Selasa, 5 Mac 2013

MASALAH TETAP ADA LEBIH2 TAK IKUT ISLAM

Tidak mahu menyerah, sedang 'beristirehat'

Harakahdaily, 05 Mac 2013
KUALA LUMPUR: Laporan portal berita Philippine Daily Inquirer menyebut kumpulan bersenjata yang kini berdepan serangan pasukan keselamatan Malaysia, tidak akan menyerah malah menegaskan akan berjuang sehingga titisan darah terakhir.

Laporan itu menyebut, jurucakap kesultanan Sulu Abraham Idjirani (gambar) memberitahu demikian kepada satu stesen radio selepas dihubungi ketua kumpulan itu, Azzimudie melalui telefon.


"Tidak. Tidak menyerah," kata Idjirani, yang menambah Azzimudie dalam perbualan terakhir mereka melalui telefon memberitahunya bahawa mereka kini sedang "beristirahat".

Idjirani juga dilaporkan berkata, kumpulan bersenjata itu akan mencari jalan untuk keluar dari keadaan bahaya demi kelangsungan mereka.

Namun masa panggilan itu dibuat tidak dinyatakan.

Sementara itu, AFP melaporkan Jurucakap Presiden Benigno Aquino III berkata, Filipina telah melakukan sedaya upaya bagi mengelakkan pencerobohan di Sabah berakhir dengan pertempuran.

Namun katanya, kumpulan yang mendakwa pengikut kepada Jamalul Kiram III, pewaris kepada Sultan Sulu itu memilih 'jalan sendiri'.

Setiausaha Luar Filipina, Albert del Rosario pula dilaporkan masih berada di Kuala Lumpur untuk berunding dengan Menteri Luar di Malaysia bagi menyelesaikan kemelut itu.

Difahamkan Filipina meminta pihak berkuasa Malaysia untuk membantu menyediakan perjalanan keluar yang selamat dari Sabah untuk wanita Filipina dan mereka yang bukan penceroboh bersenjata.

Dr Hamdan ziarah rakyat hingga ke dapur

Izwan Abdul Halim, 05 Mac 2013

(Dr Hamdan memeriksa seorang warga emas yang juga pengundi di kawasannya ketika ziarah beliau)


ALOR SETAR: Teratak penduduk menjadi destinasi wajib bagi Datuk Dr Hamdan Mohamed Khalib setiap kali berada dalam Dun Tanjong Dawai.

Beliau lebih selesa berziarah ke rumah penduduk mengamati kehidupan mereka berbanding mengadakan program menghimpunkan orang ramai kepadanya.

Hampir kebanyakan rumah dilawatinya jika diizinkan masuk, beliau pasti menjelajah hingga ke dapur.

‘Jelajahnya’ itu menghayati norma harian penduduk dalam diam.

Barangan sumbangan sentiasa tersedia di dalam kenderaan yang selalu dipandunya sendiri dengan disertai beberapa pegawai pusat khidmat beliau.

Tidak cukup dengan pemberian dari pusat khidmatnya, acapkali juga beliau pantas menghulurkan wang tunai terutamanya anak-anak penduduk yang masih di alam persekolahan.


Ikuti laporan khas oleh Harakah  Jumaat ini.

Siapa yang main poltik dengan isu keselamatan

Mohamed Hanipa Maidin, 05 Mac 2013
Satu budaya politik di negara ini adalah jika Umno, melalui medianya, mendapati wujudnya mana -mana kenyataan pemimpin Pakatan Rakyat yang dilihat berbeza dari versi kerajaan, maka kita akan menyaksikan skrip seperti berikut. Utusan dan TV3 akan mula menyerang pemimpin tersebut selama beberapa hari dan adakalanya berminggu, diikuti oleh demonstrasi dan laporan polis oleh golongan yang suka dilihat sebagai pencacai Umno. Jika skrip itu lebih tebal maka pemimpin PR tersebut akan dipanggil polis untuk disoal dan skrip itu kadangkala berakhir dengan pendakwaan di mahkamah.

Itulah yang terjadi pada Haji Mohd Sabu di dalam isu Bukit Kepong. Utusan dan TV3 serang beliau lebih kurang 20 hari diikuti dengan 1,000 lebih laporan polis ke atas beliau,  dipanggil polis untuk disoalsiasat dan akhirnya didakwa di mahkamah. Nurul Izzah juga diganggu dengan modus operandi yang sama kecuali beliau tidak didakwa seperti Mohd Sabu.

Kini nampaknya giliran YB Tian Chua. Fasa serangan ke atas Tian Chua kini di peringkat serangan bertalu-talu oleh media Umno diketuai oleh Utusan dan TV3, demonstrasi ke atas Tian Chua oleh mantan-mantan pegawai atasan polis dan laporan polis. Mungkin sehari dua ini polis akan panggil Tian Chua dan tidak mustahil Ghani Patail akan sempurnakan skrip Umno dengan mendakwa Tian Chua.

Saya "termenonton" berita di TV 3 tentang demonstrasi oleh mantan pegawai atasan polis ke atas Tian Chua. Salah seorang peserta demonstrasi tersebut menyebut bahawa isu keselamatan negara tidak boleh sama sekali dipolitikkan. Saya tersenyum dengan kenyataan tersebut tetapi saya juga bersetuju seratus peratus dengan kenyataan tersebut. Ya, isu keselamatan negara tidak sewajarnya dipolitikkan. Namun kita berhak bertanya, jika benar Tian Chua dilihat mempolitikkan isu Lahad Datu bagaimanapula dengan Umno dan media yang menjadi proksi Umno? Adakah mereka tidak mempolitikkan isu Lahad Datu atau isu keselamatan negara?

Bukankah Utusan sendiri melaporkan kononnya Anwar Ibrahim terlibat dalam isu Lahad Datu? Tidakkah ini dilihat mempolitikkan isu tersebut?  Bukankah kegagalan pihak kerajaan BN melalui agensi -agensi keselamatannya mengawal keselamatan di persisiran laut di Sabah menyaksikan para penceroboh yang lengkap bersenjata yang menggelar diri mereka  sebagai tentera Kesultanan Sulu boleh dengan mudah menyelusupi masuk tanah air kita dan berkubu di Felda Sahabat 17 di Kampung Tanduo di Lahad Datu pada 9 Februari yang lalu.

Kenapakah kegagalan Kerajaan BN menjaga dan mengawal keselamatan negara hingga penceroboh bersenjata mudah masuk ke negara ini tidak dikritik oleh Umno dan media proksinya? Mengapa Anwar yang tidak memegang kuasa dipersalahkan? Jika ini bukan mempolitikkan isu Lahad Datu apakah namanya tindakan ini?

Isu keselamatan negara juga melibatkan isu pemberian kad pengenalan kepada bukan warganegara dengan begitu mudah dan secara arbitrari seperti yang didedahkan dalam perbicaraan Suruhanjaya DiRaja di Sabah. Bukankah tindakan yang amat tidak bertanggungjawab itu menunjukkan kerajaan BN sanggup berkompromi tentang isu keselamatan negara bagi menyelamatkan kuasa dan survival politik mereka dengan cara yang paling tidak bermaruah?

Wajarkan golongan imigran yang baru beberapa bulan atau tahun duduk di negara tanpa dkenalpasti kesetiaan mereka kepada negara ini dengan mudah diberikan IC biru meskipun permohonan mereka tidak disokong oleh apa-apa dokumen? Tidakkah satu perkara yang pelik Datuk Ambiga yang vokal meminta kerajaan mengadakan pilihan raya yang adil dan bersih ingin ditarik warganegaraannya sedangkan para imigran begitu mudah diberi kerakyatan. Tidakkah satu yang aneh penceroboh bersenjata yang jejaskan keselamatan negara mudah mendarat dan berkubu di bumi Lahad Datu dan tidak dihalau balik sedangkan Senator Australia dan aktivis alam sekitar Taiwan yang datang ke negara ini dengan secara sah dihantar balik hanya kerana suara mereka dilihat mengancam BN.

Amat malang kita tidak menyaksikan mantan pegawai pegawai atasan polis yang berdemontrasi ke atas Tian Chua tidak pula menunjukkan reaksi yang sama atas isu pemberian kerakyatan dan kad pengenalan kepada bukan warganegara secara berleluasa di Sabah dalam keadaaan penerima IC tersebut tidak layak diterima sebagai warganegara.

Adakah pegawai pegawai polis kanan ini juga dilanda sindrom "demonstrasi terpilih". Adakah kegagalan mantan pegawai pegawai atasan polis ini bersuara jauh sekali berdemontrasi dalam isu pemberian IC kepada bukan warganegara menunjukkan mereka juga ada pengetahuan tentang isu tersebut dan mulut mereka digam oleh BN?  Atau adakah polis tersebut merasakan pemberian IC kepada bukan warganegara tanpa mengikuti prosedur undang-undang tidak melibatkan isu keselamatan negara kerana operasi tersebut boleh memenangkan BN di dalam pilihan raya dan BN boleh terus berkuasa dulu, kini dan selamanya?

Untuk mereka ..Janganlah rosakkan nama polis dengan dilihat polis sebagai pencacai Umno!!

Benarkah negara kita selamat?

Aspan Alias, 05 Mac 2013
Kalau difikirkan sedalam-dalam apa yang berlaku di Sabah sejak tiga minggu yang lepas dan hasilnya (kematian lapan orang anggota keselamatan) yang kita terima, kita sedang berada di dalam keadaan yang begitu ‘crucial’. Masalah bagi kita pula dalam menghadapi isu seperti ini, kita tidak dapat memberikan komen kerana pihak kerajaan akan menjawab yang isu keselamatan seperti ini bukannya orang awam seperti kita untuk membuat komen.
Tetapi dalam keadaan sekarang rakyat berhak untuk memberikan komen-komen kerana negara ini adalah hak rakyat dan merasakan keresahan dengan tahap keselamatan negara kita yang tercinta ini. Rakyat yang begitu lantang mengkritik tentang kelalaian kerajaan tentang pendatang asing ini tidak digemari oleh mereka yang membawa masuk mereka (pendatang asing) ini dahulu.

Rakyat merasakan tindakan membawa masuk pendatang asing itu sebagai satu pengkhianatan kepada negara tidak disukai oleh pihak yang mahukan pendatang asing itu berada di sini kerana politik dan kepentingan peribadi mereka. Bak kata perpatah ‘sudah terantuk baru hendak mengadah’ itu benar-benar terjadi. Tidak salah lagi pandangan orang ramai yang tindakan pimpinan negara memberikan kad pengenalan kepada ratusan ribu rakyat asing di Sabah dahulu merupakan satu isu keselamatan kepada negara kita.

Pencerobohan yang dilakukan oleh pengikut Sultan Sulu itu adalah pencerobohan yang dilakukan oleh mereka yang kita kenali. Malahan ketua kumpulan penceroboh itu adalah anak menantu kepada salah seorang ketua cawangan UMNO di Sabah dan seorang lagi penceroboh itu adalah besan kepada seorang lagi ketua cawangan UMNO di Negeri Bawah Bayu itu.

Pasukan polis kita tidak pula kemampuan untuk berhadapan dengan kumpulan bersenjata ini mungkin kerana tidak ada pengalaman berhadapan dengan situasi sebegini. Setakat ini PDRM hanya berpengalaman berhadapan dengan rakyat sendiri yang tidak berenjata seperti peserta rally Bersih dahulu sahaja. Kalau dengan rakyat sendiri yang lemah dan tidak bersenjata Polis kita menunjukan garang mereka yang hebat-hebat.

Penceroboh ini mungkin mempunyai kad pengenalan negara kita juga dan tempat mereka mendarat itu merupakan tempat yang mereka begitu ‘familiar’ dan bukannya tempat yang asing bagi mereka. Mereka begitu mengenali selok belok Lahat Datu, Kunak mahupun Semporna dan tidak menjadi masalah bagi mereka untuk bergerak secara mudah jika mereka melakukan pencerobohan.

Apabila ‘incursion’ ini berlaku satu perkara yang menjadi kehairanan bagi banyak orang awam yang memerlukan perlindungan pihak keselamatan kita bertanya, ‘kenapa Polis pula yang mengendalikan isu ini, kenapa tidak tentera kerana ini melibatkan ‘invasion’ orang asing dan kenapa begitu mudah nyawa anggota keselamatan kita melayang?’ Rakyat bertanya lagi kenapa tunggu sampai hampir tiga minggu untuk bertindak?

Apakah sebabnya begitu ramai anggota kita yang mati untuk berhadapan dengan hanya 200 orang penceroboh ke negara kita ini? Berapakah jumlah korban yang terpaksa kita alami jika seribu orang yang menceroboh? Secara matematiknya jika dua ratus orang penceroboh kita terpaksa mengorbankan 8 orang maka jika seribu orang yang menceroboh adakah kita terpaksa mengorbankan 40 orang?

Kenapa Najib tunjukkan sangat kenaifan beliau semasa memberikan sidang media tentang kematian anggota kita sedangkan beliau telah menjadi Menteri Pertahanan selama banyak tahun dulu? Kenapa Najib boleh berani bercakap yang anggota kita telah tertipu oleh musuh yang telah mengangkat bendera putih (menyerah) dan menembak anggota kita semasa anggota kita menghampiri mereka yang sudah mengangkat bendera putih itu?

Kata-kata Najib itu menampakkan sangat kenaifan beliau dan kata-kata beliau itu didengar oleh orang ramai, samada orang tempatan atau masyarakat antarabangsa. Tahukah Najib jika musuh itu yang mengangkat bendera putih adalah satu SOP (Standard Operation Procedure) yang pihak yang mengangkat bendera putih itu meletakkan senjata dan bergerak kepada pihak kita, bukannya kita yang bergerak kepada mereka?

Tetapi dalam kes ini Najib mengatakan yang anggota kita yang pergi menghampiri mereka yang mengangkat bendera putih itu. Bukankah ini membayangkan yang kita tidak mampu untuk memahami perkara yang mudah dan persoalannya bagaimana kita hendak mempertahankan negara kita jika kita diserang oleh musuh yang mempunyai senjata yang banyak dan bersama dengan persenjataan yang canggih?

Salahkah kita rakyat awam ini merasakan yang kita akan ‘crash even before taking off’ jika kita diserang oleh negara jiran yang mempunyai persenjataan yang canggih? Jika kita tidak tahu untuk mengendalikan kumpulan musuh yang menyerah diri bagaimanakah pihak kita hendak berperang dalam peperangan yang besar jika ia berlaku kepada negara kita?

Sekarang baru kita sedar yang selama ini pihak musuh telah bersedia untuk melakukan serangan terhadap negara kita dan kelalaian kita selama ini tidak membolehkan kita menyalahkan pihak mana-mana selain dari menyalahkan diri kita sendiri. Walaupun ramai rakyat merasakan yang mereka tidak mempunyai tahap keselamatan yang kukuh, tetapi kita setiap hari dijanjikan dengan jaminan untuk mendapatkan tahap keselamatan yang baik oleh pimpinan kita.

Sesungguhnya apa yang dirasakan oleh ramai rakyat kita selama ini sudah kita rasakan sekarang ini. Kita tidak mempunyai tahap keselamatan yang sebenarnya. Itulah sebabnya jika orang ramai mengkritik tentang bahayanya di sempadan negara itu jangan dituduh rakyat dipergunakan oleh pihak lain kerana politik. Sekarang jelas isu rakyat Sabah yang mempunyai dua kad pengenalan ini benar-benar memakan diri kita sendiri. Jika rakyat asal sendiri mempunyau perasaan tidak sayang kepada negara kita masakan kita boleh menyandar harapan kita kepada pendatang yang kita berikan kad pengenalan itu?

Sekarang semua pihak yang bertanggungjawab cuba mengelak dari mengambil ‘accountability’ terhadap kelalaian pimpinan selama ini. Mereka yang bertanggungjawab hanya bermain politik dan menuduh Ketua Pembangkang yang mendalangi pencerobohan ini dengan mengambil kononnya ada laporan yang diterima dari pihak asing, khususnya di Filipina.

Pihak kerajaan hari ini menggunakan kesalahan sendiri untuk mengalihkan kesalahan mereka kepada pihak pembangkang dan mereka masih ada masa untuk bermain politik kotor semasa kita sedang menunggu kedatangan pilihanraya umum ini.

Itulah sebabnya kita sepatutnya tidak memberikan keyakinan kepada mereka yang bercakap bergegar-gegar dan mereka yang siang malam mencium keris untuk menunjukkan kepahlawanan mereka sedangkan sekarang terbukti yang selama ini kita ditadbir oleh ‘faked leadership’ yang penuh dengan kepalsuan dan kekeliruan.

Sesungguhnya apa yang berlaku di Sabah sekarang ini akan membawa implikasi yang besar jika kita tidak mengendalikannya dengan betul. Kita tidak boleh lagi leka mendengar janji-janji keselamatan untuk kita lagi. Kita sendiri wajar melakukan usaha keselamatan ini. - http://aspanaliasnet.blogspot.com

Serangan capai objektif, operasi masih diteruskan

Harakahdaily, 05 Mac 2013
KUALA LUMPUR: Kumpulan penceroboh bersenjata di Kampung Tanduo Lahad Datu dipercayai telah berjaya ditewaskan, lapor The Star yang memetik sumber polis.
Sementara itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar pada sidang media sebentar tadi pula berkata, operasi menyerang pihak penceroboh yang bermula pagi tadi masih diteruskan walaupun pihak polis dan tentera telah berjaya mencapai objektif dan sasaran.

Katanya, pihak polis dan tentera masih menerima tentangan musuh yang melepaskan tembakan ke arah pasukan keselamatan negara.

Beliau turut mengesahkan tiada sebarang kehilangan nyawa di pihak pasukan keselamatan PDRM dan tentera manakala jumlah kematian dan kecederaan di pihak musuh belum dapat disahkan.

Perdana Menteri pula dalam satu kenyataan pagi ini berkata, operasi besar-besaran bermula jam 7 pagi ini bermula dengan serangan udara menggunakan pesawat TUDM, serangan mortar dan diikuti serangan oleh pasukan tentera darat dan polis.

Serangan ofensif udara dilakukan jet pejuang F18 dan Hawk.

Polis juga memaklumkan tiada orang awam di kawasan sekitar ketika operasi dijalankan.

Difahamkan penduduk Kampung Labian dan Kampung Batu berhampiran Kampung Tanduo itu telah dipindahkan sejak malam tadi.

UIAM: Universiti Ini Ada Masalah?

Helmizan Karim, 05 Mac 2013
Kami warga Gombak dan juga mewakili Dewan Pemuda PAS Gombak (DPPG) merasa terpanggil untuk memberi komentar tentang insiden pembatalan program forum ‘PRU13: Harapan Malaysia’ yang sepatutnya dianjurkan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak pada 4 Mac 2013 semalam.

DPPG difahamkan, ia merupakan anjuran Majlis Perwakilan Mahasiswa UIAM atau lebih dikenali sebagai SRC - Students Representative Council dan sudah pun mendapat kelulusan daripada pentadbiran UIAM.

Memandangkan UIAM berada di dalam daerah Gombak, DPPG merasa terpanggil untuk memberi komentar dan pandangan.

Sebenarnya ini bukan kali pertama ia terjadi

Sebelum ini, program kuliah oleh Ustaz Azhar Idrus yang berlangsung pada bulan Oktober 2011 yang lalu yang dianjurkan oleh Kelab Ma'ruf yang sepatutnya diadakan di Masjid UIAM tetapi telah bertukar tempat yang lebih kecil di saat-saat akhir program hendak bermula.

Begitu juga, program K-Fiqh: Politik Islam yang sepatutnya berlangsung di sana pada 15 Sept 2012 tetapi telah dibatalkan beberapa hari sebelum program turut mengalami nasib yang sama.

Selain itu, diskusi tentang hudud yang bertajuk ‘Hudud Dalam Consti’ yang dianjurkan oleh Persatuan Mahasiswa Undang-undang yang dijadualkan pada 15 November 2012 turut dibatalakn oleh STADD UIAM dalam tempoh yang pendek.

Turut menjadi isu juga, pembatalan penyertaan bekas Presiden SRC sesi 2011/2012, Mohammad Iqbal dalam rancangan Hujah TV 9 telah dibatalkan tanpa notis dalam masa tidak sampai satu jam sebelum program itu bermula.
Program In Person With Dato’ Saifuddin Abdullah turut menjadi topik hangat pada tahun lalu apabila ia dibatalkan pada saat-saat akhir.

Skripnya sama; dapat kelulusan dan kemudian batal di saat-saat akhir tanpa alasan munasabah.

Bayangkan, penganjuran program sebegitu rupa; panelis sudah dipanggil, tempat sudah ditempah, deposit sudah dibayar, promosi sudah berjalan dan persediaan program sudah 80% berjalan, tiba-tiba dibatalkan last-minute!

Apakah yang terjadi sebenarnya?

Untuk makluman, UIAM mempunyai sejarah tersendiri pada pasca-Reformasi 1999 dahulu apabila pengaruh Anwar yang menjadi Presiden UIAM sebelum itu mula dihakis sedikit demi sedikit dengan perlantikan Sanusi Junid kemudiannya.

UIAM juga merupakan satu-satunya universiti tempatan yang bertahan penguasaannya oleh kumpulan pro-mahasiswa yang didominasi oleh We Unite For Islam (WUFI) semenjak 1998 sehingga sekarang 2013, kira-kira hampir 16 tahun.

Rekod ini merupakan rekod cemerlang oleh mahasiswa UIAM yang begitu dicemburi oleh lawan mereka pro-aspirasi yang condong kepada kerajaan, dalam keadaan di kampus-kampus lain sudah banyak yang jatuh ke tangan mahasiswa pro-aspirasi.

Oh ya, pro-aspirasi pernah ‘termenang’ dalam pilihanraya kampus pada 2005 apabila WUFI bertindak memboikot pilihanraya.

Tidak cukup dengan itu, UIAM juga pernah mencatat sejarah Malaysia dan mungkin juga peringkat dunia apabila menjadi satu-satunya universiti yang pernah memecat Presiden MPP, yang menang dalam pilihanraya kampus!

Bayangkan, tidak berlaku di dalam mana-mana kampus di Malaysia dan di dunia, seorang Presiden MPP yang dipilih oleh mahasiswa universiti di dalam pilhanraya kampus dipecat, tetapi UIAM melakukannya pada tahun 2002!

Kini, 2013 dengan rektor baru yang bertugas sejak 10 Ogos 2011, Prof. Datuk Seri Dr. Zaleha Kamarudin membawa UIAM jauh ke belakang nampaknya.

Teringat kata-kata seorang rakan ketika penulis di UIAM dahulu "Universiti Ini Ada Masalah".

Itu dulu, untuk tahun 2000, tapi kini tahun 2013 mungkin lebih sesuai "Universiti Ini Ada Macai".

Penulis ialah Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Gombak. Beliau merupakan bekas pelajar UIAM yang mengundi WUFI sepanjang pilihanraya kampus dan kini tinggal di Gombak yang juga Presiden pertama Kelab Ma'aruf UIAM Gombak.

Tiada ulasan: