Khamis, 12 Januari 2012

KADANG2 MENUNJUK KEKAYAAN MENGUNDANG MUSIBAH...JIKA DAH BANYAK DUIT@KAYA RAYA..SUMBANGLAH PADA GERAKAN ISLAM...AMBIK SETAKAT KEPERLUAN SAJA

Jumpa Hasan: Ismail Kamus mahu saman media

Harakahdaily,

KUALA LUMPUR, 12 Jan: Bekas Adun Gombak Setia, Datuk Ismail Kamus menafikan dakwaan pihak media kononnya beliau hadir pada sidang media Datuk Dr Hasan Mohd Ali di Pinggiran Taman Tun Dr Ismail, 8 Januari baru-baru ini.

Beliau bertegas akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak media yang melaporkan berita palsu itu, lapor Harakah cetak yang sedang dalam pasaran sekarang.

“Ketika sidang media Hasan, pada hari Ahad saya dimasukkan ke Hospital Pantai kerana demam panas dan pagi tadi (10 Januari) saya baru keluar hospital,” katanya.

Menurut beliau, tidak ada sesiapa yang menghubunginya untuk menghadiri sidang media Hasan.

“Ini amat mengaibkan saya. Saya dikata bersekongkol dengan Hasan, ini tidak cantik. Nama saya sudah dikotorkan,” kata Ismail Kamus, bekas Adun Gombak Setia itu.

Ismail yang juga Tokoh Maal Hijrah Selangor untuk tahun 1433/2011 itu menang kerusi Dun Gombak Setia dalam pilihan raya umum 1999 atas tiket PAS.

Buletin Utama TV3 dan Astro Awani dalam laporan mereka berkata, majlis Hasan Ali yang diadakan di rumah beliau selepas beliau dipecat turut disertai oleh Ismail.

Selain itu, timbalan Mursyidul Am PAS Datuk Dr Harun Din dan anggota Parlimen Baling Ustaz Taib Azamudin juga dilaporkan menyertai majlis itu yang turut disertai oleh Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali itu.

Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man semalam menjelaskan, tiga pemimpin PAS itu tidak berada dalam majlis di rumah Hasan Ali itu.

"Ketika penjelasan itu diberikan, PAS mengesahkan bahawa Datuk Dr Haron Din sedang bermesyuarat Majlis Syura Ulamak di pejabat agung PAS, Ustaz Taib Azamuddin pula berada di China dan Ustaz Ismail Kamus sedang menerima rawatan,” terang Tuan Ibrahim Tuan Man dalam satu kenyataan semalam.

PKR cadang kerajaan ambil alih pengurusan NFC

Harakahdaily,

KUALA LUMPUR, 12 Jan: Kerajaan dicadangkan mengambil alih pengurusan National Feedlot Corporation (NFC) dari keluarga Datuk Seri Shahrizat Jalil melalui wakil-wakilnya sekurang-kurangnya ketika siasatan sedang berjalan.

Ini berikutan maklumat dalaman yang memberitahu, pengurusan NFC telah memanggil satu mesyuarat Lembaga Pengarah NFC dan Mesyuarat Agung Luarbiasa (EGM) minggu ini dengan hanya memberikan tempoh 3 hari untuk membuat beberapa keputusan penting.

Di antara agenda yang akan dibincangkan termasuklah membuat keputusan mengenai cadangan pengambilalihan National Meat & Livestock Corporation (NMLC) yang dimiliki oleh keluarga Shahrizat Jalil oleh NFC.

NFC adalah sebuah syarikat berkaitan kerajaan (government linked corporation) melalui saham khas yang dimiliki oleh Kementerian Kewangan.

Demikian kata Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli.

"Saya percaya tindakan tergesa-gesa memanggil mesyuarat Lembaga Pengarah NFC dan EGM dalam tempoh yang singkat ini berniat tidak baik dan akan mengganggu siasatan terhadap NFC yang sedang berjalan," katanya.

Pada masa yang sama, kata beliau, keputusan-keputusan yang diambil boleh merugikan rakyat melalui pelbagai urusniaga di antara NFC dan syarikat-syarikat milik keluarga Shahrizat, seperti mana yang telah didedahkan sebelum ini.

Keluarga Shahrizat didakwa mendapat pinjaman mudah kerajaan sebanyak RM250 juta untuk membangunkan NFC bagi memenuhi keperluan daging negara, namun projek itu gagal.

Pendedahannya dibuat melalui laporan Ketua Audit Negara baru-baru ini. Ekoran itu, pelbagai pendedahan dibuat termasuk pembelian kondo mewah oleh NFC di Bangsar dan juga Singapura. Turut didakwa, NFC juga membeli kondo di Australia.

"Oleh itu, saya mendesak Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Menteri Kewangan supaya tidak lagi berdiam diri dan campur tangan segera dengan membekukan sebarang aktiviti dan keputusan di dalam semua syarikat-syarikat yang pernah menggunakan dana RM250 juta yang diberikan oleh Kerajaan Malaysia," kata Rafizi hari ini.

Bagi beliau, bukan sahaja Menteri Kewangan (Datuk Seri Najib) cuba mencuci tangan dengan langsung tidak menerima pertanggungjawaban walaupun beliau sendiri yang menganugerahkan projek ini kepada NFC, malah kini kecuaian beliau boleh menyebabkan baki dana dan harta yang dibeli dengan dana rakyat lesap melalui pelbagai urusniaga yang dibuat selepas skandal ini didedahkan.

Muhyidin paling bersalah

Sebelum ini media melaporkan, program NFC diluluskan dalam Rancangan Malaysia ke 9 untuk meningkatkan pengeluaran daging negara. Ekoran itu, program dimasukkan dalam Jawatankuasa Berimpak Tinggi, yang dipengerusi timbalan perdana menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Razak.

Memandangkan tidak ada peruntukan untuk melaksanakannya, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani ketika itu, Tan Sri Muhyidin Yassin telah meminta peruntukan di bawah kementeriannya digunakan untuk membiayai projek itu.

Dari situlah, pinjaman mudah RM250 juta di keluarkan kepada NFC namun disalahgunakan untuk tujuan lain sehingga projek itu gagal mencapai sasaran dan ditegur oleh Ketua Audit Negara dalam laporannya.

Bagi Timbalan Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu, selain Shahrizat dan keluarga yang mengambil kesempatan, yang paling banyak bersalah dalam isu ini adalah Muhyidin yang sepatutnya memantau projek ini namun membiarkan wang rakyat diselewengkan.

Ketika PAS memecat Datuk Dr Hasan Mohd Ali, Muhyidin menyifatkan tindakan itu tidak Islamik kerana tidak memberikan peluang kepada Hasan untuk membela diri.

Namun seorang pemimpin PAS menjelaskan, Hasan telah diberikan terlalu banyak peluang termasuk berbincang dengan pimpinan tertinggi parti termasuk Mursyidul Am dan membuat kenyataan bagi membersihkan namanya namun Hasan terus bertindak merosakkan nama baik PAS di media lawan.

"Apa yang Muhyidin buat untuk 'perompak' wang rakyat ini. Inikah yang lebih Islamik?" soal pemimpin PAS berkenaan tetapi tidak mahu namanya disebutkan.

Exco Pulau Pinang isytihar harta secara terbuka

Harakahdaily,

GEORGETOWN, 12 Jan: Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang termasuk juga ex-officio seperti Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan Negeri dan Pegawai Undang-undang Negeri hari ini telah mengisytiharkan harta mereka secara terbuka.

“Ini memenuhi amanah peribadi dan juga komitmen politik Kerajaan PR Pulau Pinang,” kata Ketua Menteri, Lim Guan Eng (gambar).

Beliau telah mencadangkan 6 langkah integriti untuk memastikan kepimpinan yang lebih bersih berdasarkan prinsip CAT iaitu cekap, akauntabel, telus.

Pertama, parti-parti politik harus diharamkan daripada melibatkan diri dalam perniagaan, yang lazimnya membawa kepada konflik kepentingan. Bagaimana politik boleh bercampur dengan perniagaan, apabila politik itu bertujuan untuk menjaga kepentingan awam manakala tujuan perniagaan adalah untuk keuntungan peribadi? Contoh parti politik yang telah menjadi kaya melalui perniagaan boleh dilihat dalam kes MCA yang sekarang berupaya untuk memberi wang kepada ahli-ahlinya setiap tahun.

Kedua, pengharaman percampuran politik dengan perniagaan harus diikuti dengan kewujudan sistem tender terbuka untuk menghentikan kapitalisme kroni. Sistem tender terbuka akan memastikan kontrak yang tidak adil di mana Penjana Elektrik Bebas (IPP) dan syarikat-syarikat pengendali tol tidak akan mendapat keuntungan luarbiasa sebanyak berpuluhan ribu bilion ringgit sementara 27 juta rakyat dibebankan.

Rakyat Malaysia sudah pun kehilangan “satu dekad yang telah hancur dek korupsi”, di mana wang haram (termasuk wang rasuah) sebanyak RM1,077 bilion telah dibawa keluar dari negara kita dalam tempoh 10 tahun dari 2000 hingga 2009, mengikut unjuran laporan badan pemerhati kewangan Washington Global Financial Integrity (GFI). Skandal RM250 juta “lembu dan kondo” baru-baru ini di mana wang pinjaman untuk projek penternakan lembu yang telah diberikan kepada syarikat kepunyaan keluarga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dua tahun sebelum perjanjian ditandatangani, telah digunakan untuk pembelian kondominium mewah, menjadi bukti bahawa BN tidak akan berubah.

Tidak hairanlah mengapa laporan terbaru Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2011 badan pemerhati rasuah Transparency International (TI) telah menunjukkan bahawa Malaysia telah jatuh kepada tangga ke-60 daripada 183 negara, berbanding tangga ke-37 pada tahun 2003 apabila Tun Abdullah Ahmad Badawi mengambil alih pucuk pimpinan negara sebagai Perdana Menteri. Sebaliknya di Pulau Pinang, kita telah dipuji oleh TI kerana mengamalkan sistem tender terbuka.

Ketiga, Akta Maklumat Bebas untuk memastikan ketelusan dan juga pendedahan umum kontrak-kontrak kerajaan.

Keempat, semua penjawat awam yang memegang amanah awam hendaklah mengisytiharkan harta mereka.

Kelima, 125 cadangan oleh Suruhanjaya DiRaja Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan PDRM 2005 hendaklah dilaksanakan tanpa apa-apa syarat, terutama sekali penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC). IPCMC ini bertujuan untuk mengurangkan rasuah dan penyalahgunaan kuasa polis. Kegagalan untuk menubuhkan IPCMC hanya menunjukkan ketidak sanggupan Kerajaan BN untuk menangani persepsi negatif awam tentang polis.

Terakhir, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hendaklah dihukum untuk kegagalannya untuk bertindak atau menuntut tindakan daripada pihak berkuasa ke atas rasuah pilihan raya, terutama sekali kegagalannya untuk mematuhi Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 yang mengenakan had perbelanjaan pilihan raya sebanyak RM200,000 untuk kawasan parlimen dan RM100,000 untuk kawasan dewan undangan negeri.

Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP berkata, sudah jelas terbukti bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang bukan sahaja bersih dari segi fizikal, tetapi juga bersih dan telus dalam pentadbiran.

“Kita telah menunjukkan kesungguhan terhadap integriti nasional dengan pengisytiharan harta penjawat-penjawat awam tertinggi, iaitu Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco)," ujarnya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini.

Ini, ujarnya adalah ekoran daripada Akta Maklumat Bebas yang diperkenalkan dalam Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang tahun lepas serta sistem Tender Terbuka yang telah mendapat pujian daripada Transparency International dan juga Ketua Audit Negara.

Rumah Wardina dirompak, suami dipukul

Harakahdaily,
KUALA LUMPUR, 12 Jan: Rumah selebriti terkenal, Wardina Safiyyah (gambar) telah dipecah masuk dan dirompak tiga perompak bersenjatakan parang malam tadi, mengakibatkan kerugian lima buah komputer riba milik keluarganya.

Menurut Wardina yang berkongsi pengalaman mencemaskan keluarganya itu melalui laman sosial Twitter memberitahu, suaminya, Ikhwan Johari dipukul perompak manakala anak-anaknya sedikit trauma akibat insiden tersebut.

“We have been robbed! 3 robbers came into our house baru tadi! Indo workers. Kids and me terrified! All laptops 5 buah diambil. Hpless too.

“It was very scary seing 3 masked men carrying tongkat & parang in our house..was hiding under the blanket with kids, takut sangat Ya Allah.

“Police dah sampai..Pencuri bertopeng, pukul Ikhwan,” kata Wardina yang dipetik dari laman Twitter miliknya awal pagi tadi.

“Takut sgt dia apa-apakan kami, sbb marah tak de brng kemas…Kids trauma sikit,” katanya lagi.

Agak melucukan apabila perompak-perompak yang dipercaya warga Indonesia itu sempat memarahi Wardina sekeluarga kerana tidak menyimpan barang kemas di rumah mereka untuk dicuri.

Wardina atau nama sebenarnya Wardina Safiyyah Fadlullah Wilmot, 33, membuat laporan di balai polis berdekatan dan polis dan pihak polis masih menyiasat kejadian tersebut di rumahnya.

Buat masa ini, Wardina terpaksa meminjam komputer riba milik jiran untuk berkomunikasi dengan dunia luar.

Pengacara Malaysia Hari Ini (MHI) itu juga percaya bahawa perompak yang memasuki rumahnya itu masih berkeliaran di sekitar Ampang dan meminta orang ramai melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya ternampak beberapa warga Indonesia yang mencurigakan.

Terus menangi hati rakyat untuk ke Putrajaya

Harakahdaily,

KUALA LUMPUR, 12 Jan: Rakyat tidak akan memberi peluang kepada Barisan Nasional dan Umno untuk memerintah pada pilihan raya umum akan datang dengan pelbagai isu yang membebani parti itu, kata Pengerusi Jawatankuasa Disiplin, Datuk Dr Tan Kee Kwong.

Ketika merasmikan bilik gerakan JDM Sungai Mulia bagi Parlimen Wangsa Maju, malam tadi, Tan menegaskan keputusan mahkamah memutuskan Ketua Umum PKR, datuk Seri Anwar Ibrahim tidak bersalah juga akan menguatkan lagi sokongan rakyat terhadap Pakatan Rakyat.

"Banyak isu yang dihadapi Barisan Nasional yang rakyat tidak mampu terima. Malahan baru-baru ini keputusan mahkamah yang mendapati Anwar tidak bersalah juga akan menambah sokongan rakyat terhadap Pakatan Rakyat," katanya yang juga Penyelaras PKR Wangsa Maju di hadapan penyokong Pakatan Rakyat yang hadir.

Tambah beliau, anggota PKR dan Pakatan Rakyat harus bekerja dengan kuat untuk memenangi hati rakyat supaya sokongan itu berterusan hingga pilihan raya.

"Kita harus bekerja dengan kuat, kita harus menyampaikan mesej kepada rakyat, dan terus memenangi hati rakyat untuk kita tawan Putrajaya pada pilihan raya akan datang," kata bekas timbalan menteri itu lagi.

Tiada ulasan: