Khamis, 7 Mac 2013

KESIAN

Malaysia tiada dalam senarai 400 universiti terbaik dunia

Roketkini.com, 06 Mac 2013

(Tiada satupun universiti di Malaysia masuk dalam senarai 400 universiti terbaik di dunia)

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak terus menerima tamparan hebat sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) apabila tidak ada universiti dari Malaysia disenarai dalam 400 universiti terbaik dunia yang dikeluarkan Times Higher Education World University Rankings 2012/2013.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang, berkata ini membuktikan agenda transformasi Najib gagal memulihkan perpaduan, mencapai kecemerlangan dan mengembalikan daya saing antarabangsa menerusi pelbagai usaha seperti program “1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”, Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).

Katanya, dalam laporan terbaru keluaran Times Higher Education (THE) World University Rankings 2012-2013 semalam, tidak ada satu pun universiti dari Malaysia untuk dua tahun berturut-turut termasuk dalam senarai 400 universiti teratas dunia.

Editor THE World University Ranking, Phil Baty, dalam ulasannya mendakwa keseimbangan kuasa sedang berganjak. universiti terkemuka dari rantau Asia-Pasifik menunjukkan peningkatan ketara kedudukan mereka untuk sebelum ini tradisinya dikuasai Amerika Syarikat (AS) dan United Kindom (UK).

“Pada 2012-2013, institusi terkemuka China, Singapura, Korea Selatan dan Taiwan telah meningkatkan kedudukan mereka. jiran Asia Pasifik, Australia, juga hebat, berbeza dengan AS dan UK kerana majoriti wakil Anglo-Amerika dalam senarai 200 teratas, sekalipun masih dominan daripada segi bilangan, telah semakin hilang tempat.”

“Saya amat sedih tetapi mengingatkan rakyat Malaysia berhubung kegagalan empat tahun program transformasi Najib, dengan Malaysia dikecualikan terus daripada fenomena kebangkita Asia-Pasifik yang ditunjukkan THE World University Rankings 2012-2013 mengenai “kebangkitan Universiti Asia-Pasifik,” kata Lim Kit Siang (gambar) ketika mengulas mengenai Pengiraan Detik 37 Hari ke PRU-13, semalam.

Kebangkitan universiti Asia-Pasifik dalam pendidikan tinggi dinyatakan seperti berikut:

1)    Kemajuan ketara bagi Australia dan New Zealand. Institusi nombor satu Australia, University of Melbourne, melonjak daripada kedudukan ke-37 tahun lalu kepada 30 teratas iaitu di tempat ke-28. Australia mendapat tambahan dalam 200 universiti teratas, dengan University of Adelaide memasuki senarai 200 teratas menduduki tempat ke-176. Daripada tujuh universiti Australia, enam memperbaiki kedudukan mereka, 18 lagi tersenarai dalam 400 universiti terkemuka.

2)   200 institusi terkemuka China kedua-duanya bangkit, dengan  Universiti Peking meningkat daripada ke-49 kepada ke-46 dan Tsinghua melonjak 19 tempat daripada 71 ke-52. Universiti yang diperuntukkan pihak berkuasa China juga semakin maju: Universiti Fudan dan Universiti Shanghai Jiao Tong, masing-masing semakin hampir menduduki 200 teratas sementara Nanjing kekal pada kedudukan 250-257.


3) Dua institusi terkemuka Singapura mencatat kejayaan mengkagumkan. Universiti National Singapura naik daripada 40 ke-29 dan Universiti Teknologi Nanyang meningkat daripada ke-169 ke-86.


4) Setiap institusi Korea Selatan juga mengkagumkan, Universiti National Seoul meningkat daripada tempat ke-124 ke-59. Negara itu menjadi wakil baru dalam senarai 200 universiti terkemuka, termasuk Universiti Yonsei yang menduduki tempat ke-183.

Universiti National Taiwan, adalah satu-satunya universiti dalam senarai 200 universiti terkemuka yang meningkat daripada ke-154 ke-134, sementara institusi Hong Kong kekal akan meningkat.

Universiti King Monghut, dari Thailand juga termasuk dalam 400 universiti terkemuka menduduki dalam lingkungan 351-400.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur berkata, daripada 81 universiti di rantau Asia Pasifik dalam 400 universiti terkemuka dunia, universiti dari Malaysia tidak tersenarai sedangkan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini mendakwa Malaysia mempunyai sistem pendidikan antara yang terbaik di dunia, malah lebih baik daripada Amerika Syarikat, Britain dan Jerman.

“Sekiranya Malaysia mahu menjadi sebahagian daripada Kebangkitan Universiti Asia-Pasifik dan dikenali di peringkat antarabangsa bukan saja mempunyai universiti dalam senarai 400 teratas malah 100 teratas, keseluruhan sistem pendidikan perlu dibaikpulih, bermula daripada sekolah rendah, menengah hingga ke universiti.

“Ini hanya dapat dicapai sekiranya ada permulaan baru memperbaharui negara dengan mengubah Kerajaan Persekutuan di Malaysia pada PRU-13 daripada terus dikuasai Barisan Nasional (BN) sejak 56 tahun lalu,” katanya.

Lahad Datu: Bayangkan ia tanpa kehadiran media baru

Harakahdaily, 06 Mac 2013

(Bayangkan kalau kad ini ditemui ketika Lokman ini masih bersama PKR ketika tragedi Lahad Datu ini berlaku)


KUALA LUMPUR: Bayangkan jika peristiwa keganasan di Lahad Datu berlaku 10 tahun yang lalu sudah pasti pemimpin  Pakatan Rakyat dicincang lumat oleh media ortodok Umno di negara ini.

Namun bersyukurlah kerana di zaman informasi bebas bergerak ini, ia tidak berlaku.

"Nasib menyebelahi PR kerana sekarang ada media baru, maka penjelasan boleh dibuat secepat kilat," kata AJK PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad (gambar).

Dengan ini, katanya, perancangan mereka untuk mengaitkan peristiwa ini gagal.

Beliau dipercayai mengulas tindakan Umno yang cuba mengaitkan peristiwa di Lahad Datu dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Namun ia gagal kerana media sosial yang bebas bergerak berjaya memberikan gambaran sebenar apa yang berlaku.

"Cuba bayangkan sewaktu langit terbuka ini pun media Umno masih menyebarkan fitnah kononnya ia ada kaitan dengan pembangkang khususnya Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Pelik bin ajaib, di Semenanjung mereka menuduh Pakatan Rakyat hendak buang Raja, manakala di Sabah Pakatan Rakyat hendak melantik Raja," kata Idris.

Beliau mempersoalkan, kenapa pemimpin Umno BN masih berfikiran primitif walau pun berada di zaman maklumat di hujung jari.

Katanya, di dalam suasana gawat sehingga terkorban anggota keselamatan,  media yang menjadi tali barut Umno tidak pernah bertaubat dan insaf untuk menghentikan kerja jahat mereka demi memuaskan nafsu serakah ketuanya.

Penjelasan pantas melalui media alternatif seperti  kenyataan yang disiarkan portal berita interaksyon.com , anak kepada Sultan Jamalul Kiram III, Puteri Jacel Kiram menafikan ada hubungan dengan pembangkang Malaysia.

Bagi beliau, media Umno cuba menggelap berita bagaimana Saudara Lokman Adam Exco Pemuda Umno mengaku menjadi penasihat Sultan Sulu.

"Jika Lokman ini pemimpin PR, maka gegak gempita dunia dengan mengatakan bahawa PR menjadi penasihat kumpulan pengganas Sultan Sulu sehingga mengorbankan anggota keselamatan negara," katanya.

Lagu 'Reformasi': Yasin diugut bunuh

Harakahdaily, 06 Mac 2013


(Video klip Reformasi Yasin dalam Youtube)


KUALA LUMPUR: Ekoran lagu 'Reformasi' yang dibuatnya,  penyanyi dan komposer Yasin Sulaiman diugut dengan ancaman bunuh.

Ugutan itu dimasukkan ke dalam ruangan komen di bawah lagu itu dalam Youtube.

Ugutan berbunyi “Yassin ni patut dibunuh jer.. “ dan “Aku kalau jumpa si Yassin ni kat luar comfirmaku pijak-pijak kepala dia sampai lumat” didapati dibuat pada awal malam semalam selepas kira-kira dua minggu video itu dimuat naik.

Namun semakan Harakahdaily pagi ini, komen itu telah dibuang dari laman itu.

Yasin yang terkilan dengan komen itu menyifatkan ia sebagai melampau kerana berbeza pendapat dan pandangan politik tidak perlu samnpai mengugut pihak yang lain.
“Perselisihan pendapat adalah perkara biasa dan sebelum ini saya pernah menerima pelbagai pandangan negatif. Namun ugutan bunuh adalah perkara serius.

“Saya tidak pasti sejauh mana seriusnya ugutan yang dibuat itu, namun saya tidak akan berdiam diri jika ia berterusan selepas ini,” katanya sebagaimana yang dilaporkan  Sinar Harian semalam.

Justeru itu, Yasin memberi amaran kepada pengunjung laman sosial agar tidak sewenang-wenangnya meninggalkan komen berunsur ugutan dan fitnah terhadapnya sebelum dia mengambil tindakan undang-undang.

“Sekiranya saya silap dalam penulisan, kita boleh dialog, boleh mengkritik dengan platform yang betul. Bukan dengan ugut-mengugut begini.

“Saya harap individu terbabit berhentilah daripada melakukan perkara begini kepada sesiapa pun. Kebebasan bersuara perlu digunakan untuk kebaikan bukan untuk mengugut dan mencaci orang lain,” katanya kesal dengan perkara itu.

Yasin yang kini menjadi duta Pakatan Rakyat mempersembahkan lagu 'Menuju Putrajaya' dan 'Reformasi' dalam Konvensyen Pakatan Rakyat ke 4 baru-baru ini.

Ekoran itu kedua-dua lagu itu menjadi siulan anak mud apejuang reformasi dan Pakatan Rakyat.

Ia kemudiannya dijadikan video klip dan dimainkan di laman-laman sosial para pendokong Pakatan.

Klik pada gambar untuk menonton video itu.

Ceramah jelajah Negara Berkebajikan diganggu

Ahmad Danial, 06 Mac 2013

Orang ramai mendengar penerangan PAS di Bukit Katil, malam tadi.

MELAKA: Program ceramah sempena jelajah treler Negara Berkebajikan PAS di Bukit Katil, malam tadi diganggu oleh Umno menjadi sedikit tegang apabila provokasi demi provokasi dilakukan oleh penceramah Umno terhadap PAS.

Ahli-ahli dan penyokong PAS yang berada kira-kira 20 meter dari tempat ceramah Umno mula menyorak dan menghampirinya.

Berlaku tolak menolak antara penyokong kedua-dua kumpulan.

Akhirnya insiden itu berjaya dikawal dengan baik oleh anggota Unit Amal dan polis yang berada di lokasi tersebut.

Enam buah kereta peronda polis dengan 20 anggota tiba untuk mengawal keadaan.

Pesuruhjaya PAS Negeri Melaka, Adly Zahari dalam ucapannya menyifatkan tindakan Umno mengganggu ceramah PAS membuktikan sikap tidak bertamadun yang semakin tidak senonoh.

"Kita buat ceramah dia buat ceramah mengganggu kita. Kita ceramah di padang sebab kita tak ada dewan. Mereka ada Dewan Tun Ali tetapi hendak buat atas padang juga, hanya untuk ganggu kita.

"Saya ajak Datuk (Seri) Ali (Rustam) debat, dia tak berani, dia hantar macai-macai dia ganggu ceramah kita," ujar Adly dengan nada sinis.

Ahli Jawatankuasa Dewan Muslimat PAS Pusat, Cikgu Normala Sudirman pula menyifatkan tindakan Umno mengganggu ceramah PAS itu menunjukkan mereka semakin terdesak.

"Tindakan mereka ganggu kita membuktikan Umno semakin terdesak, tidak tentu arah. Inilah sifat seseorang bila mereka hampir menemui ajal.

"Umno sudah tidak mampu untuk berhujah dengan fakta dan hujah yang baik dengan kita sebab itu mereka ganggu kita," ujar Normala yang sering diganggu dengan kata-kata kesat oleh penceramah Umno.

Ceramah sempena jelajah treler tersebut mendapat sambutan yang baik walaupun tiada pemimpin utama yang hadir dan ia diadakan secara mengejut dengan notis yang singkat.

Turut berceramah pada program malam tadi ialah Adun Bachang, Lim Jak Wong; AJK Dewan Himpunan Penyokong PAS Perak, Richard Wong; AJK Angkatan Muda Keadilan, Ginie Lim; Timbalan Pesuruhjaya 1 PAS Melaka, Kamaruddin Sedik dan Pengerusi Dewan Himpunan Penyokong PAS Melaka, Raja Shanmugam dan Penyelia Dun Bukit Baru, Dr Khalid Kassim.

Treler PAS yang menjelajah Melaka pada 4 dan 5 Mac telah bertolak ke Johor sebaik sahaja program tersebut selesai.

Pada petang semalam, Umno Bahagian Bukit Katil didapati menceroboh tanah milik bekas Yang Dipertua PAS Bukit Katil, Md Yassin Abdul Ghani.

Kira-kira jam 6.00 petang, petugas-petugas Umno yang diupah mendirikan khemah di atas tanah tersebut yang terletak bersebelahan Dewan Tun Ali.

Setelah khemah itu didirikan, Md Yassin dan beberapa penduduk kampung sampai dan meminta petugas-petugas Umno supaya mengalihkan khemah tersebut kerana ia didirikan tanpa kebenaran beliau.

"Ini tanah saya harta persendirian, harap alihkan khemah ini ke tempat lain, saya tidak benarkan.

"Saya kesal dengan tindakan mereka yang langsung tidak menghormati rakyat, mereka boleh buat sesuka hati sahaja tanpa menghiraukan siapa tuan tanah ini," ujarnya yang juga bekas Setiausaha Perhubungan PAS Negeri Melaka.

(Gambar: Para petugas Umno mengalihkan khemah.)

Khemah tersebut didirikan oleh Umno untuk mengadakan ceramah bagi mengganggu program jelajah treler Negara Berkebajikan PAS di seberang jalan yang jaraknya hanya 150 meter sahaja dari lokasi khemah tersebut didirikan.

Dengan rasa malu ketua petugas Umno itu dan rakan-rakan mengalihkan khemah tersebut betul-betul di hadapan Dewan Tun Ali dan jaraknya lebih dekat dengan lokasi ceramah PAS iaitu hanya 100 meter sahaja.

Treler Negara Berkebajikan gempur Pagoh

Muhammad Faizal, 06 Mac 2013


(Datuk Mahfodz di depan pentas treler Negara Berkebajikan)


PAGOH: Treler Jelajah Negara Berkebajikan hari meneruskan misi jelajah di Negeri Johor yang menjadikan Bukit Pasir yang berada dalam kawasan Parlimen Pagoh sebagai lokasi pertama siri jelajah di negeri itu.

Pagoh yang merupakan parlimen milik Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin bin Yassin namun ia tidak menjadi halangan kepada traler jelajah yang dijadikan sebagai medium untuk penyampaian maklumat.

Menurut Pesuruhjaya PAS Johor, Datuk Dr. Mahfodz Mohamed jelajah treler Negara Berkebajikan ini merupakan satu medium pemyampaian maklumat yang sangat berkesan dan boleh menarik minat orang ramai.

"Bagi saya jelajah ini sangat berkesan kerana boleh menarik minat org ramai untuk mengetahui satu kelainan yang disampaikan oleh PAS pada kali ini.

"Di samping orang ramai ingin melihat satu kelainan, kita akan mengambil kesempatan untuk menyampaikan maklumat secara terus sama ada melalui ucapan ataupun pengedaran risalah," kata beliau kepada Harakahdaily.

Konvoi jelajah ini akan berada di Johor selama empat hari mulai hari ini.

Sebelum ini, pelancaran jelajah peringkat negeri Johor telah dilakukan oleh Pesuruhjaya PAS Johor di Bukit Gambir pagi tadi sebelum bertolak ke Bukit Pasir.

Dr. Mahfodz yang juga turut berharap agar konvoi jelajah ini berlangsung dengan selamat tanpa ada sebarang provokasi dari pihak yang tidak bertanggungjawab.

Di Peringkat Negeri Johor, konvoi ini akan menjadikan kawasan-kawasan tumpuan sebagai destinasi utama.

Treler Negara Berkebajikan akan menjadikan Parlimen Pulai sebagai destinasi terakhir di peringkat Negeri Johor sebelum meneruskan perjalanan ke Pahang.

Tiada ulasan: