Selasa, 5 Mac 2013

MENCARI ISTERI2 IMPIAN

PAS tetap istiqamah dengan Islam

Tuan Guru Abdul Hadi Awang, 05 Mac 2013
Saya membaca dengan teliti tulisan Tun Dr Mahathir, mantan Perdana Menteri dan Presiden UMNO dalam Utusan Malaysia beberapa hari lalu. Isi tulisan beliau telah mendedahkan hakikat sebenar bahawa itulah kefahamannya terhadap Islam dan sekadar itulah sahaja pembacaannya daripada sejarah perjuangan kemerdekaan. Tanpa merasa bersalah kerana memutarkan fakta sejarah, Tun Dr Mahathir telah menyatakan bahawa penubuhan PAS adalah kerana kebencian dan kedengkian golongan berpendidikan agama terhadap kumpulan berpendidikan barat dan kebangsaan, disebabkan harta dan pangkat, sehingga mencetuskan kebencian dengan isu kafir mengkafir dan lain-lain. Hujah ini bukan sahaja salah dengan fakta sejarah, bahkan menggambarkan fikiran simplistik dan kekeliruan yang amat nyata! Nampaknya beliau berdepan dengan “Denial Sydrome” yang amat parah.

Seluruh kajian sejarah secara ilmiah, oleh kalangan Islam dan Barat mendedahkan agenda penjajahan secara khusus ke atas umat Islam adalah bermatlamatkan permusuhan dan dengki terhadap Islam dan penganutnya, bukan sekadar menakluk bumi dan mengaut hasilnya untuk mereka . Kajian orientalis juga mededahkah bahawa penjajah lebih faham daripada penganut Islam seperti Tun Mahathir. Mereka memahami bahawa rahsia jati diri umat Islam adalah kerana pegangan mereka dengan ajaran Islam yang sempurna sebagaimana yang ada dalam al- Quran dan Sunnah secara menyeluruh, bukan sahaja dalam perkara ibadat, bahkan cara hidup (way of life) yang melibatkan politik, ekonomi dan lain-lain. Snouck Hurgronje (1857- 1936), seorang orentalis Belanda yang membuat kajian terhadap masyarakat Islam menegaskan, bahawa perkara yang paling merbahaya kepada Barat ialah doktrin politik dalam pengajian agama Islam oleh kalangan ulama yang membawa kepada perjuangan menentang penjajah dan menegakkan semula negaranya. Kenyataan ini menunjukkan kepada kita bahawa penjajahan barat adalah juga kerana kedengkian dan permusuhan terhadap agama Islam, bukan semata-mata penjajahan penganutnya sahaja.

Maka agenda pertama penjajah adalah pendidikan, dilaksanakan dengan usaha menyebarkan agama Kristian di kalangan penganut Islam melalui sekolah-sekolah bahasa Barat pada masa itu (Inggeris, Belanda dll), yang menawarkan jawatan tinggi dan harta. Akan tetapi rakyat tempatan iaitu orang-orang melayu masih tetap kuat berpegang dengan agama Islam walau pun jahil dalam ilmu Islamnya. Akhirnya penjajah gagal mempengaruhi masyarakat penganut Islam dengan cara penyebaran agama Kristian dengan cara sedemikian.

Berikutan dengan kegagalan tersebut dilaksanakan pula agenda pendidikan kebangsaan, bagi menanam fahaman fanatik kebangsaan (asobiyyah) yang dijadikannya sama dengan agama Islam. Dalam keadaan jahil agama, rakyat menerima pendekatan penjajah yang membenarkan mereka beribadat dan melakukan upacara agama akan tetapi membiarkan mereka terus jahil Islam dalam hukumnya yang menyeluruh dan tidak berpolitik yang menjadi ancaman kepada mereka.

Pengajian Pondok dan sekolah agama ditubuhkan oleh kalangan ilmuan Islam berkelulusan daripada Makkah, Al-Azhar, India dan lain-lain adalah daripada gerakan tajdid dan islah menentang penjajahan pemikiran terhadap umat. Mereka bukan sahaja berjaya memelihara ajaran Islam yang murni, bahkan juga telah melahirkan ilmuan Islam yang memimpin masyarakat secara percuma, tanpa hasad dengki terhadap mereka yang digajikan oleh kerajaan penjajah, bahkan ramai yang menolak tawaran jawatan kerajaan penjajah.

Pendekatannya ialah ilmu Islam dipertahankan , dalam masa yang sama menerima semua ilmu dari Timur dan Barat yang berfaedah kepada umat dengan jati diri Islam, akidah, syariat dan akhlak, sehingga tidak terpengaruh dengan pemikiran negatif terhadap Islam.

Penubuhan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) pula adalah mata rantai perjuangan kemerdekaan yang berlandaskan Islam, sejak kejatuhan Melaka 1511 dan penubuhan parti-parti Islam selepasnya yang diharamkan oleh penjajah Inggeris dan Belanda. Para ilmuan dan ahli akademik yang mengkaji sejarah sehingga ke peringkat Doktor Falsafah (PhD) telah menemui catatan-catatan penubuhan parti-parti Islam ini, yang masih disimpan dalam Public Record Office di England. Di antaranya ialah penubuhan cawangan Parti Syarikat Islam di Tanah Melayu sejak awal abad dua puluh (1908 dan selepasnya), tetapi diharamkan oleh pihak penjajah British. Kalangan yang sebaya dengan Tun Mahathir tetap tidak lupakan penubuhan Hizbul Muslimin yang diharamkan oleh penjajah dan menyamakannya dengan Komunis dan “bahaya dari gunung”, sebaliknya pihak penjajah membenarkan Parti UMNO yang berteraskan kebangsaan melayu dengan Islam caranya, bergerak dengan bebas di seluruh negara di masa darurat.

Penubuhan PAS pada tahun 1951 pada awalnya dengan mengambil kesempatan daripada muzakarah di bawah anjuran Biro Agama UMNO, bagi membincangkan penggunaan duit loteri untuk kerja kebajikan. Keadaan ini diambil peluan oleh kalangan Islam bukan UMNO dengan menubuhkan NGO Persatuan Islam SeTanah Melayu (PAS). Akhirnya bertukar menjadi parti politik berdaftar, bertanding menentang UMNO, kerana fahamannya yang sesat, apabila memisahkan politik daripada agama Islam, atau politik Islamnya mengikut kehendak penjajah, iaitu Islam tanpa daulat.

Paling menarik penubuhan PAS dan perjalanannya sejak awal, bukan sahaja melibatkan kalangan ulama, bahkan PAS disertai juga oleh tokoh-tokoh berbagai lapangan. Yang Dipertua PAS yang kedua ialah Dr Haji Abbas Alias lulusan Universiti Singapura seperti Tun Mahathir juga, tetapi beliau menolak UMNO kerana ideologinya salah, walau pun ahli UMNO menganut Islam. Bersama PAS juga ialah Datuk Abu Samah (SUK Pahang), Prof Ahmad Ibrahim, Prof Ungku Umar, Aminuddin Baki , Taha Kalu (pegawai polis ), Datuk Wan Ahmad dan lain-lain.

Negara kita ini menerima kemerdekaan melalui permaidani merah yang dibentang, diterima oleh UMNO, dengan syarat-syarat yang ditetapkan oleh British. Tokoh-tokoh PAS juga berjuang kemerdekaan sebelum penubuhannya dengan menghadapi tekanan pihak British, ada yang masuk penjara dan sebagainya. PAS tetap menerima kemerdekaan negara walau pun dengan belenggu penjajahan yang masih ada, khususnya penjajahan pemikiran. PAS tetap menyertai pilihanraya kerana kewajipan politik daripada ajaran Islam, tidak ada kena mengena dengan ulama UMNO yang menuntut sepuluh kerusi dan habuan yang lain. PAS mengemukakan dasar, konsep dan sistem pentadbiran yang berbeza dengan UMNO, walaupun menghadapi tekanan, penipuan dan khianat menjatuhkan kerajaannya di Terengganu dan Kelantan oleh UMNO yang sebangsa dan seagama, dengan cara yang tidak beretika, tidak demokratik dan mencanggahi perlembagaan.

Isu kafir mengkafir bukan ciptaan PAS, tetapi adalah reaksi daripada gejala kelemahan akidah dan kejahilan Islam warisan penjajah yang diteruskan oleh UMNO. Sebaik sahaja ada pihak memperkenalkan syariat Islam yang dilupakan kerana belenggu penjajahan, ramai kalangan orang-orang Melayu yang masih Islam dalam UMNO menghina hukum – hukum Islam dan mengejeknya, melawan nas-nas yang nyata daripada al-Quran dan Hadis Mutawatir, kerana jahil murakkab. Kitab- kitab pengajian aqidah yang menjelaskan perkara-perkara yang membatalkan Iman sudah dilupakan atau jahil. Maka berlakulah pertembungan sengit di antara mereka yang tahu serba sedikit dengan pihak yang menghina Islam secara jahil. Penyakit ini berlaku di seluruh dunia Islam yang baru mencapai kemerdekaan. Bukannya bermula tahun 1981. Beberapa orang ulama PAS menjadi mengsa tahanan ISA di awal tahun enam puluhan lagi kerana fitnah ini. Malangnya pihak UMNO yang memerintah dan yang sepertinya di negeri yang lain, menjadikannya sebagai isu politik untuk memecah dan memerintah seperti cara penjajah.

Para ulama politik Islam di seluruh dunia, termasuk PAS mengambil pendekatan ilmu, dengan menjelaskan semula batas-batas iman dan kufur. Al-Marhum Pak Hamka (1908 – 1981) menulis dalam tafsir Al-Azhar (Juzuk 8 ms 181), al marhum Hassan al-Hudaybi (1891 – 1973) menulis buku dalam bahasa arab dan banyak lagi. Di masa PAS berada dalam kerajaan campuran dan BN, diusahakan melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Jabatan Perdana Menteri menerbitkan kitab Mustika Hadis Jilid Pertama. PAS juga mengajak pihak UMNO dan kerajaan bermuzakarah secara ilmu, walaupun tidak disambut dengan baik, kerana kalangan ilmuan agama dalam UMNO yang penakut (ucapan Tun Mahathir). Keadaannya sudah berubah, sehingga tidak kedengaran lagi ucapan yang menghina hukum Islam atau menafikan adanya politik, ekonomi dan lain-lain dalam ajaran Islam.

PAS menerima hakikat masyarakat majmuk berbagai agama dan kaum dengan petunjuk hukum Islam. Adapun UMNO bergabung dengan MCA dan MIC mengambil pendekatan hukum akal bagi mengekalkan kuasa politik UMNO sepanjang hayat , bertali arus, walaupun mengalami kelemahan yang memalukan umat Islam dan menjatuhkan maruah agama Islam. Kerjasama UMNO dengan MCA, MIC dan lain-lain adalah tanpa memelihara hukum Islam dan maruah umat. Tanpa batas halal dan haram dengan petunjuk agama, tetapi agama ditunjuk mengikut kemahuan manusia supaya diamalkan mana-mana hukum yang difikirkan mendatangkan hasil kewangan. Maka amalan yang haram mengikut tegahan Islam tidak dipedulikan, sehingga arak , judi, riba, rasuah dan lain-lain melibatkan penganut Islam dalam kerajaan dan rakyat. Kelemahan politik umat Islam di Singapura, Pulau Pinang dan negeri-negeri lain di pantai barat adalah strategi salah UMNO. Demi mempertahankan UMNO maka melayu Islam yang menyokong PAS di Kelantan, Terengganu, Kedah, Perak dan lain-lain menjadi mangsa kezaliman UMNO, termasuk pegawai kerajaan dan kalangan ilmuan yang didapati menyokong PAS akan disekat dan disikat dengan sikat besi.

Ada pun kerjasama PAS dengan DAP dan kalangan bukan Islam dalam Pakatan Rakayat adalah berlandaskan Perlembagaan PAS yang meletakkan hukum tertinggi ialah al-Quran dan Sunnah, Ijma’ para Ulama dan Qiyas yang nyata. Pesanan Rasulullah S.A.W. :

والمسلِمونَ علَى شرُوطهم إَّل شَرْ طًا حرم حَلَّل أَوْ أَحل حراما
‫)سنن الترمذي - (ج 5 / ص 119 قَال أَبُو عيسى هَذا حديث حسن صحيح

(Dan orang Islam itu diwajibkan di atas syarat - syarat yang mereka tetapkan, melainkan syarat yang mengharamkan yang halal dan menghalalkan yang haram)

PAS mewujudkan Majlis Syura Ulama bagi merujukkan segala keputusannya dengan petunjuk Islam yang tetap terpelihara, bukan semata-mata berpandukan akal manusia yang sentiasa mengalami kelemahan.

Presiden PAS,
5 Mac 2013 / 22 Rabiul Akhir 1434

Skandal pembalakan di Terengganu

Dr.Syed Azman Syed Ahmad, 05 Mac 2013



Sejak beberapa minggu lepas, media perdana Umno/BN telah menumpukan sepenuh serangan terhadap kerajaan-kerajaan dibawah pentadbiran negeri Pakatan Rakyat terutamanya di Kelantan dan Kedah.

Pelbagai tuduhan tentang kelemahan pengurusan balak yang dikatakan berlaku telah didedahkan melalui media arus perdana hampir setiap hari.

Pada minggu lepas juga saya telah menerima  2 dokumen mengenai urusan pembalakan Skim Kilang Papan (SKP) yang di kendalikan oleh kerajaan Terengganu di bawah pentadbiran Menteri Besar Terengganu, YAB Datuk Seri Ahmad Said. Dua dokumen tersebut adalah;

1) Salinan surat kelulusan membalak SKP yang dikeluarkan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu kepada syarikat- syarikat membalak.

2) Salinan Penama dan syarikat yang terbabit di dalam urusniaga pembelian saham (Share Sale Agreement) yang dikendalikan melalui sebuah syarikat guaman yang beralamat di Shah Alam, Selangor.

Menurut dokumen tersebut, pada pertengahan 2012, Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu telah mengeluarkan surat kelulusan membalak kepada 12 syarikat pembalakan di negeri Terengganu. Keputusan itu diluluskan oleh Mesyuarat Lembaga Mengambil Hasil Hutan negeri Terengganu.

Syarikat-syarikat tersebut telah ditawarkan perjanjian SKP untuk tempuh 5 tahun dan kawasan pembalakan seluas 405 hektar (1,000 ekar) setiap syarikat dengan pembayaran premium pembalakan RM3,700 sehektar kepada kerajaan Terengganu yang mana  jumlah sebenarnya adalah mengikut sukatan sebenar di atas tanah.

Selain, membayar secara rasmi premium kepada kerajaan negeri Terengganu, syarikat-syarikat pembalak tersebut juga dikehendaki membayar sejumlah RM2.5 juta setiap syarikat melalui pembelian saham dengan menggunakan khidmat sebuah syarikat guaman yang tidak ada sebarang kaitan dengan kerajaan Terengganu.

Setelah meneliti kedua-dua dokumen, modus operandi bagaimana pengurusan balak SKP di Terengganu di jalankan adalah seperti berikut;


Syarikat-syarikat yang ditawarkan kawasan pembalakan dikehendaki memeterai satu perjanjian pembelian saham (Share Sale Agreement) dengan seorang penama/proksi untuk membeli saham sebuah syarikat yan telah disediakan.

Syarikat yang dipunyai penama/proksi yang dijual ini selalunya hanyalah berharga RM2 sahaja.

Syarikat ini dijual pada harga yang cukup tinggi dan tidak berpadanan dengan aset dan kedudukan syarikat tersebut yang tidak mempunyai sebarang aktiviti perniagaan.

Secara kebetulan, syarikat-syarikat yang terpaksa membeli saham syarikat dormant pada harga yang tinggi ini dianugerahkan hak membalak di kawasan-kawasan yang ditentukan oleh Kerajaan Negeri Terengganu.

Wang dari jualan tersebut disyaki disalurkan kembali kepada orang-orang tertentu yang mempunyai pengaruh untuk menentukan hak membalak.

Namun kini timbul tanda-tanya banyak pihak apabila syarikat-syarikat terbabit di dalam urusniaga pembelian saham (Share Sale Agreement) seperti mana di atas bukan sahaja dikehendaki membayar ‘premium resmi kerajaan Terengganu’, tetapi mereka juga  terpaksa membayar RM2.5 juta untuk membeli syarikat dormant, yang sebahagiannya hanya mempunyai saham berbayar RM2 sahaja.

Persoalannya, apakah pembayaran RM2.5 juta setiap syarikat ini juga mempunyai kaitan dengan ‘premium pembalakan’ kepada kerajaan negeri Terengganu?

Atau apakah ini merupakan ‘premium pembalakan kedua’ yang terpaksa dibayar oleh syarikat-syarikat pembalakan kepada individu-individu tertentu bagi mendapat kelulusan kawasan pembalakan SKP ini?

Bayangkanlah, apabila sejumlah RM2.5 juta wang ‘under-table’ di kutip dari setiap syarikat oleh mereka-mereka yang tidak bertanggungjawab ini.

Dalam skim SPK ini sahaja, hasil khazanah kekayaan negeri Terengganu sejumlah RM30 juta boleh ‘hilang’ begitu sahaja di tangan mereka-mereka yang rasuah dan tidak beramanah.

Kenapakah ini boleh berlaku dalam pentadbiran Menteri Besar Terengganu yang berslogankan ‘Merakyatkan Pentadbiran’?

Inilah nasib malang negeri Terengganu ‘Darul Iman’ ini. Negerinya amat kaya dan makmur. Akibat salah-urus dan penyelewengan ini, rakyatnya terpaksa menanggung segala bebanan.

Rata-rata rakyat bawahan terpaksa hidup ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’ dan masih terus terperangkap dalam kemelut kemiskinan yang amat menyanyatkan hati.

Namun inilah realiti negeri Terengganu di bawah pentadbiran Menteri Besar Dato Seri Ahmad Said.

Walaupun telah berbelanja lebih RM 10 bilion sepanjang 4 tahun pentadbirannya, hampir setiap bulan akan ada sahaja isu-isu yang mengejutkan banyak pihak; dari kerugian ratusan juta stadiumnya runtuh, kepada kegagalan ratusan juta ‘Taman Ilmu’ di Besut sehingga membawa kepada persoalan tidak beramanah dalam memguruskan hasil dan khazanah negeri.

Ya, siapakah yang akan menjadi pembela kepada  rakyat Terengganu yang amat mengharapkan pembelaan dan keadilan ini? Mungkinkah ‘kuasa rakyat’ akan menjadi penentu dalam pilihan raya umum ke-13 akan datang ini?

--------------------------
Penulis adalah Penolong Setiausaha Agong PAS Pusat. Beliau boleh dihubungi melalui Email: syedazmans@yahoo.co.uk Twitter: syedazman.

Mengapa bomoh tak jadi calon?

Subky Latif, 05 Mac 2013
BETAPA bomoh berperanan dalam politik di Malaysia seolah-olah asam garam bagi UMNO dan kerajaan.
Media telah membangkitkan semula peranan bomoh menjelang  PRU13 betapa masing-masing cuba mendapatkan khidmat nasihat bomoh bagi menjadi calon. Kononnya bomoh telah membantu ramai orang untuk berjaya dalam politik.

Mengapa Perdana Menteri Najib terlalu payah untuk mengadakan PRU13 kononnya tidak mendapat lampu hijau dari para bomoh. Adakah betul?

Tiada yang mustahil kerana kerana hubungan UMNO dengan pemimpin dan ahli-ahlinya dengan dukun dan bomoh adalah rapat, malah masing-masng ada bomoh khas jadi penasihat.

Persaingan untuk menjadi calon di kalangan ahli adalah hebat. Politik wang untuk menjadi ketua cawangan dan ketua bahagian tidak memadai. Orang yang mampu memperniagakan orang memang ramai. Duit banyak. Jawatan pula tidak sebanyak orang yang hendak bertanding. Maka bomohlah penasihat penentu.

Era Najib mengutarakan transformasi calon boleh menang,  pemegang jawatan dalam parti pun belum tentu boleh jadi  calon. Siapa yang boleh bertanya Najib mengapa seseorang dikatakan calon boleh menang  atau tak boleh menang. Maka khidmat bomoh jadi rujukan terakhir supaya masing-masing disukai oleh Najib  dan isterinya.

Najib sendiri tidak cukup kalau isterinya tidak  tertarik. Maka nasihat bomoh amat penting supaya isteri Najib perkenan.

Malah sejak zaman Tunku Abdul Rahman Putra lagi bomoh sudah berperanan. Bila tarikh pilihanraya, kononnya Tunku tanya bomoh. Memang Tunku mendapatkan nasihat Mufti Pulau Pinang, datuk Tun Abdullah Badawi iaitu Haji Abdullah Fahim untuk menentukan  tarikh kemerdekaan. 31 Ogos     1957 diberi oleh mufti itu.

Malah pada malam setiap pilihanraya, Tunku dikatakan memakai baju khas yang sama. Adakah ia juga nasihat bomoh.

Kata Tan Sri Abdullah Kok Lanas dalam tulisannya orang UMNO jumpa bomoh untuk jadi calon, exco malah jadi menteri. Seolah-olah bomoh itu besar  sangat pengaruhnya.

Jika bomoh dapat membantu orang untuk menjadi calon, jadi wakil rakyat,  exco dan menteri apakah dukun itu sendiri tidak terfikir supaya mereka saja jadi calon?

Mengapa bomoh tidak berpakat sama sendiri mereka saja jadi  calon di tempat masing-masing? Daripada memberi peluang kepada orang, apa salahnya mereka sendiri merebut peluang itu. Biar semua MP terdiri dari bomoh dan semua ADUN bomoh belaka.

Bomoh boleh buat parti sendiri atau bomoh juga boleh menggunakan UMNO yang ada. Mereka tidak perlu  guna politik wang dan tidak perlu lobi sesiapa.  Mereka gunakan saja ilmu bomoh masing-masing untuk menjadi ketua cawangan dan ketua bahagian.

Biarkan orang UMNO bersusah payah buat kerja mencari penyokong dan bila mereka datang jumpa bomoh, bomoh jampi supaya mereka tidak terpilih sebaliknya bomoh gunakan ilmu itu untuk menaikkan dirinya.

Bagi memastikan kuasa orang  Melalyu tidak terhakis, bomoh boleh gunakan kepakarannya bertanding di kerusi ramai Cina. Biar calon DAP dan MCA kalah supaya kawasan itu berwakil rakyat bomoh Melayu.

Sekarang orang UMNO amat susah hati  dengan DAP. Kali ini bomoh Melayu Pulau Pinang bertanding dengan Lim Guan Eng dan Karpal Singh. Bomoh Ipoh pula lawan Lim Kit Siang.

Dari bomoh diperalatkan oleh orang UMNO, baiklah bomoh sendiri rebut peluang itu. Biar bomoh jadi Perdana Menteri dan Menteri Besar.

Sukarelawan ke Lahad Datu

Nasrudin Hassan, 05 Mac 2013
1. Memandangkan pencerobohan di Lahad Datu dan Semporna, Sabah masih berlarutan dan keadaan belum reda, sedang mempertahankan kemuliaan Islam, kedaulatan negara dan keselamatan rakyat adalah satu kewajipan yang  telah ditetapkan oleh oleh syarak, maka...

2. Dengan Nama Allah swt Tuhan yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang, dengan segala kerendahan diri yang penuh keinsafan dan kesedaran mengharapkan redha Allah swt ....

3. Saya mewakili DPPM dan seluruh warganya dengan ini menawarkan diri untuk turun menjadi tenaga sukarela bagi membantu mempertahankan kemuliaan Islam, kedaulatan negara dan keselamatan rakyat tanpa syarat jika tenaga kami diperlukan. [Namun tindakan kami tertakluk kepada kebenaran dan arahan pihak berkuasa negara.]

4. Saya juga menggesa agar seluruh rakyat negara ini mempunyai semangat yang sama termasuklah badan politik dan badan-badan bukan kerajaan seperti  Perkasa dan lainnya bersedia jika negara memerlukan kita.

5. Semoga Allah swt memberikan kekuatan kepada kita semua dan memelihara agama, negara dan rakyat dari ancaman yang merosakkan kesejahteraan dan keharmoniannya. Jua doa kita agar Allah swt mencucuri rahmat ke atas ruh para syuhada yang terdiri  perajurit atau wira negara yang telah terkorban di medan.  Al Faatihah.

Nasrudin bin Hassan
Ketua DPP Malaysia.


Mencorak Masa Depan

Salam dari :
Aku Pejuang Islam ~API~

Mencari negara impian

Nik Azri bin Nik Mohamed Arriff, 04 Mac 2013
Setiap detik tanpa disedari, kita sebenarnya hidup dalam impian khusus dan tersendiri sama ada sekadar datang di kotak pemikiran kemudian berlalu pergi atau harapan tersebut diterjemahkan secara realistik melalui tindakan yang konstruktif. Mungkin salah satu impian murni itu termasuklah keinginan untuk melihat negara tercinta, Malaysia berada di landasan negara suci bersyariat, dipayungi barisan saf pemimpin beramanah yang sentiasa bahu-membahu dengan sekalian rakyat jelata ke arah cita-cita memenangi wawasan duniawi selain memiliki kejayaan ukhrawi. Impian ini sentiasa hidup, subur dalam hati nurani warganegara malaysia. Sejarah serta nostalgia, andai dibuka lipatan khazanahnya satu per satu, tentu sekali akan memaparkan kisah agung sewaktu kegemilangan Rasulullah SAW menyebarkan kalimah tauhid di kota tamadun umat Islam, Madinah al-Munawwarah. Di situlah, lahirnya bumi subur untuk tanaman dan ternakan, ditunjangi oleh akidah rakyatnya yang kental. Khalifah-khalifah sejati pun telah mewarnai rekod unggul kepimpinan Islam sehingga memberi contoh terbaik kepada manusia sejagat. Mereka mentadbir menggunakan sifat amanah dan timbang tara keadilan.

Dalam konteks ini, sifat amanah dan keadilan dibicarakan sangat jelas dalam kalam suci al-Quran. Firman Allah SWT, surah an-Nisa ayat-58 yang bermaksud:

“Sesungguhnya, Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menetapkan hukum antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menetapkan hukum dengan adil. Sesungguhnya, Allah dengan (suruhan-Nya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa mendengar, lagi sentiasa melihat.”


Hakikatnya, kekuatan sesebuah negara bukan semata-mata tergambar kepada hasil-mahsul yang dimiliki atau sejauh mana wilayah taklukan tetapi lebih penting ditandai oleh kefahaman warganegaranya terhadap falsafah tauhid, serta memahami tugas besar selaku khalifah Allah di muka bumi dalam misi siginifikan memartabatkan ad-din.

Menurut Dr Hamka dalam Tafsir al-Azhar, asbabun nuzul bagi ayat tersebut mempunyai kaitan amat rapat dengan peristiwa penerimaan kunci Kaabah daripada Uthman ibn Talhah kepada Rasulullah SAW. Simbolik penerimaan itu merupakan sifat amanah, prinsip keadilan, dan ciri luhur seorang pemimpin. Latar belakang yang sama ditafsirkan oleh para mufassirin yang lain. Oleh itu, perspektif adil tidak patut dilihat pada sudut yang kecil malahan merangkumi kesemua aspek daripada sebesar-besar kehidupan bernegara sehinggalah ibadah harian.

Asbabun nuzul yang serupa dijelaskan oleh Ibnu Kathir dalam tafsirnya iaitu Tafsir al-Quran al-Azim. Ibnu Kathir menambah bahawa Rasulullah SAW selepas itu memasuki Baitullah sewaktu Fathu Makkah dan membaca ayat, “Sesungguhnya, Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya).” Sejurus itu, Rasulullah SAW menyerahkan kunci Kaabah kepada Uthman ibn Talhah kembali. Bagi ayat “... dan apabila kamu menetapkan hukum antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menetapkan hukum dengan adil ...,” Muhammad bin Ka’ab, Zaid bin Aslam, dan Syahr bin Hausyab menyatakan, “Sesungguhnya ayat ini diturunkan untuk para umarak iaitu para pemutus hukum antara manusia.”

Bertepatan dengan surah an-Nisa ayat 58 ini, maka sewajarnya seluruh umat Islam mengambil pengajaran dan iktibar tentang realiti politik semasa, mencontohi sikap yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW semasa memimpin ummah. Rakyat yang celik siasah pasti mempengaruhi tata cara bernegara. Akhlak mulia  mengatasi politik ketakutan (politics of fear) termasuk sindrom penafian (denial syndrome). Bagi membentuk negara yang berdaya saing tetapi mematuhi akar keimanan dan hukum Allah SWT, pasak kepimpinan sendiri perlu utuh mengimani dan meyakini ayat-ayat al-Quran dan melaksanakannya dengan sedaya hati.

Secara sosiologi, hal ini melibatkan pilihan rakyat terhadap corak pemerintahan yang ingin dibina dalam negara. Rakyat keseluruhan perlu memahami jenis kerajaan bakal dibentuk melalui sistem yang dirangka dan diguna pakai dalam sesebuah negara. Di Malaysia, sejak pascamerdeka, sistem demokrasi berparlimen dilaksanakan untuk memilih tonggak kepimpinan atau kerajaan dalam tempoh lima tahun. Melalui wadah berikut, rakyat yang bijaksana sentiasa mengikuti perkembangan isu-isu paling berpengaruh bagi landskap politik terkini tanpa emosi berlebihan ataupun menolak semangat partisan melampau sebelum memutuskan suatu pilihan terbaik untuk masa depan generasi mendatang Malaysia.

Secara langsung, rakyat perlu diterapkan dengan pemikiran sihat dan budaya politik matang supaya mereka faham tentang keperluan menuntut kerajaan adil dan saksama di negara ini. Kefahaman terhadap sesuatu perkara amat diperlukan agar pertimbangan dapat terlaksana mengikut lunas-lunas syariat. Sekiranya masyarakat diterapkan dengan konsep siasah syar’iyyah dan kesan-kesan kebaikan melaluinya, sudah pasti komuniti akan lebih cakna serta prihatin mengenai peristiwa yang berlaku di sekeliling, dasar yang digubal, malah model politik negara. Siasah syar’iyyah menurut Ibnu ‘Aqil merupakan apa-apa sahaja tindakan pemerintah yang membawa manusia kepada kebaikan dan menjauhkan keburukan walaupun tidak ditetapkan oleh Rasulullah SAW atau tidak terkandung dalam wahyu. Segala nilai makruf yang dibawa harus disokong dan diberikan penilaian sewajarnya.

Analogi Imam al-Ghazali selaku hujjatul Islam yang masyhur tentang siasah syar’iyyah amat menarik dan membawa kepada persoalan besar untuk didiskusikan secara akademik. Imam al-Ghazali merujuk syariat kepada dasar atau asal sesuatu perkara manakala kerajaan itu sebagai pengawal atau penjaga. Secara implisitnya, sesuatu yang tidak mempunyai dasar, pasti akan runtuh dan sesuatu yang tidak ada pengawal, pasti mudah hilang. Masyarakat perlu bertanya, apakah kerajaan telah berfungsi sebagai pengawal dan penjaga? Apakah negara tercinta ini sudah miliki dasar kukuh yang menegakkan kalimah tauhid?

Pertanyaan-pertanyaan seperti ini membuka ruang intelektual dalam kalangan rakyat apabila mereka mula tahu untuk membezakan kerajaan yang adil dan sebaliknya. Setiap Mukmin yang kental mesti berusaha untuk menentukan pemimpin yang mengamalkan pentadbiran berkesan dan berwibawa (good governance) melalui proses maqasid syariah. Tujuan paling utama adalah untuk memastikan keselamatan masyarakat dari semua aspek seperti nyawa, akal, agama, kehormatan diri, dan harta-benda. Rakyat tidak boleh sekali-kali berada dalam zon selesa atau galak mencanangkan kegemilangan silam tetapi secara mendasar perlu menapis ideologi, persepsi, dan mentaliti mengikut sukatan syariah. Anak-anak muda perlu cega dengan permasalahan sosial yang berleluasa seperti jenayah, hedonisme, atau lebih bejat penyakit akidah.

Contoh terbaik yang mesti diteladani oleh warganegara Malaysia pastinya gerakan pemuda Ashabul Kahfi yang memilih dengan iman bukannya perasaan, melawan dengan tauhid bukan sewenang-wenangnya bertaklid. Dikisahkan tujuh orang pemuda yang tumbuh sebagai belia beriman, mempertahankan akidah serta akhlak daripada dirosakkan oleh Dikyanus, pemerintah zalim. Mereka melarikan diri ke gua sambil melontarkan prinsip yang jitu seperti dinyatakan dalam al-Quran, maksudnya:

“... dan Kami telah meneguhkan hati mereka sewaktu mereka berdiri lalu berkata: Rabb kami ialah Rabb langit dan bumi, kami sekali-kali tidak menyeru Tuhan selain-Nya, jika kami menyembah selain daripada-Nya Nya bererti kami telah mengatakan penyelewengan yang sangat jauh’ ....” (Surah al-Kahfi : ayat 13)


Inilah falsafah unggul yang diwahyukan oleh Allah SWT khususnya untuk para pemuda supaya bangkit mempertahankan hak dan konsisten menentang kebatilan. Allah SWT menunjukkan kekuatan rohaniah yang dimiliki oleh gerakan Ashabul Kahfi sebagai manifestasi pentingnya masyarakat untuk berada di hadapan bagi membuat pilihan setepat mungkin. Di Malaysia, natijah kepada pilihan tersebut dijelmakan melalui polisi-polisi dalam ekonomi, pendidikan, dan kebajikan rakyat. Sesudah lima dekad merdeka, penilaian perlu dibuat segera sama ada roh Islam benar-benar disuburkan atau masih tenggelam bersama-sama retorik indah yang dilaung-laung untuk pihak tertentu. Ruang demokrasi mesti digunakan setulus-tulusnya oleh kita semua, rakyat Malaysia bagi meletakkan indikator kemajuan selari dengan barisan kepimpinan berintegriti.

Seterusnya, rakyat perlu menilai tentang kebajikan rakyat yang diamanahkan kepada pemimpin negara. Kita tidak mahu jurang antara rakyat terlalu besar malah menguntungkan para kapitalis sehingga ekonomi masyarakat miskin terus-menerus didaifkan tetapi dalam masa yang sama pemilik syarikat besar mengutip harta kekayaan. Indeks rasuah meningkat, integriti pemimpin sering dipersoalkan, sosial kacau-bilau, dan kemajuan pendidikan juga merosot merupakan sejumlah petanda kepada rakyat supaya berfikir tentang masa depan yang lebih baik. Rakyat miskin perlu diberikan perhatian sewajarnya supaya negara kekal aman dan tidak ditimpa musibah akibat perbuatan sendiri sebagaimana yang pernah dinukil oleh pemikir besar, Raja Ali Haji dalam Syair Nasihat:

Kehidupan rakyat janganlah lupa
Fakir, miskin, hina, dan papa
Jangan sekali tuan nan alpa
Akhirnya bala datang menerpa.

Walau bagaimanapun, untuk melakukan sesuatu keputusan, tindakan tidak boleh dibuat berdasarkan emosi dan kecenderungan tertentu. Dalam hal ini, rakyat perlu menyelami mutiara-mutiara naqli yang dititipkan melalui mukjizat agung dan wahyu unggul iaitu al-Quran. Hal ini sesuai dengan sifat al-Quran yang syumul, merentasi semua tempat dan zaman. Di sinilah keperluan rakyat untuk mengakrabi kandungan sucinya, belajar berhujah secara matang berdasarkan dalil dan nas. Jika fenomena ini tidak berlaku, sudah tentu umat Islam tidak akan proaktif dan sering dipandang rendah oleh para orientalis. Padahal seawal wahyu pertama lagi, Islam mengajar manusia dengan falsafah ilmu yang cukup besar - Iqra’.

Dasar ilmu dan metodologinya mesti menyerap ke dalam jiwa supaya pilihan terbaik dalam semua aspek seperti politik, ekonomi, dan sosial dilaksanakan dengan berkesan. Budaya membaca dan meneroka ilmu patut menjadi prioriti supaya masyarakat tidak terus terkebelakang diserapi racun modenisasi ciptaan Barat. Sejarah pada 300 Masihi menjelaskan segala-galanya tatkala runtuhnya jagat intelektual di Mesir apabila Perpustakaan Iskandariah dibakar oleh Julius Caesar sehingga inti pengetahuan dan peradaban bertukar wajah. Umat Islam hilang identiti, susut akhlak, malah lebih menyedihkan apabila politik Islam menjadi lemah. Penyelesaiannya, kerangka al-Quran merupakan nadi yang bakal menghidupkan kelangsungan hayat sesebuah negara termasuk Malaysia kerana berfungsi sebagai tunjang dan dustur umat. Isi kandungannya telah melewati segenap penjuru kehidupan merangkumi cara hidup bernegara, disokong oleh hadis dan pandangan ulama. Rakyat yang dekat dirinya dengan al-Quran bertindak sebagai modal insan dalam negara, mengemudi tenaga kerja dengan efektif di samping memberi pendapat mengikut hujah-hujah al-Quran yang komprehensif.

Syed Qutb dalam adikaryanya Ma’alim fit Thariq menyarankan masyarakat agar membentuk generasi Qurani bagi mengembalikan kejayaan umat pada zaman Rasulullah SAW dan para sahabat. Generasi Qurani yang unik inilah merupakan senjata paling ampuh dan selayaknya ditempatkan sebagai pengemudi negara tanpa rasa syak wasangka lagi. Syed Qutb menyebut bahawa mereka dapat diapungkan ideanya kerana menjadikan al-Quran sebagai pedoman hidup, panduan kehidupan, dan penanda aras paling besar dalam hayat mereka. Kini, tidak dapat dinafikan lagi betapa realiti di Malaysia sangat membimbangkan terutamanya apabila golongan yang mengalirkan ideologi mengelirukan kian menyusup masuk tanpa segan-silu.

Faham asing dari Barat yang membenci Islam dibiarkan menular dalam kalangan umat Islam sehingga mencabar kepimpinan Islam. Maka, setiap individu Mukmin perlu bertindak sebagai daie yang menyebarkan ayat-ayat al-Quran kepada kelompoknya sehingga hidayat al-Din atau hidayat Ilahi tersebar luas di pelosok alam. Untuk mendekatkan diri kepada al-Quran, umat Islam perlu membenarkan pengertian al-Quran sebagaimana takrifnya, mematuhi suruhan al-Quran dan meninggalkan tegahannya, memahami dan mengenali isi kandungan, menghayati dan menyebarkan ajarannya, memelihara kesucian dan mempertahan kemuliaan al-Quran, dan terakhir, membaca ayat-ayatnya sebagai ibadah kepada Ilahi selain membenarkan seluruh kandungannya. Semua pihak di Malaysia perlu tampil ke hadapan mengoptimumkan pembudayaan al-Quran supaya tertegaknya kekuatan ummah dan mampu menepis cemuhan terhadap Islam menggunakan ayat suci al-Quran.

Tanpa persoalan lagi, seluruh rakyat perlu kembali kepada ajaran al-Quran. Di tangan rakyat Malaysia sendiri, terletaknya pilihan sama ada untuk melihat dan menghayati generasi baharu yang tumbuh dengan teras agama atau tumbuh subur bersama-sama pendidikan seimbang dari segi material dan spiritual. Demokrasi unggul tidak boleh dijadikan sebagai cogan kata yang dicanang-canangkan secara keterlaluan sedangkan masalah semakin serius, namun dapat dijadikan alat yang berfungsi sebagai medium untuk masyarakat memilih apa yang terbaik untuk diri mereka sendiri. Masa depan yang terjamin, akidah yang suci, dan taraf kehidupan lebih teratur amat diimpi-impikan oleh semua rakyat Malaysia. Masyarakat yang datang daripada pelbagai lapisan termasuk ilmuwan, guru, penjawat awam, polis, tentera, peniaga kecil serta besar, mahasiswa, dan lain-lain bangkit membina ketetapan: mahukan keadilan buat semua! Dari desa ke bandar, masyarakat menjadi celik siasah. Mereka kini memahami erti amanah dan makna keadilan, secara serius mengetahui betapa perlunya kita kembali dipimpin oleh nur al-Quran. Tidur atau jaga, bangkit atau lena, rehat atau bekerja, segala-galanya kini terpusat kepada kekuatan pimpinan yang saksama melalui pilihan-pilihan terbaik yang akan diputuskan oleh kita semua.

Kesimpulannya, masalah umat Islam bukanlah terletak kepada kekurangan komoditi atau kemahiran tenaga kerja tetapi banyak diruntuhkan oleh insan-insan haloba dan tidak memahami gagasan besar dalam Surah an-Nisa ayat 58 kerana mereka diberikan amanah tetapi tidak menyempurnakannya, apabila menetapkan hukum, mereka tidak berlaku adil terhadapnya. Oleh itu, rakyat mesti berusaha mencari kebenaran dan menegakkan keadilan sosial berdasarkan pola politik mengikut syariat selain meniti landasan al-Quran. Ternyata, kehidupan ini amat sementara; pemimpin negara datang dan pergi, generasi lahir dan tersebar, namun akhirnya kebenaran Islam tetap unggul di persada. Benarlah firman Allah SWT dalam, maksudnya:

“Maha Suci Allah yang di tangan-Nyalah segala kerajaan dan Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu. Yang menjadikan mati dan hidup supaya Dia menguji sesiapa antara kamu yang lebih baik amalannya dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun.” (Surah al-Mulk : ayat 1-2)


Semoga impian untuk menghidupkan baldatun toyyibatun wa rabbun ghafur, negara yang aman, makmur, serta mendapat keampunan Allah SWT dapat direalisasikan dan terus subur di hati manusia bergelar Mukmin.

* Nik Azri bin Nik Mohamed Arriff berasal dari Kampung Raja, Terengganu. Nik Azri kini belajar di Institut Pendidikan Guru, Kampus Kota Bharu.

Tiada ulasan: