Hentikan biasiswa khianat kepada negara
Harakahdaily, | 19 Jan 2012 |
KUALA LUMPUR, 19 Jan: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang (gambar) kesal dengan ura-ura tindakan kerajaan memberhentikan biasiswa kepada pelajar sarjana dan PhD di beberapa universiti terkemuka dan dalam negara atas alasan kekurangan dana.
Ini kerana, bagi Abdul Hadi, pelajar terpilih ini merupakan aset penting negara yang perlu dibantu untuk maju dalam pelajaran mereka.
Namun, katanya, dipertengahan jalan, ianya terbantut disebabkan pemberhentian biasiswa oleh kerajaan.
Abdul Hadi berkata demikian dalam satu kenyataannya semalam.
Menurut beliau, PAS dimaklumkan bahawa pemberhentian biasiswa ini berkait rapat dengan usaha kerajaan mengecilkan dana kepada IPTA yang turut melibat sama pengecilan pengambilan kakitangan.
Ramai kakitangan diambil secara kontrak sahaja kerana IPTA kekurangan dana.
Bahkan ada yang sudah berkhidmat lebih lima tahun pun masih belum disahkan jawatan, katanya.
"Ia merupakan satu pengkhianatan dan penggadaian masa depan negara," kata beliau.
Dalam masa yang sama IPTA digalakkan berlumba 'ranking' di peringkat antarabangsa yang dianjurkan oleh syarikat yang mempunyai kepentingan komersil tertentu.
PAS, katanya, tidak menolak usaha untuk meletakkan IPTA Malaysia di 'ranking' lebih baik di dunia, namun jika ia mengikat IPTA dengan syarat-syarat yang merugikan masa depan negara, ia perlu dihentikan.
Antaranya meluaskan pengambilan pelajar asing dan 'post-Graduate', dalam masa yang sama mengecilkan pengambilan pelajar tempatan di peringkat sarjana muda, kata beliau.
Tindakan ini, dakwa beliau, menyebabkan tempat untuk rakyat Malaysia belajar di IPTA terkemuka negara semakin mengecil dan tempat untuk warga asing pula terbuka luas semata-mata untuk penuhi syarat ditetapkan dalam perlumbaan 'ranking'.
Kesannya, dakwa Abdul Hadi, kerajaan berusaha untuk mengecilkan saiz jabatan-jabatan dan fakulti, mengecilkan pengambilan kakitangan dan pelajar di peringkat sarjana muda.
Lebih malang lagi, apabila pelajar diperingkat Master dan PhD yang sudah berada di semester kelima dan keenam dihentikan terus biasiswa yang merencatkan pembelajaran mereka.
"Oleh itu kita mendesak kerajaan, supaya mengembalikan skim biasiswa-siswazah kepada pelajar-pelajar tersebut dan menawarkan lebih banyak biasiswa di masa depan buat rakyat Malaysia," desak beliau.
Desakan ini, kata beliau, dibuat kerana di kala negara berhadapan dengan kemelut ekonomi yang meruncing ini, penjimatan sepatutnya dilakukan dalam hal lain khususnya melibatkan perbelanjaan pemimpin negara, kebocoran rasuah dan projek membazir, bukan dengan mengecilkan dana IPTA yang merupakan aset berharga negara.
Dengan keputusan berani dan menggemparkan itu, PAS dijangka tidak akan berundur lagi walaupun anggota exco kerajaan Selangor itu boleh merayu kepada majlis syura.
Keputusan kali ini, biarpun bagi sesetengah orang sudah terlambat, kelihatan sudah muktamad.
Majlis syura yang disertai barisan teratas pemimpin parti dan beberapa tokoh ulama dikatakan berat hati untuk merombak kembali keputusan semalam.
Menurut sumber parti, walaupun ahli-ahli jawatankuasa mencadangkan ADUN Gombak Setia itu sekadar digantung keahliannya, pucuk pimpinan atasan PAS bertegas inginkan beliau dipecat.
Malah mereka yang menyokongnya, dan bersimpati dengannya, sendiri bersedia menerima saranan agar tindakan disiplin dikenakan kepada bekas pesuruhajaya PAS Selangor itu.
Mereka setidak-tidaknya boleh menerima cadangan menggantung keahlian Hasan.
Rancakkan pendedahan blog
Dan, menurut sumber lagi, kesan negatif terhadap parti akibat pemecatan ini tidaklah besar dan akan boleh dikawal.
Namun, tugasan mengawal publisiti buruk itu tidaklah mudah apabila
media arus perdana mengeksploitasi isu ini nanti.
Apatah lagi masih ada saki-baki penyokong Hasan dalam parti yang membangunkan blog-blog untuk menyerang pihak-pihak tertentu dalam PAS. Pemecatan ini pastilah merancakkan lagi pendedahan blog-blog tersebut.
Keputusan ini juga, di satu sisi lain, menunjukkan PAS sudah bersedia
mengambil risiko tersebut -- membenarkan telahan politik sebelum ini bahawa parti memang merancang membuang duri dalam daging tersebut menjelang pilihan raya umum.
Pemecatan ini turut menyelesaikan dua masalah sekali gus: bukan sahaja membuang duri dalam parti tetapi juga nanah dalam barisan kepemimpinan kerajaan Selangor.
Keputusan ini tentunya melegakan PAS dan menggembirakan beberapa pihak dalam Pakatan Rakyat sejak isu Hasan tidak reda-reda mulai akhir tahun lalu.
Dua medan tempur
Penceramah motivasi itu pula tidak serius menunjukkan beliau sudah 'insaf'.
Malah ia makin kuat mencabar kepemimpinan parti dan simbolnya --
walaupun setelah bertemu dengan mursyidul am Nik Abdul Aziz Nik Mat dan presiden Abdul Hadi Awang tidak lama dulu.
Seperti juga sifat 'mohon maafnya' dalam isu dasar negara berkebajikan PAS, Hasan pada masa yang sama memperlekehkan setiausaha agung Mustafa Ali.
Kali ini, selepas menteri besar itu menyatakan Hasan telah memohon
maaf, bekas pegawai kanan kerajaan itu memperlekehkan Harakahdaily (yang menyiarkan kenyataan Nik Abdul Aziz) sehingga organ parti itu terpaksa menyiarkan transkrip lengkap sidang media tersebut.
Dalam siri pertempurannya dengan parti sebelum ini, Hasan kelihatan
sering membuka medan-medan baru -- mempertikai Harakah yang dikatakan tidak memberikan liputan kepadanya dan juga kenyataan ketua penerangan PAS Selangor Saari Sungib dalam isu pencalonannya semula di Gombak Setia.
Khamis lalu, setelah konflik Hasan-PAS boleh dianggap mereda susulan pertemuan di Kota Bharu, Hasan membuka dua (atau, tiga) medan tempur sekali gus.
Dalam sidang media di pejabat Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), exco agama itu menggesa penguatkuasa agama itu mengenakan tindakan terhadap Badrul Amin Baharon, seorang ahli majlis tertinggi PKR, atas alasan beliau menyamakan Anwar Ibrahim dengan ‘Imam Mahdi'.
Berlagak menteri pengajian tinggi
Tidak cukup mempertikaikan perhimpunan pro-Anwar di mahkamah Kuala Lumpur semalam, dan menolaknya mentah-mentah, Hasan malah mempertikaikan arahan pucuk pimpinan PAS Selangor yang menggesa ahli menyertai rapat umum 901.
Padahal, Abdul Hadi bersama tokoh besar DAP Lim Kit Siang sudah
beriltizam akan turut serta dalam mobilisasi 901.
Hasan sebaliknya mengatakan tiada arahan rasmi dikeluarkan untuk itu dan menggalakkan PAS agar tidak menyertainya.
Atas kenyataannya itu sahaja, Abdul Hadi dan timbalannya Mohamad Sabu terpaksa tampil menegaskan sikap mereka berdua dan PAS.
Jika kerja beberapa tokoh kanan parti ini hanyalah untuk melayan
karenah Hasan, tentulah keseluruhan citra dan wibawa parti akan
luntur.
Tidak memadai dengan semua itu, Hasan juga berlagak menteri pengajian tinggi dengan menggesa pelajar agar tidak menyertai perhimpunan tersebut!
Mantan perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, apabila ditanya mengenai keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membebaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim, secara sinikal beliau menjawab:
"Walaupun saya hairan jugalah pasal dia (Anwar) tak bersalah. Tapi ini bukti bahawa tidak ada konspirasi dari dulu sampai sekarang.
"Apabila pihak mahkamah berpendapat dia (Anwar) tidak bersalah, mereka (mahkamah) berkata dia tidak bersalah. Mungkin ada pihak yang nak appeal, saya tak tahulah."
Mahathir memang terkenal dengan komen-komen sinikalnya. Anwar Ibrahim adalah bekas anak didik yang ditatang beliau satu ketika dahulu.
Namun akhirnya Anwar menjadi musuh politik nombor satu Mahathir yang menjadi perdana menteri selama 22 tahun itu. Anwar juga merupakan satu-satunya ahli politik yang masih belum dapat “dibunuh” karier politiknya olehnya.
Ahli-ahli politik lain seperti Tengku Razaleigh Hamzah, Tun Abdullah Ahmad Badawi, Tun Musa Hitam dan ramai lagi, terpelanting dengan mudah apabila bertembung dengan Mahathir.
Sudah pasti Mahathir adalah orang yang paling tidak gembira dengan keputusan mahkamah tersebut. Jika Anwar didapati bersalah Isnin lalu, Mahathir sudah boleh berehat dengan tenang bersama keluarganya menghabiskan sisa-sisa hayatnya yang masih ada.
Apabila Mahathir berkata, “Mungkin ada pihak nak appeal, saya tak tahulah” – ini merupakan satu isyarat bahawa kes liwat II ini masih belum selesai dan sudah pasti bapa kepada Datuk Mukhriz itu mahu rayuan dilakukan terhadap keputusan mahkamah supaya perang liwat II berterusan.
Peperangan politik antara Mahathir-Anwar masih belum selesai walaupun ia telah memakan masa hampir 12 tahun. Suka tak suka pertembungan antara kedua-dua ahli politik ini telah mengheret seluruh negara bersama.
Glongan pro transformasi
Walaupun kecil dalam Umno, golongan ini sedikit sebanyak membantu memulihkan sokongan orang muda terhadap Barisan Nasional (BN). Golongan ini, kebanyakannya, adalah bekas penyokong Anwar sewaktu dalam Umno dahulu.
Golongan ini gembira dengan keputusan mahkamah dan selepas selesai kes liwat II ini, mereka mahu perlawanan antara BN dan Pakatan Rakyat naik ke tahap yang lebih matang iaitu ke tahap polisi.
Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah adalah antara yang tergolong dalam golongan ini. Keberanian beliau untuk berhadapan dengan politikus Pakatan dalam majlis-majlis debat sedikit sebanyak telah memenangi hati anak-anak muda dan pengundi atas pagar.
Akan tetapi di dalam parti Umno, golongan pro-transformasi terlalu lemah dan jika transformasi politik itu bukan program Datuk Seri Najib Razak selaku presiden dan perdana menteri, sudah pasti golongan ini telah lama dikuburkan.
Sebab itu kita boleh lihat kurangnya komen-komen dari golongan pro-transformasi mengenai keputusan mahkamah Isnin lalu.
Mungkin golongan ini mengambil sikap berhati-hati oleh kerana kini, umum tahu golongan “garis keras” dalam Umno yang dipayungi oleh Mahathir sedang marah.
Sokong parti kuat
Politik Melayu itu mudah. Sokongan diberikan kepada parti yang kuat. Arwah atuk penulis sendiri pernah berpesan, jika mahu menyertai politik, ikutlah parti yang kuat.
Keputusan mahkamah Isnin lalu telah memberikan satu kekuatan baru kepada Anwar Ibrahim dalam usaha untuk memenangi hati majoriti pengundi Melayu terutamanya di kawasan luar bandar sekaligus menawan Putrajaya.
Bekas menteri Umno yang masih ahli parti tersebut, Tan Sri Kadir Sheikh Fadzir secara terang-terangan telah menunjukkan sokongannya terhadap Anwar.
Beliau hadir ke rumah Anwar dan menemani mantan timbalan perdana menteri itu ke mahkamah pada hari keputusan diumumkan.
Tindakan Kadir ini juga boleh dilihat sebagai isyarat jelas beliau tidak bersama Najib. Jika Datuk Zaid Ibrahim pada satu ketika dahulu dipecat dari Umno kerana hadir di kongres PKR, apa pula tindakan yang bakal dikenakan terhadap Kadir yang juga merupakan timbalan presiden AMANAH – di bawah pimpinan Ku Li.
Setidak-tidaknya, penyokong Kadir akan mengikut jejak langkah beliau untuk memberikan sokongan kepada Anwar Ibrahim. Ini merupakan satu kerugian politik kepada Najib Razak.
Apa yang bakal terjadi?
Kita lihat nanti apabila pendakwaraya membuat rayuan terhadap keputusan mahkamah Isnin lalu. Apabila itu berlaku, lebih jelas lagi perpecahan dalam Umno kelihatan.
Najib akan berusaha keras untuk pastikan keputusan mahkamah Isnin lalu kekal di mahkamah rayuan. Jika keputusan mahkamah rayuan berbeza, hilang terus kepercayaan golongan atas pagar terhadap program transformasi politik beliau.
Sementara golongan “garis keras” yang berdiri di belakang timbalan perdana menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mahukan Anwar disimpan dalam penjara agar ketua pembangkang itu mengalami nasib seperti mantan pengerusi Putera-AMCJA, Dr Burhanuddin Helmy – menghabiskan masa lama dalam penjara sepanjang perjuangan politiknya.
Jika gagal menjinakkan golongan garis keras dalam Umno,Najib akan berada dalam keadaan, “yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran”. Apatah lagi pada ketika ini Umno mengalami masalah besar di basis sokongan mereka – Melayu kawasan pedalaman apabila Skandal NFC diketahui umum.
ULASAN ini adalah pandangan peribadi penyumbang/penulis dan tidak semestinya mencermin pendirian sidang pengarang Malaysiakini.
Amin Iskandar menerima anugerah zamalah Intelektual Awam Asia (API) 2009-10 untuk menjalankan kajian tentang sejarah pemantauan pilihan raya di Filipina dan Indonesia. Memblog di http://www.aminiskandar.blogspot.com dan berkicau di http://www.twitter.com/aminiskandar.
Fathi Aris Omar bertugas sebagai ketua pengarang di Malaysiakini.
Di Malaysia ini kita tidak tahu bila pilihan raya akan dijalankan. Kalau di zaman Mahathir Mohamad dahulu, kita berpilihan raya apabila Mahathir telah mendapat ilham.
Ini bukan kenyataan fitnah. Orang ramai selalu terbaca tentang ‘menunggu ilham' yang datangnya dari mulut Mahathir sendiri.
Di zaman Abdulalh Badawi keadaan agak lucu. Ada pemerhati politik mendakwa bahawa tarikh pilihan raya ditetapkan oleh Khairy Jamaludin - menantu Abdullah.
Ini tidak betul. Yang sahih ialah tarikh pilihan raya hanya diumum setelah Perdana Menteri Abdullah terbangun dari mimpinya.
Di zaman Najib Razak ini, bila pilihan raya akan dijalankan menjadi lagi pelik. Mengikut surah Haji Desas bin Lebai Desus, tidak ada sesiapa yang tahu tarikh pilihan raya kecuali Rosmah Mansor.
Amat pelik bunyinya. Lagi pelik dari ilham Mahathir. Lagi menakjubkan dari mimpi Abdullah Badawi.
Mengikut surah yang semakin tersebar, Rosmah Mansor akan mendapat tarikh ini dari Guru Ji yang akan menilik bintang-bintang di langit dan melihat perjalanan cakerawala di alam semesta.
Pak bomoh dari Mumbai ini akan menasihatkan Rosmah Mansor bila saat dan ketika yang terbaik untuk mengadakan pilihan raya. Saat dan ketika yang molek berpilihan raya ialah apabila bintang kelahiran Anwar Ibrahim mula tergelincir.
Ini bukan perkhabaran fitnah. Jangan lupa bagaimana seluruh jantung negara berdebar-debar apabila tarikh 11 haribulan sebelas, tahun dua ribu sebelas hampir sampai.
Debaran jantung ini berpunca dari Najib Razak sendiri yang percaya bahawa angka sebelas ini membawa ong. Najib dikatakan taksub dengan angka 11. Sebenarnya bukan Najib seorang sahaja menteri kabinet yang pecaya ada angka-angka khusus yang akan membawa tuah. Lihat Menteri Pertahanan Zahid Hamidi yang gila dengan angka 38, hinggakan semua kereta yang dimiliki memakai angka yang sama.
Di sini saya ingin menyebarkan maklumat bahawa pengunaan nujum dan bomoh untuk menetapkan tarikh pilihan raya ini bukan hanya amalan di Malaysia.
Di Afrika, peranan bomoh dalam politik harian cukup besar. Emperor Bokassa dari Afrika Tengah menggunakan khidmat bomoh siang dan malam. Ini sama seperti apa yang dilakukan oleh Idi Amin Dada di Uganda dan Mobuto Sese Seko dari Congo.
Kita juga jangan buat-buat lupa pada satu ketika dahulu bomoh juga telah memainkan peranan yang penting dalam realpolitik di Eropah.
Sila buka kitab sejarah Revolusi Bolshevik 1917. Selain dari nama Lenin dan Trotsky kita akan berjumpa dengan nama Rasputin. Jantan yang berselindung di belakang agama ini ialah seorang bomoh yang mempengaruhi Emperor Nicholas dan pemaisuri Alexandra.
Mungkin ramai yang akan bertanya kenapa agaknya para politikus ini menggunakan khidmat bomoh. Untuk persoalan ini jawabnya cukup senang. Khidmat bomoh ini diperlukan kerana semua kerajaan dan pentabiran di negara-negara ini tidak mendapat sokongan ramai. Kerajaan yang bersikap ganas dan zalim memerlukan bomoh.
Emperor Bokassa dan Idi Amin menjadi pemimpin negara kerana merampas kuasa. Manakala Mobuto dinaikkan oleh rampasan kuasa Agensi Perisikan Pusat (CIA). Emperor Nicholas di Russia dibenci oleh rakyat hingga berlaku revolusi.
Apa perlunya khidmat bomoh untuk mereka? Kenapa Najib percaya kepada angka 11? Soalan ini akan membuka persejarahan politik negara kita. Jangan ketawa atau mengeleng-gelengkan kepala apabila membaca apa yang saya surahkan di sini.
Di Indonesia, 17 Ogos dipilih kerana ditarikh itu rakyat Indonesia yang mengangkat senjata telah berjaya menghalau Belanda. Di Rusia, 17 Oktober dipilih kerana di saat itu Revolusi Bolshevik telah berjaya menghalau Czar dan Czarina dan Lenin telah mendirikan sebuah republik.
Di tanah besar China mereka merayakan 1 Oktober kerana di hari itu Republik Rakyat China diisytiharkan oleh Mao Tse Tung pada tahun 1 Oktober 1949. Tarikh-tarikh ini diambil kerana sejarahnya.
Bagimana pula dengan Tanah Melayu? Untuk warga yang peka pasti akan teringat bagaimana sekali sekala kita terbaca dari media arus perdana tentang sejarah tarikh pengistiharan British memberikan pentabiran ini kepada United Malay National Organisation. Sila jangan ketawa kerana di Tanah Melayu tarikh 31 Ogos telah dipilih oleh bomoh... Opss, maaf bukan bomoh.
Tarikh 31 Ogos telah ditemui setelah menilik bulan dan bintang. Orang yang menilik bulan dan bintang ini pula dikatakan tidak lain dan tidak bukan ialah ayahanda kepada Abdullah Badawi. Sayangnya ilmu menilik bintang dan bulan ini tidak turun kepada Abdullah Badawi maka terpaksalah Pak Dollah kita tidur untuk memimpikan tarikh pilihan raya.
Justeru, dalam budaya United Malay National Organisation, khidmat bomoh ini bukan sesuatu yang asing. Ini bukan fitnah dari saya. Ini bukan cerita dari Haji Desas bin Lebai Desus. Sesiapa yang rajin membaca dan mentelaah akan menyedari bahawa apa yang saya tulis ini adalah fakta sejarah. Ini bukan sejarah silam. Ini berlaku pada tahun 1993 dahulu.
Cuba ingatkan kembali kepada kisah perjuangan seorang penyanyi yang hanya sempat mengeluarkan sebuah album. Malah klip videonya pernah disiar oleh televisyen kita.
Perempuan cun, langsing dan berambut panjang ini gagal menjadi penyanyi pop tetapi bejaya menjadi bomoh. Khidmatnya dikatakan amat amat diperlukan oleh orang-orang politik dalam United Malay National Organisation terutama ketika di tahun pemilihan dan tahun pilihan raya.
Sejarah membuktikan betapa Datuk Mazlan Harun seorang ADUN dari Batu Talam, Pahang yang percaya kepada kuasa tongkat Sukarno. Dengan memiliki rotan pendek yang pernah tersepit di celah ketiak Bung Karno,
YB kita ini berharap dia akan terus dipilih sebagai calon untuk menjadi ADUN. Yang terserlah bijak di sini ialah bomoh Mona Fendy. Minah cun ini cukup faham tentang keberahian politikus Melayu Islam.
Dari fakta perbicaraan kes Mona Fendy ini orang ramai difahamkan bahawa memang ramai politikus United Malay National yang menggunakan khidmat bomoh. Yang diketahui umum hanya seorang berdua tetapi hakikatnya pastilah lebih ramai lagi.
Apa sangkut pautnya fakta sejaran ini dengan pilihan raya umum ke-13? Untuk menjawab soalan ini, para pembaca yang budiman wajib menonton kembali klip video bertajuk "Rosmah Perempuan Puaka" di Youtube.
Dari klip bersejarah ini kita semua diberitahu oleh adik wanita itu sendiri bagaimana sang kakak telah menggunakan khidmat bomoh. Klip ini juga memuatkan pengakuan isteri bekas tuan speaker Dewan Undangan Negeri Sembilan.
Bekas isteri tuan speaker ini mungkin tidak sedar bahawa dirinya bukan sahaja membocorkan rahsia wanita itu. Pengakuan ini cukup jelas membuktikan bahawa dia sendiri pernah bersama wanita berkenaan mencari segala macam khidmat bomoh.
Di sini saya ingin menerangkan betapa para pemerhati politik dari luar negara gagal memahami politik Malaysia. Para wartawan dari akhbar dan majalah luar telah beberapa kali memberikan ramalan tentang tarikh pilihan raya.
Banyak pemerhati dari luar yang mengkaitkan tarikh pilihan raya dengan keadaan ekonomi dunia, dengan harga minyak dan dengan kejayaan Najib membuat beberapa kenyataan yang mungkin dilihat menuju ke landasan demokratik.
Pandangan-pandangan dan analisa politik ini ada salah dan ada benar. Mengikut kajian ilmu politik moden maka pastilah kedudukan turun naik ekonomi yang akan menjadi penentu tarikh pilihan raya.
Analisa sebagini amat tepat untuk negara-negara Eropah Barat telah memasuki era pasca Rasputin. Tetapi menggunakan pendekatan ilmu politik moden yang sama untuk memahami keseluruhan politik Malaysia pasti satu kesilapan besar.
Untuk memahami lebih dalam politik kontemperori Malaysia biar saya bawa para pembaca kembali ke zaman Rasputin. Sosok ini hanyalah satu-satunya bomoh yang kewujudannya tercatit dalam sejarah moden Eropah. Malah apa yang dilakukan oleh Rasputin ketika berkhidmat dalam Istana Czar Nicholas juga telah dirakamkan oleh sejarah.
Rasputin boleh keluar masuk istana tanpa larangan. Pemaisuri Alexandra mempercayai Rasputin lebih dari mempercayai penasihat rasminya. Ketika Putera Alexei gering, Pemaisuri Alexandra bukan mencari khidmat doktor tetapi telah meminta Rasputin mengubati anakandanya. Lelaki berambut dan berjanggut panjang diyakini oleh keluarga Czar Nicholas kerana Rasputin dikatakan memiliki ilmu mistik yang dapat melihat masa depan.
Rasputin wujud di detik-detik akhir sebelum monarki dihapuskan di Rusia. Ketika itu rasuah dan penyalahgunaan kuasa sedang berleluasa. Siapa yang kaya dialah yang betul. Di Rusia ketika itu ada dua hukum - satu untuk yang memerintah dan satu lagi untuk yang diperintah. Tidak ada hukum hakam yang dapat mengusik puak yang memerintah.
Apakah para pembaca yang budiman tidak dapat melihat persamaan antara Rusia sebelum menjadi republik dengan apa yang sedang berlaku di hadapan mata kita hari ini?
Jika para pembaca telah dapat menggambarkan Rasputin keluar masuk ke istana Czar Nicholas dengan menaiki kereta kuda, cuba pula bayangkan bomoh Ji dari Mumbai yang dikatakan keluar masuk dengan Mercedez ke rumah rasmi perdana menteri di Putrajaya.
Kemudian cuba bayangkan rupa bentuk muka Guru Ji yang sedang menilik bulan dan bintang untuk mencari tarikh terbaik untuk Najib mengadakan pilihan raya. Jika masih tidak yakin dengan perbandingan dan tanda-tanda yang saya tulis ini maka sila cari kembali akhbar harian minggu lalu. Buka dan baca berhati-hati. Lihat dan teka berapa ramai agaknya Guru Ji dan Rasputin sedang menjerit-jerit, berdoa dan berbaiah di bangunan PWTC.
Jangan lupa, sebelum Czar Nicholas dan Permaisuri Alexandra cuba melarikan diri dari istana, mereka juga telah berbaiah dengan Rasputin.
Apa yang membezakan Rusia di zaman Rasputin dengan Malaysia di zaman Guru Ji hanyalah satu - lembu di Rusia pada tahun 1917 tinggal dalam kandang manakala lembu di Malaysia pada thun 2011 menginap dalam kondo.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam memutuskan Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak bersalah diatas pertuduhan meliwat bekas pembantunya, Saiful Bukhari Azlan.
“Mahkamah tidak boleh memastikan sama ada sampel DNA telah diusik.
“Oleh itu tertuduh dibebaskan,” kata Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd Zabidin Mohd Diah, semasa membacakan keputusan kes itu.
Buat seketika ramai yang terpegun kerana tidak mempercayai apa yang disampaikan itu tetapi akhirnya ribuan penyokong Anwar Ibrahim di luar mahkamah bersorak gembira apabila keputusan tersebut disah dan diumumkan oleh Naib Presiden PKR, Tian Chua.
Keputusan tidak bersalah mengundang emosi ribuan yang hadir.
Exco Kerajaan Negeri Selangor, Elizabeth Wong dilihat menitiskan airmatanya, apabila mendapat tahu mahkamah membebaskan Anwar dari pertuduhan liwat.
Begitu juga dengan makcik-makcik dan anak-anak gadis yang turut bersama-sama berhimpun di luar mahkamah bagi menunjukkan solidariti kepada mantan timbalan perdana menteri itu.
Anak-anak muda bersorak kegembiraan merayakan keputusan mahkamah yang dianggap sebagai kemenangan rakyat.
Najib bersih konspirasi?
Semenjak awal bermulanya kes liwat ini, Datuk Seri Najib Razak – pada ketika itu timbalan perdana menteri, dikaitkan.
Kes tersebut timbul selepas Saiful Bukhari bertemu dengan Najib. Ahli parlimen Pekan itu juga seringkali berdolak-dalik apabila ditanya oleh wartawan mengenai Saiful.
Ada ketika, beliau berkata Saiful bertemunya untuk mengadu diliwat Anwar, apabila diasak oleh wartawan pada sidang akhbar lain, Najib berkata Saiful bertemunya untuk meminta sokongan bagi mendapatkan biasiswa pendidikan.
Bagi organisasi media, mereka tentu tidak akan lupa bahawa, pejabat timbalan perdana menterilah yang menghubungi mereka untuk memaklumkan tentang laporan polis yang dilakukan oleh Saiful Bukhari menuduh Anwar meliwatnya.
Persepsi tentang pembabitan Najib dalam konspirasi liwat ini diperkuatkan lagi apabila gambar Saiful Bukhari bersama Khairil Anas, pegawai khas kepada Najib di hadapan pejabat timbalan perdana menteri tersebar luas di internet.
Walaupun mahkamah membebaskan Anwar dari pertuduhan tersebut, pembabitan Najib dan isterinya, Datin Seri Rosmanh Mansor dalam konspirasi politik untuk menjatuhkan ketua pembangkang itu masih belum dibersihkan.
Mahkamah Malaysia bebas dan adil?
Sebagai respon kepada keputusan mahkamah berhubung kes Anwar Ibrahim, perdana menteri berkata, ia adalah bukti bahawa sistem kehakiman negara bebas dari campurtangan kerajaan.
Menurut Najib lagi, keputusan mahkamah juga bukti kerajaan tidak terlibat dengan konspirasi politik seperti yang didakwa oleh Anwar.
Presiden kumpulan pendesak Melayu, PERKASA, Datuk Ibrahim Ali yang sekali lagi gagal untuk membawa ribuan penyokong untuk menghalang perhimpunan penyokong Anwar selepas gagal pada perhimpunan BERSIH 2.0 lalu mendakwa ketua pembangkang masih lagi belum selamat.
Kata Ibrahim Ali, jika Saiful kemukakan rayuan, Anwar belum tentu selamat.
Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu juga mengingatkan kepada penyokong Pakatan Rakyat agar jangan terlalu gembira dengan keputusan mahkamah membebaskan Anwar.
Menurut Mohamad, kes negeri Perak boleh dijadikan iktibar di mana mahkamah mempermainkan mantan menteri besar Perak, Datuk Seri Nizar Jamaluddin.
Pada ketika itu, mahkamah membuat keputusan Nizar masih menteri besar Perak yang sah. Dengan pantas kes tersebut dirayu dan mahkamah rayuan membuat keputusan yang bercanggah dengan keputusan mahkamah tinggi.
Masa depan Najib dalam Umno
Keputusan mahkamah membebaskan Anwar dari pertuduhan meliwat Saiful Bukhari mengundang kemarahan golongan “garis keras” atau “hardliner” dalam Umno.
Bagi golongan ini, Najib adalah seorang pemimpin lemah yang seringkali tunduk kepada permintaan pembangkang.
Keputusan mahkamah membebaskan Anwar dilihat oleh golongan garis keras sebagai kelemahan Najib untuk berhadapan dengan tekanan antarabangsa.
Umum mengetahui bahawa masyarakat antarabangsa terutamanya kuasa besar seperti Amerika Syarikat memantau secara dekat perkembangan kes liwat ini.
Mereka (baca: golongan garis keras) masih lagi merindui zaman-zaman Umno sebuah parti yang benar-benar berkuasa seperti pada zaman Tun Dr Mahathir Mohammad.
Mantan perdana menteri, Tun Abdullah Badawi disingkirkan sebagai presiden Umno kerana dianggap lemah dan tidak mempunyai cirri-ciri seorang pemimpin diktator.
Najib juga kini mengalami sindrom yang sama. Cuma beliau agak bernasib baik kerana Dr Mahathir tidak mahu mengulangi kesilapan menyerang Pak Lah secara terbuka kerana tindakan tersebut akan menguntungkan Anwar.
Akan tetapi, ini bukanlah jaminan Najib akan mempunyai masa depan yang gemilang dalam Umno. Program reformasi yang digelar transformasi – ingin dilakukan Najib tidak mendapat sambutan golongan garis keras dalam Umno.
Kebangkitan Anwar
Pertuduhan liwat yang dihadapi sedikit sebanyak menjejaskan undi orang-orang Melayu / Islam terhadap Pakatan. Keputusan mahkamah membebaskan Anwar memberikan “rahmat” kepada Pakatan untuk menembusi masuk ke kubu kuat Umno terutamanya di kawasan pendalaman.
Anwar akan menggunakan keputusan mahkamah ini sebagai “modal” untuk beliau masuk ke kubu kuat Umno. Sebagai mantan pemimpin tertinggi Umno, beliau tahu “bahasa” yang sesuai untuk disampaikan kepada penyokong-penyokong kuat Umno.
Dengan sokongan padu daripada masyarakat Cina seluruh negara, Anwar hanya perlu mendapatkan sedikit lagi peratusan undi Melayu dicampur dengan sedikit kerusi Sabah dan Sarawak untuk membawa Pakatan ke Putrajaya.
Ini yang merisaukan Umno terutamanya golongan garis keras. Mereka tahu tentang kemampuan Anwar. Jika dibiarkan bebas, masa depan BN untuk terus memerintah Malaysia semakin gelap.
Menjelang pilihan raya umum ke-13, politik Malaysia akan menjadi lebih menarik. Pertarungan politik di antara BN dan Pakatan akan menjadi semakin hebat. BN cuba mempertahankan kuasa manakala Pakatan akan merampas kuasa.
Jika rayuan tidak dibuat oleh pendakwaraya terhadap kes liwat tersebut, pertarungan diantara BN - Pakatan akan berada pada tahap lebih tinggi dan bukan lagi di peringkat politik seks.
BN dan Pakatan akan memperkemaskan dasar masing-masing untuk memenangi undi daripada pengundi atas pagar yang tidak mempunyai kesetiaan kepada parti politik akan tetapi lebih melihat kepada dasar-dasar yang menguntungkan mereka.
ULASAN ini adalah pendapat peribadi penyumbang/penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi sidang pengarang Malaysiakini.
Amin Iskandar menerima anugerah zamalah Intelektual Awam Asia (API) 2009-10 untuk menjalankan kajian tentang sejarah pemantauan pilihan raya di Filipina dan Indonesia. Memblog dihttp://www.aminiskandar.blogspot.com/dan berkicau di http://www.twitter.com/aminiskandar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan