Isnin, 30 Januari 2012

MURTAD TAK DAPAT DIBENDUNG KERANA KITA TAK LAKSANAKAN UNDANG2 ALLAH...BANYAK ULAMAK2 BISU...BANYAK ULAMAK2 DUNIA@DUITAN@GILA PANGKAT...PEMIMPIN2 YANG FASIK...MAKSIAT BAGAI TAK BOLEH DIBENDUNG LAGI...YANG HARAM DAH MACAM NAMPAK TAK HARAM LAGI...GOLONGAN2 INI DIAKHIRAT NANTI JAWAB AJE LAH...

PAS tidak iktiraf kewujudan Israel

Harakahdaily, 30 Jan 2012
KUALA LUMPUR, 30 Jan: Sekalipun atas nama untuk mengambil hati Amerika Syarikat demi masa depan Pakatan Rakyat mengambil alih Putrajaya, tidak sekali-kali wajar dan layak untuk pimpinan parti untuk menyokong Israel apa lagi untuk memberikan perlindungan kepada golongan yang dilaknak Allah SWT.

Itulah ketegasan yang diambil para pemimpin PAS dalam kontroversi yang dicetuskan melalui putar belit media terhadap artikel Wall Street Journal (WSJ) yang memetik kata-kata Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyokong segala usaha mempertahankan Israel.

Media milik Umno dan para pemimpinnya sedang giat menggunakan petikan kata-kata Anwar di WSJ yang berbunyi I support all efforts to protect the security of the state of Israel untuk melakukan serangan bertubi pada beliau sebagai penyokong zionis.

Ketua Umum PKR itu turut mengeluarkan satu kenyataan mengecam pihak-pihak yang memutarkan kenyataannya dan menjelaskan bahawa beliau ada menegaskan bahawa kemahuan dan hak rakyat Palestin mesti dibela dan itu merangkumi hak untuk mendirikan negara sendiri serta tidak terus dizalimi ketika ditemubual oleh WSJ pada hari Khamis, 26 Januari 2011.

“Saya juga mengungkapkan bahawa jika syarat ini dipenuhi maka wajarlah hak rakyat Israel juga dihormati,” kata beliau, sambil menegaskan bahawa pendirian beliau selari dengan Resolusi 1397 Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Inisiatif Keamanan Arab (Arab Peace Initiative) yang berteraskan Penyelesaian Dua Negara atau lebih dikenali sebagai Two-State Solution.

WSJ turut menyatakan bahawa Anwar tidak berkata beliau akan membuka pertalian diplomasi dengan Israel.

Dalam reaksi spontan di Facebook, Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi (kanan) mengingatkan para pimpinan bahawa “Israel adalah sebuah entiti haram.”

“Ia terlalu besar dosanya terhadap ummat Islam seaqidah meskipun kita berada jauh di Tanah Melayu,” tegas beliau.

Ketika dihubungi Harakahdaily, Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu menegaskan pendirian PAS yang tidak mengiktiraf kewujudan Israel.

“Mereka mendapat tanah itu secara kejam, membunuh dan menghalau rakyat Palestine daripada buminya sendiri. Bukan menjajah, tapi secara merampas secara kejam bersama tentera Haganah pada tahun 1948.

PAS tidak akan mengiktiraf kewujudan Israel,” tegas beliau.

Dalam pada itu, Naib Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Mahfodz Mohamad (kiri) menegaskan pendirian Pakatan Rakyat adalah untuk berdiri di tempat orang yang ditindas, dan bukannya yang menindas, di mana dalam isu ini ialah Israel.

“Sejarah telah menunjukkan bahawa untuk meluaskan negerinya, Israel telah menghalau rakyat Palestine keluar daripada tanah mereka ketika peperangan meletus pada 1948.

Ramai rakyat Palestine dihalau keluar dari rumah mereka untuk membuka ruang kepada Israel. Mereka sampai hari ini masih dalam kesusahan. Sebagai warga Muslim, kita mesti bersama mereka, dan bukan sebaliknya,” tegas beliau yang dipetik News Straits Times.

Kenapa barang murah di kedai 1Malaysia sahaja?

Khairil Abdul Rahim, 30 Jan 2012

BERA, 30 Jan: Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man melahirkan rasa kesal dengan stail pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang memperkenalkan barangan murah di kedai satu Malaysia sahaja.

Katanya, sepatutnya tugas kerajaan ialah memastikan semua barangan murah di mana saja kerana kenaikan harga barang yang melambung tanpa kawalan menyebabkan rakyat sentiasa berada dalam kesempitan.

Mengenai isu di negeri ini, Pesuruhjaya PAS Pahang itu berkata isu yang sangat kritikal di kalangan rakyat ialah isu tanah.

“Ada yang menduduki dan mohon tanah memakan masa sama 30 tahun. Bahkan untuk mendapat tahu kelulusan tanah saja memakan masa bertahun-tahun dan terpaksa menempuh hampir 30 meja untuk proses itu saja. Sebab itu antara tawaran PAS pada PRU akan datang ialah memastikan tanah sekurang-kurangnya lot rumah untuk setiap isi keluarga.

“Kita akan contohi Kerajaan PAS Terengganu, apabila menang pada tahun 1999 kerajaan berjaya proses puluhan ribu permohonan tanah,” katanya ketika berceramah pada Sambutan 60 Tahun PAS Peringkat Parlimen Bera malam tadi.

Turut berceramah pada hari terakhir sambutan ialah Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Presiden Anak, Mazlan Aliman, Pengerusi SAMM Badrul Hisham Shaharin dan Pengerusi DAP Negeri Pahang Leong Ngah Ngah yang juga Adun Triang.

Berucap mengenai isu yang sama, Mazlan yang juga Pengerusi Lajnah Tanah dan Pembangunan Wilayah PAS Pusat, pihaknya akan mengedarkan borang permohonan tanah kepada rakyat dan projek perintis akan bermula di Johor bulan depan.

“Ini komitmen PAS sesuai dengan konsep Negara Berkebajikan yang mahu diketengahkan. Usaha ini kita buat awal kerana sekiranya Pakatan Rakyat berjaya ke Putrajaya pada PRU akan datang masalah tanah rakyat dapat diselesaikan segera,” ujarnya.

Portfolio agama: Umno sengaja cetus provokasi

Nazri Abdullah, 30 Jan 2012
SHAH ALAM, 30 Jan: Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor yang baru, Dr Ahmad Yunus Hairi berpendapat tindakan mempersoal kononnya PAS dipinggir ekoran tidak diberi portfolio agama di Selangor hanya permainan politik Umno.

Menyifatkan tuduhan itu liar dan tidak berasas, Dr Yunus yang memegang portfolio Belia, Sukan dan Adat Resam Melayu berkata, tindakan Umno itu juga sebagai cubaan melaga-lagakan parti-parti dalam Pakatan Rakyat.

Beliau menjelaskan, keputusan Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim untuk memegang sendiri portfolio agama Islam yang sebelum ini dipegang bekas exco Datuk Dr Hasan Mohd Ali adalah keputusan terbaik untuk negeri itu khususnya berdepan Pilihan Raya Umum ke-13 tidak lama lagi.

"Ini antara strategi, dalam masa singkat untuk menghadapi pilihan raya sudah tentu Menteri Besar mempunyai pandangannya sendiri.

"Kalau kita lihat di beberapa negeri lain, seperti saya dapat maklumat di Johor dan Pahang pun potfolio agama ini secara automatik di bawah Menteri Besar. Jadi ini bukan sesuatu yang terlalu ada kelainannya," ujarnya dalam satu temubual dengan Harakahdaily di pejabatnya baru-baru ini.

Dr Yunus yang juga Adun Sijangkang dilantik menjadi exco Selangor pada 18 Januari lalu menggantikan Dr Hasan yang dipecat keahliannya dari PAS.

Beliau sebelum ini memegang jawatan sebagai pembantu Exco Belia dan Sukan yang dipegang oleh Tan Sri Khalid.

Bagaimanapun selepas perlantikannya sebagai exco, kerajaan Selangor membuat rombakan kecil portfilio exconya.

Melalui rombakan itu, portfolio Infrastruktur dan Hal Ehwal Agama Islam yang dipegang Dr Hasan sebelum ini dipegang olehnya sendiri manakala portfolio Belia, Sukan dan Adat Resam Melayu diberi kepada Dr Yunus.

"Saya lihat (pertikaian) ini hanya (datang) dari parti lawan khususnya Umno. Selepas saya dilantik exco, ada pemimpin Umno call, SMS kata kenapa PAS dipinggir..., padahal PAS berlapang dada dan menyambut baik keputusan Menteri Besar itu.

"Saya ada dipanggil oleh setiausaha kepada Presiden PAS yang memaklumkan bahawa perlantikan saya ini mendapat restu daripada PAS Pusat, dan beberapa pimpinan PAS juga mengirimkan SMS mengucapkan tahniah," katanya lagi.

Sementara itu beliau turut membidas cubaan pihak tertentu yang mengantung kain rentang dibeberapa kawasan di negeri itu kononnya Dewan Pemuda PAS Selangor membantah tindakan yang tidak memberikan portfolio agama itu kepada PAS.

Sedangkan, Dewan Pemuda PAS negeri sendiri telah menafikan kaitan mereka dengan kain rentang itu dan menyatakan sokongan penuh kepadanya.

"Saya lihat ini dibuat oleh golongan yang sengaja nak cetus provokasi.

"Saya yakin tohmahan-tohmahan ini hanya akan berlalu begitu sahaja," jelasnya.

Dasar sekular kerajaan punca gejala murtad

Harakahdaily, 30 Jan 2012
KUALA LUMPUR, 30 Jan: Teras Pengupayaan Melayu (Teras) menyambut baik penubuhan Jawatankuasa Pusat Mengenai Murtad  seperti yang diumumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

“Kami mendapati bahawa gejala murtad yang tidak boleh dinafikan berlaku di kalangan umat Islam perlu segera dibendung terutama ancaman sekularisme yang mendasari dasar-dasar kerajaan telah menjadi punca utama gejala ini semakin parah,” kata presidennnya, Mohd Azmi Abdul Hamid.

Katanya, jawatankuasa yang ditubuhkan itu perlu memberi perhatian serius kepada  punca murtad berlaku.

Menurutnya, murtad tidak boleh hanya dilihat dari sudut undang-undang semata-mata tetapi juga harus ditangani dari pelbagai faktor lain iaitu sosio-budaya, pendidikan dan ekonomi masyarakat.

Katanya, kebiasaannya mereka yang menjadi mangsa murtad ialah apabila mereka didekati oleh pihak lain yang sememangnya mempunyai hasrat untuk mempengaruhi agar mangsa dimurtadkan.

Tambahnya, kini sudah ujud kes murtad golongan remaja hanya kjerana terpengaruh dengan perhubungan dalam facebook.

Menurutnya lagi, gejala perhubungan diluar pengetahuan ibubapa dan guru telah mendedahkan remaja kepada penukaran agama tanpa diketahui oleh sesiapapun.

“Kami sangat khuatir terhadap gejala mereka yang murtad tetapi terus berpura-pura masih Islam,”katanya kpada Harakahdaily.

Beliau berkata, kes ibu bapa dikejutkan dengan pengakuan anak-anak yang keluar dari Islam pernah berlaku dan hal ini sangat perlu diberi perhatian serius.
Kami memandang serius gejala murtad yang berkembang dikalangan anak muda akibat masalah keluarga yang tidak dapat dikendali dengan baik.
Justeru, ujarnya, Teras juga berpendapat adalah sangat penting jawatankuasa itu membantu negeri-negeri sama ada negeri yang sudah ada enakmen mengenai larangan menyebar agama lain dari Islam kepada orang Islam atau negeri yang masih belum ada enakmen berkenaan.

Katanya, kerjasama bersepadu dengan semua agensi hendaklah dilakukan jika jawatankuasa ini serius untuk mengatasi gejala murtad.

Menrurutnya, isu penguatkuasaan undang-undang perlu diatasi segera kerana ia akan memberi imej kepada wibawa pihak berkuasa agama.

Ujarnya, jika enakmen yang ada tidak dikuatkuasa walaupun sudah terbukti pihak yang terbabitbersalah maka enakmen dan agensi yang wujud akan menjadi momokan masyarakat.

Jawantankuasa tersebut juga, ujarnya perlu memberi perhatian kepada mengkaji dan menyemak semua enakmen mengenai murtad yang ada di negeri-negeri.

Ini, katanya adalah kerana ada negeri yang maseh mempunyai kelonggoran dalam isu murtad sehingga pihak yang mahu memohon menukar nama dan agama dari Islam kepada bukan Islam boleh berbuat demikian di negeri tersebut.

“Kami juga sangat prihatin terhadap pelbagai kes taraf keislaman anak-anak bila salah seorang pasangan suami isteri  memeluk Islam,” ujarnya lagi.

Katanya lagi, kes suami atau isteri yang memohon untuk membatalkan pengislaman anak di mahkamah sivil akan membawa implikasi besar kepada status undang-undang Islam yang diputuskan di Mahkamah Syariah.

“Teras menggesa supaya Jawatankuasa ini juga memberi perhatian kepada pelbagai persoalan kebajikan mualaf yang masih belum diatasi dengan sempurna terutama dari sudut undang-undang,” ujarnya.

Selangor berusaha perbanyak sekolah agama

Afeeqa Afeera, TVSnews, 30 Jan 2012
KUALA LANGAT, 29 Jan: Kerajaan Selangor memerlukan sokongan dari ibu bapa bagi mengujudkan lebih banyak sekolah aliran agama dalam usaha menyeimbangkan tuntutan keperluan fizikal dan spiritual dikalangan generasi pelapis akan datang.
(Dr Yunus menyampaikan sumbangan kepada pelajar cemerlang)

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Adat Resam Melayu, Belia dan Sukan, Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, bimbingan ibu bapa dan tunjuk ajar para guru sememangnya diperlukan bagi mrealisasikan generasi berhemah serta bertanggungjawab di masa depan.

"Kerajaan negeri sentiasa berusaha membantu rakyat tidak kira golongan mana sekalipun. Kita akan membina lebih banyak sekolah agama khusus buat anak-anak di Selangor supaya mereka boleh menerima pembelajaran terbaik di negeri ini.

"Ini kerana, sekolah integrasi tahfiz dan sekolah agama seringkali menjadi pilihan ibu bapa untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah. Saya juga berharap wujudnya komitmen dan kerjasama daripada ibu bapa sendiri untuk mendirikan sekolah agama swasta bagi pendidikan anak-anak," katanya yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sijangkang.

Dr Yunus berkata demikian selepas merasmikan Program Pemimpin Bersama Rakyat Dun Sijangkang di Dewan Batu 7, Kampung Sijangkang di sini pagi tadi.

Hadir sama, Adun Meru, Dr Abdul Rani Osman dan kira-kira 200 penduduk Kampung Sijangkang.

Dalam majlis sama, Dr Ahmad Yunus turut menyerahkan pengiktirafan dan saguhati kepada kira-kira 135 pelajar daripada beberapa buah sekolah terpilih di Dun Sijangkang berdasarkan keputusan cemerlang yang diperolehi dalam Penilaian Sekolah Rendah Agama (PSRA) 2011.

Pelajar-pelajar cemerlang ini adalah antara para peserta yang telah menyertai program Mumtaz Milikku yang dianjurkan di sekolah untuk membimbing mereka sebagai persediaan sebelum menghadapi peperiksaan.

Tambah beliau, program berbentuk ilmiah ini akan dilakukan secara berterusan di sekolah-sekolah terpilih supaya lebih ramai pelajar cemerlang dapat dihasilkan.

"Apabila program ini mula diperkenalkan, kita berkaya menghasilkan leboh 60 pelajar mumtaz (cemerlang) dan bertambah sehingga 106 orang pada tahun berikutnya, manakala untuk tahun ini sahaja seramai 135 pelajar cemerlang berjaya kita hasilkan.

Walaupun program ini menumpukan kepada pelajar yang baik-baik, namun pelajar yang lemah tidak dilupakan sebaliknya mereka berterusan menerima sokongan dan tunjuk ajar daripada para guru di sekolah," jelasnya.

Program Mesra Rakyat yang berlangsung selama dua hari itu turut melibatkan beberapa aktiviti lain seperti forum "Mumtaz Dunia, Mumtaz Akhirat : Agenda Negara Berkebajikan", gotong-royong, bicara ilmuan bersama Profesor Dr Aziz Bari, program Jom Shopping, Jogaton Pulau Carey , pemeriksaan kesihatan percuma dan sebagainya

Tawaran bijak dari Ustaz Hadi

Subky Latif, 30 Jan 2012

KURANG dari sebulan selepas Dato Seri Abdul Hadi Awang menyatakan pilihannya untuk jadi nelayan biasa apabila ada calon Perdana Menteri yang dapat memenuhi kehendak politik Islam, beliau menyampaikan pula hasratnya jika disetujui untuk melepaskan salah satu dari kerusi wakil rakyat yang disandangnya – ADUN atau Anggota Parlimen.

Ia adalah perkembangan fikiran yang bijak dari seorang pemimpin yang masih mendapat kepercayaan penuh dari parti yang dipimpinnya dan dari penyokong dan pengundinya.

Tugas wakil rakyat bagi dua kerusi yang disandangnya adalah berat baginya ditambah pula oleh tanggungjawabnya sebagai Presiden PAS yang kian berperanan. Sekali pun ia dilihat berat untuk menggalas semua kerja oleh seorang sepertinya yang usia kian bertambah dan masalah kesihatan juga ikut mengiring usia yang bertambah itu, tetapi semua tugas dan tanggungjawab tidak terbeban sangat baginya kerana ia dapat diringankan oleh kekuatan parti dan penyokongnya yang berfungsi.

Parti dan penyokongnya bertanggungjawab berada di belakangnya mahu melihatnya berjaya melaksanakan tugasnya dan mereka berperanan memastikan beliau berjaya dengan tanggungjawabnya sebagai wakil rakyat dan pemimpin parti Islam yang penting di rantau ASEAN.

Kekuataannya ialah dia bekerja secara  berjamaah dan jamaah bekerja  bersamanya. Sebagai pemimpin dan wakil rakyat beliau adalah simbol, dan kerjanya dibuyat oleh semua. Jika beliau kekal dengan dua kerusi itu, tidak banyak menambah beban jamaah dan jika dikosongkannya satu kerusi tidak pula mengurangkan kerja jamaah.

Tetapi dengan mengosongkan satu kerusi, ia adalah satu  sikap tidak  gila kuasa  dan  tidak sayang melepaskan kuasa serta tidak mahu memusatkan kuasa kepada satu orang.

Ia adalah tanda Ustaz Hadi percaya ada orang lain juga boleh membuat kerja seperti yang  dibuatnya dan percaya ada orang yang boleh membuat apa yang sepatutnya dibuat oleh seorang wakil rakyat Islam, maka ketika itu beliau dapat membuat kerja lain.

Dengan Ustaz Hadi masih ada di rumahnya dan masih menjadi Presiden PAS, maka mana-mana kerusi yang dikosongkan tidak akan terasa ketiadaannya. Beliau tetap dirasakan berada di tengah mereka, cuma satu daripada kerjanya selama ini dibuat oleh orang lain.

Telah disebutkannya akan ada masa yang lebih baginya menumpukan tanggungjawab sebagai pemimpin parti dan ada peluang lebih masa untuk ke laut sebelum menjadi nelayan tetap.

Ke laut adalah hobinya. Menangkap ikan bukan sumber pendapatan dan mata pencariannya. Keutamaannya ada berdakwah. Bagi ulama berdakwah bukan satu mata pencarian. Abu Zar diberi pencen tetap sebagai sahabat awal generasi pertama oleh Khalifah Umar al-Khatab.

Tetapi Abu Zar tidak menjadikan pencennya sebagai sumber pencariannya. Saraan hidupnya adalah menganyam bakul. Logiknya Ustaz Hadi mahu beralih semasa masih bertenaga menjadikan hobi ke laut sebagai mata pencarian sambil terus berdawah.

Pilihannya itu adalah setelah memastikan Islam sudah dapat dijalankan oleh orang lain. Setelah lebih 40 tahun  dalam dakwah politik tugas itu sudah boleh digalas oleh anggota jamaah yang ramai.

Parti boleh menimbang untuk menerima  tawaran itu atau biar dulu. Yang penting Ustaz Hadi telah meringankan jamaah supaya memikirkan gantinya buat apa jawatan jua bila dirasakan perlu. Jamaah tidak lagi terikat bahawa calon adalah beliau juga. Beliau sekarang memberi peluang kepada jamaah, jangan teragak-agak untuk mencalonkan orang lain di salah satu kerusinya itu.

Dengan tawarannya itu tidak semestinya beliau tidak dicalonkan lagi, tetapi jika jamaah merasa wajar permintaannya diterima, maka boleh mencalonkan orang lain. Ia adalah kesempatan kepada jamaah memikirkan ganti Ustaz Hadi dalam semua kedudukan.

Apa yang disebut Ustaz Hadi itu satu permulaan bagi parti berfikir tentang pelapis. Politik di zaman Khalifah tidak bercakap tentang pelapis. Ganti khalifah dibuat apabila tiba masanya. Politik dunia demokrasi yang PAS ada dalam suasana itu, sekali pun politiknya adalah siasah syariyah, soal pelapis sentiasa menjadi perhatian penting.

Ustaz Hadi seperti mengajak semua berfikir ke arah itu. Ia perkembangan yang sihat.

Politik Kedah dan Ustaz Azizan

Ahmad Lutfi Othman, 30 Jan 2012
BAHAGIAN PERTAMA
Berbanding negeri-negeri yang ditadbir Pakatan Rakyat, Kedah dilihat tidak begitu diserang media Umno-BN. Tentulah ia bukan disebabkan kerajaan negeri yang diterajui PAS itu akan diberi laluan mudah untuk melanjutkan tempoh penggal pertama pemerintahannya. Seperti Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan, BN tetap mengidam untuk menawan semula negeri Jelapang Padi itu.

Sewaktu Tan Sri Khalid Ibrahim di Selangor diserang bertubi-tubi dan Lim Guan Eng di Pulau Pinang dilanyak habis-habisan, khususnya oleh Utusan Malaysia dan TV3, Dato' Seri Ustaz Azizan Abd Razak di Kedah agak selesa menarik nafas lega. Namun ia tidak bermakna Umno membiarkan negeri yang pernah menyumbangkan dua perdana menteri itu terlepas begitu sahaja.

Ketika kerajaan negeri Perak ditumbangkan melalui pakatan jahat yang dirancang Najib Razak -- tidak sampai setahun selepas memegang amanah rakyat -- Kedah turut dilihat goyah. Usaha membeli wakil rakyat tertentu rancak dijalankan. Pakatan Rakyat memiliki 22 kerusi, dengan PAS menguasai 16, BN (14), DAP (1) dan KeADILan lima wakil (termasuk seorang Adun Bebas yang kemudiannya menyertai parti itu).

Kiraan mudahnya, jika lima Adun Pakatan dapat "dibeli", sepertimana berlaku kepada tiga Adun di Perak, kerajaan negeri pimpinan Ustaz Azizan akan tumbang. Alhamdulillah, situasi genting itu berjaya dilalui dengan baik sekali. Meskipun KeADILan terlepas dua Adunnya (dan dua ahli Parlimennya mengisytiharkan diri sebagai wakil rakyat Bebas), hasrat BN untuk merebut Kedah dapat dipatahkan. Kini semua Adun KeADILan merupakan anggota Exco kerajaan negeri!

Sebenarnya asas kekuatan pengaruh PAS di Kedah -- terutama selepas pilihan raya umum 1969 yang menyaksikan ramai tokoh utama Umno negeri itu kalah mengejutkan, seperti Dr Mahathir Mohamad dan Senu Abd Rahman -- hampir seimbang dengan Umno. Meskipun ada ketikanya PAS hanya mempunyai seorang wakil dalam sidang Dun dan langsung tidak mempunyai ahli Parlimen dalam tempoh yang agak lama, namun secara puratanya sokongan pengundi Melayu tidak merosot.

Faktor kemenangan BN lebih ditentukan oleh sokongan pengundi Cina dan India, yang mewakili hampir 30 peratus penduduk Kedah. Semasa era reformasi, yang dizahirkan secara terbuka dalam pilihan raya umum November 1999, lonjakan pengundi Melayu menyokong PAS begitu terasa di Kedah. Hasilnya, Parti Islam itu menang 12 kerusi Dun dan lapan Parlimen; semuanya di kawasan majoriti Melayu. Hanya di Kubang Pasu dan Langkawi, pengundi Melayu masih dilihat terikat dengan Umno, mungkin disebabkan faktor Mahathir.


Melalui proses persempadanan semula kawasan pilihan raya pada 2002, sebagai persiapan Umno untuk mengalahkan PAS dalam PRU11, kaedah gerrymandering diguna pakai secara menjolok mata di Kedah. Formula mudahnya, tambahkan jumlah pengundi bukan Melayu di kawasan Parlimen yang dimenangi PAS. Pengundi Cina, India dan juga Siam dianggap penyelamat BN pada 1999, serta diandaikan akan terus menyokong parti berkenaan dalam pilihan raya berikutnya.

Kerusi Parlimen Pokok Sena (yang diwakili Mahfuz Omar), Baling (Ustaz Taib Azamuddin), Kuala Kedah (Mohamad Sabu) dan Yan (Ustaz Nasharuddin Mat Isa) menjadi tumpuan perancangan licik Umno, yang menguasai sepenuhnya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Kerusi Dun yang menawarkan jumlah pengundi bukan Melayu agak ramai dimasukkan dalam kawasan Parlimen terbabit, misalnya Gurun di Yan (bertukar nama kepada Jerai) dan Kuala Ketil di Baling.

Terbukti perancangan Umno-SPR itu mencapai target apabila pada 2004, keempat-empat kerusi Parlimen itu berjaya direbut kembali BN.

Bagaimanapun, tanpa perlu menunggu lama, pada 2008, strategi itu memakan diri. Kerusi Dun di sebelah selatan Kedah, yang agak ramai pengundi bukan Melayunya itu, diisytiharkan lebih awal, tumbang satu demi satu.

Mungkin menyedari hakikat kemenangan PAS dan Pakatan di Kedah "agak rapuh" atau beliau sendiri suka memilih pendekatan "low profile", Ustaz Azizan mempunyai kaedah tersendiri dalam mengemudi bahtera kerajaan negeri. Beliau lebih gemar menjauhi pertembungan dan konflik terutama apabila berdepan kerajaan pusat.

Malah hubungan baiknya dengan bekas pemimpin tertinggi Umno, Dr Mahathir, mengundang pelbagai tafsiran, terutama di kalangan aktivis PAS. Di kala bekas Perdana Menteri itu tersisih dalam partinya sendiri, termasuk di negeri kelahirannya, Kedah, bagi pemerhati politik, Ustaz Azizan bijak memanfaatkan ruang dan peluang.

Susulan itu, agak sukar untuk media mendapatkan komentar Dr Mahathir yang agak negatif kepada pentadbiran Ustaz Azizan di Kedah. Bukan itu sahaja, Ustaz Azizan juga dikatakan tidak menjadikan zaman pemerintahan BN sebelum itu sebagai sasaran kritikannya. Bekas Menteri Besar, Dato' Seri Mahdzir Khalid, kini Ketua Pembangkang di Dun, juga "terselamat".

"Umno menunggu tindakan provokatif Ustaz Azizan sebaik menjadi menteri besar, tetapi impian itu tidak kesampaian," kata seorang penganalisis politik semasa, yang dahulunya pernah aktif dalam Pemuda Umno.

"Dia pandai mengatur rentak dan membaca situasi di bawah. Umno gagal mengeksploitasi tindakan pembaharuan yang digerakkan kerajaan PAS di Kedah. Ternyata Ustaz Azizan cukup berhati-hati," tambahnya, sambil menyifatkan kemungkinan ahli PAS sendiri yang tidak berpuas hati dengan Ustaz Azizan.

"Mengapa pula?" tanya saya.

"Yalah ... kalau orang PAS mengharapkan pembaharuan Islamik di Kedah sama seperti perubahan awal di Kelantan dan Terengganu semasa PAS mula memerintah dahulu, tentu mereka akan kecewa. Ustaz Azizan mungkin popular di kalangan rakyat tetapi akan ditafsirkan daripada pelbagai perspektif oleh rakan-rakannya sendiri," ujar rakan saya itu, yang juga seorang blogger.

"Percayalah cakap saya, Umno Kedah tidak akan berjumpa satu isu besar dan kontroversi, yang boleh menggugat dengan mudah kedudukan PAS di Kedah. Lihat saja, dulu dimainkan isu balak, kemudian hilang begitu saja. Sekarang, isu perobohan Madrasah Salihiah, di Kanchut ... lagi mudah dipatahkan dan akhirnya akan menikam Umno balik," tambahnya.

"Hang balik tengok sendirilah, Lutfi. Pelik juga bila Catatan Hujung jarang sentuh perkembangan di Kedah," katanya. Beliau, yang juga anak Kedah seperti saya, menjangkakan isu personaliti calon dan kualiti servis wakil rakyat akan menjadi penentu dalam PRU13.

Saya akui, memang kolum saya tidak pernah menyinggung isu-isu Kedah dari dekat. Semasa malam kemenangan, 8 Mac 2008, saya turut meraikannya di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut. Bagaimanapun, saya hanya sempat sekali mengadakan wawancara khas dengan Ustaz Azizan, hampir empat tahun lalu, pada malam 17 Mei 2008, di rumahnya, di Jalan Sultanah, Alor Setar.

Dalam pertemuan itu, saya cuba menimbulkan beberapa persoalan yang berlegar dalam pemikiran ahli-ahli PAS termasuk berkaitan soal perubahan yang nampak begitu perlahan berjalan di Kedah.

Mengenali wataknya semasa menjadi Pengarah Urusan Harakah dahulu, saya jangkakan Ustaz Azizan akan bingkas menyanggah, tetapi dengan tenang, beliau memberi respons: "Saya lihat begini, ia berkaitan budaya orang Kedah. Budaya yang cukup terbuka, suka bergurau, suka berkawan. Malah ini juga yang berkembang dalam Dun, di antara wakil Umno dan PAS.

"Masa kita jadi pembangkang pun kita baik dengan Umno, Umno juga baik dengan kita. Sekarang kita jadi kerajaan pun kita baik dengan mereka. Saya tak suka kita buat sesuatu yang mengejutkan, biar rakyat menerima realiti ini sebagai satu proses demokrasi. Dalam Islam pun ada, misalnya saya baca buku tentang Fiqh Aulawiyat.

"Saya juga tekankan soal akhlak Islam. Kita tidak ada balas dendam dan akhirnya nescaya kita akan dapat simpati dan sokongan masyarakat. Umno yang lama berkuasa tentu sedih, tapi janganlah dalam kesedihan mereka itu kita tambahkan lagi pedihnya. Kalau perlu kita juga bekerjasama dengan mereka. Saya tahu mereka juga ada yang berpendidikan tinggi dan bersikap terbuka.

"Dulu mereka rasa PAS tak boleh memerintah, sekarang okey, boleh memerintah dengan baik, malah semua pihak lebih senang bekerja. Saya sendiri beri kebebasan kepada pegawai ... Perlembagaan menjamin hak bersuara, hak berpolitik, hak berfikiran."

Keuzuran membataskan saya untuk turun meninjau situasi akar umbi di Kedah. Namun, apabila seorang teman lama,  sarjana sains politik terkemuka, membuat penyelidikan tentang perkembangan siasah di sebuah daerah di Kedah, dan melahirkan keyakinannya tentang kemampuan PAS mempertahankan kemenangan, saya teruja untuk melihat sendiri rencah peristiwa menarik di sana.

"PAS perlu cermat memilih calon. Ada wakil rakyat PAS yang tidak peduli masalah masyarakat bawahan. Rakyat marah, kalau calon itu juga bertanding, saya boleh bagi kepastian, PAS akan hilang kerusi," katanya melalui telefon.

Semasa minum limau panas berdekatan Pekan Rabu, jam 2 pagi, 22 Januari lalu, seorang rakan yang pernah belajar bersama saya 30 tahun lalu di Sekolah Teknik Alor Setar, turut mengemukakan isu sama: "Jangan pandang remeh isu-isu longkang tersumbat, jalan tak berturap, sampah bersepah hatta tempoh pendek lampu isyarat hijau. Semuanya boleh beri kesan kepada persepsi pengundi."

Beliau mahukan pentadbiran kerajaan PAS dilihat cekap dan pantas bertindak menangani isu-isu rakyat. "Biar bandar-bandar di negeri-negeri Pakatan lebih bersih dan teratur berbanding negeri BN. Sikap antirasuah pemimpin PAS saya sanjung tinggi, tapi kadang-kadang rakyat awam tidak nampak atau tidak merasai kesannya dalam jangka pendek. Mereka mahu Adun atau Ahli Parlimen yang mesra rakyat, ambil berat masalah orang ramai dan tidak sombong," katanya.

Rakan saya itu turut membawa seorang kawannya, yang banyak bercerita tentang Madrasah Salihiah. Kebetulan dia pernah tinggal berdekatan surau yang kini menjadi pejabat syarikat insuran.

"Dulu saya selalu main dekat kawasan tapak Kompleks Tunku Yaakob, yang terbengkalai lebih 30 tahun lalu itu. Sekarang dah tak ada orang Islam di kawasan itu, ramai yang berpindah. Surau yang ada pun hanyalah bilik solat di pejabat insuran. Satu waktu dulu orang yang gunakan stesen bas di Kanchut ada juga solat di situ, bila bas pindah ke Shahab Perdana, tak ada jemaah lagi. Lagipun, Masjid Zahir pun dekat," ceritanya lancar.

Esoknya, saya  "menziarahi" surau kontroversi itu, tidak jauh dari hotel penginapan. Segera saya faham mengapa isu ini tidak akan dapat dimanfaatkan -- walaupun sedikit -- oleh Umno Kedah. "Patutlah orang PAS Kedah dan Ustaz Azizan macam tak risau aja dengan isu surau ini," saya berkata kepada Azamin Amin, wartawan Harakah Kedah. "Sesiapa yang lihat sendiri madrasah ini dan kawasan sekitarnya akan segera faham manipulasi Umno Kedah," tambah saya.

"Siap ... kita pergi rumah Ustaz, pukul 8 pagi," panggilan Setiausaha Akhbar Menteri Besar, Helmi Khalid mengejutkan saya. Beliau merujuk rumah Ustaz Azizan di Markas PAS Jerai.

Tiada ulasan: