Sabtu, 2 Mac 2013

BILA KITA TERSILAP LANGKAH...GOPOH GAPAH PERBUATAN SYAITAN

14 terbunuh termasuk 2 polis di Lahad Datu

Harakahdaily, 01 Mac 2013


LAHAD DATU: Beberapa terbunuh apabila pertempuran meletus antara polis dan tentera dengan tentera kesultanan Sulu, Sultan Jamalul Kiram 111 pagi ini.

Menurut radio Filipina yang memetik keluarga Jamalul, termasuk adiknya, Azzimudie Kiram, sudah beberapa terbunuh apabila pertempuran mula meletus antara mereka dengan polis dan tentera Malaysia.

Bagaimanapun laporan itu tidak menjelaskan berapa ramai yang terkorban sehingga kini.

Akhbar Philippine Star melaporkan, pihak berkuasa Malaysia memulakan serangan ke atas kira-kira 60 penceroboh bersenjata itu.
Pihak polis pula mengesahkan dua anggota komando Polis Diraja Malaysia terkorban manakala 12 penceroboh bersenjata dari selatan Filipina maut dalam insiden tembakan membabitkan kedua-dua pihak di Kampung Tanduo di Lahad Datu hari ini. 

Kejadian pada kira-kira pukul 10 pagi itu turut menyebabkan tiga lagi anggota pasukan keselamatan cedera, kata polis, lapor Bernama.

Kesemua 12 penceroboh rakyat asing yang terbunuh itu adalah antara 180 pengikut 'Sultan Sulu' yang dikepung pasukan keselamatan di Felda Sahabat 17, Kampung Tanduo.

Mereka cuba keluar daripada kepungan pasukan keselamatan dan mula melepaskan tembakan apabila terserempak dengan anggota keselamatan yang sedang berkawal, kata Pasuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib.

Bercakap dalam satu sidang akhbar di Lahad Datu, beliau berkata insiden tembakan antara pasukan keselamatan dan kumpulan penceroboh itu berlanjutan selama 20 minit.

Menceritakan semula kejadian itu, Hamza berkata kumpulan penceroboh rakyat asing yang terlebih dahulu melepaskan tembakan ke arah pasukan keselamatan Malaysia.

"Pihak komando polis terpaksa melepaskan tembakan untuk mempertahankan diri dan berlaku pertempuran antara kedua pihak," kata Hamza.

Hamza berkata turut ditemui pada kumpulan kecil penceroboh itu ialah beberapa laras senjata api antaranya M16, pistol dan rifel SLR, peluru dan beg-beg pakaian.

Beliau berkata polis kini mengepung Kampung Tanduo, yang masih diduduki sebahagian anggota kumpulan itu, dan kawalan keselamatan di kawasan berkenaan semakin diperketatkan.

"Polis telah mengawal segala laluan dan sukar untuk pihak penceroboh untuk keluar atau masuk ke kawasan kampung berkenaan," katanya.

Hamza turut menafikan laporan termasuk yang disiar laman sosial dan agensi berita asing bahawa terdapat anggota kumpulan penceroboh itu menyerah diri dan melarikan diri melalui jalan laut.

Dalam pada itu, Hamza turut menegaskan bahawa polis tidak mengeluarkan sebarang arahan perintah berkurung di Lahad Datu ekoran insiden itu.

"Saya diberi kuasa untuk melaksanakan perintah itu dan tiada sebarang perintah itu dikeluarkan seperti yang dilaporkan," katanya sambil memberitahu bahawa keadaan di Kampung Tanduo kini terkawal dan tenang.

Pemuda PAS lancar Tabung Perajurit Tragedi Lahad Datu

Harakahdaily, 01 Mac 2013
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Pusat akan melancarkan Tabung Perajurit Tragedi Lahad Datu bagi membantu keluarga perajurit yang gugur mempertahankan kedaulatan tanah air dalam insiden bersenjata di Lahad Datu, Sabah hari ini.

“Insya-Allah DPPM akan melancarkan Tabung Perajurit Tragedi Lahad Datu dan DPPN Terengganu juga Selangor akan menziarahi keluarga perajurit yang gugur di medan untuk menghulurkan sumbangan tanda kebersamaan DPPM.

"Semoga Allah menganugerahkan pahala syahid buat mereka yang gugur di medan Lahad Datu. Al Faatihah,” tulis Ketua Pemuda PAS Nasrudin Hassan di Facebook beliau.

Dua anggota keselamatan negara, Inspektor Zulkifli Mamat dan Sarjan Sabaruddin dari Unit 69 Komando bersama 12 penceroboh bersenjata dari selatan Filipina maut dalam insiden tembakan. Tiga anggota polis dilaporkan cedera.

Dalam pada itu, Nasrudin (gambar kanan) turut menyeru rakyat berdoa mohon Allah swt selamatkan negara dan semua rakyat khasnya pasukan keselamatan yang sedang bertugas di Lahad Datu.

“Kebijaksanaan pihak berwajib sangat didambakan pada saat seperti ini. Keselamatan dan kedaulatan negara pastinya tidak boleh dipertaruhkan. Semoga negara, pasukan keselamatan dan penduduk Lahad Datu selamat.

"Ketegasan pihak kerajaan sangat diperlukan agar penceroboh tidak sampai mengancam nyawa rakyat kita serta merendahkan martabat serta kedaulatan negara,” kata beliau.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib sementara itu dipetik berkata insiden tembakan antara pasukan keselamatan dan kumpulan penceroboh itu berlanjutan selama 20 minit.

Beliau menegaskan bahawa kumpulan penceroboh dari Filipina yang terlebih dahulu melepaskan tembakan ke arah pasukan keselamatan Malaysia.

"Pihak komando polis terpaksa melepaskan tembakan untuk mempertahankan diri dan berlaku pertempuran antara kedua pihak," kata Hamza yang dipetik Bernama.

“Jeneral” pilihan raya BN mungkin bertukar?

Aslani M, 01 Mac 2013


(Mohamad melancarkan Solidariti Anak Bachok Tuntut Royalti dan Pendaratan Minyak di Bachok - Cabar)

BACHOK: Mungkinkah kepulangan bekas penyiasat persendirian, Balasubramaniam a/l Perumal (P1 Bala) menyebabkan “jeneral" pilihan raya BN bertukar tangan bagi menghadapi pilihan raya umum ke-13.

Inilah isu yang sedang hangat diperkatakan sekarang apabila Datuk Seri Najib Razak menukar tarikh hasrat pembubaran parlimen berkali-kali.

Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu membangkitkan siapakah yang bakal mengetuai jentera pilihan raya BN kali ini selepas P1 Bala pulang ke tanah air sekarang.

“Bala orang terbabit secara langsung dalam akuan sumpah 1 dan akaun sumpah 2 dalam kes menyebabkan kematian menyayatkan warga Mongolia Altantuya Sharribuu,” katanya pada ceramah Himpunan Kebangkitan Rakyat parlimen Bachok di sini kelmarin.

Dan malam ini P1 Bala dijangka muncul di pentas sama di Kompleks Pendidikan Islam Bachok di Kampung Badak, kampung asal Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Mustapa Mohamed.

Bala akan bergandingan dengan Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia, CheguBard (Badrul Hisham Sharin).

Sebelum ini laman berita media baru turut membayangkan Najib dijangka tidak akan mengetuai jentera BN pada PRU-13 memandangkan kes Altantuya kini dihangatkan semula.

Mohamad berkata, sekarang zaman maklumat di hujung jari di mana segala perkara terdedah dalam masa sekelip mata.

“Sekarang juga rakyat membuat pertimbangan berdasar kepada fakta dan bukan lagi dengan umpan projek pembangunan dan habuan lain.

“Era mengumpan projek pembangunan hanya laku sekitar tahun 1970-an dan 1980-an, namun sekarang tidak lagi,” katanya.

Hadir sama pada ceramah itu Yang Dipertua PAS Bachok, Datuk Omar Mohamd, Adun Tawang, Ustaz Hassan Mohamood, Adun Jelawat, Abdul Azziz Kadir dan pendakwah bebas, Khairul Ikwan.

Sempena program berkenaan Mohamd melancarkan pertubuhan Solidariti Anak Bachok Tuntut Royalti dan Pendaratan Minyak di Bachok (Cabar). Cabar diketuai Marzuk Shaari.

Kenapa k'jaan ambil mudah isu keselamatan negara?

Harakahdaily, 01 Mac 2013
KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim ucapkan takziah kepada keluarga dua anggota keselamatan negara, Inspektor Zulkifli Mamat dan Sarjan Sabaruddin dari Unit 69 Komando yang terkorban dalam insiden bersenjata di Lahad Datu, Sabah hari ini.

Katanya, Kerajaan Malaysia di bawah kepimpinan Datuk Seri Najib Razak dan menteri yang bertanggungjawab menjaga urusan keselamatan dan pertahanan negara sewajarnya tampil menjelaskan kepada rakyat tentang peristiwa berdarah ini.

“Mengapa sebegitu mudah sempadan negara dibolosi oleh sekumpulan warga asing bersenjata dan mengapakah kerajaan begitu berkompromi dalam menyelesaikan isu ini?” tanya beliau dalam satu kenyataan ringkas.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh menegaskan isu keselamatan negara tidak sewajarnya dipandang remeh dan diambil mudah oleh pihak kerajaan.

Justeru, ujar beliau, rakyat perlu diberikan maklumat mengenai apa yang berlaku.

Lahad Datu: Takziah buat keluarga polis terkorban

Muhammad Faizal, 01 Mac 2013
KUALA LUMPUR: Pengerusi Pejuang Perubahan Sabah (PPS), Datuk Seri Panglima Lajim Ukin mengucapkan takziah kepada keluarga anggota polis Malaysia yang terkorban dalam insiden tembakan antara pihak keselamatan Malaysia dan penceroboh di Lahad Datu hari ini.

"Saya mengucapkan takziah kepada keluarga anggota polis yang terkorban dalam insiden tersebut dan berharap mereka bersabar.

"Namun bagi saya isu tuntutan tersebut sepatutnya boleh dilakukan secara rundingan damai bukannya melalui keganasan, kerana akibat dari insiden tersebut menyebabkan banyak keluarga akan kehilangan ahli keluarga," ujarnya ketika dihubungi Harakahdaily.

Malah menurut beliau lagi, isu pencerobohan ke negara ini tanpa melalui saluran yang sah adalah bertentangan dengan undang-undang negara ini.

Katanya, isu percerobohan ke atas Sabah sebenarnya mencabar kadaulatan negara ini dan perkara tersebut perlu dibendung secara aman.

"Kita doakan semoga pihak keselamatan negara ini akan terselamat dari sebarang mala petaka dan juga insiden ini kembali aman," sambung beliau lagi.

Lajim menolak desas desus mengatakan konflik yang berlaku di Lahad Datu itu ada kaitan dengan senario politik negara ini.

Sementara itu mengikut laporan media dua komando polis Malaysia terbunuh setelah terkena serangan mortar di Kampung Tanduo, yang menjadi kubu kumpulan penceroboh bersenjata dari selatan Filipina itu.

Mereka dilaporkan terkena serangan itu ketika sedang berkawal di satu pos di sekitar Kampung Tanduo.

AFP melaporkan, sekitar jam 3.25 petang tadi, Jabatan Luar Filipina berkata tiga orang mati dan 10 telah ditangkap dalam kejadian itu.

Jangan terkejut BN bakal turun harga minyak

Harakahdaily, 01 Mac 2013

KUALA LUMPUR: Jangan anda terkejut seandainya BN mengumumkan penurunan harga minyak menjelang pembubaran parlimen ini.

Demikian kata Ketua Penerangan PAS Pusat Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man setelah kerajaan pimpinan Barisan Nasional baru-baru ini mengisytiharkan penurunan cukai kereta import dari Jepun dan Australia.

Semalam pula, katanya, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Malaysia Datuk Ismail Sabri pula mengisytiharkan satu Malaysia satu harga, mirip penghapusan sistem kobotaj, bagi menghapuskan sistem dua harga antara Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak.

“PAS yakin akan ada lagi beberapa peniruan idea manifesto Pakatan Rakyat akan ditiru oleh BN, memandang mereka telah kehabisan idea baru terutama yang melibatkan kepentingan rakyat,” kata beliau dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.

Walaupun berhadapan dengan pelbagai kritikan selepas pembentangan manifesto PR, kata Tuan Ibrahim, PAS yakin mereka akan meniru tanpa segan silu kerana tawaran PR telah terbukti mendapat sokongan rakyat.

Hujah Tuan Ibrahim yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang, pengalaman PAS di Kelantan yang telah mendahului pelbagai perubahan seperti sistem kerja lima hari, cuti bersalin 60 hari, pemberian khairat kematian dan kebajikan lain akhirnya ditiru oleh kerajaan BN, walaupun di peringkat awal mereka mengecam PAS dengan pelbagai tuduhan.

“Bertolak kepada pengalaman tersebut, tidak mustahil mereka sanggup menurunkan harga minyak demi mendapatkan sokongan rakyat. Kita tetap dengan tawaran kita, berapa mereka turun sekalipun PR tetap akan menurunkan di bawah harga semasa apabila kita memenangi PRU akan datang,” tegas beliau.

Bekas Ketua Puteri serah borang sertai Umno

Yaakub Dasan, 01 Mac 2013


(Laporan akhbar yang kelakar apabila bekas ketua Puteri serrah berang sertai Umno)


RANTAU PANJANG: Rosanah Yaacob ialah bekas Ketua Puteri Umno Kampung Pening Lalat. Sekarang aktif dalam wanita Umno. Anehnya media Umno semalam melaporkan dia menyerah borang menyertai Umno.

Dalam laporan itu dia mendakwa tidak pernah mengundi Umno kerana menganggap PAS sebagai parti Islam.

Ketua PAS Cawangan Gual Tok Deh, Azman Makhtar berkata, Rosanah tidak pernah menyertai PAS atau menjadi penyokong kerana dia aktivis wanita Umno sejak dari dahulu lagi.

“Dia aktif bergiat dalam wanita Umno. Sebelum ini ketua puteri cawangan. Jadi mengapa pula tiba-tiba dia mengaku sebagai penyokong PAS yang baru menyertai Umno.

“Ini adalah cerita lawak yang semakin menjadi-jadi di Rantau Panjang sekarang. Minggu lepas akhbar melaporkan 78 penyokong PAS menyertai Umno, sedangkan sebahagian mereka warga Thailand,” katanya di sini.

Media tajaan Umno semalam melaporkan 100 ahli PAS dari Kampung Pening Lalat, Gual Tokdeh menyertai Umno kerana kecewa dengan sikap pemimpin parti itu.

Mereka dilaporkan menyerah borang kepada Ketua Bahagian Rantau Panjang, Datuk Abdullah Mat Yasin.

Azman berkata, penduduk kampung terkejut dengan dakwaan Rosanah kononnya sebagai penyokong PAS, sedangkan semua orang tahu dia wanita Umno tulen.

Menurutnya juga Kampung Pening Lalat hanya mempunyai sekitar 12 rumah dan sebahagian besar mereka penyokong tegar Umno sejak dari dahulu lagi.

Azman berkata, Ketua Umno Rantau Panjang sekarang benar-benar terdesak sehingga terpaksa mencipta sesuatu yang tidak wujud kemungkinan impiannya untuk menjadi calon parlimen Rantau Panjang.

“Kalau sebelum ini kita sering membaca laporan akhbar orang Umno sertai Umno di Pasir Puteh, namun sekarang berjangkit pula ke Rantau Panjang,” ujarnya.

Katanya juga laporan akhbar yang mendakwa Yaacob Mahmood, 78 sebagai ahli PAS juga cukup mengelirukan kerana dia tidak pernah berdaftar sebagai ahli PAS.

Penghulu Mukim Lubok Gong, Syed Abu Bakar Syed Mohd Nor berkata, Umno Rantau Panjang benar-benar tertekan sekarang sehingga menciptakan cerita yang tidak wujud.

Katanya, Ketua Bahagian Umno Rantau Panjang benar-benar gelisah sekarang sehingga kerap memanggil wartawan membuat laporan berdasar kepada lakonan sesama sendiri.

"Datuk Abdullah bermasalah dengan jenteranya, malah kudis lama dengan bekas ketua bahagian, Datuk Mohd Zain masih belum sembuh.

“Mungkin dengan taktik mancari publisiti murahan beliau menganggap populariti meningkat semula. Tetapi berdasar kepada percakapan sesama Umno, Abdullah hanya menanti masa untuk disingkir pada pemilihan Umno akan datang,” ujarnya.

Oleh itu beliau menasihat orang ramai tidak mempercayai laporan media terutamanya TV3 dan Utusan yang dilihat bersedia memaparkan banyak lagi lakonan arahan Abdullah.

Tiada ulasan: