Selasa, 10 Januari 2012

PATUT KITA TAKUT SEKSAAN ALLAH..TAKUT DAKWA DAKWI ALLAH..BIMBANG HUMBANAN DALAM NERAKA KERANA BERLAKU ZALIM DAN TAK AMANAH...

PAS Selangor tunggu arahan Pusat

Hazayani Zakaria,

KUALA LUMPUR, 10 Jan: PAS Selangor sedang menunggu arahan daripada PAS Pusat untuk mengadakan mesyuarat bagi membincangkan status 'Exco' Datuk Dr. Hasan Ali.

Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr. Abdul Rani Osman (gambar) berkata, pihaknya tidak boleh mengadakan mesyuarat tersebut sebelum PAS Pusat bermesyuarat.

"PAS Selangor sedang menunggu 'green light' daripada PAS Pusat untuk bermesyuarat bincang isu ini (Hasan Ali).

"PAS Pusat belum lagi membuat mesyuaratnya jadi kita tak boleh buat apa-apa keputusanlah," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Semalam, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim menyeru supaya Hasan melepaskan jawatannya sebagai exco negeri itu secara sukarela kerana Hasan tidak lagi mewakili PAS.

Khalid dalam kenyataannya kepada Harakahdaily berkata, beliau telah mendapat nasihat daripada Pejabat Penasihat Undang-Undang Kerajaan Negeri berkenaan status Dr Hasan sebagai Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor (Exco).

Katanya, Pejabat Penasihat Undang-Undang Kerajaan Negeri telah menasihatkan bahawa beliau mempunyai kuasa untuk menggugurkan Dr Hasan sebagai ahli Exco kerana beliau tidak lagi mewakili PAS dalam Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat.

“Saya berpendapat beliau sebagai seorang 'gentleman' perlu melepaskan jawatan ahli Exco secara sukarela kerana ini adalah untuk kebaikan beliau sendiri dan mereka yang terlibat,” kata Khalid.

Tambahnya lagi, Pejabat Penasihat Undang-undang Negeri juga berpandangan bahawa meskipun perkenan DYMM Sultan Selangor diperlukan dalam pelantikan Ahli Exco, namun perkenan DYMM Sultan tidak diperlukan untuk pelucutan atau pengguguran jawatan Exco.

Ekoran itu ujarnya, beliau akan mengadap DYMM Sultan Selangor pada Jumaat ini untuk memberi taklimat kepada baginda berhubung perkembangan terbaharu dan berbincang dengan baginda mengenai calon-calon penganti yang sesuai bagi jawatan Exco.

Hasan yang juga Adun Gombak Setia merupakan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pemodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan.

Hakim bebas cengkaman politik, bukan kehakiman

Aziz Muda,

KUALA LUMPUR, 10 Jan: Keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam yang melepaskan dan membebaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim dari tuduhan kes liwat, bukan bermakna bidang kehakiman di negara ini bebas dari campur tangan politik para pemimpin Umno BN.

Sebaliknya, ia jelas melambangkan keberanian hakim untuk membebaskan diri dari cengkaman politik bagi mengembalikan semula era kegemilangan bidang kehakiman di tanah air.

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub (gambar) berkata, berdasarkan beberapa fakta jelas menunjukkan bidang kehakiman di negara ini telah sekian lama dicabuli oleh pihak-pihak yang berkepentingan.

Menurutnya, keadaan itu menyebabkan para hakim di negara ini menjadi begitu terkongkong dan tertekan dalam menjalankan tugas mereka.

Katanya, realiti itu sudah diketahui dengan jelas oleh seluruh penduduk negara ini, terutama di kalangan masyarakat sivil, parti-parti politik pembangkang dan NGO.

"Perkara itu sudah tidak dapat dinafikan lagi oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan para pemimpin Umno BN, walaupun cuba disembunyikan dengan pelbagai cara.

"Malah disebabkan perkembangan yang tidak sihat itulah yang memaksa seluruh rakyat negara ini bangkit menyuarakan pandangan bagi membebaskan bidang kehakiman dari campur tangan politik," katanya ketika dihubungi Harakahdaily, di sini, hari ini.

Najib dalam kenyataannya seperti yang dilaporkan media tempatan malam tadi berkata, keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membebaskan Anwar dari kes liwat semalam membuktikan bidang kehakiman di negara ini bebas dari campur tangan politik.

Dengan itu, dakwaan para pemimpin pembangkang mengenai perkara itu selama ini, katanya, jelas tidak berasas dan semata-mata ingin mengelirukan orang ramai.

Kenyataan beliau turut disokong oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad seperti yang dilaporkan TV3 menerusi slot Buletin Utama malam tadi.

Menurut Salahuddin, kenyataan Najib dan Mahathir itu sebenarnya bukan boleh membersihkan imej para pemimpin Umno BN, malah ia mengesahkan lagi realiti itu pada pandangan orang ramai.

Selama ini, tegas beliau, sememangnya berlaku campur tangan politik yang melampau dalam bidang kehakiman di negara ini, sehingga memaksa seluruh rakyat termasuk Bersih bangkit menyuarakan pandangan dengan bangkangan yang kuat.

"Jadi keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang melepaskan dan membebaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim dari tuduhan kes liwat semalam adalah hasil dari kesedaran baru di kalangan hakim untuk mengubah keadaan, bagi memulihkan kembali imej institusi kehakiman di negara ini," katanya yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian.

Keputusan tersebut, tambah beliau, adalah hasil dari keberanian hakim untuk membebaskan diri dari cengkaman politik bagi melakukan perubahan seperti yang didesak oleh rakyat.

"Manakala ucapan Datuk Seri Najib itu pula adalah manifestasi dari perkembangan yang berlaku di negara kita sekarang yang bukannya berlaku kerana tiada campur tangan politik, tetapi kerana iltizam para hakim ke arah itu," tegas beliau.

Tergugat di Perak, 135 wakil rakyat BN dipaksa berkampung

Harakahdaily,

KUALA LUMPUR, 10 Jan: Tindakan BN yang akan mengadakan pemukiman Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) mereka selama tiga hari bermula 12 Januari ini di Perak menandakan mereka rasa tidak selamat lagi di negeri itu.

AJK PAS Pusat Idris Ahmad berkata, pemimpin Umno sekarang sedar bahawa rakyat Perak masih dengan sentimen membenci BN ekoran cara mereka mengambil alih negeri yang disifatkan tidak demokratik.

"Sekarang mereka cuba mengambil hati rakyat dengan program turun ke padang, konon cuba menyelami masalah rakyat bawahan.

"Apabila rakyat perhatikan selepas rampasan kuasa tidak ada apa-apa kelebihan yang Umno tawarkan untuk rakyat malahan apa yang berlaku ialah hanya dendam kesumat dan fitnah kononnya kerajaan PR menindas Melayu," katanya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.

Difahamkan seramai 135 wakil rakyat BN akan mengikuti program pemukiman itu di beberapa kawasan di Perak.

Sebelum ini Pengerusi Kelab Adun BN (BNBBC), Datuk Nadzri Ismail berkata, setiap wakil rakyat akan menetap bersama keluarga angkat masing-masing di 135 kampung terpilih melibatkan lapan bahagian utama iaitu Larut, Parit Buntar, Bagan Serai, Bukit Gantang, Taiping, Padang Rengas, Beruas dan Lumut.

Pemukiman sama sebelum ini telah dibuat di Selangor.

"Kawasan-kawasan ini adalah kawasan yang gelap pada perkiraan BN, maka tumpuan khas harus diberikan untuk menarik sokongan.

"Sekarang pemimpin Umno BN terpaksa melutut kepada rakyat unuk mengemis undi daripada rakyat," katanya.

Umno bimbang trauma 1999 berulang kembali

Aslani M,

KOTA BHARU, 10 Jan: Trauma kerana kehilangan sokongan majoriti orang Melayu pada pilihan raya umum 1999 mungkin menjadi tanda aras kes liwat II tidak menyebelahi pihak pendakwa.

Naib Ketua Pemuda PAS Kelantan, Hafiz Musa berkata, Umno/Barisan Nasional (BN) kehilangan sokongan sebahagian besar orang Melayu ketika itu.

“Jika situasi itu berlaku sekali lagi, rejim Umno/BN diyakini akan kehilangan undi majoriti dalam pilihanraya umum akan datang.

“Seterusnya pemerintahan BN di Malaysia pasti akan berakhir,” katanya di sini.

Semalam Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membebaskan Dato’ Seri Anwar Ibrahim terhadap tuduhan kes liwat II setelah pihak pendakwa gagal mengemukakan bukti menyakinkan.

Oleh itu kata Hafiz Pemuda PAS Kelantan melihat keputusan di luar jangka tersebut sebagai satu perkembangan amat baik terhadap institusi kehakiman negara kerana dibebaskan daripada kongkongan rejim Umno/BN.

Bahkan katanya pembebasan tersebut sewajarnya dilihat sebagai petanda di mana pengamal perundangan berjaya mengikis rasa takut terhadap rejim yang mentadbir negara sekarang.

Sedangkan menurutnya senario itu amat berbeza dengan apa yang berlaku dalam kes liwat 1, di mana institusi kehakiman berada di bawah kongkongan rejim pemerintah.

“Kes tersebut membawa gelombang kebangkitan apabila Dato' Seri Anwar dipenjara mengikut telunjuk pemerintah ketika itu, walaupun pendakwa juga gagal membawa bukti mensabitkan beliau,” katanya.

Oleh itu Pemuda PAS Kelantan merakamkan setinggi-tinggi ucapan tahniah kepada Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia dilepas daripada tuduhan liwat II.

Menurutnya ia dianggap sebagai tamat episod siri fitnah dan permainan politik kotor yang memalukan negara di mata dunia.

“Pembebasan Anwar membuktikan bahawa tuduhan yang dilemparkan ke atasnya selama ini hanyalah merupakan fitnah yang direka,” katanya.

Hafiz juga berkata, sudah tiba masanya semua pihak dalam Pakatan Rakyat memfokus gerak kerja menghadapi pilihanraya umum ke-13 yang akan diadakan tidak lama lagi.

Tiada ulasan: