Pinda Perlembagaan jika laksana hudud
4 Julai 2012
Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod
Ketua Kluster Governans, Perundangan dan Pengurusan Awam, Majlis Profesor Negara, Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod berkata, mengikut akta berkenaan yang dipandu Jadual 9 Perlembagaan Persekutuan, setiap negeri berkuasa untuk menggubal undang-undang berkaitan agama Islam dan penganutnya di negeri masing-masing.
Namun, bidang kuasa yang dibenarkan bagi undang-undang syariah adalah terhad kepada penganut Islam sahaja dan juga kesalahan yang melibatkan hukum syarak.
"Undang-undang syariah yang boleh digubal dan dilaksana di peringkat negeri tidak melibatkan kesalahan yang di luar ruang lingkup hukum-hakam agama Islam.
"Misalnya apabila berlaku sesuatu kes jenayah yang ada peruntukannya dalam Kanun Keseksaan, maka peruntukan mengikut Kanun Keseksaan perlu diguna pakai," katanya.
Menurutnya, kuasa diberi kepada negeri berkaitan undang- undang jenayah terhad dan hukuman mengikut undang-undang syariah juga terhad.
"Mahkamah Syariah hanya membicarakan kes yang hukuman penjaranya tidak melebihi tempoh tiga tahun, denda tidak melebihi RM5,000 dan sebatan tidak lebih daripada enam kali.
"Bagi kes jenayah yang hukumannya lebih daripada itu, ia berada bawah kuasa Persekutuan. Jadi untuk laksana hudud, ia memerlukan pindaan Perlembagaan," katanya.
Tanpa pindaan Perlembagaan, kata Nik Ahmad Kamal, negeri yang menggubal undang- undang berasaskan hudud dan diluluskan Dun sekalipun, tidak akan dapat menguatkuasakannya.
"Sebagai contoh, Kelantan yang meluluskan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 dan Terengganu, Enakmen Jenayah Syariah Terengganu 2003, sampai sekarang masih belum dapat menguatkuasakan undang-undang itu," katanya.
Bagaimanapun kata Nik Ahmad Kamal, Kerajaan Negeri masih boleh melaksanakan hudud tanpa meminda Perlembagaan iaitu membatalkan Akta Mahkamah Syariah yang mengehadkan peruntukan hukuman enakmen syariah.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan Adun Kemelah, Johor, Datuk Ayub Rahmat yang mahu negeri itu jadi negeri pertama di negara ini melaksanakan undang-undang hudud.
Apa pun kata Nik Ahmad Kamal, negeri yang telah mewartakan undang-undang syariah berasaskan hudud masih boleh meneruskan pelaksanaannya, namun pesalah yang ditangkap boleh mempersoalkan undangundang itu di Mahkamah Persekutuan.
Hudud: Ayub tidak berniat raih publisiti
4 Julai 2012
Datuk Ayub Rahmat
Katanya, bagaimanapun, beliau enggan membincangkan perkara itu secara terbuka kerana bimbang akan menimbulkan kekeliruan dalam masyarakat kerana ia berkaitan dengan soal akidah dan kepercayaan umat Islam.
“Saya bimbang perkara ini akan disalah tafsir kerana ia memerlukan pemahaman yang jelas dan mendalam. Saya sendiri tidak arif mengenainya dan perlu mendalaminya dengan lebih luas.
“Perkara ini perlu dibincangkan pakar yang benar-benar mahir dalam perundangan Islam khususnya bagi hukum hudud,” katanya.
Ayub juga sebelum ini telah beberapa kali membangkitkan isu ini termasuk membahaskannya dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) Johor yang berlangsung akhir tahun lalu.
Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman ketika ditemui wartawan Sinar Harian, enggan mengulas isu ini.
Mahfuz mahu Umno pertahan Ayub
4 Julai 2012
Datuk Mahfuz Omar
Beliau turut menggesa dua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) dan Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah SeMalaysia (Pekida) memberi respons segera berhubung tindakan Presiden MCA itu.
“Saya ingin tahu sikap Umno berkenaan kenyataan Soi Lek bahawa Ayub sebagai orang hilang akal atau gila apabila menyatakan cadangannya untuk melaksanakan hudud di Johor.
“Perkasa dan Pekida juga digesa buat tunjuk perasaan kepada Soi Lek kerana memberi reaksi seperti ini,” katanya pada sidang media di Pejabat Pas, semalam.
Sebelum ini, Soi Lek menyifatkan Ayub ' hilang akal' kerana mencadangkan hukum hudud dilaksanakan di Johor dan menegaskan MCA pasti akan menentang usaha terbabit.
Dalam satu tulisannya di Twitter 1 Julai lalu, beliau berkata Adun Kemelah itu juga telah kehabisan idea sehingga berani menimbulkan cadanganberkenaan.
Isu hudud: Gembira Umno mula buka mata
4 Julai 2012
Setiausaha Agung Badan Anti Liberalisme Agama (Badai), Mohamed Hafiz Mohamed Nordin berkata, pihak mahu Kerajaan Pusat membuat persediaan sepenuhnya bagi melaksanakan hukum yang ditetapkan ALLAH ini.
“Badai antara NGO Islam yang gembira dengan perkhabaran ini, namun kita harap ia bukan sekadar gimik pilihanraya.
Apabila ada niat untuk laksanakan, jangan main-main dengan hukuman ALLAH. Bagaimanapun, saya berfikiran positif Umno benar-benar akan mempertimbangkan pelaksanaan ini,” katanya.
Mohamed Hafiz berharap pelaksanaan hukum itu dibuat sama rata ke atas orang Islam dan bukan Islam.
“Ia dilaksana untuk mengurangkan jenayah serta kekalkan kemuliaan akhlak. “Saya pasti jika Kerajaan Pusat melaksanakan hukuman ini, pasti ramai akan tampil menyokong berikutan sebelum ini, mereka seolah-olah teragak-agak untuk memulakannya kerana bimbang perkara lain pula yang timbul,” katanya.
Menjawab ketika ditanya berhubung pelaksanaan hukum itu di negeri ini, Mohamed Hafiz berkata, ia tidak menjadi masalah berikutan Mahkamah Syariah berada bawah Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) yang kuasa mutlaknya pada Yang di-Pertuan Agong.
Isu hudud: NGO minta rangka pelan induk berlandas syariah
4 Julai 2012
Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Amidi Abdul Rahman berkata, pelaksanaan itu perlu diteliti supaya tidak menimbulkan sebarang kekeliruan kepada umat Islam.
“Kita bimbang masyarakat keliru dengan hukum hudud padahal ia merupakan sebahagian kecil daripada syariat Islam yang meliputi aspek kehidupan.
“Malah, kami ingin menyeru agar perkara ini dilihat secara objektif bukan dijadikan sebagai bahan untuk dipolitikkan ,” katanya, semalam. Setiausaha Agung Pertubuhan Jemaah Islah Malaysia (JIM), Nahar Mohd Nor pula berkata, pelaksanaan hudud perlu dirancang dan dinilai secara keseluruhan agar, tidak timbul isu hanya negeri tertentu sahaja melaksanakan hukum tersebut.
“Jika hudud tidak diselaraskan dengan baik, ia boleh menimbulkan fitnah kerana dilakukan tanpa persiapan rapi.
“Hukum ini perlu dikaji dengan terperinci dan menyeluruh di dalam dan luar negara agar terutama memberi pemahaman kepada masyarakat Islam sendiri,” katanya.
Sementara itu, Setiausaha Agung Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (Wadah), Abdul Halim Ismail berkata, kenyataan Adun Kemelah itu dianggap perkara biasa bukannya perkara ganjil.
“Pelaksanaan hudud patut diterima secara positif dan perkara ini menjadi kontroversi apabila dipolitikkan oleh sesetengah pihak.
“Namun, pelaksanaannya perlu dijalankan secara menyeluruh kerana kemungkinan ada pihak cuba melarikan diri daripada dikenakan hukuman itu ke negeri lain,” katanya.
Hudud: PPPMM sokong Adun Kemelah
4 Julai 2012
Presidennya, A Rahman Mahadi berkata, negeri ini terkenal dengan wujudnya Sekolah Agama Rakyat di merata-rata daerah, namun pihaknya menganggap soal hukum hudud sebagai subjek yang tercicir.
“Majoriti semua orang Islam tahu Malaysia sendiri merupakan sebuah negara Islam dan Islam merupakan satu-satunya agama yang disebut dengan namanya yang jelas di dalam Perlembagaan Persekutuan. Signifikannya kita tahu apa yang dikandung oleh Perlembagaan Persekutuan.
“Maka kita juga perlu tahu secara terperinci sebagai sebuah negara Islam dan mengaku sebagai orang Islam, segala perintah yang terkandung dalam kitab suci al-Quran perlu dilaksanakan sebagai sesuatu tuntutan wajib dari ALLAH, sekali gus janganlah dipertikaikan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, semalam.
A Rahman berkata, PPPMM berpendapat berdasarkan wahyu syiar Islam dan ajarannya, hukum hudud ini perlu diperjelas dan diserlahkan tanpa dibayangi oleh mana-mana fahaman politik.
Menurutnya, sebagai umat Islam menjadi kewajaran untuk sama-sama mengukuhkan pengetahuan dan ilmu mengenai syariat Islam supaya prinsip dan formula yang terkandung dalam al-Quran tidak tercicir.
“Pastikan ia tidak tercicir kerana ia merupakan elemen penting yang tidak perlu dipertikaikan.
“Berusahalah untuk tidak mempersendakan soal hudud malah berusahalah menutup pusat-pusat maksiat yang sentiasa menggalakkan lagi budaya maksiat yang kian menular dalam masyarakat dengan pelbagai program tidak sihat serta menjauhkan orang Islam dengan agama,” katanya.
A Rahman berkata, hukum hudud bukanlah soal Pas atau Umno, sebaliknya ia merupakan perintah ALLAH dan perkara ini perlu dibincangkan oleh semua umat Islam berhubung cara pelaksanaannya.
“Berhentilah bertelagah demi menjaga maruah agama supaya ia tidak tercemar dan ditertawakan oleh agama lain,” katanya.
Isu hudud: 'Ribut' bakal landa BN
4 Julai 2012
Prof Madya Dr Samsul Adabi Mamat
Penganalisis politik, Prof Madya Dr Samsul Adabi Mamat berpendapat, implikasi itu akan berlaku setelah pimpinan tertinggi pusat menerima cadangan itu.
“Implikasi pasti ada, tetapi tidak sehebat dalam Pakatan Rakyat (PR). Seperti mana DAP menentang keras usaha Pas melaksanakan hukum hudud sebelum ini.
“Keadaan ini berbeza kerana, Umno adalah parti teras dalam BN, selalunya apa yang dibawakan Umno itu diterima oleh parti komponennya yang lain,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Beliau berkata, keadaan itu disebabkan oleh rakan dalam BN mempunyai kepercayaan yang kuat terhadap Umno.
“Umno parti yang kuat di dalam BN, berbanding Pas di dalam PR.
“Sejarah membuktikan perkara itu, sebagai contoh, ketika Islam Hadhari mahu dilaksanakan. Banyak kemusykilan yang timbul, bagaimanapun dengan kesungguhan Umno melakukan penerangan akhirnya mendapat respons yang baik,” katanya.
Pensyarah dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu, melihat cadangan yang dibawa oleh Adun Kemelah, Datuk Ayub Rahmat adalah satu perkembangan positif bagi Umno.
“Saya berpendapat perkara itu boleh dilaksanakan oleh Umno sejajar dengan transformasi yang dibawa oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kerana sememangnya sentimen keislaman sudah tertanam di dalam Umno.
“Pada peringkat awal sudah pasti ada banyak implikasi dan persoalan yang timbul daripada MCA, MIC dan parti-parti bukan Islam yang lain.
Namun saya percaya perkara itu mampu ditangani,” katanya. Walaupun maklum balas daripada pimpinan tertinggi Umno berhubung isu ini masih samar, tetapi Samsul Adabi percaya perkara itu akan mendapat respons dalam masa terdekat ini.
Menurutnya, kajian yang serius perlu dilakukan bagi melaksanakan perundangan Islam ini sepenuhnya.
“Apabila ada cadangan seumpama ini, sudah pasti kerajaan akan memikirkan langkah seterusnya seperti mencari pakar-pakar berhubung hal ini dan mendapat sentuhan mereka.
“Pendapat orang yang berpengetahuan dalam perkara ini akan lebih didengar oleh rakyat,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan