Khamis, 12 Januari 2012

SEBAGAI BEKAS PENCERAMAH TERSOHOR JUGA DIHORMATI...LETAK JAWATAN PALING AULA..AGAR SELAMAT DUNIA AKHIRAT..DUNIA SEMENTARA AJE

Pecat Hasan: PAS maklum kepada Kerajaan Selangor

Harakahdaily,

KUALA LUMPUR,11 Jan: PAS telah menghantar surat rasmi kepada Kerajaan Negeri Selangor bagi memaklumkan bahawa Exco Kerajaan Negeri, Datuk Dr Hasan Mohd Ali telah dipecat daripada menjadi ahli PAS.

Pemakluman itu dibuat melalui satu surat yang dihantar kepada pejabat Menteri Besar Selangor jam 2.00 petang tadi.

Surat yang ditandatangani oleh Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali itu disampaikan melalui faksimili.

Surat itu disahkan penerimaannya oleh Setiausaha Politik Menteri Besar, Faekah Husein.

(Gambar: Hasan terus menyerang PAS dalam ucapan di rumahnya sebagaimana dipetik dari siaran tv Astro Awani)

Hasan Ali telah dipecat sebagai ahli PAS melalui satu mesyuarat Jawatan Kuasa PAS Pusat pada 8 Januari lepas.

Bagaimanapun beliau diberikan peluang untuk membuat rayuan kepada Majlis Syura Ulama PAS dalam tempoh 30 hari bermula pada tarikh keputusan pemecatan.

Menurut maklumat yang Harakahdaily terima, Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang akan berbincang dengan Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim bagi membincangkan calon pengganti Hasan sebagai exco kerajaan negeri Selangor.

Sebelum ini, Khalid telah memaklumkan, pemecatan Hasan secara dengan sendirinya mengenepikan beliau dari exco kerajaan negeri kerana dia mewakili kouta PAS dalam barisan exco itu.

Semalam Hasan telah tidak menyertai mesyuarat mingguan exco kerajaan negeri atas alasan bercuti. Perkara ini disahkan oleh exco kerajaan negeri, Ronie Liu dalam sidang media yang diadakan di pejabat kerajaan negeri Selangor semalam.

Terus menangi hati rakyat untuk ke Putrajaya

Harakahdaily,

KUALA LUMPUR, 12 Jan: Rakyat tidak akan memberi peluang kepada Barisan Nasional dan Umno untuk memerintah pada pilihan raya umum akan datang dengan pelbagai isu yang membebani parti itu, kata Pengerusi Jawatankuasa Disiplin, Datuk Dr Tan Kee Kwong.

Ketika merasmikan bilik gerakan JDM Sungai Mulia bagi Parlimen Wangsa Maju, malam tadi, Tan menegaskan keputusan mahkamah memutuskan Ketua Umum PKR, datuk Seri Anwar Ibrahim tidak bersalah juga akan menguatkan lagi sokongan rakyat terhadap Pakatan Rakyat.

"Banyak isu yang dihadapi Barisan Nasional yang rakyat tidak mampu terima. Malahan baru-baru ini keputusan mahkamah yang mendapati Anwar tidak bersalah juga akan menambah sokongan rakyat terhadap Pakatan Rakyat," katanya yang juga Penyelaras PKR Wangsa Maju di hadapan penyokong Pakatan Rakyat yang hadir.

Tambah beliau, anggota PKR dan Pakatan Rakyat harus bekerja dengan kuat untuk memenangi hati rakyat supaya sokongan itu berterusan hingga pilihan raya.

"Kita harus bekerja dengan kuat, kita harus menyampaikan mesej kepada rakyat, dan terus memenangi hati rakyat untuk kita tawan Putrajaya pada pilihan raya akan datang," kata bekas timbalan menteri itu lagi.

Ustaz Hadi mahu jadi nelayan semula

Subky Latif,

SAYA terpegun bercampur pilu membaca kenyataan Persiden PAS, Ustaz Abdul Hadi Awang memilih untuk menjadi nelayan semula setelah adanya Perdana Menteri dan kerajaan yang hendak menjalankan pemerintahan bagai yang dikehendaki oleh Islam.

Ini jawapannya kepada pertanyaan tentang calon Perdana Menteri Pakatan Rakyat kiranya calon yang disediakan iaitu Anwar Ibrahim berhalangan disebabkan dipenjara dan sebagainya.

Ada yang menyebut namanya sebagai seorang calon. Memang dalam politik di zaman ini, rakyat diberi kuasa menyokong menentukan kerajaan melalui pilihan raya, maka mereka mahu tahu calon Perdana Menteri.

Momentum atau persaingan hebat bagi menentukan penguasa Putrajaya dalam PRU 13 ini buat pertama kali, disebabkan keupayaan pembangkang menamakan Anwar sebagai calon Perdana Menteri sejak Pakatan Rakyat terjelma.

Hakikat menentukan keadaan jadi begitu. Tetapi suasana juga menuntut akan calon alternatif jika berlaku sesuatu.

Ustaz Hadi sebagai seorang ulama haraki tidak pernah menolak tanggungjawab. Apabila beliau ditanya soalan itu, maka beliau memberikan satu jawapan politik dan dakwah mengikut semangat yang selalu diberi oleh ulama besar silam.

Pertama tidak menjawabnya secara tepat sebelum keperluan itu tiba tetapi adalah tanggungjawab ulama tidak menolak tanggungjawab apabila amanah itu diletakkan kepadanya.

Saidina Abu Bakar cepat-cepat mencalon Umar al-Khatab sebagai khalifah menjalan tugas pimpinan sebaik Nabi SAW wafat, kerana merasakan dirinya bukan calon terbaik. Saiduna Umar r.a. pula cepat-cepat menolak selagi Saidina Abu Bakar ada.

Itu akhlak yang berkelayakan besar bagi memimpin umah. Pimpinan negara atau kerajaan adalah penting, tetapi pemimpin Islam yang berwibawa sentiasa melihat siapa berupaya dan berkelayakan selain daripadanya, kerana yang utama bagi Islam ialah tuntutan dan hendak Islam dapat dipenuhi dan ada orang lain yang dapat memenuhinya, kalau pun tidak lebih baik, sekurang-kurang sama baik dengannya.

Maka pilihan mereka ialah membuat pekerjaan sendiri bagi menyara diri seperti beternak, bertani, menangkap ikan. Abu Zar misalnya menolak semua jawatan, memilih menjadi tukang anyam bakul bagi menyara hidupnya.

Ustaz Hadi adalah seorang tokoh besar ulama dan politik di peringkat nansional dan antarabangsa, pendakwah gigih, pernah menjadi Menteri Besar, berkelayakan untuk menjadi pentadbir. Semuanya bersetuju beliau diberi peranan.

Jika boleh diberi kebebasan untuk memilih kehidupan yang paling dekat di hatinya iaitu sebagai orang biasa yang kembali ke laut sebagai nelayan. Memang beliau dilahirkan dalam keluarga nelayan, besar sebagai keluarga nelayan. Walau pun sebok dengan hidup politik dan dakwah, tetapi ke laut dan menjala ikan tetapi menjadi hobinya dan ada kandang kambingnya sebagai tempat bersantai setelah penat kempen dan mengajar.

Jika tugas politiknya dapat dikurangkan, atau kewajipan itu dapat dipangku orang lain, tentu beliau ada masa yang selesa untuk mencandak sotong dan turun ke laut dalam menangkap ikan untuk keperluannya dan orang-orang sekelilingnya.

Mulanya saya tidak pernah memikirkan Ustaz Hadi patut lebih ke laut dari mengendalikan pemerintahan apabila Allah gilirkan bagi PAS untuk sama-sama memerintah. Keutamaan baginya di tempat pemerintahan ialah bagi memastikan tuntutan Islam itu berjalan sebaik-baiknya. Jika ada yang boleh mengendalikannya, maka pilihannya untuk ke laut seperti datuk-datuknya dulu dan saudara maranya.

Inilah pilihan yang dibuat oleh Rashied Ghanusi apabila Parti An-Nahzah memenang pilihan raya Tunisia baru-baru ini dan ini kaedah yang digunakan oleh Ikhwanul Muslimin yang menyertai pilihan raya Mesir sekarang. Pimpinan utama Ikhwan tidak menyertai pilihan raya pun, tetapi mereka memberi amanah kepada orang-orang yang dipercayai dapat memenuhi perjuangannya.

Kita boleh mengambil sikap terbuka boleh mengambil laluan yang diambil oleh rakan-rakan di Tunisia dan Mesir dan boleh menasihatkan Ustaz Hadi supaya menangguhkan dulu keinginannya menjadi nelayan penuh masa.

Mungkin buat masa terdekat ini ke laut itu jadi hobi seperti orang turun ke padang golf dan bermain tenis.

Zakat: Jamil Khir mesti letak jawatan

Harakahdaily,

KUALA LUMPUR, 12 Jan: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Datuk Che Mat Che Ali tidak boleh lari dari tanggungjawab setelah berdepan dengan dakwaan pecah amanah dan menyalahgunakan kuasa.

“Paling ringan, tanggungjawab yang mesti diambil oleh mereka ialah meletakkan jawatan,” kata Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Nasrudin Hassan (gambar).

Menurutnya, perletakan jawatan itu kelak akan memudahkan proses siasatan diambil apabila dakwaan rasmi telah dikemukakan ke atas salah laku mereka.”

“Menggunakan RM 63,650 daripada wang zakat untuk membiayai kos guaman mereka mengadapi kes permohonan qazaf Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah suatu perbuatan tercela justeru ia melibatkan wang milik asnaf yang sewajibnya diagihkan,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Beliau turut merujuk kepada laporan Ketua Audit Negara, antaranya:

a) 11 Januari 2010 MAIWP menerima bil berjumlah RM63,000 daripada peguam Tetuan Zainul Rijal Talha dan Amir kerana mewakili ketiga-tiga mereka di atas bagi kes permohonan qazaf Anwar.

b) Datuk Che Mat Che Ali, Setiausaha Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan [MAIWP] telah meluluskan bayaran RM31,500 daripada peruntukan Am pada 28 Januari 2010. Geran kerajaan masih lagi belum diterima, bayaran dibuat menggunakan peruntukan zakat pada 9 Februari 2010.

c) MAIWP membuat pembayaran baki kos guaman RM32,150 pada 29 April 2010 menggunakan peruntukan zakat.

“Timbul beberapa persoalan besar yang jelas bertentangan dengan nilai integriti dan tanggungjawab seorang pemegang amanah,” ujarnya.

Menururtnya, mereka tiada hak dan kelayakan menggunakan wang zakat justeru mereka bukanlah asnaf yang berhak menerimanya .

Baginya, berlaku penyalahgunaan kuasa apabila yang meluluskan sejumlah wang zakat tersebut atas nama Setiausaha MAIWP kepada Pengarah Jawi untuk pembiayaan kos guamannya, sedang pemegang kedua-dua jawatan itu adalah orang yang sama iaitu Datuk Che Mat Che Ali.

Katanya, kelihatan Jamil Khir cuba untuk melarikan diri dari isu itu apabila menuding kononnya ini adalah propaganda pembangkang sedangkan isu itu adalah jelas bagaimana beliau menggunakan wang zakat dan ternyata beliau tidak boleh menafikan kesohihan dakwaan tersebut.

“Lebih kesal apabila mufti turut diseret oleh beliau untuk mengeluarkan kenyataan mempertahankan kebathilan yang dilakukan oleh beliau selaku Menteri Agama iaitu orang yang bertanggungjawab terhadap amanah ummat Islam,” katanya lagi.

Justeru, tegasnya Mufti selayaknya mengeluarkan kenyataan untuk memelihara dan memihak kepada kebenaran bukan mencari akal untuk membebaskan salah laku mereka yang bertaraf menteri.

“Tugas utama Mufti ialah jaga agama bukan jaga menteri,” katanya.

Tiada ulasan: