Presiden PAS putuskan pengganti Hasan hari ini
Harakahdaily, | 15 Januari 2012 |
KUALA LUMPUR, 15 Jan: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang akan membuat keputusan hari ini calon bagi menggantikan Datuk Dr Hasan Mohd Ali sebagai Exco Kerajaan Negeri Selangor.
Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkata, nama itu akan beliau sampaikan kepada Menteri Besar Selangor esok.
"Kita jangka, jika tidak ada sebarang masalah, mesyuarat Exco Selangor Rabu ini akan mendapat anggota baru dari PAS," kata Mustafa kepada Harakahdaily.
Semalam, Dewan Harian PAS Pusat bermesyuarat di Alor Setar. Antara topik yang dibincangkan adalah pengganti Hasan Ali.
Hasan dipecat daripada menjadi ahli PAS pada 8 Januari lepas oleh Mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat.
Beliau bagaimanapun berpeluang membuat rayuan terhadap keputusan itu kepada Majlis Syura Ulamak dalam tempoh 30 hari selepas dipecat.
Bagaimana pun, malam tadi Hasan membuat keputusan tidak akan merayu. Ia diumumkan beliau dalam satu majlis di Gombak.
Media hari ini menyiarkan keputusan Hasan itu.
Sebelum ini, beberapa pimpinan utama PAS meminta Hasan merayu termasuk Timbalan Mursyidul Am, Datuk Dr Haron Din.
Pada 13 Januari lepas, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim memaklumkan perlantikan exco kerajaan negeri yang baru bagi mengantikan Hasan akan diadakan pada 18 Januari nanti di Istana Kayangan, Shah Alam.
Beliau yang hadir pada sidang media selepas mengadap Tuanku Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah memberitahu pertemuan tersebut adalah bagi membincangkan status kedudukan Hasan yang tidak lagi menjadi ahli PAS.
"Pagi tadi saya telah mengadap Tuanku Sultan untuk memberi taklimat mengenai status Dr Hasan sebagai exco.
"Dalam pertemuan itu saya telah mempersembahkan kepada Tuanku Sultan bahawa saya telah menerima surat rasmi dari PAS yang memaklumkan bahawa Jawatankuasa Kerja PAS Pusat yang bersidang pada 8 Januari yang lalu telah membuat keputusan memecat Dr Hasan dari menjadi ahli PAS berkuatkuasa serta merta," jelasnya.
Memandangkan Hasan bukan lagi ahli PAS, maka beliau tidak lagi boleh menjadi ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) dan Khalid telah menasihati Tuanku Sultan untuk membatalkan perlantikan Hasan.
"Tuanku Sultan telah bersetuju dengan pendapat saya dan baginda akan menulis surat pembatalan perlantikan Dr Hasan sebagai ahli MMKN.
"Pada masa yang sama, Tuanku Sultan telah menurunkan kuasanya pada saya untuk melantik ahli baru MMKN, dalam pada itu baginda juga menasihatkan saya agar menjalankan tanggungjawab ini dengan bijaksana tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak," katanya.
Konvensyen Pakatan Rakyat lambang kebersamaan PR
http://msomelayu.blogspot.com/, | 15 Januari 2012 |
Sapaan para penenguk kepada saya di sepanjang berada di konvensyen itu memberi semangat dan kekuatan kepada saya untuk berbuat demikian, menyegerakan ulasan dalam blog.
Walhal mana mungkin untuk mengisi blog pada jam 4:20 pagi sebaik setiba dari Alor Star? Tubuh sudah lunyai dan kaki sudah kejam berdenyut. Sementelahan saya tidak dikejar dengan apa-apa tuntutan yang memaksa berbuat begitu kerana berblog semuanya percuma.
Walaupun blog saya tidak perlu dibayar dan boleh dihayati dengan percuma, dan boleh juga di hentam dan maki hamun secara percuma oleh sesetengah individu, tetapi rasa tanggungjawab tetap berdiri dalam hati. Saya tetap menjadikan blog Merah Tinta sebagai blog awal menyiarkan laporan.
Pertanyaan dan semangat yang diberikan oleh para penjenguk khasnya penjenguk tegar menjadi saya bersalah kalau tidak mengisi blog atau menyegerakan membuat pengeposan apa-apa peristiwa atau pun membuat apa-apa ulasan berhadap sesuatu isu. Saya dapat mersakan betapa penjenguk begitu mengharap kepada laporan dan ternanti-nanti pandangan dari saya.
Setiap kali mengingati itulah kadang kala saya mengorbankan masa untuk tidur dan juga makan. Adakanya di meja kecil saya tersedia dua tiga gelas tea atau kopi yang sudah kesejutan disiapkan isteri tanpa sempat menjamahnya kerana keasyikan menulis. Benarlah keasyikan menyebabkan kita kepada dunia lain diluar tumpuan kita. Kalau asyik mengejar perempuan maka akan lupa kepada perjuangan!
Realiti ini jarang diketahui dan rakan-rakan atau penjenguk hanya akan bertanya masa mana MSO menulis. Mereka hanya tanya itu tetapi tidak cuba memahami kesulitan dan masalahnya. Sebab itu ada kalanya saya jadi bengkeng kepada mereka yang menegur atau mempersoalkan typo yang berlaku dalam catatan saya.
Atas harapan dan penanti penjenguk itu maka saya bertekad dan akan berbuat seperti biasa. Malangnya kadang kala kita ini selalu bersikap egois, tenaga kurang tetapi nafsu kuat. Sebaik sampai rumah belum tanggal baju dan seluar saya terus up-loadkan gambar dari kamera ke dalam laptop sebagai proses awal untuk melapor atau mencatatkan mengenai konvensyen Pakatan Rakyat kali ke-3.
Selepas memerhati gambar yang diup-load tidak begitu menghairahkan tiba-tiba semangat menjadi kendur dan terpaksa membatalkan niat. Saya merasa bersalah kalau menghidang sesuatu yang tidak bermutu kepada penjenguk. Kalaulah ada kawan-kawan telah merakam gambar di konvensyen itu dan juga ceramah belah malamnya berhajat nak kongsi dengan saya bolehlah kirim kepada saya untuk digunakan.
Sesuatu hasil kerja yang kita lakukan akan menjadi pendorong kepada kita. Disebabkan gambar kurang menarik maka dorongan itu tidak ada, natijahnya laporan dan ulasan mengenai konvensyen itu tidak disegerakan. Mohon maaf kepada penyelek blog Merah Tinta yang kecewa kerana tidak dapat membaca catatan mengenai itu sesegeranya.
Berbalik kepada konvensyen di Alor Star semalam ia memberi beberapa keputusan yang dapat dirumuskan di sini. Apa yang saya nampak konvensyen berjalan dengan lancar dan mendapat sambutan bukan saja menggalkan tetapi penuh keghairahan. Mungkin dari segi angka kehadirannya tidak begitu memberangsangkan, sekitar 3,000 itulah sebab ada media kroni dan PB melaporkan ia hambar dan tawar saja.
Kalau orang hanya melalui di hadapan stadium tertutup itu tidak akan dapat membilang angkanya yang sebenar atau merasa gelolak jiwa peserta yang hangat bertepok tangan. Dari luar ia tidak nampak berapa jumlah sebenarnya. Tetapi mengenai konvensyen itu bukan jumlah yang penting, tetapi yang mustahaknya konvensyen itu berjaya memberi satu resolusi terhadap masalah negara dan rakyat pada masa.
Kalau hendak melihat atau ukur berjaya atau tidak konvensyen itu dari segi jumlah kehadiran ialah pada ceramah perdana di sebelah malamnya -- saya akan ulas dan memberi pandangan saya secara berasingan selepas ini.
Konvensyen itu adalah majlis rasmi di mana pesertanya dijemput. Bukan semua orang boleh menghadirinya. Penyertaannya terbatas. Sebab itu peserta diminta mendaftarkan diri. Konvensyen itu bolehlah dianggap forum untuk membincang kesemua masalah rakyat untuk dicerkainkan dan diuruskan oleh kerajaan Pakatan Rakyat kelak.
Nilai atau pun keistimewaan lain di sebalik konvensyen itu komponen Pakatan Rakyat, Pas, PKR dan DAP duduk dalam satu majlis untuk memdengar ritihan, kehendak dan harapan rakyat dari semua aspek kehidupan. Konvensyen itu saya ruang mendapat input dan memberi input dari pemimpin kepada rakyat dan sebaliknya.
Dalam konvensyen ini parti-parti itu tidak bercakap hanya dalam lingkungan mereka saja, soal-soal kepentingan kaum, agama dan budaya tetapi membuka ruang untuk kepentingan semua sesuai dengan nilai kesejagatan hidup dan idealisme jihad Pakatan. Majlis seperti ini adalah memberi keyakinan kepada umum bahawa ketiga parti yang berbeza ideologi dan berbeza pendekatan sebelum ini sudah boleh duduk sekali dan sama-sama mengunyah masalah rakyat secara terbuka, telus dan beterus terang -- demi rakyat.
Sebenarnya persepakatan atau kejayaan Pakatan Rakyat mengadakan konvensyen itu sesuatu yang digerumi oleh UBN. Kalau sebelum ini mereka (UBN) mencanangkan Pakatan Rakyat sebagai kahwin mutaah, pakatan yang tidak terikat, gabung bersifat sementara atau pelbagai anologi buruk lagi namun dengan terlaksanakan konvensyen berkenaan menunjukkan ketiga parti itu mempunyai satu komitmen dan mereka dapat membuang sifat mementingkan diri sendiri.
Yang menarik pada setiap konvensyen kesemua pemimpin dan peserta yang terdiri dari tiga fraksi (Islami, Sosial, Demokrat) akan melafazkan ikrar, berjanji sesungguh hati dan semurni jiwa untuk bekerjasama demi rakyat. Ikrar ini saya sifatkan sebagai satu tali besar yang memberkaskan mereka (PR) dalam satu ikatan dibuat semata-mata demi rakyat dan negara. Ia lebih penting lagi apabila ikrar itu diterjemahkan dalam gerak kerja mereka dan menjadi bukti ia diterima rakyat apabila satu demi satu meruntuhkan kerajaan negeri pimpinan UBN.
Apa yang termasuk dalam ikrar itu dan ini saya kira adalah intipati besar bahawa Pakatan Rakyat berjanji dan berusaha untuk membina Malaysia Baru. Tampaknya semua para pemimpin, ahli dan penyokong PR bersetuju untuk meruntuh Malaysia lama ciptaan UBN dan membina Malaysia Baru yang lebih dituntut oleh rakyat.
Ciri-ciri Malaysia baru seperti mana disebut dalam ikrar itu ialah membina negara yang adil, demokratik serta menjujung beberapa prinsip asas yang dipersetujui bersama antaranya akan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan dan Dasar-Dasar Bersama Pakatan Rakyat, menumpukan sepnuhnya usaha dalam meningkatkan mutu perkhidmatan kepada rakyat.
Apa tercermin dalam ikrar itu Malaysia sebuah negara baru yang mengutamakan prinsip keadilan sosial, demokrarik dan berkebajikan.
Tidak dapat tidak dalam pemerhatian saya konvensyen itu ada kecatatan dan kekurangan tetapi soal titik bengkit itu tidaklah mengagalkan tujuan konvensyen itu diadakan. Ia boleh diperkemaskan di masakan datang biarlah bersesuaian dengan proses kematangannya.
Sekalung tahniah dan syabas diucapakan kepada Pengarah Konveysen Mahfuz Omar nampaknya beliau berjaya memikul tanggungjawab itu dan sekaligus menunjukkan kemampuannya untuk membantu atau memangku tugas itu yang seharusnya dipikul oleh MB Kedah Azizan Razak.
Bersihkan Malaysia
| 15 Januari 2012 |
Mengingati semula apa yang saya tegaskan dalam rakaman pengharapan tersebut, saya ulangi: “Perpaduan melalui Pakatan Rakyat telah membuka ruang bagi PAS menyampaikan kebaikan Islam kepada pemimpin dan ahli parti Pakatan Rakyat yang bukan Islam. Malah, Umno dilihat jelas mengkhianati perjuangan Islam apabila tidak berubah-ubah tindakan memfitnah PAS, misalnya menuduh PAS menjadi tunggangan DAP dan membuang matlamat negara Islam.”
Atas sebab tersebut, Umno tidak layak menjadi rakan PAS dan jauh sama sekali untuk dijemput menjadi rakan dalam Pakatan Rakyat.
Pilihan Raya Harmoni
Saya kekal dengan keyakinan bahawa kerjasama politik Pakatan Rakyat mempunyai peluang cerah dalam pilihan raya umum ke-13 nanti. Meskipun di sebalik proses pilihan raya yang berjalan sekarang nampaknya paling tidak adil dan penuh dengan pelbagai spekulasi yang mendera dan menekan PAS dan rakan-rakan Pakatan Rakyat.
Justeru, kenangan Bersih 2.0 pada 9 Julai 2011 lalu perlu dipersegarkan, meskipun pihak Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib telah menggunakan taktik melengah-lengah menerusi pengisytiharan Jawatankuasa Terpilih Khas Parlimen ke arah penambahbaikan pilihan raya. Ia suatu usaha yang patut diragui keikhlasannya.
Ia tidak lebih daripada taktik mengalih perhatian umum supaya rakyat tidak menyerang Suruhanjaya Pilihan Raya dengan proses pilihan raya yang diamalkan selama ini. Apa yang jelas, ia suatu taktik supaya rakyat melupai lapan perkara tuntutan Bersih 2.0!
Maka, sukacita saya rakamkan balik apa yang pernah saya nyatakan sebelum ini iaitu, “tidak ada maknanya pilihan raya diadakan tanpa mengambil kira usaha-usaha pembaharuan pilihan raya, malah mengkebelakangkan lapan tuntutan yang dibangkitkan rakyat…. pilihan raya bersih hanya akan terjelma melalui kertas undi. Maka kalau pilihan raya diadakan dalam keadaan undang-undang dan peraturan yang ada, ia masih menghasilkan pilihan raya yang kotor.”
Bersih 3.0
Atas prinsip dan pemahamaan tersebut, saya berpendapat sikap Kerajaan Barisan Nasional pimpinan Mohd Najib sekarang ini perlu terus diasak dan dipastikan agar penambahbaikan proses pilihan raya dibuat dalam pilihan raya ke-13 nanti. Ayuh, kita bangkit menggerakkan Bersih 3.0 demi memenuhi pilihan raya yang adil, telus dan bersih.
Bagi PAS, sampai masanya semua bahagian parti dapat menggarap dan meningkatkan kerjasama bersama Pakatan Rakyat. Kesempatan konvensyen ke-3 ini harus dimanfaatkan semoga hasilnya nanti, agenda Bersih 3.0 akan berjaya.
Ia suatu kerjasama yang pasti memartabatkan lagi Pakatan Rakyat selepas 901–– keadilan untuk Datuk Seri Anwar. Harapnya ia selari dengan firman Allah Subhanahu wa Taala:
Maksudnya, “Dan sesungguhnya orang yang bertindak membela diri setelah ia dizalimi, maka mereka yang demikian keadaannya, tidak ada sebarang jalan hendak menyalahkan mereka. Sesungguhnya jalan (untuk menyalahkan) hanyalah terhadap orang-orang yang melakukan kezaliman kepada manusia dan bermaharajalela di muka bumi dengan tiada sebarang alasan yang benar. Mereka itulah orang-orang yang beroleh azab seksa yang tidak berperi sakitnya.”
[Surah as-Syura, ayat 41-42]
Semoga kerjasama politik Pakatan Rakyat ini benar-benar memenuhi prinsip tahaluf-siasi dan merupakan kebajikan yang mendapat keredhaan Allah Subhanahu wa taala. Kejayaan Pakatan Rakyat, tertegaknya keadilan di puncak Putrajaya.
Tuan Guru Dato’ Bentara Setia Haji Nik Abdul Aziz Bin Nik Mat,
Al-Mursyidul Am PAS,
merangkap Menteri Besar Kelantan.
20 Safar 1433 bersamaan 14 Januari 2012.
Alor Setar, Kedah Darulaman.
January 14, 2012
ALOR SETAR - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mendakwa ada wakil daripada Umno pernah berjumpa dengannya selepas Pilihan Raya Umum ke-12 empat tahun lalu bagi mengadakan perundingan menyertai Barisan Nasional (BN).
Pada pilihan raya umum 2008, lima kerajaan negeri dikuasai oleh pembangkang yang kemudiannya menubuhkan perikatan Pakatan Rakyat secara formal.
Malah, ekoran keputusan itu wujud usaha untuk mewujudkan kerjasama politik antara Pas dan Umno, dalam usaha membentuk kerajaan perpaduan.
Mereka ini datang tanpa malu, dan mengaku wakil pemimpin tertentu, ada juga mendakwa mereka tidak mewakili mana-mana individu," kata beliau pada sesi penggulungan Konvensyen PR Ketiga di sini, hari ini.
Beliau yang secara konsisten menentang usaha ke arah kerajaan perpaduan menegaskan: "Saya tidak akan membiarkan Pas dikhianati."
Beliau yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, Pas komited bersama dengan DAP dan PKR sehingga PR mendapat mandat menjadi kerajaan.
Katanya, beliau tidak mahu perkara yang sama berlaku pada tahun 1977 apabila dikhianati lalu bertindak keluar daripada kerajaan campuran Umno dan BN ketika itu.
"Ketika mereka mengajak semula sertai Umno, saya berkata cis. Saya tahu anda semua siapa. Tak perlu untuk menyatakannya.
"Saya yakin penggabungan yang ditawarkan itu pasti mereka mahukan 'pulangan', jika tidak kenapa ia berlaku," katanya. Nik Abdul Aziz berkata, dalam politik pelbagai ragam akan berlaku.
Oleh itu, katanya, terpulang kepada indivdu terbabit untuk menyuarakannya.
Tambah beliau, jangan mudah terpengaruh dengan apa jua tawaran kerana "kita tidak akan dapat menjangka apa yang bakal berlaku."
January 15, 2012
SHAH ALAM - Bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali membayangkan beliau tidak akan mengemukakan rayuan berhubung pemecatannya biarpun ada ruang untuk merayu sehingga 7 Februari depan.
Beliau diberi tempoh 30 hari untuk mengemukakan rayuan.
Hasan berkata, beliau tidak kesal dengan pendirian tersebut selepas merasakan perjuangan di dalam Pas dikhianati khususnya oleh sekumpulan ‘parasit’ yang lebih rela menghargai dan meraikan perjuangan orang lain.
“Saya tak boleh, jiwa saya tak boleh. Saya tidak nampak kenapa harus kekal dalam parti,” katanya pada Program Bicara Memurnikan Akidah Ummah, anjuran Sekretariat Selamatkan Akidah (Himpun) di Taman Bolton, Kuala Lumpur.
Program dihadiri lebih 100 peserta turut menampilkan Dr Azhar Yaakob dan Ustaz Farhan Abdullah daripada Sekretariat Himpun sebagai ahli panel.
Pada sesi dialog itu, Hasan meluahkan kekecewaan apabila perjuangannya mempertahankan akidah umat Islam di Selangor ditentang.
“Saya tidak boleh melakukannya ketika dalam parti, kerana rakan dalam parti dan kumpulan ‘parasit’ ini tidak suka isu arak dan murtad di Selangor diperjuangkan kerana hendak meraikan rakan lain yang bersekongkol dalam parti.
“Saya sanggup digugur dalam Exco dan meninggalkan segala keistimewaan. Walaupun saya cukup selesa dengan kedudukan sebagai Exco, saya tinggalkan demi menyelamatkan diri, anak-anak, keluarga dan umat Islam,” katanya.
Hasan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gombak Setia berkata, penentangan terhadap perjuangannya terbukti apabila beliau dikritik oleh pemimpin Pas, gara-gara memberi sokongan penuh kepada Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) berhubung pemeriksaan gereja dahulu.
“Saya tidak berseorangan dalam perkara ini, dalam tempoh terdekat akan terdapat pergerakan besar-besaran memperjuangkan akidah umat Islam dalam negara,” katanya.
Hasan dipecat oleh Pas Ahad lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan