Selasa, 5 Mac 2013

TIADA MENGAKUI KELEMAHAN TAPI TUDING JARI PADA ORANG LAIN

Kerja tergendala, rezeki penduduk tidak menentu

Harakahdaily, 04 Mac 2013
KUALA LUMPUR: PAS Kawasan Tawau memandang berat pencerobohan pihak asing di Kampung Tanduo, Felda Sahabat, Lahad Datu yang berlarutan sejak 9 Februari lagi.

“Kita simpati dengan kesulitan dan kesengsaraan penduduk Kampung Tanduo yang terpaksa menumpang di rumah keluarga dan sahabat handai.

“Kita juga prihatin dengan kebimbangan yang tidak menentu penduduk Lahad Datu, Kunak dan Semporna khususnya dan seluruh Sabah amnya,” ujar Yang Dipertuanya, Mohamad Husain dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Ini, katanya kerana rata-rata pencarian mereka dan rezeki tidak menentu, kerja terus tergendala manakala pendidikan anak-anak sekolah tergendala.

Katanya, kemelut daripada peristiwa tersebut merebak dengan kejadian berkaitan di Lahad Datu, Kunak dan Semporna.


Beliau berkata, kehadiran penceroboh yang lebih 200 orang dengan bersenjata automatik bukan sesuatu yang boleh dibuat endah tak endah.

Justeru, ujarnya PAS kawasan berharap dan memohon agar pihak kerajaan tidak memperjudikan kedaulatan dan keselamatan negara dan kehidupan harian rakyatnya dengan membiarkan kemelut ini berlarutan sehingga kini telah melebihi 20 hari.

Beliau menegaskan, PAS Kawasan Tawau yakin kemampuan pihak keselamatan, Angkatan Tentera dan Pasukan Polis Malaysia dapat menangani kemelut di Kampung Tanduo dan peristiwa-peristiwa yang berkaitan di Daerah Lahad Datu, Kunak dan Semporna malah seluruh Sabah.

“Mandat, kekuatan dan semangat yang jitu pada Pasukan Keselamatan kita tidak pernah luntur dan PAS sentiasa bersama mereka dalam menghadapi saat-saat yang mencabar ini,” ujarnya.

PAS Tawau, kata beliau juga simpati, sedih dan merakamkan takziah kepada semua keluarga pihak keselamatan yang terkorban dan cedera dalam mempertahankan kedaulatan negara.

 


Pelajar Pasti sambut treler Negara Berkebajikan

Muhammad Faizal, 04 Mac 2013

MELAKA: Pelajar-pelajar Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) menjadi tetamu istimewa apabila meraikan kedatangan konvoi treler Jelajah Negara Berkebajikan di Melaka negeri bersejarah.

Konvoi jelajah di Melaka selama dua hari mulai hari ini menyaksikan satu- satu sejarah kepada perubahan lanskap politik negeri ini tersingkap.

Konvoi pada hari pertama yang diiringi melebihi dua puluh buah kereta melalui setiap pelusuk bandar dan kampung telah mendapat sambutan dari penduduk setempat apabila mereka turut melambaikan tangan tanda sokongan kepada peserta.

Setiap lokasi pilihan, pelajar-pelajar Pasti diberi peluang untuk menyambut kedatangan traler kebanggaan PAS dan turut berkumpul di atas pentas bagi mengambil peluang untuk bergambar kenangan.

Program hari ini lebih tertumpu kepada konsep 'touch n go' bagi memberi peluang kepada penduduk sekitar menyaksikan sendiri kemudahan yang dimiliki oleh treler tersebut.

Sebelum itu treler yang tiba di tol Simpang Ampat pada jam 3.15 pagi disambut meriah jentera PAS serta Unit Amal dan diiringi 20 buah kenderaan menuju ke Markas PAS Tanjung Bidara.


Misuari dakwa 'mereka ke Sabah selepas janji Najib'

Harakahdaily, 04 Mac 2013
MANILA: Menurut laporan Manila Buletin Publishing Corporation (mb.com.ph), pengasas MNLF Nur Misuari mendakwa tentera Sulu ke Sabah selepas mendengar janji dari Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak.

Menurut laporan bertarikh 21 Februari  2013 bertajuk "Don’t Harm Sultan’s Men, Nur Warns Malaysia", Misuari berkata, ketika beliau di Jolo, Sulu  beliau terdengar bahawa adik kepada Sultan Jamalul Kiram III, Agbimuddin Kiram telah merentas lautan kerana mereka telah dijanjikan untuk ditempatkan di Sabah.

Oleh itu, Misuari merayu Najib untuk bertindak dengan cermat dalam menghadapi pemberontak Filipina yang kini telah membunuh lapan anggota polis Malaysia di Sabah dalam pertempuran berdarah di Lahad Datu dan juga Semporna.
Misuari   juga mendakwa Agbimuddin mungkin ke Sabah untuk menunjukkan ketidaksabaran terhadap tuntutan mereka.

(Gambar Esmail Kiram 11 dengan Najib dalam satu majlis...dari facebook Esmail D. Kiram 11)


"Perkara ini perlu diselia oleh mereka yang lebih tenang," beliau berkata, sambil menambah ia adalah lebih baik menunggu pilihanraya umum April ini untuk melihat siapa menjadi Perdana Menteri.

Misuari juga memberikan amaran kepada Malaysia untuk menyelesaikan pertempuran di Sabah dengan aman.

Jika tidak, pasukannya akan memberikan bantuan kepada Kiram, ugut Misuari (gambar).

Laporan penuh artikel yang ditulis oleh Edd K.Usman boleh dibaca di sini.

http://www.mb.com.ph/articles/394999/don-t-harm-sultan-s-men-nur-warns-malaysia#.UTN41nySDDE

Penafian Misuari


Sementara itu media yang sama melaporkan, Sabtu lepas ketika bercakap di Davao City, Nur Misuari menafikan penglibatan beliau dengan apa yang berlaku di Sabah sekarang.

Misuari menafikan penglibatan ini ketika pertemuan lewat malam dengan Timbalan Datuk Bandar Davao City, Rodrigo Duterte di Hotel Royal Mandaya Sabtu, 2 Mac lepas.

"Mereka mendakwa saya memberikan semangat," kata Misuari disamping mendakwa beliau memberikan bantuan kewangan kepada kumpulan Kiram ini.

“Saya bersama isteri hampir sebulan di Afrika, Malayo kami," kata Misuari semasa pertemuan tersebut.

Lagipun, katanya, dia tidak mempunyai wang untuk membantu mereka. "Di mana saya nak dapatkan wang itu membantu mereka," tambahnya.

12 termasuk enam polis terbunuh di Semporna

Harakahdaily, 04 Mac 2013

(Sidang media Ismail malam tadi di Lahad Datu - gambar Malaysiakini)

LAHAD DATU: Polis mengesahkan 12 terbunuh termasuk enam polis dalam satu pertempuran di Kampung Sri Jaya Simunul dekat Semporna.

Kematian polis bertambah seorang lagi berbanding lima yang dilaporkan sebelum ini, kata Datuk Seri Ismail Omar, Ketua Polis Negara dalam sidang medianya di Felda Sahabat Residence malam tadi.

"Selepas operasi yang berakhir jam 7 petang tadi (semalam), kami temui satu lagi mayat anggota polis, jadi jumlahnya enam," kata Ismail sebagaimana dilaporkan oleh Malaysiakini.

Polis juga katanya menjumpai enam mayat lagi yang identitinya tidak dapat disahkan.

"Kami percaya ia adalah mayat musuh," kata Ismail.

Beliau juga memberitahu, semua 19 polis yang terselamat dalam kejadian itu selamat keluar dari kampung air itu.

"Kami dah keluar semua mereka dengan selamat dan kini mereka di Balai Polis Daerah Semporna.

"Dengan perkembangan ini, kejadian di Semporna selesai dan situasi sudah kembali kepada biasa," jelasnya.

Bernama melaporkan, suasana di Kampung Simunul Semporna masih tenang walaupun ada yang mengambil langkah berjaga-jaga termasuk tinggal di rumah saudara masing-masing di luar.


Krisis keselamatan terbesar



AFP pula melaporkan apa yang berlaku kali ini adalah krisis keselamatan yang paling besar sejak kebelakangan ini.

Semporna adalah 150 km dari Kampung Tanduo di mana 100 - 300 orang bersenjata sedang dikepung oleh polis dan tentera Malaysia.

Mereka datang ke Malaysia sejak 12 Februari lalu untuk menuntut kawasan itu untuk pemimpin mereka.

Jamalul Kiram 111 yang berpengkalan di Manila menuntut kawasan kesultanan Sulu untuk selatan Filipina dan Sabah.

Tidak dapat dipastikan apakah serangan di Semporna telah selesai atau tidak.

Ketua Polis Negara, Ismail Omar berkata, polis sedang menyiasat laporan tentang adanya sekumpulan orang bersenjata di Kunak, sebuah lagi bandar di daerah sini.

"Pasukan keselamatan kami kini ada di tiga kawasan," kata beliau dalam sidang media malam tadi.

Pencerobohan: Sampaikan maklumat secara jelas

Mohd Firdaus, 04 Mac 2013
KOTA KINABALU: Kerajaan diingatkan agar tidak mempunyai niat untuk mempertaruhkan keselamatan negara yang sudah sekian lama dibina dan diperkukuhkan.


Ketua Pemuda PAS Sabah, Lahirul Latigu (gambar) menegaskan, sikap cuba menyembunyikan sesuatu dan menafikan perkara yang benar merupakan tindakan yang menjurus kepada ‘menyimbah api ke dalam sekam’.

Rakyat Sabah, khususnya di sekitar Semporna katanya, gusar terhadap keadaan semasa dan ada yang tidak mendapat maklumat jelas mengenai kedudukan sebenar situasi.

“Maklumat perlu jelas sampai kepada rakyat. Tidak rakyat tertanya-tanya dan gusar mengenai perkembangan isu yang berlaku.

“Media tempatan perlu lebih ke hadapan dalam menyampaikan mesej kepada rakyat dan begitu juga kepada media-media elektronik yang lain,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga anggota polis yang terkorban semasa insiden berkenaan.

Dalam insiden berdarah Jumaat lalu di Lahad Datu, dua anggota komando PDRM terkorban manakala enam lagi terkorban dalam serang hendap kumpulan penceroboh di Semporna, kelmarin.

Malaysia-Filipina disaran tidak tutup rundingan

Harakahdaily, 04 Mac 2013

KUALA LUMPUR: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menggesa agar kedua-dua pihak iaitu antara pihak yang menuntut dan pihak keselamatan kerajaan Malaysia menghentikan serangan.

Presiden Mapim, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, dengan terbunuhnya beberapa orang dari kedua-dua pihak berhubung pencerobohan di Sabah, keadaan berpotensi untuk berpanjangan.

Beliau yakin ada pendekatan damai untuk berunding agar tuntutan dari pihak penceroboh boleh diperjelaskan agar persepakatan boleh dicapai.

“Kami mendapati sikap keras yang diambil oleh pihak penceroboh adalah apabila jalan perundingan telah ditutup kerana pihak keselamatan hanya memberi kata muktamad dengan memberi amaran serah diri atau hadapi tindakan keras.

“Kami sangat kesal dengan pertumpahan darah yang telah berlaku. Kepada keluarga mereka yang terkorban kami menyampaikan takziah,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Katanya, Mapim juga  menggesa pihak kerajaan Malaysia dan Filipina tidak menutup terus jalan perundingan kerana keadaan yang semakin rumit akan menjadikan krisis ini berpanjangan jika pertempuran berterusan.

Menurutnya, perundingan untuk mengendurkan serangan hendaklah diusahakan kerana dikhuatiri akan berlaku situasi saling membalas serangan yang bakal menjalar ke kawasan lain seperti yang berlaku sekarang ini.

“Kami kesal berita angin yang kini berlegar sehingga menegangkan suasana. Pihak media perlu memastikan semua maklumat disahkan agar tidak berlaku spekulasi yang akan menjejaskan keamanan awam,” ujarnya lagi.

Beliau menambah, sekarang bukan masanya untuk saling tuduh menuduh kerana keadaan yang tegang ini perlu ditangani terlebih dahulu.

Mapim, kata beliau kesal media mengambil kesempatan untuk melempar tuduhan kepada pihak tertentu hanya bertujuan untuk mencemar dan memburukkan keadaan.

Tambahnya, dengan hanya mencedok dari sumber yang tidak sahih dan cuba membayangkan seorang itu terlibat sebagai dalang adalah suatu tindakan tidak bertanggungjawab dan berniat jahat.

“Kami menggesa rakyat jangan dikelirukan dari isu yang sebenar dan mereka yang terlibat dalam tuntutan tersebut perlu diberi fokus agar perundingan dapat dilaksanakan segera.

“Kami menerima isu kedaulatan sempadan negara yang tidak boleh dikompromikan akan tetapi jika isu ini ditambah rumitkan lagi dengan fakta yang tidak sahih keadaan akan bertambah buruk,” ujarnya lagi.

Menurutnya, jika perundingan dapat dilakukan dalam kes krisis antara pejuang Moro dengan kerajaan Filipina, Mapim tidak nampak kenapa hal ini tidak boleh dilaksanakan dalam kes yang tercetus di Lahad Datu.

Baginya, perundingan betapa lama pun ia perlu diadakan tetap merupakan cara yang lebih baik dari mengisytihar perang.

Lantara itu, kata beliau tidak ada jalan lain yang seharusnya menjadi pilihan selain dari mengadakan perundingan.

Serah kepada Pakatan jika BN tidak mampu tadbir

Muhammad Faizal, 04 Mac 2013
KUALA LUMPUR: PAS Negeri Sembilan meminta Barisan Nasional menyerahkan Malaysia kepada Pakatan Rakyat jika tidak mampu untuk mentadbir bagi menjadikan Malaysia dengan lebih baik.

Perkara tersebut diutarakan Ketua Penerangan PAS Negeri Sembilan, Nor Azman Mohamad (gambar) ekoran kenyataan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berhubung Manifesto Rakyat ‘Pakatan Harapan Rakyat’.

Mohamad mempertikan bagaimana Pakatan mendapat dana bagi merealisasikan manifesto tersebut.

Malah Menteri Besar Negeri Sembilan itu juga turut menyindir secara sinis tentang janji Pakatan untuk menghapuskan tol.

"Kenyataan tersebut menggambarkan bahawa Barisan Nasional (BN) tidak mampu malah tidak pernah memikirkan bagaimana cara untuk memberi keuntungan kepada rakyat melalui kebajikan.

"Negara kita kaya dengan sumber bumi, tetapi BN gagal memanfaatkan dan melalui pentadbiran BN juga banyak kes rasuah dan penyelewengan wang berlaku terutama dalam kalangan pimpinan BN sendiri," jelas Nor Azman.

Menurutnya lagi, wang yang sepatutnya dibelanjakan untuk rakyat tetapi akhirnya diboroskan oleh pimpinan BN.

Sebagai contoh kes yang memalukan BN yang berlaku di Negeri Sembilan iaitu melalui Pusat Fidlot Nasional (NFC) yang melibatkan RM250 juta duit rakyat, jelas beliau.

"Tindakan kerajaan menghapuskan hutang Tan Sri Tajudin Ramli yang bernilai RM589 juta menimbulkan kemarahan rakyat kerana rakyat dibelenggu kemiskinan tetapi kroni BN mendapat untung.
"Ini hanya sedikit isu yang ditimbulkan, dan sudah nyata bahawa Malaysia sememangnya kaya dan kekayaan tersebut mesti dibahagikan kepada rakyat bukan untuk kroni," sambung beliau lagi.

Nor Azman yakin, pimpinan BN sangat fobia dengan manifesto Pakatan sehingga mereka tidak membaca dengan teliti setiap inci perancangan di dalam manifesto tersebut.

Tambahnya lagi, Mohamad sepatutnya malu mengeluarkan kenyataan tersebut kerana secara terang terangan telah menjelaskan bahawa BN memang tidak mampu mentadbir Malaysia dengan baik.

Tiada ulasan: