Selasa, 10 Januari 2012

DUNIA IBARAT RODA..DIATUR OLEH ALLAH MAHA ESA DAN MAHA KUASA..ISLAM AGAMA ALLAH..MENENTANGNYA@MELAWANNYA SEPERTI MENENTANG@MELAWAN ALLAH SWT

Kelantan jadi hub barangan halal

Rizal Tahir,

(Husam di The 16th Chinese New Year Shopping Festival In Sinchuan)

CHENGDU, China, 9 Jan: Kelantan dicadangkan menjadi hub barangan halal di rantau Asia Pasifik memandangkan negeri itu berupaya mencapai hasrat tersebut.

Bagi menjayakan hasrat itu juga, Pertubuhan Islam Asia Pacific (PIAP) perlu ditubuhkan untuk memberi tumpuan kepada barangan halal khususnya kesedaran pengguna terhadap barangan halal dan kualiti.

Pengarah The Economic Development Administrative Center Of Cheng Du Municipal Islam Association PRC, Moussa Ma Jian Xue, berkata demikian sewaktu perjumpaannya dengan exco kerajaan negeri Kelantan, Datuk Husam Musa, di sini baru-baru ini.

“Bagi mencapai hasrat itu, kerjasama persijilan halal antarabangsa khususnya barangan dari negara China serta latihan dalam indutri pengeluaran produk halal perlu diadakan bersama,”ujarnya.

Katanya lagi, bagi menjayakan hasrat berkenaan, satu expo pameran produk halal di peringkat antarabangsa sebanyak dua kali setahun perlu diadakan di Kota Bahru.

“Expo barangan halal ruang pameran halal dari seluruh dunia dua kali setahun di Kota Bahru dengan menyediakan ruang pameran yang besar untuk barang halal dari seluruh dunia juga perlu diadakan,”ujarnya lagi.

Dalam lawatan tiga hari itu juga, deligasi kerajaan negeri turut dibawa melawat The 16th Chinese New Year Shopping Festival In Sinchuan, salah satu expo sempena tahun baru Cina.

Rumah kos rendah dalam taman

Sementara itu, sebanyak 1,000 rumah kos rendah dan sederhana mampu bilik dijangka akan dibina di negeri ini oleh sebuah syarikat terkemuka di wilayah tersebut.

(Gambar: Husam melihat model pembangunan perumahan yang dibuat oleh Jindi)

Syarikat Sichuan Jindi Co. Ltd. telah menyatakan kesediaan mereka untuk melaksanakan pembinaan berkenaan sewaktu pertemuan dengan exco kerajaan negeri, Datuk Husam Musa, baru-baru ini, di sini.

“Syarikat Jindi Co. Ltd secara asasnya telah menyatakan persetujan mereka untuk membina projek perumahan mampu milik di Kelantan.

“Sekurang-kurangnya 1,000 unit rumah kos rendah dan kos sederhana akan dibina oleh syarikat ini,” ujar Husam selepas pertemuan dengan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Jindi Co. Ltd. Weijie Zeng.

Tambahnya, perbinaan itu nanti akan diterapkan dengan falsafah rumah dalam taman seperti yang digunakan di wilayah tersebut.

“Konsep rumah dalam taman sangat harmoni dan akan memberi ketenangan kepada penduduk nanti,” ujarnya lagi.

Husam adalah dalam lawatan balas kerajaan negeri ke wilayah aitu selepas di jemput oleh Weijie Zeng yang melawat Kelantan sebelum ini.

Manakala Weijie Zeng dijangkakan akan melawat Kelantan dua minggu lagi untuk melawat lokasi yang dijangka bagi membina projek perumahan berkenaan.

Turut serta dalam sesi lawatan itu, CEO Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK), Ir Mustapha Salleh dan Ahli Lembaga Kelantan Gold Trade, Dr Hanapi Mohamad.




Salihiah: Mufti sudah jelaskan kepada Agong

Harakahdaily,

ALOR SETAR, 9 Jan: Mufti Kedah telah menjelaskan isu Madrasah Salihiah kepada Yang Dipertuan Agung dan akan ke mahkamah bagi menjelaskan dengan lebih terperinci.

Datuk Syeikh Baderudin Haji Ahmad memberitahu, beliau lebih senang untuk mengemukakan hujah yang dibuat oleh Majlis Fatwa Negeri Kedah berhubung isu cadangan istibdal tanah wakaf Madrasah Salihiah di mahkamah.

“Lebih senang saya bercakap dengan orang cerdik di mahkamah dengan membawa segala hujah dan bukti,” katanya.

Bercakap kepada wakil Warta Darul Aman di pejabatnya, beliau berkata apa yang diputuskan oleh Majlis Fatwa adalah berdasarkan apa yang diminta oleh pihak jawatankuasa Madrasah Salihiah.

Malah, katanya, apa yang diberi (kepada Majlis Agama Islam Kedah) lebih besar dari apa yang diminta.

“Nilaian semasa tanah wakaf itu cuma RM800 ribu tetapi pihak terbabit setuju bayar RM1.48 juta.

"Begitu juga surau ganti dibuat dengan lebih besar di tingkat bawah bagi memudahkan jemaah memasukinya,” terang Datuk Syeikh Baderudin (gambar).

Sebelum ini Mufti Kedah itu telah mempelawa Badan Bertindak Selamatkan Madrasah Salihiah (BBSMS) untuk bertemunya bagi menjelaskan perkara sebenar tetapi BBSMS enggan sebaliknya mengemukakan tuntutan di mahkamah.

Berhubung pemakluman fatwa terhadap SPB Yang DiPertuan Agong, beliau menjelaskan bahawa secara rasmi pihaknya belum berbuat demikian dan akan menghantar empat orang wakil Majlis Fatwa Negeri untuk bertemu baginda bagi memperjelaskan keputusan fatwa secara terperinci.

“Tetapi secara tidak rasminya saya telah menjelaskan kepada Tuanku dan baginda bersetuju terhadap fatwa tersebut,” ujarnya.

Adam Adli digantung 3 semester

Harakahdaily,
TANJUNG MALIM, 9 Jan: Pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Adam Adli Abdul Halim (gambar) digantung tiga semester oleh universiti itu selepas didapati bersalah kerana menurunkan gambar Datuk Seri Najib Razak.

Menurut maklumat yang Harakahdaily terima, keputusan menggantung Adam diputuskan oleh pihak jawatankuasa tatatertib UPSI hari ini.

"UPSI ada tiga pilihan, memberikan amaran, menggantung pengajian atau memecat Adam dari UPSI...nampaknya UPSI memilih hukuman pertengahan iaitu menggantung beliau tiga semester," kata sumber kepada Harakahdaily.

Pertuduhan tersebut berkait tindakan Adam Adli menurunkan bendera bergambar muka Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di bangunan PWTC, 18 Oktober lalu dan keterlibatannya dalam demonstrasi di hadapan UPSI, 31 Disember lalu.

Sebelum ini, tindakan Adam Adli menurunkan bendera Najib sebagai tindakan protes terhadap sistem pengajian tinggi telah menerima pelbagai ugutan termasuk ugutan bunuh, pukul, ludah dan cacian.

Ugutan yang dihantar kepada Adam Adli termasuk daripada beberapa blogger Pro Umno, kiriman SMS malah video melalui youtube yang mengugut ingin meludah dan memukul mahasiswa ini.

Adam Adli, Koordinator Legasi Mahasiswa Progresif (LMP) merupakan pelajar semester kelima dan berbaki satu semester pengajian.

Sementara itu, Solidariti Mahasiswa Malaysia akan memfailkan kes penggantungan Adam Adli di Mahkamah Tinggi.

Pertuduhan tersebut berkait tindakan Adam Adli menurunkan bendera bergambar muka Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di bangunan PWTC, 18 Oktober lalu dan keterlibatannya dalam demonstrasi di hadapan UPSI, 31 Disember lalu.

Adam Adli merupakan pelajar semester kelima dan berbaki satu semester lagi sebelum menamatkan pengajian.

Sementara itu, Solidariti Mahasiswa Malaysia akan memfailkan kes penggantungan Adam Adli di Mahkamah Tinggi.

Khalid: Pembebasan Anwar rancakkan reformasi ekonomi

Harakahdaily,
KUALA LUMPUR, 9 Jan: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim berkata, pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Penasihat Ekonomi Selangor dari tuduhan liwat hari ini bakal merancakkan agenda reformasi pentadbiran dan politik negeri itu.

Dalam satu kenyataan hari ini, Khalid berkata, keputusan itu juga memberi lonjakkan moral kepada Pakatan Rakyat Selangor untuk bekerja lebih keras.

“Dengan Anwar sebagai Penasihat Ekonomi, Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat Selangor akan meneruskan agenda reformasi pentadbiran dan politik demi kebaikan rakyat,” tambah beliau lagi.

“Bagi Pakatan Rakyat, keputusan ini menjadi lonjakan moral kepada kami untuk bekerja lebih keras bagi merealisasikan agenda reformasi. Masih banyak yang perlu dilakukan kerana politik di Malaysia masih tidak sekata,” kata Khalid.

Dalam pada itu beliau juga menyifatkan keputusan Mahkamah Tinggi itu sebagai satu langkah positif ke arah sistem kehakiman yang bebas.

Katanya, keputusan ini jua membuktikan kematangan sistem kehakiman namun masih banyak yang perlu diperbaiki ke arah badan kehakiman yang benar-benar bebas.

Beliau juga mengucapkan tahniah kepada penyokong Pakatan Rakyat kerana sekali lagi berjaya mengadakan perhimpunan secara aman dan bertanggungjawab selain berterima kasih kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang mengawal perhimpunan dengan berhemah.

Beliau bagaimanapun kesal dengan kejadian letupan di luar Kompleks Mahkamah yang menyebabkan beberapa individu cedera.

“Saya berharap polis menyiasat kejadian ini secara adil dan telus. Penjenayah yang terlibat dalam kejadian ini perlu menerima hukuman yang setimpal,” katanya.

Kemenangan rakyat yang cinta keadilan

Aziz Muda,

KUALA LUMPUR, 9 Jan: Keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini yang melepaskan dan membebaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim dari sabitan kes liwat di bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan, membuktikan kebenaran akan tetap mengatasi kebatilan.

Penolong Setiausaha Agung PAS, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi (gambar) berkata, keputusan itu juga turut membuktikan segala tuduhan dan tohmohan para pemimpin Umno BN terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim selama ini ternyata palsu dan fitnah semata-mata.

"Tahniah saya ucapkan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dan keluarganya di atas keputusan itu setelah melalui pelbagai liku dan cabaran getir sejak bertahun-tahun lalu," katanya ketika ditemui di lobi Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Menurutnya, keputusan tersebut bukan sahaja kemenangan bagi Anwar dan keluarganya, tetapi merupakan kemenangan seluruh rakyat Malaysia yang cintakan keadilan dan kebenaran.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Lajnah Antarabangsa PAS Pusat berkata, setelah Anwar dilepas dan dibebaskan oleh mahkamah hari ini, seluruh pemimpin dan penyokong Pakatan Rakyat perlu melipatgandakan lagi usaha untuk menumbangkan Umno BN dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 yang akan diadakan tidak lama lagi.

"Ini adalah satu permulaan yang baik dan kuasa rakyat akan menjadi penentu bagi menjamin kemenangan Pakatan Rakyat pada PRU Ke-13 nanti," katanya yang juga Adun Batu Buruk, Kuala Terengganu, Terengganu.

Dengan kemenangan rakyat pada hari ini, beliau turut yakin landskap politik tanah air akan berubah pada PRU Ke-13 nanti sehingga membolehkan Pakatan Rakyat akan melangkah dengan bergaya ke Putrajaya dengan kuasa rakyat.

Sementara Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Terengganu, Tuan Azan Ismail pula ketika ditemui berkata, keputusan mahkamah hari ini jelas membuktikan tiada sebarang kes atau isu mengenai liwat yang boleh disabitkan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak dari awal lagi.

"Segalanya ternyata hanyalah konspirasi para pemimpin Umno BN untuk menyekat Datuk Seri Anwar mara ke hadapan bersama Pakatan Rakyat, sehingga mereka melakukan pelbagai cara termasuk menggunakan DNA yang amat meragukan, tetapi akhir mereka tetap juga tidak berjaya," katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Indera Mahkota berkata, keputusan tersebut turut membuktikan niat jahat Umno itu tidak diterima oleh seluruh sistem di negara ini termasuk kehakiman, ekonomi, sosial dan pendidikan.

"Ini juga petanda Umno BN kini sudah berada di paku terakhir kehancuran. 9 Januari 2012 ini merupakan lambang kebangkitan rakyat bagi melakukan perubahan terhadap pentadbiran negara untuk digantikan dengan pentadbiran baru," tegasnya.

Lebih jauh dari itu, ia juga turut diyakini akan menyebabkan Kerajaan BN tidak berani untuk mengadakan PRU Ke-13 dalam masa terdekat, khususnya pada bulan March atau April ini seperti yang dijangka pelbagai pihak.

"Apa pun, kita turut berharap agar keputusan hari ini akan turut menyedarkan para pemimpin Umno BN sehingga turut bersama-sama melakukan perubahan ke arah yang lebih baik bagi negara kita," tegasnya.

PAS, DAP dan PKR yang berada dalam Pakatan Rakyat, tambah beliau, sekarang ternyata telah terlalu mantap dengan kesemua pemimpin dan penyokongnya ingin melakukan perubahan ke arah yang lebih baik bagi negara.

"Kesemua pemimpin Pakatan Rakyat termasuk Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri turut berjuang ke arah itu tanpa sebarang dendam terhadap para pemimpin Umno BN walaupun mereka telah melakukan pelbagai penganiayaan terhadap beliau.

"Jadi sekarang tibalah masanya untuk para pemimpin Umno BN juga turut melakukan tindakan yang sama bagi kepentingan negara," ujar beliau.

Ikram harap integriti kehakiman negara pulih

Harakahdaily,

KUALA LUMPUR, 9 Jan: Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) berharap keputusan kes Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah satu petanda positif kepada pemulihan integriti sistem kehakiman negara yang melaksanakan amanahnya sebagai institusi yang adil, bebas dan berintegriti dalam menangani semua kes-kes mahkamah sama ada yang berprofil tinggi atau biasa.

Presidennya, Dr Mohd Parid Sheikh Ahmad menyatakan demikian sebagai respons kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini yang telah memutuskan Anwar tidak bersalah dalam tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Hakim Mohamad Zabidin Mohd Diah telah mengarahkan Anwar Ibrahim dibebas dan dilepaskan.

Kes tersebut bagaimanapun boleh dirayu di Mahkamah Persekutuan.

“Ikram percaya hanya dengan sikap demikian kepercayaan rakyat terhadap sistem kehakiman akan dapat dipulihkan,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Beliau turut mengambil kesempatan mengucapkan tahniah kepada Anwar dan keluarga.

Ikram juga, katanya mengucapkan tahniah kepada pihak polis dan penganjur Perhimpunan 901 yang bekerjasama memastikan keselamatan dan kesejahteraan peserta sepanjang perhimpunan.

Jangan lupa perjuangan anak muda

Harakahdaily,

KUALA LUMPUR, 9 Jan: Pakatan Rakyat diingatkan bahawa ini bukannya masa untuk bergembira dan berseronok dengan pembebasan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam isu liwat kerana permainan politik Umno BN bersimpang siur dan tidak mampu dibaca.

Pengerusi Majlis Politik Nasional (MPN) Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis), Muhammad Hafizuddin Muhamed Noor berkata, Umno BN boleh berbuat apa sahaja bagi memastikan kemenangan dalam PRU-13.

“Anwar sudah bebas, jangan lupa perjuangan anak muda.

“Mahasiswa merupakan antara suara terbesar dalam pentas politik tanah air,” ujarnya.

Justeru, ujarnya Auku mesti dimansuhkan dengan segera dan bebaskan mahasiswa daripada ditangkap oleh pihak pentadbiran universiti.

Katanya, dalam pada isu 5 mahasiswa KUIN masih tidak selesai, mahasiswa UPSI pula menjadi mangsa.

Baginya, pentadbiran UPSI telah mengambil keputusan 'gopoh' apabila ingin mengambil tindakan terhadap Adam Adli, sedangkan kerajaan sedang berusaha untuk meminda Auku.

“Saya kira UPSI sangat tidak bijak dan telah menjatuhkan kredibiliti sebagai institut pendidikan kerana dipengaruhi oleh beberapa pihak khususnya Umno,” ujarnya lagi.

Kebelakangan ini, katanya Aspirasi semakin lantang untuk bersuara.

“Saya desak Aspirasi jangan 'menyalak' lagi. Tindakan Aspirasi hanyalah memberi kerugian kepada negara,” katanya.

Tegasnya, anak muda boleh menilai dengan sendiri, tidak perlu mengikut tunjuk ajar Umno.

Menurutnya, mahasiswa jelas bahawa kerajaan akan datang bukan lagi milik Umno BN, perubahan besar mesti dilaksanakan.

Justeru, ujarnya pilihan raya akan datang pastinya akan memberi nafas baru kepada Malaysia dan rakyat setelah berpuluh-puluh tahun berada dalam propaganda Umno.

KUALA LUMPUR, 9 Jan: Pakatan Rakyat diingatkan bahawa ini bukannya masa untuk bergembira dan berseronok dengan pembebasan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam isu liwat kerana permainan politik Umno BN bersimpang siur dan tidak mampu dibaca.

Pengerusi Majlis Politik Nasional (MPN) Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis), Muhammad Hafizuddin Muhamed Noor berkata, Umno BN boleh berbuat apa sahaja bagi memastikan kemenangan dalam PRU-13.

“Anwar sudah bebas, jangan lupa perjuangan anak muda.

“Mahasiswa merupakan antara suara terbesar dalam pentas politik tanah air,” ujarnya.

Justeru, ujarnya Auku mesti dimansuhkan dengan segera dan bebaskan mahasiswa daripada ditangkap oleh pihak pentadbiran universiti.

Katanya, dalam pada isu 5 mahasiswa KUIN masih tidak selesai, mahasiswa UPSI pula menjadi mangsa.

Baginya, pentadbiran UPSI telah mengambil keputusan 'gopoh' apabila ingin mengambil tindakan terhadap Adam Adli, sedangkan kerajaan sedang berusaha untuk meminda Auku.

“Saya kira UPSI sangat tidak bijak dan telah menjatuhkan kredibiliti sebagai institut pendidikan kerana dipengaruhi oleh beberapa pihak khususnya Umno,” ujarnya lagi.

Kebelakangan ini, katanya Aspirasi semakin lantang untuk bersuara.

“Saya desak Aspirasi jangan 'menyalak' lagi. Tindakan Aspirasi hanyalah memberi kerugian kepada negara,” katanya.

Tegasnya, anak muda boleh menilai dengan sendiri, tidak perlu mengikut tunjuk ajar Umno.

Menurutnya, mahasiswa jelas bahawa kerajaan akan datang bukan lagi milik Umno BN, perubahan besar mesti dilaksanakan.

Justeru, ujarnya pilihan raya akan datang pastinya akan memberi nafas baru kepada Malaysia dan rakyat setelah berpuluh-puluh tahun berada dalam propaganda Umno.

Tiada ulasan: