Selasa, 31 Januari 2012

BABI DAN ANJING PERKARA SENSITIF BAGI UMAT ISLAM..JIJIK...ZINA..RASUAH..MENIPU..AMBIK HAK RAKYAT DLL JUGA PERBUATAN JIJIK...TAPI BUAT TAK KISAH...JANGAN BERIMAN PADA HARAM@NAJIS BABI DENGAN ANJING...HARAM LAIN BUAT TAK TAHU AJE...

Kepala babi: PAS desak polis siasat terperinci

Aziz Muda, 31 Jan 2012
KUALA LUMPUR, 31 Jan: PAS mendesak pihak polis mengambil tindakan segera dengan menjalankan siasatan terperinci berhubung penemuan kepala babi di pintu masuk Masjid Nurul Iman di Batu 18, Rawang, awal pagi ini.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar) berkata, tindakan tersebut diyakini dilakukan oleh pihak tidak bertanggungjawab dengan menggunakan sentimen agama bagi mencetuskan provokasi di kalangan rakyat negara ini.

Menurutnya, tindakan seperti itu tidak sepatutnya berlaku di negara ini kerana ia jelas boleh mengancam ketenteraman awam jika tidak ditangani dengan betul.

Katanya, sebelum ini beberapa kejadian seperti itu telah berlaku di negara ini dan setelah disiasat oleh pihak polis didapati pihak yang melakukannya bukannya dari kalangan bukan Islam.

"Contohnya dalam kejadian di Johor baru-baru ini. Setelah disiasat oleh pihak polis didapati pihak yang melakukannya adalah orang Melayu sendiri yang mengaku beragama Islam," katanya ketika dihubungi Harakahdaily, di sini, hari ini.

Media hari ini melaporkan satu kepala babi ditemui di pintu masuk Masjid Nurul Iman di Batu 18 Rawang, Selangor, pada jam lima pagi ini oleh ahli jawatankuasa masjid sebaik sahaja mereka membuka pintu pagar utama masjid itu.

Pihak polis dari Balai Polis Rawang yang terletak tidak jauh dari masjid itu yang dihubungi tiba di lokasi pada jam 7.30 pagi untuk menjalankan penyiasatan.

Mereka kemudiannya telah meninggalkan masjid itu setelah mengambil bahan bukti serta menyiasat di kawasan sekitar kira-kira dua jam, manakala kes itu pula akan disiasat oleh jabatan siasatan jenayah.

Adun Rawang, Gan Pei Nei dan Exco Kerajaan Selangor, Ronnie Liu turut berkunjung ke tempat kejadian setelah dimaklumkan tentang kejadian itu.

Mereka mengutuk tindakan itu dan menyifatkannya sebagai perbuatan provokatif yang cuba menyinggung sensitiviti agama serta bermotifkan politik memandangkan pilihan raya umum semakin hampir.

Gan turut yakin kejadian tersebut tidak berlaku secara spontan kerana Masjid Nurul Iman telah bertapak di kawasan itu sejak 48 tahun lalu.

Manakala Ronnie pula menjelaskan, Gan akan mewakili kerajaan negeri pada mesyuarat jawatankuasa masjid malam ini dan akan melaporkan kepada Menteri Besar mengenai kejadian itu untuk tindakan susulan.

Menurut Tuan Ibrahim, pihak polis amat perlu mempercepatkan siasatan mengenai kejadian itu dan membawa penjenayah ke muka pengadilan.

"Perbuatan seperti itu dan sebarang provokasi agama, keselamatan dan bangsa amat perlu dihentikan. Jadi pihak yang bertanggungjawab perlu dikenakan tindakan yang sewajarnya," tegasnya.

Beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang berharap agar kesemua pihak akan menghadapi kejadian itu dengan matang agar tidak terheret sama ke dalam kancah provokasi yang boleh memburukkan lagi keadaan.

"Jangan sekali-kali ada pihak yang mengapi-apikan lagi keadaan, sebaliknya hadapilah dengan matang," tegas beliau.

Suaram gesa henti tindas Orang Asal

Harakahdaily, 31 Jan 2012
KUALA LUMPUR, 31 Jan: Suaram mengutuk tindakan polis yang menangkap 13 orang aktivis dan seorang peguam hak asasi manusia, Siti Kasim apabila Orang Asli Temiar membuat bantahan untuk tidak membenarkan pembalak memasuki kampung mereka yang terletak di Gua Musang pada 28 Januari lalu.
“Sudah berkali-kali polis menjadi alat kepada syarikat besar atau kapitalis untuk menindas sesiapa yang ingin menghalang projek yang menguntungkan mereka dengan menangkap orang yang mempertahankan kampung halaman mereka,” kata penyelarasnya,  Yap Heng Lung.

Kejadian itu, katanya pernah berlaku di Kampung Rawang, Selangor, kampung DBI Buntung, Perak, Kampung Sungai Palas di Cameron Highlands dan penduduk anti Lynas di Kuantan, Pahang pada tahun lepas.

Jelasnya, artikel ke-9 dalam Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat telah menyatakan bahawa tidak ada sesiapa yang boleh ditangkap sewenang-wenangnya tanpa alasan munasabah.

Katanya, Suaram sebagai badan hak asasi manusia telah memantau banyak kes penindasan hak Orang Asal.

Paling ketara, ujarnya adalah tanah rizab mereka diambil alih akibat kerjasama antara syarikat besar dengan kerajaan negeri.

Menurutnya lagi, antara isu masalah tanah rizab orang asal dan peneroka bandar  adalah seperti proses pembalakan yang dijalankan di Ulu Baram, Apoh Tutoh dan Ulu Limbang di Sarawak pada tahun 1987  dan empangan Bakun pada tahun 1995.

Selain itu, katanya projek Teluk Danga di muara sungai Skudai, Johor yang menjejaskan kehidupan orang Seletar (1996), pembalakan di Keningau, Sabah (2000) dan pembinaan kilang kertas dan pulpa di Kalabakan,Tawau, Sabah (2000) dan projek empangan Sungai Selangor di Kuala Kubu Baru (2000).

Katanya lagi, deklarasi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) Dalam Hak Orang-orang Asal (2007), Artikel ke-10 telah menyatakan bahawa Orang Asal tidak boleh dipaksa pindah daripada tanah rizab mereka sekiranya tidak mendapat persetujuan daripada mereka.

Tambahnya, kerajaan negeri mempunyai tanggungjawab untuk memastikan hak-hak Orang Asal dijamin dan sentiasa dilindungi.

Justeru, ujarnya Suaram mendesak kerajaan negeri Kelantan untuk berunding dengan penduduk orang Temiar dan mengambil tindakan segera untuk menghalang syarikat pembalakan menjalankan proses pembalakan di kawasan tersebut.

Katanya, deklarasi PBB Dalam Hak-hak Orang Asal artikel ke-8 (2) telah menyatakan bahawa adalah tanggungjawab kerajaan untuk memelihara tanah rizab dan budaya serta etnik Orang Asal.

“Tambahan, kami mendesak supaya kerajaan mengambil tindakan untuk memastikan hak-hak orang asal dijamin termasuk hak berpendidikan, hak memiliki tanah rizab dan memiliki budaya dan adat resam sendiri dengan tidak membenarkan syarikat kapitalis merampas tanah mereka untuk mengaut keuntungan,” katanya lagi.

Sekali lagi, ujarnya pihak polis perlu berhenti untuk menjadi alat syarikat multinasional dengan menindas rakyat terutamanya masyarakat Orang Asal.

Hak kumpulan terpinggir mesti dilindungi

Harakahdaily, 31 Jan 2012
KUALA LUMPUR, 31 Jan: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) berpandangan tegas bahawa agensi-agensi penguatkuasa tidak sepatutnya menyalahgunakan kuasa dan, antara lain, harus menghormati hak kumpulan yang terpinggir terutamanya masyarakat Orang Asli dan Pribumi.

Pengerusi Suhakam, Tan Sri Hasmy Agam (gambar) berkata, rujukan itu dibuat berhubung dengan kejadian penahanan dan penangkapan 13 Orang Asli di Gua Musang, Kelantan oleh pihak polis pada 28 Januari lepas.

“Jelas bahawa suku kaum Temiar telah mengadakan bantahan secara aman terhadap aktiviti-aktiviti syarikat pembalakan yang telah menceroboh ke atas tanah mereka,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, malangnya lagi pihak polis telah didakwa menggunakan kekerasan dalam rombakan sekatan oleh masyarakat Orang Asli dan dalam proses tersebut telah menunjukkan sikap kurang sensitif, kurang mengambil berat dan kurang pemahaman tentang nasib rakyat yang terpinggir.

“Adalah juga difahamkan bahawa aktiviti pembalakan masih lagi diteruskan walaupun selepas jaminan diberikan oleh pihak berkuasa negeri untuk menyelesaikan ketidakpuasan suku kaum Temiar ini menjelang pertengahan bulan Januari, dengan itu telah mencetuskan bantahan suku kaum Temiar

Pihak polis dilaporkan telah merombak penghalang dan membakar struktur bersebelahan yang dibina oleh suku Temiar yang telah hanya menyatakan pendirian mereka dalam perjuangan untuk menuntut kembali hak mereka kepada tanah adat,” katanya lagi.

Beliau menambah, ahli keluarga dan rakan-rakan dilaporkan telah dihalang untuk mengiringi mereka ke pusat tahanan dan mereka juga telah dinafikan perwakilan peguam sebelum dibebaskan beberapa jam kemudian.

Justeru, ujarnya Suhakam menggesa kerajaan negeri untuk bertindak segera dalam menyelesaikan nasib masyarakat Orang Asli di Kelantan dan melindungi hak mereka kepada tanah nenek moyang dan hak kepada kehidupan.

Tambahnya, adalah juga digesa agar semua kerajaan negeri menghormati keputusan mahkamah yang telah memberi hak tanah kepada Orang Asli dan agar dapat mengadakan lebih banyak rundingan terbuka bersama masyarakat ini.

“Suruhanjaya kini sedang menjalankan Inkuiri Nasioinal buat pertama kalinya mengenai hak tanah masyarakat Orang Asli/Orang Asal yang bermatlamat untuk merangka syor-syor kepada Kerajaan Persekutuan dan Negeri untuk mengkaji semula perundangan domestik tanah dan dasar-dasar yang menerapkan pendekatan hak asasi dan untuk merangka strategi dan pelan tindakan dengan tujuan untuk melindungi dan mempromosi hak Orang Asli/Asal kepada tanah,” ujarnya.

NFC enggan terima memorandum Jingga 13

Harakahdaily, 31 Jan 2012
PETALING JAYA, 31 Jan: Jingga 13 hari ini mendakwa Pengerusi Eksekutif NFC Datuk Seri Dr. Salleh Ismail enggan menerima sebarang memorandum dari pihak mereka.

Menurut setiausahanya, Saifuddin Shafi Muhammad, mereka yang hadir di Pejabat NFC Sdn Bhd di pusat perniagaan mewah Solaris Mont Kiara hari ini mendakwa disambut seorang pegawai yang dikenali sebagai Khaidir Jamal.

Pegawai itu ujarnya, memberitahu bahawa Dr. Salleh enggan menerima memorandum yang dibawa mereka.

Memorandum yang mahu diserahkan itu antara lain mendesak NFC mendedahkan butiran perbelanjaan kad kredit atas nama individu yang dibayar oleh syarikat.

"Walaupun Sdr Fariz Musa selaku Ketua Koordinator menyatakan bahawa Jingga 13 mewakili kehendak rakyat untuk dapat penjelasan, namun pegawai itu bertegas untuk mengikuti arahan atasan dengan alasan NFC adalah 'entiti perniagaan'.

"Pegawai itu juga menyatakan tidak mahu menganggu tugas PDRM walaupun hakikatnya berkali-kali Wan Shahinur Izmir, Pengarah Eksekutif NFC tampil membuat kenyataan menafikan tuduhan yang juga dalam siasatan PDRM," katanya.

Sementara itu, beliau juga mempersoalkan kenapa Perkasa dan 11 NGO diberi keistimewaan dan dijemput khas untuk diberi penerangan oleh NFC seminggu lalu sedangkan mereka sebagai kumpulan yang melaporkan salah laku NFC kepada pihak SPRM dan PDRM tidak dilayan.

"Jingga 13 terus komited untuk terus membongkar penyelewengan melibatkan wang rakyat.

"Jingga 13 marah kerana isu ini seperti mahu diselindungkan dan perhatian rakyat dialih kepada isu-isu tempelan dan remeh," katanya.

Tiada ulasan: