Hukum penggunaan wang Zakat
Nasrudin bin Hassan, | 13 Januari 2012 |
1. Golongan yang berhak menerima harta zakat telah ditentukan Allah, ianya tidak diserahkan kepada pilihan manusia atau pemerintah semata-mata. Setiap yang telah ditentukan Syarak perlulah dilaksanakan sebagaimana dikehendaki Syarak. Ini menjadi amanah penting yang dipikul oleh individu atau institusi yang bertanggungjawab menguruskan harta zakat; memungut dan mengagihkannya.
Menjadi satu kaedah yang disepakati oleh para Fuqahak bahawa;
تَصَرُّفُ الإِمَامِ عَلَى الرَّعِيَّةِ مَنُوْطٌ بِالْمَصْلَحَةِ
“Tidak tanduk pemimpin dalam perkara yang berkait dengan rakyat terikat dengan maslahah (untuk rakyat)”
(al-Asybah wa an-Nazair, Imam as-Suyuti).
Mengulas kaedah ini, Imam Ibnu Nujaim berkata;
إذا كان فعل الإمام مبنيا على المصلحة فيما يتعلق بالأمور العامة لم ينفذ أمره شرعا إلا إذا وافقه،
فإن خالفه لم ينفذ
“Oleh kerana perlakuan/tindakan pemimpin bagi urusan-urusan awam mesti terbina di atas maslahah, tidak dilaksanakan arahannya –dari segi Syarak- melainkan jika arahan itu menepati maslahah. Maka jika ia menyalahai maslahah, tidak harus dilaksanakan”
(al-Asybah wa an-Nazair, Imam Ibnu Nujaim, halaman 138).
2. Khusus bagi pengurusan kewangan, Saidina ‘Umar pernah menegaskan;
إني أنزلت نفسي من مال الله تعالى بمنزلة ولي اليتيم.
“Sesungguhnya aku meletakkan diriku dalam pengurusan harta Allah sama seperti kedudukan penjaga harta anak yatim”.
Penjaga harta anak yatim adalah adalah pemegang amanah. Tidak harus ia membelanjakan harta itu sewenang-wenang seolah-olah harta itu miliknya, sebaliknya ia hendaklah menguruskan harta itu bagi pihak orang lain dengan penuh kejujuran agar ancaman Allah dalam ayat berikut tidak berlaku ke atasnya;
إِنَّ الَّذِينَ يَأْكُلُونَ أَمْوَالَ الْيَتَامَى ظُلْماً إِنَّمَا يَأْكُلُونَ فِي
بُطُونِهِمْ نَاراً وَسَيَصْلَوْنَ سَعِيراً
(Surah an-Nisa’, ayat 10)
Menyentuh tentang pengurusan harta zakat, Imam an-Nawawi menegaskan; “Adalah dituntut ke atas pemerintah dan individu yang ditugaskan memungut zakat apabila diserahkan kepadanya urusan pengagihan harta zakat untuk memberi perhatian kepada memastikan dengan tepat orang-orang yang berhak terhadap harta tersebut, mengetahui bilangan mereka, kadar keperluan mereka dan kadar hak mereka”
(al-Majmu’, kitab az-Zakah, bab Qism as-Sadaqaat, 6/188).
3. Golongan yang berhak menerima zakat
Allah telah menghadkan orang-orang yang berhak menerima harta zakat kepada lapan golongan;
1. Untuk golongan fakir
2. Untuk golongan miskin
3. Untuk golongan muallaf yang hendak dijinakkan hatinya dengan agama
4. Untuk ‘amil-amil yang dilantik menguruskan zakat
5. Untuk hamba-hamba yang ingin memerdekakan dirinya
6. Untuk orang-orang yang dibelenggu oleh hutang
7. Untuk dibelanjakan bagi kemaslahan agama Allah (Fi Sabilillah)
8. Untuk orang-orang musafir yang terputus bekalan.
إِنَّمَا الصَّدَقَاتُ لِلْفُقَرَاءِ وَالْمَسَاكِينِ وَالْعَامِلِينَ عَلَيْهَا وَالْمُؤَلَّفَةِ قُلُوبُهُمْ وَفِي الرِّقَابِ وَالْغَارِمِينَ وَفِي سَبِيلِ اللَّهِ وَاِبْنِ السَّبِيلِ فَرِيضَةً مِنَ اللَّهِ وَاللَّهُ عَلِيمٌ حَكِيمٌ
“Sesungguhnya sedekah-sedekah (yakni zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, dan orang-orang miskin, dan amil-amil yang menguruskannya, dan orang-orang muallaf yang dijinakkan hatinya, dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang, dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. (Ketetapan hokum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana”.
(at-Taubah: 60)
4. Oleh kerana orang-orang yang berhak menerima zakat telah ditetapkan oleh Allah, tidak boleh sewenang-wenangnya kita harta zakat digunakan kecuali kepada kepada aspek-aspek yang ditentukan Syarak. Para ulamak menegaskan; Jika seorang telah tersalah memberikan zakatnya di mana ia membayar zakatnya kepada orang yang tidak layak menerima harta zakat, maka zakatnya tidak sah dan wajib diulangi.
(al-Fiqhul Wadhih, jil. 1, hlm. 514).
Kerana itu, amat penting diperhatikan kepada siapa kita salurkan zakat kita?
5. Pengertian Sabilillah
Jumhur ulamak terdahulu (termasuk ulamak-ulamak mazhab Syafi’ie) mengkhususkan Fi Sabilillah hanya kepada tentera-tentera Islam yang berperang di jalan Allah. Ini sebagaimana ditegaskan oleh Imam as-Syirazi dalam al-Muhazzab;
“Bahagian Fi Sabilillah diberikan kepada tentera-tentera yang berperang secara bersunguh-sungguh jika mereka tidak diberi gaji. Adapun tentera-tentera yang dibayar gaji oleh pemerintah, maka mereka tidak diberikan zakat kerana rezki dan keperluan mereka ditanggung oleh harta Negara (al-Fai’)”
(al-Muhazzab, Kitab az-Zakah).
6. Berkata Imam Nawawi ketika mensyarahkannya;
“Mengikut mazhab kami (yakni mazhab Syafi’ie), habuan fi Sabilillah yang disebut dalam ayat ialah dibelanjakan kepada tentera-tentera yang tidak diperuntukkan bagi mereka harta dari jabatan kerajaan di mana mereka berperang secara sukarela. Perdapat yang sama diutarakan oleh Abu Hanifah dan Malik”
(al-Majmu’, Imam an-Nawawi).
7. Namun terdapat para ulamak yang memperluaskan pengertian Fi Sabilillah ini kepada semua aktiviti dan usaha untuk kemaslahan Islam dan umat Islam. Di antara mereka, Imam al-Kasani yang menyebutkan dalam kitabnya yang terkenal (بدائع الصنائع):
Adapun firman Allah (وَفِي سَبِيلِ اللَّه): ia adalah ungkapan bagi semua usaha yang mendekatkan diri kepada Allah. Maka termasuk di dalamnya semua orang yang berusaha melaksanakan ketaatan kepada Allah dan berusaha di jalan kebaikan jika ia seorang yang memerlukan (harta zakat)”.
8. Menurut Imam Fakhruddin ar-Razi; Imam al-Qaffal telah menaqalkan dalam tafsirnya dari beberapa Fuqaha’ yang mengharuskan dibelanjakan zakat untuk semua bentuk kebaikan/kebajikan seperti membina benteng-benteng pertahanan, membangunkan masjid dan sebagainya kerana ungkapan Allah (وَفِي سَبِيلِ اللَّه) itu adalah umum”.
(Tafsir ar-Razi: 16/113, Lihat Fiqh az-Zakat, Dr. Yusuf al-Qaradhawi, jil. 2, hlm. 689).
9. Apa yang jelas dari kalimah yang digunakan Allah “Fi Sabilillah”, penggunaan harta zakat bagi tujuan ini hendaklah yang ada kaitan dengan agama dan ummah, bukan semata-mata kepentingan bersifat individu. Ini sebagaimana disentuh oleh Syeikh Rasyid Ridha dalam tafsirnya al-Manar; “Setelah dibuat kajian jelaslah bahawa yang dimaksudkan dengan Fi Sabilillah di sini ialah segala urusan kepentingan umum kaum muslimin yang dengannya tertegak urusan agama dan Negara. Ia bukan urusan kepentingan individu….”.
(Fiqhu az-Zakah, jil. 2, hlm. 692).
10. Ditegaskan juga oleh Syeikh Abdurraziq Nasir Muhammad (salah seorang ulamak al-Azhar, Mesir) dalam buku Fiqh Zakatnya; “Maksud kalimah Sabilillah ialah maslahah-maslahah umum yang melata manfaatnya kepada sekelian kaum muslimin, bukan yang khusus kepada individu tertentu sahaja”
(Fiqh az-Zakah Fi al-Mal wa al-Badan, halaman 139)
Nasrudin bin Hassan
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia
PAS mahu JK pilihan khas semak tangga gaji SBPA
Nazri Abdullah, | 13 Januari 2012 |
KUALA LUMPUR, 13 Jan: PAS mahu satu Jawatankuasa Pilihan Khas dibentuk bagi menyemak semula sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang diputuskan untuk ditangguhkan perlaksanaannya.
Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar (gambar) berkata, penubuhan jawatankuasa itu penting agar satu badan yang diberi kuasa penuh untuk melihat secara keseluruhan permasalahan yang timbul dalam isu tersebut.
"Seperti kita katakan sebelum ini, kita tetap tuntut Jawatankuasa Pilihan Khas untuk kaji secara keseluruhan dan selesaikan semua masalah berbangkit tentang SBPA ini.
"Kita mahu jawatankuasa ini meneliti dan menyusun semula struktur gaji kakitangan ini," katanya kepada Harakahdaily.
Mahfuz berkata, tangga gaji kakitangan awam ditentukan kumpulan Jusa dalam Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), manakala Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) pula tidak mempunyai kuasa untuk mempertaikaikan keputusan yang dibuat JPA itu.
Ekoran itu, jika semakan semula hanya melibatkan perbincangan antara Ceupacs dan JPA, ianya dikhuatiri tidak dapat menyelesaikan persoalan berbangkit secara keseluruhannya.
Semalam Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengesahkan perlaksanaan skim SBPA yang septutnya bermula 1 Januari lalu, ditangguhkan untuk disemak semula.
Keputusan untuk semakan semula itu dibuat selepas perbincangan dengan Ceupacs.
Ceupacs yang merupakan badan induk mewakili 900,000 daripada 1.4 juta kakitangan awam itu sebelum ini mendakwa tidak dipanggil berbincang berhubung perlaksanaan skim bari itu.
Mengulas lanjut Mahfuz berkata, penangguhan itu sekaligus membenarkan dakwaan PAS sebelum ini bahawa ianya dibuat secara tergesa-gesa tanpa kakitangan awam diberi maklumat sebenar.
Malah lebih dari itu katanya, kerajaan sebelum ini juga menggunakan pendekatan ugutan dan paksaan terhadap kakitangan awam agar menandatangan pertukaran ke skim tersebut.
"Tindakan kerajaan yang membelakangkan Ceupacs sebelum ini adalah sesuatu yang tidak wajar dan menunjukkan kerajaan sebenarnya tidak mesra pekerja.
"Kita juga bimbang penangguhan ini hanya sekadar gimik menjelang pilihan raya, namun selepas pilihan raya semua cadangan JPA ini akan dilaksana semula," katanya.
Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena sebelum ini mendedahkan bahawa penjawat awam dalam Kumpulan Premier, yang dianggarkan dalam jumlah sekitar 40 orang, akan menerima gaji antara RM35,000 hingga RM60,000 tidak termasuk elaun tetap, elaun perumahan dan elaun khas pembantu rumah serta lain-lain.
Menurut beliau, penjawat awam dalam kategori satu Kumpulan Premier akan menerima gaji RM60,000, RM45,000 (kategori dua), RM40,000 (kategori tiga) dan RM35,000 (kategori empat).
Sedangkan katanya kakitangan Kumpulan Pelaksana hanya menerima kenaikan sekitar RM80, RM100, RM200.
"Maklumat yang saya terima, mereka yang bergred J54 hanya mendapat kenaikan pada kadar sangat rendah berbanding Jusa C ke atas yang mendapat kenaikan gaji antara RM6,000 hingga RM12,000," katanya.
Kakitangan Pejabat Agung PAS meninggal dunia
Harakahdaily, | 13 Januari 2012 |
KUALA LUMPUR, 13 Jan: Petugas di Pejabat Agung PAS, Syed Mohamad Syed Hasan, 62, meninggal dunia pagi ini.
Beliau yang mengalami batuk sejak malam tadi meninggal di rumahnya di Taman Melewar kira-kira jam 8.30 pagi.
Menurut isterinya, Saribah Salleh, allahyarham kelihatan agak lemah sekitar jam 8 pagi ini.
Katanya, doktor yang dipanggil ke rumah kira-kira setengah kemudian mengesahkan bahawa suaminya telah meninggal dunia.
Jenazah allayarhan kini berada di rumahnya dan akan dimandikan jam 11 pagi.
Jenazah akan dikebumikan setelah disembahyangkan selepas solat Jumaat di di Masjid Ar-Rahimah, Greenwood.
Allahyarham meninggalkan enam orang anak.
Antara yang awal menziarahi jenazah beliau adalah Datuk Mustafa Ali, Setiausaha Agung PAS.
Harakah melalui Pengarah Urusannya, Datuk Kamarudin Jaffar (gambar) telah menyampaikan sumbangan khas untuk keluarga Allahyarham.
Sumbangan disampaikan Kamarudin kepada isteri Allahyarham, Saribah di Masjid Ar Rahmaniah, Taman Greenwood ketika jenazah Allahyarham sedang dimandikan pagi tadi.
Ramai pemimpin PAS turut bersama dalam solat jenazah untuk Allahyarham yang diadakan sebaik sahaja selesai solat Jumaat di masjid itu. Antaranya Datuk Husam Musa, Naib Presiden PAS.
Zakat: Umat Islam dapat layanan macam Jamil Khir?
Harakahdaily, | 12 Januari 2012 |
KUALA LUMPUR, 12 Jan: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) melihat penjelasan Pengarah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Datuk Che Mat Che Ali yang merujuk kepada kenyataan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Wan Zahidi Wan Teh bahawa penggunaan wang zakat kes guaman adalah dibolehkan demi mempertahankan kedaulatan Islam merupakan suatu kenyataan yang amat pelik dan mengelirukan.
Ketua penerangannya, Riduan Mohd Nor (gambar) berkata, DPPM merasa kesal kerana Che Mat begitu mudah menghalalkan penggunaan wang zakat oleh Datuk Seri Jamil Khir dan MAIWP dengan alasan ‘mempertahankan kedaulatan Islam’.
Katanya, DPPM mempersoalkan, bagaimana Che Mat boleh mendefinasikan kes penggunaan wang zakat sebagai ‘mempertahankan kedaulatan Islam’.
Ini, ujarnya kerana saman yang dikemukakan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap individu terbabit kerana beliau mahu membawa kesnya di mahkamah syariah sebaliknya ia dinafikan dan akhirnya ia dibawa ke mahkamah sivil.
“Adakah usaha mempertahankan kes Anwar daripada dibawa ke mahkamah syariah juga boleh dikategorikan sebagai ‘mempertahankan kedaulatan Islam’?
“Bukankah Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sepatutnya dianggap ‘mempertahankan kedaulatan Islam’ kerana mahu membawa kesnya ke mahkamah syariah dengan mengikut undang-undang Islam, tetapi haknya dinafikan sehingga beliau diheret ke mahkamah sivil?” soalnya.
Selain itu, kata beliau sekiranya benar duit zakat yang digunakan oleh Datuk Seri Jamil Khir adalah ‘untuk mempertahankan kedaulatan Islam’, mengapa duit zakat itu dipulangkan balik.
Soalnya lagi, mengapa ia tidak terus dianggap sebagai asnaf yang layak mendapat zakat.
Beliau berkata, pemulangan duit zakat itu menunjukkan seolah-olah MAIWP bersetuju bahawa duit zakat itu tidak patut digunakan untuk kos guaman maka ia perlu dipulangkan balik setelah mendapat peruntukan kerajaan.
“Adakah dengan kenyataan Datuk Che Mat menunjukkan MAIWP mengakui bahawa kos pendahuluan untuk kes guaman tersebut menggunakan duit zakat?” katanya.
Jika begitu, kata beliau mengapa daripada awal MAIWP dan Jamil Khir menafikan penggunaan duit zakat sebaliknya menjelaskan ia diambil dari peruntukan kerajaan.
Jika Che Mat mengakui demikian, ujar beliau ia bermakna MAIWP dan Jamil Khir telah berbohong kepada rakyat sehingga akhirnya terpaksa mengakui malah membenarkan penggunaan duit zakat atas alasan untuk ‘mempertahankan kedaulatan Islam’.
“Sudahlah berbohong, menghalalkan penggunaan duit tersebut pula demi mendaulatkan Islam, seolah-olah bagi Datuk Che Ali, duit itu adalah halal untuk kegunaan kos guaman Datuk Seri Jamil Khir dan beberapa orang yang lain,” ujarnya.
DPPM, ujarnya musykil adakah dengan kenyataan itu ia bermaksud mereka yang mempunyai kes mahkamah dengan isu yang sama seperti Jamil Khir berhak mendapat zakat sebagaimana keistimewaan yang diterima oleh beliau.
Jika demikian, tambah beliau DPPM akan mewar-warkan kepada umat Islam yang mempunyai kes mahkamah atas isu yang berkaitan boleh memohon zakat kerana alasan ‘ingin mempertahankan kedaulatan Islam’.
“Mungkinkah umat Islam boleh mendapat hak dan layanan yang sama seperti yang dinikmati oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri?” tanya beliau.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan