Sabtu, 9 Mac 2013

TAK NAK TANGGUH2 LAGI KE...NANTI RAKYAT FIKIR KITA YANG SEBENARNYA GILA KUASA

Liwat II: Mungkinkah Najib tangguh lagi PRU13?

Harakahdaily, 09 Mac 2013
KUALA LUMPUR: Rakyat mengucapkan syukur dan menarik nafas lega apabila mendapat khabar gembira bahawa Azlan Mohd Lazim, bapa Saiful Bukhari tampil memohon maaf kepada Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam dengan mendakwa anaknya telah dipergunakan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab untuk memfitnah Anwar dengan kes Liwat II.
(Gambar daripada blog.)

“Lebih menarik lagi pendedahan beliau mengaitkan seorang pegawai Perdana Menteri sebagai perancang utama konsiprasi tersebut,” kata Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Malaysia, Riduan Mohd Nor.

Katanya, perkembangan itu pastinya tambah memeningkan kepala Perdana Menteri dan hampir pastinya Pilihanraya Umum ke-13 akan tertangguh lagi buat kesekian kalinya.

Pendedahan Azlan Mohd Lazim adalah suatu kemenangan moral buat seluruh pemimpin dan penyokong Pakatan Rakyat, ujarnya lagi.

Menurutnya, dengan kemunculan Deepak Jaikishan serta pendedahan menggemparkan negara mengenai misteri pembunuhan Altantuya, serta kepulangan Balasubramaniam bagi meneruskan momentum skandal pembunuhan model Mongolia tersebut, pengakuan Azlan Mohd Lazim adalah pelengkap kepada kejayaan rakyat.

“Pengakuan Azlan membuktikan bahawa kejadian liwat II adalah suatu konspirasi jahat oleh pihak tertentu yang bertujuan mahu mengaibkan pemimpin dan gabungan PR umumnya,” katanya kepada Harakahdaily.

Baginya, politik fitnah melalui pelakuan lucah dan mengaibkan digunakan bagi menghalalkan segala tindakan mereka.

Kini, kata beliaukebenaran telah terserlah membuktikan bahawa segala yang berlaku adalah mainan politik kotor pihak yang tidak bertanggungjawab.

Justeru, ujarnya rakyat ternanti-nanti siapakah pegawai khas Perdana Menteri yang dikatakan merancang semua kejahatan itu.

“Perdana Menteri perlu tampil memberi penjelasan mengenai dakwaan pegawainya terlibat dan bertanggungjawab terhadap kesemua tindakan pegawainya itu dan bagi membersihkan namanya, beliau mesti mengambil tindakan tegas terhadap pegawainya yang terlibat,” katanya lagi.

Menurutnya, imej Najib kebelakangan ini semakin merudum dengan penglibatan pegawai-pegawai kanan beliau dalam pelbagai skandal.

Riduan berkata, dua orang pengawal peribadinya terlibat dalam pembunuhan model Altantuya manakala bekas penasihat politik beliau, Abdul Razak Baginda juga pernah dikaitkan dengan kes yang sama meskipun dibebaskan oleh mahkamah kemudiannya.

Kini, ujarnya seorang lagi pegawai kanan beliau didakwa terlibat merancang konspirasi Liwat II.

Bagi beliau, Perdana Menteri dilihat sebagai gagal menunjukkan contoh kepada rakyat dengan peribadi yang mulia.

“Malah, beliau dianggap gagal mendidik pegawai-pegawai kanannya untuk menunjukkan tauladan yang murni kepada masyarakat sehingga mereka terjerumus dengan pelbagai kesalahan jenayah,” ujarnya.

Justeru, kata beliau rakyat perlu bertanya kembali, apakah pemimpin seperti itu layak dinobatkan sebagai pemimpin utama negara dan layakkah mandat terus diberi kepada pemimpin seperti itu.

Sidang meja bulat JK Bertindak Kedaulatan 18 Mac

Hazayani Zakaria, 09 Mac 2013
KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Bertindak Kedaulatan, Keselamatan Negara dan Rakyat yang baru ditubuhkan oleh PAS akan mengadakan sidang meja bulat pada 18 Mac ini.

Pengerusinya, Datuk Mahfuz Omar berkata, sidang tersebut akan membincangkan isu berkaitan keselamatan dan kedaulatan negara khususnya berhubung pencerobohan rakyat asing di perairan negara.

Sidang meja bulat tersebut akan mengumpulkan pandangan pakar-pakar dari kalangan bekas-bekas pegawai tinggi polis dan tentera, bekas pegawai kerajaan dan veteran politik.

"Jawatankuasa ini ditubuhkan rentetan daripada kes pencerobohan di Sabah dan kita melihat satu keperluan untuk membincangkan dan mencari jalan penyelesaian terbaik bagi menjamin keselamatan rakyat dan anggota keselamatan kita.

"Kita melihat 'ada sesuatau yang tidak kena' dengan kes di Lahad Datu jadi kita cuba untuk mencari penyelesaian terbaik bagi membantu kerajaan," katanya ketika dihubungi Harakahdaily selepas mempengerusikan mesyuarat pertama jawatankausa tersebut, semalam.

Selain timbalan pengerusinya, bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Polis DiRaja Malaysia, Datuk Fauzi Shaari, jawatankuasa tersebut turut dianggotai oleh bekas Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Ismail Hamzah, Pengerusi Seketariat Kebajikan Rangkaian Bekas Anggota Tentera Malaysia (Kerabat), Leftenan Kol (B) Nazari Mokhtar serta beberapa orang pakar dalam bidang kententeraan.

Mahfuz berkata, kesemua anggota jawatankuasa bersedia memberikan komitmen untuk berkongsi pengalaman dan kepakaran mereka.

"Rata-rata mereka ini mempunyai kemahiran dalam ketenteraan dan perairan negara dan jawatankuasa akan diberi taklimat dari sudut perisikan dan yang berkaitan keselamatan negara," katanya.

Justeru beliau berharap sidang meje bulat itu akan menghasilkan resolusi yang berguna bagi memastikan kedaulatan negara terus terpelihara.

Balak: Kenapa Kelantan dan Kedah, Pahang bagaimana?

Khairil Abdul Rahim, 09 Mac 2013
Tiba-tiba seorang kolumnis di akhbar Berita Harian, dalam tulisannya yang bertajuk “Pemimpin PAS undang bala amaran al-Quran”, teringatkan amaran al-Quran yang melarang kerakusan manusia melakukan pembalakan tidak terkawal sehingga memusnahkan hutan dan alam sekitar.
Penulis merujuk ayat 41 Surah Ar-Rum yang bermaksud: “Telah timbul berbagai kerosakan dan bala' bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).”

Kita akui bahaya ancaman itu, tetapi sayangnya amaran daripada kitab suci itu hanya ditujukan kepada Kedah dan Kelantan sahaja, kenapa tidak Pahang yang sinonim dengan penebangan balak dikaitkan?

Saya faham tulisan yang dibangkitkan itu semata-mata untuk menyokong isu-isu menjelang pilihan raya umum yang sedang dibangkitkan oleh media-media Umno, namun seelok-eloknyanya apabila menghukum biarlah adil. Itu juga tuntutan al-Quran.

Sebagai anak Pahang dan tinggal di negeri ini, saya sendiri masih ingat sejak kecil dan kini meniti ke usia separuh tua, tidak pernah putus-putus melihat deretan lori balak di jalan raya. Maka saya tidak dapat bayangkan sudah berapa ribu juta batang balak yang sudah ditebang.

Sebenarnya amaran yang disebutkan itu mungkin baru ditemui penulis, sedangkan amaran al-Quran itu sudah lama dibangkitkan termasuk daripada PAS. Masih ingatkah tragedi Highland Tower pada 11 Disember 1993 dan tanah runtuh Bukit Antarabangsa 6 Disember 2008?

Pada ketika itu ‘kegilaan’ kerajaan Umno-BN ialah menarah dan membangunkan perumahan mewah di kawasan bukit bukau terutama di pinggir ibu negara.

Ketika itulah para ulamak terutamanya daripada PAS, ke hulu ke hilir menerangkan betapa bahayanya apabila alam sekitar dinoda dan dimusnahkan. Tapi ada pemimpin Umno kisah?

Peliknya, kenapakah penulis menghalakan amaran itu kepada Empangan Pedu sahaja, sedangkan kerosakan yang berlaku di Tasik Chini, Pekan lebih kritikal lagi. Penulis tidak wajar mengkritik berdasarkan emosi dan prasangkanya sahaja sedangkan Tasik Chini telah disahkan oleh penyelidik akan lenyap musnah menjelang 2030.

Akhbar yang sama (Berita Harian) sebelum ini melaporkan, betapa Tasik Chini yang diiktiraf sebagai kawasan Rizab Biosfera oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) bakal musnah pada 2030 akibat kegiatan pembalakan, perlombongan dan perladangan tidak terkawal di sekitarnya.

Perkara tersebut didedahkan oleh Felo Intelektual Awam Asia (API), Dr Hezri Adnan yang berkata tasik tersebut sedang ‘nazak’ hanya menunggu masa menjadi kering akibat pemendapan dasar tasik.

Barangkali Reeja Arbee tidak menemui artikel tersebut.

Bahkan Pesuruhjaya PAS Pahang Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, tasik lagenda itu akan musnah lebih awal lagi akibat pencerobohan hutan dan pelombongan yang tidak terkawal. PAS percaya berdasarkan realiti, kemusnahan akan berlaku lebih cepat daripada itu (2030) jika terus dibiarkan kawasan tadahan air di sekitar Tasik Chini terus diceroboh dengan penebangan balak yang melanggar Akta Alam Sekitar.

Apa lagi 1,000 penduduk Orang Asli di sekitarnya juga bakal pupus kerana kehilangan sumber pemakanan, ubat tradisional dan kesan penggunaan air tercemar.

PAS berpandangan, bukan sahaja Tasik Chini  malah Tasik Bera dan Tasik Paya Bungor juga akan mengalami nasib yang sama kerana ternyata kerajaan negeri kurang prihatin. Sedangkan khazanah alam ini merupakan kurniaan Allah yang tidak ada di tempat lain.

Begitu juga dengan pencerobohan tanah tanpa kawalan di lereng bukit Cameron Highlands. Betapa lemahnya kerajaan Pahang dan kerajaan pusat membendung penyangak-penyangak alam sekitar yang merosakkan tanah tinggi di Cameron Highlands. Terdapat dua lokasi yang telah digondolkan oleh mereka iaitu berdekatan dengan Kampung Pos Terisu dan Sungai Palas yang berdekatan dengan ladang Teh Boh.

Jenayah alam sekitar tanah tinggi di Cameron Highlands bukanlah satu isu baru. Malah pernah disiarkan berita warga tanah tinggi itu tidak berpuas hati dengan kawalan pihak berkuasa lalu berdemonstrasi di hadapan pejabat Menteri Besar Pahang.

Penebangan hutan simpan Lembah Klau, Raub untuk projek saluran air ke Selangor iaitu Loji Rawatan Air Langat 2 oleh kejaaan BN, lebih teruk lagi. Rata-rata berpendapat ia boleh menenggelamkan kawasan beribu hektar Hutan Simpan Kekal Lakum. Kesannya boleh mengorbankan kepentingan rakyat Pahang, selain menyebabkan pencemaran alam sekitar.

Akibatnya, spesies habitat hidupan liar di sana pupus. Turut bakal terkorban, perkampungan Orang Asli suku Temuan di Bentong dan Orang Asli Sungai Temir kerana terpaksa ditenggelamkan bagi pembinaan Empangan Klau.

Sebab itu pembinaan empangan tersebut dianggap pemusnahan alam sekitar yang dahsyat sehingga dikritik hebat oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pencinta alam tempatan mahupun dan luar negara.

Begitu juga dengan pencerobohan hutan dara di sepanjang jalan ke Taman Negara, Jerantut. Pembalakan haram dah lama berlaku sama ada melalui Padang Piol mahupun jalan darat yang masuk ikut Felda Lepar. Isu tersebut pernah didedahkan dalam akhbar Harakah dan didedahkan juga oleh Tv3, namun tiada tindakan dibuat.

Pendek kata, jenuhlah pencinta alam sekitar dan para ulamak berteriak memberi amaran namun tiada dari pihak kerajaan yang menganggapnya serius ketika itu.

Perkara yang sama terjadi di hutan Bukit Ibam Rompin, hutan Lepar di Maran dan hutan Bebar, Pekan. Sebenarnya banyak pembalakan haram di kawasan tadahan air dan hutan simpan kekal di Pahang, malangnya berita tersebut tidak barangkali tidak ditemui oleh kolumnis ini.

Terbaru, rombongan PAS Pahang menyaksikan sendiri kerakusan pencerobohan Hutan Simpan Kemasul dalam Dewan Undangan Negeri Pelangai, Bentong iaitu dalam kawasan Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob sendiri.

Tidak cukup dengan itu, ada satu lagi kegilaan kerajaan BN sekarang iaitu meluluskan begitu banyak operasi lombong besi. Mungkin ia tidak salah, tetapi tanpa pemantauan rapi boleh memusnahkan alam sekitar.

Harakahdaily pernah menyiarkan rungutan penduduk di Luit dan Sri Jaya, Maran yang terpaksa menghirup abuk debu-debu besi yang bertaburan sepanjang jalan menyebabkan ramai penduduk mengalami batuk-batuk, rumah mereka berhabuk selain terpaksa berdepan dengan pencemaran bunyi setiap hari termasuk pada hari.

Kegiatan melombong berhampiran rumahnya menyebabkan aliran sungai di kawasan tersebut musnah dan kesannya, penduduk kampung terdedah kepada banjir besar dan pencemaran air yang menjadi sumber minuman penduduk jika bekalan air terputus.

Sebenarnya terlalu banyak kes pencerobohan alam sekitar di Pahang tetapi ditangani begitu lemah oleh kerajaan dan pihak berkuasa.

Berbalik kepada artikel kolumnis tadi, saya fikir sesiapa sahaja akan berkongsi rasa terancam dengan pembalakan yang tidak terkawal sebagaimana disebutkan. Tetapi berdasarkan laporan Ketua Audit Negara dan Laporan Jabatan Alam Sekitar, pembalakan di Kedah dan Kelantan masih diakui mengikut piawaian.

Kita harap pada masa akan datang, kolumnis yang sama akan mengulas juga isu-isu alam sekitar di negeri-negeri bawah pentadbiran BN termasuk Pahang.

Kenyataan Najib jejas operasi keselamatan - PKR

Salmiyah Harun, 08 Mac 2013
PETALING JAYA: Kenyataan yang dibuat oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam menangani pencerobohan di Sabah telah menjejaskan operasi dan kedaulatan negara, kata Pengarah strategi PKR, Rafizi Ramli.

Beliau merujuk kepada kenyataan berasingan yang dilaporkan di negara ini dan Filipina semalam bahawa Najib mengakui beliau hanya mula bertindak mengambil jalan ketenteraan apabila lapan anggota polis terbunuh.

Jelas Rafizi, kenyataan Najib itu mengesahkan keraguan banyak pihak sebelum ini bahawa Najib mengambil masa yang terlalu lama untuk berunding dengan pencerobohan Sulu.

PKR berpendapat, adalah wajar seluruh operasi keselamatan di Sabah diserahkan sepenuhnya kepada kepimpinan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan PDRM tanpa campur tangan politik.

"Ini untuk mengelakkan berulangnya salah pertimbangan di peringkat awal pencerobohan apabila ketenteraan hanya dibuat apabila nyawa anggota keselamatan terkorban setelah rundingan yang panjang tidak membuahkan hasil,"katanya dalam sidang media di ibu pejabat PKR di sini hari ini.

Tambahnya, demi menjaga keselamatan anggota tentera dan polis yang melaksanakan operasi di Sabah, wajarlah keputusan diserahkan kepada ATM dan PDRM tanpa terlalu terikat dengan keputusan politik.

Rafizi turut melahirkan kebimbangan dengan kenyataan yang dibuat oleh Setiausaha Kabinet Filipina Rene Almendrass bahawa Najib bersetuju untuk tidak mengambil sebarang tindakan terhadap penceroboh Sulu dengan syarat mereka hanya perlu meninggalkan atau menyembunyikan senjata dan meninggalkan Sabah.

"Lebih membimbangkan laporan itu turut menyebut persetujuan pentadbiran Najib untuk membuka kembali soal tuntutan terhadap Sabah yang di bawa oleh penceroboh Sulu.

"Kedua-dua keputusan itu, jika benar, menjejaskan kedaulatan negara," katanya.

Tegas Rafizi, tawaran untuk penceroboh meninggalkan atau menyembunyikan senjata tanpa dikenakan apa-apa tindakan memberi isyarat yang buruk bahawa kerajaan Malaysia boleh bertolak ansur dengan penceroboh sedemikian rupa.

"Ini akan menjemput lebih banyak penceroboh di masa hadapan apabila mereka boleh menyusup masuk dan mengambil semula senjata yang disembunyikan," katanya.

Katanya, perkembangan ini memberi gambaran bercelarunya tindak balas dan keputusn yang dibuat oleh Najib Tun Razak dalam menangani peristiwa pencerobohan ini.

"Sebagai Perdana Menteri, beliau tidak ada pilihan kecuali menjawab persoalan ini di dalam sidang parlimen mengenai pencerobohan di Sabah.
"Jika beliau terus mengelak maka keraguan di pihak rakyat tertanya-tanya kenapa krisis ini tidak ditangani dengan lebih tegas dan cepat akan terus berlegar," katanya.

Bekas Pengarah P’raya BN Bachok sertai PAS

Aslani M, 08 Mac 2013

(Bekas Pengarah pilihan raya BN Bachok serah borang PAS kepada Husam)


BACHOK: Pengarah Pilihan Raya BN parlimen Bachok pada pilihan raya umum 2008, Zulkifli Zakaria malam tadi menyerah borang menyertai PAS.

Beliau menjejaki langkah bekas Ketua Pemuda Umno Bachok, Dr Zaiyadi Awang Noh. tampil ke pentas ceramah Pakatan Rakyat bagi mendedahkan kepincangan Umno dan kerajaan BN.

Zulkifli (gambar) yang juga bekas Ketua Pemuda Umno Bachok dan calon BN di Dun Tawang pada 2004 meluahkan rasa kecewa terhadap Umno kerana mempersendakan agama.

“Banyak saya lihat kenyataan pemimpin Umno tidak serius terhadap agama. Dan paling saya tidak boleh terima apabila mereka mempersendakan hudud dan pemimpin MCA mempertikai larangan berjudi di Kelantan.

“Saat itu bermula kesedaran dalam diri saya. Bukan sekali-kali tuduhan pihak tertentu kononnya Haji Zul sekarang sudah tiada duit sebab itu menyertai PAS.

“Macam-macam tuduhan yang dilemparkan terhadap saya. Sebelum ini saya sudah tidak berminat dengan politik dan berhijrah menetap di Sabah negeri asal isteri saya.

“Namun kerana teruk sangat Umno memperlekehkan agama saya muncul kembali di pentas politik,” katanya pada ceramah di Kampung Keting, Dun Jelawat malam tadi.

Beliau menyerah borang menyertai PAS kepada Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa. Hadir sama Yang Dipertua PAS Bachok, Datuk Omar Mohamed, timbalannya, Hassan Mohamood, Naib Yang Dipertua, Abdul Aziz Kadir, Dr Zaiyadi dan Ketua Cabang PKR Bachok, Mat Yatim Ismail.

Kawasan tersebut merupakan kubu kuat Umno sukar ditembusi sebelum ini. Ceramah diadakan di rumah Mustapha Ahmad bekas aktivis Semangat 46.

Pada Januari lalu seramai 250 penyokong dan ahli Umno dari beberapa cawangan juga menyerah borang menyertai PAS pada program ceramah di Kuchelong.

Tahun lepas Mustapha dan bekas anggota jawatankuasa Umno Bachok, Wan Jusoh Wan Ismail juga menyerah borang menyertai PAS.

Difahamkan beberapa nama besar lagi dalam Umno Bachok dijangka meninggalkan parti itu dalam masa terdekat ini.

Zulkifli berkata, tomahan Umno mengatakan sekiranya Pakatan Rakyat menang bukan Melayu menjadi perdana menteri tidak timbul sama sekali.

“Kalau betullah tomahan itu mengapa ketika Umno kuat dan BN mempunyai kuasa dua pertiga di parlimen tidak melakukan pindaan perlembagaan.

“Umno sendiri tidak berani untuk meminda perlembagaan kerana takut hilang sokongan MCA dan MIC. Jadi dakwaan Melayu hilang kuasa hanya sekadar mahu memancing undi sahaja,” ujarnya ketika ditemui selepas itu.

Liwat II: Bapa Saiful dedah hanya konspirasi

Wan Nordin Wan Yaacob, 08 Mac 2013
KUALA LUMPUR: Fitnah Liwat II yang dilempar Umno BN ke atas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim kini terjawab apabila bapa Saiful Bukhari, Azlan Mohd Lazim mengaku kes liwat kedua adalah fitnah dan konspirasi politik.

Bercakap semasa sidang media tertutup di sebuah kondominium di Taman Melati Gombak, Azlan yang ditemani Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul mendedahkan, fitnah membabitkan anaknya itu adalah satu konspirasi politik menjatuhkan imej Anwar Ibrahim.

Beliau yakin dan percaya bahawa anaknya (Saiful) telah dipergunakan dalam konspirasi menjatuhkan imej dan maruah Anwar.

Katanya lagi, Saiful juga diperguna pihak tertentu khasnya melalui Pegawai Khas Perdana Menteri bagi tujuan tersebut.

Kata Azlan, pihak yang dinamakan itu merupakan dalang kepada semua fitnah liwat yang dilakukan terhadap Anwar Ibrahim dalam kes yang membabitkan Saiful Bukhari.

Mengulas lanjut, Azlan yang sebelum ini turut mengikuti perjalanan perbicaraan kes Anwar-Saiful berkata, tersebut adalah konspirasi politik jahat untuk memenjarakan Anwar kali kedua.

Kata Azlan, pendedahan itu dibuat kerana mahu rakyat yang cintakan negara ini tahu niat jahat pihak yang memfitnah.

Dakwanya lagi, segalanya dirancang dengan begitu rapi dan ia dilakukan dengan begitu terancang sekali.

Sambil menyatakan beliau tidak mahu bersekongkol dalam kes itu, Azlan berkata beliau merasakan ada yang tidak kena sejak empat tahun mengikuti perbicaraan bersama peguam.

Katanya lagi, terdapat dalang dalam kes ini dan beliau juga bersedia ke mahkamah jika diperlukan berikutan kes rayuan Fitnah II akan dimulakan Jun ini.

“Saya ada hak untuk terangkan. Kalau diminta ke mahkamah, saya sanggup ulang semula (kenyataan ini),” kata Azlan.

Tiada ulasan: