Jumaat, 1 Mac 2013

KECIL2 DAH KENALKAN ISLAM...JANGAN DAH BESAR LANGGAR HUKUM ISLAM



 

Presiden PAS dijangka menutup HAT 2013

Harakahdaily, 01 Mac 2013
KUALA LUMPUR: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang akan merasmikan majlis penutup Himpunan Anak Terengganu Di Perantauan 2013 (HAT13) pada 3 Mac ini, kata setiausaha penganjur, Zulhimi Abd Rahman.

Katanya, dua kertas bertajuk  Harapan Orang Terengganu PRU13 (HOT13) dan Cadangan Terengganu Negeri Maju (Termaju) disediakan untuk dibincangkan kali ini.

Diskusi bertemakan Terengganu Maju: Harapan, Realiti dan Cabaran juga diakan yang dimoderatorkan oleh Profesor Madya Dr Kamarulzaman Yusof dari UKM, dibarisi oleh empat Ahli panel, iaitu Datuk Ismail Hamzah, Raja Idris Raja Kamaruddin, Datuk Raja Kamarul Baharin Shah Raja Ahmad dan Mastura Mohamad.

Setakat ini, katanya penyertaan adalah menggalakkan dan pendaftaran awal telah melebihi 600 orang dan dijangka mencecah 1,000 orang kerana tidak ada yuran pendaftaran.

Pihak sekretariat juga, ujarnya sedang menghubungi dan mengalu-alukan tokoh-tokoh akademik, korporat dan pemimpin-pemimpin serta mahasiswa yang berasal dari Terengganu untuk hadir bersama-sama memeriahkan HAT13.

Program HAT13 dinaungi oleh Tengku Ibrahim Sultan Ismail diadakan di Universiti Selangor (Unisel), kampus Shah Alam bermula jam 8.30 pagi.

Sebarang pertanyaan lanjut, boleh menghubungi talian sekretariat, Zulhimi 012-9283560 atau Hafizul Muda 019-9506457.

Hampir 20 tahun tiada bekalan elektrik

Harakahdaily, 01 Mac 2013
KUALA LUMPUR: Hampir 20 tahun tiada bekalan elektrik, akhirnya pemilik lebih 10 buah rumah di Jalan Simpang Renggam – Kulai berhampiran Kampung Bukit Nyamuk, Simpang Renggam terpaksa membuat keputusan untuk berpindah selepas harapan untuk memiliki bekalan elektrik selama ini dilihat seperti tiada penghujungnya.


Mohd Ja’afar Sari telah berniaga buah-buahan selama 20 tahun tanpa bekalan elektrik.

Kini jiran Mohd Ja’afar hanyalah tinggal sebuah kilang arang, sebuah kilang papan dan sebuah ladang ternakan kambing, lapor Nusajaya Kini.

Bagi peniaga kedai buah-buahan seperti Mohd Ja’afar terpaksa menanggung kos bahan api sebanyak RM300 sebulan berbanding RM100 jika menggunakan bekalan elektrik TNB.

Pemilik kilang papan dan ladang ternakan kambing Mohd Tan Chan Abdullah juga menghadapi masalah yang sama sejak 18 tahun yang lalu.

Kos sebanyak RM7,000 sebulan terpaksa dibelanjakan untuk membeli minyak diesel bagi menghidupkan generator berbanding kos hanya sekitar RM2,000 sekiranya menggunakan bekalan elektirk TNB.

Pemohonan kepada pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah dilakukan sebanyak dua kali dan juga pemakluman kepada Onn Mad Yassin (Adun Layang-layang) sebanyak tiga kali. Setakat ini tiada sebarang tindakan dibuat.

Difahamkan juga, jarak antara kampung berkenaan dengan punca elektrik dalam lingkungan 2 kilometer dan ia bukanlah satu alasan untuk tidak menyambungkan bekalan elektrik ke kampung berkenaan.

Tanah yang didiami penduduk di kampung itu berstatus penempatan perkelompok (GSA). Ini bermakna tanah sekitar Bukit Nyamuk adalah milik peribadi.

Jika terdapat bekalan elektrik di kawasan ini, maka ramai akan berpeluang membina rumah di kawasan terbabit.

Pihak TNB tiada sebarang masalah untuk membekalkan elektrik di kawasan itu jika terdapat peruntukan yang mencukupi daripada pihak kerajaan.

Justeru pihak kerajaan khususnya Pegawai Daerah Kluang wajar mengambil perhatian dan tindakan bagi mengatasi masalah yang dihadapi oleh penduduk kawasan itu.

Beberapa terbunuh selepas pertempuran di Lahad Datu

Harakahdaily, 01 Mac 2013



LAHAD DATU: Beberapa terbunuh apabila pertempuran meletus antara polis dan tentera dengan tentera kesulatan Sulu, Sultan Jamalul Kiram 111 pagi ini.

Menurut radio Filipina yang memetik keluarga Jamalul, termasuk adiknya, Azzimudie Kiram, sudah beberapa terbunuh apabila pertempuran mula meletus antara mereka dengan polis dan tentera Malaysia.

Bagaimanapun laporan itu tidak menjelaskan berapa ramai yang terkorban sehingga kini.

Akhbar Philippine Star melaporkan, pihak berkuasa Malaysia memulakan serangan ke atas kira-kira 60 penceroboh bersenjata itu.

Provokasi isu nama Allah punca pergaduhan

Khairul Azlam Mohamad, 01 Mac 2013
MARANG: Pemuda PAS menafikan insiden pergaduhan di Bukit Cempedak baru-baru akibat dari penubuhan cawangan penaja Umno di situ tetapi adalah kerana pemasangan kain rentang yang melampau dan memfitnah.

(Soadah Yatim, isteri kepada Muhamad Musa, salah seorang yang ditahan reman hadir ke IPD Polis Marang dalam keadaan kaki kanannya
terseliuh.)


Ketua Pemuda PAS Marang, Mohamad Khalil Abdul Hadi berkata, ia berpunca dari provokasi terhadap isu nama Allah.

“Ini kerana, laporan media sebelum ini tidak tepat kerana yang menjadi punca pergaduhan itu bukan kerana Umno tubuh cawangan baru. Hakikat sebenarnya, berpunca dari kain rentang atau banner berbentuk provokasi yang dipasang oleh pihak Umno dan Barisan Nasional (BN).

“Kain rentang itu berkait dengan kalimah Allah. Mereka kata 'AWAS!!!!!! Anda Undi PAS bermakna Anda Sokong Allah Digunakan Dalam Bible bahasa Melayu.'

“Kita akan membuat laporan polis terhadap kain rentang itu dan harap pihak terbabit diambil tindakan sewajarnya,” jelas Ustaz Muhammad Khalil kepada pihak media di perkarangan Balai Polis Marang.

Laporan penuh dalam Harakah Ahad ini.Laporan lanjut menyusul

Manifesto bakal beri manfaat kepada semua

Salman Husein, 01 Mac 2013


(Tarian Singa menyambut ketibaan Salahudin, Saifudin, Dr Mahfodz dan Dr Boo di majlis perasmian Wisma DAP Johor)

JOHOR BHARU: DAP yakin manifesto yang dikemukakan Pakatan baru-baru ini bakal memberikan manafaat kepada semua rakyat di negara ini.

Ia dianggap realistik kerana janji-janji yang dibuat berdasarkan pengiraan yang terperinci kepada kemampuan negara ini jika ia diuruskan dengan betul.

Ia juga berdasarkan pengalaman yang ada pada negeri-negeri yang diperintah oleh Pakatan selama lima tahun ini, kata Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis sambutan Tahun Baru Cina dan perasmian Wisma DAP Johor, di Taman Nusa Indah, dekat sini.

“Manifesto yang kita kemukakan kepada rakyat untuk PRU13 akan memberi manfaat yang sangat besar kepada 28 juta rakyat negara ini.

“Pemimpin BN kata manifesto kita tidak baik sebab mereka dan kroni-kroni tidak mendapat keuntungan melaluinya, berbeza dengan manifesto BN yang hanya memberi keuntungan kepada mereka dan kroni-kroni saja," kata Lim Guan Eng.

Baca laporan penuh dalam Harakah Ahad ini.

Kain rentang: Pemuda PAS dibebas, tiada sabitan kes

Harakahdaily, 01 Mac 2013

BEBAS...Badaruddin (berkaca mata) bersama empat pemuda PAS berkenaan..

MARANG: Empat Pemuda PAS dari Kampung Jerung Seberang, Wakai Tapai yang ditahan reman kerana laporan 'fitnah' oleh Pengerusi Penaja Penubuhan Umno Cawangan Bukit Chempedak dibebaskan petang semalam.

AJK PAS Dun Pengkalan Berangan, Badaruddin Ismail berkata, mereka yang terdiri Roslam Abdullah, 35, Rosdi Abdullah, 34, Muhammad Lukman Abdullah, 28, dan Muhamad Musa, 38, dibebaskan kira-kira jam 5.00 petang dari lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Marang.

Beliau berkata, pihak polis memaklumkan mereka dibebaskan dengan jaminan polis kerana tidak ada sabitan kes.

"Saya dimaklumkan oleh IO (pegawai penyiassat) kes tersebut, Inspektor Wan Afzan Wan Mukhtar tidak ada sabitan kes, (mereka) dibebaskan dengan ikat jamin polis," ujarnya dipetik Buletin Online.

Katanya, pembebasan mereka merupakan satu penjelasan kepada 'fitnah' terhadap laporan media bersumberkan kepada laporan yang dibuat ketua penaja cawangan Umno itu.

"Ini bukti laporan akhbar tidak tepat, berdasarkan laporan 'fitnah' semata-mata dan juga bukti jelas pemasangan kain rentang yang tidak bermoral dan penuh fitnah itu telah mencetus situasi yang tidak aman dalam masyarakat," tambahnya.

Empat pemuda tersebut yang ditahan pada 25 Februari lalu ekoran tindakan berani mereka bertemu dengan ketua penaja Umno Cawangan Bukit Cempedak yang baru ditubuhkan yang meminta supaya satu kain rentang yang memfitnah PAS diturunkan.

4 pemuda PAS direman gara-gara kain rentang

Lot tanah dijanjikan masih berstatus padang ragut

Khairil Abdul Rahim, 01 Mac 2013


Abirerah menunjukkan pelan carian dari pejabat tanah membuktikan tanah masih berstatus rizab padang ragut.

TEMERLOH: Tidak ada siapa yang tidak gembira jika diberi peluang dijanjikan memiliki lot tapak rumah sendiri, namun selepas empat tahun memasang angan-angan 100 orang belia di Kampung Mambang Berulang, Mentakab dekat sini terus hampa.

Lebih mengecewakan mereka, setelah mendapatkan carian dan geran di Pejabat Tanah dan Daerah Temerloh, tanah seluas 30 ekar itu didapati masih berstatus rizab padang ragut walaupun mereka telah membayar wang proses sebanyak RM75 seorang.

Seorang pemohon Kamarudin Harun, 47, berkata tanah tersebut telah banyak kali ditawarkan kepada generasi kedua kampung terutama menjelang pilihan raya sehinggalah pada tahun 2009 ia diproses melalui Jawatan kuasa keselamatan dan kemajuan kampung (JKKK) dan pejabat penghulu mukim.

“Selain mengisi borang kami dikenakan bayaran sebanyak RM75 seorang kononnya untuk caj proses. Tetapi hingga ke hari ini belum ada apa-apa jawapan, malah status rizab padang kerbau masih belum bertukar.

“Maknanya proses tanah kami langsung tidak diproses oleh pihak kerajaan yang berjanji dalam empat tahun ini,” katanya sambil menunjukkan resit bukti bayarannya.

Katanya, semua belia yang memohon tanah tersebut masih tidak memiliki tanah sendiri tetapi sekarang jangankan melihat masing-masing belia mendapat lot tanah, malahan belukar di situ pun belum diusik.

Kampung Mambang Berulang terketak hanya dua kilometer dari bandar Mentakab iaitu bandar kedua dalam daerah Temerloh.

Rozali Husin, 43, (kanan) memang mengharapkan lot tanah tersebut menjadi kenyataan kerana hingga kini masih menumpang di tanah orang tua sedangkan adik beradik ada 11 orang.

“Yang peliknya tiap-tiap kali pilihan raya tanah itu diukur tetapi terus diam selepas itu, seolah-olah menjadi umpan untuk undi saja,” keluhnya.

Beliau berharap supaya pihak berkuasa mempercepatkan proses kelulusan kerana kampung sudah menjadi semakin sempit kerana penduduk bertambah ramai.

Sabaruddin Husin, 37, merasa tertipu kerana wang bayaran sebanyak RM75 lesap tetapi tanah tidak dapat.

“Saya rasa tertipu, tunggu dan tunggu tanah yang dijanjikan tak dapat pun, tapi duit mereka dah ambil,” keluhnya.

Bapa kepada tiga anak itu berkata, beliau orang susah dan masih tinggal dengan keluarga. Sedangkan untuk membeli tanah lain tidak mampu kerana mahal.

Dengan itu beliau merayu supaya diselesaikan segera permohonan mereka kerana jika tidak keadaan hidup beliau bersama belia lain semakin susah.

Abirerah Awang Chik, 51, berkata beliau sendiri pergi ke pejabat tanah setelah merasakan permohonan tanah lot tapak rumah untuk belia itu terlalu lama. Tetapi terkejut apabila mendapati status tanah tersebut masih rizab padang ragut bukannya tapak kediaman.

“Kami selaku generasi kedua penduduk di sini kesal kerana menjadi orang Melayu tidak bertanah di pinggir bandar. Mustahil untuk membeli tanah di bandar Mentakab kerana harganya mencecah RM2 juta seekar.

“Sebab itulah jika pihak kerajaan tidak memproses tanah rizab yang dijanjikan, kami belia-belia kampung ini dan sekitarnya boleh menerima nasib seperti Red Indian,” katanya.

Dalam pada itu, Abirerah berkata tawaran Pakatan Rakyat Pahang iaitu untuk menyediakan lot-lot rumah kepada rakyat Pahang yang tidak mempunyai tanah dan rumah kediaman serta menyelesaikan permohonan tanah yang tertunda sekian lama dipohon oleh rakyat Pahang sekiranya permohonan tersebut benar-benar layak, boleh menarik minat orang muda untuk mengundi parti itu.

Isu balak ke SPRM, adakah MB T’ganu terlibat?

Khairul Azlam Mohamad, 01 Mac 2013

Syed Azman menyerahkan dokumen kepada Penolong Pegawai Siasatan SPRM Terengganu.

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Barisan Nasional (BN) Terengganu bakal disiasat oleh pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) negeri berkaitan penyelewengan, rasuah serta salah laku dalam pengurusan hasil balak.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Burok, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi berkata PAS dan beberapa buah badan bukan kerajaan (NGO) di negeri ini telah membuat satu laporan serta penyerahan dokumen kepada SPRM Terengganu yang diterima oleh Penolong Pegawai Siasatan, Mohd Fadzil Abd. Jabar.

Katanya, penyerahan dokumen tersebut penting kerana mempunyai unsur rasuah, penyelewengan, salah urus dan salah laku yang mungkin melibatkan Menteri Besar Terengganu.

Menurutnya, setiap syarikat pembalakan masing-masing diagihkan kawasan seluas 1,000 ekar kepada 12 buah syarikat konsesi.

“Kita dapati sebanyak 12 (syarikat) pembalak dikehendaki membayar setiap syarikat RM2.5 juta kepada sebuah syarikat guaman di Kuala Lumpur. Selain, membayar secara rasmi premium kepada kerajaan negeri Terengganu, mereka kena bayar ‘under table’ RM2.5 juta.

“Dua dokumen telah diserahkan kepada pihak SPRM Terengganu untuk tindakan selanjut. Insya Allah, kita mengharapkan sesuatu yang positif,” ujarnya pada satu sidang media di lobi pejabat SPRM Terengganu.

Menurutnya, hasil kutipan ‘under table’ RM2.5 juta yang dikenakan kepada 12 buah syarikat pembalakan tersebut mencecah RM30 juta.

Hadir sama ialah Pengerusi Amanah Terengganu, Datuk’ Raja Kamarul Bahrin Shah, Presiden Gabungan Anak Terengganu (Gate), Ahmad Amzad Hashim, Setiausaha Ikatan Mantan Adun dan MP Parlimen (Imam) Terengganu, Che Ghani Ambak dan Pengerusi Majlis Permuafakatan Rakyat Terengganu (Mampat), Mohd Fauzi Abu Samah.


Syed Azman berucap pada himpunan aman di luar Wisma Persekutuan.

Tiada ulasan: