Sabtu, 28 Januari 2012

HASAN OH HASAN...KESIAN OH KESIAN....PHD OH PHD...

PAS: ‘Lupakan Hasan Ali, fokus PRU-13’

January 27, 2012
KUALA LUMPUR, 27 Jan — PAS meminta pemimpin Pakatan Rakyat agar "melupakan" Datuk Dr Hasan Ali dan memberikan tumpuan kepada persiapan pilihan raya umum ke-13 yang bakal diadakan tidak lama lagi.
Ketua Penerangan PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menegaskan Hasan, bekas Pesuruhjaya PAS Selangor sudah tiada kaitan dengan parti Islam itu dan segala tindakan pemimpin kontroversi itu tidak akan dipedulikan.
"Bagi kita beliau (Hasan) bukan ahli PAS, jadi ikut beliau mahu lakukan apa...beliau boleh adakan siri jelajah, ia tidak kaitan dengan kita.
"Lebih baik tumpu kepada perkara yang lebih besar iaitu pilihan raya ke-13 dan juga isu-isu yang melibatkan kepentingan awam bukan isu Hasan Ali...kita juga tidak akan beri komen tentang beliau," katanya kepada The Malaysian Insider.
Hasan, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gombak Setia dipecat daripada PAS awal bulan ini kerana mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang bertentangan dengan dasar parti.
Sehari selepas dipecat Hasan mendakwa pemecatannya berpunca daripada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Malah Hasan mengambil inisiatif untuk mengadakan siri jelajah untuk memberi penjelasan tentang pemecatannya dan mendedahkan "parasit" di dalam parti Islam itu.
Sejak itu Hasan dikritik pemimpin Pakatan Rakyat, terbaru Timbalan Presiden PKR Azmin Ali menegaskan, disebalik dakwaan terdapatnya "parasit" di dalam parti perikatan oleh Hasan, Azmin menegaskan Hasan adalah parasit dan merupakan musuh dalam selimut yang sebenar dalam gabungan tiga parti komponen itu.
Tambah Tuan Ibrahim, walaupun dihimpit dengan isu pemecatan Hasan namun segala persiapan pilihan raya tetap berjalan.
"Kita fokus kepada pilihan raya kerana ia semakin hampir dan ia adalah medan sebenar yang kita harus bersiap sedia untuk menghadapinya," katanya.
Jelas beliau, bagi PAS gerak kerja pilihan raya sudah bermula dan bersedia menghadapinya pada bila-bila masa.
"Saya lihat semua negeri sudah berada di tahap maksima, gerak kerja juga sudah mula bergerak," katanya.
'Hasan Ali sepatutnya 'tempur' Kelab Taat Suami'
Dewan Muslimat PAS Selangor menyindir bekas exco hal ehwal Islam Selangor Datuk Dr Hasan Ali supaya 'bertempur' dengan Kelab Taat Suami (KTS), dalam usahanya mempertahankan akidah.

"Saya rasa (ia) medan Dr Hasan Ali sepatutnya bertempur dengan Kelab Taat Suami, bukannya dia hentam PAS sebab dari sudut ini, kita tengok dari segi penyelewangan akidah itu.

"(Beliau) nak memperjuangkan akidah," sindir ketuanya Wan Hasrina Wan Hassan dalam sidang media di Shah Alam.
Wan Hasrina berkata demikian bagi menjawab soalan mengenai pendirian PAS negeri berhubung serbuan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) terhadap Kelab Taat Suami yang menganjurkan forum Rasullullah Tokoh Seks Suci Islam baru-baru ini.
Dilaporkan jabatan itu menyerbu sebuah banglo mewah di Ipoh di mana kelab tersebut menganjurkan forum kempen itu menyebabkan lima puluh hadirin dari KTS dan Global Ikhwan Sdn Bhd dilaporkan tergamam dengan serbuan 10 anggota penguatkuasa JAIPk.

Presiden KTS, Fauziah Ariffin, bagaimanapun dilapor menegaskan kempen itu tidak salah kerana menurutnya, setiap aspek kehidupan Nabi Muhammad SAW perlu dicontohi semua pasangan Islam.

Turut hadir dalam sidang media PAS Selangor hari ini ialah barisan kepimpinan PAS negeri antaranya pesuruhjaya Dr Abd Rani Osman, timbalannya Khalid Samad, setiausaha Mohd Khairuddin Othman, ketua penerangan Saari Sungib dan ketua pemuda Hasbullah Mohd Ridzwan.
Sebelum itu, pesuruhjaya PAS negeri Dr Abd Rani Osman berkata pihaknya tidak bersetuju dengan tindakan kelab berkenaan menjadikan Rasulullah SAW sebagai tokoh seks.

"Adakah diletakkan imej Rasulullah SAW itu, imej yang bersih, diletakkan sebagai tokoh seks. Ianya mengarut," katanya yang juga ADUN Meru.

Beliau juga berharap Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) memainkan peranan menangani isu ini dengan, jika ianya berlangsung di negeri itu.
Sementara itu, Dr Abd Rani bersetuju dengan kenyataan setiausaha menteri besar Selangor Faekah Hussin yang mempertikaikan kenyataan Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) Datuk Ibrahim Ali berhubung perlantikan exco baru kerajaan negeri itu.

Dr Abd Rani berkata kenyataan Ibrahim itu seolah-olah mempertikaikan perkenan sultan berhubung rombakan portfolio exco kerajaan negeri itu.

Bagaimanapun, Dr Abd Rani enggan mengulas cadangan Faekah supaya Ibrahim dilarang memasuki negeri itu.
Hasan tidak perlu masuk Umno
Mohd Fazli Zainul Abidin
28 Januari 2012
Hasan tidak perlu masuk Umno
SHAH ALAM - Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi membayangkan tidak ada keperluan bekas Exco Kerajaan Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali bersama parti itu sekiranya mahu terus aktif berpolitik.

Katanya, adalah lebih baik Hasan berjuang dengan caranya sendiri kerana beliau percaya tokoh motivasi itu mempunyai kekuatan sendiri."Kekal lah dalam kepompong sekarang, lebih baik berada di luar Umno dan juga luar Pas.

Beliau boleh membawa agenda yang beliau rasakan sesuai dengannya.

"Hasan ada kekuatannya, jika hendak berterusan berpolitik bertandinglah dengan kerusi bebas," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui selepas melawat Karnival Karangkraf 2012, semalam.

Hasan sebelum ini dipecat daripada Pas berikutan kenyataannya berterusan mengecam parti dan Pakatan Rakyat (PR) dimana keputusan dilakukan selepas Pas Pusat mengadakan musyawarah.

Dalam satu kenyataan, Pas menjelaskan, pemecatan itu dibuat berdasarkan Fasal 82(9) dan setelah mempertimbangkan segala pandangan yang diberikan oleh ahli-ahli jawatankuasa Pas Pusat.

Keputusan tersebut dibuat berdasarkan kepada tindakan-tindakan Hasan yang menyalahi dan merugikan kepentingan parti sebagaimana yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Pas.

Menurut Ahmad Zahid, beliau sudah ada jenama sendiri yang mampu berjuang dengan namanya itu.

"Beliau boleh memberikan pendapat yang lebih profesional dengan berada di luar Pas," katanya.
Hasan Ali kini aktif sebagai penceramah Sekretariat Perhimpunan Sejuta Umat (Himpun) dalam usaha membendung orang Islam daripada terpesong akidah.
Pas Selangor: ‘Biar Hasan Ali serang setiap hari’
RISWANDI RAZAK
27 Januari 2012
Hassan Ali
SHAH ALAM - Sokongan akar umbi terhadap Pas Selangor tidak terjejas sama sekali walaupun parti itu telah memutuskan untuk memecat bekas pesuruhjayanya Datuk Dr Hasan Ali berkuat kuasa 8 Januari lalu.
Sebaliknya parti Islam itu berharap Hasan akan mengadakan program penerangannya setiap hari agar rakyat boleh membuat penilaian sendiri terhadap wakil rakyat tersebut.
Setiausaha Pas Selangor, Khairuddin Othman berkata, berdasarkan tinjauan di keseluruhan bahagian Pas di negeri itu, pihaknya mendapati ahli-ahli tidak terpengaruh dengan isu terbabit.
Menurutnya, ahli-ahli Pas memahami faktor pemecatan Hasan dan kini kembali menumpukan fokus kepada persiapan menghadapi pilihan raya.

"Ekoran pemecatan terbabit, kita telah menerima laporan dari 22 kawasan bahawa kita tidak terjejas dengan pemecatan Dr Hasan Ali ini," katanya dalam sidang media Pas Selangor di sini, hari ini.

Pesuruhjaya Pas Selangor, Dr Rani Osman pula menyifatkan program jelajah ke seluruh negara yang dianjurkan oleh Hasan tidak memberi kesan kepada parti itu.
Menurutnya, ahli Pas yang hadir dalam program tersebut hanya segelintir dan datang kerana mahu mendengar sendiri hujah yang dari Hasan.

Sebaliknya, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Meru mencadangkan agar program seumpama itu dibuat setiap hari bagi memudahkan rakyat menilai sendiri niat sebenar Hasan.

"Dalam program yang beliau adakan di tempat saya, warga tempatan yang sekitar 100 orang, selebihnya ahli-ahli Umno," katanya.

Sementara itu, Pas Selangor turut menyifatkan permasalahan dengan Hasan ini bermula sejak beliau kehilangan jawatan Pesuruhjaya Pas Negeri dan kedudukan dalam parti itu.

Ketua Pemuda Pas Negeri, Hasbullah Mohd Ridzwan berkata, rakyat diharap tidak tertipu dengan kenyataan Hasan, yang menerima galakan dan sokongan daripada pihak tertentu atas sebab kepentingan politik mereka.

Menurutnya, Pas Selangor menyokong penuh keputusan kepimpinan pusat memecat beliau atas sebab tindak tanduk dan kenyataan Hasan sejak kebelakangan ini.

"Kemarahan beliau terhadap Pas semakin melonjak apabila diketahui bahawa beliau tidak dicalonkan oleh Pas Gombak Setia (untuk bertanding) dalam Pilihan Raya Umum ke-13.

"Keadaan ini telah menyebabkan beliau sanggup menidakkan segala yang pernah beliau iyakan sebelum ini," katanya.

2 ulasan:

Kongsi Ilmu Tajwid Bersama Ustazah Mimie berkata...

tak nak komen apa2..cuma nk minta tuan follow blog saya ajer..ustazah mimie..tq

fendi isa berkata...

K.TK USTAZAH..INSYAALLAH