Jumaat, 13 Januari 2012

BILA KITA TAK MEMIKIR KITA SALAH... FIKIR TAK SALAH DAN BUAT MUKA TEBAL...BUAT BODOH AJE....TAPI RAMAI YANG TAHU...SEKARANG MEREKA NAK JATUHKANNYA

Menara kembar: PAS bidas cara fikir kerajaan Terengganu

Zulkifli Sulong, 13 Januari 2012

KUALA TERENGGANU, 13 Jan: PAS membidas cara pemikiran kerajaan negeri Terengganu yang terus berfikir untuk membuat projek mega ketika rakyat sangat memerlukan kemudahan asas di negeri ini.

Pesuruhjaya PAS Terengganu, Mohamad Abdul Wahid Endut (gambar) berkata, cadangan membina menara berkembar di muara Sungai Terengganu sebagaimana yang dicadangkan Menteri Besar, Datuk Ahmad Said sangat tidak wajar.

"Kita bukan perlukan projek mega atau mercu tanda baru...Yang kita perlu urus tadbir yang baik.

"Kalau kita bina bangunan tinggi tanpa urus tadbir yang baik, nanti roboh, sebagaimana runtuhnya stadium tu, apa akan berlaku?" kata beliau kepada Harakahdaily.

Wahid yang juga anggota Parlimen Kuala Terengganu mengulas pengumuman Ahmad Said yang memberitahu, Terengganu akan mempunyai bangunan berkembar 30 tingkat di muara Sungai Terengganu dalam masa dua tahun dari sekarang.

Jun tahun lalu, kerajaan negeri Terengganu pada dasarnya bersetuju untuk membina menara berkembar setinggi 30 tingkat di kawasan zon strategik seluas 16.2 hektar di bandar raya ini.

Menara berkembar itu bakal menempatkan Yayasan Terengganu (YT), Yayasan Islam Terengganu (YIT) dan Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) di bawah satu bumbung.

Namun semalam Ahmad mengumumkan, bangunan itu adalah untuk Majlis Bandaraya Kuala Terengganu dan satu lagi untuk apartment.

Sebelum ini, Terengganu mempunyai stadium yang serba hebat iaitu Stadium Sultan Zainal Abidin di Gong Badak, namun ia telah runtuh pada tahun 2009 selepas setahun ia digunakan.

Sehingga kini ia masih belum boleh digunakan semula dan pihak yang bertanggungjawab terhadap runtuhan itu belum dihukum.

(Gambar: Stadium yang runtuh kerana urus tadbir yang tidak baik)

Selain stadium runtuh, beberapa bumbung masjid dan sekolah juga runtuh di Terengganu.

"Hatta hentian bas (Kuala Berang) pun runtuh di negeri ini," kata beliau.

Sehingga kini lebuhraya Pantai Timur yang menghubungkan Jabur di Kuantan dengan Kuala Terengganu juga belum berjaya disiapkan kononnya kerana kenaikan kos yang mendadak.

"Bagi saya apa yang salah kepada kerajaan negeri yang ada adalah mereka tidak fokus tentang apa yang diperlukan oleh rakyat sebenarnya.

"Mereka hanya bersenang lenang dengan wang Dana Khas melalui hasil minyak yang dikeluarkan dari bumi Terengganu," kata Wahid.

Wahid juga berkata, PAS telah mengenalpasti apa yang rakyat sangat perlukan dari kerajaan negeri iaitu sekolah agama dan kembalikan kolej agama untuk negeri.

"Kedua-duanya telah kita masukkan dalam manifesto kita untuk pilihan raya akan datang," katanya.


Dana Khas


Menurut beliau juga, kerajaan negeri Terengganu yang ada terlalu bergantung dengan wang Dana Khas dan tidak berusaha pun untuk mencari sumber yang lain.

"92 peratus dari bajet tahunan kerajaan negeri bergantung kepada Dana Khas. Hanya lapan peratus sahaja dari hasil lain. Ini sangat membimbangkan," kata Wahid.

Menurut beliau, semasa kerajaan negeri di bawah PAS (1999 - 2004) apabila royalti minyak dirampas oleh kerajaan Pusat, kerajaan negeri berjaya terus hidup dengan pendapatan yang ada.

"Walaupun kita tidak mampu membuat projek yang besar namun kita berjaya memberikan sesuatu kepada rakyat dengan jelas.

"Cukai pintu kita tidak ambil dari rakyat, kita tidak ada duit tetapi kita mampu bagi tanah kepada rakyat yang memerlukan.

"Untuk menampung kos perbelanjaan kerajaan negeri, kita naikkan cukai pembalakan yang sudah tentu bukan rakyat biasa yang susah kerananya," kata Wahid.

Sekarang ini, kata Wahid, jika Dana Khas tidak ada, kerajaan negeri yang ada tidak mampu untuk membayar gaji kakitangannya.

Ini kerana, 12 peratus dari bajet kerajaan negeri adalah untuk membayar gaji kakitangan, beritahu beliau.

PRU-13 paling sengit untuk BN

Rizal Tahir, 13 Januari 2012

KOTA BHARU, 13 Jan: Umno dan BN tidak mampu mengekang kebangkitan rakyat yang luar biasa khususnya untuk menghadapi Pilihanraya Umum ke-13, apa lagi kekuatan pembangkang dalam Pakatan Rakyat semakin padu.

Justeru itu, PRU Ke-13, dilihat sebagai pilihanraya yang paling sengit dalam sejarah negara apabila BN bakal menerima tentangan tiga gabungan parti yang semakin hebat, PKR, PAS dan DAP.

Setiausaha Majlis Pimpinan Negeri, PKR Kelantan, Muhammad Hisomuddin Bakar berkata demikian, ketika mengulas kedudukan PR selepas pembebasan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam kes liwat.

Katanya, rakyat kini sudah membuat pilihan sendiri siapa yang bakal dipilih sebagai Perdana Menteri dalam pilihanraya umum akan datang.

“Kita melihat trend rakyat kini yang inginkan perubahan sudah tidak boleh dikawal oleh pihak kerajaan lagi mahupun melalui media masa milik mereka,”ujarnya.

Menurutnya lagi, kebangkitan rakyat yang dapat dilihat sewaktu berhimpun dalam kempen pembebasan Anwar 901, hanyalah sebahagian perubaan mood rakyat ketika ini.

Tegasnya lagi, BN kini terpaksa berhadapan dengan gabungan Pakatan Rakyat yang paling kuat dalam sejarah penubuhan PR itu sendiri.

Tegasnya, semasa PRU 12 (2008), PAS dan PKR sahaja, DAP langsung bersendirian, manakala semasa PRU 11 (2004) pula DAP hanya rapat dengan PKR sahaja.

"Kini ketiga-tiganya amat rapat sekali terutama dengan apa yang diperlihatkan dalam setiap kali konvensyen Pakatan," katanya.

Esok Pakatan akan mengadakan konvensyen ke 3 di Alor Setar. Konvensyen pertama di Shah Alam (Kerajaan negeri pimpinan PKR), kedua di Pulau Pinang (kerajaan negeri pimpinan DAP) dan kini di Alor Setar (kerajaan negeri pimpinan PAS).

“Untuk persiapan menghadapi pilihanraya umum nanti, dengan sistem parti yang rosak, korupsi, dasar kerajaan yang tidak membela rakyat seharusnya ditangani secara khusus agar rakyat mengetahuinya,”ujarnya lagi.

PKR Kelantan sendiri misalnya semakin kuat khususnya dalam hubungan dengan PAS.

Sambungnya, kehadiran yang begitu ramai penyokong PR pada majlis Anwar di Machang sebelum keputusan dibuat oleh mahkamah, membuktikan sokongan rakyat terhadap PR dan Anwar semakin besar.

Selain sokongan rakyat yang terbaik untuk Pakatan, PRU 13 juga bakal mencatatkan keadaan BN yang paling teruk ekoran kehancuran satu persatu tiang-tiang untuk parti komponen BN.

BN kini seolah-olah ada Umno sahaja selepas MCA, MIC dan Gerakan sedang teraba-raba mencari arah manakala Umno pula saban hari menyusankan rakan komponen mereka.

Bukan sahaja di Semenanjong, rakannya Umno di Sabah dan Sarawak juga menghadapi masalah yang sama.

Video ‘Kau Nie’: UPSI gantung siswa, buang kolej

Harakahdaily, 13 Januari 2012

KUALA LUMPUR, 13 Jan: Dua mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) diberi notis pembuangan kolej dengan alasan yang sangat tidak munasabah.

Menurut pimpinan Mahasiswa Pendidik UPSI, mereka berdua adalah antara pelakon yang menjayakan video pendek 'Kau Nie' yang mendapat sambutan hangat dalam kalangan anak muda.

Video tersebut turut memaparkan beberapa perbualan tentang isu semasa yang berlaku kepada mahasiswa.

Antara yang hangat diperbincangkan dalam video tersebut adalah tentang isu Adam Adli dan beberapa siri himpunan mahasiswa.

Video tersebut dipaparkan bertujuan untuk memberi pendidikan politik kepada mahasiswa di Malaysia.

Mengulas perkembangan itu, Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) berasa kesal dengan pentadbiran UPSI yang dilihat semakin keterlaluan kebelakangan ini.

Menurut Pengerusi Majlis Politik Nasional Gamis, Muhammad Hafizuddin Muhamed Noor, universiti bukan tempat menghukum mahasiswa tetapi sebagai training ground bagi mahasiswa sebelum keluar ke medan yang lebih mencabar.

"Apa salahnya mahasiswa ingin berkongsi ilmu dan idea dalam bentuk video, itu adalah satu perkembangan ilmu yang terbaik dalam era globalisasi hari ini.

“Saya bimbang jika pada satu hari nanti, mahasiswa yang menulis 'status' di Facebook juga akan menjadi mangsa," ujarnya.

Beliau juga turut mengecam beberapa insiden yang berlaku mutakhir ini khususnya himpunan 1 Januari yang dianjurkan oleh Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM).

Katanya, kehadiran polis pada malam tersebut sangat tidak rasional kerana ia hanyalah himpunan bukan pemberontakan.

Justeru, ujarnya UPSI mesti lebih matang dan bersifat terbuka lebih-lebih lagi memegang status sebagai kampus pendidikan di Malaysia.

Hafizuddin turut menyeru kepada Timbalan Naib Canselor HEPA UPSI, Datuk Junaidi Abu Bakar supaya lebih bersikap profesional dan rasional dalam membuat sebarang respons terhadap gerakan mahasiswa.

Beliau turut mengecam tindakan menggantung Adam Adli selama 3 semester kerana sangat melampau, hanya kerana bendera.

"Saya berharap Datuk Junaidi dan Datuk Khaled Nordin selaku Menteri KPT tidak menjaga periuk nasi mereka semata-mata, bahkan mereka mesti menghormati pendirian dan pergerakan mahasiswa selaku anak muda intelektual," ujarnya.

Saman: Kayveas berdepan kemungkina​n bankrap

Hazayani Zakaria, 13 Januari 2012

KUALA LUMPUR, 13 Jan: Ahli Parlimen Segambut dari DAP, Lim Lip Eng hari ini mendedahkan Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP), Datuk Seri M Kayveas sedang berdepan kemungkinan jatuh bankrap.

Beliau berkata, Kayveas dan isterinya, Datin Seri Blanche O' Leary pernah disaman oleh sebuah syarikat kontraktor, Peninsular Concord Sdn Bhd pada tahun 1997 kerana gagal membayar ganti rugi bernilai RM470,000 kepada syarikat tersebut.

"Pada 1 Februari 1997 Peninsular Concord bayar RM470,000 kepada Kayveas dan isteri sebagai 'stakeholder' untuk satu projek.

"Tapi projek itu terbengkalai dan Peninsular minta balik duit tersebut tapi kayveas enggan bayar balik," kata beliau pada sidang media di pejabat khidmat masyarakat Parlimen Segambut, hari ini.

Pada 28 Julai tahun lalu, mahkamah memutuskan Kayveas mesti membayar balik wang tersebut berserta interest dan tiada perintah mahkamah menyebut kes ini ditangguh.

Walaupun Kayveas dan isteri mengemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan, namun kes ini masih dalam perbicaraan.

"Kayveas kena bayar balik walaupun telah failkan rayuan.

"Peninsular Concord pula telah memfailkan notis bankrapsi terhadap Kayveas," jelasnya.

Semalam, Kayveas yang juga bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri mengesahkan bahawa namanya tidak terdapat dalam senarai bakal calon PPP untuk pilihan raya umum ke-13.

Menjelaskan perkara itu, Kayveas seperti dilaporkan media berkata, beliau menyerahkan keputusan sama ada bertanding atau tidak kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang juga Pengerusi Barisan Nasional.

PPP telah mengemukakan hasrat bertanding di empat kawasan Parlimen dan 12 kawasan Dewan Undangan Negeri kepada Najib.

Pada pilihan raya umum lalu, PPP diperuntukkan dua kerusi di Perak iaitu kawasan Parlimen Taiping dan kawasan DUN Pasir Bedamar.

Di Taiping, Kayveas tewas kepada calon DAP Nga Kor Ming dengan 11,298 undi manakala bagi kerusi Pasir Bedamar, calon PPP Lee Heng tewas kepada Seah Leong Peng daripada DAP dengan 7,914 undi.

Tiada ulasan: