Rabu, 11 Januari 2012

JADILAH PENYOKONG MAKRUF BUKAN MUNGKAR...GUNA UKUR KAEDAH ISLAM BUKAN KAEDAH EMOSI@KAEDAH ANTI ISLAM...NANTI ROSAK AKIDAH@IMAN SERTA BERDOSA

Politik pintar DAP tak letak calon Melayu

Subky Latif,

DAP dikira mengambil langkah pintar menangguhkan cadangan meletakkan calon Melayu dalam pilihan raya yang akan datang.

DAP dalam sejarahnya pernah meletakkan calon Melayu di masa lalu, dua dari mereka pernah menang di DUN Perak iaitu Fadzlan Yahya dan seorang lagi tahun 1974 telah mengalahkan peguam Cina terkemuka di Ipoh iaitu Kong Kok Yat.

Bagi mengelakkan parti itu tidak dilihat sebagai yang disokong oleh Cina saja, maka wajar ada pimpinannya dari orang Melayu setelah ia ada pimpinan dari masyarakat India.

Maka ia pernah bercadang untuk meletakkan beberapa orang Melayu di negeri-negeri yang pengaruhnya sudah ketara seperti Pulau Pinang, Selangor, Perak dan Negeri Sembilan. Harapan bagi calon Melayu itu menang tidak mustahil, bahkan cerah.

Tetapi pada ketika UMNO dan penyokong berkaratnya terlalu benci dan takut pada DAP, maka ia dikira bijak dan pintar jika menangguhkan dulu cadangan meletakkan calon Melayu.

Mungkin pengalaman semasa Lee Kuan Yew menjadi rakyat Malaysia dulu boleh dipelajari. Lee Kuan Yew terlalu cepat menyatakan politiknya untuk menggantikan Perdana Menteri Melayu 20 tahun selepas pembentukan Malaysia.

Kerana kata-katanya untuk memberi peluang kepada orang Melayu terus menjadi Perdana Menteri selama 20 tahun, telah mencabar ruh perkauman yang tebal ketika menyingkirkan Singapura dari Malaysia.

Maka tidak perlu gopoh bagi DAP untuk menunjukkan partinya benar-benar Malaysian Malaysia pada masa ini, biarkan Najib saja berhempas pulas menjadikan 1Malaysia sebagai Malaysian Malaysia. Malaysian Malaysia itu suatu yang pasti terjelma tanpa digembar gemburkan oleh sesiapa.

Langkah paling bijak bagi DAP sekarang ialah menumpukan perhatian di kawasan yang padat pengundi bukan Melayu dan atas banduan PAS dan PKR ia boleh menarik orang Melayu di kawasan seperti itu.

Di kawasan-kawasan yang padat Cina, dalam apa keadaan UMNO tidak akan bertanding. Ia akan hilang wang pertaruhan di situ. Harapan BN di situ kepada MCA, Gerakan dan MIC. PAS dan PKR akan memastikan pengundi di situ tidak memberi undinya kepada MCA dan Gerakan.

Jika DAP meletakkan calon Melayu di Selangor, Perak, Negeri Sembilan dan lain-lain, maka dijadikan propaganda oleh UMNO bahawa DAP menyedia Menteri Besarnya di situ dan Menteri Besar Melayu DAP itu tetap mereka momokkan sebagai kuda lumba DAP.

Yang penting pada DAP buat masa ini ialah kekal berkuasa di Pulau Pinang, dan menyertai pemerintahan di mana-mana Pakatan Rakyat berkuasa.

DAP telah meletakkan formula yang sangat bijak di Perak tahun 2008. Ia menjadi pembangkang yang paling banyak kerusi. Ia tidak minta jawatan Menteri Menteri Besar bila ia bersetuju membentuk kerajaan campuran dengan PAS dan PKR. Ia memberikan jawatan itu kepada PAS.

Ia dipercayai mampu mempertahankan kerusinya di Selangor. Sekiranya dalam pilihan raya nanti ia dapat lebih kerusi berbanding PKR dan PAS, ia tidak menuntut kerusi Menteri Besar, bahkan ia diserahkan kepada komponen Pakatan yang lain, maka ia akan dilihat oleh umum sebagai pihak yang memburu kekuasaan, tetapi lebih kepada menyertai pemerintahan.

UMNO tidak ada modal untuk mengatakan DAP mahu menjadi Perdana Menteri kitanya BN kalah dalam pilihan raya nanti kerana UMNO sudah pun mewar-warkan Anwar sebagai Perdana Menteri. Sekali pun Anwar akan dipenjara, tetapi mereka tahu kiranya BN kalah, Pakatan akan mengeluarkan Anwar dari penjara bagi mengepalai pemerintahan.

Tetapi yang UMNO ugut orang Melayu sekarang ialah DAP hendak jadi Menteri Besar Selangor dan lain-lain negeri yang DAP berpengaruh. Dengan DAP tidak meletakkan calon Melayu, maka mati hujah UMNO tentang DAP menyediakan Menteri Besarnya.

Akan tinggal satu modal saja bagi UMNO ialah PAS dan PKR jadi kuda tunggang DAP. Itulah yang dijajanya selama ini.

Apa pun Pakatan Rakyat tetap mengira peranan DAP cukup penting dalam usaha mengubah lanskap politik negara. Tindakannya tidak meletak calon Melayu buat masa ini adalah suatu yang positif.

Sinar keadilan dari mahkamah Jalan Duta

Abd Shukur Harun shukurharun@yahoo.com,

Selasa, 10 Januari: Sejak awal Subuh lagi (Isnin), Masjid Wilayah Persekutuan, yang berada di depan Mahkamah Tinggi Jalan Duta didatangi ribuan umat Islam untuk mendengar keputusan kes perbicaraan liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mereka menunaikan solat Subuh dan kemudian menuju ke kompleks mahkamah tersebut – tidak jauh dari situ dengan penuh semangat dan bersedia menerima apa saja keputusan mahkamah.

Dingin Subuh tidak terasa kerana ramainya orang yang hendak memberi sokongan kepada Anwar, seorang pemimpin pembangkang penuh karisma, yang menghadapi siri fitnah bertahun-tahun lamanya.

(Gambar: Awal Subuh mereka sudah berkumpul di Masjid Wilayah)

Sebahagian besar mereka yang datang menyangkakan, Anwar akan dijatuhkan hukuman bersalah, namun mereka menggagahkan diri untuk datang bagi meneruskan perjuangan ketua pembangkang itu.

Ertinya di sini, mereka bukan semata-mata datang untuk menyokong Anwar secara peribadi, tetapi mereka datang untuk menyokong perjuangan pemimpin Pakatan Rakyat itu bagi membebaskan Malaysia dari cengkaman politik Umno/BN yang korup.

Walaupun tenggelam dalam persepsi umum bahawa kemungkinan besar Anwar akan dihukum, orang ramai terus berjalan dengan aman ke pekarangan mahkamah tersebut dalam cuaca pagi yang semakin cerah.

Matahari sedikit demi sedikit menampakkan wajahnya, di balik rimbunan pohon-pohon di situ, seperti gadis sunti yang malu-malu. Dan orang ramai – pelbagai kaum – terus berkumpul. Teriakan ‘Reformasi’, ‘Allahu Akbar’ bergema. Ratusan wartawan dan juru-foto dari dalam dan luar negara turut sama dalam gelombang orang ramai itu

Ini membuktikan bahawa kes Liwat-11 Datuk Seri Anwar ini mendapat perhatian antarabangsa, di samping beliau sendiri adalah tokoh yang terkenal di peringkat antarabangsa.

Di tengah gegak gempita orang ramai menyambut para tokoh pembangkang yang tiba seorang demi seorang, pasukan polis berkawal dengan tenang, malah ada yang dengan ramah menyambut salam orang ramai, kontras dengan suasana Himpunan Bersih 2.0 dulu yang penuh dengan ketegangan.

Waktu berjalan dan degup jantung hampir setiap orang begitu kencang ketika menanti keputusan perbicaraan tersebut – suatu keputusan yang sangat akan membantu arah jalannya politik negara ini.

(Gambar: Presiden PAS yang datang untuk memberikan sokongan moral kepada Anwar)

Tetapi keadaan yang mendebarkan itu kemudian bertukar tiba-tiba dengan teriakan gembira orang ramai apabila diumumkan bahawa hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Datuk Mohamad Zabidin Mohamad Diah memutuskan Anwar tidak bersalah dan mengarahkan supaya beliau dibebas dan dilepaskan.

Setelah mendapat pengesahan berita itu, penyokongnya terus melonjak kegembiraan dan menjerit, “Anwar tidak bersalah!”. Kebanyakannya tercengang-cengang mendengar berita itu. Matahari pagi terus naik – menyaksikan peristiwa itu - seolah-olah ikut gembira kerana berakhirnya sebuah fitnah.

Ramai yang kelihatan begitu bergembira sambil memeluk antara satu dengan lain, bertepuk dan melaungkan “reformasi”, “Allahu Akbar” tidak putus-putus.

Di dalam mahkamah yang penuh sesak, isteri Anwar, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mendakap suaminya dengan gembira dan menahan sebak setelah tertekan perasaan dan dukacita yang amat sangat sejak perbicaraan bermula pada tahun 2008. Namun wajahnya masih tergambar kesabaran dan ketabahan hati sebagai isteri seorang pemimpin yang paling banyak menerima ujian silih berganti.

Di tengah orang ramai itu ada suara terdengar perlahan, “Ini ketentuan Allah Yang Maha Kuasa, Allah masih menyayanginya. Allah membersihkannya dari fitnah.’’

Anwar dan isteri kemudian keluar dari bangunan mahkamah dan diserbu oleh orang ramai yang hendak mengucapkan tahniah.

Anwar mengucapkan terima kasih kepada penyokongnya dan mengisytiharkan bahawa perjuangan mereka masih jauh dari tamat.
"Kita telah dengar tadi bahawa saya kini bebas. Tetapi ini bukanlah mengenai kebebasan saya saja. Perjuangan selepas ini adalah untuk membebaskan rakyat daripada terus dicengkam oleh kerajaan Barisan Nasional. Tugas kita sekarang ini ialah untuk membebaskan rakyat, untuk membebaskan rakyat,” katanya berulang kali.

Beliau segera ditemui ramah oleh TV Aljazeera dan media lokal dan international yang lain.

Di tengah-tengah itu, tiba-tiba terdengar letupan beberapa kali tidak jauh dari pekarangan tersebut, namun orang ramai masih berkumpul dan berkumandang doa disampaikan oleh YDP PAS Gombak, Ustaz Salahuddin Nasir.

Selepas itu orang ramai pun bersurai perlahan-lahan dengan rasa lega atas keputusan tersebut. Namun mereka sedar, perjuangan ini belum berakhir, justru ada kemungkinan kes ini akan dibawa ke Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan. Sekali lagi orang ramai menyerahkan ketentuan ini kepada Allah Yang Maha Kuasa.

Di ini saya mencatatkan ingatan yang penting dari Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, yang menasihatkan pihak yang telah memfitnah Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini memohon maaf dengan segera.

(Gambar: Anwar pulang sebagai seorang yang bebas setelah diputuskan tidak bersalah)

Katanya, mereka yang membuat fitnah terhadap Anwar selama ini perlu memohon maaf kepada Anwar.

"Berdosa besar dan tidak akan masuk syurga selagi tidak memohon maaf darinya,” ujarnya lagi.

Tuan Guru berpuasa sunat sehari hari ini (Selasa) bagi melahirkan rasa syukur atas keputusan mahkamah.

“Mudah-mudahan fitnah politik di negara ini tidak akan berlaku lagi,” katanya.

Matahari semakin meninggi ketika medan Jalan Duta itu beransur lengang selepas orang ramai pulang dengan rasa gembira dan shukur kepada Ilahi. Yang tinggal hanyalah sampah saraf, kertas, botol-botol dan sebagainya menunggu dibersihkan oleh buruh bandaraya. Bangunan Mahkamah Tinggi yang ditinggalkan itu telah mencatat sejarah penting bahawa ada sinar keadilan memancar di sana.

Bebas atau penjara, Umno tetap tersepit

Ahmad Lutfi Othman,

Umno-BN dan Najib Razak memang jelas tersepit dan terperangkap.

Apa pun keputusan mahkamah terhadap kes Anwar Ibrahim pada 9 Januari ini, Perdana Menteri masih sukar untuk menamatkan teka-teki tarikh pilihan raya umum, medan tempur paling sukar pernah dihadapi Pengerusi BN. Segalanya nampak serba tidak kena.

Sama ada Anwar didapati bersalah atau dilepaskan -- atau apa jua penghakiman yang bakal dibuat -- persepsi rakyat terhadap elit penguasa, terutama daripada segi pengaruh dan tekanan eksekutif terhadap mahkamah, tetap memburuk. Persepsi ini terbentuk kukuh sejak awal pemerintahan Dr Mahathir Mohamad lagi.

Apatah lagi dalam kes yang begitu kritikal dan dilihat mempunyai impak politik cukup tinggi, maka kehendak atau sekurang-kurangnya isyarat Jabatan Perdana Menteri tidak boleh diremehkan. Malah, di negara-negara yang dikenali dengan sistem kehakiman berintegriti pun, kes-kes yang mempunyai implikasi besar politik sukar dijalankan secara adil.

Dalam konteks negara kita, Peguam Negara mempunyai kuasa menurut budi bicaranya untuk memulakan, menjalankan atau memberhentikan apa-apa prosiding bagi sesuatu kesalahan. Beliau juga boleh memilih pertuduhan di bawah peruntukan undang-undang yang "disukainya". Jabatan Peguam Negara mempunyai kaitan erat dengan JPM.

Anwar sendiri mengakui, sekiranya Dr Mahathir masih berkuasa dan menyandang jawatan Perdana Menteri pada September 2004, belum pasti Mahkamah Persekutuan waktu itu akan membuat keputusan membebaskannya.

Manakan tidak, bagi seorang Dr Mahathir, parti Umno yang diterajuinya sendiri pun boleh diharamkan pada 4 Februari 1988 atas kemahuannya kerana itulah satu-satu pilihan yang ada bagi mengetepikan pencabarnya, Tengku Razaleigh Hamzah.

Pada persepsi umum, segala keterangan, bukti dan fakta kes adalah satu hal yang berbeda dan boleh diketepikan apabila dihadapkan dengan pertembungan kepentingan pemerintah, apatah lagi ia bersifat "hidup-mati" survival politiknya.

Sememangnya episod hitam-pekat pemecatan Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas, diikuti penyingkiran dua hakim Mahkamah Agung di zaman Dr Mahathir, sudah berlalu hampir 23 tahun lalu, namun tiada siapa berani menafikan tanggapan bahawa kebebasan badan kehakiman negara belum dapat dipulihkan.

Isu kongkongan -- atau istilah lebih lembut lagi, pengaruh -- eksekutif terhadap judiciary masih menjadi polemik yang tidak berkesudahan di Malaysia.

Jika penentuan pembubaran Parlimen empat tahun lalu difaktorkan oleh pertimbangan Abdullah Ahmad Badawi bahawa Anwar masih tidak layak untuk bertanding dalam pilihan raya umum 2008 (dan ternyata perkiraannya tersasar), maka kali ini Najib tetap melihat sosok Ketua Umum KeADILan itu sebagai kriteria terpenting.

Suka atau tidak, Anwar masih dikira watak paling dominan dalam percaturan siasah tanahair. Najib tentunya mahu mengurangkan risiko dalam menghadapi PRU13, yang disifatkannya sendiri sebagai "ibu segala pilihan raya". Soalnya, apakah dengan memenjarakan Anwar boleh memudahkan laluannya untuk mempertahankan Putrajaya atau tambah menyukarkan beliau, segalanya masih menjadi perdebatan.

Najib mungkin dilihat tidak "seganas" mentornya, Dr Mahathir -- dengan rekod terburuk menyerang para hakim yang tidak memihak kepadanya, juga melumpuhkan kebebasan kehakiman secara sistematik melalui siri pindaan Perlembagaan, dan mengetatkan undang-undang yang sedia zalim -- tetapi situasi sulit yang terpaksa dilaluinya memaksa orang ramai menaruh sangkaan buruk terhadap Perdana Menteri keenam itu.

Kes Fitnah II Anwar diselubungi dengan pelbagai keanehan. Fakta kes yang dibentangkan di mahkamah sarat dengan bermacam-macam persoalan yang gagal terjawab.

Justeru, persepsi umum bahawa Anwar teraniaya cukup tebal. Kes liwat membaitkan Saiful Bukhari Azlan tetap dianggap semata-mata kes politik dan bukannya kes jenayah, sepertimana kes Azizan Abu Bakar dahulu. Ditambah lagi dengan pembabitan, secara langsung mahupun tidak langsung, personaliti politik, termasuk Najib, dan pegawai polis tertentu, yang dikaitkan dengan kes Fitnah I dahulu, khususnya Musa Hassan dan Rodwan Yusof.

"Sikap doule-standard kerajaan Ummno jelas dalam kes Anwar. Dan jangan perbodohkan rakyat dengan mendakwa himpunan 901 adalah sokongan membuta-tuli kepada peribadi Anwar. Ini perjuangan panjang rakyat menuntut perubahan," SMS seorang pembaca Harakah kepada saya.

Penghakiman kes Anwar ini melanjutkan lagi dilema berpanjangan Najib. Walaupun beliau cuba melakukan pelbagai bentuk transformasi, namun belantara politik yang diredah semakin memerangkapnya. Kes Shahrizat Jalil, Jamil Khir Baharom, Awang Adek Hussin adalah contoh kecil yang tidak mudah ditanganinya.

Imej kelam-suram Umno-BN yang ditinggalkan Abdullah belum berjaya diceriakannya. Pelbagai bantuan one-off yang diumumkan dalam Belanjawan 2012 di tengah suasana ekonomi yang tidak menentu, dengan bebanan hutang negara yang begitu tinggi, tidak pula menarik simpati rakyat kepada Najib.

Sebaliknya ramai bertanya, mampukah kewangan negara bertahan lebih lama jika Najib meneruskan "keborosannya membeli undi" melalui bantuan one-off itu, sedangkan beliau sendiri curiga untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong, bagi mencadangkan tarikh pembubaran Parlimen.

"Najib perlu adakan pilihan raya segera selepas segalanya dicurahkan untuk menarik sokongan pengundi. Kalau lambat, orang akan lupa jasa baiknya itu. Dari mana nak dikorek duit lagi untuk beli undi itu. Lagi pun rakyat semakin bijak memperhatikan gelagat BN menggunakan wang negara," kata seorang pensyarah sains politik.

Sementara pengundi bukan Melayu, khususnya Cina, dijangka terus menjauhi BN, penghakiman kes 901 ini dilihat boleh mempengaruhi kecenderungan masyarakat Muslim. Secara automatik ramai merujuk situasi 1998-99, pada era reformasi, sebagai kemungkinan majoriti pengundi Melayu kembali memberi simpati kepada Anwar.

Sama ada penghakiman ataupun perhimpunan 9 Januari ini, kedua-duanya adalah "aksi politik" yang dipersembahkan oleh Najib dan Anwar ...

Bekas Ketua Pengarang NSTP, A Kadir Jasin yang juga merupakan blogger yang aktif, menyenaraikan beberapa "kalau" dengan penghakiman 9 Januari, antaranya: "Kalau Anwar masuk penjara, kesan undi simpati yang menyebabkan BN hilang banyak kerusi dan kalah Dun Terengganu dalam PRU 1999 mungkin berulang, dan alau hal ini berlaku, BN akan mendapati lebih sukar mempertahankan kedudukannya kerana ia kini jauh lebih lemah daripada tahun 1999."

Seingat saya, dalam satu wawancara dengan Harakah, Tengku Razaleigh Hamzah pernah membayangkan kedudukan Umno dijangka lebih sulit sekiranya Anwar sekali lagi dipenjarakan, dan rakyat khususnya orang Melayu mungkin menjadi lebih bersimpati dengan Ketua Pembangkang itu.

Bukan sahaja berbanding PRU10 pada November 1999, malah Pakatan Rakyat tentunya lebih bersedia menghadapi pilihan raya kali ini, mengatasi persiapannya empat tahun lalu. Ketika itu, Pakatan sendiri belum ditubuhkan secara rasmi, meskipun persefahaman sedia terjalin di antara ketiga-tiga parti, PAS, KeADILan dan DAP.

Selain itu, sumber, kemudahan, jaringan dan potensi Pakatan ketika ini tentunya lebih baik. Apatah lagi rakyat dapat menilai dan menghakimi pemerintahan kerajaan-kerajaan negeri yang ditadbir Pakatan, yang tentunya lebih telus, terbuka, demokratik dan antirasuah.

Lebih penting adalah kesederhanaan gaya hidup pemimpin-pemimpinnya, sedangkan masyarakat dapat menyaksikan perubahan drastik kehidupan pemimpin Umno selepas dipilih menjadi wakil rakyat.

"Apa pun, jangan hanya pandang daripada segi kelebihan," kata seorang penganalisis politik. "Peluang memerintah tidak semestinya memihak Pakatan. Ingat, PAS pernah kalah di Terengganu selepas sepenggal mentadbir. Apakah kerajaan Pakatan telah memenuhi harapan dan impian rakyat atau masih banyak yang terabai? Pakatan mesti nampak berkredibiliti dan berintegriti."

"Saya tidak bimbang sama ada Anwar akan dapat berkempen dalam PRU13 atau menggerakkan strategi bersama rakan-rakan dalam Pakatan. Keinginan rakyat untuk berubah cukup tinggi, melampaui faktor Anwar. Saya hanya risau prestasi kerajaan negeri Pakatan sejak 2008, begitu juga rekod kerja wakil-wakil rakyatnya. Lagi pun banyak kerusi yang menang dulu dengan majoriti tipis," tambah rakan saya itu.

Dalam wawancara dengan Malaysiakini, 5 Januari lalu, Anwar yakin Pakatan dapat menumbangkan BN di Perak dan Negeri Sembilan dalam PRU13, selain mempertahankan negeri sedia ada. Timbul persoalan, mengapa pula Terengganu tidak dirangkaikan bersama?

Namun, ujarnya, Pakatan akan tetap berjaya meraih lebih banyak kerusi di Melaka dan Johor, serta laba yang lebih besar di Sarawak dan Sabah.

Anwar juga yakin sekiranya beliau terkeluar dari arena politik aktif sekalipun, Pakatan akan tetap mampu mengemudi jalan ke Putrajaya.
Ini kerana, menurutnya, Pakatan sudah ada formula dan kata sepakat tentang apa yang perlu dilakukan sekiranya keputusan 901 tidak memihak kepadanya.

Dalam ceramah di Melaka, pada 4 Januari lalu, Anwar menegaskan, keputusan sama ada beliau dipenjarakan atau tidak, adaalah tidak penting, namun apa yang dinantikan adalah keputusan rakyat menilai dan membuat pilihan pada pilihan raya akan datang untuk merubah kerajaan.

Sementara itu, Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu mengaitkan perkembangan di dunia Arab, khususnya Tunisia sebagai bukti rakyat boleh bangun menukar regim pemerintahan walaupun tanpa mempunyai seorang ketua yang jelas.

Beliau yakin, impian Umno untuk melihat lumpuhnya kebangkitan rakyat dengan keputusan perbicaraan Anwar itu akan hangus terbakar dengan berapi-apinya semangat 'Asal Bukan Umno' (ABU) yang tidak lagi bergantung kepada mana-mana pemimpin.

Pengasasan budaya politik baru, dengan pertumbuhan kelas menengah yang lebih besar dan kemudahan jaringan maklumat melalui kuasa siber, memantapkan lagi keazaman politik rakyat untuk menolak penguasa yang terbukti korup dan bobrok.

Kebangkitan suara mahasiswa, seperti yang dijelmakan dalam kes Adam Adli dan Safwan Anang, menjanjikan kesedaran politik generasi muda yang lebih matang.

Ya, apa pun keputusan mahkamah Isnin ini, sukar sekali bagi Najib untuk meraih manfaat politik daripadanya.

Semua akan diadili semula di akhirat

Tuan Ibrahim Tuan Man,

901 menjadi hari yang dinanti oleh sebahagian besar rakyat Malaysia khusus bagi yang mengikuti isu politik negara dan perjuangan Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI).

Secara sedar dan tidak sedar, sebahagian pemerhati telah membuat pelbagai telahan berhubung keputusan mahkamah pada hari tersebut. Ramai penganalisa politik kini telah bertukar menjadi pak nujum semata-mata untuk lebih mensensasikan keputusan yang akan diumumkan nanti.

Dari pelbagai andaian, lebih ramai menjangkakan DSAI akan dihumban semula ke Sg Buluh kerana kalau bukan untuk itu, kenapa diteruskan perbicaraan walaupun disedari awal, terdapat banyak kelemahan yang boleh menyebabkan kes ini dibuang awal-awal lagi. Ini andaian pertama.

Kumpulan kedua yang sangat minoriti pula berpendapat bahawa DSAI akan dibebaskan kerana beberapa kelemahan dalam penghujahan sepanjang perbicaraan.

Andaian ketiga lebih kepada untuk mengaibkan beliau, iaitu dengan andaian kes sodomi berlaku tetapi beliau dibebaskan kerana tiadanya unsur paksaan sebagaimana yang dituduh oleh pengadu.

Dalam duniawi, apapun, yang berharap akan terus menanti, yang tidak percaya akan terus tidak yakin, yang menang hari ini tidak semestinya akan terus menang, yang tewas hari ini tidak semestinya akan kalah selalu dan yang akan dihukum akan terus menjalani hukuman.

Namun, yang pasti kesemua kita akan dihukum semula dengan hukuman yang pasti adil di hadapan Allah di akhirat. Beringatlah pada Allah selalu.

Bebas Anwar, kemenangan awal Pakatan Rakyat

Muhammad Faizal,

SHAH ALAM, 10 Jan: Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamarudin Jaffar (gambar) menyifatkan keputusan mahkamah terhadap Datuk Seri Anwar semalam merupakan tamparan awal kepada Umno BN menjelang Piliham Raya Umum ke-13 nanti.

Dengan keputusan membebaskan Anwar itu ujarnya, Umno terpaksa mencari skrip baru untuk menutup malu selepas terlebih dahulu meletakkan hukuman bersalah terhadap ketua pembangkang itu sebelum mahkamah membuat keputusan.

"Umno terpaksa menerima keputusan ini dalam keadaan yang sabar kerana keadilan akhirnya terbukti walaupun mereka sebelum ini telah membuat keputusan awal terhadap Anwar.

"Sebelum PRU-13 Umno telah kalah dalam politik kotor mereka yang telah dirancang hampir tiga tahun dan saya pasti hukuman sepenuhnya pada Umno adalah pada PRU13 nanti," jelasnya.

Kamaruddin yang juga AJK PAS Pusat itu juga berkata, hakim menolak pertuduhan fitnah yang dimainkan oleh Umno hanya menggunakan empat hingga lima ayat sahaja walaupun pelbagai perkara telah ditimbulkan.

"Saya harap ini harus menjadi kes politik kotor yang terakhir dalam sejarah negara ini dan rakyat sendiri pun sudah mula muak kepada politik sedemikian," sambung beliau lagi.

Sementara itu beliau berkata, sesi penerangan akan diteruskan oleh Pakatan Rakyat dalam usaha memberi maklumat sebenar kepada rakyat berhubung kes itu.

"Kita akan terus memberi penerangan kepada rakyat tentang apa yang sebenarnya berlaku sebab kita pasti Umno akan memutar belit kenyataan mereka," jelasnya.

Tanpa gangguan, perhimpunan jadi aman

Dalam pada itu, Kamarudin berkata, tindakan polis membenarkan perhimpunan itu berjalan tanpa gangguan membuktikan ia boleh berjalan dengan aman.

Berbanding dengan perhimpunan Bersih 2.0 sebelum ini, perhimpunan 901 berjalan dengan baik tanpa kekecohan dan kesusahan orang ramai.

"Tindakan polis yang membuat sekatan jalanraya dan tangkapan di seluruh negara sebelum, semasa dan selepas perhimpunan Bersih 2.0 yang menyebabkan kesusahan orang ramai. Tetapi apabila polis bagi kerjasama, ia berjalan dengan baik tanpa kekecohan," kata beliau.

Kamarudin mengulas suasana aman yang berlangsung sepanjang perhimpunan 901 semalam.

Marah keputusan mahkamah, banner jadi mangsa

Harakahdaily,

(Kain rentang Pakatan Rakyat jadi mangsa di Seberang Temerloh)

TEMERLOH, 10 Jan: Mungkin kerana marah dengan keputusan mahkamah terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim, banner yang memaparkan janji Pakatan Rakyat untuk pilihan raya akan datang menjadi mangsa.

Banner atau kain rentang yang memaparkan tawaran Pakatan Rakyat di Seberang Temerloh telah diconteng oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.

Gambar conteng ini dipaparkan oleh blog selamatkanpahang.

Dalam banner itu, Pakatan Rakyat menjanjikan harga minyak diturunkan serta merta manakala elaun guru dinaikkan RM500.

Jenerasi kedua Felda pula ditawarkan menjadi peneroka untuk tanah Felda Plantation yang hendak dicagarkan oleh Felda untuk Felda Global Venture Berhad (FGVB).

Turut ditawarkan menjadi peneroka atas tanah itu adalah pesara tentera.

Namun, mereka yang tidak berpuashati telah menconteng janji ini dengan dakwat merah dan hitam.

Mereka menulis perkataan "Tipu" di atas banner itu.

Tindakan UPSI rendahkan maruahnya

Harakahdaily,

KUALA LUMPUR, 10 Jan: Tindakan jawatankuasa disiplin Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sebenarnya telah merendahkan maruah dan nama baiknya apabila menggantung Adam Adli Abdul Halim (gambar) selama 18 bulan.

Sehubungan itu, Anggota Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar berkata, jika benarpun pelajar itu membuat salah, tindakan seharusnya mendidik bukannya menakutkan pelajar.

Beliau yang juga naib presiden PKR mengulas tindakan UPSI yang menggantung Adam Adli semalam ekoran tindakan pelajar itu menurunkan bendera gambar Presiden Umno yang dinaikkan di depan bangunan UMNO, PWTC itu.

"Kalaupun suatu kesalahan telah dilakukan, tindakan yang diambil haruslah bersifat memberi pengajaran, bukannya membudayakan budaya ketakutan di kalangan orang muda," kata beliau dalam kenyataannya.

Bagi beliau, UPSI mempunyai sejarah yang begitu dalam dan cukup berkait rapat dengan kebangkitan semangat kebangsaan sejak sebelum Malaya mengecapi kemerdekaan.

Oleh itu bagi beliau, tindakan menggantung pendidikan Adam Adli ini adalah tindakan yang opresif, bermotifkan politik yang zalim dan jelas menghalang mahasiswa dari menyuarakan pandangan mereka.

Bagi beliau, sebagai nadi masyarakat majoriti, mahasiswa dan anak muda wajib diberi ruang untuk berfikir secara kritikal, berbincang secara mendalam, dan bersuara dengan lantang.

"Di manakah mahasiswa mampu mengalami ruang sebegini jikalau bukan di universiti? Maka secara implikasinya, jawatankuasa disiplin yang telah menjatuhkan hukuman ke atas Adam semalam lah yang sebenarnya merendahkan maruah dan nama UPSI itu sendiri," tegasnya.

Sehubungan itu, beliau menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia agar bangkit dan pertahankan hak mahasiswa, kerana mahasiswa lah yang menjadi penyambung perjuangan demi Malaysia yang lebih baik.

Penyebar fitnah tidak boleh lepas tangan

Muhammad Faizal,

KUALA LUMPUR, 10 Jan: "Kita sebagai sebuah negara yang berjiran antara Indonesia dan Malaysia, kita perlu hidup dalam kerangka demokrasi yang adil serta jujur demi kepentingan rakyat untuk maju bersama-sama," jelas Naib Presiden Partai Bulan Bintang Indonesia, Fathur Rahman.

Beliau yang ditemui sejurus keputusan fitnah II Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, semalam menyifatkan keputusan tersebut tidak hanya kepada Anwar sahaja tetapi adalah tuntutan rakyat.

"Saya melihat ia bukannya keputusan yang dilakukan kepada seorang pemimpin bernama Anwar tetapi kepada tuntutan rakyat yang mahukan pengadilan yang telus dan adil, bukan untuk kepentingan peribadi Anwar.

"Saya berharap bahawa sistem pengadilan di Malaysia terus berkembang dan konsisten dalam merangka menjaga hak asasi manusia dan menegak keadilan, itu yang paling penting," jelasnya.

Tambahnya lagi, ketika ditanya tentang kenyataan fitnah yang diperkatakan sebelum ini, beliau mengharap persoalan tersebut perlu diperjelaskan oleh pihak yang bertanggungjawab dalam penyebaran tersebut.

"Tentang isu fitnah yang telah dimainkan oleh pihak tidak bertanggungjawab, saya rasa ia perlu dijelaskan kepada rakyat dan pihak tersebut tidak boleh lepas tangan begitu sahaja setelah mereka memburukkan imej seorang pemimpin yang dihormati negara-negara luar.

"Sistem pengadilan di Malaysia perlu bersih dari campur tangan pihak luar agar segalanya berlaku secara telus, dengan cara ini sahaja rakyat akan kembali menghormati sistem keadilan sesebuah negara," sambungnya lagi.

Tambahnya, di Indonesia sistem pengadilan telah dilakukan sepenuhnya di mana rakyat akan menjadi pemantau kepada sistem pengadilan agar ia dilakukan secara adil dan jujur.

Sebelum itu, Fathur telah datang ke negara ini sejak hari Ahad lagi bagi mengikuti perjalanan keputusan isu Fitnah II.

Dalam pada itu, hubungan baik Anwar bersama Partai Bulan Bintang itu telah lama dan sering kali perbincangan diadakan apabila Anwar berkunjung ke Indonesia.

Bob Lokman selesai beri keterangan kepada Jaip

Khairil Abdul Rahim,

KUANTAN, 10 Jan: Pelakon dan penulis lirik terkenal, Mohd Hakim Lokman, 47, atau Bob Lokman selesai memberi keterangan di hadapan Ketua Pegawai Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) Ahmad Raffli Ab. Malek dekat sini semalam.

Menurut peguambelanya, Mohd Fadzli Mohd Ramly, siasatan tersebut yang sepatutnya dilakukan pada 5 Januari lalu, ditangguhkan ke tarikh semalam di atas persetujuan bersama dan prosedur siasatan selama hampir satu jam itu berakhir dengan tenang dan profesional.

“Pihak Jaip akan memutuskan kemudian sama ada kes ini dibawa dan didakwa ke mahkamah. Kita akan menunggu tindakan lanjut dari pihak terbabit. Sekiranya diperintahkan untuk ke mahkamah, kita akan lawan,” katanya dalam sidang media bersama kira-kira 30 orang penyokong.

Bob pada 24 Disember lalu telah ditahan pegawai Jaip sebaik selesai menyampaikan tazkirah selepas solat Maghrib di hadapan jemaah Masjid Taman Sri Mahkota Aman, Batu 11, Jalan Gambang dekat sini Sabtu lalu.

Pegawai tersebut mengambil maklumat yang disiasat di bawah Seksyen 161, Enakmen Pentadbiran Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982.

Seksyen 161, Enakmen Pentadbiran Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982 ialah peruntukan bagi “Mengajar Ugama yang salah” di mana jika sabit kesalahan hukuman denda tidak lebih RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Mohd Fadzli berkata, beliau turut menemui pegawai penyiasat Jaip dan menyatakan beliau kurang bersetuju dengan akta yang dikenakan kepada Bob Lokman kerana menurutnya anak guamannya itu bukan menyampaikan ceramah agama sebaliknya berkongsi pengalaman hidup bersama jemaah masjid.

“Bob tidak berceramah agama atau politik sebaliknya menceritakan kisah perjalanan dan pengalaman hidupnya yang akhirnya bertukar daripada seorang selebriti kepada pendakwa.

“Sudah tentu cerita yang berbentuk nasihatnya itu ada kaitan dengan peristiwa hijrah yang sedang disambut pada masa itu,” tambahnya.

Tambah Fadzli, jika Jaip benar-benar mahu memantau aktiviti penyebaran agama di negeri ini, mereka sepatutnya mengenakan tindakan kepada guru agama serta guru mengaji yang tidak bertauliah.

“Oleh itu kita mahu kes ini dipertimbangkan sebaiknya kerana bimbang ada campur tangan politik. Jika tidak, tindakan yang dikenakan ke atas anak guaman saya dianggap sebagai ‘pendakwaan terpilih’,” katanya.

Tiada ulasan: