Nana teruja dijemput buat persembahan di Kelantan
Teks dan foto: Salmah Mat Husain, | 24 Jan 2012 |
KOTA BHARU, 24 Jan: Penyanyi berimej baru Siti Nordiana atau lebih dikenali dengan Nana, 28, mengakui mungkin kerana imejnya yang sudah bertudung, beliau diundang oleh kerajaan Kelantan untuk membuat persembahan di negeri itu semalam.
Artis yang terkenal lagu duetnya ‘Paling Comel’ bersama allahyarham Achik itu juga tidak menduga beliau akan dijemput menjayakan program anjuran kerajaan negeri melalui Urusetia Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesihatan.
Menurutnya, beliau memang sedar kerajaan Kelantan mempunyai dasarnya sendiri berhubung hiburan dan bukan mudah untuk membuat persembahan di negeri itu.
“Tetapi apabila saya tiba-tiba diundang, memang terkejutlah saya dan saya rasa begitu gembira dan dihargai,”ujarnya yang buat pertama kali membuat persembahan secara tertutup sepanjang kariernya sebagai seorang penyanyi.
Beliau berkata demikian kepada Harakahdaily, ketika ditemui selepas membuat persembahan Ladies Nite 2012 di Kota Bharu Trade Centre (KTC), malam tadi sempena program Kite.
Walaupun beliau belum pernah membuat persembahan tertutup khusus untuk penonton wanita sahaja, namun pengalaman manis itu membuatkan beliau mudah bergerak untuk membuat persembahan.
“Tak adalah saya nak ‘control’ sangat macam sebelum ni, sebab semuanya wanita, sound sistempun wanita, begitu juga keselamatan terdiri dari kaum wanita,”ujarnya.
Beliau juga turut teruja dengan penonton wanita Kelantan yang begitu ‘sporting’ apabila turut menyanyi bersamanya.
Sempena persembahannya, beliau mendendangkan enam buah lagu termasuk lagu hitnya ‘paling comel’.
Sehubungan itu beliau mengucapkan terima kasih pada kerajaan Kelantan kerana sudi mengundangnya dan berhasrat untuk datang lagi sekiranya diundang.
Bukan kerana trend
Menyentuh tentang penghijrahannya yang kini imej bertudung beliau berkata ianya bermula akhir Ramadan tahun lalu.
Nana bagaimanapun menolak imejnya itu ada kaitan dengan trend artis kini yang semakin ramai bertudung.
Sambungnya, apa yang berlaku kerana keinsafan diri bersesuaian dengan usia semakin hari semakin bertambah.
“Jadi saya perlu memberi contoh yang baik untuk anak tunggal saya yang kini berusia empat tahun,”ujarnya.
Nana yang mula bergiat dalam bidang nyanyian sejak tahun 1999 kini telah berjaya menghasilkan enam album, termasuk dua album duetnya.
Polis diminta siasat pengacau program ABU
Muhammad Faizal, | 24 Jan 2012 |
KUALA LUMPUR, 24 Jan: Sebuah NGO, Activist901 telah membuat laporan polis berkenaan insiden kekacaun yang berlaku sewaktu program 'Asal Bukan Umno' (ABU) dan Hindraf di Dewan Orang Ramai Majlis Bandaraya Shah Alam, Jalan Kebun tempoh hari.
Penyelaras Activist901, Azura Aziz menjelaskan sebagai sebuah badan NGO yang baru ditubuhkan menentang keras perbuatan individu yang membuat kekecohan tersebut sambil melontarkan perkataan yang berbaur perkauman dan hasutan kepada kaum India yang berada di sana.
"Kami menggesa pihak polis untuk menjalankan siasatan yang menyeluruh dan mengenal pasti identiti sekumpulan individu yang telah membuat kekecohan tersebut kerana melalui bukti video dan jugak gambar yang ada.
"Individu tersebut telah mengeluarkan perkataan-perkataan yang mengancam keselamatan kaum India yang berada di situ," jelasnya.
Tambahnya lagi, cacian yang dilemparkan oleh kumpulan tersebut jelas tidak mengambarkan semangat 1Malaysia jika ia dilakukan oleh pihak Umno.
"Kita tidak pasti apa motif sebenarnya mereka bertindak sedemikian sehinggakan berlaku kecederaan kepada orang awam.
"Sama ada ia bermotif politik ataupun bersifat iri hati, pihak polis harus bertindak segera kerana kita tidak mahu kejadian tersebut berulang lagi," sambungnya lagi.
Sebelum ini, dalam insiden tersebut, seorang belia kaum India telah tercedera kerana dan dimasukkan ke Hospital pakar Seri Sentosa, Klang.
Turut hadir semasa laporan polis itu adalah Soladiriti Anak Muda Malaysia (SAMM) dan juga Hindraf.
Laporan dibuat di IPD Dang Wangi tengah hari tadi.
Apa Malaysia perlu ubah 10 tahun dari sekarang
http://ata-timetochange.blogspot.com, | 24 Jan 2012 |
Malaysia, pada sekilas pandang boleh dikatakan sebagai negara yang cukup bertuah kerana ada pelbagai bantuan alam kepadanya yang tiada di negara-negara lain. Sekilas pandang juga, orang akan menyangka bahawa rakyat Malaysia sudah tentu amat beruntung dilahirkan dan dibesarkan di negara ini. Itu mungkin telahan mereka yang memandang negara ini secara "surface" tanpa menilai secara kritikal dan rasional.
Seringkali saya mengutarakan dalam banyak-banyak perbincangan yang kami adakan, bahawa setiap individu yang merasa nikmat sebagai rakyat Malaysia wajib berfikir dengan lebih matang dan mempunyai cita-cita mereka tersendiri buat negara yang dicintai ini.
Orang akan bertanya, apa lagi yang tidak cukup di Malaysia?
Bangunan tertinggi?
Lapangan terbang yang tercanggih?
Pengeluaran hasil minyak yang berjuta-juta sehari?
Tidak bersyukur lagikah kamu dengan nikmat yang pelbagai ini?
Ya, saya bersyukur. Namun itu tidaklah menyebabkan saya buta pada hal-hal yang lain yang lebih kritikal dan mampu membawa kepada kesan buruk pada masa jangka panjang.
Tahun 2012 sahaja telah mencatat pelbagai isu dan konflik yang besar sehingga bukan sahaja saya, malah sesiapa sahaja pun turut mempersoalkan tentang perkara ini iaitu di manakah letaknya bangsa Malaysia pada 50 tahun akan datang jilalau hal-hal sebegini berterusan.
Maka hal ini menjadi kebimbangan dan kegusaran terbesar dalam diri saya secara jujurnya sehingga saya merasakan bahawa perlunya ada tindakan secara progresif bagi mencapai 2-3 perkara dalam tempoh 10 tahun akan datang demi memastikan mandiri bangsa Malaysia dari sudut budaya, sahsiah dan jati diri terus wujud di dunia ini.
Rejuvenisasi Sistem Pendidikan Secara Menyeluruh
Saya merasa amat yakin bahawa, apa yang terbentuk dalam diri saya dan rakan-rakan segenerasi ini pada waktu sekarang adalah hasil didikan dan proses pembentukan yang saya lalui sepanjang berada di alam persekolahan dan universiti (sekarang) oleh guru-guru saya yang mungkin lahir pada dalam era akhir 60-an sehingga 80-an.
Mereka menjadi guru, ibu bapa dan orang-orang berkepentingan dalam masyarakat (penggubal dasar) dan kemudiannya mereka inilah yang membentuk generasi sekarang sehingga anda sendiri boleh menilai wajah dan identiti generasi kelahiran 1990 dan ke atas sekarang.
Jikalau kita jemu dengan berita buang anak hampir setiap hari pada hari ini oleh generasi saya, berita menteri dan bijak pandai rasuah sana sini, berita politikus bercakaran hampir setiap masa dan ketika, berita pelajar cemerlang tetapi rosak moralnya dan pelbagai bentuk berita lain yang memualkan, tidak pernahkah kita bertanyakan soalan - kenapa boleh menjadi begini wajah bangsa Malaysiaku?
Dari faktor inilah, saya merumuskan bahawa, generasi saya sekarang terbentuk dengan wajah sebegini kerana memang kami dibentuk dengan acuan sebegini oleh sistem pendidikan yang bertanggungjawab membentuk kami sejak kami lahir lagi.
Maksud secara jelas ialah, sistem pendidikan yang generasi kami terima dari ibu bapa, guru-guru di sekolah, pensyarah-pensyarah di universiti, pemimpin-pemimpin masyarakat, dan suasana di sekeliling kami membesar inilah yang menjadi tukang ketuk dan bina dalam sistem ini.
Mereka di atas adalah orang yang bertanggungjawab membentuk kami. Saya tidak menyalahkan mereka secara keseluruhan, kerana mereka membentuk kami ini dengan cara seperti itu adalah juga merupakan hasil didikan yang mereka terima.
Dalam hal ini, mereka yang diberi amanah menggubal sistem pendidikan negara adalah bertanggungjawab untuk menjawab persoalan ini. Sudah tentu mereka mempunyai alasan untuk membentuk generasi bangsa Malaysia dengan cara sebegini, samada alasan itu mempunyai kaitan dengan kepentingan periuk nasi mereka atau hayat politik mereka maka hal itu saya serahkan kepada mereka untuk dijawab di hadapan ALLAH kelak.
Cuma, sebagai seorang rakyat Malaysia, saya memandang bahawa perlunya saya menyatakan pandangan dan komentar ini. Mungkin ia sama sekali tidak akan dibaca oleh para menteri (blog sebegini daif, mana mungkin menteri boleh tergugat) atau mereka yang berada di peringkat atasan, tetapi saya optimis bahawa rakan-rakan segenerasi dengan saya yang membaca artikel ini dan memahaminya, maka itu sudah menjadi suatu benih yang cukup baik untuk menimbulkan ketumbukan kesedaran dalam diri generasi akan datang mengenai hal ini.
Kita perlu berusaha mengubah kelaziman sistem pendidikan negara yang tidak mampu membentuk manusia menjadi manusia ini. Wajib untuk rakan-rakan pembaca sedar hakikat bahawa, kita sekarang dibentuk dan dididik adalah untuk memegang amanah membentuk dan mendidik generasi akan datang.
Dalam keadaan kita telah dibentuk dengan acuan yang salah, menjadi suatu produk yang tidak cukup sifatnya, tetiba kita mengharapkan generasi akan datang yang dibentuk oleh kita agar menjadi lebih baik, sudah tentu jawapannya sukar!
Mudahnya, sistem pendidikan sekarang masih gagal membentuk manusia menjadi manusia.Bagi saya, gagalnya sisitem pendidikan maka sudah pasti bangsa tersebut bakal menuju saat kehancurannya.Kerajaan di Putrajaya sekarang begitu berhak dan berkuasa untuk mengkaji dan mengubah kembali hal ini.Ini pilihan yang mereka ada.
Pilihan kami adalah cuma memilih siapa yang bakal menduduki pejabat di Putrajaya itu.
Perubahan Politik Negara - Perubahan Tahap Pemikiran Masyarakat
Saya yakin pasti ada yang tertanya-tanya, kenapa tidak meletakkan perubahan politik itu di tempat yang pertama?
Bagi saya, kerajaan yang sedia ada lebih dari mampu untuk merealisasikan hasrat di atas.Mereka ada kuasa dan diberi amanah untuk membentuk bangsa Malaysia sekarang. Jika mereka benar-benar amanah, sudah pasti mereka akan memikirkan persoalan di atas.
Jika mereka keras kepala, maka pilihan yang kami ada ialah menukarkan mereka dengan orang yang lagi baik untuk berada di tempat itu dan menjalankan amanah ini.
Kenapa Malaysia wajib melalui perubahan suasana politik?
Hal ini berkait rapat dengan tahap pemikiran masyarakat. Jikalau saya diberi peluang untuk migran ke negara lain, maka saya akan memilih negara yang pernah melalui prubahan politiknya secara menyeluruh dan matang. Contoh yang mudah ialah, Jepun dan Korea.
Masyarakat mereka begitu matang dalam hal politik sehingga mereka tidak lansung terkongkong dengan stigma bahawa cuma parti itu sahaja mampu membimbing negara mereka, dan yang lain tidak.
Seingat saya, Jepun mengalami tsunami politik secara besar-besaran dalam 3-4 tahun yang lepas apabila parti yang sudah memerintah negara itu puluhan tahun akhirnya tumbang kepada sebuah parti lain yang membawa harapan baru kepada penduduk negara matahari terbit tersebut.
Mungkin isu yang dihadapi oleh rakyat mereka tidak sama seperti yang dihadapi oleh rakyat Malaysia. Namun, nilai utama di sini ialah mereka berani dan matang dalam membuat keputusan sehingga rakyat Jepun sanggup mengubah kelaziman dengan suatu yang begitu mengejutkan.
Hal ini jelas menggambarkan tahap pemikiran rakyat mereka jauh lebih matang dan mereka memahami konsep patriotik secara jelas.Begitu juga hal yang berlaku di Taiwan dan Korea Selatan.
Maka, rakyat mereka tidak akan senang dikongkong dan ditipu oleh pemerintah. Mereka yakin dengan kuasa mereka sebagai rakyat yang berhak memilih siapa pemimpin mereka.Berbanding di Malaysia, kita masih tidak dapat mengelak dari stigma bahawa, dulu kini dan selamanya hanyalah UMNO/BN sahaja mampu menyelamatkan bangsa Malaysia.
Ini yang menjadi barah dalam masyarakat terutamanya kepada lapisan yang tidak mampu untuk mencapai maklumat dalam pelbagai isu secara tepat.Mudahnya mereka di felda-felda dan pedalaman masih kuat memegang stigma ini.
Saya tidak mengatakan semua dari mereka masih berkeadaan sebegitu, cuma sebahagian besarnya adalah begitu.Maka tidak hairanlah kenapa UMNO/BN masih mengharapkan felda-felda sebagai kubu kuat mereka untuk meraih undi dalm pilihan raya.
Berbanding di kawasan yang mempunyai akses maklumat secara meluas, kebanyakan rakyat Malaysia di kawasan-kawasan bandar sudah berani mengubah kelaziman ini.Buktinya, PRU-12 jeas menunjukkan UMNO/BN tergugat di kawasan-kawasan bandar.
Namun begitu, hal ini sepatutnya tidak menyebabkan Pakatan Rakyat merasa selesa kerana tugas menjernihkan stigma ketakutan kepada perubahan ini wajib terus dilaksanakan demi mencapai cita-cita berlakunya perubahan politik secara menyeluruh di Malaysia.
Saya sendiri kecewa, dengan kenyataan berupa ketakutan yang tidak berasas oleh rakan-rakan saya berkenaan dengan "ruler party", kedudukan Islam dan orang Melayu, Cina menguasai politik, dan sebagainya yang asalnya merupakan kesan daripada didikan yang mereka terima bahawa cuma UMNO/BN sahaja yang terbaik dulu kini dan selamanya.
Jikalau masyarakat Malaysia ingin melihat bangsa ini terus maju ke hadapan, adalah menjadi kewajipan untuk kita menghapuskan stigma ini dan melakukan sebuah perubahan politik secara besar-besaran dengan harapan ini akan membuka minda sesetengah rakyat yang masih terkongkong pemikiran mereka dengan ketakutan-ketakutan tersebut.
Secara asasnya, hal ini juga merupakan kesan daripada sistem pendidikan di Malaysia yang tidak pernah berhasrat melahirkan warga yang benar-benar matang politiknya secara jujur.Maka, untuk mencapai taraf yang lebih baik dan melihat negara dan bangsa Malaysia semakin maju, maka mereka perlu berani melakukan perubahan ini.
Media Yang Membina, Bukan Meruntuhkan
Kekadang, masyarakat boleh berubah kerana peranan yang media mainkan secara progresif dan konsisten.Peranan media adalah untuk membentuk suasana dalam masyarakat. Jika media sifatnya membina, maka masyarakat yang positif akan terbina.
Namun, jika medianya bersifat meruntuhkan, maka masyarakat pasti akan runtuh sepertimana yang ditunjuki oleh media tersebut.
Media juga merupakan medan pendidikan kepada masyarakat, malah mungkin memainkan peranan besar dalam membentuk rakyat Malaysia selama 54 tahun kemerdekaan ini. Jika kita merenung kembali mengenai peranan media di Malaysia, kita akan dapati bahawa wajah generasi Malaysia menjadi sebegini adalah kerana peranan yang dimainkan oleh media selama ini.
Saya ada menulis mengenai media di Malaysia semasa memberi komentar mengenaiisu iklan Ramadhan 8TV tahun lepas, iaitu perlunya media di Malaysia bergerak ke hadapan mengubah paradigma yang menyelubungi mereka selama ini.
Dalam artikel tersebut, saya mempertegaskan bahawa media Malaysia cuma menjadi alat propaganda sesetengah pihak berbanding mereka cuba berperanan mendidik masyarakat melalui penyiaran mereka. Sambil mengambil kira faktor tekanan politik, saya merumuskan bahawa inilah rupa media di Malaysia yang begitu meruntuhkan masyarakat.
Dalam pemerhatian saya terhadap rakan-rakan di kampus dan corak penyiaran media di Malaysia, saya merasa bimbang dengan generasi saya yang bakal memegang amanah kepimpinan masa hadapan dibentuk dengan cara sebegini. Ia seolah-olah telah menjadi suatu ukiran kekal bahawa anak-anak muda atau remaja di Malaysia pada waktu sekarang begitu mandul dalam mengambil tahu tentang isu yang kritikal dan berat yang sedang berlaku berbanding mereka lebih senang terbuai-buai dengan isu-isu sensasi seperti gosip artis, sukan, filem bapa rogol anak, bola sepak dan pelbagai lagi.
Ini hakikat yang mungkin menteri penerangan pun tidak sedar. Media di Malaysai telah berperanan mendidik masyarakat di negara ini supaya suka dan terbiasa dengan isu-isu sensasi yang akhirnya menyebabkan generasi kami terutamanya gagal untuk bertindak secata effektif sebagai warganegara yang demokratik dalam apa jua isu lain hyang lebih kritikal.
Walaupun mereka berada di kampus-kampus pengajian yang di atas bahu mereka sudah jelas bebanan amanah untuk membentuk generasi selepas mereka, namun lansung tiada kesedaran dalam diri mereka untuk mengambil tahu isu-isu yang lebih kritkal dan berkait rapat dengan pembentukan generasi akan datang untuk dibicarakan berbanding lebih mudah bersenang-lenang dengan isu-isu sensasi.
Saya tidak akan salahkan mereka, kerana setiap pagi apabila mereka menyelak halaman surat khabar sudah pasti mereka akan membaca tajuk berita utama yang kebanyakannya berbunyi, "Artis A Kahwin Lari Di Siam", "Bapa Bersifat Iblis Rogol Anak Gadisnya", "Angkara Cinta Terlarang, Artis Bunuh Diri" dan pelbagai lagi tajuk berita yang begitu memualkan!
Maka, suasana media yang sebeginikah yang mahu kita harapkan demi membentuk jiwa generasi di Malaysia?
Sampai bila hal ini mahu diteruskan oleh pengamal-pengamal media di Malaysia?
Tidakkah mereka memikirkan tentang kesan negatif yang begitu dahsyat akibat penularan paradigma sebegini terhadap seluruh bangsa ini?
Maka tidak hairanlah ramai rakan-rakan saya di kampus, juga di halaman sosial seperti Twitter, blog dan Facebook lebih selesa mengisi masa mereka dengan perbincangan isu-isu yang sensasi dan remeh-temeh sebegini.
Timbul persoalan dalam benak saya, mampukah generasi saya yang terbiasa dengan keadaan ini mahu mengambil alih tampuk amanah mentadbir negara pada masa hadapan dan menjadi lebih baik dari sekarang jika hal ini berterusan.
Rakan saya yang belajar di UK memberitahu, sebelum dia pulang ke tanah air selepas tamat pengajian, antara perkara yang dia lakukan ialah dia menyusun dan mengumpulkan surat khabar di sana menjadi bahan rujukan atau "buku teks" kerana isi kandungan akhbar berkenaan yang begitu analitik dan berfakta.
Hampir keseluruhan akhbar berkenaan menyiarkan artikel yang berkualiti, membicarakan isu-isu kenegaraan secara kritikal, menyiarkan komentar kolumnis yang berwibawa, dengan cuma memberi ruang yang sedikit untuk isu-isu hiburan semasa dan memberi maklumat secara jujur kepada pembaca.Ini yang diperkatakan oleh rakan saya, kini dia sedang menjawat jawatan peguam di sebuah firma di Malaysia.
Hari demi hari, tahun demi tahun, dekad demi dekad masyarakat di UK dibiasakan minda dan pembacaan mereka dengan suasana media sebegini.Dan kita melihat hasilnya sekarang yang mungkin menerbitkan perasaan cemburu dalam hati kita kepada mereka.
Begitu juga dalam hal penghasilam filem, drama, majalah, dan pelbagai lagi bentuk media, Malaysia perlu mengubah hakikat ini.
Saya mempersoalkan kenapa Filem Gadoh (2009) diharamkan penyiarannya secara rasmi sedangkan filem berkenaan begitu bagus dan penuh dengan nilai mendidik mayarakat Malaysia. Jikalau pihak kerajaan memberi alasan filem tersebut diharamkan kerana penggunaan dialog yang kasar dan berterus terang, saya ingin bertanyakan pula apakah babak-babak ranjang dalam Ombak Rindu dan pelbagai filem melayu sebelum ini begitu baik nilainya untuk tontonan umum?
Atau filem itu diharamkan semata-mata filem tersebut membawa idea bahawa kesilapan terbesar dalam proses pembentukan pelajar di sekolah adalah SISTEM yang menyebabkan semangat perkauman begitu tinggi, pergaduhan antara para pendidik dan sebagainya.
Secara halusnya, filem tersebut dianggap mengkritik kerajaan. Maka saksikanlah kejujuran media di Malaysia yang cuma menjadi medan mengaut keuntungan dan menjaga kepentingan politik sesetengah pihak.
Maka, lahirlah generasi Malaysia sepertimana yang kita saksikan di kampus-kampus, kampung, jalan raya, pusat serenti, pasar raya dan sebagainya.
Jika masyarakat Malaysia mahu melihat generasi ini berubah, maka lihat dulu bagaiman rupa media kita.
Bulatkan Tekad, Pilihan Di Tangan Kita
Pilihan di tangan kita. Saya cuma mengutarakan 3 perkara utama ini sebagai pemain utama yang perlu diubah oleh semua rakyat Malaysia sekiranya kita bercita-cita mahu melihat generasi akan datang yang lahir di tanah bekas jajahan British ini akan terus mampu mandiri dengan jati diri, budaya dan sahsiah yang begitu tinggi.
Kalau kita menghisabnya secara teliti, sudah pasti pelbagai masalah lagi yang perlu diubah.Itu tidak dinafikan.Namun, perlu kita sedar bahawa bukan semua perubahan yang kita harapkan dapat dilaksanakan dalam sekelip mata.
Dalam perbincangan ini, tiada istilah silap mata. Masing-masing perlu berperanan secara progresif menimbulkan kesedaran demi cita-cita Malaysia lebih baik pada masa akan datang. Kerana itulah saya meletakkan tempoh selama 10 tahun dari sekarang untuk melihat perubahan ini benar-benar berlaku.
Kerajaan yang sedia ada sekarang, lebih dari mampu untuk melaksanakan perubahan-perubahan di atas, Maka, ini juga merupakan teguran kami di peringkat rakyat terhadap kepimpinan negara ini.
Kalian punya kuasa untuk mengubahnya menjadi lebih baik.Kalian diberi amanah mentadbir dan membentuk kami di peringkat rakyat untuk menjadi manusia yang bersifat seperti manusia.
Tugas kami yang kalian sedia maklum, ialah memilih siapa yang berhak untuk berada di Putrajaya.Jika kalian enggan mengubah keadaan, kami bersedia mengubah kalian dengan orang yang lagi beramanah untuk mengubah keadaan masyarakat sekarang.
Dalam isu ini, saya tidak akan mengajak pembaca untuk menyokong sesiapa baik Barisan Nasional atau Pakatan Rakyat. Buatlah pilihan sendiri secara bijak.Namun, saya masih yakin bahawa, PR adalah pilihan yang lagi baik untuk rakyat Malaysia pada PRU-13 daripada BN.
Namun itu tidak bermakna mereka adalah yang terbaik!
Cuma, di peringkat kita teruskanlah usaha memberi kefahaman dan pencerahan kepada masyarakat di luar sana. Itu tanggungjawab hakiki.Seperti saya katakan di atas, perkara ini tiada istilah silap mata di dalamnya.Ia merupakan suatu proses, sudah tentu ianya akan memakan suatu tempoh masa yang lama.
Wallahualam.
Pemuda PAS Selangor kecam pasang kain rentang
Harakahdaily, | 24 Jan 2012 |
KUALA LUMPUR, 24 Jan: Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor mengecam tindakan tidak bertanggungjawab pihak-pihak yang cuba untuk melaga-lagakan Pemuda PAS negeri dengan kepimpinan Pakatan Rakyat negeri Selangor apabila didapati beberapa kain rentang telah dipasang di Selangor yang menunjukkan sikap tidak puas hati Pemuda PAS Selangor.
Ketuanya, Hasbullah Mohd Ridzwan menegaskan pihaknya menafikan segala kenyataan yang tertera di kain rentang tersebut dan menganggap tindakan itu hanyalah tindakan pihak yang ‘nakal’ yang cuba untuk mengeruhkan hubungan baik Pemuda PAS negeri dengan kepimpinan Pakatan Rakyat Selangor.
“Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor telah mengarahkan pemuda-pemuda di setiap kawasan untuk menurunkan kain-kain rentang ini dan membuat laporan polis di tempat masing-masing,” ujarnya dalam satu kenyataan.
PAS tinjau kolam udang prihatin aduan rakyat
Khairul Azlam Mohamad, | 24 Jan 2012 |
SETIU, 24 Jan: Kerajaan Umno dan Barisan Nasional (BN) Terengganu dipersoalkan kerana sanggup mengenepikan kepentingan rakyat demi menjayakan Projek Taman Akaukultur Udang Bersepadu (i-SHARP).
Projek i-SHARP tersebut melibatkan kawasan seluas 1,000 hektar atau 2,400 ekar tanah yang merangkumi beberapa buah kampung penduduk seperti Kampung Nyatoh, RTB Kampung Kubang Labi dan Kampung Banggol, Permaisuri, Setiu.
Difahamkan, projek kolam udang tersebut di bawah Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu (LTAWNT) dan dimajukan oleh Syarikat Blue Archipelogo Berhad dari anak syarikat milik Khazanah Nasional Berhad.
Sehubungan itu, PAS dan penduduk setempat bukannya membantah sebarang bentuk projek pembangunan tetapi tidak mahu menggadai masa depan rakyat.
Kehadiran anggota Lajnah Alam Sekitar PAS Pusat yang diketuai oleh pengerusinya, Zulkefly Mohamad Omar bersama beberapa orang jawatankuasa, baru-baru ini mengundang rasa kurang senang pihak pemaju projek tersebut.
Malah, ketika pimpinan PAS tersebut memasuki kawasan tapak projek telah disergah serta dihalang dari meneruskan tinjauannya bagi menyelami permasalahan sebenar rakyat.
Tinjauan Harakahdaily ke tapak projek i-SHARP bersama delegasi PAS itu hampir mencetuskan perkara yang tidak diingini serta layanan kurang baik pihak pengurusannya.
Zulkefly menjelaskan bahawa rombongannya adalah dari Lajnah Alam Sekitar PAS Pusat bagi membuat tinjauan serta melihat tapak projek i-SHARP.
Kata beliau, pihaknya menerima banyak aduan tentang kesan buruk yang dihadapi oleh penduduk akibat dari kewujudan projek kolam udang tersebut.
Menurutnya, pihak PAS dan rakyat secara umum tidak menentang sebarang bentuk pembangunan tetapi tidak mahu projek yang bakal mengundang 1,001 masalah.
“Kami dari rombongan Lajnah Alam Sekitar PAS Pusat, masuk ke sini (tapak projek) untuk melihat sendiri keadaan kolam udang dan persekitarannya.
“Kami (delegasi) masuk pun tidak ada ‘sekatan’ atau ‘halangan’ dari mana-mana pengawal sekuriti di pintu masuk dan apa salahnya.
“Penduduk mengadu dan mereka hadapi masalah sejak projek (i-SHARP) ini dimulakan dengan kesan banjir, pencemaran alam sekitar dan sebagainya. Itu yang kami hendak tengok (tinjau) di sini,” jelasnya kepada pegawai terbabit.
Menurut beliau, penduduk mendakwa projek i-SHARP telah menyebabkan berlaku banjir luar biasa, tanaman petani rosak, kehadiran kera hutan masuk kampung dan sebagainya.
Selepas kurang 10 minit, rombongan PAS itu beredar bagi mengelak kejadian yang tidak diingini.
Turut serta mengiringi delegasi tersebut Pengerusi Lajnah Alam Sekitar PAS Terengganu yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bertindak i-Bantah, Dr Azman Ibrahim.
Harakahdaily difahamkan, delegasi lajnah tersebut juga akan membuat tinjauan alam sekitar di Tasik Kenyir, Hulu Terengganu serta hakisan ombak di Pantai Tok Jembal, Kuala Terengganu.
Ikhwan Muslimin terajui kerajaan baru Mesir
MOHD RASHIDI HASSAN | rashidi@harakah.net.my, | 24 Jan 2012 |
Pusara kau siram dengan air matamu
Maka di atas tulang belulangku yang dah luluh
Nyalakanlah obor untuk umat ini dan
Lanjutkanlah gerak merebut kemenangan
Kematianku hanyalah suatu perjalanan
Memenuhi panggilan kekasih yang merindu
Taman-taman indah di syurga Tuhan
Terhampar menanti
Burung-burungnya berpesta menyambutku
Dan berbahagialah hidupku di sana
Puaka kegelapan pastikan lebur
Fajarkan menyingsing
Dan alam ini kan disinari cahaya lagi
Relakanlah rohku terbang menjelang rindunya
Jangan gentar berkelana ke alam abadi
Di sana cahaya fajar memancar.
- As-Syahid Syed Qutb
Selepas 46 tahun pujangga dan sasterawan ulung as-syahid Syed Qutb melakarkan syairnya di sebalik jeriji besi penjara, kini gerakan Islam di Mesir yang diterajui Ikhwan Muslimin sedang bergerak merebut kemenangan bagi seluruh rakyat Mesir.
Kemenangan besar Ikhwan di bawah kepimpinan Mursyidul Am, Dr Mohamed Badie, menerusi Parti al-Hurriyah wal 'Adalah (parti Kebebasan dan Keadilan atau Freedom and Justice Party - FJP) dan parti-parti gabungannya dalam Pilihan Raya Umum Mesir minggu lepas, iaitu hampir setahun selepas Presiden Hosni Mubarak digulingkan, merupakan suatu perubahan besar kepada landskap politik di negara-negara Arab.
Walaupun Syed Qutb dan beberapa orang pimpinan Ikhwan dizalimi sehingga mati syahid di tali gantung pada pagi Isnin 29 Ogos 1966, tidak dapat merasai nikmat kemenangan perjuangan Islam, sekurang-kurangnya roh mereka berbahagia disisi Allah, kerana pengorbanan mereka sudah ditebus Ikhwan.
Selepas tiga pusingan pilihan raya yang dianjurkan secara bebas dengan pemantauan dunia, keputusan muktamad pilihan raya umum Mesir mencatatkan FJP menang 232 kerusi Parlimen (lebih 45 peratus kerusi), Parti Nur Salafi meraih 113 kerusi, Parti Wafdu (Sekular) dengan 47 kerusi, Parti Kutlah (Sekular) mendapat 39 kerusi, Parti Fulul (bekas penyokong Hosni) memperolehi 17 kerusi, Parti Wasot Islami 10 kerusi, Parti Thaurah Mustamirah dengan 8 kerusi dan parti bebas mendapat 14 kerusi.
Sementara 18 lagi kerusi Parlimen sedang menanti untuk diadakan pilihan raya dalam masa terdekat.
Secara keseluruhannya FJP mendapat 13 juta undi, Parti Nur Salafi dengan 7 juta undi dan golongan sekular mendapat 5 juta undi. Gabungan golongan Islam FJP dan Salafi mencatatkan undi keseluruhan 20 juta undi.
Dengan kemenangan besar ini, sudah pasti FJP iaitu parti tajaan Ikhwan akan menerajui Kerajaan Mesir. Sementara dalam tempoh peralihan ini (selepas Mubarak dijatuhkan) sehingga kerajaan baru mengangkat sumpah, khususnya tugas-tugas mentadbir masih lagi di bawah tugasan tentera.
Ikhwan menerusi FJP akan menjadi peneraju utama untuk menggubal Perlembagaan baru Mesir. Dalam perlembagaan baru yang bakal digubal nanti, akan ditetapkan sama ada kuasa pemerintahan akan diserahkan kepada Parlimen, atau kepada Presiden.
Penggubalan Perlembagaan sudah dipersetujui untuk diserahkan kepada Parlimen yang dipilih secara demokratik oleh rakyat Mesir menerusi pilihan raya yang adil dan bebas.
Perlembagan ini digubal kerana, sebelum ini Mesir diperintah secara diktator oleh Mubarak. Pada zamannya Parlimen hanya diberi kuasa sebagai legislatif, tetapi hak mutlak administratif dan eksekutif di bawah kuasa penuh Presiden.
Pengubalan Perlembagaan ini juga akan menentukan terma-terma pembahagian kuasa antara Parlimen dan Presiden. Apa pun Perlembagaan baru Mesir akan disiapkan sebelum Pilihan Raya Presiden Mesir yang dijangka akan diadakan awal Jun depan.
Sebagai langkah peralihan kuasa, Perdana Menteri (sementara), Dr Kamal Ganzouri mengadakan perbincangan dengan Presiden FJP Dr Mohamed Morsi dan Setiausaha Agung FJP, Dr Mohamed Sa'du Katatni.
Dalam pertemuan itu Dr Morsi menegaskan bahawa agenda utama yang menjadi fokus FJP untuk digubal Perlembagaan Mesir adalah, mengutamakan kepentingan rakyat termiskin.
Pada pertemuan itu Dr Morsi menegaskan,"Keutamaan kami (FJP) adalah untuk mencapai kestabilan dan harmoni untuk kepentingan seluruh rakyat Mesir.
"Untuk itu, saya menekankan peri pentingnya kerjasama semua golongan dalam masyarakat, terutamanya golongan pasca revolusi yang menguasai Parlimen yang bakal dibentuk. Buat pertama kalinya dalam dekad ini (Parlimen) akan mewakili kepentingan seluruh rakyat Mesir."
Dalam langkahnya bertahaluf siyasi dengan pelbagai golongan untuk mencapai kestabilan politik dan keharmonian rakyat, FJP mencalonkan Setiausaha Agungnya sebagai calon Speaker Parlimen, yang merupakan jawatan yang mempunyai kuasa besar di dalam sistem demokrasi berpresiden.
Selain Dr Sa'du Katatni, FJP juga mengumumkan akan menyokong seorang wakil Parti Nur Salafi (golongan Islam) dan wakil Parti Wafdu yang berhaluan sekular sebagai Timbalan Speaker.
Dr Katatni bukannya calang-calang orang. Beliau merupakan antara seorang pejuang Ikhwan yang ulung. Di zaman diktator Mubarak, beliau dipenjarakan dan diseksa bersama dengan Dr Mohamed Morsi dan Essam El-Erian.
Dr Katatni merupakan sarjana Phd dalam jurusan sains yang pernah bertugas sebagai Profesor, mengajar subjek mikro biologi dalam bidang botani di Universiti Minia. Kemudiannya dilantik sebagai dekan fakulti pada tahun 1994-1998.
Beliau juga memperolehi ijazah dalam bidang Pengajian Islam di bawah Fakulti Sastera pada tahun 2000. Selain itu beliau merupakan Setiausaha Agung Jawatankuasa Pengajar Universiti berkenaan.
Selain pengalaman politik, pengamalan Dr Katatni dalam bidang akademik sangat hebat. Sepanjang kariernya, beliau mengawasi lebih 21 kajian untuk pemegang Master dan Phd dalam hal ehwal botani selain menulis 36 kajian, di mana beliau menjadi Pengerusi Persatuan Saintis di Minia.
Katatni menceburi bidang politik selepas menyertai Ikhwan Muslimin. Beliau bertanding dalam pilihan raya umum Mesir pada tahun 2005 dan menang mewakili daerah Minia.
Di dalam Parlimen (pada zaman Mubarak) Dr Katatni merupakan Ketua Whip Parlimen Ikhwan sebelum disumbat ke dalam penjara oleh rejim Mubarak.
Justeru pelantikan Dr Katatni sebagai calon Speaker dari FJP berdasarkan pengalaman yang luas serta sumbangan besar beliau dalam bidang akademik dan politik di Mesir.
Tidak dinafikan bahawa perhatian dunia khususnya golongan Barat tertumpu ke Mesir pada waktu ini. Wakil-wakil Barat saban hari mengunjungi Ibu Pejabat Ikhwan di Jabal Muqattam dan pejabat FJP di Manial al-Roda.
Bekas Presiden Amerika Syarikat, Jimmy Carter turut berkunjung. Beliau menemui Mursyidul Am, Dr Badie. Manakala Timbalan Setiausaha Luar Amerika, William Branze menemui Presiden FJP, Dr Morsi.
Malah dalam pertemuan berasingan Duta Besar British ke Mesir, James Watt menegaskan pihaknya bersedia untuk memberikan sokongan bagi memulihkan ekonomi Mesir.
Kemenangan Ikhwan menerusi FJP turut menarik perhatian diplomat German. Dalam satu artikelnya dalam akhbar Frankfurter Allgemeine Zeitung, Menteri Luar German, Guido Westerwelle membicarakan tentang peranan parti-parti politik Islam yang sedang membuat perubahan kepada landskap politik di negara Benua Afrika Utara dan dunia Arab yang disifatkan sebagai Arab Spring.
Westerwelle berpendapat, perubahan besar yang melanda negara-negara seperti Tunisia, Maghribi, Libya dan Mesir terutamanya, masih berhadapan dengan beberapa ancaman, antaranya pada saat kritikal peralihan kuasa dari rejim lama kepada kerajaan baru. Selain itu, Arab Spring menghadapi cabaran besar untuk memulihkan ekonomi kerana rakyat di kebanyakan negara terbabit berada dalam belengu kemiskinan.
"Kita harus membantu proses transisi di utara Afrika dan dunia Arab dalam bentuk politik dan ekonomi. Menerusi pelaburan, kerjasama pendidikan dan pasaran terbuka. Kita boleh bantu menaiktarafkan prospek ekonomi rakyat dengan memberikan peluang yang lebih kepada mereka untuk mendapat kehidupan yang selesa," ujar Westerwelle.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan