Jumaat, 13 Januari 2012

KITA MERANCANG..ALLAH JUGA MERANCANG...TAPI PENETAPAN TAKDIR KUASA ALLAH...MAHKLUK TERSANGAT2 LEMAH JADI JANGANLAH BERLAGAK..

Rashid, Husam dedah misteri dakwat kekal PRU12

Harakahdaily, 13 Januari 2012

KOTA BHARU, Jan 13: Misteri pembatalan penggunaan dakwat kekal menjelang pilihanraya umum ke 12 telah terburai semalam di Wacana Perdana 9 bertajuk, “Pilihanraya Bebas dan Adil: Realiti atau Ilusi?” yang diadakan di sini malam tadi.

(Gambar: Wacana Perdana di KTC malam tadi)

Forum yang berlangsung hampir tiga jam itu dipengerusikan oleh pensyarah UKM, Datuk Dr Mohd Agus Yusuf dengan tiga panelis – Datuk Paduka Husam Musa, Naib Presiden PAS, Tan Sri Abdul Rashid, mantan pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) dan Datuk Seri Nazri Aziz, Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Dalam hujahnya, Rashid berkata beliau dan SPR telah berusaha untuk memperkenalkan penggunaan dakwat kekal pada tahun 2007, sebelum ia dibatalkan oleh pihak-pihak tertentu menjelang PRU-12.

“Usahlah cakap pasal dakwat kekal, saya dulu pun dah nak buat kalau orang tak sekat… (tepukan gemuruh), undang-undang dah buat, tapi ada orang yang tidak bersetuju dia sekat.

“Jadi ini nak buat pula, baguslah, buat lah, memang itu patut dibuat… SPR tak tipu, kalau ada penipuan, itu orang lain tipu. Jangan salahkan SPR. Orang lain saya tak tahu. SPR ikut undang-undang 100 percent, jangan salahkan SPR. Kalau undang-undang itu bodoh macam lembu, bodoh macam lembulah,” kata Rashid dalam forum itu.

Pada masa ini, Husam mencelah, “Tan Sri, kalau parti-parti lain itu menipu, SPR duduk sana buat apa?”

Rashid pula membalas, “SPR tak ada kuasa.” Balasan Rashid itu membuatkan hadirin yang penuh sesak dalam dewan itu tidak kering gusi dengan gelak ketawa.

Menjawab Rashid, Nazri mengaku bahawa beliaulah antara orang yang mempertikaikan penggunaan dakwat kekal kerana berdasarkan perlembagaan negara, perkara yang melayakkan seseorang itu mengundi hanya dua – berumur 21 tahun dan berdaftar sebagai pengundi.

“Jadi, kalau ada seorang yang tak mahu dakwat kekal dicalit di jari dan mahu kertas undi, apa yang berlaku? Syaratnya cuma dua, berumur 21 tahun dan berdaftar. Disebabkan itu, dan waktu PRU dah dekat, SPR ambil pendekatan untuk batal penggunaan dakwat kekal,” terang Nazri mengenai sebab penggunaan dakwat kekal dibatalkan.

Mengenai persoalan mengapa dakwat kekal digunakan sekarang pula, Nazri berhujah bahawa Majlis Fatwa Kebangsaan baru sahaja memberikan lampu hijau untuk penggunaan dakwat kekal dan peguam negara bersetuju untuk tukar perlembagaan untuk membolehkannya.

“Sekarang Majlis Fatwa baru umum benarkan, maksudnya dulu tak pernah umum lah, kalau tak mengapa nak umum dua kali,” sindir Nazri.

Menjawab dakwaan Nazri mengenai halangan perlembagaan, Rashid secara sinis menjawab, “Saya tak setuju bantahan Peguam Negara pada 2007. Dalam perlembagaan pun tak kata mesti tunjuk kad pengenalan (IC) sebelum mengundi. Tapi kita suruh tunjuk IC, kalau tak dia tak boleh mengundi. Itupun dipatuhi. Kalau nak mengundi kena patuhi peraturan dan cara-cara mengundi.”

Dalam kontroversi Majlis Fatwa Kebangsaan, Husam mengingatkan Nazri bahawa fatwa sudahpun dikeluarkan pada 2007, dan semua ini boleh disemak melalui web e-fatwa di Internet.

“Tan Sri Rashid baru berbisik kepada saya, SPR ada menerima surat daripada Majlis Fatwa mengenai hal itu pada tahun 2007. Macam mana seorang menteri tak tahu mengenai hal ini? Wallahuaklam,” kata Husam.

Kemudian, exco kerajaan Kelantan turut mengingatkan Rashid mengenai alasan yang diberikannya kepada rakyat ketika pembatalan dakwat kekal bahawa terdapat laporan ada pihak yang cuba mensabotaj proses pilihan raya dengan menyeludup sejumlah besar dakwat kekal ke negara ini.

“Pada 5 Mac 2008, Tan Sri keluar di kaca TV memberikan 2 sebab mengapa dakwat kekal tak jadi guna. Dia memberi sebab keselamatan kerana ada orang ditangkap membawa dakwat ini termasuk di Kelantan.

"Ketua Polis Tan Sri Musa Hasan pula mengesahkan adanya dakwaan tersebut. Dan kemudian ditanya ahli parlimen Pakatan Rakyat selepas Mac 2008, Menteri Dalam Negeri Tan Sri Syed Hamid Albar menyatakan tiada tangkapan tersebut dan tiada dakwaan dibuat. Bermakna, Tan Sri Rasyid telah dipaksa berbohong,” selar Husam.

Husam turut berkata keputusan menggunakan dakwat kekal kini adalah hasil perjuangan Bersih 2.0.

“Yang berikan hujah yang kata dakwat kekal boleh digunakan untuk PRU akan datang ini ialah Tan Sri Abdul Ghani Patail, yang dulunya memberikan nasihat yang sama tak boleh pakai. Peguam Negara yang sama yang dulu kata tak boleh pakai, tetapi kini boleh pakai, bermakna ada sesuatu yang lompang kepada sistem piliharaya ini.

"Yang lebih penting ialah, bila Tan Sri Ghani Patail kata boleh pakai sekarang, ini adalah hasil daripada Bersih. Kalau tak ada Bersih, tak adalah dakwat kekal kini,” tambah beliau lagi.

Sementara itu, Rashid berkata undang-undang pilihanraya tidak dapat dilaksanakan sepenuhnya kerana SPR tidak diberikan kuasa sepenuhnya.

“SPR kena share kuasa, jadi demokrasi negara tak lengkap. Orang lain berkuasa, polis berkuasa, kementerian penerangan berkuasa... bukan Umno berkuasa (gelak hadirin), tapi mereka tak bebas,” kata beliau.

Keterangan Rashid dipersetujui Husam.

“Setuju kuasa SPR tak mencukupi, jadi pemulihan PSC (Jawatankuasa Terpilih Parlimen) tidak kena pada core (tunjang) nya (memberikan kuasa sepenuhnya kepada SPR untuk laksana undang-undang pilihanraya).”

Tuanku perkenan, Exco ganti Hasan 18 Januari

Muhammad Faizal, 13 Januari 2012

SHAH ALAM, 13 Jan: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini memaklumkan perlantikan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) yang baru bagi mengantikan Datuk Dr Hasan Mohamed Ali akan diadakan pada 18 Januari nanti di Istana Kayangan.

(Gambar: Khalid dalam sidang media di pejabatnya hari ini)

Beliau yang hadir pada sidang media selepas mengadap Tuanku Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pagi tadi memberitahu pertemuan tersebut adalah bagi membincangkan status kedudukan Dr Hasan yang tidak lagi menjadi ahli PAS.

"Pagi tadi saya telah mengadap Tuanku Sultan untuk memberi taklimat mengenai status Dr Hasan sebagai ahli MMKN atau Exco.

"Dalam pertemuan itu saya telah mempersembahkan kepada Tuanku Sultan bahawa saya telah menerima surat rasmi dari PAS yang memaklumkan bahawa Jawatankuasa Kerja PAS Pusat yang bersidang pada 8 Januari yang lalu telah membuat keputusan memecat Dr Hasan dari menjadi ahli PAS berkuatkuasa serta merta," jelasnya.

Tambahnya Khalid lagi, memandangkan Dr Hasan bukan lagi ahli PAS, maka beliau tidak lagi boleh menjadi ahli MMKN dan Khalid telah menasihati Tuanku Sultan untuk membatalkan perlantikan beliau (Dr Hasan).

"Tuanku Sultan telah bersetuju dengan pendapat saya dan Baginda akan menulis surat pembatalan perlantikan Dr Hasan sebagai ahli MMKN.

"Pada masa yang sama, Tuanku Sultan telah menurunkan kuasanya pada saya untuk melantik ahli baru MMKN, dalam pada itu Baginda juga menasihatkan saya agar menjalankan tanggungjawab ini dengan bijaksana tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak," sambungnya lagi.

Ketika ditanya mengenai calon yang bakal mengantikan Dr Hasan itu, beliau menjelas buat masa ini belum ada senarai calon yang diterima dan beliau akan bertemu dengan pemimpin PAS Pusat dalam masa terdekat bagi mengetahui nama yang dikemukakan oleh PAS nanti.

"Saya tidak menerima lagi nama calon dan ia bergantung kepada PAS, dalam pada masa yang sama saya akan mengadakan pertemuan dengan pemimpin PAS Pusat bagi mengetahui nama calon yang dipersetujui oleh mereka.

"Manakala surat penamatan itu pejabat Tuanku Sultan akan serahkan pada Dr Hasan sebelum 18 Januari dan sebagai peraturan kerajaan negeri, beliau (Dr Hasan) perlu memulangkan segala kemudahan yang diberikan kepadanya dalam tempoh yang singkat ini," jelas Khalid lagi.

Sebelum itu perlantikan ahli MMKN yang baru akan disempurnakan di Istana Kayangan pada 18 Januari pada sebelah pagi, waktu yang tepat belum diputuskan lagi.

PAS Padang Serai perlu dana baiki markas

Harakahdaily, 13 Januari 2012
PADANG SERAI, 13 Jan: Menjelang pilihan raya umum ke 13, semua pihak dalam PAS sedang berusaha keras untuk membuat persiapan terbaik.

Antara yang perlu dipersiapkan adalah markas atau pusat aktiviti kempen pilihan raya ini.

Di Padang Serai, Kedah, antara markas PAS yang sedang diperkemaskan adalah markas tarbiyah Tuan Guru Haji Khatib Sarbini, Padang Ubi, Labu Besar dekat sini.

Menurut setiausaha kerja markas ini, Anwar Md Hashim, markas ini masih berfungsi namun keadaannya menyedihkan dengan lantainya uzur, PA system kadang-kadang berfungsi, kadang-kadang tidak, tingkapnya terbuka menyebabkan air hujan dapat memasuki melaluinya, kayu dimakan anai-anai, dimamah usia dan sebagai.

Ekoran itu, katanya, pihaknya sedang berusaha untuk membaikpulihnya menjelang pilihan raya akan datang ini.

Sehubungan itu, sumbangan diperlukan untuk membaiki. Kepada yang sudi, sila masukkan sumbangan anda melalui akaun Surau Haji Khatib Sarbini BANK ISLAM MALAYSIA BERHAD : 02 – 05702 – 228785 – 1.

Dunia boleh lihat harta Exco Pulau Pinang

Harakahdaily, 13 Januari 2012

PULAU PINANG, 13 Jan: Semua pihak di seluruh dunia kini boleh melihat sendiri harta yang dimiliki oleh pemimpin kerajaan negeri Pulau Pinang apabila ia dimasukkan sepenuhnya ke dalam laman web kerajaan negeri.

Tindakan ini diambil selepas Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengisytiharkan harta Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) semalam.

"Hari ini, Kerajaan Negeri Pulau Pinang dengan rasminya memuat naik maklumat tersebut ke dalam laman web kerajaan http://www.penang.gov.my," kata Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dalam satu kenyataan hari ini.

Melalui perisytiharan itu didapati Exco Pulau Pinang yang paling kaya adalah Phee Boon Poh manakala yang paling tidak berharta adalah Abdul Malik Kasim.

Menurut Lim, semua ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang memegang jawatan dan amanah awam sebulat suara bersetuju bahawa rakyat mempunyai hak untuk menuntut kebertanggungjawaban penjawat-penjawat awam.

Pengisytiharan harta secara terbuka ini memenuhi amanah peribadi dan juga komitmen politik Kerajaan PR Pulau Pinang terhadap kepimpinan yang lebih bersih berdasarkan prinsip CAT (Cekap, Akauntabel, Telus), katanya.

Bagi beliau, ini adalah yang pertama kali dalam sejarah Malaysia, pengisytiharan harta secara terbuka telah dikendalikan bukan oleh kerajaan negeri tetapi oleh sebuah syarikat audit bebas.

Beliau berasa kesal kerana maklumat yang penting ini tidak disiarkan oleh media massa dan blog-blog tertentu, dan berharap bahawa ini akan diperbetulkan.

Menurutnya, kerajaan Negeri Pulau Pinang telah memilih firma akauntan antarabangsa yang terkenal iaitu KPMG dan rakan kongsi kanannya Akauntan Bertauliah Ooi Kok Seng, untuk mengesahkan dan menetapkan templat yang akan dipaparkan kepada umum.

Sebagai sebuah firma audit bebas, KPMG perlu mendukung standard profesional yang tertinggi untuk memastikan pematuhan kepada prinsip-prinsip keobjektifan, kebebasan dan tiada konflik kepentingan sebelum menjalankan apa-apa tugasan, katanya.

"Saya juga berharap bahawa pihak media boleh menyiarkan maklumat harta kami secara penuh.
"Saya berasa kesal melihat kekurangan pengetahuan asas dalam kewangan apabila nilai harta-harta disiarkan tanpa menyatakan pinjaman yang telah diambil untuk pembeliannya," katanya.

Menurut beliau, ada juga yang keliru di antara jumlah unit dalam unit amanah (10,000 unit) dengan nilai unit tersebut (RM10,000), kerana jumlah unit dengan nilainya adalah tidak sama.

Secara purata, unit amanah mempunyai nilai antara 30 hingga 50 sen seunit, tambah beliau.

"Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang ingin menegaskan bahawa kami tidak mempunyai apa-apa sumber pendapatan yang lain selain daripada elaun awam sebagai penjawat awam dan wakil rakyat.

"Jumlah dan angka elaun ini boleh diperolehi daripada Enakmen Anggota Pentadbiran dan Ahli Dewan Undangan Negeri(Saraan) 1980," beritahu beliau.

Tangguh dulu merayakan "kemenangan"!

Ahmad Lutfi Othman, 13 Januari 2012
Tidak ramai menduga keputusan kes pertuduhan liwat Anwar Ibrahim, 9 Januari lalu, akan berakhir dengan pembebasannya. Apa pun, yang pasti, kali ini semua orang yang tersalah jangka itu, terutama yang memenuhi kawasan lapang berhampiran mahkamah, langsung tidak kecewa sebaliknya mereka saling mengucapkan tahniah.

"Saya rasa beban berat yang terpikul sejak tiga setahun lalu itu terangkat ... sungguh lega, umpama dapat melunasi timbunan hutang," ujar seorang penyokong Anwar, dari Gombak, yang menelefon saya. Beliau masih dalam perjalanan ke mahkamah semasa berita pembebasan Anwar mula tersebar luas.

AJK PAS Pusat, Khalid Samad, yang juga Ahli Parlimen Shah Alam, melalui blognya mencatatkan: "Amat jarang sekali seseorang berasa gembira apabila terbukti jangkaan dan ramalannya meleset dan tersilap. Barangkali ini adalah di antara masa-masa yang jarang itu."

Sehari sebelum itu, juga dalam blognya, Khalid meramalkan "Anwar akan didapati bersalah dan akan dipenjarakan, bukan kerana beliau bersalah tetapi kerana pihak berkuasa tiada pilihan melainkan mendapati beliau bersalah."

Rata-rata rakyat Malaysia mempunyai tanggapan hampir seragam terhadap badan kehakiman. Mahkamah dilihat boleh ditekan dan dipengaruhi, terutama oleh elit penguasa, khususnya yang membabitkan kes-kes kritikal terhadap pemerintah.

"Lebih teruk jika ada pihak yang mendakwa hakim juga boleh dibeli oleh orang yang kaya-raya. Ini lagi berbahaya, pelabur akan lari," kata seorang wartawan, berpengalaman lebih 20 tahun.

Ulasan seorang lagi sahabat saya, seorang wartawan penyiaran, apabila ditanya reaksinya dengan penghakiman 901, membalas: "Suatu yang menarik, baik orang itu suka Anwar bebas atau tidak suka, dalam kepalanya terlintas keputusan itu bukan semata-mata berdasarkan hukum dan fakta. Betapa rosakanya kehakiman Malaysia."

Persepsi itu mungkin tidak seratus peratus benar, namun tanggapan itulah yang dikongsi majoriti rakyat sejak sekian lama.

Pakar Perlembagaan, Prof Dr Aziz Bari berkata, dari awal lagi rakyat -- baik yang tahu undang-undang atau rakyat biasa -- dapat melihat yang kes Anwar ini luar biasa dan tidak mengikut undang-undang. "Dan kita jangan lupa bahawa kebebasan kehakiman ialah satu persepsi; kalau rakyat sangsi dan tidak yakin, mahkamah tidak boleh berbuat apa-apa," tegasnya, seperti dipetik Merdeka Review.

Mungkin Dr Mahathir Mohamad bukannya orang yang mula menyebabkan orang ramai memandang serong terhadap kebebasan dan integriti institusi penegak keadilan itu, tetapi bagi saya, beliau bertanggungjawab sepenuhnya menjerumuskan badan kehakiman ke dalam "gaung paling dalam". Pengganti beliau, Abdullah Ahmad Badawi cuba berusaha memulihkannya tetapi gagal.

Di bawah Najib Razak, bukan saja semakin ramai memperlekehkan usaha transformasinya, beliau dilihat akan memperalatkan apa jua bagi memastikannya bukan PM terakhir daripada Umno. Dan Anwar adalah seteru utama yang mesti dijinakkan, kalaupun tidak dapat ditumpaskan, sebelum pilihan raya umum ke-13 berlangsung.

Kita tentunya belum lupa begitu banyak "keganjilan" dalam perbicaraan kes pembunuhan Altatuya Shaariibuu, yang terus meninggalkan seribu satu misteri. Nama Najib dan isterinya, Rosmah Mansor terpalit teruk dengan kes tersebut.

"Sukar untuk menyanggah tanggapan bahawa keputusan Isnin lalu dipengaruhi tekanan politik. Jika pendakwaan kes ini sejak awal sudah sarat dengan elemen politik, mana mungkin kita mengharapkan keputusan akhirnya langsung tidakl dicemari pengaruh politik," pandangan rakan lama saya, seorang peguam berpengalaman.

"Bagi saya, sebagai pengamal undang-undang, tidak ada apa-apa yang boleh digembirakan dengan keputusan kes ini. Takkan hanya dengan satu kes, tiba-tiba hakim-hakim di Malaysia sudah terlepas daripada sebarang kongkongan dan gangguan. Langsung tidak masuk akal," tambahnya.

Beliau seterusnya meminta saya membidas contoh yang sering diberikan oleh pemimpin Umno, khususnya Dr Mahathir, bagi membuktikan kehakiman di Malaysia adalah bebas dan berintegriti. Iaitu kes pengharaman Umno pada 1988 oleh Hakim Harun Hashim.

"Saya sudah menulis banyak kali kes ini," balas saya. Ada nada kemalasan untuk mengulanginya lagi.

"You kena terus jelaskan bahawa dalam kes tersebut peguam Dr Mahathir sendiri yang mahu Umno diharamkan. Hakim tiada pilihan selain mengharamkan Umno atas kehendak presidennya sendiri. Kemudian Mahathir mudah menubuhkan parti baru, dengan memastikan hanya ahli yang setia menyertainya, dan menyingkirkan kumpulan Tengku Razaleigh Hamzah yang hampir menewaskannya pada April 1987, serta dapat pula mewarisi aset dan kewangan Umno lama," tegasnya.

Rakan saya ini berpandangan, Umno dan Najib lebih mendapat manfaat politik dengan pembebasan Anwar, berbanding jika Ketua Pembangkang itu dipenjarakan.

"Dulu Mahathir telah memenjarakan Anwar, hasilnya orang Melayu marah dan menolak Umno pada 1999. Kali ini keadaan akan menjadi lebih teruk jika Anwar dizalimi memandangkan majoriti masyarakat bukan Melayu awal-awal lagi sudah muak dengan BN. Undi pengundi Melayu yang bersimpati dengan Anwar itu akan berpadu dengan kemarahan pengundi Cina yang tidak boleh dilunakkan lagi," tambahnya.

Saya juga tertarik dengan Cikgu Bard (Badrul Hisham Shaharin): "Keputusan hakim itu harus dilihat sebagai kemenangan rakyat. Ia adalah hasil tekanan dan kesedaran rakyat terhadap kes tersebut. Bayangkan jika Anwar gagal memastikan maklumat bagaimana kepincangan kes tersebut kepada rakyat terbanyak dan gagal mengumpul sokongan, saya yakin Anwar akan didapati bersalah."

Justeru, laluan Pakatan Rakyat ke Putrajaya tidaklah semudah disangka. Banyak lagi ranjau yang perlu dibersihkan. Tangguh dulu majlis untuk merayakan "kemenangan" ini ....

Dan tidak mustahil juak-juak Umno sedang menunggu penghakiman bertulis Hakim Zabidin Mohd Diah bagi mencari ruang untuk terus menyerang Anwar, sekurang-kurangnya demi menyuntik rasa ragu dan curiga kepadanya. Mungkin pertarungan di mahkamah sudah berakhir tetapi pentas politik masih terbuka luas, 'kan?

II.

Di waktu ramai bergembira pada pagi Isnin lalu dengan keputusan kes Anwar di Jalan Duta, khabar di sebelah petangnya dari Tanjung Malim "mungkin" mendukacitakan. Anak muda yang mencipta kejutan, Adam Adli Abdul Halim, 22, mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) digantung tiga semester (satu setengah tahun) selepas didapati bersalah menurunkan bendera Najib Razak di ibu pejabat Umno bulan lalu.

Adam Adli dan rakan-rakannya yang giat berkempen memperjuangkan kebebasan akademik, juga mendesak dihapuskan Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku), bukan sekadar pindaan kosmetik seperti dijanjikan Perdana Menteri. Mereka turut menzahirkan hasrat murni itu, dengan turun menemui wakil-wakil kerajaan negeri Pakatan Rakyat, sebagai isyarat kebebasan akademik harus dinikmati semua warga kampus, di seluruh negara.

Kenapa pula saya menyebut "mungkin" mendukacitakan? Bukankah nasib dan masa depan Adam Adli yang digantung itu bakal menjadi tidak menentu, dan tentunya ia berita menyedihkan? Masakan hukuman zalim dan tindakan opresif itu, boleh merangsang satu kebangkitan lebih menyeluruh?

Sebenarnya tidak sedikit yang melihat keputusan jawatankuasa disiplin itu telah melonjakkan obor semangat mahasiswa mendepani cabaran melepaskan kongkongan di kampus. Malah, riak wajah Adam Adli, sejurus menerima hukuman, tetap ceria. Langsung tiada mendung di wajahnya.

Di depan pintu masuk UPSI, dikerumuni media dan teman-teman seperjuangan, selepas melaungkan slogan keramat "Hidup-hidup, mahasiswa! Tumbang-tumbang, tumbang Auku!", Adam Adli mahu pusat pengajian yang pernah melahirkan pejuang kemerdekaan itu, seperti Ibrahim Yaakob, segera dibebaskan daripada pembodek dan pengampu, untuk diserahkan kepada mahasiswa.

Ungkapan katanya tetap berbisa, selain terus sinis dan menyindir keanggotaan panel tatatertib, di antaranya Prof Dr Zainal Kling, yang dilihat akrab dengan UMno dan sentiasa memberi komentar negatif kepada pembangkang, selain pernah menyifatkan Tanah Melayu tidak pernah terjajah.

"Jelas, juri-jurinya adalah orang Umno, apa lagi yang dapat kita harapkan daripada jawatankuasa itu?" tegas Adam Adli.

Beliau bukan saja tidak akan merayu, malah tidak pernah mengiktiraf kedudukan "mahkamah Auku". "Saya akan buktikan kepada orang yang menghina perjuangan pelajar, yang menuduh aktivis mahasiswa sibuk berpolitik dan malas belajar, bahawa mereka semua salah," katanya. Beliau akan memfailkan permohonan mencabar keputusan itu di mahkamah terbuka.

Seterusnya Adam Adli dilihat mengoyak sekeping kertas, mungkin petanda penolakan total kepada hukuman gantung itu. Beberapa posting dalam internet mengaitkannya sebagai "Anwar Ibrahim dalam pembikinan". Beliau turut hadir ke perkarangan kompleks mahkamah Jalan Duta, menunggu penghakiman Anwar, dan diberikan penghormatan oleh hadirin dengan menjulangnya.

"Setahun setengah kena gantung sebab pejuang kebebasan akademik lebih mulia daripada setahun dipenjara makan rasuah," tegasnya.

"Memang watak anak jantan," kata seorang penerbit buku terkenal. "Itulah perjuangan yang Adam kena bayar, pemuda macam ini boleh buat menantu," SMS seorang pembaca Harakah, 'Makcik Kedah'. Tidak kurang yang menggesa Harakah menubuhkan tabung khas untuk membiayai Adam Adli meneruskan kesnya di mahkamah.

"Kalau Adam dihukum kerana didakwa telah mencemarkan reputasi UPSI, saya kira ramai lagi pentadbir kanan universiti, termasuk bertaraf profesor, yang patut didera dengan hukuman lebih berat, kerana mereka lebih-lebih lagi telah memalukan universiti, dengan gelagat pengampu dan kenyataan yang memperbodohkan taraf warga kampus," kata seorang rakan, pensyarah kanan IPTA.

Teringat pengalaman teman-teman di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), pada 1986, yang dihadapkan ke jawatankuasa disiplin atas dakwaan terbabit dalam demonstrasi membantah pemecatan saya. Mudah sekali, ada yang dihukum gantung pengajian, hanya selepas "bersembang-sembang kosong" dengan pegawai kanan Hal Ehwal Pelajar, yang bertindak sebagai pendakwa dan hakim sekali gus.

Jika satu waktu dahulu, ada pemimpin pelajar yang mohon bercuti untuk aktif berpersatuan, saya cuba mencongak bagaimana Adam Adli mahu menghabiskan tempoh penggantungannya yang agak lama itu. Mungkin kempennya menuntut kebebasan akademik dan pemansuhan Auku dapat dipergiatkan lagi.

"Kesempatan ini harus dimanfaatkan. Gelora perjuangan pelajar bukannya mudah untuk dicetuskan. Sekali membara, jangan biar ia padam. Ia harus digerakkan dalam satu pakej, menuntut perubahan lebih bermakna buat rakyat Malaysia," demikian emel yang saya terima, sambil meminta Harakah mengembalikan ruang khas buat aktiviti kampus.

Tulisan pertama Adam Adli sebagai kolumnis laman merdekareview, bertajuk "Mengapa saya pilih jalan raya?" menarik perhatian saya. Berbakat juga anak muda ini dalam penulisan. Gaya penceritaannya lancar dan tersusun.

"Saya sering tekankan kepada rakan-rakan, Parlimen hanya untuk 222 orang, sedangkan kita ada jutaan suara yang mahu didengari. Maka jalan raya adalah ruangnya. Ia terbuka, luas, dan pasti mendapat perhatian!" tulis Adam.

Ada pihak halang saya guna dakwat - Tan Sri Rashid

M Faqih, 13 Januari 2012

KOTA BHARU, 13 Jan: “Saya dah nak buat pada pilihan raya umum lalu, namun ada pihak yang halang,” kata bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman mengulas cadangan menggunakan dakwat pada pilihan raya umum akan datang.

Kata beliau kalau kerajaan hendak buat sekarang elok benarlah kerana cadangan itu sudah cuba dilakukan SPR pada pilihan raya umum lepas namun ada halangan tertentu.

Isu penggunaan dakwat menghangatkan Wacana Perdana anjuran kerajaan negeri di Kelantan Trade Centre malam tadi apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nazri Abdul Aziz cuba berdalih setelah pekungnya didedah Abdul Rashid.

Menteri yang menjaga hal ehwal parlimen itu bersama anggota Exco kerajaan negeri, Datuk Husam Musa juga bertindak sebagai ahli panel pada wacana siri ke-9 terbabit. Prof Madya Datuk Dr Muhamad Agus Yusof dari UKM bertindak sebagai moderator.

Dewan konvensyen penuh sesak dengan kehadiran orang ramai termasuk dari luar Kelantan.

Pihak penganjur, Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri terpaksa memasang layar di luar dewan, menyebabkan orang ramai melimpah ke jalan raya. Hadir sama anggota Exco kerajaan negeri, Dr Muhammad Fadzli Hassan dan anggota parlimen Kota Bharu, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah.

Nazri menyebut ketika itu kerajaan tidak dapat melaksanakan penggunaan dakwat pada hari mengundi kerana ada percanggahan dengan perlembagaan dan ada pihak yang menganggap sebagai meragukan.

Sebaliknya, Abdul Rashid mempertahankan hujah penggunaan dakwah pada jari pengundi tidak perlu kepada pindaan perlembagaan, dan ia sekadar melibatkan peraturan di peringkat SPR sahaja.

“Sama seperti arahan setiap pengundi perlu menunjukkan kad pengenalan sebelum diberi kertas undi. Syarat itu hanya peraturan di peringkat SPR sahaja dan tidak perlu kepada pindaan perlembagaan,” katanya.

Malah Husam mengambil peluang mencelah dengan menjelaskan JAKIM sudah mengeluarkan kenyataan dakwat boleh digunakan pada hari mengundi sejak 2007 lagi.

Abdul Rashid juga seakan-akan meluah rasa kecewa memandangkan SPR tidak diberi kuasa penuh bagi mengendalikan pilihan raya secara lebih berkesan, sambil menyifatkan apa yang cuba dilakukan kerajaan sekarang sekadar merubah di bahagian ekor dan bukannya kepala.

“Kepala tidak disentuh hanya ekor sahaja disentuh melalui Jawatankuasa Penambahbaikan Pilihan Raya. Sepatutnya perubahan perlu dibuat secara lebih menyeluruh. Perubahan perlu kepada political will.

“Apa yang perlu diubah macam tidak disentuh. Sepatutnya kita perdalamkan perbincangan mengenai demokrasi itu sendiri. SPR sejak 1959 hanya berkongsi kuasa dengan pihak lain dan tidak mempunyai kuasa penuh.

“SPR berkongsi kuasa dengan pihak polis, Jabatan Penerangan dan jabatan-jabatan lain lagi. Kuasa yang ada pada SPR tidak kuat,” ujarnya mendapat sokongan gemuruh orang ramai.

(Lagi pelbagai pendedahan mendebarkan wacana cukup hangat itu dalam Harakah edisi cetak keluaran akan datang).

PRU13: Sebelum nasi menjadi bubur

Penggunaan dakwat kekal yang akan dikuatkuasakan pada PRU-13 nanti hanyalah bertujuan untuk mengelakkan pengundian lebih dari sekali. Tetapi bagaimana pula dengan pungundi yang hanya mengundi sekali sahaja tetapi dia sebenarnya bukan seorang warganegara Malaysia yang sah? Atau pengundi yang sudah mati boleh kembali mengundi oleh mereka yang bukan warganegara Malaysia? Inilah yang berlaku jika daftar pemilih tidak dibersihkan 100% seperti yang dituntut oleh Bersih 2.0.

Ternyata daripada bukti-bukti yang diperoleh daripada sumber-sumber yang sahih, terdapat 'double standard' dan percanggahan maklumat di antara pengkalan data (database) SPR di dalam website dengan pengkalan data SPR versi CD dan lainnya. Bagaimana seseorang individu yang bernama tempat seperti Balai Polis "X" atau Kampung "Y" juga boleh didaftarkan sebagai pengundi? Dan banyak lagi isu-isu pelik bin ajaib yang dikaitkan dengan daftar pengundi SPR tersebut masih menjadi ribuan misteri.

PSC bagi penambahbaikan pilihanraya sepatutnya bertindak untuk melantik Mimos Berhad atau mana-mana badan IT yang bebas daripada sebarang pengaruh politik untuk mengkaji tahap kebolehpercayaan data-data yang tersimpan dalam daftar pemilih SPR tersebut sehingga ia dijamin 100% bebas daripada data-data yang diragui serta 100% tidak bercanggah dengan data yang tersimpan di dalam rekod Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Proses verifikasi di atas amatlah diperlukan bagi menjamin proses pilihanraya yang 100% bersih, dan telus daripada sebarang penyalahgunaan data oleh mereka yang tidak bertanggungjawab dan tidak yakin dengan kemenangan mereka di dalam PRU-13 nanti. Sesuatu perlulah dilakukan sekarang sebelum segalanya sudah terlambat seperti nasi sudah menjadi bubur.

Pemuda Prihatin,
Rawang Selangor

Memorandum warga Felda kepada Angkasa

Mazlan Aliman, Anak, 13 Januari 2012
Apabila YAB Perdana Menteri mengumumkan dalam Bajet 2012 pada 7hb Oktober 2011 bahawa Felda Global Ventures Holding(FGVH) akan disenaraikan di Bursa Malaysia selewat-lewatnya Jun 2012; bermula suatu episod hitam yang mengganggu ketenteraman Koperasi Permodalan Felda Malaysia Berhad.

Kehadapan

Prof. Dr Hj Ali Baharom,
Yang DiPertua Angkatan Koperasi Kebangsaan
Malaysia Berhad (ANGKASA)

PERTAHANKAN HAK DAN KEPENTINGAN KOPERASI PERMODALAN FELDA MALAYSIA BERHAD

MUQADDIMAH


Koperasi Permodalan Felda Malaysia Berhad(KPF) telah ditubuhkan pada 1hb Julai 1980 di bawah Akta Koperasi 1993(pindaan 2007). Sehingga tahun 2010 mempunyai keahlian seramai 207,913 dengan modal syer anggota sebanyak RM1.46 bilion. 87.81 peratus keahlian datangnya daripada anggota kumpulan peneroka.

Mengikut Undang-Undang Kecil KPF, keanggotaan koperasi ini terbuka kepada:-

a. Peneroka-peneroka Felda, isteri dan anak-anak,
b. Koperasi-koperasi peneroka Felda yang didaftarkan di bawah Akta sebagai koperasi asas atau koperasi menengah,
c. Kakitangan Felda, isteri dan anak-anak,
d. Koperasi kakitangan Felda yang berdaftar di bawah Akta.

Apabila YAB Perdana Menteri mengumumkan dalam Bajet 2012 pada 7hb Oktober 2011 bahawa Felda Global Ventures Holding(FGVH) akan disenaraikan di Bursa Malaysia selewat-lewatnya Jun 2012; bermula suatu episod hitam yang mengganggu ketenteraman Koperasi Permodalan Felda Malaysia Berhad.

KRONOLOGI

1. Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah KPF pada 22 hb Jun 2011 telah meluluskan permohonan keahlian Tan Sri Isa Samad untuk menjadi anggota KPF. Mengikut Undang-Undang Kecil KPF beliau tidak layak memperolehi status demikian. Beliau dilantik sebagai Pengerusi Felda secara kontrak sahaja.

2. Mesyuarat Agung KPF pada 23 hb Jun 2011 memilih Pengarah Besar Felda, Dato’ Dzulkifli Abd Wahab sebagai Pengerusi KPF.

3. Ketua Setiausaha Sulit Kanan YAB Perdana Menteri telah menghantar surat bertarikh 15 hb Ogos 2011 kepada Tan Sri Isa Samad bahawa beliau telah dilantik sebagai Pengerusi KPF.

4. Mesyuarat Khas Ahli Lembaga Pengarah Felda bertarikh 25 hb Ogos 2011 telah bersetuju melantik Tan Sri Isa Samad sebagai Pengerusi KPF yang baru. Semasa perbincangan perlantikan Tan Sri Isa Samad; beliau yang merupakan orang yang berkepentingan dan menjadi subjek perbincangan telah tidak keluar meninggalkan mesyuarat; bahkan terus mempengerusikan mesyuarat dalam keadaan mesyuarat itu membincangkan kedudukan peribadinya.

5. Mesyuarat Khas Ahli Lembaga Pengarah Felda tersebut di atas dibuat tanpa kehadiran Pengarah Besar Felda, Dato’ Dzulkifli Abd Wahab yang juga Pengerusi KPF. Beliau sedang mengerjakan umrah pada tarikh tersebut.

6. Pada bulan September 2011, Ketua Audit Suruhanjaya Koperasi Malaysia(SKM) menjalankan siasatan audit ke atas Koperasi-koperasi termasuklah KPF. Di dalam hasil siasatannya, audit SKM mendapati KPF telah melanggar peruntukan-peruntukan di dalam Undang-Undang Kecil KPF kerana menerima keahlian beberapa individu yang hanya berjawatan kontrak di dalam Felda. Antaranya Tan Sri Isa Samad, Tan Sri Yusof Nor, Dato’ Bakkie Salleh dan Dato’ Sabri Ahmad.

7. Pada 18 hb Oktober 2011; En Abd Rahman Ramli, peneroka Felda Raja Alias 4, Jempol, Negeri Sembilan telah membuat aduan ke SKM berhubung pertikaian status Tan Sri Isa Samad sebagai anggota dan Pengerusi KPF.

8. Pada 28 hb Oktober 2011, mesyuarat Lembaga Pengarah KPF telah membincangkan laporan audit SKM tersebut dan telah membuat keputusan untuk membatalkan kelulusan keahlian mereka yang dimaksudkan di atas.

9. Tuan Hj Mat Deris Jusoh, Ketua Sektor Operasi dan Kawal Selia Suruhanjaya Koperasi Malaysia melalui surat bertarikh 10 hb November 2011 kepada En Abd Rahman Ramli; menjelaskan bahawa Tan Sri Isa Samad belum dilantik sebagai Pengerusi KPF.


10. Pada 16 hb November 2011, Tan Sri Isa Samad melalui peguam Dato’ Hafarizam Harun telah membuat aduan dan bantahan bertulis kepada SKM bagi membantah keputusan Lembaga Pengarah KPF menggugurkan keahlian beliau.

11. Pada 23 hb November 2011, dalam tempoh seminggu sahaja selepas aduan dibuat oleh Tan Sri Isa Samad; SKM telah memanggil beberapa orang ahli Lembaga Pengarah KPF untuk hadir ke perbicaraan rujukan pertikaian pada 24 hb November 2011. Surat panggilan perbicaraan hanya diberikan kepada KPF pada petang 23 hb November 2011 tanpa memberikan sebarang butiran lengkap tentang bantahan yang dibangkitkan Tan Sri Isa Samad.

12. Perbicaraan pertikaian status Tan Sri Isa Samad telah diadakan di SKM pada pagi 24 November 2011. Hanya beberapa jam kemudian SKM telah membuat keputusan bahawa tindakan Lembaga Pengarah KPF membatalkan keahlian Tan Sri Isa Samad adalah tidak sah dan KPF hendaklah menerima semula Tan Sri Isa Samad sebagai ahli KPF.

13. Pada 8 hb Disember 2011, Koperasi Permodalan Felda Malaysia Berhad(KPF) telah mengeluarkan notis Mesyuarat Agung Khas kepada Anggota Lembaga, Jawatankuasa Audit Dalaman, Anggota Perwakilan Individu dan Perwakilan Koperasi Anggota menurut subseksyen 40(1) Akta dan Undang-Undang Kecil 29 Fasal(1) bertarikh 5 hb Januari 2012 bertempat di Dewan Perdana Felda Kuala Lumpur.

14. Agenda mesyuarat Agung tersebut adalah seperti berikut;-

a. Cadangan pelupusan ekuiti milik KPF di dalam Felda Holding Bhd dan 10 anak Syarikat milik Felda Holding Bhd kepada Felda Global Ventures Holdings;

b. Cadangan pelaburan KPF di dalam Felda Global Ventures semasa peringkat Pra-Penyenaraian

c. Cadangan melupuskan sebahagian Ekuiti KPF dalam Felda Global Ventures pada tahun 2012 melalui proses penyenaraian Felda Global Ventures dan penjualan ekuiti kepada pelabur;

d. Hal-hal lain.

15. Pada 23 hb Disember 2011, empat orang pemegang saham dalam KPF telah memfailkan Saman Pemula di Mahkamah Tinggi Temerloh terhadap KPF dan Felda Global Ventures Holding. Saman tersebut dikemukakan untuk menghalang Mesyuarat Agung Khas KPF pada 5 hb Januari 2012.

16. Pada 28 hb Disember 2011, aduan kali kedua telah dibuat oleh En Abd Rahman Ramli, peneroka Felda Raja Alias 4 mengenai status Tan Sri Isa Samad.

17. Setiausaha KPF, Abidin bin Abd Rahman telah mengeluarkan surat bertarikh 30 hb Disember 2011 kepada perwakilan Mesyuarat Agung Khas KPF, membatalkan mesyuarat agung tersebut tanpa dinyatakan sebarang sebab.

18. Pada 4 hb Januari 2012, Hakim Mahkamah Tinggi Kuantan, Dato’ Mariana Yahya; telah memperakukan pembatalan Mesyuarat Agung Khas KPF dihadapan peguam Peneroka(pemegang saham-plaintif) dan peguam KPF serta Felda Global Ventures(defendan).



ADUAN


1. Mengapa mesyuarat Ahli Lembaga KPF pada 22 hb Jun 2011 meluluskan permohonan keahlian Tan Sri Isa Samad sebagai ahli KPF?
Tidakkah ianya bertentangan dengan Undang-Undang Kecil KPF fasal 2 dan fasal 11; di mana hanya peneroka, isteri dan anak peneroka, kakitangan tetap Felda serta Koperasi gabungan KPF sahaja yang layak sebagai ahli KPF?

2. Apa tujuan YAB Perdana Menteri menulis surat bertarikh 15 hb Ogos 2011 kepada Tan Sri Isa Samad memaklumkan perlantikan beliau sebagai Pengerusi KPF?

3. Apa kuasa Perdana Menteri untuk mencampuri hal ehwal dalaman sebuah koperasi yang mempunyai undang-undangnya sendiri dan tertakluk kepada Akta Koperasi dan juga Suruhanjaya Koperasi Malaysia?
Kenapa undang-undang dilanggar dengan tidak mempedulikan suara lebih 200,000 ahli-ahli KPF untuk menentukan kepimpinan KPF yang mereka anggotai?

4. Mengikut peruntukan di dalam seksyen 43 Akta Koperasi 1993 dan juga Undang-undang Kecil KPF sendiri di mana disyaratkan mana-mana ahli sesebuah koperasi yang hendak dilantik atau dipilih sebagai anggota Lembaga sesebuah koperasi itu hendaklah telah genap dua tahun menjadi ahli bagi koperasi itu.
Macamana Tan Sri Isa Samad boleh dilantik sebagai Pengerusi KPF sedangkan beliau baru dua bulan menjadi ahli KPF?

5. Bagaimana Perdana Menteri boleh memberi persetujuan terhadap perlantikan Tan Sri Isa Samad sebagai Pengerusi KPF yang baru dengan mengenepikan begitu sahaja Dato’ Dzulkifli Abd Wahab yang baru beberapa bulan disahkan perlantikannya sebagai Pengerusi KPF di dalam Mesyuarat Agung KPF 23 hb Jun 2011?

6. Meskipun kuasa Menteri yang berkaitan halehwal Koperasi boleh mengecualikan penggunaan seksyen 87 Akta Koperasi 1993 mengenai syarat keahlian dua tahun untuk membolehkan seseorang itu dilantik Ahli Lembaga Koperasi(contohnya Tan Sri Isa); namun, adakah kuasa itu mutlak untuk berbuat demikian?
Menteri atau pihak yang berkuasa mengenainya mesti memberikan alasan kukuh kenapa bertindak memberi pengecualian tersebut.

7. Kenapa hanya selepas seminggu sahaja Tan Sri Isa Samad membuat aduan dan bantahan di SKM, pihak SKM terus sahaja memanggil perbicaraan sedangkan aduan pemegang saham KPF lambat di jawab?
Itupun jawaban kepada pemegang saham begitu kabur.

8. Mengapa SKM membuat keputusan memaksa KPF menerima keahlian Tan Sri Isa Samad sebagai ahli KPF sedangkan laporan Ketua Audit SKM sendiri menyatakan keahlian Tan Sri Isa Samad dalam KPF adalah tidak sah?

9. Adakah SKM selaku sebuah Suruhanjaya yang sepatutnya tertakluk kepada undang-undang dan mengamalkan tahap profesionalisme serta intergriti yang tinggi telah menjadi pekakas yang tunduk kepada kepentingan politik pihak tertentu?

10. Apakah ada ugutan dan tekanan dikenakan keatas Pengerusi Eksekutif SKM untuk membuat keputusan yang menyebelahi Tan Sri Isa Samad?

Sebagai sebuah badan induk yang ditubuhkan pada 12 hb Mei 1971, objektif penubuhan ANGKASA dalam menyatukan 3840 buah koperasi di Malaysia tidak dapat disangkal keberkesanannya.

Justeru kemelut yang melanda KPF ketika ini sesungguhnya menguji kewibawaan ANGKASA dalam menjaga dan memperjuangkan kepentingan koperasi-koperasi seluruh Negara.

Pihak ANGKASA tentu maklum tentang kejayaan KPF sebagai Koperasi Terbaik Negara 2010(kategori Kluster Besar) yang merekodkan perolehan sebanyak RM15 bilion pada tahun 2010. Daripada tahun 1997-2010 purata dividen yang dibayar kepada pemegang saham adalah dalam lingkungan 10-16 peratus. Ini menggambarkan kejayaan besar KPF.

Namun, kebimbangan yang teramat sangat pemegang saham KPF ekoran usaha-usaha berikut yang boleh menjejaskan kepentingan KPF di masa hadapan. Antaranya:-

1. Cadangan Pelupusan ekuiti milik KPF dalam Felda Holding Bhd dan 10 Anak Syarikat milik Felda Holdings Bhd kepada Felda Global Ventures Holdings Berhad. Ekuiti milik KPF dalam Felda Holdings adalah 51 peratus dan aset 10 anak syarikat berkenaan yang menjadi kekuatan pelaburan KPF dianggarkan RM3.13 bilion.

2. Cadangan Pelaburan KPF di dalam Felda Global Ventures Holdings semasa peringkat Pra-Penyenaraian. Felda Global Ventures adalah Syarikat pelaburan Felda yang baru wujud beberapa tahun dan sangat diragui keupayaannya. Pelaburannya di luar Negara seperti Felda Iffco Sdn Bhd, Twin Rivers Technologies US, Felda Global Ventures Middle East dan Felda Global Ventures Arabia mencatat kerugian RM500 juta sehingga tahun 2010.

3. Memperjudikan masadepan KPF kepada Felda Global Ventures yang latar belakangnya begitu buruk sangat berisiko tinggi. Bagaimana mungkin KPF boleh menyandarkan harapan kepada Felda Global Ventures?
Semasa penyenaraian, Felda Global Ventures menerbitkan saham baru sebanyak 20-25 peratus dan ini menyebabkan kepentingan KPF menguncup sehingga 40 peratus. KPF akan menjual 6 peratus daripada pegangan saham yang dimiliki dan pendapatan yang diperolehi dari jualan saham ini diagihkan kepada peneroka sebagai ‘ durian runtuh ‘. Pegangan KPF berkurangan lagi ke paras 35 peratus. Adakah ini percaturan yang betul?


4. Cadangan melupuskan sebahagian ekuiti KPF dalam Felda Global Ventures pada tahun 2012 melalui proses penyenaraian Felda Global Ventures dan penjualan ekuiti kepada pelabur.

Adakah bijak untuk dipindahkan ekuiti bernilai RM3.13 bilion daripada 10 anak syarikat yang mempunyai entiti berbeza dan di longgokkannya dalam satu entiti dan saham-saham diapungkan di pasaran terbuka?
Kepentingan KPF dalam Felda Global selepas di senaraikan di Bursa Malaysia hanya tinggal sekitar 35 peratus sahaja dan milikan Bumiputera semakin terhakis.

5. Sehingga kini, Lembaga Pengarah KPF belum menerima kertas lengkap mengenai cadangan Felda Global Ventures ke Bursa Malaysia daripada pihak pengurusan Felda Global Ventures.

Apakah implikasi kewangan keatas KPF dan Felda belum dibincangkan secara konkrit. Persoalan berkaitan struktur ekuiti selepas penyenaraian mengenai pegangan ekuiti peneroka dan kakitangan Felda melalui KPF adakah dapat di kekalkan pun belum dimuktamadkan. Semuanya masih terlalu kabur dan penuh tanda tanya.

6. Sangat mengejutkan, pegangan saham KPF di dalam Felda Global Ventures sebanyak 35 peratus selepas penyenaraian dipindahkan ke dalam sebuah syarikat pegangan pelaburan baru ( Fund Co) yang ditubuhkan oleh Felda melalui pegangan Saham Keutamaan Boleh Tebus(Redeemable Preference Share). Felda memiliki 100 peratus pegangan saham biasa tertangguh(deffered ordinary shares) di mana semua dividen yang diisytiharkan oleh Fund Co akan disalurkan terus kepada KPF. Felda hanya mempunyai hak mengundi tetapi tidak mempunyai hak ekonomi ke atas dividen yang diisytiharkan oleh Fund Co.

Mengapa Fund Co harus ditubuhkan, siapa yang bakal terlibat dalam syarikat tersebut dan tujuan sebenar organisasi itu di wujudkan dalam konteks proses penyenaraian Felda Global Ventures?

PENUTUP


Memorandum ini di sediakan sebagai suatu ikhtiar yang menuntut komitmen ANGKASA selaku payung kepada koperasi-koperasi seluruh Negara. Felda adalah institusi pembangunan tanah yang terbesar di dunia. KPF adalah sebahagian keluarga besar Felda yang menyumbang terhadap pertumbuhan ekonomi Felda. Pertanggungjawaban ANGKASA dalam mempertahankan situasi ini sangat diperlukan.
Sepertimana SKM, Angkasa juga jangan tunduk kepada kemahuan pihak berkepentingan yang di terajui Tan Sri Isa Samad. Mesti di junjung prinsip ketelusan dan bertindak berani mempertahankan yang hak.

Masa kian suntuk. Meskipun Mesyuarat Agung Khas KPF telah dibatalkan pada 5 hb Januari 2012 yang lalu; ada usaha untuk membawa YAB Perdana Menteri merasmikan Mesyuarat Agung Khas KPF pada tanggal 8 hb Februari 2012.

Agendanya sama. Kempen kotor dan jijik sedang digerakkan. Adalah dipercayai sogokan dan imbuhan istimewa sedang ditawarkan kepada perwakilan. Ini tidak mustahil. ANGKASA mesti bertindak dan memantau perkembangan ini.

Semoga konspirasi jahat yang mahu memfaraidkan aset warga Felda sesama ‘penyamun’ di gagalkan dengan pertolongan Allah SWT, Amin.


MAZLAN ALIMAN

Presiden
Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan(ANAK)

Tiada ulasan: