Isnin, 30 Januari 2012

BILA TERLEBIH SANJUNG...TERLEBIH ANGGAP...SEDANGKAN KEGOPOH-GAPAHNNYA TAK MENGIRA PERJUANGAN SATU TOKOH YANG BEGITU LAMA..TELAH PAHAM TENDANG TERAJANG POLITIK...DAH BERHEMPAS PULAS..BARU MENYAMPAI KEMENANGAN..SEKARANG BERHEMPAS PULAS MENJAGA KEMENANGAN...

Kritikan pakar perlembagaan, Prof Dr Abdul Aziz Bari
 ALOR SETAR: Kritikan pakar perlembagaan, Prof Dr Abdul Aziz Bari terhadap Menteri Besar, Dato’ Seri DiRaja Ustaz Azizan Abdul Razak dibidas Ketua Pemuda PAS Kedah, Ustaz Ahmad Yahaya.

Menurutnya, kritikan Aziz itu sebagai keterlaluan apabila ‘menghambat’ Ustaz Azizan menyertai BN dan melabelkan sebagai pro-Auku.

“Dr Aziz Bari tak perlu celupar dalam mengemukakan pandangan! Ini bukan kali pertama beliau mengkritik secara keterlaluan pimpinan PAS. Sebelum ini beliau pernah menyamakan Presiden PAS seperti Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi) dan membuat gesaan meletak jawatan.

“Beliau ahli akademik, kritikan biarlah dalam kerangka intelek dan kewajaran. Tetapi Dr Aziz Bari dilihat lebih politik dari orang politik,” selarnya.

Ujar Ahmad, sebagai ahli akademik dalam bidang perundangan, Aziz Bari perlu berperanan mewaraskan penyelesaian terbaik melalui penilaian faktor yang melingkari Ustaz Azizan sebagai seorang Menteri Besar.

Katanya lagi, sebagai individu yang diiktiraf pakar perlembagaan, beliau sepatutnya lebih memahami kekangan dan dilema dalam hubung kait perundangan melibatkan antara Negeri dengan Persekutuan.

“Patutkah dengan hanya isu ini Ustaz Azizan dihambat untuk masuk BN? Siapa Dr Aziz Bari? Beliau bercakap untuk siapa? Kenyataan tersebut mengguris hati ahli PAS dan menimbulkan rasa tidak senang rakyat Kedah.

“Jadi, beliau tidak perlu menimbulkan situasi pertarungan politik sebaliknya saya syorkan mailah Kedah kerap sikit, kenali MB Kedah dengan lebih dekat. Mungkin satu hari, Dr Aziz boleh jadi orang kuat di Kuin pula. Dr Aziz perlu ramai kawan dalam politik jangan perbanyakkan musuh,” seru Ahmad.

Dr Aziz dalam satu wacana menggesa Pakatan Rakyat mengambil tindakan ke atas Ustaz Azizan berikutan isu penggunaan Auku di Kuin. Aziz juga mengatakan bahawa Azizan sepatutnya menyertai BN kerana didakwa pro-Auku.

Hilangnya seorang lagi ulama tersohor

M Faqih, 30 Jan 2012
PASIR MAS, 30 Jan: Jam 4 pagi tanggal 7 Mac 2008 suara Ustaz Hussin Ibrahim Masri membaca surah memulakan program munajat masih diingati sampai ke hari ini.
Ketika itu padang Stadium Sultan Mohammad Ke IV penuh sesak. Program bermunat terbabit diadakan sehari sebelum pilihan raya umum ke-12 berlangsung.
Ia dianjurkan Jawatankuasa Dewan Ulamak PAS Kelantan. Hari ini Ustaz Hussin sudah tiada lagi. Beliau dipanggil mengadap penciptaNya pada petang 28 Januari lalu.
Arwah menghembus nafas terakhir ketika dalam perjalanan ke Hospital Pasir Mas di Lati, tidak jauh dari rumahnya di Pondok Lubuk Tapah.
Sebelum itu pada sebelah pagi Allahyarham menghadiri Ijtimak Dewan Ulamak PAS Kelantan di Madu, Machang.
Ketua Pengelola Dakwah Halaqat Kelantan, Ustaz Abdullah Abdul Razak berkata, keluarga Ustaz Hussin membawanya ke hospital selepas beliau mengadu sesak di dada.
“Bagaimanapun sebaik tiba di hospital beliau didapati sudah pergi meninggalkan kita semua. Dewan Ulamak PAS Kelantan amat terasa sekali kehilangan arwah.
“Beliau merupakan tempat rujukan berkaitan dengan agama. Ilmunya mendalam mengenai Fiqah dan Aqidah kerana begitu lama menekuni ilmu di Mekkah dan Kaherah,” katanya di sini.
Allahyarham Ustaz Hussin bekas Adun Bukit Tuku pada 1990. Pernah bertanding kali kedua di Dun sama pada 2004 bagaimana pun gagal mempertahankan Dun terbabit.
Beliau dilahirkan pada 9 Disember 1940 mendapat pendidikan awal di sekolah agama rakyat pada 1952. Kemudian pada 1962 mendalami ilmu agama di Pondok Lubuk Tapah.
Pada 1980 mendapat Diploma lanjutan pengajian Islam di Universiti Al Azhar.
Sekembali dari Mesir mengajar di Pondok Lubuk Tapah membantu bapa saudaranya, Allahyarham Tuan Guru Abdullah Yusof.
Pada 1995 beliau dilantik sebagai Pengelola Dakwah Halaqat Rantau Panjang, selepas tidak bertanding pada pilihan raya umum 1995.
Beliau juga Bendahari Dewan Ulamak PAS Kelantan sehingga sekarang. Pada sesi 2003-2005 arwah dilantik sebagai Yang Dipertua PAS Rantau Panjang.
Allahyarham meninggalkan seorang balu, Siti Marjam Salleh dan enam anak. Seorang anaknya Ibrahim Hussin Ibrahim kini Presiden Majlis Perwakilan Pelajar di USIM.
Abdullah berkata, PAS Kelantan begitu terasa kehilangan arwah memandangkan beliau seorang tokoh yang mempunyai pengetahuan mendalam mengenai agama dan istiqomah dalam perjuangan.
Jenazahnya kini disemadikan di Tanah Perkuburan Islam tidak jauh dari Pondok Lubuk Tapah.

Iktiraf 2 aktiviti Cina untuk tutup skandal BN

Aziz Muda, 30 Jan 2012
KUALA LUMPUR, 30 Jan: Kerajaan BN telah mengambil jalan pintas dengan mengiktiraf dua aktiviti baru budaya kaum Cina bagi melupakan rakyat terhadap skandal-skandal besar yang berlaku dalam negara.

Dua aktiviti budaya baru yang diiktiraf itu melibatkan perarakan bendera besar dari Pulau Pinang dan perarakan satu tokong Cina terbesar di Johor sekitar 6 Februari ini. 

Naib Ketua Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Pusat, Vincent Lee berkata, pengiktirafan tersebut dibuat sempena sambutan tahun baru Cina Sabtu lalu di Setiawan Perak oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang ternyata bermotifkan politik.

Menurutnya, pengiktirafan tersebut amat mengejutkan kaum Cina yang sekali gus turut menimbulkan tanda tanya kenapa baru sekarang dilakukan? 

Katanya, ia ternyata dibuat bagi mendapatkan kembali sokongan kaum Cina terhadap BN yang kini semakin merosot, walaupun pihak kerajaan terpaksa mengeluarkan perbelanjaan besar bagi mempromosikan dan menjayakannya.

"Bagi mempromosikan aktiviti itu, pihak kerajaan menerusi Kementerian Multimedia telah pun membuat iklan besar-besar di beberapa saluran TV termasuk TV1 dan TV2 sejak Sabtu lalu," katanya ketika dihubungi Harakahdaily, di sini, hari ini.

Sebelum itu, masyarakat Cina di negara ini, menurutnya, turut terkejut apabila pihak kerajaan turut membenarkan kaum Cina membakar mercun dan bunga api secara bebas pada hari pertama hingga ketiga sambutan Tahun Baru Cina tahun ini.

"Sedangkan pada tahun-tahun lalu aktiviti tersebut dilarang sama sekali, tetapi tahun ini telah berubah. Ini adalah strategi BN untuk mendapatkan sokongan daripada kaum Cina," katanya.

Tindakan yang dilakukan oleh pihak Kerajaan BN itu, tambahnya, sememangnya menggembirakan kaum Cina, tetapi dalam masa yang sama turut menyedarkan kaum itu sendiri terhadap peranan Pakatan Rakyat terhadap mereka.

"Tanpa Pakatan Rakyat, tidak mungkin Kerajaan BN akan mengiktiraf dua aktiviti baru budaya Cina itu dan memberikan kebenaran membakar mercun dan bunga api kerana ia ternyata dibuat kerana terdesak," tegasnya.

Bukti lain yang menunjukkan BN berada dalam keadaan terdesak, katanya, boleh dirujuk dengan iklan yang dibuat oleh pihak kerajaan pada saluran TV tertentu khususnya TV7 sebelum dan selepas berita Mandarin sekitar jam 9.30 malam sejak beberapa hari lalu.

Iklan dalam bahasa Cina yang menggunakan lambang MCA dan Gerakan itu mengajak masyarakat Cina menyokong BN dengan meneruskan pembangunan di Pulau Pinang bersama Gerakan.

"Iklan itu disiarkan sekitar seminit hingga ke dua minit dan ternyata bermotif politik serta memakan belanja yang besar. Semua itu merupakan usaha akhir BN untuk mendapatkan kembali sokongan kaum Cina," katanya.

Namun, segala pelaburan yang dibuat oleh pihak BN itu, katanya, diyakini tetap gagal menarik undi kaum Cina terhadap BN pada pilihanraya umum nanti kerana kaum Cina di negara ini sekarang lebih menyakini Pakatan Rakyat berbanding BN.

Politik Kedah dan Ustaz Azizan

Ahmad Lutfi Othman, 30 Jan 2012
BAHAGIAN PERTAMA
Berbanding negeri-negeri yang ditadbir Pakatan Rakyat, Kedah dilihat tidak begitu diserang media Umno-BN. Tentulah ia bukan disebabkan kerajaan negeri yang diterajui PAS itu akan diberi laluan mudah untuk melanjutkan tempoh penggal pertama pemerintahannya. Seperti Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan, BN tetap mengidam untuk menawan semula negeri Jelapang Padi itu.

Sewaktu Tan Sri Khalid Ibrahim di Selangor diserang bertubi-tubi dan Lim Guan Eng di Pulau Pinang dilanyak habis-habisan, khususnya oleh Utusan Malaysia dan TV3, Dato' Seri Ustaz Azizan Abd Razak di Kedah agak selesa menarik nafas lega. Namun ia tidak bermakna Umno membiarkan negeri yang pernah menyumbangkan dua perdana menteri itu terlepas begitu sahaja.

Ketika kerajaan negeri Perak ditumbangkan melalui pakatan jahat yang dirancang Najib Razak -- tidak sampai setahun selepas memegang amanah rakyat -- Kedah turut dilihat goyah. Usaha membeli wakil rakyat tertentu rancak dijalankan. Pakatan Rakyat memiliki 22 kerusi, dengan PAS menguasai 16, BN (14), DAP (1) dan KeADILan lima wakil (termasuk seorang Adun Bebas yang kemudiannya menyertai parti itu).

Kiraan mudahnya, jika lima Adun Pakatan dapat "dibeli", sepertimana berlaku kepada tiga Adun di Perak, kerajaan negeri pimpinan Ustaz Azizan akan tumbang. Alhamdulillah, situasi genting itu berjaya dilalui dengan baik sekali. Meskipun KeADILan terlepas dua Adunnya (dan dua ahli Parlimennya mengisytiharkan diri sebagai wakil rakyat Bebas), hasrat BN untuk merebut Kedah dapat dipatahkan. Kini semua Adun KeADILan merupakan anggota Exco kerajaan negeri!

Sebenarnya asas kekuatan pengaruh PAS di Kedah -- terutama selepas pilihan raya umum 1969 yang menyaksikan ramai tokoh utama Umno negeri itu kalah mengejutkan, seperti Dr Mahathir Mohamad dan Senu Abd Rahman -- hampir seimbang dengan Umno. Meskipun ada ketikanya PAS hanya mempunyai seorang wakil dalam sidang Dun dan langsung tidak mempunyai ahli Parlimen dalam tempoh yang agak lama, namun secara puratanya sokongan pengundi Melayu tidak merosot.

Faktor kemenangan BN lebih ditentukan oleh sokongan pengundi Cina dan India, yang mewakili hampir 30 peratus penduduk Kedah. Semasa era reformasi, yang dizahirkan secara terbuka dalam pilihan raya umum November 1999, lonjakan pengundi Melayu menyokong PAS begitu terasa di Kedah. Hasilnya, Parti Islam itu menang 12 kerusi Dun dan lapan Parlimen; semuanya di kawasan majoriti Melayu. Hanya di Kubang Pasu dan Langkawi, pengundi Melayu masih dilihat terikat dengan Umno, mungkin disebabkan faktor Mahathir.


Melalui proses persempadanan semula kawasan pilihan raya pada 2002, sebagai persiapan Umno untuk mengalahkan PAS dalam PRU11, kaedah gerrymandering diguna pakai secara menjolok mata di Kedah. Formula mudahnya, tambahkan jumlah pengundi bukan Melayu di kawasan Parlimen yang dimenangi PAS. Pengundi Cina, India dan juga Siam dianggap penyelamat BN pada 1999, serta diandaikan akan terus menyokong parti berkenaan dalam pilihan raya berikutnya.

Kerusi Parlimen Pokok Sena (yang diwakili Mahfuz Omar), Baling (Ustaz Taib Azamuddin), Kuala Kedah (Mohamad Sabu) dan Yan (Ustaz Nasharuddin Mat Isa) menjadi tumpuan perancangan licik Umno, yang menguasai sepenuhnya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Kerusi Dun yang menawarkan jumlah pengundi bukan Melayu agak ramai dimasukkan dalam kawasan Parlimen terbabit, misalnya Gurun di Yan (bertukar nama kepada Jerai) dan Kuala Ketil di Baling.

Terbukti perancangan Umno-SPR itu mencapai target apabila pada 2004, keempat-empat kerusi Parlimen itu berjaya direbut kembali BN.

Bagaimanapun, tanpa perlu menunggu lama, pada 2008, strategi itu memakan diri. Kerusi Dun di sebelah selatan Kedah, yang agak ramai pengundi bukan Melayunya itu, diisytiharkan lebih awal, tumbang satu demi satu.

Mungkin menyedari hakikat kemenangan PAS dan Pakatan di Kedah "agak rapuh" atau beliau sendiri suka memilih pendekatan "low profile", Ustaz Azizan mempunyai kaedah tersendiri dalam mengemudi bahtera kerajaan negeri. Beliau lebih gemar menjauhi pertembungan dan konflik terutama apabila berdepan kerajaan pusat.

Malah hubungan baiknya dengan bekas pemimpin tertinggi Umno, Dr Mahathir, mengundang pelbagai tafsiran, terutama di kalangan aktivis PAS. Di kala bekas Perdana Menteri itu tersisih dalam partinya sendiri, termasuk di negeri kelahirannya, Kedah, bagi pemerhati politik, Ustaz Azizan bijak memanfaatkan ruang dan peluang.

Susulan itu, agak sukar untuk media mendapatkan komentar Dr Mahathir yang agak negatif kepada pentadbiran Ustaz Azizan di Kedah. Bukan itu sahaja, Ustaz Azizan juga dikatakan tidak menjadikan zaman pemerintahan BN sebelum itu sebagai sasaran kritikannya. Bekas Menteri Besar, Dato' Seri Mahdzir Khalid, kini Ketua Pembangkang di Dun, juga "terselamat".

"Umno menunggu tindakan provokatif Ustaz Azizan sebaik menjadi menteri besar, tetapi impian itu tidak kesampaian," kata seorang penganalisis politik semasa, yang dahulunya pernah aktif dalam Pemuda Umno.

"Dia pandai mengatur rentak dan membaca situasi di bawah. Umno gagal mengeksploitasi tindakan pembaharuan yang digerakkan kerajaan PAS di Kedah. Ternyata Ustaz Azizan cukup berhati-hati," tambahnya, sambil menyifatkan kemungkinan ahli PAS sendiri yang tidak berpuas hati dengan Ustaz Azizan.

"Mengapa pula?" tanya saya.

"Yalah ... kalau orang PAS mengharapkan pembaharuan Islamik di Kedah sama seperti perubahan awal di Kelantan dan Terengganu semasa PAS mula memerintah dahulu, tentu mereka akan kecewa. Ustaz Azizan mungkin popular di kalangan rakyat tetapi akan ditafsirkan daripada pelbagai perspektif oleh rakan-rakannya sendiri," ujar rakan saya itu, yang juga seorang blogger.

"Percayalah cakap saya, Umno Kedah tidak akan berjumpa satu isu besar dan kontroversi, yang boleh menggugat dengan mudah kedudukan PAS di Kedah. Lihat saja, dulu dimainkan isu balak, kemudian hilang begitu saja. Sekarang, isu perobohan Madrasah Salihiah, di Kanchut ... lagi mudah dipatahkan dan akhirnya akan menikam Umno balik," tambahnya.

"Hang balik tengok sendirilah, Lutfi. Pelik juga bila Catatan Hujung jarang sentuh perkembangan di Kedah," katanya. Beliau, yang juga anak Kedah seperti saya, menjangkakan isu personaliti calon dan kualiti servis wakil rakyat akan menjadi penentu dalam PRU13.

Saya akui, memang kolum saya tidak pernah menyinggung isu-isu Kedah dari dekat. Semasa malam kemenangan, 8 Mac 2008, saya turut meraikannya di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut. Bagaimanapun, saya hanya sempat sekali mengadakan wawancara khas dengan Ustaz Azizan, hampir empat tahun lalu, pada malam 17 Mei 2008, di rumahnya, di Jalan Sultanah, Alor Setar.

Dalam pertemuan itu, saya cuba menimbulkan beberapa persoalan yang berlegar dalam pemikiran ahli-ahli PAS termasuk berkaitan soal perubahan yang nampak begitu perlahan berjalan di Kedah.

Mengenali wataknya semasa menjadi Pengarah Urusan Harakah dahulu, saya jangkakan Ustaz Azizan akan bingkas menyanggah, tetapi dengan tenang, beliau memberi respons: "Saya lihat begini, ia berkaitan budaya orang Kedah. Budaya yang cukup terbuka, suka bergurau, suka berkawan. Malah ini juga yang berkembang dalam Dun, di antara wakil Umno dan PAS.

"Masa kita jadi pembangkang pun kita baik dengan Umno, Umno juga baik dengan kita. Sekarang kita jadi kerajaan pun kita baik dengan mereka. Saya tak suka kita buat sesuatu yang mengejutkan, biar rakyat menerima realiti ini sebagai satu proses demokrasi. Dalam Islam pun ada, misalnya saya baca buku tentang Fiqh Aulawiyat.

"Saya juga tekankan soal akhlak Islam. Kita tidak ada balas dendam dan akhirnya nescaya kita akan dapat simpati dan sokongan masyarakat. Umno yang lama berkuasa tentu sedih, tapi janganlah dalam kesedihan mereka itu kita tambahkan lagi pedihnya. Kalau perlu kita juga bekerjasama dengan mereka. Saya tahu mereka juga ada yang berpendidikan tinggi dan bersikap terbuka.

"Dulu mereka rasa PAS tak boleh memerintah, sekarang okey, boleh memerintah dengan baik, malah semua pihak lebih senang bekerja. Saya sendiri beri kebebasan kepada pegawai ... Perlembagaan menjamin hak bersuara, hak berpolitik, hak berfikiran."

Keuzuran membataskan saya untuk turun meninjau situasi akar umbi di Kedah. Namun, apabila seorang teman lama,  sarjana sains politik terkemuka, membuat penyelidikan tentang perkembangan siasah di sebuah daerah di Kedah, dan melahirkan keyakinannya tentang kemampuan PAS mempertahankan kemenangan, saya teruja untuk melihat sendiri rencah peristiwa menarik di sana.

"PAS perlu cermat memilih calon. Ada wakil rakyat PAS yang tidak peduli masalah masyarakat bawahan. Rakyat marah, kalau calon itu juga bertanding, saya boleh bagi kepastian, PAS akan hilang kerusi," katanya melalui telefon.

Semasa minum limau panas berdekatan Pekan Rabu, jam 2 pagi, 22 Januari lalu, seorang rakan yang pernah belajar bersama saya 30 tahun lalu di Sekolah Teknik Alor Setar, turut mengemukakan isu sama: "Jangan pandang remeh isu-isu longkang tersumbat, jalan tak berturap, sampah bersepah hatta tempoh pendek lampu isyarat hijau. Semuanya boleh beri kesan kepada persepsi pengundi."

Beliau mahukan pentadbiran kerajaan PAS dilihat cekap dan pantas bertindak menangani isu-isu rakyat. "Biar bandar-bandar di negeri-negeri Pakatan lebih bersih dan teratur berbanding negeri BN. Sikap antirasuah pemimpin PAS saya sanjung tinggi, tapi kadang-kadang rakyat awam tidak nampak atau tidak merasai kesannya dalam jangka pendek. Mereka mahu Adun atau Ahli Parlimen yang mesra rakyat, ambil berat masalah orang ramai dan tidak sombong," katanya.

Rakan saya itu turut membawa seorang kawannya, yang banyak bercerita tentang Madrasah Salihiah. Kebetulan dia pernah tinggal berdekatan surau yang kini menjadi pejabat syarikat insuran.

"Dulu saya selalu main dekat kawasan tapak Kompleks Tunku Yaakob, yang terbengkalai lebih 30 tahun lalu itu. Sekarang dah tak ada orang Islam di kawasan itu, ramai yang berpindah. Surau yang ada pun hanyalah bilik solat di pejabat insuran. Satu waktu dulu orang yang gunakan stesen bas di Kanchut ada juga solat di situ, bila bas pindah ke Shahab Perdana, tak ada jemaah lagi. Lagipun, Masjid Zahir pun dekat," ceritanya lancar.

Esoknya, saya  "menziarahi" surau kontroversi itu, tidak jauh dari hotel penginapan. Segera saya faham mengapa isu ini tidak akan dapat dimanfaatkan -- walaupun sedikit -- oleh Umno Kedah. "Patutlah orang PAS Kedah dan Ustaz Azizan macam tak risau aja dengan isu surau ini," saya berkata kepada Azamin Amin, wartawan Harakah Kedah. "Sesiapa yang lihat sendiri madrasah ini dan kawasan sekitarnya akan segera faham manipulasi Umno Kedah," tambah saya.

"Siap ... kita pergi rumah Ustaz, pukul 8 pagi," panggilan Setiausaha Akhbar Menteri Besar, Helmi Khalid mengejutkan saya. Beliau merujuk rumah Ustaz Azizan di Markas PAS Jerai.

Undur diri: Apa maksud Presiden PAS

Nazri Abdullah, 30 Jan 2012

GOMBAK, 30 Jan: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menjelaskan, adalah menjadi tanggungjawab kepada pemimpin senior PAS untuk memberi ruang kepada pelapis baru bertanding di dalam pilihan raya.
Ketika diminta memperjelaskan laporan media kononnya beliau tidak mahu bertanding pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, Abdul Hadi berkata perkara itu adalah biasa kerana akhlak seorang muslim yang baik adalah tidak meminta jawatan.

"Memang dalam perjuangan ini kena bagi kepada pelapis-pelapis, kita dalam PAS memang begitu. Kita tak boleh berlumba nak jadi ketua, kita kena berlumba untuk berkhidmat.

"Tapi terpulang kepada ahli-ahli parti jemaah kita. Kalau tak ada orang, kita wajib ke hadapan, begitu kaedahnya," jelasnya ketika menjawab pertanyaan peserta Retreat Harakah: Persiapan Menghadapi PRU13 di Hutan Lipur Sungai Tua, dekat sini semalam.

Media sebelum ini melaporkan bahawa Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang akan berundur dari bertanding pada PRU-13 nanti.

Laporan itu sekaligus mencetuskan polemik sehingga rakan Pakatan Rakyat lain termasuk Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang mengeluarkan kenyataan agar Abdul Hadi tidak bertindak demikian.

Terbaru, hari ini Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat juga menyatakan rasa tidak bersetuju dengan keputusan Abdul Hadi itu.

Katanya, Abdul Hadi, seorang manusia yang berbakat untuk memimpin, lebih-lebih lagi dalam perjuangan Islam.

Pemimpin dan media Umno pula terus mengambil kesempatan seolah-olah memberi gambaran kononnya Presiden PAS itu 'merajuk'.

Abdul Hadi telah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) selama tujuh penggal bermula tahun 1982 dan ahli parlimen selama empat penggal serta Ketua Pembangkang di parlimen.

Beliau juga pernah menjadi Menteri Besar Terengganu dari 1999 hingga 2004 selepas PAS menang pada pilihan raya umum ke-10 tahun 1999.

"Inilah adab dalam parti kita, sebab itu kita berbeza dengan Umno," jelas Abdul Hadi.

Pihak luar pengaruhi Orang Asli di pedalaman Kelantan

Aslani M, 30 Jan 2012
GUA MUSANG, 30 Jan: Usaha-usaha pihak tertentu dari luar Kelantan yang cuba mempengaruhi penduduk Orang Asli di sini bagi memburukkan imej kerajaan negeri, tidak disenangi penduduk tempatan.
Malah, Ajom A/L Alang, 59, dari Kampung Mangsok, Kuala Betis membuat laporan polis terhadap sekumpulan Orang Asli yang mengadakan demontrasi dan sekatan jalan di Kuala Betis baru-baru ini.
Laporan itu dibuat pada 17 Januari lalu dengan mendakwa penduduk tempatan tidak bersetuju sekumpulan Orang Asli menghalang laluan menghubungkan Kampung Lambok-Pos Bala dan jalan Kampung Parit-Pos Tohoi.
Dalam laporan terbabit Ajom menjelaskan Jaringan Orang Asal Semenanjung (JOAS) dipercayai dipengaruhi pihak dari luar Kelantan berdemontrasi menghalang laluan tersebut.
“Saya tidak berpuas hati terhadap JOAS mengadakan demontrasi dan membuat sekatan jalan di kampung kami. Kami tidak terbabit dengan demontrasi dianjurkan mereka,” katanya dalam laporan tersebut.
Sebuah akhbar Ahad lalu melaporkan polis menahan 13 penduduk Orang Asli kerana berhimpun secara haram dan menahan kenderaan yang melalui jalan Kuala Betis–Pos Tohoi di Kampung Parik.
Perhimpunan itu difaham diadakan sebenarnya bertujuan membantah isu berkaitan tanah adat Orang Asli yang didakwa diceroboh aktiviti pembalakan dan pembangunan ladang.
Bagaimanapun di Kota Bharu Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob mnjelaskan tidak ada kategori tanah adat di Kelantan kecuali tanah hutan simpan, tanah kerajaan dan tanak milik.
“Adalah tidak betul dakwaan ada tanah adat di Kelantan. Lagi pun pembalakan berlaku di kawasan hutan simpan yang sudah diluluskan untuk diusaha hasil.
“Manakala pembangunan Ladang Rakyat pula dibuat jauh dari kawasan penempatan Orang Asli. Ladang itu sudah mengeluarkan hasil setelah diusahakan sejak empat tahun lalu,” katanya di sini.
Menurutnya juga beliau difahamkan JOAS yang berpangkalan di luar Kelantan didalangi NGO bukan kalangan Orang Asli menghasut sekumpulan Orang Asli berhubung isu tanah adat.
Kata Timbalan Menteri Besar kerajaan negeri sudah merezabkan kawasan seluas 606 ekar di Pos Jedip dan 98 penduduk Orang Asli di Pos Sigar mendapat hak milik tanah.
“Usaha-usaha sedang dilakukan bagi merezabkan lebih banyak lagi kawasan Orang Asli,” katanya.
(Ikuti laporan lanjut dalam Harakah edisi cetak keluaran akan datang)
LIHAT VIDEO

Tiada ulasan: