Selasa, 24 Januari 2012

KITA KAN BOLEH AGAK SAPE BERCAKAP BOHONG..BILA MENYOKONG KAWAN WALAUPUN KAWAN TAK BETUL..NI BILA AGAMA BUKAN PEGANGAN HUJAH

Menteri isytihar harta kepada umum bukti telus

‘Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Abu Kassim Mohammed berhasrat meminta semua anggota kabinet mengisytiharkan harta kepada umum. Beliau dilaporkan bersetuju dengan cadangan Presiden Majlis Peguam S. Ambiga supaya aset ahli-ahli politik terutama di kalangan anggota kabinet dan kehakiman didedahkan kepada umum untuk menunjukkan ketelusan. Semua anggota kabinet kini mengisytiharkan harta mereka setiap tahun kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tetapi ia tidak didedahkan kepada umum. Cadangan mengisytiharkan harta anggota kabinet pernah dicadangkan oleh bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 2008.’

Ini di antara petikan akhbar berkenaan topik di atas lama sebelum ini.

Draf artikel ini saya simpan sehingga isu pengisytiharan harta muncul kembali dengan berita Ketua Menteri Pulau Pinang dan Exconya mengisytiharkan harta dan kesediaan MursyidulAm PAS yang juga Menteri Besar Kelantan berbuat demikian jika diminta.

Pengisytiharan harta para penguasa sangat penting terutama di kalangan Perdana Menteri, Menteri kabinet, Menteri Besar dan exco. Mereka sebenarnya pemegang amanah dan pelaksana tanggungjawab mengurus dan mentadbir harta negara dan negeri, bukannya menjadikan jawatan itu tempat mengumpulkan harta dengan cara yang salah. Kalau ada taqwa, seperti kata Tok Guru Nik Aziz, ia yang kawal cara pengumpulan harta tetapi apabila taqwa tidak ada, seperti yang dilaporkan oleh Laporan Ketua Audit yang lepas, pelbagai kos pengurusan dan pembaikian rumah Perdana Menteri dan Timbalannya, juga cara isteri Perdana Menteri berbelanja di dalam dan luarnegara, maka pengisytiharan harta menjadi sangat relevan dan sangat mendesak. Rakyat berhak tahu bahawa pemimpin yang diangkat oleh mereka bukannya penguasa-penguasa rakus yang membaham harta negara dengan cara salah.

Ketika Umar al-Khattab menjadi khalifah, beliau mengutus surat kepada para Sahabat yang menjadi gabenor di wilayah tertentu mengingat dan menegur mereka tentang kemewahan yang dilihat sudah melebihi dari yang sepatutnya sedangkan mereka tidak mungkin memiliki kemewahan itu kalau tidak menjadi gabenor. Kes serupa terhadap Perdana Menteri dan Menteri kabinet. Kalau mereka tidak menjawat jawatan itu, adakah mereka akan punya kemewahan sedemikian? Atau kemewahan itu ialah hasil titik peluh menyimpan sepuluh dan duapuluh sen semenjak kecil sahaja?

Keberanian dan kesediaan Perdana Menteri dahulu serta Menteri kabinet mengisytiharkan harta menjadi bukti ketelusan, tetapi sebaliknya jika tidak berani maka ia seperti menyembunyikan sesuatu yang ditakuti rakyat akan tahu. Dan Allah Tetap Maha Mengetahui.

Nik Nasri Nik Malek,
Kemaman, Terengganu

Rosmah dakwa jadi mangsa sudah dijangka

Abdul Aziz Mustafa, 23 Jan 2012

KUALA LUMPUR, 23 Jan: "Dah agak dah," itulah jawapan spontan Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar (kanan) apabila Datin Seri Rosmah Mansor (kiri) mendakwa beliau "menjadi mangsa".

Sabtu lalu, akhbar Australia Sydney Morning Herald (SMH) melaporkan isteri Perdana Menteri itu berbelanja sehingga A$100,000 (RM325,000) di sebuah butik di Sydney dua minggu lalu.

Ketika ditemui dalam sambutan Tahun Baru Cina anjuran MCA hari ini, Malaysiakini memetik isteri Perdana Menteri itu berkata: "Semua itu karut, dibesar-besarkan secara liar dan tidak benar".

"Saya selalu menjadi mangsa," dakwa Rosmah ketika ditanya tentang laporan SMH tentang tabiat berbelanjanya.

Bagaikan mengundang simpati, Rosmah yang mengiringi suaminya Datuk Seri Najib Tun Razak ke majlis sambutan itu berkata, beliau berkali-kali menghadapi tuduhan sedemikian.

Ketika terus ditanya adakah laporan mengenai perbelanjaan sehingga RM325,000 itu benar, Rosmah berkata: "Saya tidak ada masa untuk melayan semua ini".

Mengulas lanjut penafian Rosmah, Mahfuz mengulangi gesaan agar Najib dan Rosmah mengambil tindakan undang-undang terhadap akhbar tersebut.

"Heret akhbar tersebut ke muka pengadilan di Australia dan kemukakan tuntutan hukuman dan ganti rugi paling maksimum ke atas SMH jika benar laporan itu karut, dibesar-besarkan secara liar dan tidak benar," kata Ahli Parlimen Pokok Senan itu.

Mengulangi lagi ingatannya, Mahfuz berkata, jika Rosmah dan Najib enggan berbuat demikian, ia memberikan keyakinan kepada rakyat bahawa apa yang dilaporkan itu betul seperti yang berlaku dalam keengganan Najib mengambil tindakan undang-undang terhadap begitu banyak akhbar di serata dunia yang mendakwa tentang kaitan beliau dengan pembunuhan Altantuya Shaariibuu.

"Kalau benar tidak bersalah, takut apa mengheret akhbar tersebut ke mahkamah di Australia?

"Tengku Razaleigh Hamzah pernah menyaman akhbar luar negara di negara akhbar itu sendiri dan oleh kerana beliau tidak bersalah, beliau menang kes tersebut dan mendapat ganti rugi yang lumayan pula," katanya.

Sambil bergurau, Mahfuz berkata, kalau Rosmah mendapat ganti rugi yang lumayan hasil tindakan undang-undang ke atas SMH itu, rakyat tidak marah kalau beliau berbelanja besar-besaran dengan wang ganti rugi itu.

"Kalau dapat ganti rugi RM24 juta, rakyat tidak marah kalau isteri Perdana Menteri itu mahu membeli cincin berlian semahal ganti rugi yang diperolehi itu.

"Kalau dapat ganti rugi lumayan dari SMH, rakyat juga tidak marah kalau Rosmah mahu memborong di semua butik terkemuka di seluruh dunia, beli beg tangan Birkin banyak-banyak, semuanya rakyat tak marah.

"Rakyat lebih suka lagi kalau Rosmah menderma, maklumlah sebelum ini beliau menderma sehingga RM1.5 juta kepada Tabung Gaza. Mana dia dapat duit, kita tak tau," kata Mahfuz.

Dalam seksyen 'Private Sydney' SMH, kolumnis Andrew Hornery menggelar Rosmah sebagai first lady of shopping (wanita pertama membeli belah), kerana didakwa membelanjakan A$100,000 (RM325,000) di sebuah butik di Sydney.

Rosmah dan Najib juga didakwa menginap di penthouse bernilai A$20,000 (RM65,100) semalam, meminta "parkir valet untuk limousinnya" dan menerbangkan pereka fesyen negara itu ke Malaysia untuk mengenakan pakaian yang ditempahnya.

Umno 'perasan' BR1M dari kocek mereka

Harakahdaily, 23 Jan 2012

KUALA LUMPUR, 23 Jan: PAS mengingatkan Umno BN agar tidak mendabik dada mendakwa wang RM500 Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang sedang disalurkan ketika ini adalah wang dari kocek parti itu.

Sebaliknya kata AJK PAS Pusat, Idris Ahmad, wang tersebut adalah wang rakyat hasil dari pelbagai sumber yang dibayar kepada kerajaan.

"Umno jangan "perasan" Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) RM500 wang kocek Umno. Kain-kain rentang digantung merata kampung seolah-olah ini adalah pemberian Umno BN.

"Pada hal ini ialah wang rakyat diambil daripada berbagai sumber negara," katanya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.

Beliau mengulas kain-kain rentang yang sedang dipasang Umno BN di serata kampung sempena pengagihan wang tersebut kepada rakyat.

Kain-kain rentang itu ujar Idris seolah-olah mendakwa duit RM500 yang sedang diagihkan kepada rakyat yang berpendapatan kurang RM3000 itu adalah duit Umno dan bukan duit hasil cukai yang dibayar rakyat.

"Semua rakyat yang layak wajib ambil, kerana ini adalah wang rakyat bukan wang Umno," tegasnya sambil menyifatkan ianya hanya modal kempen untuk memikat hati rakyat di musim pilihanraya.

Katanya, rakyat perlu sedar bahawa pemberian terbaru itu hanya diberi setelah 55 tahun Umno BN berkuasa dan setelah nyawa mereka di hujung tanduk.

"Selama ini pemberian ini tidak pernah terfikir oleh pemimpin Umno BN untuk memberinya.

"Keadaan yang sama juga berlaku di Terengganu, walaupun minyak ditemui sejak tahun 70an, tetapi rakyat baru dapat wang ehsan RM300 setahun apabila PAS memerintah Terengganu 1999," jelasnya lagi.

Menurutnya lagi, rakyat harus sedar bahawa Umno semakin tertekan dengan berbagai tawaran yang telah ditunjukkan oleh kerajaan negeri Pakatan Rakyat, walaupun mengalami kekangan kewangan.

Dengan prinsip penjimatan dan bebas rasuah, rakyat kini selesa di bawah Pakatan Rakyat berbanding di bawah BN sebelum ini.

"Umno terpaksa ikut (tawaran PR), jika tidak rakyat akan bangkit menolak BN.

"Sebelum jatuh biarlah tunjuk bakti terakhir untuk rakyat, sekurang-kurangnya generasi akan datang dapat melihat bahawa kerajaan Umno BN pernah memberi wang RM500 setelah 55 tahun merdeka," sindirnya.

MB wajar halang Ibrahim Ali jejak Selangor

Harakahdaily, 23 Jan 2012

SHAH ALAM, 23 Jan: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim dicadang menimbang untuk mengambil tindakan termasuk menghalang Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali menjejakkan kaki ke negeri itu ekoran keceluparannya mengkritik keputusan Sultan memperkenan Khalid memegang portfolio agama negeri.

Setiausaha Politik Menteri Besar, Faekah Husin berkata, keceluparan Ibrahim mempertikaikan kedudukan YAB Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Exco Hal Ehwal Islam merupakan satu penghinaan kepada DYMM Sultan Selangor yang sesungguhnya adalah Ketua Agama Islam di Selangor.

"Keputusan Tan Sri Khalid memegang portfolio ini adalah setelah berbincang dan mendapat perkenan baginda Sultan kerana pentadbiran di Selangor mengamalkan amalan konsultasi berterusan dengan pihak istana dalam banyak hal apatah lagi dalam soal hal ehwal Islam.

"YAB Dato’ Menteri Besar amat memandang serius tohmahan jahat ini dan akan membincangkan isu ini dengan semua agensi terbabit dan Kamar Penasihat Undang-undang Negeri termasuk juga pihak Istana," katanya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily hari ini.

Selain mempertikai portfolio agama yang dipegang Khalid, Ibrahim juga didakwa menuduh pelantikan Menteri Besar sebagai Exco Hal Ehwal Islam hanya akan menyemarakkan rumah maksiat di Selangor.

Menyifatkan tuduhan itu keterlaluan, Faekah berkata tindakan Ibrahim itu tidak lebih untuk menunjukkan beliau seorang ahli politik yang kehabisan modal dan sedang mencuba sedaya upaya untuk menjadikan dirinya masih relevan di arena politik tanahair.

"Kita ingatkan Ibrahim Ali bahawa keutuhan dan kesucian agama Islam di Selangor, pengawalan kegiatan tidak bermoral, termasuk perjudian dan rumah-rumah maksiat adalah di bawah bidang kuasa Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang kedua-duanya dalam pemerhatian rapat Baginda Tuanku.

"Menuduh bahawa Tan Sri Khalid akan merelakan kegiatan tidak bermoral atas perkiraan politik seolah-olah mempersenda kedua-dua institusi agama tersebut termasuk baginda Sultan," jelasnya lagi.

Menurut Faekah lagi, Ibrahim sewajarnya sedar diri kerana rakyat tidak pernah lupa bagaimana beliau mengkhianati PAS umpama parasit setelah parti itu memberi beliau tiket bertanding pada 2008.

Dan hari ini pula katanya, Ibrahim terhegeh-hegeh pula dengan Umno sedangkan parti yang bakal tumbang ini pun melihatnya sebagai liabiliti dan tidak mempunyai sebarang kredibiliti.

"Pada perkiraan Ibrahim semua ahli politik akan menggadai maruah demi undi sebagaimana dirinya yang sanggup mengkhianati PAS walaupun parti tersebut mengutipnya setelah dicampak oleh Umno," tegasnya.

Selaku umat Islam, Ibrahim ujarnya lagi seharusnya mendoakan setiap pemimpin berkhidmat dengan ikhlas, mentaati hukum dan menggalas jawatan sebagai amanah Allah agar negeri menjadi aman sejahtera dan diampuni Allah swt.

"Sebaliknya, beliau sanggup menuduh bahawa Selangor akan menjadi negeri peliwat. Ungkapan yang menggambarkan betapa kotornya pemikiran politikus tua ini. Bercakap tanpa iman; penuh dendam dan nafsu serakah.

"Ini merupakan penghinaan kepada seluruh rakyat Selangor yang seharusnya Ibrahim Ali dihalang dari menjejakkan kakinya di negeri berdaulat ini," tegasnya.

| Print |

Penyokong Umno serang hadirin ceramah ABU

Muhammad Faizal, 22 Jan 2012
SHAH ALAM, 22 Jan: Penyokong Umno dipercayai bertindak ganas apabila menyerang orang ramai pada satu aktiviti ceramah ABU (Asal Bukan Umno)-Hindraf di Dewan Orang Ramai Jalan Kebun, semalam.

Akibat daripada tindakan tersebut seorang ahli Kelab Penyokong PAS, Krishnan cedera parah (gambar) apabila diserang oleh Umno dan dimasukan ke Hospital Pakar Sri Sentosa bagi menerima rawatan.

Berkata kepada Harakahdaily, Penyelaras Kebangsaan Hindraf, W.Sambulingam memberitahu penyokong Umno mula memasuki dewan menggunakan motosikal pada jam 915 malam selepas lima minit program itu bermula.

"Hanya selepas lima minit ceramah itu bermula lebih kurang lima belas orang penyokong Umno memasuki dewan dan membuat kacau selain beberapa buah motosikal juga turut memasuki dewan tersebut.

"Mereka telah mengeluarkan kata-kata kesat yang berbentuk perkauman serta mengarahkan orang Melayu yang berada di dalam dewan keluar dengan menyifatkan ini antara Umno dengan orang India sahaja," jelasnya.

Beliau juga memberitahu, Umno mengeluarkan kata-kata menghina kaum India seperti "India keling","kumpulan pendatang","tak malukan Melayu bergabung dengan India" serta "India hanya buat kacau sahaja di sini".

Tambahnya lagi, penyokong Umno mensasarkan orang India sahaja apabila dilihat hanya menyerang kaum India tanpa memperdulikan orang Melayu dan Cina yang turut berada di dalam dewan itu.

"Sasaran mereka adalah orang India apabila salah seorang dari mereka mengatakan ingin mengajar orang India.

"Keadaan mula menjadi semakin kecoh apabila mereka bertindak menyerang menggunakan kerusi dan juga menggunakan kayu bendera sebagai senjata memukul orang India yang berada di dalam serta di luar dewan," sambungnya lagi.

Tambah beliau lagi, tindakan tersebut jelas menunjukkan sikap perkauman Umno yang mana mereka sebenarnya merupakan sebuah parti yang rasis bukannya seperti yang dilaungkan oleh mereka selama ini 1 Malaysia.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud melalui twitternya menyifatkan konsep 1Malaysia gagal diterap kepada penyokong Umno.

"Orang India tidak selamat di kawasan Umno dan menyifatkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menyiapkan keranda untuk 1 Malaysia.

"Pemimpin Umno Kota Raja dan Jalan Kebun perlu bertanggungjawab dalam kejadian tersebut," katanya melalui twitter.

Dalam pada itu Chegu Bard juga melalui twitternya memberitahu mereka (Umno) cuba bakar sentimen perkauman tetapi dalam masa yang sama mereka turut memusnahkan gerai milik orang Melayu yang datang untuk mencari rezeki.

"ABU bukan untuk satu tetapi milik semua rakyat, apa yang dilakukan oleh Umno jelas bersifat perkauman dengan mencaci kaum India.

"Pemuda Umno harus bertanggungjawab dalam kejadian tersebut," kata beliau melalui twitter.

Sebelum itu, turut hadir dalam majlis itu adalah Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu dan juga beberapa pemimpin parti yang lain.

Buat masa ini laporan polis belum dilakukan kerana menunggu khidmat nasihat dari peguam.

Tiada ulasan: