Rabu, 11 Januari 2012

JANGAN MENGADAKAN BENDA YANG TAK ADA...JANGAN MENGADU DOMBA...JANGAN MENGHINA DAN MENCERCA PARTI SENDIRI..JANGAN GILA TALAK..JANGAN TAK MUHASABAH DIRI

Pilih Pakatan dapat tanah, BN ‘gadai' tanah

Khairil Abdul Rahim,

BANDAR JENGKA, 11 Jan: Para peneroka diberi pilihan sama ada memilih Pakatan Rakyat yang akan mendapat tanah, atau BN yang menyerahkan tanah Felda Plantation untuk penyenaraian saham yang berisiko tergadai kepada pihak lain.

Pengerusi Persatuan Anak Peneroka (Anak) Negeri Pahang, Yohanis Ahmad, memberi bandingan demikian kerana tawaran PR seperti terkandung dalam ‘Buku Jingga’ tanah Felda Plantation akan diagihkan kepada anak-anak peneroka dan golongan lain yang layak.

Tambahnya, sedangkan mencagarkan tanah untuk ‘permainan’ saham boleh menyebabkan tanah tersebut terlepas kepada pihak asing yang akan menguasai melalui pemilikan saham.

“Betul ada pemimpin yang menjanjikan durian runtuh apabila Felda melalui anak syarikatnya mahu disenaraikan di Bursa Kuala Lumpur, tetapi hakikat bermain saham ini bukan saja boleh untung besar tetapi juga boleh rugi besar.

“Kalau kita hilang lori mungkin boleh cari ganti, kalau hilang kedai sekalipun boleh beli lain tapi kalau hilang tanah sudah tentu tidak mudah untuk ditebus balik. Mungkin pemimpin yang menjanjikan keuntungan semata-mata tidak beritahu bahawa pemilikan saham boleh menyebabkan penjajahan baru.

“Kita bukan bercakap kosong cuba tengok apa jadi dengan syarikat Guthrie, IOI dan Golden Hope apabila disenarai di bursa saham. Begitu juga saham anak-anak syarikat kerajaan negeri.

“Sebab itu kita tengok di Thailand apabila bekas perdana menterinya Thaksin Shinawatra menjual saham telekomunikasi negara itu, rakyat bangkit dan memberontak. Itu saham telekomunikasi, ini pula tanah Felda Plantation seluas 360,000 ekar yang mahu dicagar,” katanya.

Yohanis berucap demikian dalam majlis Dialog dan Minum Petang Bersama Peneroka di Jengka 19, kelmarin.

Beliau mengulas tindakan kerajaan negeri memanjangkan pajakan 99 tahun tanah Felda Plantation dan usaha melupuskan aset Koperasi Permodalan Felda (KPF) kepada Felda Global Ventures Holding (FGVH) yang mahu disenaraikan dalam Bursa Malaysia.

“Sebab itu kita seru pihak kerajaan, daripada nak ambil untung bermain saham cagarlah benda lain tapi jangan tanah. Daripada tanah seluas itu terlepas kepada puak kapitalis atau pelabur asing, baiklah diagih kepada anak-anak peneroka untuk diusahakan,” katanya.

Beliau yang juga Pengarah Jabatan Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia (Juham) PAS Pahang berkata, sebenarnya dasar Allahyarham Tun Razak dulu ialah memberikan tanah kepada orang Melayu sebab itu apabila dibuka saja Tanah Rancangan Felda akan diisi dengan peneroka.

Tambah Yohanis, tanah Felda Plantation juga pada asalnya mahu diisi dengan peneroka dan 10,000 orang telah ditemuduga. Tetapi pada waktu Tun Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri tanah tersebut telah diusahakan syarikat oleh Felda melalui dasar penswastaan.

“Sebab itu teori kita mudah iaitu Umno nak jual tanah sedangkan PAS nak bagi tanah jadi pilihlah mana satu yang dihajati dalam pilihan raya akan datang.

“Ini penting difahami oleh semua supaya tindakan kita semua tidak menjahanamkan masa depan anak cucu kita pada masa akan datang,” ujarnya.

Utusan cuba sensasikan ‘kesalahan’ muslimat PAS

Harakahdaily,

KUALA LUMPUR, 11 Jan: “Apalah ‘kesilapan’ yang sedikit ini dibandingkan dengan dosa rasuah, penyelewengan, kezaliman, penolakan hukum hudud yang dilakukan pimpinan Umno BN serta Fitnah I dan II terhadap Anwar?” kata Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Dr Siri Mariah Mahmud (gambar).

Beliau menyatakan demikian sebagai mengulas laporan akhbar Utusan Malaysia hari ini yang telah menghebahkan gambar dari rakaman YouTube kegembiraan sebahagian Muslimat PAS, Wanita Keadilan dan penyokong Pakatan selepas pengumuman pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan mempertikaikan akhlak Muslimat PAS.

Katanya, kegembiraan yang dizahirkan secara nyanyian beramai-ramai dan senikata yang zahir secara spontan telah menaikkan kemarahan penyokong Umno dan BN dan membuka peluang mereka untuk membina persepsi negatif terhadap PAS.

Tambahnya, ia satu kesinambungan usaha Umno BN untuk memburukkan PAS yang cuba menggambarkan yang akhlak muslimat buruk dan mempersoalkan moral muslimat.

Baginya, rakaman itu sebenarnya hendak ditujukan kepada ahli-ahli PAS dan penyokong PAS yang tidak hadir di Himpun 901 dan akan melihat rakaman tersebut di luar konteks peristiwa.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kota Raja berkata, rakaman itu juga diharapkan akan menimbulkan keresahan sebahagian penyokong PAS yang sekarang dipasak dengan idea yang PAS telah lari dari perjuangan asal.

“Kami menduga ianya akan memberi persepsi negatif terhadap muslimat PAS kepada mereka yang mungkin tidak pernah turun ke jalan raya untuk demonstrasi dan tidak mungkin memahami perasaan mereka yang sentiasa berhadapan dengan kezaliman pihak berkuasa, biasa disembur dengan gas pemedih mata dan air beracun,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Menurutnya, anak-anak muda itu menghabiskan usia muda mereka bersama berjuang menuntut keadilan dan menyanggah kezaliman regim Umno BN.

“Saya menghadiri dan bersama dengan sebahagian wanita dalam Himpun 901 dari awal hingga peserta Himpun 901 bersurai. Saya juga acap kali turun berdemo dan sentiasa memantau pergerakan muslimat,” katanya.

Jelasnya lagi, sesiapa yang ada bersama pada Himpun 901 tahu yang sebahagian Muslimat PAS dan wanita yang hadir telah berhimpun di satu sudut tempat berhimpun untuk bermunajat kepada Allah SWT untuk membebaskan Anwar.

“Kami telah mengetuai bacaan Ma’thurat dan Yasin. Malah pengumuman pembebasan Anwar diumumkan sebaik sahaja muslimat habis membaca Yaasin,” ujarnya.

Katanya lagi, sebahagian muslimat telah mengadakan sujud syukur sebaik sahaja keputusan diketahui di tempat perhimpunan.

“Semasa bergerak keluar daripada tempat parkir menuju ke masjid berhampiran kami berselawat beramai-ramai. Ini semua tidak pula dimasukkan ke YouTube,” katanya.

Tambah beliau lagi, selepas berselawat barulah mereka menyanyikan lagu reformasi dengan spontan.

Baginya, tidak ada apa salahnya bernyayi beramai-ramai dengan bersemangat dalam sekitar 10 minit.

Kata beliau, sememangnya semua yang hadir dari sebelum Subuh lagi terlalu gembira dengan pembebasan Anwar.

Jelasnya lagi, tidak ada percampuran dengan lelaki dan perempuan, tidak ada pendedahan aurat, tidak ada lenggang lengguk yang menggiurkan, intonasi suara bukan intonasi yang jatuh kepada haram, dan perkataan yang digunakan tidaklah lucah.

“Kalau kita singkap sirah Rasulullah saw, apabila Nabi s.a.w. sampai di Madinah baginda di sambut oleh muslimat dengan nanyian dan rebana untuk menzahirkan kegembiraan,” katanya.

Katanya, kalau nak dipertikaikan melodi yang sering dimainkan oleh pancaragam sekolah yang digunakan ianya melodi nyanyian reformasi yang selama ini digunakan oleh anak muda semasa berdemo.

“Mungkin yang kasar sikit ialah ‘Mampus Umno’.Kalau kita lihat budaya wanita timur tengah pun begitu. Mereka akan bertepuk-tepuk dan mengangkat-angkat tangan sambil bernyanyi.

“Saya pernah bersama dengan Gerakan Islam Wanita di peringkat antarabangsa, Sudan, Indonesia, Algeria , Mesir dan lain-lain negara Islam yang lebih bersemangat dalam menyanyikan lagu-lagi jihad.

“Hanya orang yang tidak mendalami hukum sahaja yang membangkitkan isu suara wanita itu aurat pada ketika ini,” ujarnya.

DMPP juga, katanya yakin yang apa yang berlaku bukan satu kesalahan dan dosa, ianya bukan kayu ukur akhlak dan moral muslimat.

“Apa pun oleh kerana ia satu perkara baru dan bukan satu budaya muslimat, bagi mereka yang merasa tersinggung, Dewan Muslimat memohon maaf dan akan lebih berhati-hati dengan perangkap Umno BN di masa akan datang,” ujarnya.

Haron Din, Taib Azamuddin, Ismail Kamus tak hadir rumah Hasan Ali

Harakahdaily,
KUALA LUMPUR, Jan 11: PAS hari ini menjelaskan bahawa laporan berita mengenai kehadiran beberapa pemimpin PAS yang dilaporkan berada di rumah bekas ahli PAS, Datuk Dr Hasan Ali, Ahad lalu adalah palsu.

Selepas Hasan dipecat pada siang harinya, media Umno termasuk Buletin Utama TV3 melaporkan bahawa ramai pemimpin PAS yang hadir memberikan sokongan moral kepada bekas Pesuruhjaya PAS Selangor tersebut.

Antara nama yang disebut hadir ialah Timbalan Mursyidul Am Datuk Dr Haron Din, Ustaz Taib Azamuddin dan Ustaz Ismail Kamus.

“Laporan tersebut adalah tidak betul dan mempunyai niat tidak senonoh, kerana hakikatnya kesemua mereka tidak bersama pada malam tersebut.

"Ketika penjelasan itu diberikan, PAS mengesahkan bahawa Datuk Dr Haron Din sedang bermesyuarat di Majlis Syura Ulama di pejabat agong PAS, Ustaz Taib Azamuddin pula berada di China dan Ustaz Ismail Kamus sedang menerima rawatan,” jelas Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam satu kenyataan hari ini.

Tuan Ibrahim turut menjelaskan bahawa mantan timbalan presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa yang turut hadir bersama presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali untuk memberikan sokongan moral kepada Hasan ada memaklumkan kepada Majlis Syura akan kehadirannya terlebih dahulu.

“Jelas perkara di atas adalah usaha pihak tertentu bermotif untuk memberi imej buruk kepada para pimpinan parti dan mengelirukan ahli-ahli PAS sehingga bersangka buruk terhadap pimpinan parti demi mengganggu persiapan terakhir pilihanraya.

"Lantaran itu, semua ahli dan pimpinan parti mesti merujuk kepada media rasmi parti iaitu Harakahdaily dan Harakah cetak untuk mendapatkan sumber sahih dan rasmi parti,” tegas Tuan Ibrahim.

Pesuruhjaya PAS Pahang itu juga menasihatkan semua ahli dan pimpinan parti untuk menguatkan kesedaran politik agar tidak mudah dipengaruhi permainan jahat pihak lawan.

“Dalam suasana ini, semua ahli PAS diseru untuk memperkukuhkan perpaduan dan ukhuwah dalaman parti agar kita dapat menjauhi kerja yang tidak menguntungkan jamaah dan menumpukan seluruh masa, tenaga dan dana bagi menghadapi persiapan pilihanraya umum yang semakin hampir,” seru beliau.

Haron Din, Taib, Ismail tiada di rumah Hasan

Harakahdaily,
KUALA LUMPUR, 11 Jan: PAS hari ini mengesahkan bahawa laporan berita mengenai kehadiran beberapa pemimpin PAS yang dilaporkan berada di rumah bekas ahli PAS, Datuk Dr Hasan Ali, Ahad malam yang lalu adalah palsu.

Selepas Hasan dipecat pada siang hari, media melaporkan bahawa ramai pemimpin PAS yang hadir memberikan sokongan moral kepada bekas Pesuruhjaya PAS Selangor tersebut.

Antara nama yang disebut hadir ialah Timbalan Mursyidul Am, Datuk Dr Haron Din, ustaz Taib Azamuddin dan Datuk Ustaz Ismail Kamus.

“Laporan tersebut adalah tidak betul dan mempunyai niat tidak senonoh, kerana hakikatnya kesemua mereka tidak bersama pada malam tersebut.

Ketika penjelasan itu diberikan, PAS mengesahkan bahawa Dato Dr Haron Din sedang bermesyuarat di Majlis Syura Ulamak di pejabat agong PAS, Ustaz Taib Azamuddin pula berada di China dan Ustaz Ismail Kamus sedang menerima rawatan,” terang Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam satu kenyataan hari ini.

Tuan Ibrahim turut menjelaskan bahawa mantan timbalan presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa yang turut hadir bersama presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali untuk memberikan sokongan moral kepada Hasan ada memaklumkan kepada Majlis Syura akan kehadirannya terlebih dahulu.

“Jelas perkara di atas adalah usaha pihak tertentu bermotif untuk memberi imej buruk kepada para pimpinan parti dan mengelirukan ahli-ahli PAS sehingga bersangka buruk terhadap pimpinan parti demi mengganggu persiapan terakhir pilihanraya.

Lantaran itu, semua ahli dan pimpinan parti mesti merujuk kepada media rasmi parti iaitu Harakahdaily dan Harakah cetak untuk mendapatkan sumber sahih dan rasmi parti,” tegas Tuan Ibrahim.

Pesuruhjaya PAS Pahang itu juga menasihatkan semua ahli dan pimpinan parti untuk menguatkan kesedaran politik agar tidak mudah dipengaruhi permainan jahat pihak lawan.

“Dalam suasana mencabar ini, semua ahli PAS diseru untuk memperkukuhkan perpaduan dan ukuhwah dalaman parti agar kita dapat menjauhi kerja yang tidak menguntungkan jamaah dan menumpukan seluruh masa, tenaga dan dana bagi menghadapi persiapan pilihanraya umum yang semakin hampir,” seru beliau.

Tiada ulasan: