yang berpengalaman luas bagi membolehkan mahasiswa menguasai kedua-dua bidang tersebut.

Nama KUIZM ini diambil sempena nama tokoh besar negara dalam perjuangan gerakan Islam dan Pendidikan Islam iaitu Prof. Datuk Zulkifli Muhammad yang menjadi nadi kuat kepada tertubuhnya Kolej Islam Malaya pada tahun 1955 dan cetusan idea ke arah tertubuhnya Yayasan Pengajian Tinggi Islam Nilam Puri, Kelantan (sekarang dikenali Universiti Malaya kampus Nilam Puri).

Sehubungan dengan itu, kepada mereka yang berminat boleh mendapatkan borang melalui muat turun di laman web KUIZM | www.kuizm.org dan hantar terus kepada :

PEJABAT PENDAFTAR

KOLEJ UNIVERSITI ISLAM ZULKIFLI MUHAMMAD

LORONG HJ HASSAN, OFF JALAN BATU GELIGA,

TAMAN MELEWAR, 68100 BATU CAVES,

SELANGOR DARUL EHSAN

Untuk maklumat lanjut sila hubungi :

Ust Mohd Norhan | 017-9503455

Ust Najih Irsyad | 012-3484140

Web | www.kuizm.org

Emel | info@kuizm.org

Tiada ulasan: