Ahad, 10 Mac 2013

SAPE YANG HILANG NILAI....SAPE YANG MEMANG DAH TAK BERNILAI LANGSUNG

Darurat: Jangan ambil langkah tidak popular

Salmiyah Harun, 09 Mac 2013


KUALA LUMPUR: Dalam saat-saat genting menghadapi PRU13, Dewan Pemuda PAS Malaysia mahu memastikan kerajaan tidak mengambil langkah yang tidak popular seperti mengisytiharkan darurat ekoran peristiwa pencerobohan di Lahad Datu.

Ketuanya, Nasruddin Hassan tidak menolak pengisytiharan darurat dibuat supaya pilihan raya tidak berlaku.

Katanya, kebimbangan rakyat hari ini jelas kerana seolah-olah ada ura-ura untuk mengisytiharkan darurat bagi menangguhkan pilihan raya di Sabah.

"Jika sekiranya berlaku juga pengisytiharan itu, kami boleh katakan ia sebagai pelan strategik untuk selamatkan Umno dalam PRU nanti,"katanya.

Namun berhubung isu Lahad Datu ini, Nasruddin menegaskan bahawa isu ini bukan isu politik malah mana-mana parti tidak perlu berebut untuk mendapat faedah daripada peristiwa ini.

"Cuma kita agak terkilan macam mana sempadan mudah dimasuk dan dibolosi oleh penceroboh, sempadan kita begitu mudah untuk masuk," katanya.

Sehubungan itu, Nasruddin kecewa apabila Menteri Pertahanan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menuduh pembangkang yang menyifatkan peristiwa di Lahad Datu sebagai sandiwara politik.

Jelas Nasruddin, tuduhan 'sandiwara politik' itu bukannya daripada pembangkang sebaliknya daripada kenyataan yang dikeluarkan sendiri oleh isteri Sultan Sulu.

"Bukan kita anggap demikian, ianya daripada Sulu sendiri. Bila ada dakwaan itu sepatutnya kerajaan perlu memberi penjelasan sewajarnya kepada rakyat, bukan menyerang pembangkang," katanya.

Sebelum ini, Ahmad Zahid mencabar pembangkang yang kononya melemparkan tuduhan bahawa insiden itu satu sandiwara politik Umno, untuk turun sendiri bertempur mempertahankan kedaulatan negara.

"Biar mereka pergi sendiri, biar parti mereka menjadi penaja utama untuk bertempur tanpa perlindungan daripada tentera mahupun polis, tengok sama ada perkara ini sandiwara politik atau tidak. Kalau mereka mahu syahid politik, jangan minta tolong daripada tentera dan polis," katanya.

Tabung khas bantu penduduk Sabah terjejas

Anis Nazri, 10 Mac 2013
KUALA LUMPUR: Pemuda PAS Sabah melancarkan tabung kemanusiaan, khusus bagi memenuhi keperluan penduduk yang terjejas ekoran krisis di Lahad Datu.

Ketua Pemudanya, Lahirul Latigu, berkata dengan penubuhan tabung berkenaan, segala keperluan dapat disalurkan PAS Sabah kepada penduduk yang kini ditempatkan di pusat-pusat sementara.

Ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini, Lahirul berkata pihaknya juga dalam rangka untuk menziarahi penduduk di pusat sementara itu dan menghulurkan bantuan.

"Kami juga bercadang akan ke sana. Buat masa sekarang, kami sedang mendapatkan info berkaitan keperluan yang mereka perlukan lagi, selain bantuan yang sudah mereka terima sebelum ini," tegas beliau.

Bagaimanapun, kata Lahirul, beberapa pimpinan PAS Lahad Datu sudahpun mula turun menziarahi dan menghulurkan bantuan kepada mereka.

Sehubungan itu, beliau menyeru orang ramai untuk menghulurkan sumbangan kepada tabung berkenaan memandangkan krisis tersebut masih berlanjutan.

Kepada sesiapa yang ingin menyalurkan bantuan boleh berbuat demikian melalui akaun Maybank Dewan Pemuda PAS Sabah, di nombor akaun 560232000360.

PR batal roboh Pasar Payang jika diberi mandat

Khairul Azlam Mohamad, 09 Mac 2013


KUALA TERENGGANU: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Burok, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi, berkata Pasar Besar Kedai Payang merupakan Seni Warisan Sejarah Negeri Terengganu yang perlu dipertahankan oleh rakyat.


Beliau turut memberi jaminan awal kepada rakyat jika kerajaan Pakatan Rakyat dan PAS diberi mandat pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13, cadangan meroboh pasar tersebut akan dibatalkan.

“Kita bukan menentang pembangunan dan kemajuan yang hendak dibawa tetapi tidak bersetuju warisan seni kita (Terengganu) dihapuskan, hilang identitinegeri Terengganu Darul Iman.

“Saya beri jaminan kepada tuan-tuan jika PAS dan kerajaan Pakatan Rakyat diberi semula mandat memerintah pada PRU13 ini, kita akan batalkan perjanjian dan cadangan roboh pasar dan buat hotel,” tegasnya yang juga Penolng Setiausaha Agung PAS.

Menurutnya, jika seni warisan itu mahu dipertahankan maka kerajaan Umno BN wajib dijatuhkan pada pilihan raya akan datang.

Sejumlah 39 buah badan bukan kerajaan (NGO) bersama hampir 1,000 peniaga di Pasar Besar Kedai Payang berhimpun di pekarangan Bazar Warisan Pasar Payang, di sini bagi membantah cadangan kerajaan Umno dan Barisan Nasional (BN) Terengganu mahu merobohkan pasar tersebut.

PRU13: Sasaran 40% calon muda tercapai

Salmiyah Harun, 09 Mac 2013
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) berpuas hati apabila sasaran 40 peratus kerusi untuk calon-calon muda yang dimintanya sebelum ini tercapai.

Ketuanya, Nasruddin Hassan berkata, PAS pusat telah berjaya memenuhi target mereka agar kerusi-kerusi sama ada di peringkat parlimen atau Dun diberikan kepada calon-calon muda.

Bagaimanapun, Nasruddin tidak dapat memberi angka yang spesifik berhubung bilangan kerusi yang diberikan kepada calon muda itu.

"Kami berpuas hati, kerana target yang kami mahukan tercapai, cuma jumlah calon muda yang bertanding kami tidak ada angkanya kerana ianya ditentukann oleh PAS Pusat," katanya dalam sidang media di Pejabat Agung PAS di sini hari ini.

Sebelum ini pada tahun 2011, DPPM pernah menyatakan hasrat mereka agar PAS Pusat mempertimbangkan cadangan 40 peratus calon diberikan kepada orang muda. 

Nasruddin juga memberitahu kesemua jentera DPPM sama ada di peringkat national dan negeri sudah membuat persiapan akhir kerana mereka yakin PRU13 semakin hampir.

Sehubungan itu, DPPM akan menganjurkan Xpresi Ulama Muda Pelapis Haraki di Ehya As Sharif Gunung Semanggol Mac ini, yang mana ianya akan mengumpulkan kira-kira 1,000 ulama muda di sana nanti.

"Kita akan kumpulkan ulama muda daripada pelbagai bidang sama ada aktivis dan profesional sebagai persiapan sekaligus memenangkan Pakatan Rakyat dalam PRU nanti.

"Gunung Semanggol dipilih sebagai memperingati semula kelahiran ulama-ulama, dan di sinilah kita akan mula menggerakkan ulama muda kita yang bukan sahaja lepasa Timur Tengah bahkan juga lepasan tempatlan," katanya.

Di dalam program itu DPPM akan mengisytiharkan beberapa ulama muda yang menyokong perjuangan PAS serta bersama-sama dengan Pakatan Rakyat.
PKR mahu kerajaan, BN minta maaf ekoran pendedahan bapa Saiful

9 Mac 2013
SHAH ALAM - Naib Presiden PKR, N Surendran menggesa kerajaan dan Barisan Nasional (BN) meminta maaf secara terbuka tanpa syarat kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, keluarganya dan rakyat ekoran pendedahan bapa Mohd Saiful Bukhari Azlan semalam.

Ia antara enam gesaan digariskan oleh Surendran dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Selain itu, beliau juga meminta agar tindakan undang-undang diambil ke atas mereka yang terlibat dalam konspirasi terhadap Anwar, tidak kira jawatan dipegang dalam keraajaan.

"Pengakuan Azlan Lazim sesuatu yang mengejutkan dan tidak pernah berlaku dan menunjukkan pembabitan konspirasi yang tidak sah peringkat tinggi kerajaan terhadap ketua pembangkang.

"Kenyataan Azlan Lazim juga membuktikan pendirian konsisten Anwar dan Pakatan Rakyat bahawa tuduhan kes liwat kedua adalah konspirasi politik yang dijana oleh Umno-BN dengan kolaborasi Peguam Negara bagi menghalang Pakatan Rakyat daripada menuju Putrajaya.

"Tindakan tegas harus diambil bagi mengembalikan keyakinan awam terhadap pentadbiran (sistem) kehakiman negara," kata beliau.

Selain itu, Surendran juga menggesa perdana menteri memaklukan kepada awam pengetahuan beliau mengenai kewujudan konspirasi sedemikian.

"Satu siasatan menyeluruh harus dijalankan," kata beliau lagi.

PKR berulang kali mendakwa wujud konspirasi di peringkat kerajaan dan BN bagi memasukkan Anwar ke dalam penjara.

Anwar bebas tuduhan pada 9 Januari 2012.
Hishammuddin: Tian Chua 'ibarat sudah hilang nilai kemanusiaan'

10 Mac 2013
 Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein
Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein
KOTA KINABALU - Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengumpamakan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Tian Chua yang mendakwa pencerobohan pengganas Sulu adalah sandiwara Umno, sebagai manusia yang sudah hilang nilai baik dan nilai kemanusiaan.

Beliau berkata walaupun insiden pencerobohan di Lahad Datu itu telah mengakibatkan lapan  anggota keselamatan negara terkorban, namun terdapat juga "manusia-manusia yang tidak berhati perut yang tidak ada perasaan kasih sayang langsung".
"Saya nak tanya Tian Chua...apakah gambar-gambar yang saya lihat sendiri dengan mata saya, puluhan yang bergelimpangan mati katak di tengah-tengah hutan juga satu sandiwara?
"Sakitnya kita tengok keluarga, anak tercinta, isteri tercinta yang ditinggalkan. Jadi ini merupakan sesuatu kesedaran bagi kita, nak berpolitik ada tempat dan masanya, dan saya tengok ini budaya kebencian yang sanggup menggadaikan segala-galanya gara-gara kerana jawatan dan rakus serta angkuh, mengenepikan sentimen," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengunjungi balu Allahyarham Sarjan Baharin Hamit, Sumiati Suarah dan anggota keluarga Allahyarham di Inanam Laut, dekat sini hari ini.
Allahyarham Sarjan Baharin dari cawangan khas ibu pejabat polis kontinjen Sabah di Kepayan, dekat sini, merupakan antara enam anggota polis yang terkorban dalam serang hendap pengganas di Kampung Simunul, Semporna pada 2 Mac lepas.
Sambil menyatakan ada hikmah di sebalik insiden itu, Hishammuddin berkata: "Tuhan tidak akan mengizinkan manusia-manusia sebegini berleluasa di kalangan masyarakat Malaysia yang mencintai keamanan, sayang sahabat sesama agama, sama bangsa.

"Kita seharusnya melihat ke hadapan, bukan untuk diri kita tetapi anak cucu cicit kita yang kita tinggalkan selepas ini," katanya.

Sementara itu, Sumiati yang mempunyai dua orang anak berterima kasih kepada Hishammuddin yang datang sendiri melawat anggota keluarga Allahyarham.
"Lawatan ini sekurang-kurangnua memberi semangat kepada kami untuk menghadapi detik-detik kehilangan orang yang tercinta.
"Anak-anak semua dah boleh terima dan kira okay, dah stabil. Sedih-sedih...tapi dah stabil, semangat dah ada. Kita dah faham...rasa bangga sebab dia (anak-anak) tengok ayah (gambar) di TV...balik-balik dia kata Perwira Negara," katanya. - Bernama
Kenyataan U-turn Azlan tidak memeranjatkan, kata Hasan Ali
Wartawan Sinar Harian
10 Mac 2013
Hasan Ali
Hasan
SHAH ALAM - Dakwaan Azlan Mohd Lazim, bapa Saiful Bukhari yang meminta maaf kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim atas alasan anaknya dipergunakan untuk memfitnah Ketua Umum PKR itu tidak memeranjatkan bagi sesetengah pihak.

Presiden Jalur Tiga (Jati), Datuk Dr Hasan Mohamed Ali berkata, umum mengetahui Anwar sedang menghadapi beberapa masalah politik yang membelenggu pemikiran dan perjalanan hala tuju politiknya.

Katanya, kenyataan bapa Saiful  boleh dilihat sebagai usaha terdesak di peringkat akhir yang perlu dipergunakan peluang yang ada oleh Anwar dan konco-konconya untuk mengolah pandangan umum mengenai kegagalan Anwar memenuhi beberapa syarat menduduki kerusi perdana menteri.

"Antara lain syarat itu ialah bersih daripada salah laku moral yang kemudiannya boleh dipalitkan kepada perdana menteri yang akan menjadi ketua eksekutif kepada sebuah negara yang 65 peratus penduduknya Islam.

Corak penduduk sedemikian yang majoriti beragama Islam semestinya tidak akan berkompromi dalam persoalan moral melibatkan pimpinan negara apalagi yang dikaitkan dengan seorang perdana menteri," katanya, semalam.

Hasan berkata, kegagalan Anwar memperoleh pengesahan daripada perwakilan dalam Konvensyen Pakatan Rakyat di Shah Alam baru-baru ini menjadi tamparan yang sangat hebat dalam karier politiknya.

Selain daripada itu katanya, Pas terus menerus mempertahankan keputusan parti itu untuk tidak menamakan Anwar sebagai perdana menteri telah betul-betul menusuk saraf politik impian perdana menteri pakatan itu.

"Bapa Saiful Bukhari yang dikenali sebagai manusia yang menghadapi seribu satu masalah melibatkan diri dan keluarga adalah merupakan di antara jalan keluar yang paling mudah untuk dipergunakan oleh Anwar dan konco-konconya. Kenyataan pusingan “U” Azlan itu bagi sesetengah pihak seperti yang disebut, memang sudah dijangka," katanya.

Namun begitu, katanya, keistiqamahan Saiful sendiri sebagai pihak yang terlibat dilihat sebagai akan menyukarkan laluan yang dijangkakan terbuka luas untuk dieksploitasi  oleh Anwar dan konco-konco beliau.
Sidang media kedua bapa Saiful esok
Wartawan Sinar Harian
10 Mac 2013
Anwar Ibrahim - Saiful Bukhari Azlan
Anwar Ibrahim - Saiful Bukhari Azlan
SHAH ALAM - Bapa Saiful Bukhari, Azlan Mohd Lazim dijangka akan mengadakan sidang media kedua esok.

Ini berikutan kritikan pelbagai pihak terhadap Azlan berikutan kenyataannya berhubung Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kes liwat yang melibatkan Saiful.

Menurut satu sumber, pada sidang media itu, beliau akan menjawab pelbagai tuduhan dilemparkan terhadap Azlan termasuk dakwaan  melibatkan wang dan perbezaan pendapat yang dikatakan berlaku antaranya dan Saiful.

Ada sumber yang mengatakan mereka tidak tinggal sebumbung lagi, tetapi tuduhan itu tidak dapat disahkan kebenarannya lagi.

Dalam sidang media pertama, Azlan mendakwa ada beberapa orang kanan kerajaan yang menjadi dalang  dalam isu tersebut.

Menurutnya, ada pihak mahu mengheret Anwar ke penjara buat kali kedua.

Menurut Azlan, dia akan memohon maaf secara terbuka dengan Anwar dan menyifatkan orang kanan kerajaan itu hanya pergunakan anaknya sebagai agenda politik.
Peguam: Pendirian bapa Saiful tidak banyak implikasi undang-undang
Wartawan Sinar Harian
9 Mac 2013
SHAH ALAM - Pendedahan bapa Mohd Saiful Bukhari Azlan bahawa anaknya telah dipergunakan oleh pihak-pihak tertentu dalam kes liwat melibatkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam, dilihat tidak akan membawa implikasi undang-undang, sebaliknya boleh menjadi "modal politik", kata seorang peguam yang kolumnis media tempatan.

Ketika dihubungi, Syahredzan Johan berkata, oleh kerana Azlan Mohd Lazim bukan merupakan saksi dalam kes liwat Anwar-Saiful, tindakan beliau pagi semalam tidak akan membawa apa-apa kesan.

Anwar dibebaskan pada 9 Januari 2012 dan kes ini kini berada di peringkat rayuan.

"Beliau bukan merupakan saksi yang memberi keterangan dalam kes ini. Keterangan semua saksi sudah didengar... kes ini kini di peringkat rayuan.

"Dari segi perundangan, ia tidak akan memberi kesan, untuk membantu (defendan kes ini)," kata beliau ketika dihubungi.

Ketika ditanya sama ada akan memberi kesan kerana boleh diambil telah menghina mahkamah, Syahredzan dari Majlis Peguam berkata, ia bergantung pada pihak kerajaan jika mahu berbuat demikian.

"Dari segi soal menghina mahkamah, saya rasa akan ada sedikit kesan... ia bergantung kepada peguam kerajaan," kata beliau lagi.

Menjawab soalan sama ada ini kes pertama seorang bapa, dalam kes ini Azlan, membuat pendedahan sedemikian, Syahredzan berkata, "dari segi sifat kes ini, saya melihat ini kali pertama."

"Tetapi kalau kes-kes melibatkan pengadu dan saksi yang memberi keterangan kemudian mengatakan sebaliknya pernah berlaku," katanya.
Penganalisis: Pendedahan bapa Saiful tidak beri impak
Wartawan Sinar Harian
9 Mac 2013
Bapa Saiful: Anak saya diperguna untuk jatuhkan Anwar
Bapa Saiful, Azlan membacakan kenyataan pada sidang media yang diadakan. - Foto ihsan The Malaysian Insider
SHAH ALAM - Dakwaan wujud dalang berhubung kes liwat melibatkan Saiful Bukhari Azlan dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, akan mendapat perhatian rakyat jika ia dibuat Saiful Bukhari sendiri.

Timbalan Dekan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Madya Dr Sivamurugan Pandian berkata, dakwaan tersebut serius kerana melibatkan individu tertentu.

Menurutnya, jika benar wujud konspirasi seperti yang didakwa, perkara itu akan dimaklumkan oleh anak dan bapa secara bersama.

"Apa dilakukan bapa Saiful (Azlan Mohd Lazim), tidak memberi impak kerana ia dilihat bercanggah dengan pendedahan Saiful.

"Sukar untuk melihat apakah yang mahu disampaikan oleh Azlan. Jika benar seperti yang didakwa, sudah pasti ia akan didepani bersama, bukan secara sendirian kerana anaknya yang terlibat," katanya.

Katanya, sebelum ini, Saiful membuat sumpah laknat berkaitan kes liwat itu, dengan ditemani bapanya dan pendedahan Azlan dilihat seolah-olah wujud konflik dalaman antara dua beranak.

"Unsur politik itu wujud apabila sesi pendedahan tersebut turut ditemani orang kuat PKR.

"Kenyataan Azlan juga seperti wujud perkara politik kerana pada waktu ini, Anwar berdepan pelbagai cabaran apabila namanya dikaitkan dengan pelbagai kontroversi, sama ada di dalam mahupun di luar negara," katanya.
Anwar hargai pendedahan Azlan
MOHD ISKANDAR OTHMAN
10 Mac 2013
Anwar hargai pendedahan Azlan
Anwar ketika menyampaikan ucapan pada sambutan ulang tahun ke-5 pemerintahan Pakatan Rakyat di Pulau Pinang, malam kelmarin.
GEORGETOWN - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan terima kasih kepada Azlan Mohd Lazim, bapa Saiful Bukhari atas pendedahan yang dibuatnya semalam bahawa anaknya itu dipergunakan oleh pihak-pihak tertentu yang mendalangi kes liwat kedua melibatkannya.

Anwar berkata, pendedahan yang dibuat Azlan itu menguatkan lagi bukti konspirasi fitnah jahat yang dilakukan untuk memenjarakannya.

“Walaupun pendedahannya itu tidak memberi apa-apa perubahan, tapi saya ingin mengucapkan terima kasih kepadanya kerana sanggup buat begitu.

“Dari awal lagi saya tidak bersalah dan mahkamah juga telah putuskan…jadi kenyataan ayahnya (Azlan) itu telah membongkar satu lagi sudut yang kita terangkan sebelum ini walaupun ia tidak dibawa ke mahkamah seterusnya iaitu penglibatan pegawai khas perdana menteri,” katanya kepada media ketika ditemui selepas menghadiri majlis sambutan ulang tahun ke-5 pemerintahan Pakatan Rakyat di Pulau Pinang yang diadakan di Padang Kota Lama, malam kelmarin.

Sementara itu di di KOTA BHARU, Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat percaya dakwaan terhadap tuduhan liwat yang dihadapi Anwar akan dapat diselesaikan tidak lama lagi.

“Pendustaan satu masa dulu akan terbongkar, menteri berdusta pun akan terbongkar. Takkan Anwar upah bapa Saiful sedangkan menteri lebih banyak duit dari dia (Anwar).               

“Alhamdulillah, semakin hari, nama Anwar semakin bersih sekarang dan insya-ALLAH selepas ini, dia akan bebas dari sebarang tuduhan dan fitnah yang dilemparkan terhadapnya,” kata Menteri Besar Kelantan itu kepada media selepas menghadiri majlis bersama veteran Pas di Jalan Dato Lundang, pagi semalam.

Nik Aziz berkata, kini sudah jelas Anwar menerima kifarah di dunia lagi dan mengharapkan Ketua Pembangkang itu akan bebas daripada tuduhan serta menerima pembalasan yang baik di akhirat kelak.
Anwar: Saya sedia hadapi fitnah baru BN
NIZAM ZAIN
10 Mac 2013
Anwar: Saya sedia hadapi fitnah baru BN
Anwar Ibrahim sedang berucap.
Anwar: Saya sedia hadapi fitnah baru BN
Sebahagian penyokong Pakatan Rakyat yang hadir pada Majlis Ulang Tahun Kelima Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor di Shah Alam, malam tadi.
SHAH ALAM - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau bersedia untuk menghadapi serangan fitnah baru dibawa Barisan Nasional (BN) khususnya Umno termasuk cubaan melabel beliau sebagai dalang insiden warga Filipina menceroboh Lahad Datu menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Sehubungan itu tegas Anwar, walaupun sejak akhir-akhir ini banyak tipu muslihat BN dan Umno satu-persatu terbongkar, tidak bermakna cubaan mereka untuk menghancurkan karier politik beliau akan berhasil.
"Cara media perdana mainkan saya (kaitkan) isu Lahad Datu, saya akan hadapinya, namun undur tidak sekali.

"...tipu muslihat mereka terbongkar satu persatu, saya tak rancang pun, tapi ALLAH tunjukkan.

"...muncul (isu klip video) Lingam, kemudian (ahli perniagaan permaidani) Deepak, (penyiasat bebas) Bala dan terkini bapa Saiful Bukhari, beliau sendiri minta maaf kepada saya dan keluarga," katanya pada majlis sambutan ulang tahun kelima pentadbiran Pakatan Rakyat di Selangor, lewat malam tadi.

Menurut Anwar, pendedahan bapa Saiful, Azlan Mohd Lazim kelmarin tidak diketahuinya malah ia juga tidak dirancang kerana beliau yakin ia adalah pertolongan ALLAH dan berkat doa yang tidak putus-putus daripada rakyat.

Pagi semalam sambutan yang serupa diadakan di Pulau Pinang.

Di Georgetown, Anwar yang juga Ketua Umum PKR berkata, dari awal lagi beliau menegaskan bahawa tidak bersalah.

"Mahkamah juga membuat keputusan yang sama apabila ia membebaskan saya tahun lepas," kata Anwar.

"Bagi saya, tiada apa yang berubah kerana dari awal lagi saya telah menegaskan bahawa saya tidak bersalah, bahawa ini adalah satu fitnah yang berniat jahat," kata beliau lagi.

Dalam pada itu, Anwar mendakwa baru-baru terbongkar lagi usaha yang dilakukan BN apabila dana sebanyak RM1.2 juta dibayar kepada seorang penulis berbangsa Yahudi semata-mata untuk memburuk-burukkan dan memfitnah beliau menggunakan pengaruh individu tersebut.

"Dua minggu lalu terbongkar lagi tipu daya Umno apabila wang jutaan ringgit dibayar kepada penulis berbangsa Yahudi untuk membuat kerja-kerja memfitnah dan mencemarkan nama Anwar.

"...dakyah dibongkarkan penulis akhbar New York Times," dakwanya.

Sementara itu, Penasihat DAP Lim Kit Siang turut hadir pada majlis terbabit mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak diberikan mandat dan tidak dipilih oleh rakyat.

Menurut beliau, Najib hanya meneruskan mandat Perdana Menteri terdahulu, Tun Abdullah Ahmad Badawi secara lantikan terus sekali gus ia tidak menjunjung semangat demokrasi yang kerap kali diuar-uarkan pemimpin BN.

Kata Kit Siang, Najib bukan Perdana Menteri yang sah kerana kredibilitinya dipertikaikan banyak pihak susulan beliau mengambil masa yang lama untuk menetapkan tarikh PRU13.
"Buat pertama kali dalam sejarah negara ini yang nasih tidak laksana pilihan raya selepas lima tahun atau habis penggal.

"...mungkin Najib takut dengan ramalan Prof Rahman jadi kenyataan BN apabila hayat BN akan berakhir," katanya.

Selain itu, beliau yakin sekiranya rakyat bersatu padu nescaya kawasan "fixed deposit" Umno-BN di beberapa negeri akan dapat dipecahkan.

"Bukan senang nak ambil alih Putrajaya, tapi ia boleh dicapai, jika rakyat bersatu padu, kita boleh pecahkan fixed deposit Johor, Sabah dan Sarawak," tegasnya.

Seramai 2,500 penyokong hadir majlis itu manakala 10,000 orang pula melayari siaran langsung di TV selangor.

Hadir pada majlis itu Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
PKR: Kenyaatan bapa Saiful boleh bantu Pakatan tarik undi Melayu
Wartawan Sinar Harian
10 Mac 2013
rafizi ramli
Pengarah Strategi PKR, Mohd Rafizi Ramli
SHAH ALAM - Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli percaya pengakuan bapa Mohd Saiful Bukhari kelmarin berhubung kes liwat melibatkan Saiful-Datuk Seri Anwar Ibrahim akan membantu Pakatan Rakyat (PR) khususnya PKR menarik kembali undi kalangan orang Melayu.

Sambil menyifatkan perkembangan itu sebagai sesuatu yang berlaku secara kebetulan, Rafizi mengakui kes itu, yang muncul tiga bulan selepas
Pilihan Raya Umum 2008, ada menghakis arah aliran sokongan pengundi Melayu.

"Saya memang terkejut. Saya yakin ia akan membantu Pakatan dan PKR khususnya dalam menarik pengundi orang Melayu," kata beliau kepada Sinar Harian Online.

Rafizi mengulangi pendirian menyangkal PKR mengatur strategi pendedahan yang dibuat oleh Azlan Mohd Lazim kelmarin iaitu genap lima tahun selepas PRU 2008.

"Tidak, tidak. Bukan kami merancang. Ia bukan strategi yang dirancang oleh kami, PKR.

"Dari segi tarikh 8 Mac, selepas kes Deepak dan Bala, ia berlaku secara kebetulan. Tarikh 8 Mac juga secara kebetulan... saya lihat ia sesuatu yang berlaku kebetulan.

"Jika pendedahan ini satu strategi kami, sudah pasti saya tahu, saya akan dimaklumkan. Tetapi tidak dibangkitkan dalam perbincangan," kata beliau sambil menambah, "kemungkinan kemunculan bapa Saiful juga sebahagian daripada mereka yang mula melihat potensi Pakatan dalam PRU13."

"Sebab itu saya lihat ramai yang mula mendampingi kami, bertemu dengan kami, mengatakan sokongan termasuk bapa Saiful ini," katanya lagi.

Katanya, berbanding isu Sabah, pendedahan bapa Saiful akan memanfaatkan PR menjelang PRU13.

"Isu Sabah, terlalu awal untuk buat kesimpulan," katanya yang membuat perbandingan antara perkembangan insiden pencerobohan ke atas Sabah dan pendedahan bapa Saiful.

Semalam, Anwar, Ketua Pembangkang dan Ketua Umum PKR, mengucapkan terima kasih kepada Azlan atas pendedahan yang dibuatnya semalam bahawa anaknya itu dipergunakan

oleh pihak-pihak tertentu yang mendalangi kes liwat kedua melibatkannya.

Anwar berkata, pendedahan yang dibuat Azlan itu menguatkan lagi bukti konspirasi fitnah jahat yang dilakukan untuk
memenjarakannya.

“Walaupun pendedahannya itu tidak memberi apa-apa perubahan, tapi saya ingin mengucapkan terima kasih kepadanya kerana sanggup buat begitu.

“Dari awal lagi saya tidak bersalah dan mahkamah juga telah putuskan… jadi kenyataan ayahnya (Azlan) itu telah membongkar satu lagi sudut yang kita terangkan sebelum ini walaupun ia tidak dibawa ke mahkamah seterusnya iaitu penglibatan pegawai khas perdana menteri,” katanya.

Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat percaya dakwaan terhadap tuduhan liwat yang dihadapi Anwar akan dapat diselesaikan tidak lama lagi.

“Pendustaan satu masa dulu akan terbongkar, menteri berdusta pun akan terbongkar. Takkan Anwar upah bapa Saiful
sedangkan menteri lebih banyak duit dari dia (Anwar).

“Alhamdulillah, semakin hari, nama Anwar semakin bersih sekarang dan insya-ALLAH selepas ini, dia akan bebas dari sebarang tuduhan dan fitnah yang dilemparkan terhadapnya,” kata Menteri Besar Kelantan itu.
Polis akan panggil bapa Saiful beri keterangan

9 Mac 2013
KHALID ABU BAKAR
KHALID ABU BAKAR
KUALA LUMPUR - Polis akan memanggil Azlan Mohd Lazim iaitu bapa Mohd Saiful Bukhari, dalam masa terdekat untuk mengambil keterangan berhubung kenyataannya semalam, kata Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.
 
Beliau berkata langkah itu diambil bagi mengenal pasti sebab dan tujuan Azlan membuat keterangan sedemikian.
 
"Dalam kes itu, Azlan tidak pernah dipanggil untuk memberi keterangan di mahkamah, dan kalau adapun, keterangan yang dia bagi kepada pihak polis adalah keterangan yang tidak jelas.
 
"Jadi, keterangan itu tidak bernilai dan tidak boleh diguna pakai," katanya kepada pemberita selepas melancarkan program 'Bersatu Memerangi Jenayah' di Kuchai Lama hari ini.


[BANCIAN ONLINE - Susulan kenyataan Saiful Bukhari dan bapanya, Azlan semalam, anda yakin pendirian]

Semalam, bapa Saiful Bukhari tampil memberi keterangan bahawa kes liwat yang melibatkan anaknya dengan ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah satu 'konspirasi politik jahat' untuk memburukkan nama pemimpin utama Pakatan Rakyat (PR) itu.

Sementara itu, di SERI MANJUNG, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar berkata rakyat perlu adil dalam menilai kenyataan Saiful dan dakwaan bapanya berkaitan pertuduhan liwat terhadap Anwar.
 
"Saya terkejut bapa dia tuduh macam-macam kerana Saiful yang jadi mangsa. Rakyat kena adil kepada orang yang mendakwa menjadi mangsa, bukannya hanya nak bercakap, memfitnah dan sebagainya," katanya kepada pemberita selepas majlis Perasmian Pasar Komuniti dan Karavan Daerah Manjung hari ini.
 
Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor itu meminta pembangkang tidak mengambil kesempatan memperguna Azlan dalam isu tersebut kerana bapa Saiful mengaku tidak mengetahui apa yang berlaku.
 
"Dia hanya mendengar daripada perbicaraan, dan dia pernah merungut dengan mengatakan bahawa pihak kerajaan tidak berjumpa dengannya," katanya.
 
Saiful berpegang teguh pada sumpah laknatnya sebelum ini bahawa beliau pernah diliwat Anwar, sekali gus menolak dakwaan Azlan kononnya pertuduhan terhadap Anwar itu adalah satu fitnah.

Saiful berkata beliau percaya isu itu sengaja ditimbulkan bagi mengalih perhatian masyarakat daripada isu 'pengkhianat negara' berikutan kes pencerobohan pengganas Sulu di Sabah ketika ini.
 
Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul pula berkata kenyataan Azlan secara tiba-tiba itu adalah sesuatu yang mengejutkan.
 
"Saya yakin rakyat tertanya-tanya mengapa baru sekarang perkara ini ditimbulkan. Adakah ini cubaan pembangkang untuk mengalih perhatian rakyat terhadap isu yang lebih besar berlaku di negara ini, iaitu pencerobohan di Lahad Datu, Sabah?," katanya.
 
Beliau berkata beberapa pemimpin pembangkang turut mengeluarkan kenyataan tweet 'kantoi' kepada pihak kerajaan sebagai respons mereka untuk menyokong kenyataan Azlan.
 
"Perlu diingat mungkin perkara ini akan berbalik kepada pembangkang juga apabila memainkan isu ini dengan niat untuk meraih sokongan rakyat," katanya. - Bernama
Isteri maut, suami parah ketika mahu hadir kursus haji

10 Mac 2013
KOTA TINGGI - Si isteri maut manakala suaminya cedera parah apabila motosikal mereka bergesel dengan sebuah kereta di Km22, Jalan Sungai Rengit-Kota Tinggi di sini hari ini.
 
Kejadian berlaku kira-kira pukul 7.30 pagi semasa Masiam Sadir, 62, dan suaminya Alimen Alias, 72, dalam perjalanan untuk menghadiri kursus haji di Bandar Penawar.
 
Mangsa meninggal di Hospital Kota Tinggi manakala suaminya dihantar ke Hospital Sultan Ismail, Johor Baharu.
 
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Supt Mohd Nor Rasid berkata kejadian dipercayai berlaku apabila motosikal yang dinaiki pasangan tersebut bergesel dengan sebuah kereta jenis Perodua Myvi yang datang dari arah bertentangan.
 
“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila Perodua Myvi yang menghala ke arah Sungai Rengit memasuki laluan bertentangan sebelum bergesel dengan motosikal yang dinaiki pasangan terbabit," katanya.
 
Jenazah mangsa dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Felda Sening untuk dikebumikan.  - Bernama

Tiada ulasan: