Rabu, 11 Januari 2012

ELOK BELIAU LETAK JAWATAN...MUNGKIN BERLAKU PERKARA NI DISEBABKAN DIRI KITA...KITA SAPE DIKALANGAN JEMAAH@AHLI

Abdul Khalid nafi didesak gugurkan Hasan Ali




KLANG – Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (gambar) menafikan beliau telah didesak pihak tertentu supaya menggugurkan Datuk Dr. Hasan Mohamed Ali sebagai Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri.

Menurutnya, Hasan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Gombak Setia dan bekas Pesuruhjaya Pas Selangor itu hanya dinasihatkan berbuat demikian kerana beliau tidak lagi mewakili Pas setelah dipecat serta-merta.

“Ini bukan soal (menerima desakan pihak tertentu) kerana sebagai Menteri Besar, saya menasihatkan (Hasan) kalau kita tidak diterima mewakili parti, lebih baik letak jawatan,” katanya selepas merasmikan Seminar Kelestarian Pemuliharaan Sumber Air di sini semalam.

Dalam pada itu, Abdul Khalid berkata, biarpun Pas sebahagian daripada jentera parti pentadbiran negeri, parti itu tidak mempunyai kuasa mutlak dalam menentukan siapa yang layak mengisi jawatan dalam barisan Exco kerajaan negeri.

Kosmo! kelmarin melaporkan Hasan dipecat sebagai ahli Pas berkuat kuasa serta-merta.

Pemecatan itu berdasarkan Fasal 82 (9) perlembagaan parti dan ia ekoran daripada beberapa tindakan Hasan yang bertentangan dengan dasar dan merugikan parti.

UMNO tak tawar keahlian kepada Hasan Ali




PUTRAJAYA - UMNO tidak membuat apa-apa tawaran keahlian kepada anggota Exco kerajaan negeri Selangor, Datuk Dr. Hasan Ali (gambar) yang dipecat oleh Pas kelmarin, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden UMNO ketika ditanya kemungkinan Hasan menyertai UMNO berkata, sebagai pemimpin bijak dan berpengalaman, Hasan boleh memilih mana-mana parti politik yang dianggap sesuai dengan perjuangannya.

"Kita (UMNO) tidak terburu-buru dalam hal ini malah kita tidak membuat apa-apa tawaran pun. Mungkin dia (Hasan) dapat fahami secara dalam apa Pas sebenarnya.

Pecat Hasan: PAS maklum kepada Kerajaan Selangor

Harakahdaily,

KUALA LUMPUR,11 Jan: PAS telah menghantar surat rasmi kepada Kerajaan Negeri Selangor bagi memaklumkan bahawa Exco Kerajaan Negeri, Datuk Dr Hasan Mohd Ali telah dipecat daripada menjadi ahli PAS.

Pemakluman itu dibuat melalui satu surat yang dihantar kepada pejabat Menteri Besar Selangor jam 2.00 petang tadi.

Surat yang ditandatangani oleh Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali itu disampaikan melalui faksimili.

Surat itu disahkan penerimaannya oleh Setiausaha Politik Menteri Besar, Faekah Husein.

Hasan Ali telah dipecat sebagai ahli PAS melalui satu mesyuarat Jawatan Kuasa PAS Pusat pada 8 Januari lepas.

Bagaimanapun beliau diberikan peluang untuk membuat rayuan kepada Majlis Syura Ulama PAS dalam tempoh 30 hari bermula pada tarikh keputusan pemecatan.

Ceramah pra Konvensyen Pakatan 13 Jan

Aziz Muda,

PETALING JAYA, 11 Jan: Konvensyen Pakatan Rakyat Ke-3 yang akan berlangsung di Stadium Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah, Suka Menanti, Alor Setar, Kedah, pada 14 Januari ini, ternyata berbeza berbanding konvensyen pertama dan kedua di Shah Alam dan Kepala Batas pada 2009 dan 2010 lalu.

Jika pada konvensyen pertama dan keduanya tidak terdapat program pra konvensyen, pada kali ini acara tersebut turut disusun oleh pihak penganjur.

Naib Presiden PAS yang juga Pengerusi Induk Konvensyen Pakatan Rakyat Ke-3, Datuk Mahfuz Omar (gambar) memberitahu, program tersebut akan diadakan pada malam 13 Januari (Jumaat) bermula jam 9.00 malam di setiap kawasan Parlimen di Kedah.

Bercakap pada sidang media di Pejabat Sekretariat Pakatan Rakyat, di sini, hari ini yang turut dihadiri AJK PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad; Naib Presiden PKR, N Surendran dan Naib Pengerusi DAP, Tan Kok Wai; beliau menjelaskan, kesemua program yang disusun itu merupakan program ceramah yang melibatkan tokoh-tokoh penting Pakatan Rakyat.

Bagi ceramah di kawasan Langkawi yang akan diadakan di Surau Kuala Melaka, Dun Ayer Hangat, penceramah terbabit terdiri daripada Pengarah Jabatan Pilihanraya PAS Pusat, Dr Mohd Hatta Ramli dan Ketua Pemuda PKR, Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Di kawasan Jerlun yang akan diadakan di Markas UPU Kerpan, Ayer Hitam, penceramah terbabit terdiri daripada Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin dan Datuk Ir Amiruddin Hamzah dari PAS negeri Kedah.

Bagi kawasan Padang Terap yang akan diadakan di Kampung Rambutan, Kuala Nerang, penceramah terbabit terdiri daripada Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub dan Naib Presiden PKR, Tian Chua.

Manakala ceramah di kawasan Pokok Sena yang akan diadakan di Dewan Orang Ramai Kampung Baru, Pekan Pokok Sena, penceramah terbabit terdiri daripada Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Fuziah Salleh dari PKR.

Ceramah di kawasan Kuala Kedah yang akan diadakan di Markaz PAS Telok Bagan akan disampaikan oleh AJK PAS Pusat, Mohamed Hanifa Maidin, Rafizi Ramli dari PKR dan Ngeh Koo Ham dari DAP.

Bagi kawasan Pendang yang melibatkan Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Siti Zailah Mohd Yusof, R Sivarasa dari PKR dan Mohamed Hanipa Maidin, program ceramahnya akan diadakan di Tapak Pasar Sehari di Tanah Merah.

Sementara ceramah bagi kawasan Sik yang akan diadakan di MTD Belantik di Pekan Sik pula, penceramah terbabit terdiri daripada Penolong Setiausaha Agung PAS Pusat, Datuk Takiyuddin Hassan, Pengerusi PKR Terengganu, Tuan Azan Ismail dan Ustazah Aishah Ghazali dari PAS negeri Kedah.

Di kawasan Jerai, ceramah yang akan disampaikan oleh Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Nasrudin Hassan, Dr Xavier Jayakumar dari PKR dan Dr Ismail Salleh dari PKR akan diadakan di Sungai Tok Pawang di Bedong.

Untuk ceramah di kawasan Merbok yang akan diadakan di Pusat Pengumpulan Produk Pertanian Lembah Jerai, penceramah terlibat terdiri daripada Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Dr Mariah Mahmud, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim dan Timbalan Pengerusi DAP, Dr Tan Seng Giaw.

Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa, Nga Kor Ming dari DAP dan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali, dijadualkan menyampaikan ceramah di Sungai Petani yang akan diadakan di Taman Seri Pinang, Sungai Petani.

Bagi ceramah di kawasan Baling yang akan disampaikan oleh AJK PAS Pusat, Abdul Wahid Endut, bekas Menteri Kesihatan, Dr Chua Jui Meng dari PKR dan M Kulasegaran dari DAP, program ceramahnya akan dilangsungkan Malau, Kuala Ketil dan Pekan Baling.

Program ceramah di Padang Serai pula akan diadakan di Dewan Chee Tean Khor di Padang Serai dengan penceramah terbabit terdiri daripada Datuk Husam Musa dan Exco Kerajaan Selangor, Elizabeth Wong dari PKR.

Bagi program ceramah di kawasan Kulim Bandar Baharu yang akan dilangsungkan di Dewan Bandaran Kulim membabitkan tiga orang penceramah yang terdiri daripada AJK PAS Pusat, Datuk Kamaruddin Jaffar, Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail dan Tony Pua dari DAP.

Kes liwat II lebih bermotif politik – peguam

Aslani M,

KOTA BHARU, 11 Jan: Seorang peguam hak asasi manusia, Mohammad Faizal Che Yusof (gambar) menganggap kes liwat II lebih bermotif politik dan ia bukannya kes dakwaan jenayah seksual.

“Dengan kata lain pendakwaan bermula sebaik menjelang pilihanraya umum ke-12 di mana kelihatan ada agenda politik pihak-pihak berkepentingan.

“Apa yang ingin dikemukakan di sini ialah fakta yang diperolehi daripada perjalanan kes itu sendiri,” katanya di sini.

Kelmarin Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membebaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada tuduhan liwat II memandangkan tiada bukti yang menyakinkan.

Faizal berpandangan berdasarkan kepada hujah pihak pendakwa, setidak-tidaknya mahkamah lebih awal tidak perlu memanggil Anwar membela diri.

Menurutnya sejak awal kes lagi pihak pembelaan begitu terbatas mendapatkan dokumen dan bukti sama ada sebelum atau semasa perbicaraan.

“Ia telah menjejaskan penyediaan kes bagi pihak Datuk Seri Anwar dalam menjawab tuduhan yang dikenakan.

“Selain itu tiadanya wibawa terhadap pembuktian berkaitan DNA. Keterangan berkaitan DNA dilakukan secara tanpa berwibawa atau berlaku kompromi yang tidak seharusnya.

“Mahkamah akhirnya memutuskan adalah tidak memadai untuk sabitan dibuat semata-mata disokong keterangan sekunder dalam kes-kes sedemikian,” ujarnya.

Katanya lagi mahkamah hanya ada satu keterangan sahaja iaitu pengadu Saiful Bukhari Azlan dan sabitan tidak boleh dilakukan tanpa keterangan menyokong dalam kes melibatkan jenayah seksual.

(Ikuti hujah lanjut peguam terbabit dalam Harakah edisi cetak keluaran akan datang)

Jangan ugut rakyat ‘hanya Umno bagi makan’

Mohd Firdaus,

KOTA KINABALU, 11 Jan: Para pemimpin Umno Barisan Nasional di negeri ini diingatkan tidak memperalatkan kemaslahatan dan kesempitan rakyat sebagai medan meraih undi dan populariti.

Ketua Penerangan Pemuda PAS Sabah, Mohd Julpikar Abd Mijan (gambar) menegaskan bahawa politik ugut mengugut dan ‘hanya Umno yang bagi makan’ perlu dihindarkan selagi mana keyakinan dan keesaan yang tinggi kepada Allah.

“Rosak Umno BN yang ada pada hari ini bukan disebabkan kepimpinannya yang lemah. Bukan juga faktor ketandusan kepimpinan yang baik.

“Tapi, rosak dan tandusnya Umno BN disebabkan kejahilan dan khurafat yang tidak pernah padam dalam diri mereka,” ujarnya.

Katanya, kesempitan hidup yang dialami rakyat menjadi tugas utama Umno BN bagi mengekalkan kuasa dan pemerintahan yang ada pada hari ini.

“Rakyat miskin, mereka tindas. Diberi macam-macam ugutan. Kononnya tiada Umno tiadalah tempat tinggal, tiadalah makanan dan tiadalah keselesaan.

“Ini fahaman khurafat yang Umno BN Sabah berjangkit dengan Semenanjung. Yang jadi mangsa, rakyat Sabah,” ujarnya.

Menurut beliau lagi, kedaifan dan kekurangan yang ada pada rakyat sebenarnya perlu ditingkatkan pengetahuan bagi mewujudkan sebuah masyarakat yang berilmu dan berpendidikan.

“Umno sepatutnya bila sudah berkuasa, mampu untuk membawa keluar rakyat daripada kepompong kemiskinan dan kedaifan ini. Jangan tahu mengkritik negeri yang dipimpin Pakatan Rakyat. Lihat dulu negeri yang dipimpin ini, sama ada betul atau tidak sudah menepati citarasa rakyat.

“Bagi pendidikan kepada anak-anak kampung, beri mereka sekolah dan pelajaran. Beri mereka penempatan yang bagus-bagus, punya kemudahan dan keperluan asas bukan suap mereka dengan ugutan dan kuasa,” tegas Julpikar.

Dalam perkembangan yang lain, Julpikar yang juga Ketua Penerangan PAS Sepanggar mempelawa para media dan wartawan untuk melihat sendiri hasil usaha dan kerja kuat Umno Sepanggar yang dikatakan menjiwai kehidupan rakyat.

“Kita (PAS) jemput semua para media dan wartawan untuk menilai sendiri kerja kuat Umno Sepanggar yang dikatakan sejak tahun 2009 ini.

“Sehingga ke hari ini, penduduk Kampung Numbak dan Kibagu masih tidak mempunyai jaringan perhubungan jalan raya yang baik,” jelasnya.

Kedua-dua kampung berkenaan hanya bersebelahan dengan mercu tanda dan kemegahan pasaraya One Borneo dan gedung ilmu Universiti Malaysia Sabah.




'Bersihkan Malaysia' pecutan akhir Pakatan ke Putrajaya

Aziz Muda,

PETALING JAYA, 11 Jan: Pakatan Rakyat akan memasuki pusingan akhir dengan penyusunan agenda khusus dalam usaha membentuk momentum kebangkitan rakyat, ke arah merealisasikan harapan pakatan itu menggantikan BN ke Putrajaya pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 yang akan diadakan tidak lama lagi.

Dengan tema 'Bersihkan Malaysia', pakatan tersebut akan melakukan pecutan akhirnya di Alor Setar, Kedah pada 14 Januari ini menerusi Konvensyen Pakatan Rakyat Ke-3, dengan perlaksanaan pelbagai agenda sebagai hala tuju bersama parti-parti gabungannya.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, pemilihan tema "Bersihkan Malaysia" bagi konvensyen itu merupakan gambaran komitmen yang tinggi di kalangan parti-parti gabungan Pakatan Rakyat bagi mengatasi masalah-masalah yang berlaku dalam negara sejak BN memerintah.

Menurutnya, dalam hubungan itu, tumpuan utama Pakatan Rakyat adalah terhadap persoalan krisis kepimpinan beramanah yang berlaku di dalam Kerajaan BN sehingga menyebabkan rakyat tertindas dalam pelbagai aspek.

Katanya, akibat krisis kepimpinan beramanah telah mencetuskan pelbagai krisis lain di negara ini termasuk krisis politik, ekonomi dan sosial.

"Semua itu telah menyebabkan negara berada dalam keadaan tidak sihat dan Pakatan Rakyat perlu mengatasinya dengan meletakkan kembali kepimpinan beramanah demi kepentingan negara serta rakyat dengan tindakan-tindakan yang tegas," katanya pada sidang media di Pejabat Sekretariat Pakatan Rakyat, di sini, hari ini.

Pemilihan Kedah sebagai tempat konvensyen itu, menurutnya, berdasarkan pusingan, hasil persetujuan bersama parti-parti gabungan Pakatan Rakyat untuk mengadakan program tersebut di negeri-negeri yang berada di bawah pemerintahan pakatan itu.

"Konvensyen Pakatan Rakyat Ke-1 telah diadakan di Shah Alam, Selangor pada tahun 2009, kedua di Kepala Batas di Pulau Pinang pada tahun 2010 dan kini tibalah pula ke Alor Setar di Kedah," jelasnya yang juga Pengerusi Induk Konvensyen Pakatan Rakyat Ke-3.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena menjelaskan, dengan itu dalam masa yang sama, semua pihak akan beralih tumpuan ke Kedah yang berada di bawah kepimpinan Datuk Seri Azizan Abdul Razak, untuk dinilai perkembangannya yang jauh lebih baik berbanding negeri itu berada di bawah pemerintahan BN sebelum ini.

Pada konvensyen tersebut, beberapa kertas kerja akan dibentangkan oleh pembentang-pembentang kertas kerja yang berwibawa meliputi empat aspek terpenting terutama dalam konteks semasa termasuk perkhidmatan awam, federalism, ekonomi dan Felda.

"Kertas kerja mengenai aspek perkhidmatan awam yang melibatkan cadangan kerajaan untuk melaksanakan Sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) akan dibentangkan oleh Datuk Husam Musa dari PAS, kertas kerja mengenai aspek federalism akan dibentangkan oleh Anthony Loke dari DAP.

"Manakala kertas kerja mengenai aspek ekonomi akan dibentangkan oleh Tan Sri Khalid Ibrahim dari PKR dan kertas kerja mengenai Felda pula akan dibentangkan oleh Haji Suhaimi dari PKR," tegas beliau.

Konvensyen tersebut akan berlangsung di Stadim Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah, Suka Menanti dengan melibatkan 600 perwakilan bagi setiap parti gabungan Pakatan Rakyat yang terdiri daripada PAS, PKR dan DAP, bermula jam 8.00 pagi dan berakhir jam 5.00 petang, manakala pada sebelah malamnya akan diadakan Rapat Rakyat Perdana.

Pada acara Ucapan Pembukaan Pimpinan yang bermula jam 9.15 pagi, pemimpin-pemimpin yang akan berucap termasuk Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak; Senator Tunku Abdul Aziz, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali dan Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali.

Mulai jam 10.30 pagi pula, akan bermula acara Ucapan Suara Nurani Rakyat Malaysia yang dipengerusikan oleh Datuk Johari Abdul yang turut melibatkan wakil Felda, Siti Khalijah; wakil penjawat awam, Brigadier Jeneral (B) Datuk Abdul Hadi Abdul Khatab; wakil Sabah, Tan Sri Simon Sipaun; wakil Sarawak, Nicholas Mujah; wakil budayawan, Dinsman; wakil akademik, Profesor Dr Nazari Ismail; wakil NGO, Datuk Ambiga dan wakil pemuda atau pelajar, Shukri Razab.

Mulai jam 11.45 pagi akan diadakan perbahasan perwakilan sehingga ke waktu rehat jam 1.15 petang yang akan disambung pula ke jam 2.30 petang dan akan disusuli dengan Pembacaan Ikrar Setia Para Perwakilan pada jam 3.00 petang.

Ini akan disusuli dengan ucapan penggulungan pimpinan yang dipengerusikan Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah dengan melibatkan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Setiausaha DAP, Lim Guan Eng; Presiden PAS, Tuan Guru Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Pengerusi DAP, Karpal Singh; Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Acara Rapat Rakyat Perdana yang akan diadakan di Stadium Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah bermula jam 7.00 malam dengan solat Maghrib dan Isyak berjamaah dan kemudian disusuli dengan ceramah oleh tokoh-tokoh penting Pakatan Rakyat.

Mereka terdiri daripada Datuk Seri Azizan Abdul Razak, Tan Seng Giaw, Tan Sri Khalid Ibrahim, Mohamed Azmin Ali, Tuan Guru Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Karpal Singh, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Turut hadir pada sidang media itu, AJK PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad, Naib Presiden PKR, N Surendran dan Naib Pengerusi DAP, Tan Kok Wai.

Tiada ulasan: