Isnin, 1 April 2013

SEGALA2NYA KEHENDAK DENGAN ADANYA IZIN ALLAH...KUASA ALLAH TIDAK MAMPU KITA MELAWAN...INGATLAH ALLAHLAH YANG MENCIPTA DAN MENGUASAI SEGALA SESUATU...JADI JANGANLAH KITA NAK BERLAGAK SAKAN

'Datuk Seri' yang dikehendaki dilihat bersama Najib

Harakahdaily, 01 Apr 2013

(Gambar-gambar yang disiarkan dalam laman sosial)

KUALA LUMPUR: Rupa-rupanya orang yang paling dikehendaki polis kini kerana dipercayai terlibat dengan gerakan teroris Sulu yang menceroboh Lahad Datu dikatakan pernah kelihatan bersama-sama dengan Datuk Seri Najib Razak dalam satu program berkaitan dengan Palestin.

Menurut gambar-gambar yang disiarkan oleh beberapa blog, 'Datuk Seri' berkenaan bukan saja bersama Najib bahkan juga bersama lain-lain pemimpin Umno.

(Bersama Tengku Adnan, Setiausaha Agung Umno)

Antaranya Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan dan juga Setiausaha Agung Umno, Datuk Tengku Adnan Mansor.

Semalam media melaporkan, polis mencari seorang lelaki bergelar Datuk Seri bagi membantu siasatan berhubung kes yang berkaitan Operasi Daulat.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata Muhammad Ridzwan Sulaiman, dengan alamat terakhir di Georgetown, Pulau Pinang amat dikehendaki bagi membantu siasatan dan diminta segera menyerah diri di mana-mana balai polis berhampiran.

Beliau berkata Muhammad Ridzwan, yang juga Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan Al-Ehsan, berpangkalan di Pulau Pinang dikatakan tidak terlibat dengan pengganas tetapi boleh membantu dalam kes berkaitan Operasi Daulat.

(Bersama Ahmad Maslan, Ketua Penerangan Umno)

"Penama ini amat diperlukan. Orang ramai yang mengenali beliau diminta menghubungi Rakan Cop atau mana-mana balai polis berhampiran.

"Penama ini boleh membantu polis dalam satu aspek Operasi Daulat, dan polis percaya beliau kini berada di Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan mungkin juga di Sabah," katanya pada sidang akhbar di Markas Operasi di Felda Sahabat 16, dekat Lahad Datu hari ini.

Sebelum ini, para pencacai Umno dan pemimpinnya mendakwa Datuk Seri Anwar yang terlibat dalam membawa masuk pengganas Sulu.

Anwar pula dalam ceramahnya yakin kenyataan seorang tertuduh dalam kes ini bahawa ada orang mengupah beliau sebagai usaha untuk mengaitkan beliau.

Apa kata rakyat pemberian permit teksi bersyarat

Selangorku, 01 Apr 2013

Video - Apa Kata Rakyat Mengenai Pemberian Permit Teksi Bersyarat Oleh PM?

Lihat video.
Sinopsis
Apa kata rakyat mengenai pemberian permit teksi bersyarat oleh Perdana Menteri Najib Abdul Razak baru-baru ini?
Kerajaan memberikan 1,000 permit teksi persendirian secara terus, dimulai dengan 200 penerima di satu majlis di Putrajaya baru-baru ini.
Penerima bagaimanapun hanya boleh menggunakan permit tersebut jika mereka membeli kereta Proton Exora.
Penerima juga diberikan geran RM5,000 untuk pembelian itu.
Krew TVSelangor turun ke jalanan mendapatkan respons orang kita.

Ketua kampung, 30 pemuda Umno sertai PAS

Muhammad Faizal, 01 Apr 2013


JEMPOL: Siri jelajah Negara Berkebajikan di Negeri Sembilan semalam menerima kemasukan 30 pemuda Umno ke dalam PAS yang disaksikan oleh Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu.

Penyerahan borang permohonan keahlian PAS itu diadakan di Felda Raja Alias pada lokasi terakhir ceramah jelajah Negara Berkebajikan di Negeri Sembilan yang dihadiri kira-kira 1,000 orang.

Salah seorang bekas ahli Umno, Jamaluddin Rashid yang ditemui memberitahu beliau mengambil tindakan menyertai PAS kerana kecewa dengan tindakan penyokong Umno yang membuat kekacauan pada satu program ceramah PAS di Felcra Ayer Hitam.

Beliau yang juga merupakan Ahli Jawatankuasa Cawangan Umno Ayer Hitam turut mempersoalkan tentang keislaman Umno apabila sanggup mengganggu penyokong PAS yang sedang berdoa dengan mengadakan karaoke.

"Saya menyertai PAS sebab ada kejadian yang tidak pernah saya duga sepanjang 14 tahun saya menjadi Ketua Kampung.

"Padahal ceramah itu merupakan ceramah agama kita sendiri tapi tiba-tiba Umno turut membuat program karaoke dalam jarak 50 meter, jadi berlakulah satu kejadian yang tidak saya ingini.


"Selepas kejadian tersebut saya bertemu dengan pemuda-pemuda dan mereka bersetuju dengan saya untuk berubah dan mengikut apa yang dikehendaki Islam.

"Hati saya terluka dengan tindakan yang tidak bertanggungjawab, saya memang tidak bersetuju dengan sikap pimpinan Umno bahagian yang membuat perkara-perkara tersebut," jelasnya kepada Harakahdaily.

Beliau yang berumur 64 tahun telah melepaskan jawatan sebagai ketua kampung yang telah dipegang selama 14 tahun atas kesedarannya.

Ini, katanya kerana sepanjang beliau memegang jawatan tersebut tidak pernah berlaku perkara sedemikian dan itu merupakan kali pertama berlaku.

"Tidak ada pemimpin Umno yang marahkan saya cuma mereka menyoal kenapa saya menyertai PAS.

"Saya tahu PAS ini membawa ke arah yang elok dan tidak perlu dipertikaikan lagi, saya sedar semua itu. Saya secara jelas tidak bersetuju langsung dengan budaya samseng yang digunakan Umno pada masa ini," tambah beliau yang pernah menerima Pingat Masyarakat Cemerlang (PMC).

Jamaluddin yang berjanji akan terus berusaha untuk mengajak lebih ramai penyokong Umno di kampungnya untuk menyertai PAS.

Beliau memberitahu, seramai 20 orang wanita Umno akan menyerahkan borang menyertai PAS minggu hadapan.

Nasrudin bersama makan di jalanraya tuntut bebaskan pelajar

Harakahdaily, 01 Apr 2013


(Nasrudin serta rakan-rakannya dan pelajar makan di atas jalan depan Balai Polis Putrajaya)

PUTRAJAYA: Ketua Pemuda PAS Pusat Nasrudin Hassan semalam berkampung di depan IPD Putrajaya bersolidariti dengan pasukan konvoi Anak Muda Tolak Umno BN (Tolak) semalam menunggu pelepasan rakan-rakan mereka yang ditahan polis.

Bermula dari Shah Alam melalui Gombak dan terus ke Dengkil, seramai 500 anak muda dan mahasiswa berkonvoi mengedar risalah agenda Tolak kepada masyarakat.

Konvoi itu juga merupakan siri jelajah mengutip tandatangan rakyat Malaysia sepanjang 1 kilometer sebagai mesej utama menolak Umno BN dalam pilihan raya umum akan datang.

Tolak juga akan berkumpul di kediaman Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menyerahkan satu memorandum menggesa Perdana Menteri itu membubarkan parlimen.

Namun, ketika di depan Kompleks Seri Perdana, Tolak telah dikasari dan didesak oleh pihak polis berdasarkan status yang tertera di laman Facebook mereka.

Akhirnya Tolak terpaksa bersurai akan tetapi pengerusinya Azan Safar dan beberapa orang ditangkap.

Nasrudin bersama seramai 50 penyokong Tolak bersolidariti untuk menuntut pembebasan Azan dan rakan-rakan seperjuangan Tolak yang ditahan.

Mereka bersama makan nasi bungkus di atas jalan raya.

Azan dan rakan-rakan akhirnya dibebaskan menjelang tengah malam semalam.

3 siri tangkapan mahasiswa dalam tempoh 2 minggu

Harakahdaily, 31 Mac 2013


KUALA LUMPUR: Dalam tempoh dua minggu, tiga siri tangkapan telah dilakukan pihak polis terhadap mahasiswa.

Menurut Facebook Berita Universiti, siri tangkapan pertama, tiga mahasiswa ditahan di hadapan RTM Angkasapuri ketika berhimpun bagi menuntut jawapan RTM berhubung penganjuran debat antara mahasiswa dan Perdana Menteri pada 22 Mac lalu setelah surat jemputan dihantar lebih dua minggu.

Tangkapan kedua pula, lima penuntut Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan yang terdiri daripada tiga siswa dan dua siswi ditahan pihak polis ketika mengadakan Speaker's Corner dan edaran risalah di sekitar Labuan pada 24 Mac lalu.

Siri tangkapan ketiga pada hari ini, 31 Mac, yang mana lima mahasiswa ditahan di Putrajaya pada kerana menganjurkan Konvoi dan Himpunan Gelombang Anak Muda Tolak Umno BN (Tolak).

Pakatan Rakyat lancar Majlis Pendidikan Negara

Anis Nazri|Foto: Nasir Sudin, 31 Mac 2013

KUALA LUMPUR: Pakatan Rakyat hari ini melancarkan Majlis Pendidikan Negara (Mapen) sebagai satu badan yang bakal membentuk model baru sistem pendidikan negara apabila Pakatan Rakyat mengambilalih kerajaan.

Mapen yang dianggotai golongan ilmuan seperti pendidik, profesor, dan pensyarah itu akan bergabung tenaga untuk sama-sama merombak atau menambahbaikkan sistem negara sedia ada.
Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Pusat, Datuk Abu Bakar Chik, berkata sistem pendidikan negara kini begitu bercelaru dan terabai hingga tidak menekankan kepentingan manusiawi.
"Sistem pendidikan ini jika disusun atur tidak mengikut manusiawi, sesebuah tamadun itu tidak dapat berkembang dengan sebaik-baiknya. Kami di Pakatan Rakyat menekankan sistem pendidikan yang berteraskan kerohanian dan intelektual dalam masyarakat," tegas beliau pada sidang media, selepas pelancaran Mapen, di Kelab Sultan Sulaiman, petang tadi.
Menegaskan Mapen ini tepat pada masanya kerana menuntut kewajipan memandangkan pendidikan merupakan proses kembali kepada tamadun pembangunan manusia, Abu Bakar turut berharap badan ini mampu memberi keyakinan kepada masyarakat untuk bersama menggerak perubahan dalam sistem pendidikan negara.
Sementara itu, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata Pakatan Rakyat berhasrat untuk membentuk asas baru berteraskan sistem nilai yang selama ini diabaikan.
Beliau yang turut memeriahkan majlis pelancaran itu, turut melahirkan kekesalan diatas kegagalan kerajaan hari ini berhubung isu bahasa Melayu yang menjadi polemik saban waktu.
"Isu bahasa Melayu masih tidak diselesaikan. Bagi kami di Pakatan Rakyat, di samping kita mengangkat bahasa Inggeris, keperluan bahasa Melayu perlu diperkasakan tanpa tolak ansur," kata beliau ketika berucap di hadapan kira-kira 200 orang.
Mapen dipengerusikan pensyarah dari Unisel, Profesor Zainal Abidin Kidam.
Selain Anwar, antara pimpinan Pakatan Rakyat yang turut hadir ialah Ahli Parlimen Kepong, Tan Seng Giaw yang mewakili DAP, dan Pengerusi NGO Pendidik, Cikgu Normala Sudirman. Hadir sama, Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said.

Tiada ulasan: