Nik Aziz sedia isytihar harta jika diwajibkan
Rizal Tahir, | 22 Jan 2012 |
PENGKALAN CHEPA, 22 Jan: Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, beliau tidak mempunyai sebarang masalah untuk mengisytiharkan harta jika undang-undang menetapkan demikan.
Beliau yang juga Mursyidul Am PAS berkata, isu pengisytiharan harta baginya adalah benda kecil berbanding apa yang disebutnya 'pengisytiharan taqwa' kepada Allah SWT.
“Nak isytihar harta itu perkara yang kedua, yang penting sekali isytihar ketaqwaan diri, sejauhmana diri kita taqwa kepada Allah, di sini silapnya golongan sekular.
“Tapi saya tak ada harta, istihar apa yang ada sajalah ada tanah sekeping dua peninggalan orang tua dulu,”ujarnya sambil ketawa kecil.
Beliau berkata demikian ketika ditanya wartawan tentang kesediaannya berbuat demikian jika ianya disyaratkan.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), sebelum ini mencadangkan semua anggota pentadbiran persekutuan termasuk anggota kabinet membuat pengisytiharan harta kepada suruhanjaya itu.
Manakala, satu salinan perisytiharan itu pula perlu diserah kepada Perdana Menteri.
Mengulas lanjut, Tuan Guru berkata, perisytiharan harta belum tentu menjamin seseorang itu bebas dari segala rasuah dan salah guna kuasa.
Apa yang penting katanya, pengistiharan taqwa yang merupakan kunci kepada sifat amanah dalam diri manusia.
“Apa akan berlaku sekiranya seorang hakim yang tidak ada rasa taqwa, sudah tentu dia akan terlibat dengan rasuah, begitu juga seorang anggota polis atau keselamatan yang lain tidak ada nilai ketaqwaan, sudah tentu mereka akan terlibat dengan rasuah,”ujarnya.
Begitu juga seorang alim ulama yang tidak bertaqwa, golongan ini akan membuat keputusan yang tidak sama terhadap satu perkara khususnya berkenaan haram atau halal.
Katanya, cadangan pengistiharan harta sudah lama, bagaimanapun ianya masih gagal berikutan hingga kini masih berlaku kegiatan rasuah dan salahlaku lain.
Tegasnya, sekiranya ia wajib menurut undang-undang, beliau juga akan meminta anggota-anggota exco kerajaan negeri berbuat demikian.
Terdahulu, beliau menyempurnakan Penyampaian Watikah Perlantikan Penghulu Negeri Kelantan, di Putik, di sini tengah hari tadi.
Parti Islam kuasai dua pertiga Parlimen Mesir
Aziz Muda, | 22 Jan 2012 |
KUALA LUMPUR, 22 Jan: Keputusan pilihanraya Parlimen Mesir menepati ramalan pelbagai pihak dengan parti-parti beraliran Islam mencatat kemenangan dan menguasai dua pertiga kerusi Parlimen di negara itu.
Keputusan akhir pemilihan Parlimen pertama Mesir setelah jatuhnya Presiden Hosni Mubarak turut menepati ramalan beberapa pihak apabila parti politik milik Ikhwanul Muslimin, Parti Kebebasan dan Keadilan (FJP) mencapai kemenangan besar dengan meraih 47.18 peratus undi.
Dengan perolehan yang turut mengejutkan sesetengah pihak itu, Suruhanjaya Pilihanraya Mesir semalam mengumumkan, FJP akan menguasai 235 kerusi di Majlis Rakyat.
Tempat kedua diduduki oleh kubu konservatif, Parti Salafi al Nur dengan 25 peratus undi atau 121 kerusi, sementara parti beraliran liberal, Parti Wafd meraih 36 kerusi dan parti sekular, Koalisi Mesir memiliki 33 kerusi.
Semasa pemerintahan Presiden Hosni Mubarak, Ikhwanul Muslimin merupakan organisasi yang dilarang bergiat dalam politik dan dengan keputusan tersebut, parti-parti Islam kini telah berjaya menguasai dua pertiga kerusi Parlimen di Mesir.
Dengan keputusan itu juga, FJP kini sudah memutuskan untuk melantik seorang ahli politik kanannya, Saad al-Katatni sebagai ketua (speaker) Majlis Rakyat.
Wartawan BBC di Kairo, Jon Leyne dalam laporan terkininya berkata, Presiden Mesir yang akan dipilih nanti bagaimanapun bukan parti pemenang pilihanraya itu.
Sebaliknya, pemilihan presiden akan dilangsungkan pada bulan Jun nanti, setelah segala proses lain yang berkaitan dengannya diselesaikan.
Berdasarkan sistem pemilihan Mesir, warganegara itu akan memilih dua pertiga anggota Parlimen berdasarkan parti yang memiliki daftar calon masing-masing dan hanya sepertiga calon individu yang dipilih secara langsung.
Pemilihan Majlis Tertinggi Parlimen akan diadakan pada bulan Februari nanti dan selepas itu akan dipilih 100 anggota dari Majlis Tertinggi dan Majlis Rendah yang ditugaskan untuk menyusun perlembagaan baru Mesir.
Pilihanraya Parlimen Mesir itu diadakan setelah kebangkitan rakyat yang turun ke jalan-jalan raya di negara itu sehingga berhasil menjatuhkan Presiden Mubarak pada bulan Februari 2011 lalu.
Warga Mesir memberikan suara dalam tiga tahap pilihanraya yang berlangsung selama enam minggu untuk memilih 498 anggota Majlis Rakyat (Parlimen), sementara 10 anggotanya diperuntukkan untuk Dewan Tertinggi Tentera yang kini memerintah negara itu untuk sementara waktu.
Sementara itu, Agensi pula melaporkan, keputusan rasmi pusingan pertama pilihan raya Mesir menunjukkan parti Islam mencapai kemenangan besar, termasuk kumpulan Salafi yang terkenal kerana bersifat radikal.
Kumpulan Ikhwanul Muslimin yang berfahaman sederhana memenangi 36.62 peratus diikuti oleh Parti An-nur yang mewakili kumpulan Salafi, 24.36 peratus sementara Al Wasat, sebuah lagi parti Islam berfahaman sederhana meraih 4.2 peratus undi, berdasarkan carta yang disediakan oleh Setiausaha Agung Jawatankuasa Pilihan Raya, Yusri Abdel Karim.
Menurut carta itu, Parti Kebebasan dan Keadilan (AJP) yang mewakili Ikhwan, memenangi 3.56 juta daripada 9.73 undi, An-Nur, 2.37 juta dan Al-Wasat, 415,590.
Keputusan itu adalah untuk kawasan yang mengundi pada Isnin dan Selasa lalu dan ia mengesahkan ramalan awal bahawa parti berhaluan Islam akan memenangi sekurang-kurangnya dua pertiga undi.
Satu-satunya parti sekular yang mencatatkan kemenangan besar ialah Blok Rakyat Mesir yang memperoleh 13.35 peratus undi.
Jurucakap Ikhwan seperti yang dilaporkan oleh Agensi berkata, “Rakyat memilih calon yang mewakili identiti Islam dan dipercayai pengundi."
Beliau menegaskan, FJP jauh berbeza dengan kumpulan Salafi yang menurutnya mencapai kemenangan memeranjatkan dalam pilihan raya itu.
“Kami berharap orang ramai akan dapat membezakan antara pergerakan yang berbeza dan tidak menganggap semua aktivis Islam berada dalam satu ‘kapal’,” katanya.
Pemeriksaan restoran perlu lebih awal - Iskandar
Harakahdaily, | 22 Jan 2012 |
Menurut Iskandar, sebagai Adun, beliau menyokong sebarang usaha untuk memastikan premis-premis yang menyedia dan menghidang makanan berada di dalam keadaan bersih.
Namun apa yang dipertikaikan kata beliau, kenapa tindakan tersebut dijalankan pada waktu yang paling ramai pengunjung dan telah menyebabkan 5 restoran ditutup sekaligus merugikan peniaga.
"Saya tidak mempertikaikan peraturan-peraturan kesihatan tetapi hanya mencadangkan agar operasi-operasi sedemikian dilakukan lebih awal.
"Ia juga dapat mengelakkan tanggapan buruk bahawa operasi ini dilakukan terlalu hampir dengan Tahun Baru Cina agar pemilik-pemilik membayar "ang pow" jika mahu premis mereka dibuka semula," katanya yang juga Exco Kerajaan Negeri Selangor.
Ekoran itu, beliau menasihatkan mana-mana pihak yang mahu menjalankan operasi sedemikian, perlu berhati-hati agar tidak disalah anggap dan tidak mendatangkan fitnah kepada kerajaan negeri.
"Saya yakin tanggapan ini tidak benar tetapi pihak yang berkaitan tidak seharusnya mendedahkan diri mereka kepada sebarang tuduhan," katanya.
Bernas dirayu tidak tutup operasi sempena Raya Cina
Harakahdaily, | 22 Jan 2012 |
Dalam satu kenyataan kepada Harakahdailly, Ahli Parlimen Jerai Mohd Firdaus Jaafar berkata, beliau mendapat maklumat bahawa Bernas akan menutup operasi esok dan lusa sempena perayaan Tahun Baru Cina.
Namun katanya, tindakan tersebut hanya akan menyebabkan petani-petani khususnya di negeri Kedah akan mengalami kerugian kerana padi akan rosak kerana tidak tahan lama jika tidak dibawa ke gudang Bernas.
Tambahan pula katanya dengan keadaan cuaca yang kerap hujan disebelah petang menambahkan lagi penderitaan petani.
"Ke mana mereka hendak menjual hasil kutipan mereka sedangkan padi tidak boleh disimpan pada jangka waktu yang panjang melainkan dengan bantuan peralatan yang khas yang terdapat di gudang-gudang yang besar seperti yang dimiliki oleh Bernas.
"Bagaimana mereka hendak menjual kepada tauke-tauke yang berbangsa Cina kerana mereka turut menghentikan operasi buat sementara waktu sedangkan taukeh yang berbangsa melayu boleh dikira dengan jari," soalnya.
Menurutnya, tindakan Bernas ini juga sebenarnya menimbulkan pertanyaan kerana atas dasar apa Bernas perlukan menghentikan operasi sedangkan bukan semua pekerja mereka berbangsa Cina.
"Bagaimana Bernas, satu syarikat multinasional yang bertaraf dunia tidak boleh menyusun operasi dikala cuti umum?
"Bukankah selama ini Bernas beroperasi walaupun ketika cuti panjang," soal Firdaus lagi.
Sehubungan itu beliau mendesak Bernas agar tidak menghentikan operasi kerana ianya akan menginaya para petani.Rosmah, Najib dicabar saman akhbar Australia
Abdul Aziz Mustafa, | 22 Jan 2012 |
Semalam, akhbar Sydney Morning Herald (SMH) melaporkan isteri Perdana Menteri itu berbelanja sehingga A$100,000 (RM325,000) di sebuah butik di Sydney dua minggu lalu.
Menurut Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar, jika sekali lagi akhbar Australia membuat laporan tidak benar mengenai tabiat berbelanja mewah Datin Seri Rosmah Mansor, maka satu tindakan undang-undang perlu diambil terhadap akhbar dan sumber berita akhbar tersebut.
"Jika Rosmah dan Najib enggan berbuat demikian, ia memberikan gambaran kepada rakyat bahawa apa yang dilaporkan itu betul seperti yang berlaku apabila Najib enggan mengambil tindakan undang-undang terhadap begitu banyak akhbar di serata dunia yang pernah mendakwa tentang kaitan beliau dengan kes Altantuya Shaariibuu.
"Kalau banyak kali sangat dilihat takut mengambil apa-apa tindakan undang-undang, rakyat akan percaya apa yang dilaporkan mengenai Najib dan keluarganya itu benar," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.
Sebelum ini, akhbar Australia yang lain membuat laporan yang didakwa tidak benar mengenai tabiat berbelanja Rosmah tetapi Najib dan keluarganya tidak pula mengambil sebarang tindakan undang-undang terhadap akhbar itu.
"Rakyat yang berfikiran waras sudah tidak tahan lagi melihat wujudnya watak seperti itu di negara ini yang mengingatkan mereka kepada Laila Trabelsi, wanita yang mengambil kesempatan atas kedudukannya sebagai isteri Presiden Tunisia," kata Mahfuz lagi merujuk kepada isteri Zine El Abidine Ben Ali yang dihambat dari kekuasaannya oleh kebangkitan rakyat tahun lalu.
Perlu disiasat
Bagaimanapun, kata Mahfuz, jika laporan akhbar Australia itu memang benar berlaku dan bukan rekaan semata-mata, satu siasatan terperinci tentang kehidupan mewah isteri Perdana Menteri itu mesti dijalankan segera.
"Mesti disiasat dari mana sumber kewangannya sehingga Rosmah dilaporkan begitu bermewah-mewah dalam kehidupannya sehingga dilihat melebihi dari kemampuan isteri seorang Perdana Menteri," kata beliau sambil membangkitkan Bernama sebelum ini pernah melaporkan Rosmah menderma RM1.5 juta kepada Tabung Gaza.
Apa yang berlaku itu, kata Mahfuz, memperlihatkan Rosmah mempunyai kekayaan yang sangat luar biasa yang menimbulkan pelbagai tanda tanya.
Beliau juga menggesa supaya Najib dan Rosmah serta anggota kerajaan dan keluarga masing-masing segera mengisytiharkan harta mereka.
"Jangan lagi membuat pelbagai alasan yang menipu rakyat untuk mengelakkan harta mereka diisytiharkan," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan